SEJAK kebelakangan ini golongan
tua sering merungut tentang sikap sesetengah anak muda yang tidak menghormati
mereka, enggan menegur sapa, tidak memberi salam atau bersalaman jika bertemu
di khalayak ramai, di majlis keramaian, di rumah dan pejabat.
Sikap tidak menghormati golongan
tua ini amat jelas berlaku di pejabat-pejabat apabila kakitangan dan para
pegawai kanan tidak disapa oleh pendatang baharu sehingga mereka dilabelkan
sebagai golongan cerdik pandai yang tidak beradab dan 'kurang ajar'.
Jika dibandingkan pada tahun
1980-an hingga 1990-an, kakitangan muda walaupun lepasan pelbagai universiti
dari dalam dan luar negara, namun mereka bertegur sapa dengan golongan lebih
senior di pejabat kerana bersopan santun memang sinonim dengan orang Melayu malahan
menjadi amalan sejak zaman datuk nenek kita sehingga ke hari ini.
Anak-anak muda sepatutnya
memanggil tuan, puan, abang, kakak, makcik, pakcik, datuk atau nenek kepada
golongan yang lebih dewasa mengikut peringkat usia dan pangkat seseorang serta
mengucap terima kasih kepada setiap pemberian yang diterima. Ucapan selamat
pagi dan petang atau Assalamualaikum bagi yang beragama Islam setiap kali
bertemu sepatutnya menjadi amalan murni ke arah kesejahteraan.
Malangnya, ucapan demikian
semakin hilang dibaham era Internet. Generasi muda kini sebaliknya hanya
berkata ' hai.. .' ketika bersua muka dan 'bye-bye' ketika berpisah.
Ucapan tersebut lebih ringkas, trendy dan universal.
Apakah media sosial seperti Facebook, Twitter, khidmat pesanan ringkat
(SMS) serta Whatsapp yang sangat dekat di hati insan yang celek teknologi
maklumat (IT) boleh dikaitkan dengan hilangnya nilai-nilai ketimuran dan unsur
keagamaan dalam kalangan generasi muda?
Jika dikaji kesan dan pengaruh
teknologi telekomunikasi kepada manusia dan kemanusiaan, sepatutnya gajet-gajet
berhubung IT yang terdapat dalam pasaran itu membantu mendekatkan yang jauh dan
mengecilkan jurang perbezaan antara manusia di dunia.
Dari sudut lain, perkembangan IT
ini turut melalai dan mengalpakan anak-anak generasi Y ini kepada alam
sekeliling sehingga terbentuknya budaya anti sosial, individualistik dan tidak
mesra dengan orang di sekeliling mereka.
Bukan sahaja generasi muda
menjadi sedemikian, malah generasi tua juga sudah semakin terpisah dengan
jiran-jiran kerana terlalu ghairah melayan kerenah Facebook, Twitter dan
blog-blog pilihan mereka. Ringkasnya, manusia hari ini disogokkan dengan
terlalu banyak informasi sehingga lupa kepada dunia nyata di sekeliling mereka.
Apa yang penting bagi kumpulan
ini ialah mengemas kini status mereka dalam facebook dan membaca SMS walaupun
berada dalam majlis ilmu dan keramaian. Majlis berkenaan sepatutnya digunakan
untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dan beramah mesra dengan para hadirin.
Semua SMS yang dianggap tidak penting sepatutnya dibalas ketika berada di
rumah.
Sehubungan perkembangan itu,
Malaysia berada pada kedudukan ke-19 dengan jumlah pengguna Facebook sebanyak
13.22 juta daripada 28 juta penduduk. Statistik ini berdasarkan jumlah pengguna
Facebook dalam senarai 50 negara utama di dunia sehingga Oktober 2012.
Sehubungan itu, sebanyak 50 peratus daripada jumlah pengguna Facebook tinggal
di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun Malaysia berada di
belakang Jepun yang mempunyai 16.36 juta pengguna Facebook manakala Thailand di
tempat ke-16 dengan 17.47 juta manakala Indonesia berada di tangga keempat
dengan 50.53 juta pengguna media sosial itu. Sehubungan itu, 50 peratus
daripada jumlah pengguna Facebook di Malaysia tinggal di Kuala Lumpur.
Gajet-gajet IT ini terbukti telah
membentuk satu fenomena tidak menghiraukan orang lain kerana dunia alam maya
lebih menyeronokkan dan memaklumkan perkembangan terkini yang berlaku di dunia
sehingga sanak saudara dan orang tua yang berkunjung ke rumah mereka tidak
dihiraukan oleh anak-anak muda.
Fenomena tidak menegur dan
bermesra dengan rakan-rakan sepejabat dan jiran di sebelah rumah mungkin
berpunca daripada latar belakang keluarga dan pergaulan sosial mereka yang
terbatas. Sejak kecil lagi ibu bapa menasihatkan anak-anak supaya tidak mudah
mesra dengan orang yang tidak dikenali berikutan kes culik dan rogol yang kerap
berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sejak kebelakangan ini.
Sehubungan itu, golongan
berkenaan apabila memasuki dunia remaja sudah dipupuk dengan sikap berhati-hati
sehingga terbawa-bawa ke alam pekerjaan. Sikap remaja sedemikian membuat
golongan dewasa melontar tuduhan sehingga melabel anak-anak muda hari ini
sebagai 'kurang ajar' dan kadangkala mendakwa sistem pendidikan semasa kurang
menitikberatkan kepada nilai-nilai sivik dan adat ketimuran.
Dalam apa juga perkembangan
teknologi, sepatutnya masyarakat khusus Melayu mestilah mengekalkan amalan dan
adat ketimuran yang diwarisi turun temurun kerana hanya nilai-nilai tersebut membezakan
antara Melayu dengan bangsa dan adat kaum lain walaupun mereka tinggal di
Malaysia.
Kemodenan dan perkembangan
teknologi jika diikuti tidak akan habis-habis dan tiada penghujungnya kerana
setiap hari model terbaharu dengan teknologi terkini akan dijual di pasaran.
Sebaliknya nilai ketimuran dan adat istiadat Melayu akan hilang di muka bumi
ini sekiranya Generasi Y enggan mewarisinya.
Dikhuatiri satu hari nanti bangsa
Melayu tidak akan dikenali sebaliknya yang tinggal hanya pada nama Yusof, Kadir
atau Fatimah yang bangsa Arab dan orang Islam lain di dunia turut mempunyai
nama demikian kerana mereka beragama Islam.
Jadi fikir-fikirkanlah anak-anak
muda apakah masih mahu atau tidak untuk mengekalkan kebudayaan dan adat
istiadat dan sopan santun orang Melayu?
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan