Rabu, 21 Ogos 2013

ISU PENDIDIKAN : Mengasah bakat usahawan muda melalui koperasi sekolah


Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom

PENUBUHAN koperasi sekolah bukanlah semata-mata untuk meraih keuntungan tetapi yang lebih penting memberi pendedahan dan pengetahuan asas pengurusan perniagaan kepada pelajar. Ia juga bertujuan memupuk minat dan menggembleng semangat keusahawanan seperti pengendalian operasi niaga harian, mengemaskini buku kira-kira, merancang aliran wang tunai dan sebagainya yang berkaitan perniagaan."

Demikian antara ucapan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek ketika merasmikan Majlis Pelancaran Hari Koperasi Sekolah 2013 Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan Julai lalu.

Sejarah koperasi sekolah bermula pada 1968 apabila sembilan buah sekolah dijadikan projek rintis. Ia berkembang pesat dan kini jumlahnya meningkat kepada 2,244 buah. Keahliannya berjumlah 2.1 juta orang pelajar dan berjaya mengumpulkan perolehan tahunan sebanyak RM285.2 juta.

Dalam masa sama koperasi di negara kita berjumlah 10,200 buah dengan keahlian seramai kira-kira 8 juta orang. Jumlah aset yang terkumpul ialah RM100.4 bilion dan perolehan RM31.09 bilion setahun. Sektor koperasi turut menyumbang kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) sebanyak 5% dan dijangka meningkat kepada 10% menjelang tahun 2020.

Sesungguhnya negara kita mempunyai gerakan koperasi sekolah yang tersusun. Ia diiktiraf di peringkat dunia dan sering dijadikan model rujukan. Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) telah mengiktiraf gerakan koperasi sekolah kita antara yang terbaik di dunia. Bagaimanakah peranan koperasi sekolah dalam usaha mengasah bakat usahawan dalam kalangan pelajar?

Koperasi sekolah ditubuhkan dalam lingkungan sekolah dan keahliannya terbuka kepada semua pelajar. Jawatankuasa pengurusan dipengerusikan oleh pengetua serta ahli-ahlinya terdiri daripada guru dan pelajar. Kebiasaannya pihak sekolah menyediakan bilik untuk dijadikan sebagai kedai koperasi bagi menjual pelbagai jenis peralatan kegunaan pelajar dan guru seperti alat tulis, buku, kelengkapan sekolah dan keperluan pelajar yang tinggal di asrama. Hasil kejayaannya dapat disaksikan apabila beberapa sekolah mampu menjadikan kedai koperasi mereka sama seperti sebuah mini pasar raya.

Banyak pengalaman boleh diraih oleh pelajar ketika menguruskan perniagaan di kedai koperasi. Bermula dengan menyusun atur premis, pemilihan bahan yang diperniagakan hinggalah kepada kaedah pemasaran yang digunakan. Sementara itu mereka turut mempelajari bagaimana menyediakan dokumen urus niaga seperti rekod simpanan stok dan penyata aliran wang tunai.

Dalam masa sama, Undang-Undang Kecil Koperasi mensyaratkan koperasi mengadakan mesyuarat agung tahunan. Pelajar akan mendapat pengalaman menganjur dan mengendalikan mesyuarat tersebut. Mereka dibimbing bagi menyediakan laporan tahunan dan penyata imbangan kewangan termasuk menetapkan kadar dividen kepada pemegang sahamnya. Amalan demokrasi turut dipraktikkan dengan pemilihan ahli jawatankuasa setiap kali mesyuarat agung diadakan.

Apa yang menarik koperasi sekolah turut menerapkan nilai murni dalam kalangan ahlinya seperti mengutamakan sifat amanah dan berjimat cermat. Mereka digalakkan menabung dan sedia melabur dalam perniagaan yang dijangka membawa keuntungan. Koperasi turut menggalakkan ahlinya merancang perbelanjaan dan berusaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Kementerian Pendidikan mengiktiraf kepentingan gerakan koperasi sekolah kerana peranannya berhubungkait dengan usaha merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Galakkan penubuhan koperasi amat jelas terkandung dalam surat Pekeliling Ikhtisas KP 8591 - Jld II(222) bertarikh 8 Mei 1976 dan KP(BS) 8586/303/(57) bertarikh 20 April 1989.

Bagi menyemarakkan aktiviti koperasi, Kementerian Pendidikan bekerjasama erat dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Antaranya memberi kefahaman dan pengetahuan mengenai falsafah dan peranan koperasi melalui seminar, kursus dan bengkel serta bimbingan terhadap aktiviti koperasi.

ANGKASA melalui Bahagian 4P (Pendidikan, Penerbitan, Perkhidmatan dan Penyelidikan) mempunyai hubungan terus dengan koperasi sekolah. Kini produk baru yang mendapat sambutan ialah program Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS). Aktivitinya berbentuk perkhidmatan melalui penyediaan program lawatan, pengangkutan dan penginapan. Difahamkan beberapa buah koperasi telah meraih keuntungan lumayan melalui program ini.

Sebagai pengiktirafan dan kemuncak aktiviti maka Hari Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan diadakan setiap tahun. Pada tahun ini Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar menjadi tuan rumah. Pada hari tersebut koperasi sekolah yang cemerlang akan mempamerkan kejayaan mereka. Turut dijadikan ‘show case’ ialah produk koperasi yang berjaya mencapai perolehan tahunan tertinggi atau mencecah RM 1 juta.

Usaha meningkatkan prestasi koperasi sekolah perlu dilakukan secara berterusan kerana ia boleh memberi impak besar terhadap usaha melahirkan bakal usahawan. Dalam hal ini peranan pengetua sekolah sangat penting. Sebagai pemimpin tertinggi dalam organisasi sekolah mereka sewajarnya mampu memberikan ‘sentuhan emas’ terhadap kejayaan koperasi mereka.

Peranan guru penasihat koperasi tidak kurang pentingnya. Mereka seharusnya mempunyai wawasan dan siap sedia membimbing pelajar selaras dengan falsafah dan prinsip koperasi. Sebagai cadangan untuk mengurangkan bebanan tanggung jawab maka guru penasihat semasa bertugas di koperasi hendaklah diambil kira dan dimasukkan dalam jadual waktu pengajaran mereka.

Sebagai petugas tetap di kedai koperasi maka pelajar yang terpilih perlu dari kalangan mereka yang berminat dan mempunyai bakat usahawan. Mereka juga hendaklah terdiri daripada orang yang bersifat amanah, bersedia untuk dibimbing dan sanggup meluangkan masa bertugas di kedai tersebut.

Ibu bapa boleh memainkan peranan dengan menggalakkan anak mereka bergiat aktif di kedai koperasi. Galakkan anak-anak membeli saham koperasi. Bagi mereka yang berjaya dalam bidang perniagaan boleh berkongsi pengalaman tentang selok belok bidang itu bersama guru dan pelajar.

Justeru, semua pihak perlu memberi kerjasama, sokongan dan memastikan agar koperasi sekolah terus berkembang maju. Melaluinya kita menaruh harapan tinggi bahawa koperasi sekolah mampu melahirkan ramai usahawan khususnya apabila pelajar meninggalkan bangku sekolah nanti.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Naib Presiden ANGKASA.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan