Ahad, 25 September 2016

ISU SAINS & TEKNOLOGI : Peranan ibu bapa kawal anak-anak guna Internet


Oleh : KOH ABDULLAH 
 
Keadaan di dalam rumah senyap-sunyi, ibu bapa masing-masing baru sahaja pulang dari pejabat. Di meja makan, anak lelaki 16 tahun sibuk dengan laptop, mungkin melayari Faceook atau Instagram. Sementara adik perempuannya yang berusia 10 tahun sedang leka dengan tabletnya di ruang tamu.

Ibu bapa berfikir mungkin anak-anaknya sibuk membuat carian di Internet berkaitan kerja sekolah atau leka dengan permainan di tabletnya.

Apa pun, senario ini melegakan ibu bapa kerana anak mereka ada di dalam rumah dan dalam keadaan selamat. Ibu bapa yang beranggapan begini diharap berfikir semula!

Memang tidak dapat dinafikan Internet memberi banyak manfaat kepada manusia. Mereka boleh mengakses sebanyak mungkin maklumat, kebudayaan, komunikasi serta hiburan. Peluang ini sudah tentu menggalakkan daya kreativiti dan melahirkan peluang dalam setiap sudut kehidupan.

Malangnya, Internet juga mempunyai keburukan kerana mengandungi ancaman terutamanya kepada golongan kanak-kanak dan remaja. Membuli siber, pornografi, keganasan, penderaan perkauman dan penipuan kini adalah ancaman serius bagi mereka yang melayari Internet. Dalam konteks ini, peranan ibu bapa sangat penting dalam memantau dan membimbing anak-anak tentang penggunaan Internet.

Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mohd. Mustaffa Fazil Mohd. Abdan berkata, bagi mereka yang mementingkan nilai kesopanan dan adab menjaga kehormatan, kandungan lucah boleh menimbulkan rasa jijik lantaran gambaran memberahikan yang bertentangan dengan hukum agama serta norma masyarakat Timur.

CMCF ialah sebuah badan pengawal selia kendiri yang didaftar oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambah Mohd. Mustaffa Fazil, kandungan lucah sebenarnya mendatangkan pengaruh negatif dan merosakkan pemikiran masyarakat terutamanya generasi muda.

Justeru, ibu bapa perlu sedar risiko-risiko ini dan selalu perhatikan anak mereka sewaktu mereka dalam talian.

Kawalan Kendiri

Tegas beliau, penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak kecil atau pelajar tidak patut disekat, tetapi mereka perlu dibimbing untuk menggunakannya ke arah kebaikan.

“Oleh itu, kawalan kendiri sebenarnya bermula di rumah yang memerlukan pembabitan ibu bapa secara langsung dalam memantau aktiviti pelayaran Internet anak-anak.

“Sebagai contoh, ibu bapa perlu membeli perisian yang boleh menyekat anak-anak daripada menonton atau melihat kandungan lucah yang banyak terdapat di pasaran. Jangan sesekali membiarkan mereka melayari Internet sendirian. Walaupun sedikit kawalan kendiri dapat diamalkan, ia mampu memberi kesan besar dalam kehidupan anak-anak,” tuturnya yang melahirkan harapan terhadap ibu bapa agar tidak memandang remeh tentang perkara ini.

Kawalan kendiri membolehkan orang awam memilih dan menentukan sama ada kandungan itu baik ataupun tidak. Oleh itu, keputusan seseorang itu tidak bergantung pada pandangan orang lain mahupun dipengaruhi persekitaran.

Pada masa sama, ibu bapa perlu mengambil tahu mengenai aktiviti alam siber anak-anak memandangkan di peringkat sekolah rendah lagi mereka sudah mempunyai akses kepada media sosial.

Menurut beliau, ibu bapa perlu mengenal pasti kandungan baik dan tidak baik. Kandungan positif boleh ditakrifkan sebagai kandungan yang dapat memberikan maklumat, pendidikan, inspirasi positif dan lain-lain kepada penonton atau pembaca. Kandungan negatif boleh ditakrifkan sebagai kandungan yang boleh mengancam, memperdaya, menipu atau membawa kemudaratan termasuk bersifat lucah, dipenuhi bahasa kurang sopan, bersifat ganas, dipenuhi maklumat palsu, berisiko bagi kanak-kanak, mengancam dan bersifat memfitnah.

“Ini penting tertutamanya mengawal isu pedofilia misalnya, kerana golongan ini menggunakan ruang siber untuk mencari mangsa.

“Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil tahu tentang aktiviti anak-anak dalam ruang siber. Semuanya ini bertujuan untuk memastikan setiap aktiviti ruang maya anak-anak ialah bersih daripada sebarang aktiviti yang mengandungi bahan-bahan lucah, seks dan keganasan.

Tip keselamatan

Dalam pada itu, ibu bapa perlu tahu tip keselamatan agar anak-anak mereka selamat daripada ancaman keselamatan Internet dan media sosial.

“Mereka perlu bercakap dengan anak-anak tentang apa yang mereka lakukan di Internet. Ibu bapa juga perlu berbincang dengan anak-anak tentang risiko di Internet .

“Pada hari ini, kebanyakan ibu bapa diakui sibuk dengan kerjaya tetapi mereka juga perlu meluangkan masa libatkan diri dalam aktiviti dalam talian anak-anak. Dengan itu, mereka dapat membimbing anak-anak semasa menggunakan Internet ,” jelasnya.

Selain itu, ibu bapa juga perlu membaca terma dan syarat-syarat bersama anak-anak sebelum mereka mereka memasuki sebarang laman web dan bincangkan langkah-langkah keselamatan bersama-sama.

Sebagai ibu bapa atau penjaga, mereka juga perlu menetapkan beberapa peraturan asas dan memantau penggunaan Internet dan gajet anak mereka bagi memastikan peraturan dihormati. Walaupun keperluan gajet seiring dengan pembangunan teknologi global dan anak-anak dilihat perlu melaluinya, ibu bapa perlu mendidik mereka menggunakan Internet dengan bertanggungjawab.

“Ibu bapa juga perlu periksa dan pantau anak-anak di dalam talian. Bagi memastikan langkah-langkah keselamatan ini dilaksanakan dengan cekap, ibu bapa perlu sentiasa mempertingkatkan pengetahuan tentang isu-isu semasa berkaitan dengan keselamatan Internet,” katanya.

Tidak ketinggalan, ibu bapa perlu mengawal tabiat oversharing anak-anak di Internet. Jangan biarkan mereka mendedahkan butiran peribadi di Internet. Bagi memudahkan ibu bapa melihat aktiviti anak-anak mereka, pastikan komputer diletakkan di ruang terbuka di dalam rumah, dan bukannya di dalam bilik tidur anak-anak.

Tambah beliau, kini seawal usia tujuh tahun anak-anak sudah mempunyai akaun Facebook misalnya, jadi periksa identiti mereka yang meminta untuk menjadi rakan anak anda dan ingatkan mereka jangan terima orang yang tidak kenali sebagai rakan .

Sekiranya sebarang penyalahgunaan dikesan, lapor kepada pihak moderator laman web.

“Teknologi kini berkembang pesat pada kadar yang terlalu pantas. Di sebalik kelangsungan proses ini, pasti ada bahaya yang menanti. Justeru, CMCF mahu mendidik orang ramai tentang kepentingan mengamalkan kawalan kendiri dalam mengakses kandungan multimedia.

“Pada waktu dahulu, kandungan disiarkan hanya melalui radio atau televisyen, tetapi sekarang terdapat pelbagai cara penyampaian pesanan dan kandungan. Kami di CMCF menggesa semua pengguna multimedia supaya berwaspada apabila mengakses sesuatu kandungan multimedia,” jelasnya.

Tambah beliau, dalam usaha untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai kewujudan Kod Kandungan, CMCF telah melaksanakan pelbagai program.

Antaranya untuk menjadikan Kod Kandungan lebih mudah difahami, CMCF telah menerbitkan naskah Kod tersebut dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil dan boleh dimuat turun di www.cmcf.my.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CMCF di talian bebas tol 1-800-88- CMCF (2623) atau e-mel secretariat@cmcf.my atau layari www.cmcf.my

Sumber : http://www.utusan.com.my/(25 September 2016)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan