Selasa, 16 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Perlu sokong usaha berani


Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Jika mahu dihitung usaha kerajaan mentransformasi bidang pendidikan negara, pasti tidak terhitung banyaknya.

Bermula dengan Penyata Razak 1956, kini kepada imej global melalui Pelan Pembangunan Pendidikan, usaha itu wajar dihargai.

Usaha paling proaktif dan berani itu bukan saja bagi menjenamakan semula bidang pendidikan negara malah meletakkan modul pendidikan dalam kelas tersendiri.

Apatah lagi dengan rantaian sistem yang semakin komprehensif, ramai tidak sabar melihat hasil transformasi itu yang dianggap pembaharuan paling berani untuk bidang pendidikan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Justeru apakah harapan tinggi itu juga boleh membuka minda masyarakat supaya melihatnya dalam skop lebih luas?

Atau hanya sekadar sokongan dengan tindakan tunggu dan lihat. Dan apakah mereka punya keyakinan bidang pendidikan boleh dijenamakan semula hingga menjangkau pering­kat antarabangsa atau sebaliknya.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia ( UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, masyarakat perlu melihat usaha proaktif ini sebagai anjakan keberanian menjenamakan semula bidang pendidikan negara.

Beliau berkata, transformasi ini komitmen pihak berkenaan yang mahu melihat sistem pendidikan negara melangkah ke frasa baru yang lebih dinamik dan berkeupayaan tinggi demi generasi masa depan.

“Boleh dikatakan, ini adalah usaha berani yang melangkau frasa sedia ada sejajar hasrat menjadikan dunia pendidikan negara lebih berwibawa.

“Transformasi ini juga adalah satu keberanian untuk membawa bidang pendidikan negara ini ke tahap profesional, berkualiti serta mempunyai jenama antarabangsa.

“Justeru, mengapa perkara yang baik ini perlu dipertikaikan?

“Semua ini ada manfaatnya khususnya kepada pembinaan masa depan pelajar kita akan datang,” katanya.

Malangnya di tengah kesediaan bidang pendidikan negara melakukan transformasi itu, ada pihak mengang­gapnya begitu drastik serta mempunyai standard sasaran terlalu tinggi.

Beliau berkata, pihak tertentu boleh melahirkan kebimbangan namun pada masa sama perlu melihatnya dari sisi berbeza terutama kesan jangka panjang.

Menurutnya, transformasi itu tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa,  bahkan dilakukan mengikut saluran, frasa, kaji selidik masyarakat serta kajian pakar pendidikan.

“Memang ada pihak menganggap transformasi dunia pendidikan negara hari ini sangat drastik hingga mewujudkan pertikaian tertentu.

“Ditegaskan, transformasi ini dilakukan dengan profesional dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

“Masyarakat perlu yakin dan meletakkan penuh kepercayaan terhadap usaha ini. Cuba dalami hasrat kerajaan mengapa transformasi ini perlu dilakukan,” katanya tidak menafikan pasti wujud keraguan perkara berbangkit terhadap pembaharuan yang cuba dilaksanakan.

“Setiap pembaharuan pasti ada masalah dan kepincangan namun kita tidak boleh menganggapnya sebagai masalah yang tidak boleh diselesaikan.

“Bidang pendidikan negara kita dalam proses belajar dan setiap yang terbabit dengannya perlu melalui proses yang sama.

“Ia adalah proses yang baik. Dari situ kita dapat menilai, melihat, memperbaiki dan mempertingkatkan kelemahan mahupun kekurangan sedia ada.

“Yang penting, kita ada keberanian melakukan perubahan. Jika tidak selamanya kita akan berada di takuk lama,” katanya.

Beliau turut optimis sistem pendidikan negara berada pada landasan betul dan sedang sedaya upaya menjadikan segala perancangan satu kejayaan jangka panjang.

Katanya, penggunaan penilaian standard antarabangsa seperti TIMMS (Trends in International Mathematics and Science Study) dan PISA (Programme for International Student Assessment) sering dijadikan rujukan.

“TIMMS adalah penilaian antarabangsa yang menilai kurikulum mata pelajaran Matematik dan Sains dalam sesebuah sistem pendidikan.

“PISA adalah penilaian antarabangsa yang menilai tiga jenis kecekapan, iaitu membaca, menitikberatkan pengetahuan matematik dan pengetahuan sains dalam keadaan sebenar oleh pelajar dalam sesebuah sistem pendidikan.

“Malaysia ingin menempah kedudukan dalam kategori satu pertiga teratas negara-negara di dunia yang mempunyai sistem pendidikan bermutu, justeru transformasi ini adalah antara langkah awal,” katanya.

Ditanya sama ada sistem yang digunakan sekarang mempunyai kelemahan hingga perlu diberi perubahan, beliau berkata setiap sistem pendidikan negara di dunia perlukan perubahan bagi tujuan penambahbaikan.

“Negara yang mempunyai pendidikan terbaik di dunia pun melakukan perkara sama kerana perlu selari dengan peningkatan kualiti dan permintaan semasa.

“Kita tidak perlu mempertikaikan apa yang sedang dilakukan sistem pendidikan negara kerana objektifnya untuk kebaikan.

“Dalam sejarah dunia, tiada sistem pendidikan yang diperkenalkan bertujuan sebaliknya,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan