Sabtu, 7 November 2009

PERSEDIAAN MENJELANG PEPERIKSAAN


Hari kian berlalu. Akhir tahun sudah semakin menjelang tiba. Para pelajar yang bakal menduduki SPM dan STPM sudah pasti sedang berkeringat menelaah pelajaran kerana peperiksaan yang dinanti-nantikan hanya tinggal seminggu sahaja lagi.

Apa yang penting sekarang, para pelajar perlu bijak menggunakan masa yang ada untuk mengoptimumkan daya ulang kaji pelajaran. Antaranya adalah:

#Mengemas kini segala nota yang telah dipelajari.

#Memperbanyak latihan menjawab soalan yang berbentuk peperiksaan sebenar.

#Mengenal pasti dan mengaplikasikan teknik menjawab yang betul sebagaimana kehendak soalan.

#Bagi pelajar muslim khususnya, paling penting ialah mereka harus mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan menunaikan amalan-amalan yang mulia dan meninggalkan larangan-Nya. Ini adalah kerana hati yang bersih daripada segala kekotoran akan mudah mencerna isi pelajaran dan meluahkannya di kala peperiksaan.

Dari segi jasmani, pelajar perlu mendisiplinkan diri agar fizikal yang sihat dan cergas dapat dihasilkan. Antaranya :

#Tidur yang cukup (6-7 jam sehari)

#Menjaga keselamatan diri khususnya ketika berada di tempat terbuka yang terdedah dengan bahaya seperti di jalan raya.

#Menjaga pemakanan seharian. Makanan yang berkualiti akan membekalkan nutrien yang mencukupi dalam tubuh badan. Bagi insan Muslim, digalakkan memakan manisan seperti kurma, kismis dan madu lebah kerana ia memberikan hikmah yang istimewa dalam diri seorang pelajar terutamanya untuk mengingat nota pelajaran.

#Bersukan. Aktiviti ini penting untuk melancarkan peredaran darah dalam tubuh badan sekali gus membekalkan oksigen yang mencukupi kepada otak. Namun, dalam bersukan, hanya memadai dengan bersederhana sahaja kerana takut memberikan kepenatan yang berlebihan.

Justeru, diharap para pelajar membuat persediaan rapi dengan melipatgandakan usaha kerana apa yang dilalui sekarang merupakan pelaburan yang paling utama untuk kehidupan masa hadapan.

Tidak lupa untuk sentiasa berdoa kepada Yang Maha Berkuasa agar dipermudahkan segala apa yang bakal dilalui.

Sumber : http://mesejabdul.wordpress.com/

Kanak-kanak berhak jalani kehidupan selamat, lebih ceria

Masyarakat patut prihatin kepentingan pertumbuhan psikologi, suasana kondusif untuk si cilik membesar sebagai insan efektif

KETIKA berkunjung ke sebuah premis makanan di ibu kota baru-baru ini, sebaik memilih meja bersesuaian untuk menikmati hidangan, datang seorang kanak-kanak perempuan, mungkin baru berusia enam tahun menadahkan mangkuk kecil sambil meminta belas ihsan menghulurkan sedikit wang.

Melihat keadaan kanak-kanak itu yang kurus kering, selain penampilannya comot, sesiapa saja akan mudah bersimpati dan tanpa berkira untuk mengeluarkan duit. Matanya sayu dan nampak letih, mungkin kepenatan 'bekerja' mengemis. Selepas wang dihulurkan, dia beredar mencari 'pelanggan' baru. Ibu bapanya atau penjaga tidak pula kelihatan.

Di satu sudut pula, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki sibuk mengemas pinggan mangkuk yang sudah bersisa di atas meja. Dia nampak ceria melakukan tugasannya, walaupun hakikatnya pada usia itu, dia sepatutnya berada di rumah mengulang kaji pelajaran atau bermain seperti kanak-kanak sebaya, bukannya membanting tulang membantu keluarga mencari rezeki.

Itulah senario masa kini. Zaman yang sepatutnya dipenuhi keceriaan dan keseronokan, dirampas daripada kanak-kanak hari ini. Bagi ibu bapa atau penjaga, itu adalah hak mereka untuk menyuruh atau mengerah si kecil membantu mencari sesuap nasi, tanpa menyedari kanak-kanak juga mempunyai hak untuk menikmati zaman kanak-kanak mereka.

Tiada siapa juga yang bertanya kepada insan kecil itu untuk mengetahui pandangan mereka atau apa yang mereka kehendaki, malah dilayan bagaikan individu yang tidak mempunyai pemikiran tersendiri, jauh sekali hak untuk bersuara.

Tanpa disedari, layanan sebegitulah menjadi punca kanak-kanak membesar menjadi individu bermasalah kerana proses pembesaran mereka tidak berlandaskan kepada persekitaran kondusif. Malangnya, rentetan peristiwa bermula daripada zaman kanak-kanak yang kurang normal sehingga menjadi punca kepada kejanggalan sahsiah individu itu, tidak diambil kira.

Pengarah Bahagian Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Nor Amni Yusoff, berkata kealpaan masyarakat khususnya ibu bapa akan hak kanak-kanak menyebabkan kanak-kanak begitu mudah dieksploitasi sehingga ada kalanya menjejaskan keselamatan mereka.

"Apabila kita memperkatakan isu kanak-kanak, kita sebenarnya membincangkan hak kanak-kanak untuk hidup dengan selamat, ceria dan keperluan untuk betul-betul menjadi seperti kanak-kanak. Malangnya, kita lihat hari ini ramai kanak-kanak terpaksa menjadi dewasa pada usia yang tidak sepatutnya.

"Mereka tidak diberi peluang untuk hidup seperti kanak-kanak, dan kita lihat ada ibu bapa menggunakan kanak-kanak untuk kepentingan diri termasuk memperalatkan si kecil bagi tujuan memperoleh pendapatan seperti mengemis dan sebagainya," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Eksploitasi kanak-kanak datang dalam pelbagai bentuk dan cara. Tanpa disedari ibu bapa juga mengeksploitasi anak mereka. Menyuruh kanak-kanak bekerja (tidak kira apa jenis atau bidang pekerjaan itu), walaupun untuk tujuan yang baik seperti membantu menambah pendapatan keluarga juga bentuk eksploitasi kerana pada usia kecil, kanak-kanak tidak sepatutnya dikerah untuk bekerja.

Mendidik kanak-kanak mengenali erti kehidupan tidak sama dengan menyuruh mereka bekerja dengan tujuan pengalaman itu dapat membantu mereka memahami keperitan hidup sebagai orang dewasa dalam mencari rezeki. Kanak-kanak perlu dididik dengan peringkat kematangan yang bersesuaian dan paling penting, diberikan hak untuk menikmati zaman kanak-kanak dalam keadaan selamat.

Hari ini, kanak-kanak terdedah kepada pelbagai risiko jenayah seperti penculikan, pemerdagangan manusia, penderaan dan pengabaian yang boleh membawa kepada eksploitasi kanak-kanak. Justeru, amat penting bagi setiap pihak memberi keutamaan kepada isu membabitkan hak kanak-kanak yang selama ini dipandang remeh sebahagian besar masyarakat.

Hak kanak-kanak mula mendapat perhatian masyarakat antarabangsa apabila resolusi yang dicapai pada Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) 1995 menetapkan setiap kanak-kanak perlu diiktiraf sebagai individu yang mempunyai pemikiran dan hak untuk hidup dengan selamat serta ceria tanpa diskriminasi seperti yang terkandung dalam artikel 2 CRC.

Hak kanak-kanak memastikan empat keperluan asas iaitu kelangsungan hidup, perkembangan kanak-kanak (pendidikan), perlindungan dan penyertaan kanak-kanak sebagai anggota masyarakat.

Di negara kita, sebagai menyatakan komitmen terhadap CRC, kerajaan meminda akta sedia ada membabitkan kanak-kanak iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan kanak-kanak 1991; dan pada 2001, Akta Kanak-kanak diperkenalkan. Akta itu mentakrifkan kanak-kanak sebagai mereka yang berusia 18 tahun ke bawah dan wajib diberi perlindungan oleh ibu bapa atau penjaga.

Hampir lapan tahun kemudian, Dasar Kanak-Kanak (DK) dan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak (DPKK) yang diluluskan oleh Kabinet pada 29 Julai lalu diumumkan bagi menyokong akta berkenaan. DPKK menggariskan panduan dan pemangkin kepada setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat supaya menyedari bahawa aspek melindungi kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama.

Malah, kedua-dua dasar itu diharap dapat meningkatkan kesedaran dan komitmen pelbagai pihak terhadap usaha melindungi serta mewujudkan persekitaran yang selamat dan mesra kanak-kanak dengan objektif melindungi setiap kanak-kanak daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.

Hakikatnya, memberi keutamaan kepada hak kanak-kanak bukan saja melindungi mereka daripada keganasan atau eksploitasi, sebaliknya dapat memastikan kesejahteraan generasi akan datang yang bakal meneraju negara kelak. Kanak-kanak bukan sekadar individu yang berfungsi pada masa depan, tetapi mereka juga adalah individu yang wujud ketika ini dan tumpuan bagi melindungi kehidupan mereka amat penting supaya mereka menjadi individu yang efektif kelak.

Sehubungan itu, amat penting supaya semua pihak memahami dan menghayati keperluan bagi memelihara hak kanak-kanak serta mengiktiraf kehadiran mereka sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat.

Hari Kanak-Kanak Sedunia yang mula disambut pada 1959 di Malaysia menghormati kepentingan itu dengan memastikan tumpuan terhadap isu kanak-kanak akan diketengahkan dan diambil kira.

Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat Kebangsaan 2009 yang diraikan hari ini, tema 'Keluarga Selamat, Kanak-Kanak Terpelihara' dipilih bagi memperkasakan isu keselamatan kanak-kanak.

Program sehari yang bakal dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, diadakan di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di Putra Perdana, Puchong.

Nor Amni berkata, PAKK dipilih untuk menjadi tuan rumah sambutan itu bagi menarik perhatian masyarakat terhadap kewujudan PAKK yang kini sudah bertapak di 139 lokasi di seluruh negara.

"Kita mendapati orang ramai masih tidak menyedari kewujudan PAKK dan kita mahu masyarakat memanfaatkan kemudahan disediakan di PAKK. Pusat ini dibuka di kawasan berisiko tinggi seperti kawasan yang kita dapati ramai kanak-kanak terbabit dalam jenayah, mangsa dera atau kanak-kanak yang ditinggalkan sendirian di rumah apabila penjaga keluar bekerja.

"Antara kemudahan disediakan selain penjagaan kanak-kanak, ialah tuisyen percuma dan kelas komputer yang dikendalikan dengan pengawasan pemudahcara. Malah, kita juga mempunyai penjaga yang dibantu beberapa pekerja bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dijaga," katanya.

Selain itu, sebagai tambahan ada PAKK yang membuka Taska Komuniti bagi keluarga yang mempunyai pendapatan kurang RM2,000.

Beliau berkata, waktu operasi PAKK bergantung kepada keperluan setempat dan masalah kanak-kanak yang dikenal pasti supaya pusat itu dimanfaatkan sepenuhnya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Jumaat, 6 November 2009

Langkah memartabatkan bahasa Melayu : untuk siapakah penguatkuasaan bahasa Melayu?

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

BANYAK sebab mengapa ramai yang menunggu pindaan terhadap Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 diluluskan dalam tempoh terdekat ini.

Draf akta itu ketika ini disemak oleh penasihat undang-undang Kementerian Pelajaran dan akan dibawa ke Kabinet sebelum dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Pertamanya, kerana isu memberikan lebih kuasa kepada DBP menerusi pindaan akta itu merupakan perbincangan yang sudah lama berpanjangan. Justeru biarlah kali ini, ia benar-benar membuahkan hasil dan tidak lagi mencetuskan polemik yang sia-sia.

Keduanya, ramai yang ingin menyaksikan sejauh mana DBP akan diberikan kuasa untuk memartabatkan bahasa Melayu sama ada dalam konteks pertuturan atau penulisan.

Adakah akan dibentuk pasukan penguatkuasaan di bawah DBP yang bertindak seperti 'polis' bahasa sama seperti pegawai penguatkuasa di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)?

Apakah pula bentuk hukuman atau jumlah denda yang perlu dibayar oleh pesalah bahasa itu?

Ketiganya, dan yang penulis kira amat penting, apakah hasil atau kejayaan yang bakal dilihat selepas DBP diberikan kuasa ekoran pindaan akta tersebut.

Adakah kedudukan bahasa Melayu akan kembali menjadi bahasa utama dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat di negara ini? Atau lebih utama, adakah rasa cinta dan bangga terhadap bahasa Melayu itu dapat disemat di dalam sanubari setiap rakyat Malaysia?

Tidak dinafikan penguatkuasaan terhadap bahasa kebangsaan turut diamalkan di negara lain seperti di Perancis dan Jepun.

Namun, dalam konteks negara maju itu, penguatkuasaan tersebut dilakukan semata-mata untuk memastikan identiti atau jati diri nasional negara tersebut terus wujud dalam acuan tersendiri.

Masalahnya di Malaysia, bahasa Melayu belum cukup kuat untuk dikatakan sebagai bahasa identiti atau jati diri nasional setiap warga Malaysia. Ini kerana bukanlah sesuatu yang menghairankan hari ini untuk bertemu dengan mereka yang mengaku sebagai rakyat Malaysia, tetapi terkial-kial bertutur dalam bahasa Melayu.

Malah ada yang tanpa segan silu mengaku 'kedengaran bodoh' apabila bercakap menggunakan bahasa Melayu.

Jadi di mana letaknya bahasa Melayu sebagai identiti negara? Perkara inilah sebenarnya yang harus diperhatikan melangkaui aspek penguatkuasaan semata-mata.

Sebab itu apabila timbulnya polemik bahasa Melayu seperti penggunaan bahasa rojak atau kesalahan bahasa, kita tidak secara automatik menuding DBP.

Memang benar badan itu memikul tanggungjawab sebagai pusat pengembangan bahasa dan persuratan Melayu negara. Malah, DBP selama 52 tahun kemerdekaan negara juga telah mengambil pelbagai inisiatif tidak hanya memperkasakan bahasa Melayu di kalangan rakyat negara ini, tetapi turut memperkenalkannya kepada masyarakat global.

Namun, soal mencintai dan berasa bangga serta memberi penghormatan terhadap bahasa Melayu di kalangan setiap rakyat Malaysia bukan boleh dipupuk oleh DBP. Sebaliknya ia perlu hadir menerusi kesedaran yang tinggi di kalangan setiap rakyat Malaysia yang meyakini bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa penting untuk berjaya.

Berjaya sama ada dalam konteks sebagai bahasa ilmu, ekonomi, antarabangsa atau bahasa yang menyeru kepada perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum ini.

Malangnya, keyakinan itulah yang tidak ada terhadap bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia hari ini. Bahasa Melayu terbelenggu dengan pelbagai persepsi negatif termasuk tidak melambangkan imej dan prestij yang tinggi. Malah bahasa Melayu juga seperti tidak mempunyai nilai dalam konteks bahasa ekonomi dan pekerjaan.

Kegagalan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dalam erti kata sebenar juga kerana kita terlalu memberi kebebasan kepada bahasa lain sebagai bahasa pengantar atau bahasa ilmu dalam sistem pendidikan.

Keadaan ini yang sebenarnya bermula di peringkat lebih awal iaitu sekolah rendah, menyukarkan lagi proses perpaduan melalui bahasa tunggal. Penggunaan pelbagai bahasa dalam sistem pendidikan itu hanya akan melahirkan generasi muda yang tidak jelas mengenai identiti nasionalnya.

Sementelah, perpaduan menerusi satu bahasa sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi sudah dibuktikan berjaya di banyak negara termasuk di Indonesia.

Perkara ini juga harus dilihat melangkaui peruntukan kuasa yang diberikan kepada DBP semata-mata. Polisi-polisi kerajaan khususnya yang bersifat budaya, perlu memberi perhatian ke arah melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.

Ini bagi memastikan rakyat Malaysia tidak hanya melihat bahasa Melayu itu milik kaum majoriti Melayu semata-mata. Tetapi bahasa yang menjadi identiti bangsa dan nasional setiap yang bergelar anak Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 5 November 2009

Muhasabah diri tunjang kecemerlangan

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah At-Tiin ayat 4 yang kira-kira bermaksud: "Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."

Menurut sesetengah ahli tafsir mengatakan bahawa kesempurnaan manusia itu meliputi segala bentuk, baik dari segi fizikal, mental mahupun rohaniahnya. Lebih utama lagi manusia itu amat berbeza daripada makhluk-makhluk Allah yang lain. Manusia dimuliaan kerana kelebihan memiliki akal fikiran yang boleh membezakan antara yang baik dengan yang buruk kerana itulah agama Islam amat menghormati akal. Tidak akan tercapai ilmu kalau tidak ada akal.

Berkata Sayyidina Ali, "Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk dari semalam. Maka, untuk mencapai kecemerlangan itu, kita hendaklah merubah diri dengan menjadikan diri kita lebih baik dari semalam". Bagaimana caranya?

Islam telah melatih penganutnya untuk sentiasa muhasabah diri (sentiasa membuat perhitungan atau menilai diri) yang bertujuan untuk membuat pembaikan. Seandainya dia menilai dirinya hari ini telah melakukan suatu kebaikan, maka hendaklah kebaikan itu akan terus bertambah pada esok harinya. Begitu juga dengan kesilapan atau kesalahan hendaklah ditukar kepada perkara kebaikan. Dengan muhasabah diri dia akan dapat mengetahui kesalahannya dan kesilapannya, maka akal pula akan berperanan berfikir dan membuat keputusan sama ada memperbaiki segala kesalahan dan kesilapan ataupun meneruskannya.

Sebagai contoh, jika hari ini kita mampu melakukan solat seorang diri, insya-Allah esok hari kita akan melakukan yang lebih baik daripada itu. Begitu juga dalam menghadapi peperiksaan, nilai diri sendiri, setakat mana pencapaian peperiksaan yang sebelumnya dan matlamat peperiksaan akan datang yang akan dicapai. Bertambah baik? Bertambah cemerlang? Ataupun sebaliknya?

Hari ini satu ilmu yang kita pelajari, maka untuk esoknya haruslah kita menambah ilmu itu lebih dari ilmu yang diperoleh semalam. Inilah yang dikatakan kecemerlangan.

Maka cara untuk mencapai kecemerlangan peperiksaan itu hendaklah memulakan dengan muhasabah diri untuk mengetahui di mana kelemahan atau kekurangan yang ada dalam diri, seterusnya mempergunakan akal untuk berfikir cara mengatasinya.

Setelah mengetahui akan kelemahan atau kekurangan yang ada dalam diri dan tahu pula cara mengatasinya, hendaklah pandukan akal itu untuk mengarah seluruh anggota bagi memperjuangkan diri dalam mencapai matlamat yang diimpikan.

Di situlah akan terjadinya perjuangan kehidupan dalam mencapai kecemerlangan, baik kecemerlangan kehidupan, kecemerlangan beramal ibadat, kecemerlangan berfikir, kecemerlangan belajar mahupun kecemerlangan peperiksaan, dan dalam diri akan sentiasa mengatakan: 'Sudah cemerlangkah diriku?'

Seandainya jawapan yang diberikan 'Tidak,' maka pandulah dengan menggunakan akal fikiran untuk memikirkan cara lain untuk menjadi orang yang cemerlang kerana keyakinan itu ada dalam diri umat Islam sebagaimana telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah At-Tiin ayat 4 yang kira-kira bermaksud: "Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya" . Ayat ini memberi petunjuk bahawa manusia telah diciptakan Allah dalam bentuk yang sebaik-baiknya iaitu dalam keadaan yang cemerlang.

Sumber : http://www.pelitabrunei.gov.bn/

ISU KERANCUAN BAHASA


Jom kita semarakkan bahasa rojak!
Oleh - Abd. Jalil Ali

Saya tidak tahu apa nama judul lagu itu, tetapi saya sudah mendengarnya ketika zaman kanak-kanak, lama dulu. Lirik awal lagu itu ialah: “Gunakanlah bahasa kebangsaan kita. Marilah amalkan ramai-ramai” Lagu itu kini berkumandang semula, diulang setiap hari oleh stesen-stesen RTM. Anda boleh memilih, sama ada hendak mendengar dan menghayati lagu itu hingga akhir, atau menukar ke stesen lain.

Mengapa lebih setengah abad setelah merdeka, hari ini kita terpaksa mendengar semula lagu itu? Dan kita mengadakan semula ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’. Itu ertinya, sejak 31 Ogos 1957, kita masih gagal menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pada hal status bahasa itu telah jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ternyata rangkap awal lirik lagu itu tidak menjadi kenyataan. Orang tidak menggunakan bahasa Melayu. Orang tidak mengamalkan bahasa itu. Ini memang telah dijangka. Sebab itu berpuluh tahun dulu sudah ada puisi ‘Keranda 152’ yang membayangkan bahasa Melayu akan lenyap.

Jangan marah pada orang lain, marahkan diri sendiri. Sebab, kita sendiri yang meletakkan bahasa kita di bawah tapak kaki, atau di bawah buntut. Menteri kita (Melayu) lebih senang bercakap bahasa Inggeris walaupun untuk rancangan bahasa Melayu ketika di TV. Orang korporat kita malu bercakap Melayu sebab bahasa itu dikatakan tidak ada nilai ekonomi. Drama Melayu kita guna dialog orang putih, dialog Melayu dianggap kampungan.

Akhir-akhir ini filem Melayu kita pun pakai judul Inggeris, seperti ‘I Know What You Did Last Raya’, ‘Remp It’, ‘Cicakman’ (sampai sekarang filem-filem ini tidak ditayangkan di negara-negara orang putih!). Ada filem baru (Melayu) yang akan diterbitkan, juga menggunakan judul Inggeris, ‘My Spy’. Apakah betul judul Inggeris itu lebih komersial berbanding ‘Pengintip Ku’ atau ‘Mata-Mata Gelap Ku’, atau ‘Spy Leman’.

Saya tidak bersedih kali ini. Juga tidak perlu emosional dan marah-marah. Kita terpaksa menerima hakikat bahawa bahasa kita semakin tenggelam. Istilah-istilah nenek moyang kita akan hilang satu demi satu, diganti dengan perkataan-perkataan canggih dan popular ciptaan media. Untuk tidak ketinggalan zaman, ada baiknya kita mempelajari perkataan-perkataan baru yang kini telah diterima sebagai bahasa radio & TV.

Untuk kali ini saya hanya ingin memberitahu beberapa istilah yang telah dibakukan oleh stesen-stesen radio dan TV kita, dan kini menjadi ikutan ramai. Paling popular ialah perkataan ‘ferast’ (dari istilah Inggeris ‘frust’). Istilah Melayunya ‘kecewa’, ‘merana’. Contoh ayat: “Gadis gedik-gedik itu ferast menonggeng setelah Abang Bangla yang menjadi pakwenya pulang ke negara asal.”

‘Solid-molid’ (istilah asal Inggeris ‘solid’), istilah Melayunya ‘gempal’, ‘sendo’ (lebih merujuk kepada bentuk tubuh yang seksi). Contoh ayat: “Melihat gadis di pam minyak yang solid-molid itu, Mat Skru yang selama ini dianggap sempoi dan lentok tiba-tiba naik semangat lalu menerkam gadis itu.”

‘Cun-melecun’ (tidak pasti dari istilah mana, mungkin Sanskrit kuno!), ertinya ‘cantik’. Contoh ayat: “Jejaka jiwang yang selalu bermata kuyu seperti orang berdengung itu mengancam untuk membunuh diri apabila mengetahui makwenya yang cun-melecun itu disahkan telah dicilok oleh Mat Bangla.”

Untuk kali ini saya harap pembaca membiasakan diri dengan tiga istilah baru ini, supaya lebih faham apabila menonton dan mendengar rancangan-rancangan popular di radio dan TV kita. Pada kesempatan lain saya akan memberitahu banyak lagi-istilah baku Melayu baru yang siang malam dituturkan oleh pengacara dan juruhebah kita, dan menjadi ikutan ramai. Ada pun perihal bahasa Inggeris yang selalu dituturkan oleh Menteri dan ahli korporat kita itu, ada baiknya kita amalkan juga. Kalau tidak nanti kita dianggap tidak standard.

Biarkan lirik “gunakanlah bahasa kebangsaan kita...” berkumandang setiap hari, jangan ambil berat sangat lagu itu. Lagi pun siapa peduli kalau kita tidak cakap Melayu? Siapa kisah kalau bahasa itu dipinggirkan? Teruslah kembangkan bahasa rojak, sebab bahasa jenis ini lebih disukai dan lebih sesuai. Kalau tidak gunakan bahasa songsang ini radio dan TV tidak ada peminat, dan iklan pun merosot. Jadi, rojakkanlah bahasa kita untuk dapat iklan!

Biarkan bahasa Melayu yang tidak ada nilai ekonomi dan kosong nilai komersial itu digunakan hanya sebagai bahasa perantaraan Tok Bomoh dan Pak Dukun bercakap dengan makhluk halus. Sekurang-kurangnya untuk masa ini bahasa nenek moyang kita itu masih mempunyai nilai kebomohan dan perdukunan. Apabila satu hari nanti makhluk halus pun sudah tahu bahasa Inggeris dan sudah terpengaruh dengan bahasa rojak, bomoh dan dukun pun tidak lagi ‘menurun’ menggunakan bahasa Melayu.

Jampi serapahnya akan berbunyi begini: “Wahai my friend jin, I nak minta you pulihkan semangat girl yang solid-molid di rumah Brother Mahat tu. Dah over six months dia sakit, parents dia betul-betul dah frust menonggeng. Please, jin...Money no problem!” Mungkin jin akan menjawab: “Well, Tok Moh, I will try my best.” Kalau bomoh dan dukun pun tidak lagi menggunakan bahasa Melayu baku, ketika itu habislah bahasa kita!

Sumber :http://www.sinarharian.com.my/

Rabu, 4 November 2009

12 terima biasiswa Yang di-Pertuan Agong

Penuntut-penuntut yang menerima biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2009 gembira selepas istiadat pengurniaan biasiswa itu oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan mengurniakan biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2009 kepada 12 penuntut institut pengajian tinggi yang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah di luar negara.

Istiadat yang berlangsung di Dewan Kecil Istana Negara itu dimulakan dengan pengurniaan biasiswa pengajian peringkat doktor falsafah kepada enam penuntut yang melanjutkan pengajian ke United Kingdom dan diikuti pengurniaan biasiswa peringkat sarjana kepada enam penuntut yang melanjutkan pengajian di Australia dan United Kingdom.

Kesemua penuntut itu akan menerima kadar bayaran elaun sara hidup 50 peratus lebih tinggi daripada kadar biasa Biasiswa Persekutuan, diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 2006. Penerima biasiswa juga tidak terikat untuk berkhidmat dengan kerajaan Malaysia dan boleh memilih untuk berkhidmat di sektor awam atau swasta, namun mereka diwajibkan pulang ke tanah air setelah menamatkan pengajian di luar negara.

Pengurniaan biasiswa ini bukan sahaja bertujuan mengiktiraf kecemerlangan penuntut dalam bidang akademik malah berkebolehan dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovasi serta mendapat tempat di universtiti terkemuka di luar negara.

Antara pelajar yang menerima biasiswa itu adalah Syahida Zainudin, 26, berasal dari Kuala Lumpur yang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran dalam "Preimplantation Genetic Diagnosis" di London College University, United Kingdom.

Manakala, Sofiyah Nordin, 23, dari Kedah pula akan melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Molecular Biology di Queensland University, Australia. — BERNAMA