Selasa, 8 April 2014

ISU BAHASA : Laras bahasa bantu rungkai punca tragedi MH370


Oleh : Profesor Teo Kok Seong

Penerbangan MH370 yang sepatutnya ke Beijing dan kini dianggap hilang di Lautan Hindi, bukan sahaja tersasar jauh, tetapi menimbulkan pelbagai soalan. Mudahan-mudahan semuanya terjawab dengan sejelas-jelasnya apabila perakam kedua-dua data penerbangan dan suara kokpit, yang lebih dikenali sebagai kotak hitam, ditemui kelak.

Kotak hitam didapati berjaya merungkai kebanyakan punca nahas pesawat yang telah berlaku setakat ini. Dari perakam data penerbangan, segala maklumat mengenai sesuatu penerbangan itu dapat diketahui. Ini termasuk prestasi dari segenap fungsi, selain keupayaan enjin.

Daripada perakam suara kokpit pula, segala percakapan sepanjang penerbangan, khususnya oleh mereka yang berada di dalam kokpit dengan pihak menara kawalan udara dan sesama mereka dapat diketahui. Bukan itu sahaja, segala bunyi di sekitar kokpit, termasuk bunyi enjin, amaran dan kecemasan turut dirakamkan.

Semua rakaman ini berlaku secara automatik sebaik sahaja enjin pesawat dihidupkan dan berakhir apabila ia dimatikan. Seperkara yang penting tentang kotak hitam ini ialah ia tidak boleh dimanipulasi sembarangan, sama ada secara manual atau sebaliknya.

Ini antaranya kerana ia tidak memiliki suis. Dengan itu, ia sentiasa dalam keadaan sulut. Ia juga dipasang dengan kuat dalam kalangan beberapa buah komputer di bahagian ekor pesawat.

Analisis rakaman suara

Pengajian bahasa atau linguistik sering juga dirujuk untuk menyelesaikan punca nahas pesawat. Ini dilakukan dengan menganalisis rakaman suara kokpit dari pelbagai aspek bahasa. Antaranya penyebutan, pembinaan ayat dan prinsip perbualan.

Justeru, percakapan pada perakam suara kokpit didengar berkali-kali untuk mengenal pasti tahap kewaspadaan dan kecekapan juruterbang dari sudut kebahasaan. Ini dilakukan pada setiap masa atau segmen tertentu sepanjang sesuatu penerbangan itu.

Didapati kebanyakan percakapan ketika penerbangan berlaku pada awal perjalanan, yakni di darat ketika menanti untuk berlepas dan dalam proses pelepasan ke udara.

Perkara yang sama berlaku ketika proses pendaratan dan di darat sebelum pesawat betul-betul berhenti.

Bentuk bahasa penerbangan didapati istimewa sifatnya. Ia bersifat amat ritual, yakni perlu mengikuti pola bahasa tertentu dengan ketat. Ini penting untuk kepastian makna mesej yang diterima dan identifikasi yang perlu dilakukan, seperti yang dimohon menara kawalan.

Bahasa penerbangan ada gaya tersendiri

Semua ini bukan sahaja penting agar segala apa yang diperkata itu difahami dengan jelas. Ia juga mementingkan penggunaan laras bahasa penerbangan, khususnya ketika komunikasi antara juruterbang dengan menara kawalan. Laras ini ada gaya tersendiri yang disarati oleh istilah penerbangan.

Sehubungan ini, percakapan dalam kokpit dianalisis untuk melihat tahap pematuhan kepada penggunaan laras bahasa ini. Sebarang penyelewengan yang berlaku diselidiki. Ia bukan norma wacana yang digunakan.

Selain itu, gangguan pada cara berbahasa juruterbang, yang kadangkala tercermin pada kesalahan pelik pada ayat digunakan, bunyi yang disebut, prinsip perbualan yang tidak dipatuhi, ikut diselidiki.

Pendekatan analisis linguistik begini mempercayai bahasa adalah perkara pertama yang terkesan, apabila manusia menghadapi tekanan, baik yang bersifat mental, misalnya ketika diugut, mahupun sebaliknya, misalnya dipengaruhi bahan beracun seperti gas.

Dalam keadaan begini, kebolehan seseorang itu membina ayat yang gramatis menjadi terhad dan kadangkala hilang langsung. Selain itu, topik yang diperkatakan yang tidak selalunya dibicarakan dalam konteks komunikasi juruterbang dengan pihak di darat, adalah ranah lain yang diselidiki.

Tahap kompleks ayat juruterbang adalah ukuran lain yang penting dalam hal ini. Sehubungan ini, didapati kebolehan juruterbang menghasilkan ayat yang strukturnya kompleks adalah terhad atau terjejas sekiranya beliau berada dalam keadaan tertekan.

Penyebutan adalah aspek analisis lain yang amat penting. Dalam hal ini, penyebutan bunyi bahasa yang sukar dilafazkan walaupun dalam keadaan tidak tertekan, akan menjadi lebih susah penyebutannya atau gagal disebutkan langsung, dalam keadaan begini.

Kekerapan penggunaan bentuk bahasa yang menandakan keraguan, misalnya aa, er dan um akibat keadaan tertekan, adalah petunjuk penting lain dalam analisis sebegini.

Dalam usaha merungkai tragedi MH370, pengajian bahasa dengan penerapan beberapa disiplin di dalamnya, melalui pendekatan dan kaedah tertentu, boleh diikut sertakan jika didapati perlu.

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan