Jumaat, 25 Mac 2011

ISU NOVEL INTERLOK : Frasa rasis gugur

Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Shaarani Ismail

KUALA LUMPUR: Kontroversi mengenai novel Interlok selesai apabila frasa sensitif bagi kaum India dalam novel yang dijadikan teks komponen sastera (Komsas) Bahasa Malaysia Tingkatan 5 itu diganti dengan frasa ‘golongan yang sama.’

Kata sepakat itu dicapai oleh Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok dan cadangan menyunting frasa berkenaan dari novel itu dipersetujui oleh penulisnya, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, selaku pemegang hak cipta.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan itu menyelesaikan isu pokok berhubung penggunaan perkataan yang merujuk kasta kaum India yang didakwa bersifat rasis dan menyinggung perasaan mereka sehingga menimbulkan bantahan beberapa kumpulan sejak itu dibangkitkan pada Disember tahun lalu.

Katanya, dalam mesyuaratnya kelmarin, panel berkenaan juga mengenal pasti hanya 19 perkara daripada 106 cadangan pindaan dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India di negara ini.

Beliau juga berkata, semua cadangan pindaan yang dikemukakan kepada kerajaan oleh wakil masyarakat India dalam panel berkenaan tiada kaitan dengan isu pokok tetapi meliputi perkara mengenai fakta, bahasa dan tatabahasa, termasuk koma, noktah dan tanda soal.

"Ini bermakna 87 perkara lagi tidak berkaitan dengan isu pokok. Ini termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel, ejaan `tali' dipinda kepada `taali', `papa' ditukarkan `appa', dan `cawat' diganti `dhoti'.

"Justeru, semua ahli panel, termasuk wakil masyarakat India, bersetuju untuk menyerahkan perkara ini kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit membuat suntingan wajar kepada novel itu dalam cetakan akan datang," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Muhyiddin berkata, panel bebas yang dipengerusikan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, sudah bersidang empat kali dan mengadakan dua pertemuan dengan beliau.

Mengenai 19 perkara dalam Interlok yang boleh dianggap sensitif, beliau berkata, tiga daripadanya adalah berkaitan penggunaan perkataan kasta yang kini selesai selepas penulis bersetuju menggugurkannya.

Tiga perkara lagi berkaitan fakta lembu sebagai binatang suci Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga selesai selepas panel dengan persetujuan wakil masyarakat India, memutuskan ia tidak menyentuh sensitiviti kaum itu.

"Daripada 13 perkara berbaki, tujuh sudah dapat diselesaikan apabila panel bebas mencapai kata sepakat untuk memasukkan errata (senarai kesalahan dan pembetulan) dalam novel itu bagi membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan serta keagamaan masyarakat India.

"Enam perkara lain juga dapat diselesaikan kerana penulis bersetuju meminda perkataan `tuhan' kepada `dewa' dan menggugurkan frasa `orang berkulit hitam'," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran akan menyediakan satu glosari untuk memperjelas beberapa frasa serta konsep dalam Interlok bagi memudahkan pelajar memahami teks dan konteks novel berkenaan.

Katanya, penyelesaian secara baik isu Interlok, terutama kesediaan penulisnya membuat pindaan menunjukkan tiada isu yang tidak boleh diselesaikan melalui meja rundingan dengan semangat musyawarah, muafakat serta kesediaan untuk mendengar dan menerima.

Berikutan itu, beliau mengingatkan pihak yang ada kepentingan politik sempit jangan sesekali cuba menangguk di air yang keruh atau mengeksploitasi isu itu untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan mencetuskan porak-peranda di negara ini.

"Ini adalah perbuatan sia-sia yang pasti akan ditolak oleh rakyat. Saya yakin majoriti rakyat adalah rasional dan akan menerima keputusan yang adil dan munasabah," katanya sambil menyifatkan keputusan penulis membantu kerajaan menyelesaikan kontroversi Interlok adalah sumbangan amat besar kepada negara.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Cabaran pembinaan sahsiah remaja

DEWASA ini, pelbagai laporan berita sering menumpukan kepada perilaku remaja. Tumpuan ini khususnya kepada remaja yang berada di sekolah menengah, tidak kira sekolah asrama penuh ataupun sekolah harian. Kes yang sering dilaporkan adalah berkaitan dengan kes buli, pergaduhan, samseng, merokok dan penagihan dadah. Pelbagai kes ini kebanyakannya berpunca daripada masalah di rumah. Pendidikan di rumah dan di sekolah mesti selari dan seimbang dilakukan ibu bapa dan diteruskan guru.

Bagi melahirkan remaja berakhlak dan bermoral, pendidikan nilai murni dan keagamaan adalah menjadi asas di rumah. Isu remaja bermoral dan tidak bermoral atau remaja berakhlak mulia dan berakhlak rendah mempunyai faktor dalaman.

Faktor dalaman ini pula berkait rapat dengan didikan yang diterima seorang remaja daripada kecil hingga ke belasan tahun atau sampai baligh. Apa saja yang dialami kanak-kanak sejak lahir, semuanya akan memberikan kesan kepada minda dan emosi kanak-kanak berkenaan.

Sementara faktor luaran adalah persekitaran yang baik. Masyarakat di mana remaja tinggal menyumbang ke arah kebaikan iaitu masyarakat yang hidup dalam suasana harmoni, bekerjasama, saling membantu dan mengelakkan sebarang gejala sosial yang tidak baik.

Daripada perspektif psikologi pakar dari Barat telah mengemukakan pendapat yang hampir sama iaitu punca keruntuhan moral atau akhlak adalah disebabkan kurang daya penyesuaian remaja dalam menangani cabaran dan dugaan yang melanda mereka. Kelemahan menyesuaikan diri ini dikaitkan dengan pengalaman remaja sejak dari zaman kanak-kanak lagi.

Menurut Alfred Denning, kebanyakan remaja yang terbabit dengan pelbagai gejala sosial berasal daripada puing-puing keluarga yang berpecah-belah. Keluarga yang berpecah adalah keluarga yang berpunca daripada suami isteri yang bercerai.

Anak yang kecil itu seperti sehelai kain putih yang mencorakkannya adalah ibu bapanya. Alasan inilah yang menuntut ibu bapa memberikan didikan sempurna kepada anak-anaknya. Sewaktu anak itu masih kecil, didik dan ajar mereka tentang akidah, ibadah dan akhlak yang baik. Pendidikan ilmu dan amal yang baik akan dapat membentuk nilai kemanusiaan dalam jiwa anak.

Setiap anak mempunyai hak bagi mendapatkan dua perkara iaitu, makanan baik dan pendidikan yang baik. Makanan yang baik adalah makanan berkhasiat, sementara pendidikan baik ialah pendidikan seimbang iaitu ilmu dunia dan akhirat.

Apabila ibu bapa tidak mampu mendidik dan menjaga anaknya, negara akan menghadapi kesulitan menjaga anak itu di jalanan. Jelaslah pelbagai gejala sosial yang dilakukan remaja di luar rumah adalah berpunca daripada kegagalan ibu bapa mendidik di rumah.

Asas pendidikan di rumah mesti menekankan pendidikan akidah, ibadah dan akhlak. Pendidikan akidah ialah teras penting untuk menanamkan keyakinan kepada manusia terhadap keesaan Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya, menjadi insan soleh yang mendekatkan diri kepada Allah dan merealisasikan segala tujuan hidup manusia di dunia ini.

Sementara pendidikan ibadah melibatkan perkara berkaitan dengan fardu ain dan fardu kifayah bertujuan menjelmakan segala amalan agama dalam bentuk praktikal dan menjadikan segala anggota dan pancaindera manusia mengabdikan diri kepada Allah. Pendidikan ibadah juga merupakan satu tuntutan penting bagi manusia merealisasikan peranan sebagai khalifah Allah.

Pendidikan akhlak di rumah oleh ibu bapa merupakan perkara yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Menanam akhlak yang baik dalam hati dan jiwa anak dapat menangkis akhlak tercela dan buruk ke arah membentuk Muslim yang terbaik.

Menurut Imam al-Ghazali, manusia itu ibarat sepohon pokok dengan akarnya ialah akidah, batangnya ialah kefarduan, daun-daun ialah amalan sunat, maka buah atau bunganya itulah yang dikatakan akhlak. Sebab itulah manusia yang berakhlak dalam Islam dianggap orang yang menyempurnakan agama Islam kerana akhlak melambangkan keindahan Islam itu sendiri.

Justeru Nabi s.a.w. berpesan: Sesungguhnya, orang yang paling baik daripada kalangan kamu ialah orang yang paling baik akhlaknya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Melahirkan dan mewujudkan remaja bermoral mesti dilakukan sejak anak itu masih kecil. Peribahasa ada mengatakan melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pendidikan yang bermula daripada kecil lebih mudah dan ia merupakan lambang kejayaan pendidikan akidah dan ibadah setelah dewasa.

Ibu bapa dan guru yang berjaya dalam menanamkan nilai akhlak ini kepada anak dan pelajarnya merupakan ibu bapa dan guru yang cemerlang. Pendidikan akhlak adalah menjurus kepada pendidikan pembangunan insan boleh mencapai kejayaan yang baik jika mempunyai model terhadap aspek yang dihuraikan. Model yang terbaik ialah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat adalah model ikutan yang utama.

Memang terlalu sukar untuk membentuk diri anak menjadi insan soleh dalam kehidupan hari ini. Tetapi dengan kesabaran, kegigihan dalam membentuk insan soleh, ibu bapa akan dapat membentuk anak-anak mengikut acuan yang baik.

Membina jati diri anak hingga remaja memerlukan usaha yang gigih dan berterusan. Akhlak dan kesopanan adalah perkara paling penting dididik dalam hati dan jiwa anak. Fenomena dan perkembangan ini adalah cabaran kepada ibu bapa dalam merealisasikan akhlak yang baik.

Zaman yang dilalui anak-anak pada hari ini jauh berbeza daripada zaman yang telah ibu bapa hadapi. Cabaran dan gaya hidup anak telah mengalami perubahan sehingga menjadi semakin sukar dan kompleks seiring kemajuan sains dan teknologi. Anak-anak zaman ini lebih matang dan lebih berani untuk bersuara.

Ironinya, dalam usaha mendidik anak sehingga dewasa memerlukan komitmen semua pihak. Ibu bapa, guru, keluarga dan masyarakat mesti memainkan peranan positif ke arah membentuk hati dan jiwa anak-anak menjadi remaja yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Khamis, 24 Mac 2011

Muhyiddin : Isu Interlok selesai dengan baik

Ahli Panel Bebas Mengkaji Pindaan Interlok

KUALA LUMPUR 24 Mac - Isu novel Interlok sudah selesai apabila kerajaan bersetuju dengan dapatan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok (Panel Bebas) yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada 19 perkara itu, tiga daripadanya adalah berkaitan dengan penggunaan perkataan kasta yang telah dianggap selesai kerana penulis bersetuju untuk menggugurkan perkataan itu (Paria) dalam novelnya dan digantikan dengan perkataan 'golongan yang sama'.

Menurutnya, tiga perkara lagi iaitu berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai.

Katanya, daripada 13 lagi perkara yang berbaki, tujuh perkara turut diselesaikan apabila Panel Bebas mencapai kata sepakat untuk memasukkan 'errata' di dalam novel itu bagi membuat pembetulan dan pengguguran.

Jelasnya, enam perkara lain juga selesai kerana penulis turut bersetuju untuk meminda perkataan 'tuhan' kepada 'dewa' dan menggugurkan frasa 'orang berkulit hitam'.

"Panel Bebas itu berpendapat baki 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel dan ejaan 'tali' dipinda kepada 'taali.

"Alhamdulillah, dengan persetujuan yang dicapai oleh Panel Bebas dan perakuan yang dikemukakan kepada kerajaan, isu ini telah dapat diselesaikan dengan baik.

"Dengan semangat musyawarah dan muafakat serta kesediaan untuk mendengar dan menerima, kita telah buktikan bahawa serumit manapun kemelut yang kita hadapi, kita dapat mengharunginya dengan tabah dan sabar. Dengan persetujuan yang telah dicapai, kementerian menganggap bahawa isu ini telah selesai," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abd. Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam)serta empat lagi pertanyaan ahli Parlimen lain berhubung kedudukan Interlok sebagai teks Komponen Sastera (Komsas) dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu pelajar tingkatan lima pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Kata Muhyiddin, kementerian akan menyediakan glosari bagi memperjelaskan beberapa frasa dan konsep dalam novel itu untuk memudahkan pelajar memahami konteks novel yang memaparkan kehidupan harmoni masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, penelitian yang dicapai oleh Panel Bebas membuktikan bahawa pengguguran frasa yang menyebabkan kemelut pada novel Interlok adalah satu testimoni nyata bahawa tiada satu isu yang tidak boleh diselesaikan melalui meja rundingan.

Jelasnya, semua ahli panel termasuk wakil masyarakat India bersetuju untuk menyerahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit membuat suntingan yang wajar terhadap novel itu dalam cetakan akan datang.

Tambah beliau, episod Interlok menjadi bukti kepada rakyat negara ini betapa semangat perpaduan, penerimaan dan hormat-menghormati antara kaum selaras dengan gagasan 1Malaysia terus subur.

Beliau seterusnya merakamkan penghargaan kepada ahli Panel Bebas iaitu Pengerusi, Prof. Datuk Shamsul Amri Baharuddin; isteri penulis Interlok yang mewakilinya, Datin Siti Saroja Basri; Prof. Datuk Zainal Abidin Borhan; Datuk Termuzi Abdul Aziz; Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin; Prof. Dr. NS Rajendran; G. Krishnabahawan dan penulis bebas, Uthaya Sankar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan MIC yang telah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sendiri selaku Menteri Pelajaran untuk mengambil keputusan bersama bagi menyelesaikan isu itu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Guru bermasalah ? Usah cepat buat andaian.

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

BARANGKALI, imej sistem pendidikan negara kian tercalar apabila pelbagai insiden memalukan dan memualkan sering terpampang di media massa.

Dulu salah laku pelajar menjadi tajuk berita, kini guru pula seolah-olah mengambil tempat dengan kesalahan dan perlakuan tidak masuk akal. Lebih memalukan apabila golongan dihormati dan disanjung itu terbabit pula dengan perbuatan mencemarkan maruah.

Pastinya senario itu mengundang kemusykilan masyarakat, apakah yang sedang melanda institusi pendidikan negara hari ini hingga golongan guru hilang pertimbangan?

Adakah perlakuan itu disebabkan tekanan kerja yang semakin bertambah hingga mereka 'terlanjur' perbuatan? Apakah mereka sememangnya 'gatal' dan mengambil kesempatan atau masyarakat hanya memperbesar-besarkan hal kecil yang boleh ditangani tanpa pembabitan orang luar?

Kaunselor pakar, perunding dan pakar motivasi, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Haslee Sharil Abdullah, berkata jangan terburu-buru membuat andaian kepada guru bermasalah tanpa menimbangkan kemungkinan dan faktor hingga tercetusnya insiden.

Menurutnya, sikap masyarakat yang mudah mengambil tindakan dan melemparkan pandangan negatif hanya memburukkan keadaan selain menimbulkan ketegangan hingga menjejaskan maruah atau masa depan guru terbabit.

"Belum tentu mereka bersalah biarpun tindakan sudah diambil. Inilah sikap buruk masyarakat kita yang mudah sangat meletakkan kesalahan tanpa usul periksa sekali gus mencalarkan nama baik sekolah, pelajar serta peribadi individu.

"Tindakan terburu-buru tidak profesional dalam menangani masalah malah menjadikannya sebagai tindakan pasif bagi individu lain. Justeru sebelum mengambil keputusan, penilaian menyeluruh perlu dilakukan supaya pihak lain tidak teraniaya," katanya.

Sejak akhir-akhir ini, media massa melaporkan masalah perlakuan guru yang dianggap bermasalah dan tidak sesuai dengan norma masyarakat hingga mencetuskan kebimbangan semua pihak.

Antaranya perlakuan guru yang suka menyentuh fizikal pelajar berlainan gender dengan menggunakan 'hukuman' sebagai alasan menghalalkan perbuatan. Ada juga menyentuh dengan alasan kasih sayang biarpun tidak perlu.

Beliau berkata bagi mengelakkan kekeliruan, sama ada pelajar atau guru perlu tahu menggunakan hak masing-masing bukan menyalahgunakannya bagi tujuan tertentu.

Selalunya insiden berlaku kerana pelajar berasakan hak peribadi dicabuli sementara guru beranggapan itu hak mereka untuk mendisiplinkan pelajar. Bila wujud kekeliruan, sudah tentu tercetusnya masalah.

"Sewajarnya kedua-dua pihak tahu batas-batas boleh digunakan bagi mengelakkan kontroversi. Sudah termaktub hanya atas sebab tertentu saja seseorang itu boleh disentuh, contohnya atas tujuan perubatan atau rawatan oleh mereka yang bertauliah seperti doktor.

"Jika semua pihak jelas mengenainya, sudah pasti tidak timbul isu begini. Sangat malang apabila guru dan pelajar terpaksa bertelingkah atau 'berperang' hanya kerana perkara boleh dielakkan," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada guru suka mengambil kesempatan namun menganggapnya ia hanya kes terpencil.

Guru terbabit katanya perlu mendapatkan rawatan psikologi bagi mengesan masalah supaya tidak bertambah kronik.

"Tidak dinafikan, ada guru suka menyentuh pelajar dan ini memang salah. Guru ini sebenarnya mungkin mengalami masalah emosi namun tidak mampu dikesan dengan mata kasar dan tekanan itu diterjemahkan dengan perlakuan.

"Guru berkenaan tidak rasa bersalah namun pelajar pula menjadi mangsa. Jika ini berlaku, pihak sekolah perlu mengambil tindakan tertentu supaya keadaan tidak bertambah melarat.

"Namun sebaiknya, biarlah hanya mereka yang terbabit saja mengetahui perkara ini supaya tidak memalukan mana - mana pihak. Yang dikesali apabila guru bermasalah, ia seperti diheboh-hebohkan hingga menjadi isu nasional sekali gus menyukarkan usaha sekolah menanganinya," katanya.

Ditanya mengenai kaedah terbaik, beliau berkata sama ada guru, pelajar mahupun sekolah perlu menjadi erat dan saling menyayangi selain semua pihak perlu merendahkan ego masing -masing.

Menurutnya, pertikaian yang berlaku hari ini disebabkan tiadanya elemen positif seperti kasih sayang, menghormati dan menghargai di kalangan warga sekolah hingga mencetuskan situasi 'hanya kau-aku'.

"Apabila elemen positif tidak dimasukkan dalam perhubungan, sudah tentu mereka semakin renggang. Guru hanya menjalankan tanggungjawabnya mengajar, pelajar pula menerima sementara sekolah asyik berkira mengenai pencapaian kecemerlangan hingga terlupa keperluan kasih sayang.

"Ini menjadikan setiap golongan hanya tertumpu pada komuniti tertentu saja sedangkan sekolah boleh diibaratkan sebagai keluarga besar yang boleh berkongsi susah senang. Jalinan kemesraan dan kasih sayang perlu disemai mengikut batas ditetapkan," katanya.

"Pelajar juga perlu tahu status dan pandai menjaga diri. Jika betul guru bersalah dan perlu diambil tindakan, lakukanlah mengikut pertimbangan akal bukan emosi semata-mata. Semua pihak ada hak yang perlu dipertahankan," katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Kesan bencana alam kepada ekonomi negara

BENCANA alam memberi kesan kepada ekonomi negara sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang dan kesannya sukar diukur dengan tepat kerana ia bukan hanya melibatkan nilai mata wang tetapi ia juga merangkumi persepsi dan emosi mereka yang terlibat dan juga yang melihat.

Adalah sukar untuk menilai kesan bencana alam terhadap faktor nilai yang terjejas dalam jangka masa panjang kerana akan wujud pemulihan yang bertentangan dengan kesan kerugian yang berlaku.

Sebagai contoh, tanaman yang musnah mungkin bernilai RM1 juta tetapi dengan RM1 juta tidak mungkin dapat membayar kerugian tersebut.

Petani mungkin menanam semula di kawasan bencana tersebut maka nilai tersebut sudah terbayar, tetapi jika petani tidak menanam di kawasan itu, maka nilai kerugian akan meningkat.

Oleh itu kesan bencana alam kepada ekonomi adalah sukar dinilai dan mungkin juga mustahil untuk dinilai dengan ukuran mata wang. Mungkin pada masa akan datang satu jadual pengiraan yang sesuai boleh dibangunkan bagi menilai semua bentuk kerugian yang dialami oleh negara kesan dari bencana alam.

Mungkin pada masa ini kita hanya mempunyai nilai dari ukuran mata wang sahaja, mungkin pada masa akan datang kita juga boleh mengukur kerugian dari aspek emosi dan persepsi manusia yang terlibat dan yang melihat.

Supaya nanti, kerugian sebenar dapat dinilai dan seterusnya nilai tersebut dapat memberi kita maklumat yang menyeluruh dan keputusan yang sepatutnya dapat dibuat bagi menampung kerugian tersebut.

Mungkin dalam keadaan yang lain, maklumat tersebut berguna kepada kerajaan untuk menyediakan peruntukan dan kemudahan yang bersesuaian bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam pada masa akan datang.

Maklumat itu penting supaya kerajaan tidak berasa selesa dengan jumlah kerugian yang mungkin kecil berbanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar. Tetapi mungkin dalam jangka masa panjang ia boleh melumpuhkan ekonomi negara jika kerajaan tidak memperuntukkan sejumlah dana yang berpatutan bagi tujuan kecemasan seperti bencana alam dan lain-lain kecemasan pada masa akan datang.

Dalam keadaan sekarang yang mana bencana alam boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja, kemampuan membina semula ekonomi dalam masa yang singkat selepas bencana adalah sangat penting bagi memasti kelestarian ekonomi tidak terjejas.

Kemampuan untuk bangun semula selepas rebah dilanda bencana alam akan memberi kita satu kelebihan dalam persaingan ekonomi yang semakin mencabar.

Kita sudah melihat Acheh rebah dibadai tsunami, kita juga sudah melihat Pakistan hanyut dilanda banjir dan kesannya juga telah kita rasai dengan kenaikan harga barangan yang diimport dari negara-negara ini.

Namun begitu, kita juga melihat Jepun bangun dengan pantas selepas gempa bumi di Kobe dan tidak terjejas dengan banyaknya gempa bumi atau tsunami yang melanda negara mereka sepanjang tahun. Ekonomi mereka tidak terjejas sama sekali dengan bencana alam, pengeluaran dan pengeksportan tidak terjejas dengan perkara yang sama, bahkan bencana alam telah menjadikan mereka lebih tabah, kreatif dan berinovasi.

Kerajaan perlu melihat dan belajar bagaimana Jepun menguruskan kesan bencana alam kepada ekonomi, sosial dan emosi yang mereka hadapi sepanjang tahun. Bencana alam yang berlaku di negara matahari terbit itu sudah tidak menjadi kudis kepada ekonominya dan mencalar reputasinya di mata dunia.

FAISAL HAMIDI

Pensyarah UniMAP

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Jujurkah kita terhadap bahasa Melayu?

Oleh Salbiah Ani

TERASA ralat dan pedih apabila membaca perlunya satu kaedah dirangka bagi menilai tahap pencapaian bahasa Melayu di sektor awam dan swasta negara ini minggu lalu dan diberi ruang dalam Indeks Prestasi Utama (KPI) pada semua peringkat eksekutif.

Ini kerana selepas hampir 54 tahun Malaysia merdeka, bahasa Melayu masih berdepan dengan kemelut, meskipun hakikatnya haknya sudah dilindungi seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (disemak pada 1971).

Penulis yakin bahawa langkah sedemikian tidak akan timbul pada abad ini sekiranya setiap warganegara mengetahui tanggungjawab, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta kerana mereka hidup berlangitkan Malaysia yang mendaulatkan bahasa terbabit sejak pasca kemerdekaan.

Perkara ini sempat penulis bincangkan dengan seorang teman yang turut sependapat bahawa kaki tangan awam khususnya, memang sepatutnya wajib menguasai bahasa Melayu dengan baik kerana syarat pengambilan kakitangan mewajibkan mereka memenuhi aspek terbabit.

“Bukan saja kelulusan atas kertas diambil kira, tetapi juga bahasa pertuturan mereka dinilai dalam sesi temu duga. Begitu juga dengan kenaikan pangkat ke jawatan kanan apalagi sekiranya mereka ditempatkan di luar negara kerana membawa imej negara.

“Amat memalukan umpamanya sekiranya duta Malaysia di luar negara tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik kerana bahasa berkenaan adalah bahasa kebangsaan dan rasmi negara, tanpa menafikan mereka juga perlu menguasai bahasa negara tempat mereka bertugas.”

Hakikatnya dengan segala peraturan dari segi undang-undang yang sudah disediakan bagi melindungi bahasa Melayu sejak lama dulu, sepatutnya ia sudah lama menjadi bahasa bermaruah yang dimartabatkan bukan saja di sektor awam, tetapi juga swasta.

Jika sektor awam sejak lama dulu menetapkan bahawa segala urusan dalam semua bidang dengan pihaknya wajib menggunakan bahasa Melayu, pasti sudah lama baik sektor swasta tempatan mahupun luar negara akan memastikan mereka mempunyai pegawai yang mahir bahasa terbabit.

Beberapa negara seperti Indonesia, Cina, Jerman, Jepun, Korea Selatan dan Perancis umpamanya membuktikan dasar mengangkat bahasa ibunda mereka mencapai matlamat, hatta sekalipun untuk menembusi pasaran negara asing.

Bukan saja mereka yang hendak menembusi pasaran negara itu perlu menyertakan sama bahasa ibunda negara terbabit dalam kertas keterangan produk, peraturan yang sama turut dikenakan untuk barangan yang dieksport dari negara terbabit.

“Sekarang ini saya tengok sektor swasta menggunakan bahasa Inggeris untuk berurusan dengan sektor awam. Sepatutnya segala surat-menyurat, urusan dengan imigresen, kastam, tender, pelesenan, perbankan, percukaian, pendaftaran syarikat mewajibkan penggunaan bahasa Melayu.

“Kepada yang enggan menggunakan bahasa Melayu jangan dilayan kerana tidak menghormati undang-undang negara ini. Dengan cara ini, mahu tidak mahu pihak berkenaan terpaksa memastikan mereka menguasai atau sekurang-kurangnya ada kakitangan yang mahir bahasa itu.

“Kita sendiri sebenarnya bersifat munafik terhadap bahasa Melayu kerana enggan menguatkuasakan apa yang sudah ada dalam peruntukan undang-undang negara dan kerap bersikap seperti sumpah-sumpah dalam hal memartabatkan bahasa rasmi.”

Kebetulan ketika penulis menyiapkan bahan ruangan ini terpandang iklan berhubung Permohonan Tajaan JPA Dan MARA Untuk Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia 2010 Di Bawah Program Ijazah Luar Negara 2011 yang disiarkan dalam beberapa akhbar.

Penulis tabik hormat kerana iklan berkenaan ditulis dalam bahasa Melayu meskipun ia diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris kerana ia menjadi bukti betapa pengiklan sebagai badan yang mewakili kerajaan menghormati peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun penggunaan istilah ‘on-line’ yang diterjemahkan sebagai atas talian yang disertai dengan kurungan bagi memastikan pembaca memahami apa yang dimaksudkan menyebabkan penulis tertawa dalam hati.

Ini kerana terjemahan yang betul untuk istilah terbabit ialah dalam talian dan jika ia dirujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlebih dulu sebelum dihantar ke akhbar untuk terbitan, tentu perkara terbabit tidak akan berlaku.

Fikiran nakal penulis membayangkan terjemahan itu seperti melihat sekumpulan semut dalam baris panjang berjalan mencari makanan untuk dikongsi sesama mereka dan ia membawa citra positif iaitu kesepaduan, tetapi bagaimana dengan bahasa Melayu?

Kebetulan juga seorang teman editor ketika mengedit terjemahan wartawannya mengesan kesilapan yang sangat melucukan, ‘a jump in economy’ diterjemahkan secara harafiah sebagai lompatan dalam ekonomi dan bayangkanlah sekiranya itu berlaku.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Hanya buta mata, bukan hati

Muhammad Ammar berkongsi kegembiraan bersama ibu dan bapanya

KUANTAN - Walaupun menghadapi masalah penglihatan, namun bagi pelajar istimewa masalah penglihatan terbaik negeri Pahang, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Muhammad Ammar Ibrahim Istar, 19, tidak sesekali menjadikan kekurangan itu sebagai halangan.

Memperoleh keputusan cemerlang 7A 2B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam, pelajar aliran sastera itu ternyata bertuah kerana sentiasa mendapat motivasi daripada seluruh warga sekolah selain kedua ibu bapa.

Menurutnya, sejak disahkan buta ketika usia sembilan tahun akibat demam panas dan alahan ubat, dia tidak pernah berputus asa malah terus positif cita-cita untuk masa depan.

“Hanya mata yang buta, tetapi bukan hati. Saya tidak pernah menyesal dengan keadaan diri malah mahu membuktikan saya mampu berjaya walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU).

“Yang penting adalah kita perlu taat kepada perintah Allah dan kedua ibu bapa, berbudi kepada guru dan menghargai rakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, pelbagai cabaran di hadapi di sekolah namun guru, rakan dan kedua ibu bapa, Ibrahim IstarAli, 47, dan Wan Mahani Asri, 42, sentiasa membantu.

“Guru pendidikan khas masalah penglihatan banyak membantu dengan menyediakan nota dan bahan rujukan dalam bentuk Braille bagi sesi pengukuhan untuk membantu saya.

"Jika diberi peluang saya mahu mendalami ilmu al-Quran dan menyambung pengajian di Universiti Perguruan Sultan Idris,” katanya yang mahu melanjutkan pengajian di Darul Al-Quran Kuala Kubu Baru bagi mendalami ilmu al-Quran.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang membantu saya selama ini termasuk pengetua, Che Jamilal Che Abdullah selain guru dan rakan-rakan serta ibu bapa saya,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/