Isnin, 15 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Pelajar kita masih tumpul kemahiran insaniah


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Generasi muda gagal berfikir secara kritis

Bagi mereka yang bertugas sebagai tenaga akademik di institusi pengajian tinggi, pada setiap awal semester pengajian mereka selalu mengharapkan kemasukan pelajar baru yang memiliki kemahiran insaniah tinggi. Bagaimanapun, tenaga akademik ini sedar bahawa pelajar yang mereka terima adalah produk daripada sistem pendidikan sedia ada.

Kemahiran insaniah atau soft skill adalah istilah sosiologi berhubung EQ (Emotional Intelligence Quotient) seseorang individu, berkaitan ciri atau sifat personalitinya, kemahirannya bersosial, berkomunikasi, berbahasa secara bertulis atau bertutur, kebiasaan atau tabiat yang positif, suka bergaul dan optimis dalam kehidupan serta lingkungan sosialnya.

Berikut, dapatan umum yang saya peroleh daripada teman di beberapa buah institusi pengajian tinggi awam di negara ini.

Daripada sejumlah pelajar baru, pada umumnya hanya segelintir kecil memiliki kemahiran insaniah yang boleh berkembang. Majoriti yang lain kurang kemahiran bersosial, hanya bergaul dalam kelompok kecil. Mereka juga tidak dapat berkomunikasi dengan baik, termasuk tidak dapat menuturkan atau menulis dalam bahasa Melayu atau Inggeris yang gramatis, jelas dan berkesan.

Peringkat sekolah rendah

Kebiasaan atau tabiat yang positif seperti gemar membaca buku di perpustakaan serta mengadakan diskusi berkumpulan juga jarang-jarang dapat dilihat, kecuali dalam minggu menjelang peperiksaan. Kurang terpancar optimisme dalam diri pelajar, seolah-olah membiarkan masa menghanyutkan mereka dan menyerahkan segala kepada nasib.
Dalam dunia penuh persaingan dan persaingan semakin sengit, hanya pelajar memiliki kemahiran insaniah tinggi yang akan berjaya. Jika majoriti pelajar kita kurang memiliki kemahiran insaniah tinggi, bagaimana generasi muda kita akan bersaing pada peringkat domestik dan antarabangsa? Begitu pentingnya kemahiran insaniah, sehingga wajar ia diperkenalkan pada peringkat sekolah rendah lagi.

Atas sebab seperti itulah, sekolah antarabangsa biasanya sejak peringkat rendah lagi, mendedahkan pelajar mereka kepada kemahiran insaniah. Ini termasuklah kaedah berfikir secara kreatif, menaakul secara kritis, berkomunikasi secara berkesan, bekerjasama secara membina, menempuh proses pembelajaran penuh semangat, dan menjalani kehidupan beretika.

Kita dapat melihat produk pelajar yang dilahirkan oleh sekolah antarabangsa ini – sama ada anak kita sendiri, anak saudara kita atau anak kenalan kita. Bagaimanapun pernyataan ini tidaklah menafikan adanya segelintir pelajar produk sistem pendidikan kebangsaan kita yang mempunyai kualiti lebih kurang sama.

Sistem persekolahan kebangsaan

Kita percaya sistem pendidikan kebangsaan turut berhasrat membentuk dan melahirkan pelajar yang dapat berfikir secara kreatif, menaakul secara kritis, berkomunikasi secara berkesan, bekerjasama secara membina menerusi proses pembelajaran penuh semangat dan menjalani kehidupan beretika. Bagaimanapun, apabila kita meneliti pencapaian pelajar baharu di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), hanya sebahagian kecil yang berkualiti demikian.

Lalu kita bertanya, di mana bahagian-bahagian longgar dalam sistem pendidikan kebangsaan kita yang perlu kita perbaiki dan perkasakan? Adakah sistem persekolahan kita amat menjurus kepada peperiksaan? Adakah pelajar kita terlalu ‘disuap’ dan ‘disusui’? Adakah pelajar kita terlalu terikat dengan skema hingga tidak dibenarkan berfikir secara kreatif di luar kebiasaan? Adakah kaedah pengajaran dan pembelajaran kita masih sangat konservatif? Adakah suasana pembelajaran belum dapat membentuk pelajar kita kemahiran bersosial, berkomunikasi, berbahasa secara bertulis atau bertutur, bertabiat yang positif, bergaul dan optimis dalam lingkungan sosialnya?

Kualiti akademia

Pendedahan kemahiran insaniah pelajar kita seharusnya sudah meningkat ketika mereka berada di sekolah menengah. Apabila mereka menyambung pengajian di kolej atau universiti, mereka akan berhadapan dengan suasana, kaedah serta budaya pembelajaran yang agak berbeza.

Mereka harus berdikari, banyak membuat rujukan sendiri bagi menambah nota kuliah, bijak bergaul, mahir berkomunikasi baik di dalam bilik kuliah atau di luar serta dapat menyiapkan tugasan dipersembahkan dengan baik, termasuk aspek bahasanya. Jika lebih ramai pelajar baru IPTA memiliki kemahiran insaniah, maka kualiti akademia di pusat pengajian tinggi kita akan meningkat dengan lebih pantas.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan