Ahad, 25 September 2016

ISU BAHASA : Bahasa Melayu selepas 
59 tahun merdeka

Oleh : DR AMINUDDIN MANSOR (AMIMASRA@GMAIL.COM.)

ISU bahasa iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar seterusnya bahasa ilmu tidak pernah habis dan tiada titik noktah dalam perjuangannya. Para pejuang bahasa, pemimpin politik dan rakyat yang menjadi pendesak dan penggerak seharusnya sama-sama berusaha mendaulatkan bahasa Melayu.

Mendaulatkan bahasa kebangsaan mestilah dipraktikkan di sekolah, di peringkat universiti dan juga dalam kalangan pemimpin politik. Rakyat sangat mengharapkan pemimpin politik menjadi teladan dan orang pertama dalam usaha memperjuangkan kedaulatan bahasa ini dalam mengisi 60 tahun negara merdeka. Pengisian ini penting bagi menuju ke arah kebersatuan rasa dan cinta terhadap bahasa Melayu.

Rakyat tidak mahu lagi ada wakil rakyat yang tidak lancar berbahasa Melayu. Malunya kita kepada pendatang asing yang beberapa bulan sahaja datang ke negara ini sudah fasih dan lancar berbahasa Melayu. Mereka berasa bangga dapat menguasai bahasa Melayu.

Justeru, para pejuang bahasa kebangsaan mesti berusaha mendaulatkan Bahasa Kebangsaan supaya tidak hanya bertindak sebagai kumpulan pendesak semata-semata seharusnya memikirkan bersama khususnya melalui badan penulis dan tindakan pejuang bahasa dan pencinta bahasa.

Usaha menyemarakkan dan mendaulatkan bahasa perlu dilakukan setiap masa di mana sahaja melalui percakapan, penulisan dan sebagainya. Asas yang baik pendidikan bahasa ini mestilah bermula di peringkat sekolah rendah dan menengah. Berikan pendidikan, kefahaman dan kecintaan kepada murid agar mencintai dan menghayati keindahan bahasa Melayu.

Sebaliknya, golongan ini perlu bersama-sama kerajaan dan masyarakat untuk memupuk sikap positif rakyat terhadap bahasa Melayu. Justeru, para pejuang bahasa perlu sentiasa turun padang, berada di tengah-tengah masyarakat dan menjadi penggerak, memberi kesedaran kepada rakyat pelbagai kaum untuk membina keyakinan mereka terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu , bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi yang penting.

Justeru, usaha ini harus digerakkan bermula pada masa sekarang demi kelangsungan dan kedaulatan bahasa Melayu pada masa akan datang. Usaha mengajak rakyat sama-sama mendaulat bahasa Melayu perlu dilakukan pada setiap masa, bukan bermusim.

Pada masa ini, satu-satunya pilihan yang ada adalah dengan mempelajari bahasa asing untuk menguasai ilmu dalam bahasa itu dan pada masa sama rakyat atau penutur bahasa perlu memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan mengharung era globalisasi.

Bagi mencapai hasrat ini, rakyat mesti yakin dan rasa bangga terhadap bahasa Melayu, jika tidak kita tidak mungkin mampu pergi jauh dalam memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, dan bahasa saintifik dan menjadikannya sebagai salah satu bahasa terpenting di dunia. Kini, bahasa Melayu telah digunakan dalam kalangan lebih daripada 300 juta umat manusia yang terdapat di seluruh dunia. Oleh itu, pemantapan dan kemajuannya mestilah bermula di Malaysia.

Usaha memupuk sikap positif rakyat dan keyakinan terhadap bahasa Melayu ini perlu dilakukan oleh badan-badan penulis di setiap negeri, penubuhan badan penggerak bahasa Melayu di peringkat daerah dan juga negeri dengan mengadakan pelbagai acara seperti ceramah, syarahan, pidato, kempen membaca, pembacaan sajak dan juga kursus mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Di samping itu, guru dan pensyarah berperanan memupuk sikap positif dalam kalangan pelajar di sekolah rendah, menengah dan universiti dengan pelbagai aktiviti berkaitan bahasa dan sastera yang dapat memupuk sikap positif terhadap bahasa Melayu dalam kalangan mereka. Usaha “melentur buluh biarlah dari rebungnya” seharusnya dilakukan sekarang di peringkat sekolah dengan penggunaan bahasa yang betul tepat dan berkesan.

Seterusnya, pihak Majlis Perbandaran dan Dewan Bandaraya mestilah mewujudkan unit bahasa Melayu yang mempunyai kuasa tertentu bagi memantau iklan dan papan tanda yang menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan tepat,

Contohnya, di Kelantan, tulisan jawi dimartabatkan dan kebanyakannya ditulis di atas tulisan bahasa lain pada setiap papan iklan yang boleh dilakukan di negeri-negeri lain.

Penerbitan buku-buku dalam bahasa Melayu bukan sahaja di peringkat universiti malah perlu menggalakkan orang ramai menulis buku dalam bahasa Melayu dengan memberi insentif dan galakan yang memberangsangkan. Melalui penerbitan buku sastera, bahasa dan budaya yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan terus memertabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang indah, berilmu dan maju.

http://www.utusan.com.my/(25 September 2016)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan