Selasa, 4 Ogos 2009

Cara betul pakai penutup hidung

WABAK H1N1, atau selesema babi, semakin hari semakin menakutkan rakyat negara ini. Apa tidaknya, wabak ini seperti diisytihar Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai pandemik tahap keenam, iaitu tahap yang paling kritikal, sudah pun menular di negara ini dalam bentuk penularan tempatan. Maknanya, wabak ini bukan lagi disebabkan oleh pelancong yang melawat negara ini, atau rakyat negara ini yang berkunjung ke luar negara, tetapi boleh saja disebabkan rakyat tempatan yang kehidupan sehariannya hanya di kawasan rumah.


Sejak wabak H1N1 merebak, saya melihat semakin ramai rakyat negara ini yang memakai penutup hidung dan mulut. Saya sendiri pada peringkat awal ketika wabak H1N1 melanda Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut memakai penutup hidung dan mulut. Namun, mungkin disebabkan masalah resdung, saya berasa kurang selesa dengan pemakaian itu.

Memakai penutup hidung dan mulut antara cara bagi meminimumkan risiko jangkitan virus H1N1. Antara cara virus ini merebak ialah melalui udara apabila pengidapnya bersin, batuk, malah bernafas sekalipun.

Sudah enam kes kematian membabitkan pesakit yang menghidap H1N1 mati di negara ini dalam tempoh tidak sampai sebulan. Bagi sesetengah pihak, wabak ini sudah tidak terkawal, atau semakin sukar untuk dikawal.

Ekoran kebimbangan masyarakat terhadap wabak H1N1, banyak syarikat tempatan dan antarabangsa yang mendapat keuntungan daripada malapetaka ini. Antara syarikat yang pastinya mendapat keuntungan ialah syarikat pengeluar cecair pencuci antiseptik, syarikat pengeluar vaksin antivirus H1N1, dan syarikat pengeluar penutup hidung dan mulut.

Bercakap mengenai penutup hidung dan mulut ini, saya melihat ramai yang tidak mengetahui cara pemakaian yang betul dan selamat. Banyak individu yang saya temu bual secara rambang menyatakan kesediaan mereka untuk berkongsi penutup hidung dan mulut dengan rakan mereka. Banyak juga yang menyatakan penutup hidung dan mulut boleh digunakan selagi keadaan fizikal penutup itu masih elok.

Selepas saya memberitahu kaedah pemakaian penutup hidung dan mulut yang betul dan selamat kepada keluarga saya, saya dapati isteri dan anak saya sedikit terperanjat. Namun, perkara yang lebih memeranjatkan saya ialah jawapan daripada anak perempuan saya yang baru berumur 10 tahun. Dengan selamba dia memberitahu saya : "Kalau begitu abah, lebih baik kita terus pakai purdah saja. Lebih selamat, murah, dan menjimatkan". Serentak dengan itu juga saya lihat isteri dan anak perempuan sulung saya tercengang dan terpinga-pinga.

DR MOHD HILMI ABDULLAH,
Universiti Pendidikan Sultan Idris,
Tanjung Malim, Perak.


Sumber : http : //www.bharian.blogspot.com/

Isnin, 3 Ogos 2009

Jangan tangguh UPSR, PMR, SPM, STPM

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Kerajaan tidak perlu menangguhkan empat peperiksaan awam dengan mengambil kira situasi wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) pada masa kini.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, masih ada lebih sebulan bagi pelajar tahun enam menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

''Jumlah pelajar yang dijangkiti wabak itu tidak terlalu banyak. Jika ada pelajar disyaki menghidapi penyakit itu, boleh diasingkan atau dikuarantin ketika peperiksaan itu dijalankan.

''Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal. Keputusan menangguhkan empat peperiksaan awam hanya menyusahkan warga pendidik,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kelmarin, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom menyatakan keputusan menangguhkan empat peperiksaan awam akan menjadi pilihan terakhir sekiranya wabak H1N1 merebak ke seluruh negara.

Kata Alimuddin, beliau akan membawa perkara itu dalam mesyuarat H1N1 peringkat kebangsaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa ini.

Berdasarkan takwim Kementerian Pelajaran, UPSR diadakan pada 8 hingga 10 September ini manakala Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari 7 hingga 9 Oktober dan 12 hingga 13 Oktober ini.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober dan 26 hingga 27 Oktober serta ujian bertulis (19 November-16 Disember) manakala Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada 19 hingga 21 Oktober.

Majlis Peperiksaan Malaysia juga menetapkan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 18 November hingga 10 Disember ini.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohammad Sabri Mohammad Arshad berkata, tindakan menangguhkan peperiksaan bukan satu langkah yang wajar.

''Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan harus mencari pendekatan memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya pelajar sekolah mengenai wabak tersebut.

''Setahu saya, sehingga kini tidak ada apa-apa ceramah atau taklimat yang diadakan untuk pelajar-pelajar sekolah berhubung wabak tersebut,'' jelasnya.

Katanya, kerajaan juga harus memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki keempat-empat peperiksaan tersebut sebelum mengambil sebarang keputusan.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

ISU INFLUENZA A H1N1

Memahami, kenali cara jangkitan H1N1 kekang penularan

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

KERJASAMA orang ramai untuk patuh kepada arahan dikeluarkan dan cepat mendapatkan rawatan jika ada simptom dijangkiti H1N1 mampu menghalang penularan wabak.

Tindakan menguatkuasa perintah kuarantin di semua sektor perlu dipatuhi rakyat tanpa sebarang persoalan

TINDAKAN menguatkuasakan perintah kuarantin di semua sektor, termasuk institusi pendidikan iaitu sekolah, kolej dan universiti sudah dikeluarkan untuk mengelak risiko penularan wabak Influenza A (H1N1) yang lebih tinggi. Begitu juga arahan paling tegas Kementerian Kesihatan untuk menutup serta-merta kampus mengikut Prosedur Standard (SOP) bagi mengawal jangkitan lebih besar di seluruh negara.

Namun, sejauh mana pematuhan orang ramai terhadap perintah kuarantin itu, terutama kalangan pelajar? Adakah dengan penutupan itu memberi kesempatan mereka untuk bersantai sesuka hati atau dikuarantin dengan duduk saja di rumah.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah, baru-baru ini dilaporkan tidak berpuas hati apabila Kementerian Kesihatan tidak membenarkan pegawainya memasuki empat kampus di Lendu, Melaka; Sri Iskandar (Perak); Permatang Pauh (Pulau Pinang) dan Dungun (Terengganu) atas keperluan menjalankan tugas pengurusan selepas kampus itu diarah tutup sementara berikutan ada pelajarnya dikesan dijangkiti Influenza A.

Dalam keadaan ini, siapa harus dipersalahkan? Kementerian Kesihatan sudah menjalankan tanggungjawab mengeluarkan perintah kuarantin kepada golongan berisiko itu, tetapi masyarakat pula seakan tidak prihatin terhadap bahaya jangkitan virus Influenza A dan bebas keluar.

Hakikatnya, statistik wabak H1N1 meningkat setiap hari. Sehingga semalam, lapan orang terkorban dengan sejumlah 17 kes baru dilaporkan. Semalam saja dua kematian dilaporkan. Semua kes adalah kes tempatan dan warga negara Malaysia. Jumlah keseluruhan ialah sebanyak 1,446 kes.

Pada peringkat global, bagi tempoh sama, sejumlah 183,854 kes dengan 1,307 kematian dilaporkan di 167 negara. Peningkatan sebanyak 28 kes dengan enam kematian berbanding dengan hari sebelumnya. Tiada pertambahan negara yang terbabit. Sebelum ini, dilaporkan empat penambahan kes baru di negara baru juga dilaporkan iaitu Georgia, Kazakhstan, Kosovo dan Swaziland.

Berdasarkan senario itu, wabak berkenaan tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia sudah menjadi pandemik pada peringkat global kerana mudah berjangkit daripada manusia kepada manusia. Walaupun keadaan di Malaysia masih terkawal, ia boleh disekat dengan kerjasama orang ramai untuk patuh kepada arahan dikeluarkan dan cepat mendapatkan rawatan jika ada simptom dijangkiti.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Datuk Hassan Abdul Rahman, berkata wabak H1N1 masih berada pada peringkat awal pandemik atau sekadar penularan berbentuk tempatan.

Katanya, disebabkan wabak itu adalah pandemik pada peringkat global dan mudah berjangkit daripada manusia kepada manusia, kerajaan sentiasa mengambil langkah memperlahankan jangkitan virus daripada merebak. Setakat ini, tiada strategi khusus lebih komprehensif untuk membendung penularan virus itu, sebaliknya sudah cukup dengan langkah sedia ada Kementerian Kesihatan, iaitu menerusi pemeriksaan dan kuarantin.

"Apa yang penting, kita akan mengambil langkah secepat mungkin untuk memperlahankan penularan. Pesakit yang berisiko tinggi dijangkiti virus H1N1, kita akan kuarantin supaya tidak bercampur atau bergaul dengan orang ramai.

"Kita juga akan arahkan sesiapa yang ada simptom mendapat rawatan segera dan lakukan kuarantin sendiri di rumah. Bagi institut pendidikan seperti sekolah, kolej dan universiti yang ada pelajarnya dijangkiti wabak itu, Kementerian Kesihatan sudah arahkan ditutup sementara.

"Ini adalah tindakan terbaik kerana sekolah, kolej dan universiti adalah sebuah premis yang luas, sesak serta diduduki ramai pelajar. Dalam kawasan sesak, wabak itu mudah merebak. Justeru, kita halang pelajar bercampur sesama mereka kerana dalam premis yang begitu luas, risiko penularan terhadap virus berkenaan adalah tinggi.

"Ini berbanding di rumah yang saiznya adalah jauh lebih kecil dan hanya diduduki sejumlah ahli keluarga yang sedikit," katanya.

Kenyataan itu, sekali gus menolak andaian sesetengah ibu bapa yang mempersoalkan langkah kementerian menutup sekolah atau kolej, seolah-olah mahu 'menyebarkan' virus itu di kampung atau taman perumahan apabila pelajarnya pulang.

Hassan bagaimanapun, berkata, tanggungjawab memperlahankan wabak itu bukan saja terletak kepada pihak berkuasa, sebaliknya semua individu dengan memahami apa itu H1N1 dan patuh arahan dikeluarkan.

Apa yang dilihat tahap kesedaran masyarakat terhadap wabak H1N1 ini masih terlalu rendah dan mereka dilihat seakan tidak bimbang mengenai penularan itu.

"Mungkin ramai kalangan masyarakat yang masih tidak faham mengenai wabak berkenaan kerana baru muncul sejak April lalu. Wabak H1N1 sangat berbahaya kerana belum ada vaksin yang mampu melawan penyakit itu. Cuma penemuan virus itu dijangka akan ditemui, hujung tahun ini," katanya.

Hassan berkata, masyarakat harus tahu bahawa Influenza A adalah lebih berbahaya daripada denggi. Nisbah kematian bagi Influenza A ialah 1:200, manakala demam denggi pula 1:500 kematian. Apa yang penting kematian tetap boleh dielakkan jika semua pihak tahu peranan masing-masing.

"Seharusnya apabila diserang batuk, selesema atau demam, mereka terus mendapatkan rawatan dan mengasing atau menjarakkan diri dengan orang lain. Jika bekerja, majikan patut mengarahkan pekerjanya bercuti sebagai langkah pencegahan awal mengelak virus merebak ke pihak lain.

"Ada baiknya mereka ini duduk di rumah dan mengurangkan aktiviti lain. Jika mereka benar-benar mengikut nasihat doktor, demam atau selesema boleh sembuh dalam tempoh singkat iaitu antara dua hingga tiga hari.

"Kita lihat seorang pesakit yang meninggal dunia akibat H1N1 itu adalah disebabkan lewat mendapatkan rawatan. Oleh itu, pesakit yang ada simptom serta bertubuh gemuk dan menghidap kencing manis perlu segera membuat pemeriksaan doktor kerana mereka lebih berisiko," katanya.

Hassan berkata, walaupun kebanyakan kes yang ada di Malaysia tidak dianggap berisiko tinggi, tindakan berwaspada perlu sentiasa diambil. Dua peratus kes yang dikesan menghidapi virus itu juga perlulah membiasakan diri memakai penutup muka supaya tidak merebak ke pihak lain.

"Kita sepatutnya mengikut cara rakyat di Jepun, Korea dan China yang menjadikan amalan memakai penutup muka sebagai perkara biasa. Semuanya bermula daripada diri sendiri," katanya.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Ahad, 2 Ogos 2009

Rakyat, kerajaan perlu gembleng komitmen demi kemakmuran negara


APABILA Perdana Menteri menganggap rakyat sebagai klien utama, ia adalah petunjuk bahawa beliau serius dengan setiap dasar yang dirangka.


Pengharapan Datuk Seri Najib Tun Razak itu bukan omongan kosong kerana sejak hari pertama beliau menduduki kerusi utama pentadbiran negara, beliau komited untuk mengatasi masalah negara.


Walaupun kita sebagai klien yang mengharapkan kerajaan memberi sesuatu daripada setiap dasar dan peruntukan, kita juga perlu memberi sokongan untuk menjayakan semua dasar berkenaan.


Kadar jenayah, masalah integriti, isu pendidikan, taraf hidup rakyat, prasarana dan pengangkutan awam adalah masalah yang cuba diselesaikan oleh Perdana Menteri dalam fasa demi fasa.


Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditekankan oleh beliau menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyaksikan setiap usaha memajukan negara dan rakyat diberi perhatian sewajarnya.


Penekanan ke atas Indeks Prestasi Utama (KPI) bakal memberikan rakyat peluang memberi respons terus ke atas setiap laporan kemajuan dengan melihat sendiri sama ada dalam tempoh tertentu setiap perkara yang ingin diperkasa dan diperbaiki terbukti berkesan atau memerlukan masa dan mekanisme yang baru pula.


Langkah ke arah masa depan yang lebih baik memerlukan setiap pihak bekerjasama dengan kerajaan untuk melaksanakannya.


Kemiskinan tegar di kalangan rakyat bukan masalah baru sebenarnya. Kadangkala istilah miskin itu sendiri perlu diperbetulkan.


Ada yang miskin sepanjang hidupnya dan ada yang miskin bermusim. Kemiskinan disebabkan masalah dibuang kerja adalah perkara yang banyak berlaku saat ini.


Apabila dibuang kerja, hutang tidak mampu dibayar. Apabila hutang tidak mampu dibayar, dijatuhi ‘hukuman bankrap’ pula oleh pihak bank.


Yang meminjam dengan ah long pula diancam nyawa maka hidup pula berpindahrandah hingga rumahtangga kucar-kacir. Ramai akhirnya berpaling memohon bantuan daripada kerajaan. Namun sampai bila kita perlu mengharapkan kerajaan? Bagi yang panjang akal, banyak usaha boleh dilakukan untuk meneruskan hidup. Berniaga adalah antara alternatifnya.


Untuk berniaga dan mencari kontrak pula memerlukan kita memasuki tender. Dalam hal tender, Perdana Menteri berusaha menghapuskan rasuah dengan meningkatkan integriti di kalangan penjawat awam dalam soal agihan kontrak dan projek.

Soal ini memerlukan kerjasama rakyat untuk membendungnya. Kita perlu mengubati penyakit rasuah yang virusnya ada dalam diri setiap orang.


Bagaimanapun, bercakap untuk menghapuskan rasuah amat mudah. Namun usaha membendung gejala rasuah tidak semudah yang diucapkan. Ia bukan tugas kerajaan semata-mata. Rakyat perlu bekerjasama.


Begitu juga dengan kadar jenayah jalanan juga dapat dikurangkan jika institusi keluarga dan masyarakat dapat ditingkatkan dan dimakmurkan. Sesungguhnya jenayah jalanan terutama ragut dan lumba haram dilakukan oleh remaja yang punca ia tercebur kerana tiada aktiviti riadah khusus dan dikawal selia oleh orang dewasa di tempat mereka.


Institusi keluarga dan masyarakat juga tidak menggalakkan untuk mengadakan riadah bersama-sama. Anak-anak dan ibu bapa mencari riadah sendiri.


Dalam hal ini, kariah kampung dan kejiranan perlu kreatif mencari idea untuk aktiviti riadah. Contohnya selepas waktu Isyak setiap malam Ahad kerana inilah masanya pelumba haram memanaskan enjin hingga pendikit di putar tahap maksimum.


Tibalah masanya yang tua memberi kembali kenangan kita semasa muda kepada anak-anak bermain takraw dan badminton selepas Isyak.


Setiap petang minggu bermain bola sepak beramai-ramai hingga remang-remang senja sebelum maghrib. Mungkin ini saja caranya jenayah jalanan oleh kalangan remaja dapat dikurangkan.


NRKA yang digariskan oleh PM melalui KPI bagi perkara lain seperti meningkatkan prasarana, pendidikan dan peningkatan pengangkutan awam adalah suatu proses berterusan. Ia mampu dikendalikan oleh kerajaan tetapi daripada segi jenayah, peningkatan intergriti dan taraf hidup rakyat sebenarnya saling berkait.


Jika projek tidak diagih-agihkan secara penuh intergriti mungkin ada yang jatuh miskin kerana tiada kerja. Masalah sosial akan meningkat dan semakin ramai terjerumus ke kancah yang tidak diingini.


Oleh itu, usaha murni kerajaan yang disuarakan oleh Perdana Menteri minggu lalu memang kena pada masanya.


Ia selaras dengan gagasan 1Malaysia. Apa yang digariskan menunjukkan rakyat sememangnya menjadi keutamaan kerajaan.


Sekiranya ada kekurangan, kita sebagai rakyat perlu membantu mengatasinya. Paling penting, 1Malaysia tidak mampu dijayakan tanpa komitmen dan kerjasama padu seluruh rakyat. Kita jangan terlalu meminta tetapi tidak pula berbuat apa-apa untuk negara.


Sumber : http://www.utusan.com.my/

Sabtu, 1 Ogos 2009

Menilai kemuliaan diri pada Syaaban, Ramadan

Oleh Abdulrahman Haqqi

“JIKA kejahatan dibalas dengan kejahatan, maka ia dendam. Jika kebaikan dibalas dengan kebaikan, ia perkara biasa. Jika kebaikan dibalas dengan kejahatan, ia adalah zalim. Tetapi jika kejahatan dibalas dengan kebaikan itu adalah mulia dan terpuji, kata novelis terbilang berasal dari Kanada pada awal abad ke-20, Moza de la Roche.

Dia menjadi terkenal dengan novel bersirinya bertajuk Jalna yang mula diterbitkan pada 1927 walaupun sebenarnya dia sudah menerbitkan kisahnya untuk pertama kali dalam Munsey’s Magazine pada 1902.

Kita melihat hikmah yang mendalam di sebalik kata-kata novelis yang meninggal dunia pada 1961 itu. Nilai kebaikan sejagat yang ada di dalamnya ialah - balaslah kejahatan dengan kebaikan jika kita ingin hidup mulia dan terpuji dan jangan sekali-kali kita berbuat sebaliknya kerana ia satu kezaliman.

Dengan andaian bahawa La Roche tidak pernah membaca al-Quran, bagaimana dengan ayatnya yang bermaksud: “Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang sudah ditimpa kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar.” (Surah al-Nahl: 126)

Nilai kebaikan sejagat yang ada pada ayat ini ialah sifat mulia dan terpuji yang ada pada kesabaran dengan tidak membalas kejahatan orang lain terhadap diri kita walaupun ia dibenarkan atas dasar qisas sebagai ‘semangat’ keadilan.

Oleh itu kita dapati baginda Rasulullah SAW menarik balik sumpahnya untuk mengqisas Wahsyi, budak yang membunuh bapa saudara Rasulullah, Hamzah kerana baginda mahu mendapatkan pahala sabar yang besar di samping melaksanakan anjuran Allah SWT dalam ayat di atas.

Maha Benar Allah SWT dengan firman-Nya bermaksud: “Dan bersabar (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.” - (Surah al-Nahl: 127). Pada bulan yang mulia ini, Syaaban sebagai pembuka kepada bulan mulia yang lain, Ramadan ada baiknya kita menilai diri di manakah keadaan kita sebenarnya di antara orang yang mulia? Orang yang mulia berakhlak baik kerana akhlak yang baik itu adalah kebahagiaan tersendiri, sedangkan akhlak yang buruk adalah petaka dan bencana.

Dalam hadis bermaksud: “Sesungguhnya akhlak yang baik dapat menjadikan seseorang mampu mencapai darjat orang yang suka berpuasa dan orang yang suka melakukan sembahyang malam.”

Baginda sentiasa berdoa pada Syaaban ini dengan doanya yang masyhur Allahumma barik lana fi Sya’ban, wa ballighna Ramadan, Ya Allah, anugerahkan kami keberkatan pada Syaaban dan sampaikan hidup kami ke Ramadan. Betapa mulianya Ramadan sehingga Baginda mengharapkan dapat hidup di dalamnya walaupun di antara Syaaban dan Ramadan tinggal selangkah lagi. Betapa besarnya Ramadan sehinggakan Baginda ingin mendapatkan kebesarannya walaupun masih berada dalam Syaaban.

Kebaikan yang ada dalam kedua-dua bulan mulia ini sangat banyak dan tidak seperti bulan lain. Baginda tidak pernah banyak berpuasa sunat kecuali pada Syaaban, sedangkan selama Ramadan baginda menunaikan kewajipan puasa.

Pada Syaaban, ada malam Nisfu Syaaban dan dalam Ramadan ada malam Nuzul al-Quran. Dalam Syaaban ada solat sunat Nisfu Syaaban bagi sesetengah umat yang mahu melakukannya, manakala pada Ramadan ada solat tarawih bagi semua umat. Pada Syaaban pengampunan Allah SWT ke atas umat manusia kecuali orang musyrik, orang yang bermusuhan, pembunuh diri dan pelaku zina manakala pada Ramadan ada pembebasan manusia daripada api neraka.

Kebaikan sedemikian yang kita cari di dunia sebagai jalan menuju kehidupan abadi di akhirat kelak. Melalui kebaikan itu kita akan mendapatkan kemuliaan dan kemuliaan akan mendekatkan kita kepada al-Khaliq, Maha Pencipta.

Allah berfirman yang bermaksud: ”Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah SWT) kerana bagi Allah jugalah segala kemuliaan. Kepada Allah jugalah segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan) dan amal yang salih pula diangkat-Nya naik (sebagai amal yang makbul - yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya) dan sebaliknya: orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan pun) akan rosak binasa.” - (Surah Fatir: 10)

Jika kemuliaan boleh didapati dengan melaksanakan perintah Allah SWT seperti dikatakan ayat di atas, maka sebaliknya kehinaan akan diperoleh seseorang jika dia mengetepikan perintah berkenaan.

Dalam realiti kehidupan negara, kemuliaan warga negara dapat diperoleh jika dia melaksanakan semua peraturan negara dengan baik. Bagi pemimpin pula, kemuliaan kepemimpinannya akan semakin terserlah dengan lapan perkara.

Abu Ja’far bin Babawaih al-Sijistani berkata: “Seorang raja pernah menulis surat kepada raja negeri lain. “Bagaimana engkau mengatur kerajaanmu dan memerintah rakyatmu? Raja negeri itu menjawab: “Dengan lapan cara; tidak bergurau ketika memerintah dan melarang; tidak melanggar satu pun janji dan ancaman; menghukum berdasarkan kesalahan bukan berdasarkan kedengkian; mengangkat pegawai berdasarkan kecekapan bukan berdasarkan keinginan; memujuk hati rakyat dan tidak memaksa; mempermudah pemberian kebenaran bukan kerana kelemahan; menyediakan bahan makanan dengan merata dan menghindari perkara yang berlebihan.”

Kemuliaan itu bukanlah diukur dengan kegagahan dan penampilan. Hidup kekurangan bukanlah bukti bahawa dia hidup sengsara. Demikian pula kebahagiaan, tidak dinilai daripada banyaknya harta dan hidup dalam kemewahan.

Nilai manusia yang mulia sebenarnya diukur daripada kemurahan hati dan sifat terpuji, bukan baju yang dipakainya, kasut yang digunakannya, bukan istananya dan bukan pula rumahnya. Justeru, yang menjadi ukuran ialah nilai ilmu, dermawan, kesabaran dan akalnya yang dirangkumkan dalam istilah takwa. “Sesungguhnya, orang yang paling mulia di antara kalian adalah orang yang paling bertakwa,” maksud firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 13.

Syaitan sebagai musuh yang wajib kita lawan menyuruh berbuat jahat dengan tidak mengendahkan ajaran Allah. Dengan mengikuti jejaknya itu kita akan tersesat dan hina. Oleh itu supaya kita tidak tersesat dan menjadi mulia, kita wajib melawannya dengan tidak membalasnya melakukan perbuatan dosa tetapi dengan melakukan perbuatan baik. Di situlah kemuliaan manusia terserlah dan pada Syaaban dan berikutnya Ramadan adalah masa sesuai untuk bertindak menuju kepada kemuliaan. Allahumma barik lana fi Sya’ban wa ballighna Ramadan.

Sumber :// http: www.bharian.com/

Logo 1Malaysia Lambang Komitmen

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Logo 1Malaysia dijangka lebih kerap digunakan oleh kementerian dan syarikat tempatan yang menjadi lambang sokongan mereka terhadap Konsep 1Malaysia dan prinsip-prinsipnya yang mendukung "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sama ada disedari atau tidak, sejak beberapa bulan kebelakangan ini terdapat banyak syarikat tempatan yang terkenal di negara ini, telah memperkenalkan dalam kempen pengiklanan mereka logo yang hampir serupa dengan logo 1Malaysia, seperti mana yang boleh dilihat dalam laman web beliau.

Katanya semua itu merupakan usaha sukarela dan keprihatinan yang diperlihatkan oleh banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat tempatan untuk menyatakan sokongan mereka terhadap konsep dan prinsip-prinsip 1Malaysia yang mendukung "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

"Sungguhpun logo tersebut mencerminkan harapan dan seruan supaya Malaysia bersatu berasaskan prinsip-prinsipnya, saya juga telah menyatakan bahawa logo ini menjangkau lebih daripada satu konsep, yang diperlihatkan melalui kempen-kempen strategik yang menepati sasaran "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"," katanya dalam entri terbaru di laman blog www.1Malaysia.com.my, Sabtu.

Perdana Menteri berkata, angka '1' tersebut boleh membawa pelbagai maksud, antaranya; yang terbaik, teratas, keunikan dan komitmen terhadap masa.

Beliau berkata bagi rakyat, di mana saja logo itu terdapat ia bermakna orang ramai dijamin usaha terbaik syarikat-syarikat tersebut sejajar dengan prinsip 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

"Tidak kira sama ada anda sedang beratur untuk membayar bil atau menyerahkan borang permohonan, logo ini akan menjadi jaminan bahawa keperluan anda akan dilayani dengan pantas dan berkesan, dalam semangat "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Perdana Menteri berkata, beberapa kementerian yang telah dikenal pasti juga akan memulakan pelaksanaan perintis perkhidmatan awam berdasarkan prinsip yang sama tidak lama lagi.

"Pencapaian kementerian-kementerian ini di sektor-sektor utama awam akan dipantau untuk memastikan kejayaan pelaksanaannya," katanya.

Setelah berjaya mencapai hasil yang diharapkan dari segi peningkatan tahap perkhidmatan, kerajaan berhasrat untuk memulakan sistem perkhidmatan ini pada skala yang lebih besar, katanya.

Najib berkata semua entiti, sama ada kementerian, agensi, sektor swasta mahu pun institusi pelajaran dipelawa untuk menggunakan logo ini sebagai satu komitmen penyampaian.

"Harapan saya hanyalah satu agar ia digunakan dengan penuh rasa tanggungjawab dan komitmen ini dipenuhi. Dengan menggunakan logo ini anda telah menerima akauntabiliti dan menerima respons yang membina daripada mereka yang telah anda berikan perkhidmatan.

"Saya percaya bahawa prinsip ini tidak lagi terletak dalam lingkungan pentadbiran, tetapi untuk digunakan oleh semua organisasi di Malaysia sebagai faktor penting ke arah membina satu budaya prestasi tinggi," katanya.

Sehubungan itu Perdana Menteri mempelawa semua pihak untuk menggunakan logo berkenaan berdasarkan semangat yang sama, iaitu untuk berkembang menjadi sebuah negara yang dibekali kuasa oleh keinginan untuk melakukan sebaik kemampuan yang ada, demi kepentingan negara dan rakyat Malaysia.

Orang ramai boleh mengetahui dengan lebih lanjut tentang logo berkenaan menerusi blog itu atau juga boleh menghubungi pejabat Perdana Menteri untuk maklumat lanjut berkenaan pengunaan logo, katanya.

Sumber : http://www.bernama.com/

ISU KERANCUAN BAHASA

Hilang kata, hilang bahasa

APABILA menyebut Singapura, berapa ramai di kalangan kita yang menyebut Singapura, dan bukannya Singapore? Dalam perbualan hampir pasti orang menyebut Singapore dan bukannya Singapura ketika merujuk kepada pulau itu.

Apabila ditulis, ia menjadi Singapura. Tetapi apabila disebut, ia menjadi Singapore. Sedangkan perkataan Melayu bagi pulau itu adalah Singapura, dan bukannya Singapore. Asal namanya juga Singapura, hanya penjajah Inggeris yang mencipta perkataan Singapore.

Begitu juga dengan Pulau Pinang. Berapa ramai daripada kita yang menyebut Pulau Pinang untuk merujuk pulau itu. Selalunya perkataan yang digunakan ialah Penang. Sungguhpun begitu dalam tulisan, Singapura dan Pulau Pinang tetap digunakan menyebabkan nama-nama asal pulau itu kekal.

Tetapi banyak perkataan bahasa Melayu yang semakin pupus dan digantikan dengan perkataan Barat yang sudah dimelayukan. Tidak salah, tetapi bayangkan akhirnya perkataan-perkataan Melayu yang asal itu akan pupus, sekali gus keindahan kata-kata itu.

Adalah dapat diterima bahawa jika dalam bahasa Melayu tidak ada sesuatu istilah bagi merujuk sesuatu perkara, maka wajar mengambil perkataan Inggeris yang dimelayukan. Tetapi apa yang berlaku ialah perkataan Inggeris diambil sedangkan terdapat istilah Melayu yang bukan saja sudah mantap, tetapi juga indah.

Contoh menarik ialah nama tiga penyakit ini, iaitu barah, kencing manis dan angin ahmar. Istilah ini sudah mantap. Ia juga menunjukkan bahawa penyakit itu sudah lama diketahui oleh orang Melayu. Selain itu, namanya lebih serasi dengan pemahaman mengenai penyakit itu.

Tetapi kini ia telah digantikan dengan kanser, diabetes dan strok. Istilah kaku bagi lidah Melayu. Tamadun Melayu adalah panjang dan mempunyai keunggulannya tersendiri yang tercermin daripada perkataan-perkataan yang dimilikinya.

Apabila perkataan-perkataan Melayu ini sedikit demi sedikit ditinggalkan, maka ia menjadi pupus. Dan akhirnya bahasa Melayu berjati diri akan pupus, dan di atasnya lahirlah bahasa yang sudah jauh daripada asalnya. Orang Melayu pada masa depan tidak akan berasa kehebatan bahasanya kerana didapati perkataan-perkataan yang ada kebanyakannya merupakan saduran daripada Inggeris.

Ilmu

Sebagai contoh tentang ilmu kelautan. Orang Melayu jauh lebih lama berkecimpung dalam dunia kesamuderaan. Kapal-kapal orang Melayu sudah meredah Lautan Hindi dan Lautan Pasifik, yang dikenali juga sebagai Lautan Teduh lama sebelum orang Inggeris pandai belayar.

Maka tidak hairanlah pulau Madagascar di Afrika itu didiami oleh bangsa rumpun Melayu, Malagasy yang meredah lautan lama pada zaman sebelum kedatangan agama Hindu lagi. Bukan saja kerana orang Melayu mendiami pulau-pulau Nusantara yang menyebabkan keadaan demikian, tetapi teknologi laut orang Melayu dulu sudah mencapai tahap yang membanggakan. Maka tidak hairanlah bahasa Melayu kaya dengan perkataan-perkataan yang berkaitan dengan laut.

Nakhoda dan juragan adalah antara perkataan Melayu. Namun begitu, perkataan-perkataan ini semakin lama terpupus kerana orang Melayu sudah merosot dalam dunia kelautan. Maka tidak hairanlah kalau dahulu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kelihatan dibanggakan, tetapi kini kenderaan-kenderaan mereka memaparkan perkataan Navy. Kenapa perlu digunakan perkataan Navy?

Orang juga sudah mula banyak menggunakan perkataan maritim, suatu istilah merujuk kepada laut. Sementara istilah seperti samudera sudah kian dilupakan.

Semangat untuk mempertahankan istilah-istilah tulen Melayu dicap sebagai language purist atau pejuang ketulenan bahasa. Ia mempunyai konotasi negatif dengan gambaran seolah-olah pendokong ketulenan bahasa ini menolak istilah-istilah baru yang diambil daripada bahasa Inggeris. Sedangkan semua termaklum bahawa sifat bahasa adalah berbentuk berkembang. Perkataan-perkataan diambil daripada pelbagai sumber bahasa. Jadi pendokong ketulenan bahasa ini dipandang serong seolah-olah bersifat mundur dan enggan berkembang.

Tetapi itu tidak benar. Pendokong ketulenan bahasa tidak bermaksud hendak menyekat kemajuan dan perkembangan bahasa. Perkataan-perkataan baru yang diambil daripada bahasa lain tidak boleh disekat kerana itu sudah menjadi sifat bahasa. Cumanya, ia harus dilakukan secara tertib, beradab dan memelihara jati diri bahasa sendiri. Jika tidak, jati diri bahasa akan hilang. Apabila pupus kata, pupus jugalah bahasa.

Ia juga mencerminkan mentaliti pengguna bahasa Melayu yang bukan saja sudah tidak bersemangat untuk menggunakan bahasa sendiri secara terhormat. Gejala jelas datangnya melalui bahasa rojak. Menggunakan perkataan Singapore dan bukannya Singapura merupakan amalan bahasa rojak. Bukan saja tidak indah tetapi akhirnya berasakan bahawa perkataan Singapura itu menjadi asing.

Dahulu sering didengar mengenai ramalan cuaca daripada Jabatan Kajicuaca. Sekarang istilah kajicuaca telah dipupuskan dan digantikan dengan meteorologi. Untuk apa? Sedangkan jelas perkataan kajicuaca menggambarkan bidang kajian mengenai cuaca, dan segala yang berkaitan dengannya. Sudahlah mahu menyebut meteorologi sukar dari segi bahasa Melayu, ia juga tidak menggambarkan bidang tersebut. Istilah meteorologi tidak salah untuk digunakan dalam merujuk pada bidang itu. Tetapi mengapa tidak boleh dikekalkan kajicuaca.

Begitu juga dengan kajihayat telah pupus digantikan dengan biologi. Kajidaya sudah digantikan dengan mekanik. Apa salahnya dikekalkan. Antara hujahnya ialah untuk menyeragamkan di peringkat antarabangsa. Tidak ada mana-mana bahasa yang memaksa bahasa lain untuk menyeragamkan istilah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/