Ahad, 28 Februari 2010

Sikap tak peduli dorong penderaan kanak-kanak

NURHANIM menabur bunga atas pusara Syafia Humairah (kanan) di Tanah Perkuburan Islam Batu 17 Kuang, kelmarin.

Kebimbangan, enggan campur urusan jiran punca kes berleluasa

SESIAPA pun yang siuman dan mempunyai perasaan, pasti sebak jika pun tidak mengeluarkan air mata melihat gambar wajah comel Syafia Humairah Sahari, berusia tiga tahun, apabila berita mengenai kematiannya dipercayai akibat didera, terpampang di kaca televisyen dan dada akhbar sejak Jumaat lalu. Bedah siasat ke atas mayatnya, mendapati punca kematian Syafia Humairah ialah kerosakan teruk buah pinggangnya dan pendarahan pada kulit kepala dan otak. Selain itu, ada kesan lama, termasuk bekas dicucuh puntung rokok pada badannya. Syafia Humairah meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bahru pada senja Khamis lalu, ketika dibawa oleh teman lelaki ibunya dan ditinggalkan di wad kecemasan. Laporan televisyen dan akhbar memetik beberapa saksi sebagai berkata, kanak-kanak malang itu ditampar, dipijak pada perut dan disepak beberapa kali oleh suspek di padang bola di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, sebelum dia dibawa ke hospital. Hanya manusia berhati haiwan sanggup berbuat demikian kepada manusia lain.

Kejadian sadis ini mengingatkan kita kepada satu lagi kes penderaan yang hampir sama menimpa seorang lagi budak perempuan, juga berusia tiga tahun, kira-kira lima bulan lalu. Pada Oktober lalu, Aaliyah Aiman Hussin Abdullah, mati akibat didera teruk oleh teman lelaki ibunya, seorang warga Sudan di sebuah kondominium di Cheras. Mayat Aaliyah Aiman ditemui terbaring di rumahnya dengan cedera teruk di kepala dan badan oleh ibunya ketika pulang kerja pada 12 Oktober, yang kemudian membuat laporan polis kononnya kanak-kanak itu didera pembantu rumah. Bagaimanapun, siasatan polis mendapati rumah itu memang tiada pembantu rumah. Seminggu selepas itu, ibu mangsa dan teman lelakinya ditahan polis untuk siasatan. Warga Sudan itu kemudian dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh.

Sekurang-kurangnya ada dua persamaan dalam kes Syafia Humairah dan Aaliyah Aiman, selain usia mereka tiga tahun. Pertama ialah mereka didera teman lelaki ibu masing-masing yang dipercayai tinggal bersama. Keduanya, penderaan ke atas mereka diketahui oleh jiran tetangga, tetapi ia tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa sama ada kerana takut, tidak mahu mencampuri urusan orang lain atau memang kerana sikap tidak peduli. Si ibu, walaupun tahu anaknya didera mungkin tidak melaporkan perkara itu kerana malu, takut ditinggalkan atau kerana sayangkan teman lelakinya.

Sekiranya, jiran tetangga mempunyai sedikit sikap peduli dengan melaporkan syak wasangka mereka mengenai penderaan itu pada peringkat awal sama ada kepada keluarga mangsa atau kepada pihak berkuasa, mungkin Syafia Humairah dan Aaliyah Aiman tidak menjadi arwah. Begitu juga dengan beberapa kanak-kanak lain yang menjadi mangsa penderaan ibu bapa masing-masing sebelum ini. Malangnya jiran tetangga hanya memberitahu bahawa mereka mengesyaki, mendengar atau melihat penderaan kanak-kanak apabila mangsa sudah meninggal dunia.

Dalam kes Syafia Humairah misalnya, kejadian yang membawa kematian itu berlaku di padang bola kampung di depan ramai orang. Malangnya tidak ada yang menghalang suspek ketika memijak dan menendang kanak-kanak malang itu, seolah-olah mereka tiada rasa belas kasihan. Apakah sikap tidak peduli yang selama ini lebih dikaitkan dengan warga kota sudah turut menjangkiti masyarakat Melayu di desa? Memang pepatah Melayu ada mengatakan 'jangan menjaga tepi kain orang', tetapi ia bukan bermaksud sehingga membiarkan kekejaman dan pembunuhan berlaku di depan mata. Malah membantu mangsa penganiayaan seperti itu dituntut oleh agama.

Hakikatnya, masalah penderaan kanak-kanak semakin membimbangkan, walaupun ada kempen dibuat dan talian khusus disediakan bagi orang ramai membuat laporan. Statistik terakhir Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan kes penderaan meningkat daripada 2,279 kes pada 2007 kepada 2,780 kes pada 2008. Pada empat bulan pertama tahun lalu, 819 kes dilaporkan atau purata tujuh kes sehari. Kes penderaan ibu bapa dan penjaga yang sepatutnya melindungi anak sendiri juga meningkat daripada 992 kes pada 2007 kepada 1,266 kes pada 2008.

Walaupun kementerian berkaitan sudah merangka Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang memberi tumpuan terhadap aspek perlindungan, advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan bagi kanak-kanak serta penyelidikan mengenai isu kanak-kanak, penderaan dan keganasan tidak mungkin dapat dibanteras tanpa kerjasama semua pihak khususnya masyarakat sendiri. Pada masa sama, agensi yang ketika ini dilihat aktif untuk menangani masalah maksiat seperti Rela dan penguat kuasa jabatan agama perlu turut diberi tanggungjawab menangani masalah ini. Jika selama ini mereka terlalu cepat bertindak jika ada laporan mengenai khalwat, keutamaan sama perlu diberi kepada laporan atau desas desus mengenai penderaan kanak-kanak kerana ia juga adalah sebahagian daripada 'amal makruf'. Lagipun dosa mendera dan membunuh kanak-kanak lebih besar daripada berkhalwat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 27 Februari 2010

Awasi cuaca panas

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

CUACA panas dan kering yang melanda negara sejak awal tahun ini dilaporkan bakal menjadi lebih terik apabila kedudukan fenomena matahari berada tegak di garisan Khatulistiwa dengan tempoh siang dan malam di hemisfera selatan serta utara hampir sama berlaku pada 21 Mac ini.

Keadaan panas itu menyebabkan keadaan terik baik di utara tanah air manakala di beberapa kawasan di Johor menyaksikan catuan air akibat paras air sungai yang merosot.

Apapun, anda perlu berhati-hati dengan keadaan cuaca panas melampau ini yang boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan andai tidak membuat persiapan menghadapinya.

Bagi sesetengah orang terutama yang berada dalam kumpulan berisiko seperti warga tua, bayi dan kanak-kanak selain mereka yang berhadapan dengan masalah jantung dan tekanan darah tinggi, cuaca panas melampau boleh membawa kepada komplikasi kesihatan lain.

Antara risiko cuaca panas melampau adalah masalah dehidrasi iaitu kehilangan air daripada tubuh juga mineral lain dalam darah seperti potassium dan sodium yang berperanan dalam fungsi organ iaitu ginjal, otak dan jantung.

Malah ramai yang tidak tahu, masalah kehilangan air atau dehidrasi juga boleh menyebabkan kekeliruan, kelesuan selain menjejaskan pernafasan dan denyut nadi.

Dalam keadaan normal, peluh yang terhasil apabila kita panas membantu menyejukkan tubuh apabila ia tersejat di permukaan kulit. Bagaimanapun, jika hari terlalu panas, terlalu berpeluh akan menyebabkan sistem ini gagal. Suhu tubuh berpotensi meningkat ke tahap yang bahaya.

Ia boleh menjadi punca berlakunya keletihan atau kepanasan melampau. Malah boleh menyebabkan sakit kepala, pening dan kejang otot.

Bagaimana untuk mengelakkan masalah ini?

1) Minum banyak air

Disebabkan anda kehilangan air dalam tubuh, anda juga perlu menggantikannya semula. Dalam keadaan biasa, seseorang yang memiliki berat badan 58 kilogram sepatutnya meminum lapan gelas air sehari. Iaitu berdasarkan peraturan biasa, untuk setiap 0.9 kilogram berat badan, anda memerlukan 28.4ml air.

Bagaimanapun, dalam cuaca yang panas, pengambilan air patut ditingkatkan. Sebaiknya nikmati air suam atau mungkin jus buah-buahan tetapi bukan minuman berkarbonat. Minuman berkarbonat atau alkohol hanya akan membuatkan anda kehilangan lebih banyak cecair dalam badan. Minuman ais juga sepatutnya dielakkan kerana ia boleh menyebabkan kekejangan pada perut.

2) Ubahsuai diet anda

Elakkan makanan pedas atau berat. Makanlah makanan sejuk terutama salad atau buah-buahan yang mengandungi kandungan air yang tinggi.

3) Rasional dalam melakukan senaman

Jangan bersenam atau beriadah pada waktu petang yang panas. Anda mungkin boleh memilih waktu lain yang lebih sesuai.

4) Pilih pakaian yang sesuai

Pastikan anda memakai baju dengan warna-warna terang, longgar dan diperbuat daripada kain kapas. Baju berwarna gelap menyerap haba.

5) Elakkan perangkap haba

Parkir kereta anda di kawasan yang tertutup. Kalau boleh berada dalam kawasan berhawa dingin. Jika perlu keluar dari pejabat atau rumah, pastikan anda sentiasa membawa air.


Fakta:

Kesan haba panas pada tubuh

  • 20 darjah Celcius - selesa, denyut nadi normal.

  • 25 darjah Celsius - peluh biasa.

  • 30 darjah Celsius - Ketidakselesaan.

  • 40 darjah Celsius - Kepanasan melampau, berpeluh, denyut nadi pantas, letih.

  • 45 darjah Celsius - Kepanasan melampau, peluh terhenti, panas dan kulit kering.

  • Sumber : http : //www.bharian.com.my/

    Jumaat, 26 Februari 2010

    Mahmood Zuhdi Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan

    PUTRAJAYA, 26 Feb (Bernama) -- Timbalan Dekan di Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid diumumkan penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.

    Beliau menerima anugerah tersebut daripada Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada majlis sambutan Maulidur Rasul pringkat kebangsaan di Masjid Putra di sini pada Jumaat.

    Beliau menerima hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, plak, sijil dan hadiah iringan.

    Enam penerima anugerah Maulidur Rasul yang lain ialah usahawan Faiza Bayumi Syed Ahmad, pendakwah dan penceramah bebas Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz, Pegawai Penyelidik Dr Tan Swee Lian, Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Yaacob Che Man, pesara dan bekas Pengarah Kesihatan Datuk Dr Abdul Razak Kechik dan pelajar Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamel.

    Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM22,000, plak, sijil dan hadiah iringan.

    Bagaimanapun, pada majlis itu Nik Nur Madihah tidak hadir dan diwakili oleh bapanya, Nik Mohd Kamel Husin berikutan anaknya itu sedang mengikuti pengajian di Universiti Jash, Irbid, Jordan di dalam bidang Fizik Islam.

    Sementara itu, Mahmood ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur dengan pengiktirafan yang diberikan terhadap sumbangannya.

    Bagaimanapun, katanya pengiktirafan seperti itu turut membimbangkan beliau sama ada dapat menyempurnakannya daripada segi membawa masyarakat untuk menjiwai dan menghayati ajaran Nabi Muhammad S.A.W yang sebenarnya.

    "Persoalannya, orang macam saya yang telah diberi anugerah sebagai tokoh Maulidur Rasul, sama ada saya mampu untuk membawa masyarakat kita kepada misi yang sebenar, visi dan sebagainya. Ini yang saya rasa kecil dan takut," katanya.

    Beliau juga berkata kajian perlu dilakukan untuk mencari mereka yang benar-benar berjasa tetapi tidak ditonjolkan atau menjadi tumpuan masyarakat supaya dapat diberikan pengiktirafan.

    "Kadang kala mereka itu adalah tokoh yang sebenar-benarnya. Jangan sampai mereka mati, baru hendak memberi anugerah dan sebagainya," katanya.

    Nik Mohd Kamel pula berkata anaknya Nur Madihah terkejut dan tidak menyangka akan memperoleh pengiktirafan seperti itu tetapi pada masa yang sama bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan.

    "Semoga ia menjadi satu dorongan kepada orang lain dan anak-anak lain untuk memberi kegembiraan kepada keluarga mereka sebagaimana Madihah berikan (kepada kami)," kata nelayan itu.

    Ibu Nur Madihah, Mariani Omar pula berkata anaknya itu menitiskan air mata ketika dimaklumkan mengenai pemberian anugerah itu.

    Nur Madihah adalah pelajar cemerlang yang memperoleh 19 1A dan satu 2A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Tan, pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) berkata beliau yang terkejut dengan penganugerahan itu menganggapnya sebagai pengiktirafan kepada tugas beliau selama lebih 30 tahun di Mardi.

    Beliau yang banyak menyumbangkan tenaga dalam perundingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam membangunkan penanaman industri, berkata pengiktirafan seperti itu dapat memberi dorongan kepada mana-mana rakyat Malaysia untuk turut sama memberi sumbangan kepada negara.

    Tan mempunyai kepakaran dalam bidang genetik tumbuhan, pembiakan tumbuhan, pengeluaran tumbuhan, fisiologi tanaman, hortikultur dan agronomi.

    Menerusi penyelidikan yang telah dijalankan, beliau berjaya mendapatkan hak milik intelektual bagi lima veraiti ubi kayu dan empat veraiti ubi keledek.

    Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, Faiza berkata beliau bersyukur dengan penganugerahan itu dan akan terus giat dalam kerja-kerja amal untuk masyarakat dan negara serta memberi sumbangan kepada sesiapa yang memerlukan.

    Antara sumbangan signifikan beliau kepada masyarakat adalah melalui Tabung Bersamamu TV3 yang telah banyak mengurangkan beban golongan yang memerlukan di negara ini.

    Sumber : http://www.bernama.com/

    Khamis, 25 Februari 2010

    Contohi perjalanan hidup, perjuangan Rasulullah

    Oleh Ibrahim Abdullah

    SEWAJARNYA acuan hidup Rasulullah sebagai gambaran penampilan diri yang amat istimewa sentiasa dicontohi umat Islam. Secara fizikal, tingkah laku, sikap, tutur kata, pemikiran, emosi hingga keikhlasan hati dan keluhuran jiwa baginda terserlah sekali gus mencerminkan bentuk keperibadian yang nyata. Ia menyentuh dan membekas begitu mendalam pada sanak saudara, sahabat, tetangga dan kawan.

    Tidak hairan selepas Rasulullah wafat, sahabat bertanya kepada Aisyah bagaimanakah gambaran baginda selama hidupnya? Aisyah tidak mampu menahan linangan air mata sambil berkata: “Segalanya begitu menakjubkan bagiku,” dan pada waktu lain Aisyah menjawab: “Sesungguhnya akhlak baginda adalah al-Quran.”

    Secara fizikal, Rasulullah digambarkan sebagai lelaki yang kuat, gagah, berani, dada bidang dan itu ditandakan dengan kuatnya baginda melakukan banyak ibadat, mengerjakan pekerjaan biasa sebagai lelaki dan bahkan turut berperang. Tidak ada pilihan terbaik dalam mencontohi penampilan diri kecuali apa-apa yang Rasulullah ajarkan.

    Al-Quran menginformasikan Rasulullah adalah teladan utama bagi umat manusia. “Sungguh ada pada diri Rasulullah itu suri teladan baik bagi kamu sekalian iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah.” (Surah Al-Ahzab: 21).

    Keteladanan Rasulullah tidak hanya terbatas sejak baginda diangkat menjadi nabi dan rasul bahkan sejak baginda dilahirkan hingga wafat. Seluruh perjalanan hidup dan perjuangan baginda menjadi uswah hasanah dan teladan yang baik bagi umat manusia.

    Dalam istilah agama, perjalanan hidup dan perjuangan baginda dinamakan as-sunnah. Secara bahasa, perkataan as-sunnah bererti kebiasaan atau tradisi. Namun dalam istilah agama, as-sunnah adalah apa yang menjadi kebiasaan Nabi Muhammad, perkataan, perbuatan mahupun persetujuan baginda mengenai suatu perbuatan yang dilakukan sahabat, sejak diangkat menjadi nabi dan rasul mahupun sebelumnya.

    Ringkasnya as-sunnah adalah sirah atau perjalanan hidup baginda sejak lahir hingga wafat keseluruhannya adalah uswah, teladan agung bagi umat manusia.

    Contoh uswah keteladanan, keunggulan, ketrampilan Rasulullah dalam kehidupan baginda dari remaja sehingga menjadi nabi dan rasul, juga pemimpin negara dan pemerintahan dapat dilihat meskipun baginda lahir sebagai anak yatim kerana kehilangan ibunda tercinta sejak berusia empat tahun. Baginda membesar sebagai remaja yang cerdas (fatanah), jujur dan boleh dipercayai (amanah), serta benar (siddiq) dalam ucapan dan perbuatan.

    Ketika diangkat menjadi nabi dan rasul, terpadu secara simfoni dengan sifat tabligh (menyampaikan) dengan empat sifat itu adalah sifat wajib mesti ada secara rasional pada diri seorang nabi dan rasul sebagai utusan Allah.

    Muhammad Husain Haikal, penulis sirah (biografi) terkenal dari Mesir menyatakan, rahsia kejayaan Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib tidak hanya ditentukan oleh empat sifat yang menjadi kredibiliti seorang nabi dan rasul tetapi juga kerana baginda sejak remaja memiliki kebiasaan ta’ammulat, mengamati, memikirkan, merenungkan keadaan sekitar, alam maya, geografi, sosial, politik dan kebudayaan termasuk adat istiadat masyarakat Arab waktu itu.

    Hasil proses ta’ammulat yang dilakukan secara tekun dan teliti itu menjulang baginda menjadi remaja yang mempunyai teladan dan peribadi cemerlang. Baginda juga dapat menyelesaikan masalah berbangkit antara kabilah di Makkah ketika meletakkan Hajaral Aswad di tempat asalnya di Kaabah. Kehadiran baginda menjadi rumusan bagi pelbagai masalah dengan kreatif, inovatif dan cerdas pemikiran mahupun tindakan.

    Dalam rumusan yang diusulkan baginda ada nilai kearifan, kecerdikan dan kepintaran yang boleh menjadi inspirasi bagi pejuang perdamaian, keadilan dan kemanusiaan. Bahkan dalam kata hikmah disebutkan ‘yadullah maal jamaah’ (tangan Allah berada dalam jemaah kebersamaan).

    Jelas, banyak lagi contoh teladan boleh diambil untuk mencontohi dan mengikuti jejak langkah yang ditampilkan Rasulullah dalam kehidupan harian bagi kaum Muslimin bersempena sambutan Maulidur Rasul, hari ini.

    Firman Allah bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyya': 107).

    Sumber : http : //www.bharian.com.my/

    Muhasabah sambut Maulud Nabi

    Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON

    IRONINYA menjelang sambutan hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, seluruh masyarakat Islam di Malaysia melakukan pelbagai persiapan termasuk perarakan, program ceramah dan forum bagi memperingati kelahiran insan agung ini.

    Segalanya dilakukan demi menunjukkan rasa kasih sayang yang tidak berbelah-bahagi terhadap baginda yang telah membawa rahmat dan kesejahteraan untuk seluruh alam.

    Ini juga bertepatan dengan sabdanya yang bermaksud "Tidak beriman seseorang kamu kecuali aku lebih dicintai daripada kedua ibu bapanya, anak dan manusia keseluruhannya".

    Namun setelah lebih 1400 tahun Nabi Muhammad SAW diutuskan dengan seruan untuk mentauhidkan Allah SWT serta memperelok akhlak manusia, terdapat segelintir masyarakat Islam yang masih tidak mengerti ajaran mulia yang dibawa oleh baginda.

    Perkara ini dapat dilihat daripada sudut kepercayaan, amalan syariah dan akhlak mulia yang sepatutnya sebati dalam diri individu Muslim. Ketiga-tiga aspek ini merupakan komponen utama ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

    Kepentingannya boleh diibaratkan seperti sebatang pokok yang tegak berdiri dek kerana akar tunjang yang menusuk bumi, dihiasi pula dengan dahan, ranting serta daun-daun menghijau yang kemudian menghasilkan buah yang enak dimakan.

    Kegagalan menghayati ajaran Islam sebagai cara hidup telah menyebabkan, aspek kepercayaan terhadap Rukun Islam dan Rukun Iman yang menjadi tonggak keutuhan akidah umat Islam tercalar lalu menyumbang gejala kerosakan akidah yang membimbangkan.

    Terbaharu, pendedahan sebuah kumpulan ajaran sesat di Putrajaya, jelas menyimpang daripada landasan akidah yang sebenar. Bagaimana mungkin seseorang mendakwa melihat Nabi Adam dan Nabi Sulaiman AS, sedangkan nikmat mimpi melihat Nabi Muhammad SAW pun sukar untuk diperoleh. Begitu pula dakwaan memiliki kitab yang mempunyai petunjuk lebih jelas berbanding al-Quran merupakan pembohongan nyata yang mengelirukan umat Islam.

    Gejala kerosakan akidah, berjangkit pula kepada masalah pelaksanaan undang-undang syariah, lalu ada yang berani mempersoalkan hukuman sebat kepada pesalah zina dan peminum arak.

    Bukankah Allah SWT dengan jelas menyatakan dalam Surah al-Maidah bahawa orang yang berzina lelaki dan perempuan hendaklah disebat dengan 100 kali sebatan, tanpa belas kasihan.

    Dalam konteks pelaksanaan ibadah pula, secara sedar atau tidak masih ramai yang melaksanakan ibadah tetapi di bawah indeks pencapaian kualiti ibadah (KPI) yang ditetapkan. Sebagai contoh, ramai yang solat tanpa disertai rasa khusyuk dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

    Begitu juga ada yang tak malu jika tidak berpuasa pada bulan Ramadan, orang kaya khuatir disindir kedekut jika tidak bersedekah ataupun pergi haji sekadar untuk mencukupkan pingat dan gelaran sedia ada.

    Apabila kerosakan akidah dan syariah semakin parah, ia menyumbang pula kepada kehancuran akhlak dan nilai murni yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Pergaulan bebas tanpa sempadan, berpelukan, berciuman di khayalak ramai bahkan bersekedudukan seolah-olah menjadi gaya hidup kepada sesetengah masyarakat Islam.

    Cara hidup yang tidak berpaksikan kecantikan akhlak Islam ini menyumbang pula kepada peningkatan maksiat, pembunuhan, buang dan bakar bayi, minum arak dan pelbagai aktiviti yang tidak bermoral. Begitu juga tatacara berpakaian yang menjolok mata dan menampakkan susuk tubuh sedikit sebanyak menyumbang kepada jenayah rogol dan gangguan seksual yang menjadi-jadi.

    Apa yang berlaku menampakkan realiti kehidupan umat Islam hari ini lebih buruk daripada masyarakat Arab jahiliah ketika Nabi Muhammad SAW diutuskan. Kalau dahulu mereka sanggup menanam anak hidup-hidup kerana malu dikurniakan cahaya mata perempuan kini segelintir masyarakat Islam lebih ke hadapan kerana tergamak membunuh sesiapa sahaja tak kira bayi perempuan, lelaki hatta khunsa sekalipun kerana malu akibat keterlanjuran zina yang dilakukan.

    Terbaharu kes bayi ditemui dibakar adalah episod pembunuhan kejam segelintir masyarakat jahiliah moden yang tidak berpenghujung. Tindakan mereka bersifat kebinatangan dan langsung tidak berperikemanusiaan.

    Lalu apakah cukup maulud Nabi Muhammad SAW diingati hanya dengan mengadakan majlis di masjid dan surau, kawasan kejiranan dan di jabatan-jabatan tertentu selama berbulan-bulan lamanya tanpa dihayati dan dilestarikan sunah dan ajaran yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad SAW.

    Jika begitulah amalannya ia tak ubah seperti meraikan sambutan hari jadi biasa yang dipenuhi pelbagai kuih-muih juga hidangan nasi minyak yang menyelerakan, diselitkan pula dengan sesi ceramah seperti program Raja Lawak yang menyebabkan semua hadirin ketawa terbahak-bahak dan pulang tanpa memperoleh apa-apa.

    Ada pula yang mengadakan sambutan Maulidur Rasul sebagai satu trend bagi memenuhi aktiviti tahunan yang juga perlu dihindari bagi mengelak tanggapan serong yang bakal mencemarkan kesucian institusi kenabian.

    Justeru, sempena ketibaan hari mulia ini, umat Islam diseru untuk mengamalkan 4M terhadap sirah perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW. Mereka diseru memiliki sekurang-kurangnya sebuah kitab sirah, kemudian membaca, memahami isi kandungannya dan mempraktikkan setiap sunnah tinggalan nabi sebagai jalan selamat untuk beroleh kejayaan hidup dunia dan akhirat.

    Dengan cara ini juga kita akan lebih mengenali personaliti dan peribadi Nabi yang dikasihi oleh kawan dan lawan.

    PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/

    SALAM MAULIDUR RASUL (S.A.W) 1431 HIJRAH

    "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan yang banyak mengingati Allah."
    ( Al- Ahzab(33) : Ayat 21)


    Pelajar SMKTPP Tg Muhammad Pelajar Terbaik Negeri Pahang

    GAN DEE YEE

    2,573 calon STPM lulus penuh

    KUANTAN - Pahang mencatatkan penurunan 0.10 peratus kelulusan penuh dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) bagi tahun lalu 95.94 peratus berbanding 2008 (96.04 peratus).

    Pada keputusan yang diumumkan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cenderawasih, di sini, semalam menunjukkan seramai 2,573 atau kira-kira 96 peratus daripada 2,684 calon negeri mencatat kelulusan penuh STPM 2009.

    Daripada jumlah 47 sekolah bantuan penuh kerajaan yang mendaftarkan calon peperiksaan STPM tersebut, seramai 401 calon mendapat lima prinsipal (5P), 1,144 (4P), 492 (3P), 308 (2P) dan 230 (1P).

    Dalam pada itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis muncul sekolah terbaik di negeri ini selepas mencatat keputusan kelulusan 100 peratus dalam STPM 2009 apabila 28 calonnya memperoleh pencapaian tertinggi 5P.

    Pelajar sekolah itu, Hoo Xiao Mei mendapat Gred A dalam semua 10 kertas bagi lima mata pelajaran yang diambil. Seorang lagi calon yang berjaya mencatat keputusan sama adalah pelajar SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad, Gan De Yee.

    Sekolah itu antara 14 sekolah di negeri ini berjaya mencapai keputusan kelulusan 100 peratus
    .

    Sekolah itu juga berjaya mengekalkan keputusan sama seperti yang tercatat pada 2008 dan tujuh lagi sekolah lain yang berjaya mengekalkan keputusan sama adalah SMK Tengku Abdullah, Pekan, SMK Tersang, Raub, SMK (Agama) Tengku Ampuan Hajah Afzan, Jerantut, SMK Seri Rompin, SMK (Perempuan) Methodist, Kuantan dan SMK Abdul Rahman Talib, Kuantan dan SMK Tengku Ampuan Afzan, Maran.


    Selebihnya, SMK Padang Saujana, Jerantut, SMK Chini, Pekan, SMK Seri Jengka, Maran, SMK Alor Akar, Kuantan, SMK Tanjung Gemok, Kuala Rompin dan SMK Cenderawasih yang turut mencatat keputusan sama.

    Abdul Aziz berkata, selain 14 sekolah tersebut, terdapat 30 sekolah mencapai kelulusan melebihi 90 peratus dan tiga lagi melebihi 80 peratus.

    Menurutnya, dua calon berjaya merangkul keputusan semua A bagi lima pelajaran dan 13 lagi mendapat keputusan cemerlang semua A bagi empat mata pelajaran yang diambil.

    “Daripada segi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK), SMK Clifford mencatatkan prestasi terbaik peringkat negeri dengan PNGK 3.22 dan 22 calon berjaya mencatat PNGK 4.0,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

    Beliau berkata, sebanyak 22 mata pelajaran ditawarkan di sekolah untuk calon STPM tahun lalu dan 14 mata pelajaran mencapai keputusan peratusan lulus penuh yang meningkat daripada 1.69 hingga 24.54 peratus.

    Ditanya pencapaian pelajar antara sekolah bandar dan luar bandar, beliau berkata, kedua-duanya mencatat keputusan seimbang menunjukkan kemudahan dan tenaga pengajar yang sama rata di kedua-dua jenis sekolah itu.

    “Kalau kita lihat analisis kelulusan, terdapat juga sekolah dari kawasan Felda iaitu SMK Chini dan Tersang mencatat kelulusan 100 peratus,” katanya.

    Sumber : http://www.sinarharian.com.my/