Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR pengarang@utusan.com.my
Kamaruddin Siaraf (kanan) dan Ismail Hussein (tengah) ketika melancarkan Tabung Pembangunan Kegiatan Bahasa dan Sastera sempena sambutan Hari Pejuang Bahasa 152 di Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 15 Feb. - Tarikh 15 Februari diisytiharkan sebagai Hari Pejuang Bahasa 152 setiap tahun dalam usaha mengingatkan masyarakat supaya terus memelihara kedaulatan bahasa Melayu seperti diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Inisiatif itu merupakan usaha bersama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) untuk mengingatkan semua pihak agar terus memperkasakan Bahasa Kebangsaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf berkata, persoalan mengenai bahasa Melayu telah termaktub dalam Perlembagaan dan ia merupakan titik penyatuan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
''Penyatuan ini terbina bukan kerana peruntukan (Perkara 152) itu semata-mata tetapi telah tertanam subur dalam setiap sanubari rakyat Malaysia yang mencintai keharmonian.
''Namun, dalam proses bahasa Melayu menyusuri pembangunan pesat negara, pelbagai cabaran dan ujian mula merubah suasana sehingga menimbulkan pelbagai tanggapan yang akhirnya menjadikannya bercelaru,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Hari Pejuang Bahasa 152 dan Tabung Pembangunan Kegiatan Bahasa dan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.
Tabung itu diwujudkan bagi memudahkan penyaluran sumbangan kepada pertubuhan seperti persatuan penulis, penggiat bahasa dan sastera supaya menggalakkan mereka terus menyemarakkan program kelangsungan bahasa.
Sementara itu, Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein ketika berucap berkata, kombinasi 152 pada nama hari berkenaan dan pemilihan 15 Februari bagi sambutannya merupakan pengiktirafan ke atas bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tunggal negara.
Beliau memberitahu, perisytiharan Hari Pejuang Bahasa 152 dan pemilihan tarikh itu berupaya membantu masyarakat negara ini untuk terus menghormati semua perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas pembentukan serta keharmonian Malaysia.
''Saya amat berharap agar kerajaan serta kementerian terlibat supaya mendokong dan menyebarkan tentang perisytiharan (hari dan tabung) ini,'' ujarnya.
Dalam perkembangan sama, perisytiharan itu menyaksikan sambutan dilakukan secara penuh patriotik dengan penuh adab Melayu yang mementingkan sikap menghormati individu lain terutama golongan tua.
Ia juga diisi dengan acara pembacaan puisi yang diiringi persembahan formasi silat, pembacaan Ikrar Pejuang Bahasa, pembentangan kertas kerja utama dan program Wacana Peradaban Bahasa Melayu.
Pada akhir acara dua hari yang bermula semalam itu, Ismail turut menyerahkan Resolusi Hari Pejuang Bahasa 152 kepada Kamaruddin yang sebelum itu dibacakan oleh Ketua Satu Kalam, Mohamad Daud Mohamad.
Antara kandungan resolusi berkenaan ialah menuntut kerajaan memberikan dana besar dalam usaha memantapkan kualiti bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu moden.
Selain itu, resolusi tersebut turut meminta kerajaan agar mengutamakan penggunaan Bahasa Kebangsaan seperti kehendak Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 dalam semua urusan rasmi pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa di Malaysia.
1.Anak harimau diajar makan daging - Orang yang zalim diberi perangsang untuk membuat aniaya.
2.Anak harimau jangan diajak bertampar, ingat-ingat kukunya - Jangan mencari musuh dengan orang yang lebih kuat dan lebih persediaan alat senjatanya.
3.Anak harimau jangan dibela pelihara - Jangan berbuat baik dengan orang yang suka berbuat jahat.
4.Anak harimau takkan menjadi anak kambing - Orang yang berani takkan jadi penakut.
5.Anak kambing takkan menjadi anak harimau - Orang yang pengecut tetap pengecut.
6.Anak kucing menjadi harimau - Orang miskin menjadi kaya, atau rakyat biasa menjabat pangkat tinggi dalam pemerintahan.
7.Terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau - Terhindar daripada suatu kemalangan, masuk ke dalam kemalangan yang lebih besar lagi; lepas daripada suatu ketakutan, datang ketakutan yang lain pula.
8.Terlepas daripada rahang harimau, termasuk ke dalam rahang buaya - Perempuan yang bernasib malang, bercerai daripada suami hartawan yang hina dan kahwin dengan seorang hamba yang miskin.
9.Takkan harimau makan anaknya - Marah bapa kepada anaknya, tidak akan sampai membunuh.
10.Seperti harimau kena kucing pekak - Marah bercampur takut kerana bahaya yang menimpanya. (kucing pekak = perangkap besi)
11.Seperti harimau lepas tangkap - Marah dan bengis.
12.Seperti harimau menyembunyikan kukunya - Orang yang menyembunyikan kelebihannya.
13.Seperti kambing dengan harimau - Orang yang lemah melawan orang yang kuat; sangat takut.
14.Sudah masuk ke dalam mulut harimau - Tiada dapat ditolong lagi.
15.Rupa harimau hati tikus - Rupa saja yang hebat dan garang, tetapi pengecut.
16.Orang mati meninggalkan nama, harimau mati meninggalkan belangnya - Orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat.
17.Mati gajah tiada dapat belalainya, mati harimau tiada dapat belangnya - Tahu membuat pekerjaan yang jahat hendaklah tahu menyembunyikannya pula.
18.Memakai kulit harimau -Menggunakan kekuasaan orang lain untuk menakut-nakuti orang. (Peribahasa lain yang sama makna: Mengepit kepala harimau).
19.Mengajar anak harimau - Mengajar anak yang lekas pandai.
20.Mengepit kepala harimau - Menggunakan kekuasaan orang lain untuk menakut-nakuti orang. (Peribahasa lain yang sama makna: Memakai kulit harimau).
21.Menggedangkan anak harimau - Memelihara musuh yang kelak akan merugikan kita sendiri (gedang @gadang = besar)
22.Menghendakkan cirit harimau tergantung di ekornya - Ingin kepada barang yang tak mungkin diperoleh.
23.Menghilangkan jejak bagai harimau - Berbuat sesuatu untuk menutup kesalahan atau perbuatan yang kurang baik.
24.Menolong orang (= kerbau) ditangkap harimau -Menolong orang yang membuat kesalahan, akhirnya menyusahkan diri sendiri.
25.Malu, kalau (= jikalau) anak harimau menjadi anak kambing - Tidak patut anak orang baik-baik menjadi bodoh; atau anak orang berani menjadi penakut.
26.Mulut kamu harimau kamu, mengerkah batu kepala kamu - Berkata-kata dengan tak ada batasnya kerap kali mencelakakan diri sendiri. (Peribahasa lain yang sama makna: Mulut hang lebih daripada gedembai).
27.Masuk sarang harimau - Termasuk ke dalam bahaya besar.
28.Kecil-kecil anak harimau - Meskipun kecil tetapi berani. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Kecil-kecil cabai rawit, b. Kecil-kecil cili Melaka, c. Kecil-kecil lada api, besar-besar limau abung).
29.Kuat gajah terdorong, kuat harimau terlompat-lompat - Orang besar-besar yang membuat kesalahan kerana kekuasaannya. (Peribahasa lain yang sama makna: Gajah terdorong kerana gadingnya, harimau terlompat kerana belangnya).
30.Kalau gajah hendaklah dipandang gadingnya, kalau harimau hendaklah dipandang belangnya - Hendaklah diusul periksa dengan saksama tentang sesuatu perkara itu sebelum dibuat kesimpulan.
31.Kalau Si Tua (harimau) menunjukkan belangnya, 'lah tentu kambing bertanggungan - Orang yang lemah berhadapan dengan orang yang kuat, tentu akan kalah akhirnya. bertanggungan = menderita.
32.Kambing menyusui anak harimau, besar dia dipatahkan tengkuknya - Akibat yang akan diterima kalau menolong orang jahat dalam kesusahan.
33.Jangan diajar anak harimau makan daging - Jangan digembirakan anak orang yang berkuasa berbuat zalim. (Bandingkan dengan: Anak harimau diajar makan daging).
34.Harimau bertempek tak (kan) makan orang - Orang yang terlalu marah biasanya tidak sampai memukul. (Peribahasa lain yang sama makna: Hari guruh takkan hujan).
35.Harimau ditakuti sebab giginya - Orang besar-besar itu ditakuti kerana kekuasaannya. Kamus Istimewa Peribahasa Melayu.
36.Harimau hendak menghilangkan jejaknya. Orang jahat hendak menyembunyikan kejahatannya.
37.Harimau mati kerana belangnya - Mendapat kecelakaan kerana kelebihannya. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Gajah mati dicatuk katak, b. Kasturi mati kerana baunya, c. Mati kuang kerana bunyi).
38.Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan daging, manusia mati meninggalkan nama - Orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat.
39.Harimau memperlihatkan kukunya -Orang yang memperlihatkan kekuasaannya.
40.Harimau mengaum takkan menangkap - Orang yang terlalu marah biasanya tidak sampai memukul. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Hari guruh takkan hujan, b. Harimau bertempek tak [kan] makan orang).
41.Harimau menunjukkan belangnya - Orang yang memperlihatkan kekuasaannya. (Peribahasa lain yang sama makna: Harimau memperlihatkan kukunya).
42.Harimau menyorokkan kuku - Orang yang menyembunyikan kelebihannya.
43.Harimau puntung kena penjara, pelanduk kecil menolakkan mara - Ada masanya kesusahan orang besar lagi berkuasa itu ditolong oleh orang yang lemah dan kecil.
44.Harimau tidak merendahkan dirinya untuk menangkap cicak sebagai mangsanya - Orang besar yang tidak mahu bertindak dengan tindakan-tindakan yang merendahkan tarafnya.
45.Gajah harimau di hutan hendak diburu, pijat-pijat di bantal tak dapat dihapuskan - Kejahatan orang besar dan orang yang lebih kuat daripada kita hendak dibasmi, kejahatan anak buah sendiri di rumah tiada dapat di atasi. Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
46.Gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama - Orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat.
47.Gajah terdorong kerana gadingnya, harimau terlompat kerana belangnya - Berbuat sesuatu yang kurang baik oleh kerana kelebihannya. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Kuat gajah terdorong, kuat harimau terlompat-lompat, b. Terdorong gajah kerana besarnya). (Bandingkan dengan: Gajah mati kerana gadingnya).
48.Duduk seperti kucing, melompat seperti harimau - Orang pendiam yang tangkas bekerja dan berfikir.
49.Dielakkan harimau, gajah tentu dengan londarnya; dielakkan untung, tak tentu londarnya - Nasib yang tidak dapat ditentukan (londar = denai)
50.Bergalah ke hilir tertawa buaya, bersuluh di bulan terang tertawa harimau - Membuat pekerjaan yang sia-sia.
51.Bagai bunyi orang dikoyak harimau - Berteriak-teriak atau melolong dengan kuat.
52.Biar mati ditangkap harimau, jangan mati digigit anjing - Alah di tangan orang yang kuat lebih baik daripada alah di tangan orang lemah. (Bandingkan dengan: Biar luka di dada, jangan luka di belakang).
53.Bagai harimau beranak muda - Orang perempuan yang terlalu bengis.
Jenis harimau apakah yang dijadikan haiwan dalam zodiak Cina sempena Tahun Baru? Adakah harimau China atau tidak kira jenis harimau mana? Kalau ada Harimau China, tidakkah patut ada Harimau Melayu. Atau Harimau Malaya. Atau Harimau Malaysia. Tidakkah patut harimau yang dirujukkan sebagai haiwan dalam zodiak China ialah pada mana-mana harimau dan tidak semestinya Harimau China. Atau bagi penduduk Malaysia yang menyambut Tahun Baru Cina, rujukan harimaunya wajar kepada harimau tempatan, iaitu Harimau Malaya atau Harimau Malaysia.
Oleh sebab Tahun Baru Cina merupakan perayaan tradisi kebudayaan China, maka sudah tentu rujukannya adalah Harimau China. Maka daripada lukisan tradisi China yang digandingkan dengan tulisan kaligrafi mereka, harimau yang dipaparkan ialah Harimau China.
Harimau adalah daripada keluarga Mamalia Felidae. Genusnya ialah panthera dan spesies dinamakan sebagaiPanthera tigris.
Terdapat lima subspesies harimau, walaupun ada antaranya diancam kepupusan. Sementara tiga subspesies lagi sudah pupus.
Subspesies harimau yang boleh dikatakan sebagai Harimau China ialahPanthera tigris amoyensisdanPanthera tigris altaica.
Panthera tigris amoyensis adalah harimau yang tinggal di sekitar China selatan. Ia dilinduingi oleh pemerintah China kerana diancam kepupusan. Harimau ini dinamakan Harimau China Selatan. Namun begitu, ia juga dikenali sebagai harimau Amoy atau harimau Xiamen.
Sementara Panthera tigris altaica adalah Harimau China yang tinggal di sebelah utara. Ia dinamakan sebagai Harimau Siberia. Tetapi ia juga dikenali sebagai Harimau Amur, Harimau Manchuria, Harimau Altai, Harimau Korea atau Harimau China Utara.
Maka kedua-dua Harimau China Selatan dan Harimau China Utara inilah yang boleh dianggap sebagai Harimau China dan menjadi rujukan sebagai haiwan bagi zodiak kalendar China.
Namun begitu, walaupun namanya Harimau China Utara, ia sudah tidak kelihatan di negara itu. Kehadirannya hanya dikesan di Siberia iaitu dalam Rusia. Maka dalam keadaan begini, apa yang disebut sebagai Harimau China hanyalah patut merujuk kepada Harimau China Selatan.
Walaupun sistem takwim China dengan zodiak haiwan muncul daripada kebudayaan China, tetapi ia tidak hanya dirayakan oleh orang China dan keturunan mereka. Tahun Baru China turut dirayakan di Asia Tenggara yang banyak penduduknya keturunan China. Selain itu, Sistem zodiak dan takwim China ini dipakai dan diserap ke dalam kebudayaan beberapa bangsa bukan China iaitu Korea, Mongolia, Vietnam dan Jepun.
Bangsa-bangsa ini turut menjadikan kalendar China sebagai sebahagian daripada kebudayaan mereka. Maka tentunya zodiak haiwan itu turut diambil kira oleh mereka.
Tidak ada harimau yang dikesan di Jepun. Sementara Harimau di Korea dan Mongolia dipercayai merujuk kepada Harimau Siberia yang kini sudah tidak ada di negara-negara itu. Tetapi Vietnam mempunyai harimau yang dikenali sebagai Harimau Indochina. Dengan nama subspesiesnya Panthera tigris corbetti. Ia berada di kawasan Indochina iaitu Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand dan Myanmar. Ia juga ada kalanya dikesan di China.
Maka apabila Vietnam menyambut Tahun Baru, maka harimau yang menjadi rujukannya ialah Harimau Indochina ini.
Rujukan
Tetapi bagi dunia Barat, apabila disebut harimau, sering kali rujukannya adalah Harimau Benggala atau dikenali sebagai Royal Bengal Tiger yang banyak terdapat di India. Oleh sebab Britain pernah menjajah India, maka harimau inilah yang menjadi rujukan dunia Barat. Subspesies yang dikenali sebagaiPanthera tigris tigris ini adalah yang paling banyak ada di dunia.
Walaupun India mempunyai harimau paling banyak dan China menjadikan harimau sebagai salah satu daripada haiwan zodiaknya tetapi hanya Malaysia yang menjadikan harimau sebagai haiwan nasional. Ini kerana hanya Malaysia yang menjadikan dua ekor harimau sebagai sebahagian daripada jata negara.
Sememangnya harimau begitu rapat dengan psiki orang Melayu. Harimau yang ada di Malaysia ini dinamakan Harimau Malaya dengan nama subspesiesnya ialah Panthera tigris jacksoni.
Inilah sebenarnya Harimau Melayu dan atas sebab itu ketika mereka bentuk jata negeri bagi Johor maka dipilihnya harimau sebagai haiwan untuk melambangkan negeri. Johor merupakan negeri pertama yang mempunyai jati negeri sendiri di Tanah Melayu untuk menunjukkan bahawa ia sebuah negeri berdaulat ketika mula Britain mengukuhkan kekuasaannya ke atas negeri-negeri Melayu.
Warna belang harimau iaitu kuning dan hitam juga dijadikan warna negeri-negeri Perak dan Negeri Sembilan. Maka warna ini juga merupakan latar kepada Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) yang ditaja penjajah Britain.
Untuk menunjukkan lagi kepentingan harimau, pihak berkuasa Britain menjadinya lambang Keretapi Tanah Melayu. Pengangkutan keretapi merupakan sistem penting dalam mengukuhkan penjajahan dan pentadbiran British ke atas negeri-negeri Melayu.
Harimau juga dijadikan lambang Malayan Film Unit pada tahun 1946. Unit ini sekarang menjadi Filem Negara Malaysia. Dengan adanya lambang harimau, ia meletakkan kepentingan kedua-dua institusi itu dalam kehidupan bernegara Malaysia.
Maka apabila Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan, maka sudah tentu dua ekor harimau dipilih sebagai lambang pada jata negara. Begitu juga dengan Malaysia apabila ia dibentuk.
Singapura pula mengambil seekor harimau untuk diletakkan pada jata negaranya bagi melambangkan hubungan pulau itu dengan Malaya.
Walau apa jua kepercayaan orang Cina terhadap Tahun Harimau, bagi negara Malaysia yang menjadikan harimau sebagai lambangnya, maka tahun harimau adalah tahun Malaysia.
Seperti kata Balai Seni Lukis Negara dalam kad Tahun Baru Cinanya:Ngaum bergaung, cakar berbisa, menang bertarung, lintas terasa...itulah Resam Harimau.
Tahun Baru Cina --> merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. (Lihat tarikh perayaandi bawah.)
Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.
Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.
Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan, maka turut memakai kalendar qamari Cina.
Sumber : http://wapedia.mobi/ms/Tahun_Baru_Cina
Nota Hujung :
Penulis mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakan guru dan pelajar berbangsa Cina yang menyambut Tahun Baru Cina pada hari esok 14 FEBRUARI 2010.
KITA selalu mendengar orang bercakap mengenai warga emas, gelaran bersopan untuk seseorang atau kumpulan manusia yang dianggap tua. Berapakah umur seseorang yang boleh digelar warga emas? Biasanya, ikut standard dunia, golongan ini berusia dalam lingkungan 65 tahun dan ke atas.
Tetapi, di Malaysia ada sesetengah orang yang baru pencen sudah pun diletakkan dalam senarai warga emas. Jika mereka yang berusia 55 atau 58 tahun sudah dianggap warga emas di Malaysia, ia memendekkan usia aktif dan produktif seseorang. Ia adalah tanggapan yang merugikan.
Hari ini ramai mereka dalam lingkungan 65 sehingga 70 atau lebih, masih bekerja. Ada yang masih mengajar di universiti, di bidang kehakiman, penjawat jawatan penting di sektor swasta dan jawatan lain yang bersesuaian dengan pengalaman masing-masing. Setidak-tidaknya mereka dalam kumpulan ini juga masih ramai yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, pemandu teksi, bersawah dan bertani.
Di Malaysia, ramai mahu mengiktiraf diri mereka sebagai warga emas kerana diberi sedikit keistimewaan, khasnya bekas kakitangan kerajaan. Ini termasuk kemudahan hospital dan tambang istimewa bagi perkhidmatan pengangkutan dan sebagainya. Apa juga alasannya, dengan mengkategorikan mereka yang berusia 55 ke atas sebagai warga emas, ia sebenarnya meletakkan golongan ini sebagai kumpulan tidak aktif dan produktif.
Keadaan ini berlaku meskipun golongan ini masih boleh menyumbang jasa kepada bangsa dan negara. Sekiranya umur 55 sudah dianggap warga emas, mereka yang berusia 50 tentulah mula gusar kerana dalam tempoh lima tahun saja lagi mereka akan mendapat gelaran itu.
Di Amerika Syarikat, satu kajian menunjukkan 78 peratus daripada mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas tidak menganggap diri mereka sebagai tua. Mereka menganggap diri mereka sebagai dewasa.
Kajian sebuah pusat penyelidikan mengenai trend sosial dan demografi yang mengumpul data menerusi teknik temubual telefon dengan 2,969 sampel orang dewasa itu menunjukkan dua pertiga daripada mereka berumur 65 tahun atau lebih itu, menyatakan mereka berasa lebih muda daripada umur kronologi sebenar mereka.
Separuh daripadanya menyatakan mereka berasa sepuluh tahun lebih muda daripada usia sebenar. Malah, kajian juga menunjukkan seorang daripada lima orang yang dikaji pula menyatakan mereka berasa 20 tahun lebih muda daripada usia sebenar. Bagi golongan ini, mereka sentiasa kelihatan ceria, bergaul dengan mereka yang jauh lebih muda dan kegiatan sosial mengikut trend.
Pelbagai alasan diberikan mengapa mereka berasa lebih muda, antaranya tidak tinggal atau menetap di tempat yang sama sepanjang hayat. Ini bermaksud, mereka pernah berpindah dan menetap di tempat lain, sekurang-kurangnya sekali sepanjang hayat. Alasan lain yang menyebabkan mereka tidak berasa tua ialah kesan daripada peraturan hidup, hubungan mesra keluarga, bersenam secara fizikal dan sebagainya.
Di Malaysia keadaan agak berbeza kerana warga emas dianggap sudah boleh berehat dan tidak perlu lagi melakukan sesuatu yang dianggap tugas berat. Anak-anak juga tidak mahu ibu bapa mereka bersusah payah dan mahu mereka hanya duduk di rumah. Jika golongan ini menganggap diri mereka masih muda, mereka dianggap mengada-ngada, perasan dan pelbagai konotasi negatif lain.
Jika melakukan sesuatu yang dianggap bertentangan nilai, golongan ini sering dikatakan sebagai manusia tidak sedar diri. Lebih teruk ada yang membuat teguran kononnya ‘rumah kata pergi, kubur kata mari’ terhadap mereka yang melakukan kesalahan moral.
Bagi orang Islam, selepas pencen tempat yang paling sesuai untuk mereka ialah di surau atau masjid. Secara psikologinya golongan ini perlu menghabiskan sisa hidup dengan beribadat. Walaupun berada di masjid dan surau boleh menenangkan fikiran, ia juga menjadi punca seseorang berasakan mereka benar-benar sudah tua walaupun sebenarnya mereka masih kuat dan bertenaga.
Sebenarnya perwatakan dan persekitaran pergaulan seseorang itu memberi kesan psikologi kepada seseorang berasakan mereka sudah tua. Rambut beruban selalu dikaitkan dengan usia sedangkan mereka dalam lingkungan 40-an juga sudah ramai yang beruban.
Ada juga di kalangan rakyat Malaysia yang menganggap mereka sudah tua pada usia yang masih aktif dan tidak lagi mahu melakukan perkara yang produktif, malah mereka juga sudah tidak mahu bergaul, berjalan, melancong dan sebagainya. Bagi yang kurang sihat, mereka cepat putus asa dan menganggap segala-galanya sudah berakhir dan menunggu masa. Oleh itu, sebahagian masa digunakan untuk bermain dengan cucu.
Kajian di Amerika Syarikat itu juga mendapati, 72 peratus daripada mereka berusia 65 tahun ke atas menyatakan mereka mempunyai kesihatan yang hebat. Ia dicerminkan menerusi sikap 77 peratus daripada kumpulan umur berkenaan yang mengakui sering melakukan senaman fizikal.
Di Malaysia, rakyatnya tidak ada disiplin mengenai tabiat makan. Bagi mereka, selagi boleh makan dan masih berselera, mereka akan makan sepuas-puasnya. Mereka takut, jika sakit dan tidak berselera, mereka akan rugi. Sama ada golongan muda atau berusia, mereka tidak menolak makanan. Makanan juga mempengaruhi kesihatan dan mempunyai kesannya kepada usia.