Khamis, 9 Julai 2009

Hanya sifat tawaduk mampu kikis sombong, takbur

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


MEMBANTU mereka dalam kesusahan antara sifat insan yang rendah hati, berbudi bahasa dengan manusia seluruhnya. - Gambar hiasan

Umat Islam dituntut tingkat ketakwaan, semangat silaturahim sesama manusia

SESIAPA saja yang jujur kepada petunjuk agama dan reda dengan panduan kehidupan sebagai seorang Muslim pasti tidak sanggup bersikap takbur serta membesarkan diri hanya supaya dipandang tinggi oleh orang lain.

Akhlak mulia bukan dinilai dengan wang ringgit dan harta berbukit tetapi sifat insan yang rendah hati, berbudi bahasa apabila bermuamalat dengan Allah serta manusia seluruhnya.

Tidak dinafikan, hari ini pangkat dan rupa menjadi taruhan walaupun bukan dalam segenap bidang, tetapi ilmu dan takwa jugalah yang berpanjangan dan kekal bertahan. Walau tidak dapat dinilai dengan mata kasar, penangan ilmu dan manfaatnya kepada orang lain tinggi nilainya, sehingga mampu mencelikkan hati yang buta dengan kejahilan serta kesesatan.


Justeru, takbur dengan habuan dunia yang sekelumit cuma berbanding ganjaran kekal di akhirat kelak bagaikan perbandingan antara air dan api, yang terlalu jauh bezanya.


Kecantikan, harta benda, nasab dan kedudukan tinggi ketika di dunia yang menjadikan seseorang itu takbur dan berbangga dengan harapan dipuja serta dipuji oleh orang lain akan menghalang pelakunya merasai kenikmatan hidup di akhirat yang kekal abadi.

Sebaliknya, jika kelebihan direzekikan Allah dimanfaatkan untuk orang lain serta menjadikannya insaf seterusnya menghambakan dirinya kepada pemiliknya yang asal, habuan diterima adalah bonus yang mempunyai kiraan di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Negeri akhirat itu kami jadikan untuk orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di muka bumi dan (kesudahan yang baik) itu adalah bagi orang bertakwa." (Surah al-Qasas, ayat 83)

Peringatan Allah itu mengingatkan kita bahawa seolah-olah tiada kehidupan yang baik buat orang sombong dan takbur di akhirat kelak, melainkan hamba-Nya yang bertakwa saja. Orang sombong tidak disukai Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia kerana sombong dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri." (Surah Luqman, ayat 18)

Dengan menghayati sunnah Rasulullah SAW juga kita akan cepat menyedari Baginda sangat menitikberatkan hubungan baik sesama insan, hormat menghormati serta tidak sombong, walaupun apabila berdepan dengan musuh.

Bahkan sifat pemaaf Baginda SAW sepatutnya menjadi perangsang untuk membina silaturahim dengan sesiapa saja walaupun dengan orang yang sudah menzalimi kita jika ia kembali kepada Allah dan Rasul-Nya.

Apa yang ditonjolkan Rasulullah SAW kepada sahabat dan umat Islam seluruhnya melalui sirah dan kisah sahabat yang disampaikan kepada kita hingga kini adalah demi menjaga umat Baginda supaya tidak menghuni neraka.

Diriwayatkan daripada Harithah bin Wahab, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah aku khabarkan kepadamu sikap penghuni neraka, orang yang berperangai kasar, mendabik dada saat berjalan lantaran sombong." (Muttafaq 'alaih)

Orang yang takbur bukan saja menolak kebenaran kerana dunia tetapi juga meremehkan orang lain untuk meninggikan dirinya dan inilah yang dikatakan mendabik dada saat berjalan lantaran sombong.

Hadis sahih riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang ada dalam hatinya seberat biji sawi dari kesombongan. Maka seorang lelaki bertanya: Sesungguhnya seseorang menyukai pakaiannya yang bagus dan seliparnya yang elok. Nabi menjawab: Sesungguhnya Allah Maha Indah dan menyukai keindahan, sombong itu menolak kebenaran dan meremehkan manusia."

Seperti orang yang sombong menghina orang lain di dunia begitulah juga di akhirat kelak apabila mereka turut mendapat kehinaan Allah seperti yang dijanjikan. Allah tidak akan memandang mereka, berbicara dengan mereka atau menyucikan mereka dan inilah kehinaan yang sebenar-benar hina.

Orang yang takbur dengan habuan dunia lupa bahawa sombong adalah pakaian Allah, iaitu hak uluhiyah-Nya yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa seperti dinyatakan dalam hadis diriwayatkan Muslim yang bermaksud: "Perkasa adalah kain sarung-Ku dan sombong ialah pakaian-Ku, barang siapa menandingi Aku daripada salah satu dari keduanya, nescaya Aku akan menyeksanya."

Bukan mudah mencabut akar umbi kesombongan yang sudah berselirat dalam diri. Kerana itulah orang bersifat tawaduk cuba untuk menghambakan diri serendah-rendahnya kepada Ilahi untuk menjauhi sikap takbur dan riak.

Hubungan baik sesama manusia juga bertitik tolak daripada hubungan baik dengan Allah. Justeru, orang yang tinggi sifat kehambaannya akan merendah hati apabila bermuamalah sesama makhluk.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis diriwayatkan Muslim yang bermaksud: "Tidak ada seorang pun yang bertawaduk kerana Allah kecuali Allah akan meninggikan darjatnya."

Sesiapa yang membuka lebaran sirah Rasulullah SAW pasti akan mengetahui keperibadian Baginda yang agung yang menjadi teladan kepada seluruh umat manusia apabila berurusan dengan Tuhan dan manusia.

Usahkan sombong dengan yang Maha Pencipta, Rasulullah SAW juga tidak sombong dengan isteri-isteri, sahabat, pemimpin pada masa Baginda bergelar ketua negara, rakyat jelata, hatta fakir miskin pun Baginda hormati.

Inilah akhlak yang Baginda pertahankan sesuai dengan pesanan Allah yang dirakamkan dalam wahyu Ilahi kepada Baginda. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku supaya kalian merendah hati, hingga tidak ada orang yang berasa lebih tinggi daripada yang lain dan tidak ada orang yang berbuat zalim kepada yang lainnya."

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Cabaran melahirkan insan yang cemerlang


KOMITMEN serta sokongan padu warga kerja adalah antara penyumbang kepada kejayaan melahirkan sumber manusia yang cemerlang.


ORGANISASI yang cemerlang bergantung kepada kecemerlangan individu di dalamnya. Pengurusan sumber manusia merupakan istilah yang diguna pakai bagi mendefinisikan pendekatan strategik dan koheren dalam mengurus aset bernilai dan penting organisasi iaitu modal insan. Umumnya, modal insan bertindak secara individu atau berkumpulan dalam menyumbang kepada pencapaian visi, misi serta objektif sesebuah organisasi.

Memandangkan ciri-ciri sumber manusia yang kompleks, dinamik dan sukar dikawal menyebabkan pengurusan sumber manusia menjadi satu seni yang bukan sahaja subjektif tetapi amat mencabar. Dalam mendefinisikan pengurus sumber manusia, ia diklasifikasikan sebagai individu atau sekumpulan individu yang dipertanggungjawabkan secara total dalam semua urusan berkaitan dengan sumber manusia sesebuah organisasi. Bagi melahirkan pekerja yang cemerlang dalam sektor awam, ciri-ciri Budaya Kerja Kelas Pertama perlu disuburkan dalam jiwa dan sanubari setiap penjawat tersebut.

Budaya Kerja Kelas Pertama merupakan asas penting dalam melahirkan pekerja cemerlang dan ia didefinisikan sebagai amalan terbaik dan terpuji yang melangkaui kebiasaan. Ia merangkumi aspek pemikiran, pengurusan perasaan dan dimanifestasikan melalui perlakuan, tindakan dan cara bekerja yang penuh berintegriti serta dapat memuaskan harapan semua pihak bagi menjadikan diri, masyarakat dan negara ke arah lebih maju. Pembangunan sumber manusia perlu digilap kerana ia merupakan elemen penting dalam memastikan negara terus berdaya saing dan berdaya tahan, lebih-lebih lagi dalam ekonomi sejagat yang berlandaskan pengetahuan serta bertunjangkan sains dan teknologi". (Ucapan Bajet 2007, YAB Perdana Menteri Malaysia, 30 September 2005).

Ciri-ciri pekerja cemerlang yang disimpulkan dengan akronim PERDANA merangkumi aspek-aspek berikut:

- Pantas dan Positif – Berhasrat untuk melakukan sesuatu dengan lebih cepat dan responsif serta sentiasa memikirkan langkah-langkah memaju dan mempertingkatkan kualiti diri sendiri, perkhidmatan dan organisasi.

- Empati – Berkebolehan memahami bagaimana orang lain melihat serta merasa terhadap sesuatu perkara serta berupaya menghayati kehendak orang lain secara komprehensif.

- Relevan – Memastikan supaya tindakan dan perkhidmatan yang diberikan sentiasa diperbaharui serta memupuk minda mencipta dan penambahbaikan supaya sesuai dengan perubahan semasa.

-Daya Saing – Mempunyai kelebihan dan keunikan tertentu dalam menyampaikan perkhidmatan agar sentiasa diingati, dihargai dan mampu bersaing sehingga bertaraf dunia.

- Amanah, Adil dan Integriti – Melaksanakan tugas dengan penuh amanah, adil dan berintegriti yang mampu direalisasikan melalui pembinaan akhlak, moral, budi pekerti mulia serta pemerkasaan kerohanian, etika dan nilai-nilai murni yang lain.

-Nilai Tambah dan Kelainan – Sentiasa berkeinginan untuk mencipta dan mencuba sesuatu yang baru serta memberi nilai tambah dalam diri individu, kumpulan dan organisasi yang turut diperlihatkan ketika menyampaikan perkhidmatan.

-A rif dan Berilmu – Melakukan sesuatu tindakan atau membuat sesuatu keputusan dengan bijaksana serta mengamalkan pembelajaran berterusan bagi memastikan kecemerlangan perkhidmatan tersebut.

Isu dan Masalah

Isu dan masalah dalam melahirkan penjawat awam yang cemerlang adalah seperti berikut:

-Sikap penjawat awam yang tidak bersemangat, tidak berdisiplin dan tidak bertanggungjawab serta malas;

-Penjawat awam yang kurang mahir serta tidak kompeten dengan bidang tugas masing-masing terutama sekali bagi penjawat awam yang baru dilantik atau baru dinaikkan pangkat dan masih belum dapat menghayati bidang tugas dan peranan sebenar yang perlu dilaksanakan;

-Kegagalan penjawat awam secara umumnya untuk menghayati, menjiwai dan mengamalkan nilai-nilai murni, positif, etika serta nilai bersama atau budaya korporat sesebuah organisasi tersebut;

Pengurusan tertinggi organisasi yang terlalu bersikap authocrative dan mendominasi secara menyeluruh proses membuat keputusan dan sebagainya akan meminggirkan secara langsung pandangan dan pendapat penjawat awam yang lain dan keadaan ini akan melemahkan semangat warga kerja organisasi dalam menjayakan visi, misi dan objektif organisasi tersebut;

-Sistem kerja organisasi yang kaya dengan elemen-elemen birokrasi boleh menjejaskan proses kerja organisasi sekiranya wujud ruang-ruang bagi berlakunya penyelewengan atau salah guna kuasa;

-Organisasi perlu melaksanakan penstrukturan semula bagi memantapkan perjawatan sedia ada, menambah jawatan baru serta penambahan Unit Audit Dalam bagi mewujudkan elemen keseimbangan dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh organisasi tersebut; dan

-Tiada strategi yang cekap, berkesan dan teratur dalam mengambil tindakan ke atas warga kerja yang tidak mematuhi pekeliling, prosedur serta arahan pentadbiran organisasi. Malahan, strategi pemantauan dan penguatkuasaan juga tidak dipatuhi dan diamalkan secara menyeluruh.

Strategi

Strategi serta langkah-langkah yang wajar diambil oleh sesebuah organisasi bagi menangani isu dan cabaran pengurusan sumber manusia adalah seperti berikut:

-Mengadakan aktiviti-aktiviti yang mampu memupuk persekitaran suasana kerja yang lebih kondusif bagi proses pembelajaran. Di mana pembelajaran dijadikan sebagai satu budaya organisasi dan peluang bagi meningkatkan ilmu pengetahuan diberikan secara saksama kepada semua warga kerja organisasi yang berminat;

-Meningkatkan kemahiran warga kerja organisasi menerusi latihan atau kursus. Aktiviti hands-on dapat dilaksanakan bagi melihat keberkesanan latihan/kursus yang diadakan menerusi on-the-job-training ini.

-Memberi galakan secara menyeluruh menerusi budaya korporat organisasi bagi meningkatkan pengamalan, penghayatan serta penambahbaikan diri ke atas warga kerja dalam mempraktikkan nilai-nilai murni, etika kerja dan sebagainya dalam organisasi;

-Mengubah gaya kepimpinan daripada authocrative kepada demokratik bagi memberi peluang kepada warga kerja dalam proses membuat keputusan serta berkongsi secara langsung visi, misi dan objektif organisasi tersebut; dan

-Mengenalpasti sistem kerja yang komprehensif dan berkesan bagi membolehkan proses serta prosedur kerja dapat dilaksanakan dengan cekap dan teratur serta mengelakkan sebarang ruang atau peluang berlakunya salah laku dalam organisasi tersebut.

Penutup

Modal insan merupakan kunci utama jatuh bangunnya sesebuah organisasi perlu dibimbing mengikut acuan tersendiri organisasi tersebut bagi memastikan pencapaian visi, misi dan objektif organisasi dapat direalisasikan secara menyeluruh. Nilai sebenar kejayaan strategi dan langkah-langkah untuk melahirkan sumber manusia yang cemerlang adalah tertakluk kepada komitmen serta sokongan padu warga kerja serta pelaksanaan strategi dan langkah yang disarankan.

Justeru itu, adalah amat penting garis panduan untuk memantapkan pengurusan sumber manusia sesebuah organisasi dikaji dari semasa ke semasa bersesuaian dengan perubahan yang berlaku supaya ia sentiasa kekal relevan dan bersifat 'tidak lapuk dek hujan serta tidak lekang dek panas'. Apatah lagi bagi agensi-agensi yang menguruskan hal ehwal Islam seperti JAWHAR dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Sumber : http://www.utusan.com.my/

KEPIMPINAN DALAM ORGANISASI

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS


GENERASI pelapis perlu sentiasa didekati terutamanya oleh para pemimpin negara agar kesinambungan kepimpinan positif dapat diterapkan. - Gambar hiasan

SETIAP daripada kita ialah pemimpin, kepada umat, keluarga mahupun diri sendiri. Tugas memimpin itu merupakan amanah yang Allah kurniakan kepada kita untuk ditunaikan sebaiknya.

Tatkala tiba saat membuat keputusan, seseorang pemimpin itu harus memikirkan impak terbaik buat mereka yang dipimpin serta kemaslahatan umat. Faktor kepentingan diri hanya akan mengganggu gugat pertimbangan dalam proses membuat keputusan tersebut.

Pemimpin turut menerima keistimewaan atas posisi tersebut. Pemimpin yang baik dapat membezakan antara keistimewaan yang benar-benar berhak dimiliki ataupun tidak. Adakalanya terdapat keistimewaan yang boleh diabaikan secara baik lalu disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan.

Seorang pemimpin yang baik akan berusaha membawa imej yang baik walau di mana sahaja. Imej tersebut tidak seharusnya ditampilkan semata-mata ketika menghadapi khalayak tetapi seharusnya menjadi pancaran akhlak diri yang luhur dan ikhlas.

Bermakna walaupun pemimpin itu tersembunyi daripada liputan insan lain, watak keperibadian diri pemimpin itu tetap teguh bersama ketakwaan diri kepada Allah yang Maha Mengetahui apa yang hamba-Nya lakukan dan fikirkan.

Menerima Pandangan Pengikut

Setiap pemimpin mempunyai pengikut, sama ada pemimpin atau pengikut masing-masing tidak dapat lari daripada kesilapan. Ada pandangan daripada pengikut yang mungkin lebih bernas justeru boleh dipertimbangkan oleh pemimpin.

Mendengar pandangan pengikut tidak akan menjatuhkan kredibiliti pemimpin malahan dapat memupuk kesepakatan antara keduanya. Soal penerimaan pendapat pula adalah perkara kedua yang akan menyusul setelah pemimpin berusaha memahami pandangan pengikut.

Sekurang-kurangnya dengan demikian pengikut mendapat peluang untuk bersuara serta menyuarakan pendapat. Pengikut juga dapat berasakan peranannya dihargai dalam menentukan hala tuju organisasi.

Dalam melaksanakan sesuatu tugas kepimpinan yang baru, bantuan nasihat daripada mereka yang kita warisi tugasan berkenaan dapat membantu kelancaran proses kepimpinan yang dilaksanakan.

Disebabkan pengalaman serta ilmu yang dimiliki, adalah baik untuk mereka dijadikan mentor kepada kita iaitu sebagai tempat untuk mendapatkan khidmat nasihat terutamanya tatkala melalui situasi kritikal dalam membuat sesuatu keputusan yang besar.

Memimpin Ada Had Waktunya

Setiap tugas kepimpinan ada had waktunya, sama ada hayat hidup, upaya kesihatan, ataupun termaktub dalam perundangan organisasi. Justeru setiap pemimpin harus menyedari hakikat tersebut dan menyediakan generasi pelapis untuk mewarisi kepimpinan.

Kesediaan menyerahkan tugas kepimpinan kepada yang layak apabila tiba masanya membantu melancarkan kesinambungan organisasi serta perkembangannya. Hal ini juga menggambarkan ketinggian peribadi pemimpin tersebut yang konsisten meletakkan kepentingan organisasi melebihi kepentingan diri.

Juga apabila kepimpinan tidak membuahkan hasil yang diharapkan, ada kalanya penstrukturan semula organisasi adalah perlu dalam mencetuskan momentum peningkatan pencapaian. Dalam situasi ini, kepimpinan tertinggi tidak terkecuali dalam perjalanan proses tersebut.

Justeru apabila tidak lagi diberikan tanggungjawab atas jawatan kepimpinan yang sama, pemimpin sebenar akan berlapang dada dengan situasi yang dihadapi. Maksud niat untuk menyumbang kepada organisasi tidak akan terhenti semata-mata tidak lagi memegang jawatan yang sama.

Sebaliknya situasi tersebut mampu membuka ruang kepadanya untuk menyumbang melalui kaedah atau wadah yang lain. Apa yang penting, sebagai pemimpin Muslim, agenda membangunkan ummah perlu diusahakan walau di mana jua ia berada.

Kesimpulan

Hidup ini bagaikan roda yang berputar, ada kalanya kita di atas, dan adakalanya kita di bawah. Ada masanya kita dipimpin, ada masanya kita memimpin. Apabila menjadi pemimpin, perlu ada kesedaran untuk mengingati saat ketika kita di bawah.

Apa jua tanggungjawab kepimpinan kita, kepimpinan diri adalah aspek penting yang mendasari kepimpinan organisasi. Justeru, pembentukan akhlak mulia serta penerapan nilai peribadi yang utuh perlu menjadi fokus dalam usaha mengasah kepimpinan untuk diri dan insan lain.

Kepentingan ummah seharusnya menjadi keutamaan dalam menjalankan misi kepimpinan hari ini. Matlamat ini mampu mendorong ke arah mewujudkan kesatuan serta perpaduan dalam umat Islam yang seterusnya menjadi tunjang dalam kepimpinan negara.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Rabu, 8 Julai 2009

KALAU DAHI TIDAK MENGENAL SEJADAH DI DUNIA ________________________________________



Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan, 

Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan 
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan 


Tutuplah 'auratmu sebelum 'auratmu ditutupkan 
Dengan kain kafan yang serba putih 
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih 
Walaupun orang yang hadir itu merintih 

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai 
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah 
Dengan empat kali takbir dan satu salam 
Berserta Fatihah, Selawat dan doa 
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah 
Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus 
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup? 

Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud 
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput? 
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian 
Justeru kumenyeru sekalian Muslimin dan Muslimat 
Usunglah dirimu ke tikar solat 
Sebelum kamu diusung ke liang lahad 
Menjadi makanan cacing dan makanan ulat 

Iringilah dirimu ke masjid 
Sebelum kamu diiringi ke Pusara 
Tangisilah dosa-dosamu di dunia 
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa' 

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan 
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan 
Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan 

Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan 
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal 
Bukan yang pergi 

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan 
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan 
Ingatlah di mana saja kamu berada 
Kamu tetap memijak bumi Tuhan 
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan 
Serta menikmati rezeki Tuhan 

Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya 
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya 
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti 
Lalu menjadi segumpal darah 
Lalu menjadi seketul daging 
Lalu daging itu membaluti tulang 
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti 
Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu 
Yang kalau jatuh ke tanah 
Ayam tak patuk itik tak sudu 
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu 
Yang lebih agung dari malaikat 

Lahirmu bukan untuk dunia 
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat 

Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah' 
Dengan penuh rela dan bersedia 
Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah' 
Jalan kemenangan akhirat dan dunia 

Ingatlah yang kekal ialah amal 
Menjadi bekal sepanjang jalan 
Menjadi teman di perjalanan 
Guna kembali ke pangkuan Tuhan 
Pada hari itu tiada berguna harta, takhta dan putera 
Isteri, kad kredit dan kereta 
Kondominium, saham dan niaga 
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia…

(Radio IKIM)


ISU PEMANSUHAN PPSMI 2012

Transformasi kurikulum B. Malaysia

PUTRAJAYA 8 Julai - Berikutan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Kementerian Pelajaran akan mula melaksanakan transformasi kurikulum Bahasa Malaysia di sekolah rendah dan menengah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia akan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa di kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik.

"Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.

"Pada masa sama, pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum Bahasa Malaysia sekolah rendah," kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, di peringkat sekolah menengah pula, transformasi kurikulum Bahasa Malaysia akan memberi penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek kesusasteraan Melayu.

Selain itu katanya, ia juga memberi penekanan kepada soal memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.

Kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri, percaya dengan pendekatan baru itu negara akan dapat memartabatkan Bahasa Malaysia, memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dan meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai ilmu sains dan teknologi yang amat penting demi masa depan negara.

SUMBER : http://www.utusan.com.my/

ISU PEMANSUHAN PPSMI 2012

12 langkah mantapkan bahasa Inggeris

PUTRAJAYA 8 Julai - Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan 12 langkah untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

Ia diluluskan Kabinet hari ini selaras dengan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikut langkah-langkah tersebut:

- Menambah seramai 13,933 guru Bahasa Inggeris (BI) termasuk 1,000 dari luar negara, 600 guru bersara dan 12,333 guru tambahan dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

- Menyediakan guru penolong BI gred DG41 bagi kelas besar melebihi 35 murid dalam tahun satu dan dua untuk meningkatkan masa perhubungan guru dan murid.

- Menambah waktu BI bagi sekolah kebangsaan (SK) tahap satu sebanyak 90 minit kepada 330 minit seminggu manakala tahap dua daripada 210 minit kepada 300 minit seminggu.

- Waktu BI bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) tahap satu pula ditambah daripada 60 minit kepada 120 minit seminggu manakala tahap dua ditambah daripada 90 minit kepada 120 minit seminggu.

- Menambah waktu BI bagi tingkatan satu hingga lima daripada 200 minit kepada 280 minit seminggu.

- Peruntukan waktu BI bagi Malaysian University English Test (MUET) tingkatan enam ditambah daripada 320 minit kepada 400 minit seminggu.

- Waktu BI bagi matrikulasi ditambah 100 peratus iaitu daripada tiga jam kepada enam jam seminggu.

- Program Sastera Kontemporari bahasa Inggeris Kanak-Kanak diperkenalkan kepada semua murid sekolah rendah tahap dua untuk mengukuhkan minat membaca dan memperkenalkan unsur-unsur sastera.

- Mewujudkan makmal bahasa Inggeris di sekolah-sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa itu dengan berkesan.

- Teknologi maklumat dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran BI melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai.

- Pelajaran tatabahasa Inggeris diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI.

- Menyerapkan elemen sains dan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran BI untuk mendedahkan murid dengan istilah berkaitan dalam bahasa Inggeris.

SUMBER : http://www.utusan.com.my/

Sains Dan Matematik Dalam BM Dan Bahasa Ibunda 2012 - Muhyiddin

PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuatkuasa pada 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya ketika mengumumkan perkata itu di Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.

PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.

Muhyiddin berkata pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Malaysia dan bahasa ibunda akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkat Empat di sekolah menengah yang bermula 2012.

Bagaimanapun, katanya, perubahan itu tidak melibatkan Tingkatan Enam dan matrikulasi.

Beliau berkata untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

Beliau berkata kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti mana yang dihasratkan.

"Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia," katanya.

Muhyiddin berkata pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik.

"Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik," katanya.

Selain itu, katanya, hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap profisiensi.

Katanya peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

"Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus," katanya.

Beliau berkata jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.

Muhyiddin berkata laporan "Trends in Mathematics and Science Study 2007" turut menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007.

"Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007," katanya.

Beliau berkata kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

"Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris," katanya.

Katanya berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK(C) dan bahasa Tamil di SJK(T).

Sumber :http://www.bernama.com/