BUTTERWORTH - Projek perintis transformasi tingkatan enam iaitu penjenamaan semula pendidikan tingkatan enam akan dilaksana dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan.
Katanya selain memperkasa
tingkatan enam, transformasi itu juga bertujuan memberi pilihan kepada lepasan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meneruskan pengajian di sekolah sebelum ke
institusi pengajian tinggi (IPT).
"Kementerian telah mengenal
pasti sekolah yang akan diperkenalkan dengan projek perintis ini. Selain itu kita juga adakan
pelbagai program bagi membantu pelajar membuat
pilihan tepat demi masa depan mereka," katanya kepada pemberita
selepas menyampaikan taklimat
matrikulasi yang diadakan sempena program 'Jom Masuk U' di sini hari ini.
Projek perintis transformasi
tingkatan enam itu diumum oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri
Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pertengahan 2012.
Selain dipisahkan daripada
sekolah menengah sedia ada, pelajar tingkatan enam juga akan dididik oleh
golongan guru yang berbeza dan ini selaras dengan sistem pendidikan prauniversiti lain seperti di
kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.
Kamalanathan berkata pada tahun
ini sebanyak 28,000 tempat ditawarkan untuk program matrikulasi dan jumlah
pemohon pula ialah 109,000 orang.
"Setiap tahun memang ada
peningkatan, kita berharap bagi pelajar yang tidak berpeluang mengikuti
pengajian matrikulasi boleh meneruskan pendidikan mereka di tingkatan enam. Ini
juga satu pilihan yang baik sebelum melanjutkan pengajian ke IPT,"
katanya.
Sementara itu beliau berkata
sebanyak 1,500 tempat ditawarkan kepada pelajar kaum India yang berminat untuk
mengikuti pengajian peringkat matrikulasi, program yang dimulakan sejak 2012. -
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan