Isnin, 27 Jun 2011

Bahasa Melayu: Mengapa Tidak Bangga Bahasa Sendiri

Oleh Melati Mohd Ariff

Lebih separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu berterusan. Terpinggir atau dipinggirkan? Apakah nasib bahasa ibunda ini? Adakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar?

Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Bahagian kedua ialah sambungan pandangan pejuang bahasa Prof Dr Awang Sariyan mengenai penggunaan Bahasa Melayu, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri.


KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Audit bahasa? Mungkin pelik dan aneh! Bagi tokoh bahasa Dr Awang Sariyan, ia melihat audit bahasa sebagai satu usaha yang semakin perlu disegerakan.

Beliau pernah melontarkan cadangan ini beberapa tahun lalu apabila memandangkan penggunaan bahasa Melayu yang semakin luntur.

Bagaimanapun, setakat ini beliau boleh dikatakan masih bertepuk sebelah tangan kerana cadangan yang dilontarkan masih belum disambut!

Kecelaruan yang mewarnai polemik Bahasa Melayu hari ini membuatkan Dr Awang mengungkap kembali cadangan beliau.

"Perlu ada audit bahasa kebangsaan kerana soal bahasa kebangsaan ini bukankah dasar negara," tegasnya kepada Bernama dalam satu wawancara di kediamannya yang terletak di pinggir bandar Kuala Lumpur baru-baru ini.

KAEDAH AUDIT

Ditanya mengenai kaedah atau modus operandi audit bahasa yang diperjuangkan itu, katanya, pelaksanaannya mudah sahaja dilakukan meskipun ada pihak yang mempunyai pandangan yang bertentangan tatkala beliau membuat cadangan audit bahasa itu.

"Contohnya, setiap jabatan dan kementerian diaudit bahasanya. Mesti ada pasukan seperti audit negara yang lebih kepada menilai pengurusan kewangan.

"Audit bahasa ini menilai dari sudut pencapaian penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Kumpulkan minit-minit mesyuarat, terbitan, pekeliling dan sebagainya untuk setiap jabatan," kata beliau.

"Audit bahasa itu akan memperlihatkan dua aspek penting, iaitu pelaksanaan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi dan mutu bahasa yang digunakan. Laporan perlu diserahkan kepada pihak berwibawa, sama ada Ketua Setiusaha Kementerian dan perlu juga sehingga Ketua Setiausahasa Negara."

"Secara terancang, perlu juga diadakan pemantauan bersemuka dari waktu ke waktu seperti majlis-majlis rasmi, sama ada dilaksanakan dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi atau sebaliknya. Demikian juga aspek mutu bahasa yang digunakan. Dari situ peningkatan penggunaan Bbahasa Melayu dan mutunya saya yakin dapat ditingkatkan."

"Jika perihal audit bahasa yang berkaitan dengan salah satu dasar negara itu dipandang remeh dan lucu, maka remeh dan luculah Dasar Bahasa Kebangsaan kita!"

Dr Awang kini memegang jawatan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) yang mempunyai Pusat Pengajian Melayu dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebagai penaungnya sejak tahun 1997, ketika menjadi Menteri Pelajaran.

Program ini adalah kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan BFSU, iaitu Kursi Pengajian Melayu ketiga sesudah di Leiden, Belanda dan di Wellington, New Zealand.

Antara jawatan lain yang pernah disandang oleh anak kelahiran Kampung Teluk Kerang, Pontian, Johor termasuk Profesor di Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dan Profesor Linguistik dan Perancangan Bahasa, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, di samping menjadi tenaga akademik di beberapa buah universiti lain, termasuk Universiti Brunei Darussalam.

Beliau juga banyak menulis rencana ilmiah, kertas kerja dan rencana bimbingan Bahasa Melayu untuk pelajar serta pengguna bahasa yang lain serta menghasilkan puluhan buku ilmiah, buku panduan bahasa, buku umum, dan kamus. Di Beijing, beliau bekerjasama dengan tenaga akademik di negara China menyusun beberapa buah kamus dwibahasa Melayu-China dan dengan Universiti Northern Illinois, Amerika Syarikat, beliau membantu Prof Dr James T. Collins, Pengarah Pusat Pengajian Asia Tenggara universiti itu dalam projek Kamus Bahasa Melayu Dalam Talian.

MENYEDIHKAN

Dr Awang sendiri pernah mengetuai satu kajian pada tahun 2007 mengenai penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran dan mutu bahasa di jabatan-jabatan kerajaan.

Apabila ditanya hasil kajian terhadap dua aspek, iaitu taraf pelaksanaan dan mutu bahasa yang menjadi fokus kajian itu, jawapannya ringkas: "Menyedihkan".

Antara hasil kajian yang dibuat Dr Awang dan kumpulan penyelidiknya menunjukkan ada jabatan atau kementerian yang mencapai hanya 65-70 peratus dari segi penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

"Kalau jabatan kerajaan 65 peratus, apa lagi sektor swasta. Dari segi mutu bahasa pula, keadaannya lebih parah. Masih banyak kesalahan bahasa dari segi ejaan, penggunaan perkataan, istilah dan struktur ayat," tambahnya.

Beliau berkata terdapat juga kecenderungan untuk berbahasa rojak dalam mesyuarat.

"Sekerat ular, sekerat belut". Sekerat Bahasa Melayu, sekerat bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris pun bukan bahasa Inggeris baku tetapi bahasa basahan.

"Jadi martabat kita dari segi pentadbiran dan dari segi nilai budaya tidak begitu tinggi," tegasnya.

BOLEH DILAKSANAKAN

Bercakap lebih lanjut mengenai audit bahasa, beliau menegaskan modus operandi yang dicadangkannya itu adalah praktikal jika kita betul-betul mahu menobatkan Bahasa Melayu.

"Orang mungkin tidak suka pada peringkat awal tetapi dia akan melaksanakannya juga oleh sebab arahan daripada Ketua Setiausaha Negara dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Jadi kalau audit bahasa dibuat, hasilnya boleh dilaporkan dan dibentangkan dalam kabinet.

"Jabatan atau kementerian yang masih agak lemah dari segi pelaksanaan bahasa kebangsaan dan mutu bahasanya boleh ditegur seperti yang dilakukan oleh juruaudit negara dalam bidang kewangan," kata Dr Awang.

TIDAK YAKIN

Secara keseluruhannya, kekecewaan Dr Awang dengan sikap sesetengah anggota masyarakat, termasuk orang Melayu sendiri yang masih tidak yakin dengan kemampuan Bahasa Melayu masih berakar tunjang hingga ke hari ini.

Menurutnya wujud segolongan pemimpin, golongan elit, golongan menengah, kumpulan eksekutif, kumpulan pelaksana dasar yang hati mereka masih terpaut dan tertawan oleh kehebatan bahasa Inggeris.

Bagi golongan itu, seolah-olah hanya bahasa Inggeris yang dapat menjulang tamaddun yang hal itu menjadikan penggunaan Bahasa Melayu semakin luntur dan menjadikan bahasa Inggeris lebih dominan berbanding bahasa kebangsaan.

"Ada yang berhujah buku Bahasa Melayu tidak cukup. Kita akui masih ada masalah tetapi hal itu dilalui oleh semua bahasa. Bahasa Inggeris sendiri melalui tempoh 200 tahun untuk menjadi bahasa yang hebat.

"Bahasa Melayu lepas merdeka sampai sekarang baru lebih setengah abad dan kita sudah ada sejuta istilah, ribuan tenaga akademik dan penerbitan. Usaha mesti diteruskan, bukan berpatah balik ke belakang hanya kerana masih ada beberapa masalah." katanya yang pernah memegang jawatan Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.

PERLU BANGGA

Orang Melayu perlu berasa bangga dan lebih mengutamakan Bbahasa Melayu apabila berhubung atau berkomunikasi, termasuk dengan rakan bukan Melayu.

Cara yang demikian, pada pandangan Dr Awang akan mendorong mereka dalam gerakan untuk mendaulatkan Bahasa Melayu.

Beliau lalu menegur sikap sesetengah orang Melayu kelas menengah yang gemar berbahasa Inggeris ketika berbual dengan orang bukan Melayu, seolah-olah rakan kita yang bukan Melayu itu warganegara asing.

"Yang paling mudah sebutan nama; kalau Melayu boleh sebut 'encik' tetapi kalau orang Cina terus panggil Mr Lim. Kenapa tak boleh sebut Encik Lim?

"Itu sendiri sudah semakin menjarakkan hubungan atau pun perasaan penerimaan, seolah-olah mereka tidak diterima sebagai rakyat negara ini."

"Dengan orang India juga mereka berbahasa Inggeris. Kenapa tidak dalam bahasa kebangsaan?" soalnya.

"Dalam kalangan golongan biasa pula, apabila bercakap dengan orang bukan Melayu, timbul kecenderungan berbahasa pelat sama seperti orang yang dilayan bercakap. Jadi, kita tidak membantu rakan-rakan kita itu berbahasa dengan lebih baik dan bahasa kita pula jadi rosak."

HORMAT BAHASA

Beliau mengungkap senario menarik tentang komunikasi antara pegawai Inggeris dengan Yap Ah Loy, kapitan Cina yang diuar-uarkan sebagai bertanggungjawab membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat perlombongan dan komersil.

Komunikasi antara kedua-duanya berlangsung dalam Bahasa Melayu, berkemungkinan menggunakan jurubahasa, katanya.

Terdapat juga surat pegawai Inggeris itu kepada Yap Ah Loy dalam Bahasa Melayu tulisan Jawi. Surat itu pernah disiarkan dalam majalah Mastika beberapa tahun lalu.

Dr Awang berkata bangsa asing pada masa itu begitu menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca.

Lalu beliau menyoal bagaimana dalam keadaan sebuah negara yang sudah merdeka ada yang masih menganggap Bahasa Melayu bahasa yang tidak mampu.

"Jadi inilah yang saya katakan sikap dan krisis keyakinan dalam kalangan masyarakat kita dan malangnya sebahagiannya adalah bangsa teras, iaitu Bangsa Melayu sendiri, keluhnya.

"Abdullah Munsyi pada tahun 1822 pernah meluahkan rasa hairannya melihat bangsa Melayu yang tidak memberikan perhatian kepada bahasanya sendiri.

"Beliau berkata tidak mungkin ada bangsa di dunia yang bahasanya dapat maju kalau kita tidak memuliakan atau tidak mempelajarinya. Jadi apa yang dikatakan Abdullah Munsyi masih berlaku sampai sekarang. Orang Melayu meremehkan bahasanya sendiri, " kata Dr Awang.

HARUM BAHASA

Jika ada orang Melayu yang tidak bangga berbahasa Melayu, di peringkat antarabangsa pengajian Bahasa Melayu ternyata berbeza keadaannya.

Dr Awang berkata di seluruh dunia terdapat sekitar 120 institusi sama ada mengajarkan Bahasa Melayu atau setidak-tidaknya mempunyai pusat penyelidikan tentang bahasa dan sastera Melayu. Di Eropah, di Amerika Utara, di Oceania, di Asia Timur dan juga di beberapa tempat lain terdapat pusat pengajian Melayu.

Di China sendiri, kata beliau, program pengajian Bahasa Melayu semakin rancak berjalan. Terdapat enam buah universiti yang ada program Bahasa Melayu, tiga buah di Beijing, sebuah di Ghuangzhou, sebuah di Nanning dan sebuah di Kunming. Sebuah akademi tentera di Louyang turut menawarkan kursus Bahasa Melayu.

Di BFSU tempat beliau ditugaskan, umpamanya, program itu kini ditawarkan sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana.

Paling membanggakan pelajar BFSU, Zhang Song atau nama Melayu yang diberikan, Noriah, seorang daripada pelajar Dr Awang, muncul juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri Malaysia 2010 bagi kategori antarabangsa luar Nusantara.

"Di Universiti Beijing kesemuanya ada 54 bahasa asing diajarkan dan Bahasa Melayu ialah antara bahasa yang popular dan mendapat sambutan baik.

"Tapi jangan sahaja nama harum di luar negara tetapi di dalam negara Bahasa Melayu tak berbau harumnya," tegas Dr Awang.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Bahasa Melayu : Jangan Tunggu Nasi Jadi Bubur

Oleh Melati Mohd Ariff

LEBIH separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu bagai air laut, sekejap pasang sekejap surut.

Terpinggir atau dipinggir? Apakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar?

Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Bahagian pertama menjejak antaranya kegemilangan Bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca seawal lebih satu alaf atau lebih 1,000 tahun lampau bersama tokoh bahasa Prof Dr Awang Sariyan.

Terpinggir atau dipinggirkan? Jika diambil kira senario ratusan tahun lampau, malah hampir dua alaf lalu, nasib bahasa Melayu tidaklah seburuk itu. Bahasa Melayu malah diiktiraf bahasa 'lingua franca' atau bahasa perantaraan umum dan bahasa antarabangsa!

Begitu tingginya martabat bahasa ibunda tetapi mungkin ramai yang sudah lupa dan alpa.

Di samping menjadi bahasa ilmu, falsafah, pemikiran, undang-undang, ketatanegaraan, seni sastera dan pensejarahan, bahasa Melayu dalam zaman Kesultanan Melayu lebih 700 tahun dahulu juga unggul sebagai bahasa penting perhubungan diplomatik.

Demikian rumusan Prof Dr Awang Sariyan, tokoh bahasa yang tidak asing lagi dalam membicarakan kemelut Bahasa Melayu dalam satu wawancara dengan Bernama di kediamannya yang terletak di pinggir kota di sini baru-baru ini.

Bahasa Pasar

Justeru apabila kemampuan tinggi Bahasa Melayu kembali dipersoal selepas lebih setengah abad negara merdeka dan dasar penggunaannya seperti air laut yang pasang surut, sudah tentu isu itu meruntun hati, terutamanya pejuang bahasa seperti Dr Awang, Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Universiti Pengajian Asing Beijing.

Rasa gusar seakan-akan tidak cukup untuk mentafsirkan kebimbangan dan kekecewaan yang membuak di dada dan jiwanya.

Bagaimana pula dengan kita? Berkerutkah dahi apabila kedudukan bahasa Melayu dikatakan kini seperti "telur di hujung tanduk"? atau bagaikan "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran" ?

Atau pun mungkin seperti "kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan" jika polemik ini dibiar tanpa noktah! Atau kita "bila terhantuk baru tengadah" atau hanya tersentak apabila "nasi sudah menjadi bubur."?

Terdapat andaian bahawa pada akhir abad ini, antara 50 peratus hingga 90 peratus daripada kira-kira 6,000 bahasa yang ada di dunia akan pupus kerana tidak lagi dipelajari.

Dr Awang bagaimanapun optimis Bahasa Melayu tidak termasuk dalam andaian tersebut kerana terdapat hampir 300 juta pengguna bahasa Melayu di mayapada ini.

"Namun yang paling merisaukan, kalau pun tidak pupus, Bahasa Melayu tidak berfungsi sebaik atau sewajarnya sebagai bahasa tamaddun, terutama sebagai bahasa ilmu.

Bahasa Melayu mungkin tidak menjadi bahasa undang-undang, tidak menjadi bahasa pentadbiran dan tidak menjadi jadi bahasa pemikiran lagi, jika kita tidak berjaga-jaga.

"Bahasa Melayu wujud lebih sebagai bahasa pasar untuk keperluan perhubungan yang asas atau sehari-hari. Kalau jadi bahasa pasar, samalah tarafnya dengan bahasa Orang asli atau puluhan bahasa kaum peribumi di Sabah dan Sarawak, sedangkan Bahasa Melayu ialah bahasa negara," keluhnya.

Sorotan Sejarah

Sejak abad ke-7 pada zaman Sriwijaya (di Sumatera), Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa yang bukan kecil peranannya.

Bahasa Melayu telah diangkat dan dinobatkan sebagai bahasa pentadbiran bagi Sriwijaya dan seluruh jajahan takluknya, wilayah kerajaan kuasa kelautan yang sangat besar pada waktu itu.

"Dan sebagai kuasa besar, Sriwijaya bukan sahaja menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, malah sebagai bahasa perdagangan dan juga bahasa pengajian agama pada masa itu. Itulah saatnya peranan Bahasa Melayu sebagai lingua franca atau bahasa perhubungan umum di rantau alam Melayu.

"Dengan sendirinya Bahasa Melayu tidak terpinggir, maknanya telah digunakan oleh semua bangsa, tidak hanya oleh bangsa dalam kalangan alam Melayu, bahkan oleh orang dari India dan China," demikian tegas Dr Awang.

Begitu tingginya kedudukan Bahasa Melayu ketika itu boleh disimpulkan juga bersaksikan pelbagai dokumen dan penulisan jika mahu digarap dari sudut sejarah.

Antaranya catatan pengembara Cina I-Ching yang juga seorang pendita Buddha mengenai pusat pengajian agama Buddha di Sumatera yang menggunakan bahasa Melayu. I-Ching dalam misi penjelajahannya telah bermastautin selama enam bulan di Sriwijaya pada sekitar abad ke-7.

"Ini jelas menunjukkan Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa ilmu meskipun untuk pengembangan agama Buddha di ibu negeri Sriwijaya kerana pada waktu itu syiar Islam belum sampai di alam Melayu," ulas Dr Awang.

Bahasa Dihormati

Beliau turut berkongsi pengamatan yang dibuat oleh Van Linschotten, seorang pegawai Belanda yang bertugas di Indonesia antara 1586 hingga 1592 tentang kebesaran Bahasa Melayu sebagai teras bahasa tamaddun tinggi.

"Van Linschotten menulis bahawa bahasa Melayu pada masa itu bukan sahaja amat harum namanya tetapi juga dianggap bahasa paling dihormati antara bahasa-bahasa negeri timur.

"Dia menyatakan mereka yang tidak tahu akan bahasa Melayu di Kepulauan Melayu boleh dibandingkan dengan orang yang tidak tahu akan bahasa Perancis di negeri Belanda pada zaman itu," jelasnya.

Menurut Dr Awang, seorang ahli sejarah Belanda Francois Valentijn yang banyak menulis mengenai Kepulauan Melayu menulis pada awal abad ke-18 bahawa Bahasa Melayu difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang di seluruh Kepulauan Melayu seperti bahasa Perancis atau bahasa Latin di Eropah.

"Kesimpulan menarik yang ditulis Valentijn ialah orang yang datang ke alam Melayu mahu tidak mahu perlu mempelajari Bahasa Melayu. "Sesiapa yang tidak dapat berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dianggap sebagai golongan tidak terpelajar.

"Jadi ertinya nilai orang asing, termasuk orang Barat kepada Bahasa Melayu cukup tinggi, sedang ada dalam kalangan orang Melayu sendiri yang memandang rendah," kata Dr Awang.

Puncak Gemilang

Zaman kesultanan Melayu (meliputi antaranya Melaka, Acheh, Sumatera, Pasai) sekitar abad 13 hingga 19 sesudah kedatangan agama Islam menyaksikan bahasa Melayu menjangkau puncak kegemilangan sebagai bahasa tamaddun Melayu.

Seperti kata Dr Awang, peranan Bahasa Melayu meliputi pelbagai ranah atau bidang tamadun, baik dari segi ilmu, pentadbiran, perdagangan, undang-undang dan juga sebagai bahasa hubungan diplomatik.

"Bahasa Melayu pada waktu itu sudah menjadi bahasa yang sangat luas penyebaran dan penggunaannya, bukan sahaja oleh orang Melayu bahkan bangsa-bangsa lain, seperti Arab, India, China, Parsi dan Eropah.

"Kita tahu di alam Melayu terdapat pelbagai kelompok bangsa asing, termasuk Eropah yang datang, baik untuk tujuan penjajahan, tujuan perdagangan dan tujuan penyebaran agama, masing-masing menggunakan Bahasa Melayu.

"Jadi Bahasa Melayu sudah merentas semua bidang tamaddun ketika itu, apa sahaja termasuk undang-undang, sudah ada hukum kanun dari kurun 15 ke atas, seperti Hukum Kanun Melaka yang amat terkenal itu, di samping Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Johor, Undang-undang Siak dan sebagainya," kata Dr Awang.

Beliau lalu merujuk kepada seorang ulamak besar dari Gujerat, Nuruddin al-Raniri yang datang ke alam Melayu sekitar abad ke-16 dan dilantik sebagai mufti oleh Sultan Acheh.

"Yang menariknya Nuruddin al-Ranini ini menulis kitab-kitab agama dalam Bahasa Melayu walaupun dia bukan orang Melayu. Ini memang strategi dakwah yang dianjurkan oleh Islam sendiri kerana para Nabi dan Rasul diutuskan Allah dalam bahasa kaumnya masing-masing, seperti disebut dalam ayat 4 Surah Ibrahim."

"Ini menunjukkan kekuatan Bahasa Melayu. Sesiapa sahaja yang datang ke alam Melayu perlu belajar dan menguasai Bahasa Melayu, hendak mentadbir pun dalam Bahasa Melayu, hendak berhubung dalam perdagangan pun dalam Bahasa Melayu dan hendak menjadi ulamak pun dalam Bahasa Melayu," kata Dr Awang yang pernah menyandang Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (1999-2004).

Mula Terpinggir

Kegemilangan Bahasa Melayu beransur pudar dengan penjajahan kuasa-kuasa Barat ke atas Tanah Melayu dan wilayah lain di alam Melayu.

Soal peminggiran Bahasa Melayu ini semakin ketara ketika penjajahan Inggeris dan nilai Bahasa Melayu diturunkan ke darjat yang rendah.

"Kalau dulu Bahasa Melayu merentas semua bidang tetapi dalam kes pendidikan, misalnya, Bahasa Melayu disamatarafkan dengan bahasa vernakular Cina dan India.

"Maka yang ada sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina dan sekolah vernakular India.

"Sekolah Inggeris ketika itu dianggap sebagai sekolah elit, iaitu sekolah yang tinggi tarafnya dan hanya anak orang bangsawan yang boleh ke sekolah itu. "Kurikulum untuk sekolah Melayu pun sangat terbatas dan matlamat pendidikan Inggeris untuk sekolah Melayu tidak lebih daripada menjadikan anak-anak Melayu itu lebih pandai sedikit daripada ibu bapanya sebagai petani dan nelayan. Hal ini disuratkan dalam dokumen penjajah Inggeris."

"Ada juga catatan lain yang mengatakan paling tinggi anak-anak Melayu ini cukup jika dapat menjadi kerani atau peon, itu sahaja. Tidak ada satu rancangan penjajah Inggeris hendak menjadikan sekolah Melayu sebagai batu loncatan untuk peningkatan masyarakat atau mobiliti sosial orang Melayu," kata Dr Awang.

Menurut beliau, tempoh belajar di sekolah Melayu ketika itu juga dipendekkan daripada enam tahun menjadi empat tahun sahaja. Pilihan untuk ke peringkat pendidikan lebih tinggi ialah sekolah Inggeris dan peluang untuk memasuki sekolah ini amat tipis! "Jadi fasa pertama peminggiran Bahasa Melayu ialah kerana penjajahan. Apabila timbul perjuangan kebangsaan dan kemerdekaan serta desakan pejuang-pejuang kebangsaan, akhirnya kemerdekaan melonjakkan semula Bahasa Melayu, peranan serta kedudukannya," jelasnya.

Dasar Bahasa

Sebelum negara mencapai kemerdekaan, Bahasa Melayu melalui Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 (Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua) menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara.

Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Abdul Rahman Talib 1960 kemudian memperkukuh dasar itu.

Itulah dasar negara terawal yang memartabatkan Bahasa Melayu.

Dasar itu sebenarnya menjadi satu daripada asas penggubalan Akta Pendidikan 1961 dan kemudian akta itu dipinda dan diperkukuh pada tahun 1996.

Menurut Dr Awang, Bahasa Melayu juga dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

"Bahasa Kebangsaan bermakna bahasa untuk semua rakyat. Ini cukup jelas dalam perlembagaan, iaitu bahasa yang digunakan bagi semua maksud rasmi, maksudnya segala urusan seperti mesyuarat, perhimpunan, surat rasmi, pekeliling, penggunaan bahasa di tempat awam dan juga dalam sistem pendidikan.

"Urusan negara meliputi pentadbiran persekutuan (kementerian, jabatan dan semua agensi kerajaan), kerajaan negeri serta pihak penguasa awam seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga badan-badan berkanun," katanya.

Jika sudah jelas kedudukan tinggi Bahasa Melayu dalam perlembagaan, lalu mengapa masih ada yang memperlekehnya?

Bagi Dr Awang, ibu kepada masalah ini ialah apabila perlembagaan tidak dihormati atau mungkin tidak difahami, tidak dihayati dan natijahnya tidak dilaksanakan seperti sewajarnya.

"Ia tinggal sebagai dokumen bertulis sahaja sedangkan salah satu prinsip Rukun Negara ialah Keluhuran Perlembagaan. "Jadi apa ertinya Keluhuran Perlembagaan apabila pelaksanaan itu tidak menepati peruntukan perlembagaan," katanya sinis.

Jauh Berbeza

Jika Bahasa Melayu masih menjadi isu debat dan bahas, senario di negara-negara seperti Jerman, Jepun, China, Rusia mahu pun negara jiran terdekat Indonesia dan Thailand ternyata jauh berbeza.

Mengambil contoh Indonesia, Dr Awang berkata meskipun dengan lebih 6,000 kumpulan etnik tetapi azam politik yang kuat membuatkan negara yang merdeka pada 1945 itu berjaya memartabat satu bahasa yang tinggi.

Beliau yang juga pernah menjadi profesor tamu di Jerman memberitahu bahawa bahasa Jerman masih menjadi bahasa utama, baik dalam pentadbiran, pendidikan serta bahasa peragaan di tempat awam.

"Ada bahasa Inggeris tetapi hanya sebagai bahasa sampingan," jelasnya sambil menambah kajian singkat yang sempat dilakukannya di Perancis dan di Belanda juga menunjukkan hasil yang sama.

Begitu juga pengamatan Dr Awang di negara kuasa besar China, tempat beliau bertugas selama tiga tahun setengah.

Meskipun ada penggunaan bahasa Inggeris, tetapi bahasa itu tidak dijulang atau ditonjolkan sebagai bahasa utama, dan digunakan sekadarnya saja menurut keperluan.

"Ini tidak bererti mereka tidak mempelajari bahasa Inggeris. Di China bahasa Inggeris giat dipelajari malah pelajar wajib lulus di peringkat sekolah menengah. "Tetapi kerajaannya tidak pernah mengubah dasar pendidikan, misalannya mengajarkan sains dan matematik dalam bahasa asing kerana menganggap bahasa Cina tidak mampu. "Kita dapati teknologi China cukup tinggi. Baru-baru ini mereka mencipta Kereta api terlaju di dunia antara kota Wuhan dan kota Guangzhou.

"Mereka juga tidak begitu memerlukan orang asing dan tidak bergantung kepada orang asing dalam pembangunan teknologi mereka kerana mereka mempunyai kekuatan sendiri, termasuk bahasa mereka yang merentas segala bidang canggih," kata Dr Awang.

Ada Potensi

Pengamatan yang dibuat pejuang bahasa ini menunjukkan mana-mana bahasa ternyata mempunya potensi untuk maju dengan syarat ada usaha untuk memajukannya.

Cuma seperti kata Dr Awang, untuk membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perlu dipastikan tidak ada gangguan dan dasar yang sering berubah.

"Bahasa Melayu yang kita gunakan itu pun bahasa Melayu yang belum mencapai tahap bahasa Melayu tinggi yang sepatutnya pada sesetengah kalangan, kerana masih banyak dipengaruhi bahasa pasar."

"Kadang-kadang ada aspek Bahasa Melayu tinggi yang sudah mula terbudaya melalui sistem pendidikan dan penyiaran, tetapi dicantas. Contohnya sebutan bahasa baku yang dimansuhkan pada 2000, sedangkan semua bahasa yang maju memiliki satu bentuk sistem sebutan rasmi yang merentas pelbagai dialek dan ragam bahasa.

"Salah satu tugas DBP sendiri, seperti dalam Akta DBP ialah membakukan ejaan, istilah dan sebutannya.

"Jadi Bahasa Melayu yang digunakan, malangnya dalam sebahagian sektor rasmi seperti dalam mesyuarat dan beberapa program penyiaran (seperti wawancara)adalah Bahasa Melayu pasar, Bahasa Melayu untuk hubungan komunikasi biasa sahaja," katanya.

"Usaha membudayakan Bahasa Melayu tinggi atau Bahasa Melayu yang rasmi masih memerlukan lonjakan yang bersungguh-sungguh oleh semua sektor, baik pentadbiran, penyiaran, media cetak, pendidikan dan yang lain."

Dr Awang melihat bidang pendidikan sebagai teras untuk pemajuan bahasa dan Bahasa Melayu perlu dikembalikan peranannya sebagai bahasa penghantar utama bukan sahaja di sekolah tetapi juga di institusi pengajian tinggi.

"Sehingga ini, hanya Universiti Kebangsaan Malaysia yang cukup jelas dasar bahasanya, sehingga tesis peringkat doktor falsafah pun kebanyakannya ditulis dalam Bahasa Melayu, sebagai bukti kemampuan Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu tinggi.

Bahkan, katanya, menurut Akta Pendidikan 1996, institusi pengajian tinggi swasta juga masih tetap tertakluk kepada penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama.

Ketetapan mengajarkan tiga mata kuliah teras di IPTS, iaitu Bahasa Melayu, kenegaraan Malaysia dan agama atau moral tampaknya menjadi dokumen tersurat sahaja kerana kebanyakan IPTS mengabaikan ketetapan itu, kecuali IPTS milik kerajaan seperti Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Petronas.

Beliau turut menekankan supaya pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu juga kembali dilaksanakan seperti yang diuar-uarkan sebelum ini tanpa sebarang penangguhan lagi.

Kalau Sesat

Adakah Bahasa Melayu akan hanya layak dikenal sebagai bahasa pasar? Adakah kegemilangan bahasa tamadun Melayu dan negara ini akan tinggal sekadar kenang-kenangan? Setakat gah di atas lembaran dokumen dasar atau gemilang dalam lipatan sejarah? Atau setakat menjadi bahan kajian pelajar, ilmuan dan sarjana?

Bukankah "Bahasa Jiwa Bangsa" dan "Hilang Bahasa Hilanglah Bangsa?

Tidak mustahil Bahasa Melayu akan tinggal setakat bahasa percakapan dan bahasa pasar sekiranya, seperti yang dibimbangi pencinta dan pejuang bahasa, polemik Bahasa Melayu dibiar berterusan?

"Apa hal pun kerajaan terutamanya mestilah balik kepada landasan, kepada dasar. Kita ada Dasar Bahasa Kebangsaan, kita ada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjurus kepada keutamaan Bahasa Melayu," katanya.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Sabtu, 25 Jun 2011

ISU BAHASA : Cinta tidak meminta syarat

oleh RAHMAN SHAARI

Perbahasan mengenai kepentingan bahasa Inggeris masih berlangsung. Pada masa yang sama, kita mendengar keluhan tentang kejatuhan penggunaan bahasa Melayu. Alangkah anehnya, setelah berpuluh-puluh tahun kita mencapai kemerdekaan, masalah ini masih mengganggu ketenteraman hidup.

Setiap orang pasti ada jawapannya yang tersendiri persoalan ini. Saya sendiri turut memperoleh jawapan, dan jawapan saya belum tentu dipersetujui ramai. Slogan persendirian saya ialah ‘Cintai bahasa Melayu, hargai bahasa Inggeris’.

Apakah makna slogan di atas? Tentulah maknanya terbuka pada tafsiran. Saya selalu membayangkan bahawa cinta tidak meminta syarat. Jadi, janganlah kita katakan bahawa cinta kita berdasarkan ilmu, ekonomi dan perpaduan. Jika kita katakan kita mencintai bahasa Melayu kerana bahasa Melayu ialah bahasa ilmu, atau bahasa untuk kegiatan ekonomi, atau demi perpaduan antara kaum, cinta kita tidak tulen. Bahasa Melayu dicintai kerana bahasa ini bahasa kita, samalah dengan kita mencintai keluarga kita. Janganlah isteri meluahkan rasa cinta dengan kata-kata ini: “Mira cinta kepada abang kerana kedudukan ekonomi abang yang kukuh!”

Baru-baru ini, dua anak muda memberitahu saya mereka akan mempelajari bahasa Inggeris di sebuah institusi. Bayarankursus itu ialah lima ribu ringgit (RM5,000) untuk dua bulan. Mereka meminta keizinan dan wang yuran daripada bapa masing-masing, dan salah seorang daripada mereka mendapat keizinan dan wang, manakala seorang lagi mendapat keizinan, tetapi gagal mendapatkan wang yuran.

Remaja yang gagal memperoleh wang terpaksa menangguhkan kursus, dan berazam menghimpun wang sebanyak itu demi bahasa Inggeris.

Anak-anak muda itu tidak tertarik dengan perjuangan bahasa Melayu. Daripada perbualan saya dengan mereka, ternyata bahawa mereka mengutamakan ekonomi dalam kehidupan. Bagi anak muda ini, mereka yang bergaji tinggi itu berkebolehan berbahasa Inggeris dengan baik. Jadi, berkelulusan universiti tanpa kebolehan berbahasa Inggeris dengan baik belum menjamin masa depan yang gemilang.

Dalam keadaan seperti di atas, tidak mungkin kita mempengaruhi mereka untuk menghargai bahasa Melayu, dan mengetepikan bahasa Inggeris. Bahkan, kita mendapati, sebarang tindakan mencadangkan agar rakyat Malaysia memberikan tumpuan kepada bahasa Melayu, dan memperkecil pejuang bahasa Inggeris akan dipandang rendah.

Norhashimah Jalaluddin misalnya, mengatakan kumpulan yang memperjuangkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) ‘could be considered as lacking in patriotism towards the national language.’ (New Straits Times, 26 April 2011). Kenyataannya ditentang oleh sejumlah penulis lain.

Perkara utama timbul di fikiran saya ialah kemahiran Norhashimah menggunakan bahasa Inggeris dalam makalah berkenaan. Beliau memperjuangkan bahasa Melayu melalui penulisan dalam Inggeris.

Golongan pejuang bahasa Melayu, sebahagiannya amat berkebolehan berbahasa Inggeris. Ramai rakyat Malaysia ada yang tidak tahu Prof Muhammad Haji Salleh, Datuk A Samad Said, Prof Nik Safiah Karim, Prof Asmah Haji Omar, Datuk Hassan Ahmad dan beratus-ratus lagi pejuang dan sarjana bahasa Melayu, adalah tokoh-tokoh yang mahir berbahasa Inggeris. Lantaran terlalu menekankan pentingnya bahasa Melayu dihayati, mereka seakan-akan membayangkan bahawa mereka bukanlah contoh yang baik.

Mereka ialah contoh yang baik bagi sesiapa yang mencintai bahasa Melayu, dan mengejek bahasa Inggeris. Saya ingin memberikan penegasan di sini, ikutilah jejak mereka, belajarlah bahasa Inggeris setinggi-tingginya, termasuk ilmu stail (stilistika) dan nahu (tatabahasa), kerana kebagusan dalam bahasa Inggeris akan menjadikan anda pelapis Muhammad, Samad, Nik Safiah, Asmah dan Hassan.

Cintai bahasa Melayu, hargai bahasa Inggeris.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU AGAMA : Sifat 3S resipi hadapi kesulitan

Oleh Sharifah Hayaati

Pekerja perlu berfikiran positif untuk capai kejayaan

ALHAMDULILLAH, setiap hari kita menempuh kehidupan dengan pelbagai keadaan. Ada ketikanya kita mampu serta berjaya melaluinya dengan tenang dan mudah. Namun, ada ketikanya kita berhadapan kesulitan, cabaran dan rintangan. Jika diberi dua pilihan, sama ada ingin melalui kehidupan mudah atau melaluinya dengan payah, tentu kita memilih yang mudah.

Islam amat menggalakkan umatnya menggunakan cara mudah seperti amalan Nabi SAW. Namun, perlu disedari kesulitan dalam kehidupan sebenarnya sunnatullah bertujuan menguji hamba-Nya. Dalam setiap ujian yang berlaku sama ada kesenangan atau kepayahan, pasti ada hikmah atau pengajaran kepada manusia sekiranya kita mengetahui dan bersabar.Dalam ujian itu terkandung pendidikan sebelum Allah mengurniakan markah berupa kejayaan, keberkatan dan pahala. Ujian itu mendidik hati tunduk ikhlas dan mengakui betapa lemahnya diri tanpa pertolongan-Nya.

Justeru, dalam mencari rezeki atau bekerja dan mengurus organisasi, masalah tidak dapat dielakkan. Bahkan apabila masyarakat bertambah ramai dan negara semakin maju maka seolah-seolah ia menjadi harga yang perlu dibayar kerana pengurusan kehidupan semakin rumit. Misalnya, kepelbagaian sikap, persaingan dalam kerja, konflik dan kepentingan mencapai kualiti perkhidmatan yang tinggi menyebabkan setiap pekerja perlu sentiasa berusaha membina kekuatan diri.

Islam sebagai cara hidup menggariskan tiga panduan utama sebagai resipi ketahanan berguna dalam menghadapi kepayahan iaitu sifat sabar, solat dan siap sedia (3S) dalam mengharunginya.

Dalam Sunan al-Termizi daripada Abdullah bin Abbas ra berkata: “Aku pernah bersama Rasulullah SAW dan baginda berkata kepadaku: “Wahai anak, sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimah: Jagalah Allah, pasti Dia menjagamu.Jagalah Allah, nescaya kamu mendapati-Nya di hadapanmu (dengan pertolongan-Nya), Kenallah Allah dalam kesenangan, pasti Dia mengenalmu dalam kesusahan dan sabdanya lagi, ketahuilah kemenangan ada bersama kesabaran.”

Sekiranya kita cenderung melihat masalah sebagai rintangan kepada kejayaan, berusahalah menguatkan hati dan mengubah pemikiran dan melihatnya sebagai peluang berjaya. Kaedah pertama ialah melaluinya dengan sabar dengan membayangkan nikmat kesenangan hidup yang lebih luas dan tidak terhitung dianugerahkan Allah SWT. Kejayaan yang diraih hasil kesabaran lebih indah untuk dikenang, kerana di sebalik kemanisan itu ada pengalaman pahit dan sukar. Pengalaman itu mampu melahirkan kemahiran yang diperlukan dalam melahirkan individu profesional dalam organisasi.

Kesabaran adalah rahsia kejayaan. Ia dinyatakan lebih daripada 90 kali dalam pelbagai bentuk dalam al-Quran. Ibn Taimiyyah pernah ditanya: “Dengan cara apakah kepemimpinan diperoleh? Dia menjawab dengan kesabaran dan keyakinan seperti firman Allah SWT bermaksud: “Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar dan meyakini ayat kami.” (Surah al-Sajdah, ayat 24)

Kedua, membina ketahanan diri melalui solat sebagai perisai. Justeru, peliharalah solat, berdoa dan perbanyakkan beristighfar kepada Ilahi agar diberikan hikmah dan kejayaan yang diberkati. Dalam kesibukan kita mencari rezeki, jangan sampai menggadaikan solat atau menjadikannya sebagai penguat diri hanya ketika ditimpa kesusahan. Usaha menyediakan ruang solat yang selesa di tempat kerja perlu dilihat sebagai kewajipan organisasi dalam memelihara solat warga kerjanya. Jangan hanya kebajikan atau tanggungjawab sosial diberi keutamaan sedangkan tiada peruntukan menyediakan ruang beribadat yang selesa.

Ketiga, hendaklah kita sentiasa bersiap sedia. Dalam konteks organisasi, pelbagai perancangan strategik boleh dilakukan, termasuk usaha menguatkan akal dan hati dengan menentukan hasrat mencapai kejayaan. Penentuan ini mampu memberi tenaga dalam mengorak strategi. Kata-kata hukama ada menyebut matlamat yang ingin dicapai adalah rahmat Allah. Jika tidak, ibu enggan mengandung dan petani enggan bercucuk tanam. Ertinya, kerana membayangkan hasrat yang ingin dicapai iaitu zuriat dan hasil tanaman itulah, maka ibu dan petani sanggup mengharungi kepayahan.

Selain itu, kita perlu memelihara hubungan dengan persekitaran dengan memupuk kemahiran interpersonal atau interpersonal kompeten seperti memahami watak, sikap rakan sekerja, memupuk sifat empati, menghormati dan bertanggungjawab. Insya-Allah, kita pengemudinya selepas dayung ada di tangan dan dengan sifat tawakal, Allah SWT akan memudahkan segala kepayahan.

Penulis ialah pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 24 Jun 2011

ISU ANTARABANGSA : Mengenali budaya, adat resam

Peserta yang menyertai Program Pertukaran Pelajar Antarabudaya Melalui Keluarga Angkat anjuran AFS bergambar kenangan di Kampung Temenin Baru, Kota Tinggi, baru-baru ini.

Oleh FARIK SALLEH
editjohor@utusangroup.com.my

KOTA TINGGI 23 Jun - Keharmonian hidup rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama dikagumi pelajar luar negara yang mengikuti Program Pertukaran Pelajar Antarabudaya Melalui Keluarga Angkat anjuran Yayasan Antarabudaya Malaysia (AFS), baru-baru ini.

Kumpulan pelajar luar negara itu diberikan peluang tinggal bersama keluarga angkat selama tiga hari di Homestay Kampung Temenin Baru, dekat sini untuk melihat kehidupan rakyat Malaysia secara dekat.

Seorang pelajar Jerman, Elisabeth Klein, 17, mengakui program itu membolehkannya menikmati suasana kampung serta merasai makanan orang Melayu yang enak walaupun agak pedas.

"Saya seronok kerana penduduk di sini semuanya peramah dan menerima kehadiran saya dengan baik. Saya dapat melihat kehidupan penoreh getah dan bagaimana pokok getah ditoreh," katanya yang merupakan anak sulung daripada dua beradik yang telah 11 bulan menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Puteri, Ipoh, Perak.

Anak bongsu daripada tiga beradik dari Itali, Porru Veronica, 18, pula teruja kerana berpeluang menyertai program tersebut dan berharap dapat menyesuaikan diri serta belajar bahasa Melayu.

"Pelbagai makanan yang sedap disediakan oleh keluarga angkat dan saya gembira dapat mempelajari cara dan proses memasak lemang," katanya yang menyifatkan peluang seperti ini hadir hanya sekali seumur hidup dan belajar di SMK Chenderawasih, Kuantan, Pahang.

Bagi Melania Van Cauwenbergha, 18, dari Belgium, program itu membolehkannya berkenalan dengan lebih ramai rakan dari pelbagai negara selain mendalami kehidupan masyarakat Malaysia, khasnya di Johor.

"Dengan keramahan dan keprihatinan masyarakat di sini, saya dapat menyesuaikan diri dengan mudah," katanya bangga kerana kini mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih dan kini menuntut di SMK Syed Hassan, Kangar, Perlis.

Nathalie Goetz, 18, pula mengakui keadaan di sini berbeza berbanding kampungnya di Jerman sambil menyifatkan pengalaman mandi menggunakan gayung merupakan kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Dia yang belajar di SMK Taman Jasmin 2, Kajang, Selangor turut mengakui kemesraan dan layanan keluarga angkat yang baik membuatnya sedih apabila terpaksa berpisah pada akhir program tersebut.

Bapa angkatnya, Ab. Karim Ab. Ghani, 47, memberitahu, program seumpama itu sering diadakan di kampung tersebut dan mereka akan memberi layanan terbaik kepada anak angkat masing-masing.

"Ini adalah cara kami memperkenalkan Malaysia. Pelajar mahupun pelancong akan diajar selok-belok tinggal di kampung dan menikmati suasana berbeza dengan perumahan mereka di negara masing-masing," katanya.

Anak keduanya, Arrzalina, 23, pula berharap program pertukaran pelajar seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia memberikan pelbagai manfaat kepada peserta dan keluarga angkat masing-masing.

"Program ini dapat mempromosikan keunikan kehidupan penduduk negara ini selain sebagai produk pelancongan dan dapat merapatkan lagi hubungan rakyat kedua-dua negara," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Langkah perkasa bahasa Melayu

Mohd. Puad Zarkashi (kanan) mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010, Abu Bakar Buyong di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, semalam

Oleh MD. AZRIN ROSLY
pengarang@utusan.com.

KUALA LUMPUR 23 Jun - Penggunaan bahasa Melayu pada persidangan antarabangsa diharap dapat dilaksanakan tahun ini dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan itu.

Ia merupakan antara langkah yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan untuk memperkasakan bahasa Melayu, selain digunakan dalam surat-surat rasmi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, cadangan-cadangan itu akan dibawa kepada makluman Kabinet terlebih dahulu sebelum pekeliling mengenainya dapat dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Tidak salah untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam persidangan antarabangsa termasuk dalam penyampaian ucaptama kerana penterjemah disediakan untuk para peserta.

"Kebanyakan wakil negara lain menggunakan bahasa kebangsaan sendiri ketika berucap seperti peserta China bercakap dalam bahasa Mandarin, peserta Asia Barat menggunakan bahasa Arab dan peserta Indonesia menggunakan bahasa Indonesia.

"Namun, apabila dalam perbincangan, dialog dan sebagainya, kita akan menggunakan bahasa Inggeris. Mesyuarat-mesyuarat dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di peringkat tempatan juga diharap menggunakan bahasa kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-55 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran itu berkata, jika surat-menyurat melibatkan syarikat dari negara luar, bahasa Melayu digunakan dengan terjemahannya sekali.

Beliau menyeru GLC supaya mendukung usaha memartabatkan bahasa Melayu dengan menggunakannya semasa mesyuarat peringkat atasan mahupun bawahan.

"Kadangkala individu perseorangan tidak menggunakan bahasa kebangsaan walaupun dalam majlis yang menggunakan bahasa Melayu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, pihaknya menyasarkan penglibatan bukan Melayu sebanyak 30 peratus dalam aktiviti melibatkan bahasa dan kesusasteraan.

"DBP mendapat kerjasama baik daripada persatuan dan Dewan Perniagaan Cina untuk memperkasakan bahasa kebangsaan menerusi penganjuran pelbagai aktiviti seperti pertandingan.

"Kami juga ada membantu 61 sekolah menengah persendirian Cina bagi memperkasakan guru bahasa Melayu.

"Harapan kami, bahasa kebangsaan diperkasakan dalam semua peringkat kerana ia menunjukkan jati diri sesuatu bangsa," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 23 Jun 2011

ISU ALAM SEKITAR : Pelan pengurusan bencana strategik mampu elak risiko

Oleh Hasliza Hassan

JIKA takut bermain ombak jangan berumah di tepi pantai. Jika takut tanah runtuh, jangan berumah di lereng bukit. Tetapi jika itu memang sudah jadi kediaman sejak dulu atau hanya tanah di lereng bukit yang ada untuk didirikan bangunan, apakah kita ada pilihan.

Adakah mereka yang sekian lama tinggal berdekatan lereng bukit perlu mengambil tindakan drastik untuk berpindah bagi mengelak bencana tanah runtuh. Bagaimana pula yang tinggal di kawasan banjir, adakah mereka juga perlu mencari rumah di kawasan lain jika tidak mahu berdepan dengan banjir?

Andainya mereka ingin terus tinggal di kediaman sedia ada, adakah ini bermakna mereka perlu berdepan dengan risiko kemalangan dan jika berlaku tragedi, siapa perlu dipertanggungjawabkan.

Yang pasti, apabila berlaku bencana alam tiada siapa akan mengaku itu tanggungjawab mereka. Lebih-lebih lagi yang membabitkan kehilangan nyawa. Sebaliknya berlakulah drama tuduh menuduh atau tuding-menuding.

Terbaru ialah tragedi tanah runtuh di Hulu Langat yang mengorbankan 16 nyawa. Nampaknya, isu itu pun sudah sejuk atau terus ditangani pihak tertentu tanpa publisiti besar-besaran.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku memperlihatkan sikap ‘gempar, kesal, prihatin dan simpati’ yang bersifat sementara kerana keadaan akan kembali ‘reda’ selepas beberapa ketika dan hanya hangat apabila berlaku lagi tragedi menggemparkan.

Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia, Prof Dr Alias Abdullah, berkata negara memerlukan pelan pengurusan bencana yang strategik untuk menangani isu membabitkan keselamatan rakyat, selain meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pengurusan risiko.

Katanya, dalam keadaan sekarang adalah sukar untuk meminta pemilik rumah atau premis terletak di kawasan berisiko berpindah terutama apabila tiada tempat lain hendak dituju.

“Masyarakat sendiri akan berdegil, khususnya pemilik tanah dan rumah. Pastinya mereka tidak mahu berpindah kerana sudah lama menetap di situ. Tetapi kita tidak boleh salahkan mereka kerana itulah saja harta mereka ada.

“Lagipun, pemberian tanah zaman dulu tidak terancang dan tanah status pertanian memang dibenarkan dibina rumah separuh kekal. Sebab itu kita lihat rumah dibina tidak mempunyai pelan. Jika dari dulu mereka tinggal di situ, tiba-tiba disuruh pindah, ke mana mereka hendak pergi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, masih ada cara bagi mengurangkan risiko serta membantu mereka yang tinggal di kawasan terdedah kepada bencana alam memastikan keselamatan terjamin.

Katanya, pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan satu pelan kawasan penempatan merangkumi lokasi penempatan lama, baru serta mengenal pasti kawasan berisiko terhadap bencana alam dengan mengkategorikannya mengikut kelas risiko seperti A untuk kawasan berisiko tinggi terhadap tanah runtuh, banjir, tanah mendap atau bencana alam lain sementara B untuk berisiko sederhana dan seterusnya.

Pada peringkat Persekutuan pula, perlu ada kerangka lebih besar bagaimana hendak menukar kawasan penempatan berisiko sedia ada kepada keadaan lebih baik, selain pelan strategik dirangka dengan jelas supaya risiko dapat dikurang atau dielakkan pada masa depan.

“Kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko, kita kena maklumkan kepada penduduk supaya mereka lebih berhati-hati. Tidak boleh beritahu kawasan ini berisiko dan awak kena pindah. Hendak pindah ke mana, siapa hendak beri tanah?,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa tempatan perlu bekerja lebih jika tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku kerana mereka tidak boleh pergi dan tengok tanpa melakukan usaha pencegahan atau penambahbaikan.

Dr Alias berkata, masyarakat juga perlu sentiasa peka dengan persekitaran premis mereka dan jika berlaku perubahan hendaklah memaklumkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera diambil.

Katanya, pihak berkuasa tempatan juga perlu mengambil langkah proaktif untuk memantau kawasan sedia ada yang terdedah kepada risiko bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, pokok tumbang atau bencana lain.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/