Jumaat, 13 September 2013

ISU PENDIDIKAN : Latihan semula tingkat mutu guru Bahasa Inggeris


Kuala Lumpur : Latihan semula untuk guru yang gagal mencapai tahap penguasaan kemahiran Bahasa Inggeris (BI) dianggap langkah terbaik, seiring matlamat melahirkan guru berkualiti.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lim Yoke Pheng, berkata guru yang gagal mencapai kemahiran yang diharapkan dianggap tidak bersedia untuk berkhidmat sepenuh masa, justeru latihan tambahan perlu diberikan.

Katanya, kebenaran untuk guru pelatih menamatkan pengajian tanpa kemahiran seumpama itu hanya akan menyebabkan negara dipenuhi lambakan guru tidak berkualiti.

“NUTP memang menyambut baik, dan menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenainya, kerana jika mereka (guru) dibenarkan mengajar dengan kemahiran minimum, ia akan membawa kepada kemunduran sistem pendidikan negara.

Kuasai subjek

“Untuk menjadi guru yang berkualiti, guru pelatih perlu terlebih dulu menguasai subjek yang akan diajar.

“Jika selepas tempoh yang ditetapkan mereka masih gagal menguasai kemahiran yang perlu ada, mereka tidak boleh keluar kerana itu menandakan mereka masih belum bersedia (untuk mengajar),” katanya kepada BH, semalam.

Kelmarin, Muhyiddin berkata, guru pelatih Bahasa Inggeris yang gagal mencapai tahap penguasaan kemahiran subjek itu di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) perlu mengikuti latihan semula antara enam bulan hingga setahun.

Beliau berkata, ia bagi memastikan guru Bahasa Inggeris benar-benar layak dan berkebolehan untuk mengajar, sekali gus membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa terbabit.

Kursus berkualiti

Mengulas lanjut, Loke berkata, cabaran mewujudkan sistem pendidikan berkualiti tidak hanya terletak di bahu guru, sebaliknya Kementerian Pendidikan selaku induk sektor berkenaan perlu menyediakan lebih banyak kursus berkualiti.

“Dalam hal ini, saya fikir jangan hanya salahkan guru jika sistem pendidikan menjadi tidak berkualiti.

“Kementerian Pendidikan sendiri perlu memainkan peranan. Mereka perlu menimbangkan untuk menyediakan lebih banyak kursus yang berkualiti, baru kita dapat melahirkan guru berkualiti,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan