SEORANG jiran menghantar satu
maklumat yang mengejutkan melalui WhatsApp kepada saya dengan mempersoalkan
tindakan pihak sekolah melarang murid-muridnya memakai tudung.
Setelah membaca hingga akhir,
barulah saya tahu bahawa tudung yang terlarang ialah tudung saji, tudung
periuk, tudung botol dan tudung cat.
Gurauan tadi membuatkan saya
berfikir untuk menulis isu yang berkaitan contoh di atas iaitu perluasan makna.
Perluasan makna didefinisikan
oleh Abdul Chaer dalam bukunya Linguistik Umum ialah suatu gejala yang terjadi
pada sesuatu perkataan yang pada mulanya hanya memiliki satu makna, tetapi
kemudian kerana beberapa faktor perkataan itu memiliki makna-makna yang lain.
Selain tudung, banyak lagi contoh
lain yang membuktikan konsep perluasan makna dalam bahasa Melayu.
Perkataan abang misalnya, pada
mulanya hanya digunakan untuk merujuk adik-beradik lelaki yang lebih tua tetapi
turut digunakan oleh sesetengah isteri untuk memanggil suaminya.
Hal ini demikian kerana telah
berlaku perubahan dari segi sosial budaya masyarakat. Pasangan yang dikahwinkan
atas pilihan keluarga ini malu-malu apabila berbahasa dengan pasangannya.
Jika anak sulungnya bernama
Nariza, suami dan isteri hanya memanggil “emak Nariza” atau “ayah Nariza”
kepada pasangannya.
Masyarakat tradisional Kelantan
juga lebih tebal perasaan malunya apabila hanya memanggil “emakmu” dan “ayahmu”
kepada pasangannya.
Masyarakat sekarang telah berubah
sosial dan budayanya kerana perkahwinan berlaku selepas percintaan yang agak
lama sehingga mereka tidak kekok untuk menggunakan perkataan abang bagi
memanggil suaminya walaupun pada asalnya abang hanya untuk adik-beradik yang
lebih tua.
Perkataan belayar yang pada
mulanya digunakan untuk menunjukkan perbuatan meredah lautan dengan menggunakan
kapal yang ada layar tetapi kini telah digunakan untuk sebarang perbuatan
meredah lautan tidak kira dengan menggunakan layar atau tidak.
Perkembangan teknologi
menyebabkan terciptanya pengangkutan laut yang lebih canggih untuk meredah
lautan. Istilah belayar tetap digunakan
walaupun konsepnya sudah berubah.
Contoh-contoh lain perluasan
makna ialah bapa, saudara, putera, puteri, awak, pantau, kawat, kepala, kemudi
dan sebagainya.
Kita selalu mendengar ada orang
memesan maggi goreng atau maggi rebus, tetapi mi segera yang dihidangkan tidak
semestinya berjenama Maggi.
Maggi pada asalnya digunakan
untuk mi segera berjenama Maggi tetapi kini semua mi segera difahami sebagai
maggi.
Begitu juga dengan ikan sardin
yang merujuk sejenis ikan, tetapi kini semua jenis ikan termasuk ikan mackerel
diistilahkan sebagai ikan sardin asalkan ditinkan.
Milo pula merujuk jenama sejenis
minuman susu yang ditambahkan dengan coklat dan malt.
Nama Milo diambil daripada
seorang atlet Yunani yang terkenal dengan kekuatannya iaitu Milo tetapi
kebanyakan orang mengistilahkan milo untuk semua jenis minuman susu yang
ditambahkan dengan coklat dan malt walaupun bukan daripada jenama Milo.
Ada juga dalam kalangan orang
kita yang mengistilahkan colgate untuk semua jenis ubat gigi walaupun pada
asalnya hanya digunakan untuk ubat gigi berjenama Colgate.
Perluasan makna juga berlaku
kerana perubahan tanggapan dalam masyarakat apabila mempunyai tanggapan bahawa
seseorang yang lebih tua daripada kita perlu dipanggil bapa sebagai tanda
penghormatan manakala saudara boleh digunakan kepada seseorang yang tidak
mempunyai pertalian darah kerana masyarakat percaya bahawa umat Islam itu
bersaudara.
Sebagai penutup bicara, dapatlah
dikatakan bahawa aspek penggunaan bahasa Melayu amat menarik jikalau
dibincangkan secara mendalam.
Namun pengguna bahasa Melayu
perlu berhati-hati dalam menggunakannya agar tidak melakukan kesilapan dalam
berbahasa.
Akhir kata “Cintailah Bahasa
Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan