Memaparkan catatan dengan label INFO BAHASA (PMR/SPM). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label INFO BAHASA (PMR/SPM). Papar semua catatan

Ahad, 9 Februari 2014

ISU BAHASA : Dilarang pakai tudung di sekolah?


Oleh : MUHAMMAD DAUD

SEORANG jiran menghantar satu maklumat yang mengejutkan melalui WhatsApp kepada saya dengan mempersoalkan tindakan pihak sekolah melarang murid-muridnya memakai tudung.

Setelah membaca hingga akhir, barulah saya tahu bahawa tudung yang terlarang ialah tudung saji, tudung periuk, tudung botol dan tudung cat.

Gurauan tadi membuatkan saya berfikir untuk menulis isu yang berkaitan contoh di atas iaitu perluasan makna.

Perluasan makna didefinisikan oleh Abdul Chaer dalam bukunya Linguistik Umum ialah suatu gejala yang terjadi pada sesuatu perkataan yang pada mulanya hanya memiliki satu makna, tetapi kemudian kerana beberapa faktor perkataan itu memiliki makna-makna yang lain.

Selain tudung, banyak lagi contoh lain yang membuktikan konsep perluasan makna dalam bahasa Melayu.

Perkataan abang misalnya, pada mulanya hanya digunakan untuk merujuk adik-beradik lelaki yang lebih tua tetapi turut digunakan oleh sesetengah isteri untuk memanggil suaminya.

Hal ini demikian kerana telah berlaku perubahan dari segi sosial budaya masyarakat. Pasangan yang dikahwinkan atas pilihan keluarga ini malu-malu apabila berbahasa dengan pasangannya.

Jika anak sulungnya bernama Nariza, suami dan isteri hanya memanggil “emak Nariza” atau “ayah Nariza” kepada pasangannya.

Masyarakat tradisional Kelantan juga lebih tebal perasaan malunya apabila hanya memanggil “emakmu” dan “ayahmu” kepada pasangannya.

Masyarakat sekarang telah berubah sosial dan budayanya kerana perkahwinan berlaku selepas percintaan yang agak lama sehingga mereka tidak kekok untuk menggunakan perkataan abang bagi memanggil suaminya walaupun pada asalnya abang hanya untuk adik-beradik yang lebih tua.

Perkataan belayar yang pada mulanya digunakan untuk menunjukkan perbuatan meredah lautan dengan menggunakan kapal yang ada layar tetapi kini telah digunakan untuk sebarang perbuatan meredah lautan tidak kira dengan menggunakan layar atau tidak.

Perkembangan teknologi menyebabkan terciptanya pengangkutan laut yang lebih canggih untuk meredah lautan. Istilah belayar tetap  digunakan walaupun konsepnya sudah berubah.

Contoh-contoh lain perluasan makna ialah bapa, saudara, putera, puteri, awak, pantau, kawat, kepala, kemudi dan sebagainya.

Kita selalu mendengar ada orang memesan maggi goreng atau maggi rebus, tetapi mi segera yang dihidangkan tidak semestinya berjenama Maggi.

Maggi pada asalnya digunakan untuk mi segera berjenama Maggi tetapi kini semua mi segera difahami sebagai maggi.

Begitu juga dengan ikan sardin yang merujuk sejenis ikan, tetapi kini semua jenis ikan termasuk ikan mackerel diistilahkan sebagai ikan sardin asalkan ditinkan.

Milo pula merujuk jenama sejenis minuman susu yang ditambahkan dengan coklat dan malt.

Nama Milo diambil daripada seorang atlet Yunani yang terkenal dengan kekuatannya iaitu Milo tetapi kebanyakan orang mengistilahkan milo untuk semua jenis minuman susu yang ditambahkan dengan coklat dan malt walaupun bukan daripada jenama Milo.

Ada juga dalam kalangan orang kita yang mengistilahkan colgate untuk semua jenis ubat gigi walaupun pada asalnya hanya digunakan untuk ubat gigi berjenama Colgate.

Perluasan makna juga berlaku kerana perubahan tanggapan dalam masyarakat apabila mempunyai tanggapan bahawa seseorang yang lebih tua daripada kita perlu dipanggil bapa sebagai tanda penghormatan manakala saudara boleh digunakan kepada seseorang yang tidak mempunyai pertalian darah kerana masyarakat percaya bahawa umat Islam itu bersaudara.

Sebagai penutup bicara, dapatlah dikatakan bahawa aspek penggunaan bahasa Melayu amat menarik jikalau dibincangkan secara mendalam.

Namun pengguna bahasa Melayu perlu berhati-hati dalam menggunakannya agar tidak melakukan kesilapan dalam berbahasa.

Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

Sumber  : http : //www.sinarharian.com.my/

Ahad, 8 November 2009

SENARAI NOVEL BAHARU MENGIKUT ZON 2010

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, mulai tahun 2010 pelajar-pelajar Tingkatan 1 dan 4 akan menggunakan teks antologi baharu yang terdiri daripada antologi Harga Remaja untuk Tingkatan 4 dan Kasut Kelopak Jantung untuk Tingkatan 1. Kedua-dua antologi tersebut akan menggantikan teks antologi Sehijau Warna Daun (Tingkatan 1) dan Anak Laut (Tingkatan 4) yang telah digunakan selama 10 tahun. Selain itu, mereka juga akan mengkaji novel-novel baharu mengikut zon masing-masing yang telah ditetapkan seperti berikut:


ZON 1 : NEGERI PERLIS, KEDAH, PULAU PINANG,
DAN PERAK



Novel Tingkatan 1 - Hikmah, karya Mohd. Faris Ikmal terbitan V. Nice Resources Sdn. Bhd.

Novel Tingkatan 4 - Asfa Hanani, karya Halis Azhan Mohd. Hanafiah, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.


ZON 2 : NEGERI SELANGOR, NEGERI SEMBILAN, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR & PUTRAJAYA

Novel Tingkatan 1 - Sukar Membawa Tuah, karya M.Z. Erlysha, terbitan Rindu Senja Sdn. Bhd.

Novel Tingkatan 4 - Papa...(Akhirnya Kau Tewas Jua), karya Deana Yusof, terbitan Pekan Buku Publications Sdn. Bhd.


ZON 3: NEGERI MELAKA, PAHANG, TERENGGANU, DAN KELANTAN

Novel Tingkatan 1 - Bukan Duniaku, karya Aida Shahira, terbitan Karya Hartamas Enterprise.


Novel Tingkatan 4 - Renyah, karya Gunawan Mahmood, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.






ZON 4: NEGERI JOHOR, SABAH, SARAWAK, DAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN.

Novel Tingkatan 1 - Istana Menanti, karya Abd. Latip Talib, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Novel Tingkatan 4 -
Melunas Rindu, karya Hartini Hamzah, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Sumber : http://munsyibm.blogspot.com/