Rabu, 31 Mac 2010

30 Pelajar Terbaik SPM 2009 Terima Biasiswa Nasional

KUALA LUMPUR: Seramai 30 pelajar paling cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 yang mendapat "A+" bagi semua mata pelajaran hari ini diumumkan sebagai penerima Biasiswa Nasional 2010 yang diwujudkan buat pertama kali.

Mereka akan berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka dunia dalam bidang-bidang pilihan mereka yang telah diikhtiraf oleh kerajaan.

Senarai penerima biasiswa itu diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan petang ini.

Mereka ialah Gladys Tan Yee Kim (SMK Green Road, Kuching) yang merupakan pelajar terbaik SPM 2009, Grace Kiew Sze-Ern (SMK Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya), Khadijah Ahmad Jais (SM Agama Persekutuan, Labu), Akmal Hidayat Sabri (SMK Derma, Kangar), Syamilah Mahali (Kolej Tunku Kurshiah, Seremban), Amelia Lee Wei Ling (SMK Taman Melawati, Gombak), Nur Syuhadah Muhamad (SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Baharu) Lai Yin Kwin (SMK Tinggi Melaka), Corinne Gunn Huey Min (SMK Taman Melawati, Gombak), Hu May Khei (SMK Convent, Taiping);Muhammad Amal Aiman Mohd Yusof (MRSM Kota Baharu), Kuah Jia Ying (SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang), Chean Chung Shen (SMK Methodist (ACS) Sitiawan), Ahmad Zhafir Zulkfli.

Biasiswa itu diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2010 di Parlimen pada Oktober lepas sebagai ganjaran untuk pelajar yang cemerlang.

Perdana Menteri juga berkata pemilihan adalah berdasarkan merit dan penerima biasiswa akan dapat melanjutkan pelajaran ke universiti terkenal dunia.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu, pelajar-pelajar yang ditawarkan biasiswa itu akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat persediaan dalam negara yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Setiap pelajar dikehendaki mencapai tahap kecemerlangan yang ditetapkan semasa di peringkat persediaan bagi melayakkan mereka meneruskan pengajian di luar negara.

Mulai tahun ini, kerajaan telah memutuskan untuk menaja pelajar lepasan SPM yang paling cemerlang mengikuti pengajian ke universiti-univeriti terkemuka di peringkat ijazah pertama di dalam dan luar negara.

"Program penajaan ini bertujuan untuk menyediakan biasiswa yang berprestij untuk pelajar-pelajar lepasan SPM yang paling cemerlang dalam melahirkan modal insan yang berkualiti untuk menjamin kesinambungan keupayaan negara pada masa akan datang," menurut kenyataan itu.

Pelajar terbaik SPM 2009 Gladys Tan, selepas menerima keputusan peperiksaan itu pada 11 Mac lepas, berkata beliau bercita-cita menjadi seorang pensyarah dalam bidang kaji hayat atau yang berkaitan dengannya.

Sumber: http://www.bernama.com/

Nota Hujung:

Kejayaan para pelajar cemerlang SPM kebangsaan memperoleh Biasiswa Nasional ini sewajarnya dapat merangsang motivasi calon SPM 2010 untuk meningkatkan kesungguhan dalam mempersiap diri untuk menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang pada akhir tahun ini. Akhirnya, tahniah kepada pemenang anugerah biasiswa yang penuh berprestij ini. "Bakti disemai, budi dituai".

Selasa, 30 Mac 2010

Maksiat Melemahkan Hati, Menghilangkan Keberkatan

DOSA bukan perkara kecil. Hari ini ramai orang memandang remeh soal dosa. Sesetengah umat Islam kini bukan saja tidak takut berbuat dosa malah seronok pula melakukannya. Menurut Ibnu Qayyim, akibat yang akan menimpa pelaku maksiat antaranya:

1. Maksiat akan menghalang diri daripada mendapatkan ilmu pengetahuan. Ilmu adalah cahaya yang dipancarkan ke dalam hati. Ketahuilah, kemaksiatan dalam hati dapat menghalang serta memadamkan cahaya itu.

2. Maksiat menghalang rezeki. Jika ketakwaan adalah penyebab datangnya rezeki, maka meninggalkan ketakwaan bererti menimbulkan kefakiran.

Rasulullah s.a.w bersabda, "Seseorang hamba dicegah daripada rezeki akibat dosa yang dibuatnya." (HR Ahmad).

Justeru, kita perlu meyakini takwa adalah penyebab datangnya rezeki serta memudahkan rezeki kita. Jika saat ini kita berasakan betapa sulitnya mendapatkan rezeki Allah, maka tinggalkan kemaksiatan! Jangan kita penuhi jiwa kita dengan debu maksiat.

3. Maksiat membuat kita jauh daripada Allah. Diriwayatkan ada seorang lelaki mengeluh kepada seorang arif berkenaan kesunyian jiwanya. Arif itu berpesan, "Jika kegersangan hatimu akibat dosa, maka tinggalkanlah perbuatan dosa itu."

4. Maksiat membuat sulit semua urusan kita. Ketaatan adalah cahaya, sedangkan maksiat adalah gelap gelita.

Ibnu Abbas r.a. berkata, "Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan kecerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kekuatan badan dan kecintaan. Sebaliknya, perbuatan buruk mengundang ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di dalam kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki dan kebencian makhluk.

5. Maksiat melemahkan hati dan badan. Kekuatan seorang mukmin terpancar daripada kekuatan hatinya. Jika hatinya kuat, maka kuatlah badannya.

6. Maksiat menghalang untuk kita taat. Orang melakukan dosa dan maksiat cenderung untuk tidak taat. Orang yang berbuat maksiat seperti orang yang satu kali makan, tetapi mengalami sakit berpanjangan.

7. Maksiat memendekkan umur dan menghapus keberkatan. Pada dasarnya, umur manusia dihitung daripada masa hidupnya.

Imam Nawawi hanya diberi usia 30 tahun oleh Allah s.w.t. Meskipun hidupnya pendek, namun berkat. Kitab Riyadhush Shalihin dan Hadits Arbain yang ditulisnya memberinya keberkatan dan usia yang panjang, sebab dibaca oleh manusia daripada generasi ke generasi hingga saat ini dan mungkin generasi yang akan datang.

8. Maksiat mematikan bisikan hati nurani. Maksiat melemahkan hati daripada kebaikan dan menguatkan kehendak melakukan maksiat lain. Itulah akibat maksiat. Tidak ada lagi rasa malu ketika berbuat maksiat. Jika orang sudah biasa berbuat maksiat, dia tidak lagi memandang perbuatan itu sebagai sesuatu yang buruk. Tidak ada lagi rasa malu melakukannya. Bahkan dengan bangga menceritakan perbuatan maksiat yang dilakukannya kepada orang lain.

9. Maksiat menumbuhkan maksiat lain. Seorang ulama salaf berkata, jika seorang hamba melakukan kebaikan, maka hal itu akan mendorongnya melakukan kebaikan yang lain dan seterusnya. Oleh itu, berhati-hatilah. Jangan sesekali cuba melakukan maksiat kerana ia akan menyebabkan 'ketagihan' dan sukar untuk berhenti jika ia menjadi satu kebiasaan.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Sabtu, 27 Mac 2010

Nasib bahasa Melayu di bumi sendiri

Oleh Teo Kok Seong
teokok@ukm.my


Kita perlu beri contoh terbaik dalam usaha mengantarabangsakan lingua franca sendiri


CADANGAN mewajibkan subjek Bahasa Melayu (BM) untuk sekitar 65,000 pelajar asing yang kini menuntut di Malaysia adalah satu langkah yang sudah tentu baik dalam usaha kita mengembangkan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi untuk mengantarabangsakannya.

Antara kepentingannya dalam konteks ini, bahasa Melayu adalah wadah komunikasi di negara ini, pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang baik akan membolehkan pelajar ini berfungsi dengan baik dalam masyarakat Malaysia, sama ada dari segi kedua-dua kecekapan tatabahasa dan budi bahasa Melayu. Sebetulnya kesan ini cukup sahih dan perlu disokong. Namun, adakah prasarana serta ekologi bahasa Melayu yang wujud kini, sama ada yang formal atau sebaliknya, mendukung keadaan yang kondusif? Kedua-dua ini amat penting dalam membantu serta mendorong pelajar ini untuk menekuni bahasa Melayu, khususnya atas rangsangan integratif, yakni bukan saja untuk bercampur gaul, tetapi mengadunkan diri mereka dalam kehidupan tempatan, sementara mereka berada di Malaysia.

Jawapannya tidak positif seperti yang sepatutnya. Bahasa Melayu walaupun diberi pelbagai paparan baik lagi indah oleh sesetengah pihak, sebenarnya ia melukut di tepi gantang dalam beberapa hal di bumi watannya sendiri. Ekologi linguistik di negara ini tidak selalu memperlihat kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, iaitu dalam konteks sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Sebagai contoh, penamaan awam di Malaysia tidak banyak yang menggunakan bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Inggeris lebih menjadi norma. ‘Bangsar South’ untuk sebuah perbandaran baru di Kuala Lumpur serta ‘Mara Liner’ bagi bas yang memberi perkhidmatan di kawasan luar bandar, khususnya penempatan komuniti Melayu adalah antara contohnya.

Mahu tidak mahu, semua ini memberi mesej bahawa bahasa Melayu tidak penting lagi, bukan saja kepada pelajar asing ini, tetapi juga kepada masyarakat Malaysia sendiri. Sehubungan ini, masyarakat tempatan ikut memberi gambaran negatif terhadap bahasa Melayu apabila mereka tidak banyak menggunakannya, khususnya dalam konteks sebagai bahasa negara untuk berkomunikasi sesama sendiri. Mereka lebih gemar dan bangga menggunakan bahasa lain dan jika bahasa Melayu digunakan, ia digunakan dalam bentuk campur aduk pula.

Gambaran yang buruk terhadap bahasa Melayu ikut berlaku apabila kita tidak mahu menggunakannya ketika bercakap dengan sesetengah pelajar asing ini, walaupun ada antara mereka fasih dalam bahasa Melayu. Sebaliknya, kita menggunakan bahasa Inggeris sebagai ganti. Sikap jelek kita ini memberi gambaran bahawa masyarakat Malaysia tidak bangga, sayang dan setia kepada bahasa negara sendiri. Sesungguhnya ini bukan gambaran lagi, tetapi kenyataan benar mengenai perbuatan, pandangan dan kepatuhan kita terhadap bahasa Melayu.

Komuniti Melayu selaku penutur natif atau asal bahasa Melayu perlu mempamerkan teladan yang baik dalam memperlihat sikap positif terhadap bahasa itu. Mereka perlu pada setiap masa ‘memperlaku’ bahasa Melayu, yang bukan saja bahasa ibunda mereka, tetapi kini sudah menjadi bahasa negara yang mewakili dan dimiliki oleh semua, dengan penuh tertib dan adab. Dalam hal ini, mereka perlu menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul serta yang tidak bercampur aduk, khususnya pada majlis dan upacara rasmi.

Penggunaan seperti itu bukan saja penting dalam menyampaikan mesej bahawa bahasa Melayu berwibawa, tetapi dibangga selain diyakini sendiri oleh kalangan penutur natifnya mengenai kewibawaan itu. Sebetulnya kewibawaan bahasa Melayu perlu wujud dalam pelbagai bentuk yang mantap. Antaranya ialah pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya yang bukan asal, yang perlu dipertingkatkan agar melepasi bentuk yang dikenali sebagai ‘bahasa pasar’.

Masih ramai dalam kalangan ini yang hanya mampu berbahasa pasar ketika menggunakan bahasa Melayu, misalnya dalam bentuk “Saya atak pompuan punya, balu kawin sama Ipoh punya olang.” Kecekapan bahasa Melayu sebegini, khususnya dalam kalangan muda, selepas menghuni Malaysia sejak 1957 adalah bukan saja tidak baik untuk imej bahasa Melayu sebagai bahasa negara, tetapi yang lebih mudarat lagi ialah pengertian nasionaliti Malaysia mereka dalam konteks bahasa Melayu, iaitu bahasa tanah air mereka!

Sikap begini sudah tentu diperhati oleh kalangan pelajar asing, yang mungkin merumuskan bahawa bahasa Melayu tidak banyak dihormati oleh warga Malaysia sendiri. Hal ini ikut dirumuskan oleh pekerja asing. Sesetengah daripada mereka didapati fasih dalam bahasa Melayu, walaupun baru saja tiba, jika dibandingkan dengan segelintir pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), yang didapati sama sekali tidak fasih dalam bahasa Melayu, walaupun dilahir dan dibesarkan di Malaysia!

Dalam soal pengekalan bahasa Melayu dalam bentuk daif ini, komuniti Melayu boleh ikut dipersalah. Mereka sering berkomunikasi dengan komuniti bukan asal dalam bahasa Melayu sebegini, walaupun ketika berkomunikasi dengan mereka yang amat fasih. Sifat akomodatif ini daripada komuniti Melayu perlu dihentikan dan digantikan dengan komunikasi dalam bahasa Melayu yang baik dan betul, tetapi dalam bentuk yang mudah.

Sebenarnya banyak yang perlu dilakukan sebelum kita memperluas domain penggunaan bahasa Melayu, khususnya kepada pelajar asing di negara ini dan juga dalam usaha kita mengantarabangsakan bahasa Melayu. Untuk tujuan ini, pertamanya, masyarakat Malaysia perlu memperlihatkan sikap yang lebih positif terhadap bahasa Melayu. Sikap ini boleh dipupuk dan seterusnya diperlihatkan oleh semua sektor masyarakat Malaysia dengan agak mudah. Bahasa Melayu yang menjadi alat perpaduan bangsa dan kemajuan negara, sudah ‘dikodifikasikan’ dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Dalam soal ini, tekad terhadap bahasa Melayu perlu diperbaharui semula, melalui teladan yang penuh dengan iltizam dan tanggungjawab daripada komuniti Melayu selaku penutur natif, yang akan pula diikuti dengan kesan yang positif daripada pelbagai komuniti bukan Melayu lain. Ini penting bukan saja dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di negara ini, tetapi juga untuk melestarikannya pada persada dunia. Sesungguhnya bahasa Melayu yang juga bahasa kelima terbesar di dunia, mempunyai banyak potensi.

Penulis ialah Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ilmu munakahat atasi zina

Oleh Harussani Zakaria

DARI Maimunah Binti Harith r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda: Umatku sentiasa berkeadaan baik selama tidak ada orang yang berzina. Namun sekali zina telah meluas di kalangan mereka, maka azab Allah akan turun kepada mereka semua. (Riwayat Ahmad)

Mutakhir ini, media mendedahkan berita pembuangan bayi yang saya percaya cukup menyedihkan kita semua. Sama ada bayi itu Islam atau bukan Islam, Melayu atau bukan Melayu,bayi itu tidak berhak diperlakukan sedemikian rupa. Saya merenung permasalahan ini dan bertanya, apakah erti pembangunan yang telah kita bangunkan pada hari ini, jika dalam masa yang sama akhlak manusiawi kita runtuh roboh.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara ( JPN) telah memaklumkan statistik pendaftaran anak luar nikah yang menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun. Pada tahun 2007, 16,100 anak luar nikah didaftarkan, tahun 2008 seramai 16,541 dan tahun 2009 seramai 17,303. Malah yang lebih memeranjatkan saya dalam 5 tahun terakhir ini, JPN telah mencatatkan seramai 74,723 anak luar nikah daripada kalangan orang Melayu Islam telah didaftarkan.

Fakta yang dibentangkan pada kita di atas, sememangnya cukup serius dan merisaukan. Saya tidak faham jika ada pihak-pihak yang boleh rasa selesa dengan angka-angka tersebut. Ia cukup bagi kita mengandaikan indeks kebejatan akhlak di kalangan masyarakat kita cukup merosot, iman yang semakin rapuh, perintah Allah dilanggar, larangan Allah juga yang dibuat.

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda: Tidak berzina seorang penzina itu dalam keadaan beriman. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam hal ini kita sepatutnya menggandakan usaha bagi membanteras punca masalah ini tanpa hanya menuding jari kepada pihak-pihak tertentu sahaja. Masalah pembuangan bayi seumpama buah busuk di sebatang pokok. Biasanya kita tidak peduli tentang penjagaan pokok hinggalah sampai musim buah. Namun segala sudah terlambat bila buah yang disangka ranum rupanya busuk dimakan ulat.

Saya berpendapat isu pembuangan bayi berpunca daripada perlakuan zina atau sumbang mahram. Saya sukar untuk mempercayai anak-anak ini dibuang kerana tekanan kemiskinan. Namun dua punca masalah yang telah disebutkan iaitu zina dan sumbang mahram yang saya percaya cukup relevan dengan isu ini.

PENDEKATAN

Oleh itu satu pendekatan menyeluruh dan bersepadu perlu kita lipat gandakan melibatkan semua aspek. Contohnya di peringkat sekolah, pentarbiyahan agama dan moral perlu ditekankan dengan sungguh-sungguh. Perlu ada suasana yang konstruktif dalam penerapan agama dan moral di sekolah. Pendidikan agama bukan seperti pendidikan sains, lukisan mahupun matematik. Pendidikan agama satu pendidikan yang bermula daripada penyampaian ilmu, kemudian perlu diamalkan dan akhirnya dihayati hingga berkesan ke dalam lubuk hati.

Saya sejak dulu lagi telah menyarankan ilmu munakahat ini diajarkan dengan lebih serius di sekolah. Ada orang sarankan untuk diajar pendidikan seks di sekolah. Namun saya rasa pendidikan munakahat lebih sesuai. Istilah pendidikan seks itu sendiri dalam masyarakat kita belum dapat kita terima. Tetapi ia istilah dan pendekatan ilmu munakahat lebih sesuai. Dalam munakahat kita bukan saja diajar perhubungan suami isteri, pergaulan lelaki dan perempuan, malah lebih dari itu hubungan dosa dan pahala, hubungan kita dengan Allah. Tiada masalah untuk kita serapkan pendidikan tentang biologi manusia sesuai dengan peringkat umur.

Begitu juga dengan susun atur reka bentuk rumah. Nabi Muhammad SAW mengajar kita untuk mengasingkan bilik anak-anak dari ibu bapa. Bila sampai umur 10 tahun kita perlu pisahkan pula anak-anak lelaki dan perempuan. Hari ini setiap rumah kita perlu ada tiga bilik iaitu bilik ibu bapa, anak lelaki dan anak perempuan. Ini supaya pergaulan anak-anak lelaki dan perempuan begitu juga ibu bapa punya privacy. Dalam perancangan perumahan hari ini juga saya lihat ada kawasan perumahan yang tidak ada surau. Surau sebenarnya berperanan untuk menjadi pusat pendidikan agama mahupun masyarakat. Dalam kuliah-kuliah ilmu, solat jemaah, ceramah-ceramah, aktiviti qiamullail dan pelbagai lagi aktiviti lain, boleh memberikan kekuatan pada individu dan masyarakat membendung masalah ini.

Biarpun begitu, saya ingin menyarankan bahawa kesepaduan yang dibina dalam solat di mana-mana surau atau masjid itu perlu dijelmakan di luar, di mana masyarakat juga mesti bersatu dan berpadu menjaga batasan halal dan haram dan membina sensetiviti terhadap perlakuan sumbang dalam masyarakat.

Pertembungan antara al-amru bil ma‘ruf dan al-amru bil munkar, juga menjadi virus dalam masyarakat kita. Tilawah al-Quran kita anjurkan, namun kita juga dihidangkan program hiburan yang terang-terang melanggar syarak mahupun budaya. Masjid kita bina, namun disekelilingnya juga pusat-pusat hiburan pelbagai peringkat umur dibiarkan beroperasi tanpa kawalan. Remaja dengan pusat siber kafe dan permainan video, orang tua pula dengan disko dan pusat perjudian. Tambahan pula program-program agama dijalankan pada hari ini lebih berupa acara rasmi dan kosmetik. Dengan kekangan, kawalan dan batas-batas yang kadang-kadang tidak munasabah dan tidak profesional, ia sudah tiada ruh dan sentuhan magik seperti satu masa dulu. Jika satu stesen televisyen menyiarkan rancangan forum, satu lagi menyiarkan acara anugerah muzik, saya yakin tanpa perlu kita susah- susah untuk kaji, jawapannya sudah pasti rating acara anugerah muzik yang lebih tinggi. Inilah cabaran buat kita hari ini.

Kerana itulah saya mahu menyeru seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia untuk sama memikul bebanan ini. Ini bukan masanya untuk kita menuding jari, namun masa yang terbaik untuk kita mula bekerja bagi memperkembangkan dakwah ini. Jika semua individu mula bekerja memperbaiki masalah-masalah yang telah kita sebutkan, saya percaya dengan izin Allah SWT kita akan mampu menjadi umat yang terbaik.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 26 Mac 2010

Azizulhasni cipta sejarah lagi

PELUMBA trek negara, Mohd Azizulhasni Awang mengibarkan Jalur Gemilang di Velodrom Ballerup Super Arena selepas meraih perak acara keirin pada Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI di Copenhagen, Denmark, awal pagi semalam. Gambar kecil Azizulhasni mengucup pingat perak yang dimenangi.

Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my

Raih perak acara keirin Kejohanan Dunia Trek UCI

SEJARAH sekali lagi tercipta dalam sukan berbasikal trek apabila Mohd Azizulhasni Awang meraih perak pertama acara keirin Kejohanan Dunia Trek UCI di Copenhagen, Denmark, awal pagi semalam.

Selain menebus kekecewaannya dalam acara berkenaan di Pruszkow, Poland tahun lalu, harapan pingat Olimpik 2012 itu turut berpeluang menguji kemampuannya menyaingi pemenang empat pingat emas Olimpik, Chris Hoy pada final acara keirin berkenaan. Azizulhasni yang menyarung jersi putih UCI selaku pendahulu mata, begitupun akur kepada Hoy yang turut mengecewakannya di Beijing 2008, tetapi menegaskan sasaran sebenarnya adalah merangka strategi baru untuk merampas kejuaraan Olimpik daripada jaguh Britain itu.

Berdasarkan persiapan Azizulhasni tahun ini yang diselang-seli dengan kesibukan dalam pengajian universiti, pelumba kelahiran Dungun itu tidak meletakkan harapan tinggi di Arena Super Ballerup.

“Sasaran utama saya ialah memenangi emas di Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini,” kata Azizulhasni. “Jadi keputusan ini boleh dianggap membanggakan memandangkan prestasi saya tidak berada pada tahap terbaik.

“Apa yang lebih penting, saya dapat bersaing dengan Chris Hoy, dan ia memberi gambaran awal mengenai kemampuan sebenar di Olimpik 2012 nanti.”

Begitupun, Azizulhasni boleh berbangga kini sebagai antara pakar keirin dunia, selepas hanya ketinggalan setengah tayar di belakang Hoy ketika melintasi garisan penamat tetapi selesa di depan bekas juara 2009, Maximilian Levy dari Jerman.

Menurut Azizulhasni, emas dan jersi pelangi begitu hampir dalam genggaman sebaik acara final bermula, tetapi halangan dari Levy menyebabkannya hanya keluar dari kepungan ketika perlumbaan berbaki 50 meter.

Dalam laluan ke final sebelum itu, dia mengungguli Saringan 3 pusingan pertama yang menyaksikan seorang lagi pelumba negara, Josiah Ng, dibatalkan penyertaannya kerana menyebabkan Hoy terjatuh.

Pada pusingan kedua, Azizulhasni yang diletakkan dalam kumpulan sama dengan Hoy, menempah tiket ke final selepas melintasi garisan penamat di belakang pemegang gelaran 10 kejuaraan dunia itu tatkala Levy mengungguli kumpulan kedua.

Pengurus pasukan trek kebangsaan, Datuk Naim Mohamad, melahirkan kegembiraan dengan prestasi Azizulhasni itu.

“Ini satu detik bersejarah bagi negara kerana memenangi pingat pertama di Kejohanan Dunia dalam acara keirin,” kata Naim.

Hari ini, kontinjen dua pelumba itu akan turun dalam acara saringan pecut, dan Azizulhasni sekali lagi menjadi taruhan terbaik untuk mengulangi pencapaian di Poland tahun lalu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Membudayakan tulisan jawi

Saya bagi pihak rakan-rakan dari kementerian sesungguhnya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kehadiran saudara dan saudari pada pagi ini untuk ke sekian kalinya kita melangkahkan kaki ke Auditorium Perpustakaan Negara ini.

Sebagaimana maklum, di sinilah dahulu kita melancarkan buku demi buku ataupun program demi program yang berkaitan dengan seni budaya atau apa jua yang boleh melonjakkan tamadun di tanah air yang dikasihi. Atas usaha-usaha itu juga, kita berkumpul pada pagi ini bagi meningkatkan semula azam ke arah mencetuskan minat supaya tulisan jawi amnya dan Utusan Melayu hidup terus kembang dan maju.

Saya masih ingat bagaimana sukarnya kita pada 2006 untuk menghidupkan semula cetusan perasaan dan sokongan terhadap akhbar ini. Setelah kita melangkah sekian lama dalam jurusan-jurusan yang pada saat ini tidak wajar kita sebutkan satu persatu, maka timbul persoalan yang paling penting untuk dijawab iaitu bagi kita bertanya kepada diri sendiri, bagaimanakah akhirnya skrip budaya, skrip tamadun tulisan jawi ini di sisi masyarakat Melayu dan di sisi masyarakat Malaysia sendiri.

Saya memang sedar tulisan skrip Mandarin boleh mendokong industri penerbitan yang menguntungkan dan saya diberitahu bahawa, akhbar seperti Nan Yang Siang Pao, China Press serta Sin Chew Jit Poh melonjak dan terus melonjak, bukan sahaja dari segi penerimaan masyarakat rakan-rakan Tiong Hua kita tetapi dari segi perusahaan perniagaan itu sendiri.

Mengenai tulisan Tamil yang didokong oleh akhbar-akhbarnya juga menjadi tamparan hebat kepada masyarakat Melayu di negara ini tentang skrip tulisan jawi kita sendiri yang tidak dapat muncul ke tahap seperti yang dilaksanakan bagi rakan-rakan kita di bawah etnik yang dua itu.

Bagi saya, tentu sekali hal ini berkaitan dengan pelbagai aspek persoalan, antara persoalan-persoalannya adalah soal budaya, soal pendekatan yang kita harus pecahkan dan atasi iaitu pembudayaan itu sendiri. Soal ini amat berat dan mendalam, tentu sekali tidak wajar dan tidak mampu bagi kita berpolemik. Ia mesti menjadi sebagai satu ukuran kepada pemikiran orang Melayu sendiri.

Tetapi soalnya adakah masyarakat Melayu itu sendiri berfikir ke arah itu, atau mereka hanya senang melihat apa yang dianggap sebagai kesimpulan-kesimpulan bahasanya sendiri. Adakah orang Melayu kita sedar bahawa bahasanya sendiri sedang berada pada graf yang menurun dari segi sebenar. Saya tanya rakan-rakan, antara lapan yang menjawab, dua kata benarlah itu tetapi yang enam lagi hanya melebarkan senyum kepada saya.

Aspek pesimis ini kita lihat dahulu, kita lihat bagaimana Latin hilang daripada pengaruhnya, kita lihat bagaimana tulisan Palawi Melayu hilang setelah ia diinskripsi. Hal-hal ini bukan hanya menimbulkan inti pemikiran kepada para sarjana atau mereka yang menganggap diri mereka sebagai sarjana tetapi ini adalah landasan sejarah kita.

Apakah yang harus kita lihat semasa sempatnya kita bercakap secara spesifik sedikit tentang budaya dan tulisan serta bahasa kita. Pertama, saya tidak segan untuk menyatakan semula iaitu selagi orang Melayu tidak pasif terhadap budayanya, kepada seninya, kepada bahasanya, selama itulah kita terpaksa tanggal topi minta derma untuk menghidupkan budaya kita sendiri.

Ini merupakan satu perkara yang memalukan bagi kita. Sepatutnya Utusan Melayu diberi sebesar-besar sokongan, sepatutnya tulisan jawi orang berfikir dengan lenggok skripnya walaupun dengan wajah baru kita tukar sedikit, namun skrip jawi itu, ayat-ayat dalam al-Quran itu, ayat-ayat dalam hadis itu perlu kembali menjadi igauan kita atau impian kita.

Oleh kerana ini tidak berlaku, maka apa yang disebut oleh Ruth Benedict (buku Pattern of Culture) itu benarlah iaitu kita tidak dapat keluar dari kepompong yang menyekat kita untuk bertindak proaktif menerusi budaya kita sendiri.

Saya telah bandingkan iaitu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang bahasanya sekarang bukan lagi sekerat ular tetapi hanya seperhitungan, sekecil-kecil dan sependek-sependek yang dapat kita baca.

Di negara Arab, didapati SMS itu masih dalam jawi sebahagiannya seperti di Mesir, Jordan dan di beberapa tempat. Tetapi di sini, kita tentu tidak memikirkan hal itu semua, jadi bagi kita untuk mempersoalkan dalam konteks komunikasi, apakah wajar atau tidak kita cuba menskripkan jawi menerusi SMS.

Ini namanya local content atau kandungan tempatan. Apabila dilihat dalam telefon bimbit, bahasa Mandarin boleh di SMS dari Hong Kong ke Singapura dan juga dari setempat ke tempat yang lain.

Apa yang ingin saya cetuskan adalah minda terbuka untuk membantu bibit budaya kita kembali. Soal yang penting dijawab kini apakah agensi budaya yang menyatukan kita adalah bahasa. Tetapi kalau bahasa tidak tercetus dalam hati kita untuk menggemblengkan tenaga, kita tidak akan sampai ke mana.

Kita hanya boleh menyanyi dalam lagu kita, bersenandung lagu lama dalam bahasa kita, tetapi kita tidak menjiwai bahasa kita.

Soalnya, apakah pembaharuan yang boleh kita bawa ini memerlukan pendekatan politik. Bukan itu sahaja tetapi kesedaran di kalangan kita seperti perkara 160 Perlembagaan Malaysia iaitu seseorang yang berbahasa Melayu secara lazim beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Adakah ketiga-tiga itu kita isi dengan ketiadaan jawi kita, dengan salahnya kita bercakap sekarang, dengan rencong dan sukarnya kita berhubung dalam bahasa Melayu dan sentiasa menggunakan perkataan-perkataan orang lain.

Jawapan itu ada di dalam, cuma bagi kita yang hadir dan bagi mereka yang membuat dasar, mungkin apa yang disebut sebagai kilatnya beliung sudah ke kaki dan kilatnya cermin sudah ke muka.

Dalam konteks inilah, saya mengucapkan tahniah kepada Perpustakaan Negara, kepada Utusan Melayu, kepada cerdik pandai dan rakan-rakan yang masih tersisip di dalam dadanya untuk berjuang.

Sebab itu apa yang diserukan oleh Datuk Aziz Ishak perlu kita ambil sebagai natijah baru iaitu disisipkan dalam pemikiran kita dan saya pohon juga kepada Kementerian Pelajaran supaya soal tulisan jawi ini diperluaskan sedikit formatnya dan juga anjuran kita menerusi aktiviti.

Oleh yang demikian, saya suka memberikan komitmen kepada Utusan iaitu komitmen yang telah kita berikan selama ini sejak 2006 akan kami teruskan.

Tentu sekali orang-orang yang berskripkan yang lain seperti yang saya sebutkan tadi akan bertanya, apakah hanya dengan sokongan kerajaan sahaja maka Utusan dapat menerbitkan akhbar Utusan Melayu? Kita mahu menerangkan dan menyatakan kepada pengkritik kita, akan sampai masanya orang Melayu mampu mengeluarkan akhbar Utusan Melayu dalam konteks tulisan jawinya sendiri tanpa sumbangan orang lain.

Kita harus mencipta beberapa permulaan. Pertama adalah bagi kita menyedarkan korporat-korporat yang berwajib untuk menyumbangkan kepada penyelidikan dan promosi tulisan jawi ini menerusi pensosialan memasyarakatkan jawi dalam beberapa aspek.

Beberapa program kuiz, program mengarang dan juga penonjolan di televisyen serta radio perlu kita lakukan. Gurindam, pantun, perumpamaan mesti kita galakkan semula dan mengenal skrip jawi itu sebagai skrip budaya dan tamadun kepada orang Melayu.

Mari kita lihat bagaimana Tun Sri Lanang menulis bukunya, masa itu rumi tidak ada maka sejarah Melayu lahir. Bagaimana Hamzah Fansuri menjadi seorang intelek dan menyumbangkan kepada penulisannya, bagaimana undang-undang 99 Negeri Perak ditulis.

Semua ini mesti menaikkan semula perasaan hilang pusaka dan sekiranya hilang pusaka ini dapat kita rasai, kementerian ini dengan rakan-rakan di swasta dan juga kawasan-kawasan perjuangan yang lain, kita peruntukan bagi mereka azam dan program itu.

Setelah itu, mungkin dapat kita lihat semula bagaimana jawi dibudayakan dalam penulisan dan untuk itu kementerian ini ingin mencadangkan bersama-sama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka kita terbitkan cerpen dan novel pendek dalam tulisan jawi.

Selain itu, parti politik yang utama, UMNO seharusnya memainkan peranan mengedarkan akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan di bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan.

Sekiranya kita mempunyai 138 pejabat penerangan di bawah kementerian ini, saya kira setiap hari Isnin harus kita letakkan edisi Utusan jawi di meja jabatan penerangan itu.

Inilah sebahagian daripada langkah-langkah yang mungkin dapat kita laksanakan secara sementara sebelum penggemblengan pemikiran dan tenaga dapat kita juruskan seterusnya.

Janganlah dirasakan bahawa saudara berseorangan dalam hal ini. Kami akan meneruskan peranan sebagai sahabat dan juga sebagai orang yang boleh diharapkan semasa kita memerlukan pertolongan.

Yang lebih penting pada saya adalah orang Melayu sendiri harus dijagakan daripada tidur mereka dan menghargai tulisan jawi ini. Soalan terakhir, adalah setakat mana mereka boleh berbuat demikian. Ini harus kita juruskan kepada program-program yang disajikan menerusi beberapa kementerian termasuk pelajaran, kementerian ini sendiri dan beberapa kementerian lain.

Menentukan had-had dan peranan kementerian adalah satu hal, tetapi ia merupakan satu hal yang lain bagi masyarakat sendiri untuk mengambil bahagian.

Dalam keadaan sebeginilah maka pada tengah hari ini, kita harus melafazkan kalau tadi kita telah disebutkan dalam selokanya apa yang harus kita dakapkan di dada kita berhubung dengan tulisan jawi.

Pulasan berduri di seberang

Ada jua di kampung Pandan

Tulisan jawi tetap dikenang

Selama hayat dikandung badan

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sastera tempatan terpinggir?

Datuk Dr. Anwar Ridhwan Sasterawan Negara Ke-10

Oleh Aznan Bakar

pengarang@utusan.com.my

SIAPA di kalangan generasi muda kita hari ini yang kenal akan nama seperti Usman Awang, A. Samad Said, Shahnon Ahmad atau Arena Wati? Nama-nama besar dalam dunia sastera ini cukup asing pada mereka.

Malah generasi Internet, ipod dan komputer riba ini merasakan sastera tidak lagi penting dan tidak menyumbang apa-apa dalam kehidupan.

Jadi, tidak hairanlah ruang yang diberikan untuk aktiviti sastera di negara ini semakin hari semakin sempit.

Berbeza dengan masyarakat barat, karya-karya milik penulis besar seperti William Shakespeare terus disanjung hingga hari ini.

Hasil karya tersebut terus dicari termasuk di kalangan generasi muda dan masih dijual secara meluas kerana ia terus diminati.

Tetapi karya penulis lama kita yang bergelar Sasterawan Negara hendak dijadikan buku teks pun tidak layak.

Seolah-olah apabila seorang sasterawan itu meninggal dunia, hasil karyanya yang dianggap tidak ternilai turut dikuburkan bersama.

Jika ada yang mengingati sekalipun hanya oleh kelompok-kelompok kecil melalui majlis tidak rasmi.

Adakah ini bermakna hasil karya tempatan semakin terpinggir?

Jika hendak dikaitkan dengan budaya membaca, masyarakat kita suka membaca. Sebab itu kedai-kedai buku daripada jenama antarabangsa memenuhi setiap pusat membeli belah. Begitu juga dengan kedai-kedai kecil.

Tetapi boleh dikatakan 99 peratus buku yang dijual diimport. Karya sastera penulis luar negara memenuhi rak pameran.

Tetapi jangan tanya buku yang ditulis Arena Wati, Usman Awang, A. Samad Said atau Shahnon Ahmad. Sebabnya pasti anda akan mendapat tenungan yang tajam dari penjaga kaunter. Jawapannya juga pasti tidak ada.

Jika ada sekalipun hanya beberapa naskhah sahaja.

Senario ini memberi gambaran masyarakat kita hari ini tidak tahu menilai jerih payah golongan bergelar sasterawan ini.

Sudah payah mereka berfikir, mencipta dan menghasilkan bahan untuk dikongsi dengan masyarakat tidak diberi layanan yang setimpal.

Sebab itu golongan penulis di negara ini tidak mampu hidup senang apatah lagi bergelar jutawan seperti di Barat. Paling tinggi diberi anugerah bergelar datuk ketika usia memasuki senja.

Hal-hal berkaitan diri dan kerja mereka sekadar dibincang melalui persidangan, seminar atau wacana yang terhad kepada kelompok tertentu.

Kebelakangan ini media cetak juga semakin kurang memberi tempat kepada bahan-bahan bercorak sastera atau aktivitinya. Seminggu sekali dianggap memadai.

Di media elektronik aktiviti berkaitan sastera ini langsung tidak dipeduli kecuali jika tetamu yang hadir adalah orang besar.

Mulai tahun ini juga pelajar sekolah akan mengkaji karya-karya seperti "Budak Rap", "Legenda Budak Setan" dan "Untuk Tiga Hari" yang hanya berkisar kepada kisah-kisah cinta remaja.

Hairan juga kenapa karya-karya mereka yang bergelar Sasterawan Negara tidak diberi keutamaan sebagai buku teks di sekolah. Sedangkan novel-novel mereka sarat dengan semangat perjuangan, patriotisme dan nilai-nilai hidup serta kaya dengan nilai kesusasteraan yang tinggi.

Novel-novel Shahnon misalnya, banyak berkisar tentang kehidupan yang mampu mengajar generasi muda akan pentingnya menghargai apa yang mereka nikmati hari ini kerana ia hasil usaha dan kerja keras generasi dahulu.

A. Samad Said pula banyak mengisahkan tentang hidup di zaman perang. Sementara karya-karya Usman Awang mampu meniup semangat perjuangan dan bersangkut paut dengan peristiwa besar negara.

Adakah ini memberi gambaran bahawa sastera tempatan yang sarat dengan nilai kesusasteraannya semakin dipinggirkan?

Sebaliknya, karya-karya moden yang lebih komersial diangkat semata-mata atas pertimbangan untung dan rugi.

Atau masalah ini berpunca daripada para penggiat sastera itu yang menyifatkan diri mereka sebagai kumpulan elit yang hanya bergaul sesama sendiri?

Sebab itu aktiviti sastera hari ini dikatakan hanya membabitkan kelompok yang sama hingga menyebabkan ia tidak berkembang.

Hanya mereka yang pakar dalam bidang ini dan mereka yang menggelar diri mereka sebagai penggiat sastera sahaja yang mampu menjawabnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/