Rabu, 12 Februari 2014

ISU BAHASA : Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara!


Oleh : Zaini Hassan

SEMALAM saya dan sahabat saya makan tengah hari bersama seorang tokoh ekonomi negara, Dr. Rais Saniman.

Kami bertiga sering bertemu, di tempat yang sama di sebuah restoran di Damansara. Dr. Rais ialah penggubal Dasar Ekonomi Baru (DEB) negara.

Walaupun berkahwin dengan seorang wanita Scandinavia, wanita itu lebih Melayu daripada Melayu. Isterinya sering mengadu kepada Rais “bila lagi orang Melayu mahu sedar!"

Dalam banyak hal dan pada hakikatnya, orang Melayu semakin ketinggalan dalam serba-serbi.

Tiba-tiba Dr. Rais, yang berusia sekitar 70-an tetapi masih boleh bermain golf 18 lubang, tersentak. Apa sudah jadi dengan dasar pendidikan kita?

“Jika sebaik manapun ekonomi yang kita bina untuk mengurangkan jurang ketidaksamaan (inequality), tetapi sistem pendidikan kita masih cacamarba, seorang murid ke sana, seorang ke sini - maka habislah...tiada makna dasar itu," katanya.

Lalu kawan saya itu, seorang yang hebat dalam industri minyak dan gas menyampuk “pendidikan kita sekarang ada tiga cabang iaitu Melayu, Cina dan India..."

Walaupun seantero dunia tahu sistem pendidikan kita ada tiga cabang yang bezanya antara langit dengan bumi, tapi kekecewaan di hati kawan saya itu tidak dapat dibendung.

Kawan saya itu, kalau dilihat daripada kedudukannya yang cukup mewah, sepatutnya sudah tidak peduli dengan semua itu. Tetapi dia sayangkan negara ini. Dia dilahirkan hasil dasar ekonomi baru negara.

Dr. Rais mencelah dan bercerita: "“Saya berada di sebuah hospital di Singapura bersama isteri satu hari. Tiba-tiba terdengar beberapa orang berada di belakang saya bertengkar. Mereka bertengkar dalam bahasa Jawa. Saya toleh ke belakang dan melihat beberapa orang Cina dari Indonesia."

“Saya tersenyum kerana beranggapan mereka ialah orang Jawa jati."

Rakan saya sampuk, itu adalah hasil asimilasi kaum yang berjaya membentuk Bangsa Indonesia. Saya bersetuju.

Selesai makan tengah hari saya menerima satu mesej melalui Whatsapp, ke satu link portal berita propembangkang, Malaysia Insider.

Baca (http://www.themalaysianinsider.com/mobile/malaysia/article/interfaith-forum-blames education-system-national-schools-for-racial-polari#sthash.VOKnv36B.dpuf)

Saya amat terkejut membacanya. Tajuknya dalam bahasa Inggeris berbunyi: "“Interfaith forum blames education system, national schools for racial polarisation."

Dalam bahasa Melayu bermaksud: Forum antara-agama menyalahkan sistem pendidikan, sekolah kebangsaan punca jurang antara kaum.

Saya termenung seketika. Termenung kerana pihak-pihak itu tidak habis-habis mahu menyalahkan pihak arus perdana. Namun, saya bersetuju juga bahawa memang wujud polarisasi kaum, tapi siapa puncanya?

Sebelum saya ulas tulisan itu, biar saya petik dan terjemah apa yang ditulis. Forum itu diadakan di Kuala Lumpur bersempena Minggu Harmoni Antara-Agama Sedunia pada 6 Februari lalu.

Petikan daripada Malaysia Insider:

Sekolah-sekolah kebangsaan adalah pusat pembiakan (breeding ground) polarisasi kaum (jurang antara-kaum) dan sistem pelajaran adalah punca kepada masalah di negara ini sekarang.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pelajaran (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata kepada hadirin di forum bertajuk “Dialog untuk harmoni", semuanya adalah kerana wujudnya ketuanan Melayu di sekolah-sekolah sekarang.

PAGE adalah antara 40 pertubuhan awam dan NGO yang hadir di forum anjuran Global Movement of Moderates (GMM) dan Promotion of Human Rights (Proham).

“Satu-satunya penyelesaian ialah mengembalikan semula kegemilangan sekolah kebangsaan, iaitu kita perlu lebih banyak matapelajaran Inggeris, sekolah kebangsaan sekarang ialah sekolah Melayu dan tidak lebih daripada itu," kata Noor Azimah.

Dia berkata, beberapa kumpulan Islam yang dibiayai oleh Putrajaya juga menyumbang kepada masalah.

Pengarah Eksekutif Sisters in Islam, Rayna Osman juga berkata, dia terkejut mendengar seorang ustazah memberitahu murid-muridnya mereka tidak boleh berkawan dengan bukan Islam kerana “mereka bukan macam kita, kerana kita adalah umat yang hebat".

“Saya merasa mual kerana ia bukan pelajaran yang saya terima 30 tahun dahulu," kata Rayna.

Ulasan saya: Saya bersetuju dengan semua itu. Tetapi jika mahu disalahkan sekolah kebangsaan sebagai breeding ground atau tempat pembiakan kepada masalah antara-kaum, ia tidak boleh diterima juga.

Malaysia adalah satu-satu negara di dunia yang fana ini mempunyai tiga sistem pelajaran yang berjalan secara serentak. Itu tidak kira lagi kepada sistem Inggeris di sekolah-sekolah swasta.

Di Indonesia, hanya satu sistem pendidikan nasional, begitu juga di Singapura, Thailand, Filipina, China, India dan tidak perlu disebutlah di Amerika Syarikat, United Kingdom atau di Eropah.

Saya mahu bertanya dengan Datin Noor Azimah itu mengapa beliau tidak membangkitkan soal ini? Saya tidak pasti adakah editor Malaysia Insider telah membuat self-censorship (suntingan) dalam bab ini, tetapi sepatutnya itulah masalahnya.

Sekolah kebangsaan wajib menjadi sebagai sistem pendidikan nasional yang mutlak dan tunggal, jika kita mahu melihat wujud 1Malaysia atau 1Bangsa Malaysia yang sebenar.

Sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 diumumkan, saya berdoa supaya dasar itu akan menyebabkan sistem pelajaran kita menjadi tunggal.

Namun, apabila ia diumumkan saya cukup sedih. Sebaliknya sistem sekolah vernakular Cina dan Tamil akan terus kekal “selagi ada bulan dan bintang".

Saya merasakan selagi ada aliran-aliran vernakular itu maka polarisasi kaum akan terus kekal sehingga pasca 2025.

Kita memerlukan satu atau dua generasi untuk melahirkan 1Bangsa Malaysia ala Indonesia atau Thailand mahupun Amerika Syarikat.

Kepada Datin Noor Azimah, tidak banggakah kita apabila Jepun, dengan penduduk satu bangsanya, amat berjaya menggunakan bahasa Jepunnya dalam memajukan teknologi dan industrialisasinya. Begitu juga kepesatan negara China sekarang yang hanya bertutur dalam bahasa mereka.

Kita kagum menggunakan kereta VW, Audi, Mercedes-Benz, BMW dan Porsche buatan Jerman yang amat bangga dengan bahasa Jermannya. Atau rakyat Perancis yang bercakap Perancis berjaya mengeluarkan pesawat Airbus, dan kereta-kereta Bugatti, Citroën, Renault, Peugeot?

Semua pihak setuju bahawa bahasa itu adalah alat penyatuan kaum. Bahasa Jiwa Bangsa.

Jika melihatkan apa yang berlaku di negara kita sekarang, masanya untuk merapatkan jurang polarisasi itu amat-amat jauh lagi.

Oleh itu, semua rakyat Malaysia wajib bersetuju dengan kempen : Satu Sekolah Untuk Semua. Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara!

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan