Isnin, 10 Februari 2014

ISU SUKAN : Budaya samseng boleh merebak


Oleh : FERZALFIE FAUZI dan NOR AZAN FITRI

KUALA LUMPUR - Samseng sudah lama mencemari bola sepak di Eropah dan ia mampu merosakkan bola sepak di Malaysia andai budaya liar itu tidak segera dibendung.

Biarpun masalah tersebut hanya timbul sejak akhir-akhir ini, namun ia kian membimbangkan kerana semakin menular, malah bagi beberapa pasukan sudah wujud satu kumpulan penyokong yang dilihat cukup ekstrem.

Namun dalam keghairahan untuk membenteras budaya buruk ini, pihak berkuasa harus berhati-hati dalam menilai penyokong bagaimana yang sebenarnya mencetus masalah.

Adakah Ultras dan samseng bola sepak sama? Jawapannya tidak, biarpun ramai tersalah tafsir dengan menganggap golongan Ultras sebagai pencetus keganasan sedang hakikatnya mereka hanya penyokong tegar pasukan masing-masing.

Samseng bola sepak atau hooligan merupakan kumpulan penyokong ekstrem pasukan bola sepak yang berpaksi kepada keganasan.

Di Eropah, kewujudan kumpulan ini bukan sekadar menyokong pasukan mereka, malah mencetus provokasi kepada pasukan lawan.

Kumpulan penyokong ekstrem ini cenderung melakukan keganasan serta kerosakan, dan golongan inilah yang digelar samseng.

Di Malaysia, Ultras sudah lama wujud, tetapi mereka cuma kumpulan penyokong yang amat berdedikasi untuk memberi semangat kepada pasukan masing-masing.

Begitupun sejak akhir-akhir ini wujud kumpulan penyokong baharu yang jauh lebih ekstrem dengan matlamat mereka cuma mahu mencetus provokasi.

Ini budaya Eropah yang sudah mula 'ditiru' peminat Malaysia, sama ada untuk tujuan keseronokan atau mendapatkan kepuasan.

Apa pun matlamat mereka, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pihak berkuasa harus mengambil pendekatan serius jika tidak mahu peminat biasa menghindari stadium.

Di England, budaya samseng bola sepak ini meningkat naik pada penghujung 1960-an dan awal 1970-an dengan kebanyakan mereka terdiri daripada golongan pekerja kelas bawahan.

Terdapat juga beberapa pasukan bola sepak ditubuhkan oleh golongan pekerja seperti West Ham (pekerja kilang besi), Sheffield United (pekerja kilang pembuat pisau) dan Manchester United (pekerja pembinaan landasan kereta api).

Maka kumpulan samseng bola sepak ini berkongsi pengalaman sosial yang hampir sama dan bersatu atas dasar kemiskinan yang dihadapi selain semangat untuk menyokong pasukan mereka.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan