Isnin, 15 Julai 2013

ISU AGAMA : Ramadan bukan bulan pesta berbelanja


Oleh : Dr Asyraf Wajdi Dusuki
 
Ramadan bukan saja bulan yang menyuburkan amalan ibadah seperti puasa, tadarus, Tarawih dan qiamullail, malah turut menitikberatkan aspek tarbiah atau latihan bermuamalah seperti berbelanja.

Dengan kata lain, Ramadan turut menjadi bulan pemerkasaan budaya bermuamalah sesama manusia.

Tempoh sebulan yang penuh barakah ketika syaitan dibelenggu dan amalan digandakan ganjaran seharusnya dimanfaatkan oleh umat Islam untuk meningkatkan kualiti diri. Namun, ramai juga yang mempersiakan peluang dan ruang diberikan Allah ini, sebaliknya meneruskan amalan penyimpangan yang menjadi budaya dalam diri selama ini.

Salah satu amalan penyimpangan yang kadangkala lebih terdedah pada Ramadan ialah budaya berbelanja. Ramadan yang sepatutnya mendidik umat agar lebih berjimat dan berhemah dalam berbelanja sering tersasar daripada landasan sebenar.

Lebih mendukacitakan, ada segelintir kita menjadikan Ramadan bagaikan ‘pesta berbelanja’ makanan, pakaian, perhiasan rumah dan sebagainya. Bazar Ramadan yang menjual dan menyediakan pelbagai juadah juga tidak ketinggalan menjadi medan kerakusan umat berbelanja mengikut hawa nafsu yang mampu menghakis kualiti berpuasa.

Budaya berbelanja

Budaya berbelanja selalunya akan bertambah hebat terutama ketika melalui fasa 10 hari terakhir Ramadan. Fasa yang seharusnya menjadikan umat bertambah kuat beribadah mengejar ganjaran besar dijanjikan Allah termasuk Lailatul Qadar, sebaliknya disibukkan dengan persiapan menjelang perayaan Aidilfitri.

Sudah menjadi kelaziman apabila menjelang Syawal, maka berduyun-duyun orang ramai mengerumuni pusat beli-belah bagi persiapan terakhir sambutan Aidilfitri. Budaya berbelanja dan membeli pelbagai perhiasan, pakaian dan peralatan rumah serba baru sudah menjadi amalan tahunan bagi masyarakat Malaysia.

Memang Islam tidak pernah menghalang umatnya membeli-belah untuk apa jua tujuan atau urusan. Islam juga tidak pernah mengekang umatnya daripada membelanjakan harta bagi tujuan sambutan perayaan keagamaan. Malah, mempersiapkan perhiasan dan mengenakan pakaian yang indah semasa hari raya sebahagian daripada sunah yang dituntut seperti disebut Jabir yang pernah berkata: “Nabi Muhammad SAW sering memakai pakaian terbaik iaitu sepasang jubah yang dipakai khusus pada hari raya dan Jumaat.”

Namun, dalam keghairahan membeli-belah dan berbelanja seperti ini, umat juga harus sentiasa dipasakkan dalam pemikiran agar terus berpegang teguh kepada prinsip dan nilai muamalah Islam sejati. Ini termasuklah untuk sentiasa membudayakan kesederhanaan dalam berbelanja. Budaya sederhana dalam berbelanja adalah ciri Ibadurrahman atau hamba Tuhan yang dijanjikan balasan syurga seperti digambarkan Allah yang bermaksud: “Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah antara yang demikian.” (Al-Furqan: 67)

Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menerangkan hamba Allah yang dimaksudkan ialah orang yang tidak membazir dalam berbelanja dan tidak berbelanja di luar batasan keperluan. Pada masa sama mereka bukan juga tergolong dalam kalangan orang bakhil dan kikir, termasuklah terhadap keluarga, jiran tetangga dan kaum muslimin yang fakir dan miskin.

Bersederhana

Sebaliknya ciri hamba Allah yang diistilahkan sebagai ‘ibadur-rahman’ ini ialah mereka yang adil dan baik kerana sering memilih jalan pertengahan iaitu bersederhana di antara dua budaya ekstrem dalam berbelanja.

Demikian prinsip dan etika penting dalam berbelanja yang digariskan syarak agar diamalkan setiap umat Islam. Jika sikap berlebih-lebihan amat berbahaya bagi individu ataupun masyarakat, demikian pula sifat bakhil menjadi punca kerosakan sesebuah tamadun.

Sebaliknya, sikap dan budaya terbaik ialah sikap dan budaya pertengahan dan sederhana seperti seruan dan acuan Islam. Salah satu nilai kesederhanaan dalam berbelanja dalam acuan Islam ialah saranan agar umat senantiasa membudaya nilai qanaah.

Qanaah salah satu sifat Nabawi yang bermaksud rasa cukup dan puas hati dengan apa jua rezeki pemberian Allah. Qanaah juga manifestasi keimanan yang mampu mengawal dan membatasi sifat ketamakan, kerakusan dan haloba yang mudah menguasai diri manusia.

Nabi SAW bersabda dalam satu hadis dinukilkan At-Tabrani dalam Al-Awsat menyebut: “Sifat qanaah tidak akan menghabiskan harta dan tidak akan menghilangkan rezeki”. Malah Rasulullah SAW turut mengajarkan kepada kita satu doa yang diamalkan baginda setiap kali selepas selesai menunaikan solat dua rakaat seperti berikut: “Ya Tuhanku, jadikan diriku sentiasa rasa puas dengan segala pemberian yang Engkau kurniakan padaku, berkatilah apa yang Engkau anugerahkan kepadaku dan gantikanlah apa yang hilang daripadaku dengan sesuatu yang lebih baik daripada Engkau.”

Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan