Rabu, 21 Disember 2011

ISU BAHASA : Konserto Terakhir ganti Interlok


KUALA LUMPUR: Novel "Konserto Terakhir" karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain, akan menggantikan novel "Interlok" sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) bagi pelajar Tingkatan 5 mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, berkata penggantian teks KOMSAS bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia itu membabitkan pelajar bagi Zon Dua meliputi Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Selangor.

"Novel Konserto Terakhir sudah melalui proses penyaringan dan pemilihan yang ditetapkan, dan sesuai digunakan sebagai teks Komsas berdasarkan nilai dan mutu karya yang dihasilkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 14 Disember lalu, Kabinet memutuskan penggunaan novel Interlok yang juga karya Abdullah, sebagai teks Komsas Tingkatan Lima tidak akan diteruskan mulai tahun depan.

Keputusan itu dibuat berikutan timbulnya rasa kurang senang sesetengah masyarakat selain bagi mengelak pihak tertentu daripada terus mempolemikkannya.

Novel Konserto Terakhir yang pernah dijadikan teks Komsas Tingkatan Lima di Zon Dua dari 2000 hingga 2010, berkisar mengenai perjuangan hidup dan kegigihan seorang anak muda dari kampung yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan akhirnya berjaya menjadi seorang seniman besar negara. - BERNAMA

Selasa, 20 Disember 2011

ISU BAHASA : Novel Interlok cerminan sistem, budaya


INTERLOK sebagai teks komponen sastera (KOMSAS) bagi mata pelajaran bahasa Melayu untuk pelajaran Tingkatan Lima pada tahun hadapan kemungkinan dimansuhkan setelah Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam membuat pengumuman mengenai status novel itu dilihat mendahului Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Bahasa sebagai wahana fikiran dan fungsi komunikasi digunakan untuk menyampaikan mesej dan idea dengan pelbagai gaya bahasa. Gaya bahasa terarah kepada budaya komuniti bahasa. Ini berbeza dengan ilmu bahasa atau linguistik sebagai satu disiplin yang mengandung sistem bahasa sesuatu komuniti bahasa.

Sehubungan dengan itu, gaya bahasa dalam karya kreatif tidak mutlak sebagai sistem tetapi lebih akur kehendak budaya masyarakat. Titik utama penggunaan bahasa dalam apa-apa medan dan lapangan berdasarkan prinsip asas bahasa tegak berdasarkan sistem dan budaya.

Isunya novel sastera menjadi polemik kerana segelintir pihak gemar menggunakan politik sebagai asas perhitungan mempopularkan diri. Walhal karya kreatif yang berunsurkan semangat kebangsaan seperti novel Interlok karya Abdullah Hussein diterbitkan pada 1971 antara tulisan pascamerdeka. Penulis sezamannya terutama Arena Wati (Sandera, 1971) dan Aziz Jahpin (Pulanglah Perantau, 1971) mengutarakan idea dan tema novel yang bersifat sejarah dan menyemarakkan semangat kebangsaan melalui aplikasi bahasa Melayu sebagai wadah perjuangan umat Melayu. Antara novelnya ialah Putera Gunung Tahan (1937) dan Anak Mat Lela Gila (1941) karya Ishak Haji Muhammad.

Bahasa Melayu sebagai medium menyalurkan semangat kebangsaan sekian lama terutama menyalurkan idea dalam karya sastera Melayu moden pada 1920-an telah menanam sifat ‘bahasa jiwa bangsa.’

Kebebasan jiwa seorang penulis tidak terbatas dan pemikiran kreatif terpancar melalui karya kreatif termasuk karya fiksyen tetapi olahan dan manipulasi bahasa puitis dan gramatis menggambarkan realiti kehidupan dalam negara yang pelbagai kaum perlu menjadi garis panduan dan pedoman rakyat.

Pengungkapan idea dan pemikiran dalam genre sastera, iaitu prosa dan puisi yang banyak konsep dan bayangan melalui ungkapan, kalimat simbolik dan gaya bahasa kreatif dari aspek fungsi wahana perhubungan menjadi paksi perpaduan.

Malah karya kreatif yang dilihat dari aspek politik ditokok isu sensitif seperti agama, dan kaum dengan penuh prejudis hanya menimbulkan perasaan kurang senang.

Dalam teks novel yang berdasarkan fakta dan realiti sosial pada zaman berkenaan membabitkan penghijrahan kaum pekerja dari luar termasuk dari Selatan India. Penulis menggambarkan situasi dalam kapal itu bersesak-sesak antara golongan Brahmin dan golongan Kysatria dibawa oleh Inggeris untuk menjadi buruh kereta api dan buruh di ladang getah.

Penaakulan yang waras dan akademik menghayati karya sastera dan sejarah dalam konteks wacana sosiobudaya dan sejarah, bukan berasaskan perasaan dan politik yang hanya menafikan asal usul dan kaum itu sendiri. Pemain politik yang membangkit sentimen kaum hanya satu perenggan dalam novel semata-mata memperlihatkan tahap pendidikan dan politik baru.

Harapan masyarakat Malaysia bahawa politik baru dan media baru tidak meminggirkan idea dan pemikiran keindahan gaya bahasa dalam tulisan karya kreatif atau bersifat akademik apalagi sejarah yang mencatat fakta dan data.

DR ZULKEFLEE YAACOB,
Presiden Majlis Bahasa Melayu Kebangsaan,
Tanjung Malim, Perak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Sikap menjadi penentu kedudukan bahasa kebangsaan


Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID

DI NEGARA kita, bahasa Melayu atau juga dikenali sebagai bahasa Malaysia dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan sejak 1957. Hal ini termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukannya diperkukuhkan lagi melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang menetapkan bahasa itu sebagai bahasa rasmi tunggal. Pindaan dalam Akta Perlembagaan 1971 pula menetapkan status Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dipersoalkan. Mereka yang berbuat demikian boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1984. Bahasa rasmi negara ini juga tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Akta Pendidikan menetapkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara.

Seksyen 17(1) akta itu menyebut, "Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini".

Pengecualian penggunaan bahasa Malaysia di institusi pendidikan yang bahasa pengantar utamanya bukan bahasa kebangsaan pula disebut di bawah Seksyen 17(2). Namun, bahasa Malaysia hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib. Bahasa kebangsaan juga telah menjadi bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran awam serta majlis-majlis rasmi kerajaan. Ia turut digunakan secara rasmi di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri.

Cuma di peringkat mahkamah ia belum dimartabatkan sepenuhnya. Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1967 (Akta 32) menetapkan BM sebagai bahasa yang terpakai dalam segala prosiding dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah adalah dengan bersyarat, iaitu Mahkamah boleh memerintah supaya prosiding itu dijalankan sebahagiannya dalam BM dan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris (BI).

Negara juga mempunyai badan perancangan bahasa, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sejak ditubuhkan pada 1956, DBP memainkan peranan penting terhadap kemajuan dan pembangunan bahasa kebangsaan. Demikian juga peranan penulis dan sasterawan Melayu. Sejak sebelum merdeka lagi pelbagai persatuan penulis dan sastera di negara ini gigih memperjuangkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Malah, kewujudan akhbar-akhbar Melayu sebelum merdeka turut menyemarakkan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa penyaluran maklumat yang berkesan. Akhbar Utusan Melayu yang kini dikenali sebagai Utusan Malaysia adalah contoh akhbar Melayu yang terus memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sehingga kini.

Namun, di mana silapnya setelah lebih 50 tahun merdeka, penggunaan bahasa kebangsaan masih menjadi isu dan polemik yang tidak berkesudahan. Paling menyedihkan apabila ada kajian menunjukkan terdapat generasi muda kaum Cina yang tidak tahu berbahasa Melayu. Tidakkah ini sesuatu yang ganjil dalam masyarakat kita yang mahu memupuk perpaduan kaum melalui penggunaan bahasa kebangsaan?

Sikap mengagungkan bahasa Inggeris turut merendahkan martabat penggunaan bahasa kebangsaan. Wujudnya 'trend' penggunaan bahasa yang seolah-olah berasaskan 'stratifikasi sosial' di mana bahasa kebangsaan seolah-olah digunakan oleh kelompok berpendidikan rendah dan rakyat biasa, manakala kelompok atasan, elit, profesional, komuniti korporat dan mereka yang berpendidikan tinggi dari luar negara lebih mesra menggunakan bahasa Inggeris.

Demikian juga kebanyakan ahli politik kita lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris atau 'bahasa campuran' termasuk ketika diwawancara media tempatan.

Sememangnya, kita wajar menguasai bahasa Inggeris kerana ia diperlukan untuk menghubungi dunia luar. Malah, wajar sekali rakyat digalakkan menguasai bahasa lain seperti bahasa Jepun, Korea, Mandarin dan Arab. Namun, elemen patriotisme terhadap bahasa kebangsaan sebagai 'Bahasa Jiwa Bangsa' perlu ada di setiap sanubari rakyat.

Sepatutnya selepas lama kita merdeka, penggunaan bahasa kebangsaan menjadi semakin mantap dan bukan lagi menjadi isu yang memeningkan kita. Hakikatnya, ia bertitik tolak daripada sikap dan persepsi kita terhadap bahasa kebangsaan. Dalam bidang sosiolinguistik, sikap kita terhadap bahasa adalah pendorong kepada keupayaan kita menguasai dan menggunakan sesuatu bahasa itu.

Justeru, usaha kerajaan untuk membudaya kembali penggunaan bahasa kebangsaan perlu disokong sepenuhnya oleh seluruh lapisan masyarakat. Ada banyak usaha dilaksanakan kerajaan untuk memartabatkan kembali kedudukan bahasa kebangsaan. Pada 2009, kerajaan memperkenalkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dengan matlamat memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.

Menurut portal rasmi DBP, BKK adalah lanjutan kepada kempen bahasa terdahulu. Ia bermula dengan panggilan Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an. Ia kemudiannya dikenali pelbagai nama seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK, 1987-1996), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS,1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998). Pada 1999 ia dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) dan kini dikenali sebagai BBK.

Satu lagi usaha konkrit kerajaan ialah memansuhkan sepenuhnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PSMI) pada 2016 bagi sekolah rendah dan 2021 bagi sekolah menengah. Ia akan diganti dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Dasar baru ini bukan sahaja akan memartabatkan kembali kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu tetapi dapat memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kita.

Usaha Kementerian Pengajian Tinggi untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu di institusi pengajian tinggi juga akan mampu mendaulatkan semula martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu.

Ia akan dilaksanakan melalui empat strategi iaitu mengukuh bahasa Malaysia dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P), mengukuh BM dalam penyelidikan dan penerbitan, meningkatkan pengiktirafan akademia BM dalam pelbagai disiplin ilmu dan meningkatkan pengantarabangsaan bahasa Malaysia.

Selain itu, agensi kerajaan turut diarahkan menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan dalam apa jua urusan dan acara-acara rasmi. Usaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menubuhkan Unit Pembudayaan Bahasa di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) adalah usaha murni untuk membantu kerajaan membudayakan penggunaan bahasa Malaysia melalui aktiviti kesenian dan kebudayaan.

Unit itu juga akan bekerjasama dengan DBP serta Kementerian Pelajaran bagi merangka program-program berkaitan aktiviti bahasa supaya ia mencapai matlamat membudayakan penggunaan bahasa kebangsaan secara betul.

Kesimpulan, penggunaan bahasa kebangsaan secara meluas adalah bergantung pada sikap kita terhadap bahasa terbabit. Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai usaha memperkukuh bahasa kebangsaan yang bukan sahaja perlu disokong oleh semua lapisan rakyat tetapi juga perlu disokong oleh pihak swasta.

PENULIS ialah Penolong Pengarah di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Keputusan PMR diumumkan Khamis ini


KUALA LUMPUR 19 Dis. – Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 akan diumumkan Khamis ini.

Menurut satu kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini, analisis keputusan PMR akan diumumkan di Putrajaya pada hari berkenaan.

"Calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing selepas 10 pagi pada hari sama,” menurut kenyataan itu. Mulai tahun ini, kementerian memperkenalkan khidmat semakan keputusan PMR melalui mySMS 15888 yang diaktifkan mulai 10 pagi Khamis hingga 12 tengah malam, 28 Dis.

Maklumat lanjut berhubung khidmat pesanan ringkas (SMS) itu boleh diperoleh di laman sesawang kementerian www.moe.gov.my.

Seramai 481,292 calon menduduki peperiksaan PMR di seluruh negara tahun ini. - BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : 7,079 GSTT ke jawatan tetap


Oleh Haika Khazi
haikakhazi@bharian.com.my

Kerajaan serap sebaik guru terbabit tamat kursus di IPGM, IPTA

PUTRAJAYA: Seramai 7,079 daripada 13,184 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di seluruh negara akan diserapkan dalam jawatan tetap selepas mengikuti kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terpilih, mulai Januari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata langkah itu membuktikan komitmen Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menyelesaikan isu membabitkan 13,184 guru GSST di seluruh negara.

Beliau berkata, sebenarnya seramai 1,799 daripada 13,184 guru GSTT terbabit sedang mengikuti latihan perguruan menerusi mod kursus dalam cuti (KDC) di IPGM di seluruh negara sejak beberapa bulan lalu.

“Bagaimanapun, pada hari ini (semalam), kita memutuskan untuk memberi peluang kepada 7,079 guru GSTT mengikuti latihan perguruan di IPTA dan IPGM di seluruh negara mulai Januari depan.

“Ia dilakukan selepas proses saringan permohonan daripada GSTT menerusi kaedah penyerapan di bawah Skim Perkhidmatan Pelajaran selesai,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung isu GSTT di pejabatnya, di sini, semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, 4,433 GSTT akan mengikuti kursus Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah KPLI (DPLI) di IPTA (mulai Februari 2012).

“Selebihnya akan mengikuti kursus menerusi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) serta Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di IPGM di seluruh negara mulai 9 Januari depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, kementerian menolak 2,788 permohonan lain kerana GSTT terbabit gagal mengemukakan maklumat lengkap atau dokumen asal ketika menghadiri temu duga sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, kementerian bersedia memberi peluang membenarkan guru terbabit membuat rayuan dengan mengemukakan permohonan lengkap bersama salinan sijil asal yang sudah disahkan untuk pertimbangan semula kementerian sebelum tarikh tutup pada 26 Disember ini.

“Kementerian juga menolak permohonan 2,012 calon lain kerana tidak memenuhi syarat minimum iaitu berkhidmat sebagai GSTT sekurang-kurangnya dua tahun berturut-turut.

“Selebihnya, 916 permohonan lagi ditolak kerana berumur lebih 35 tahun iaitu melebihi had ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 15 Disember 2011

ISU SOSIAL : Belia benteng pertahanan negara


Oleh Nik Salida Shuhaila
bhnews@bharian.com.my

GENERASI MUDA PERLU DALAMI ILMU AGAMA ELAK TERSASAR

GOLONGAN muda harus dijadikan benteng pertahanan negara yang sedia berjuang dan berkorban apa saja untuk menyelamatkan tanah air tercinta. Dengan fizikal yang kuat, akal cerdas dan iman tuntas, generasi muda perlu menyedari serta meletakkan diri mereka di tempat sewajarnya.

Tiada siapa mampu menafikan kebanyakan generasi muda hari ini lebih bijak. Mereka betah bersama golongan yang lebih dewasa kerana mempunyai ilmu dan pengetahuan tinggi. Untuk menjadi benteng negara, selain fizikal dan minda perkasa, golongan muda juga bertanggungjawab dalam urusannya dengan Allah SWT, manusia dan alam.

Mereka harus memahami kepentingan ilmu sehingga sanggup menadah kitab walau di mana saja dan apa juga rintangannya kerana mereka yang akan meneruskan legasi memastikan umat Islam seluruh dunia hidup di landasan agama sebenar.

Sungguhpun generasi muda cukup matang menilai dan membina keupayaan, tanpa bimbingan, mustahil mereka mampu menerajui diri untuk menjadi insan terbilang yang memiliki kebijaksanaan, kecerdasan akal serta sahsiah mulia.

Lebih-lebih lagi cabaran hari ini tidak setara dengan kesediaan ibu bapa dan pendidik menghadapi segala kemungkinan mendatang sehingga kelihatan lesu mencari punca, tetapi masalah semakin meruncing serta tidak terbendung.

Selain itu, mereka harus mempunyai hikmah dalam tindak tanduk selain adil, amanah terhadap tanggungjawabnya kepada Allah serta manusia dan alam. Jika tidak amanah, mungkin mereka tidak akan ragu-ragu untuk berdusta dan memusnahkan hak orang lain.

Mereka juga mesti berani kerana kejayaan tidak dapat dicapai tanpa ada rasa gerun atau sanggup gagal. Jika berjaya, itulah langkah untuk mencipta kejayaan yang lain seterusnya menjadi ikutan kepada golongan yang memerlukan qudwah hasanah di kalangan mereka.

Tanpa keberanian, orang muda tidak akan mempunyai cita-cita sedangkan impian dalam hidup adalah angan-angan yang memungkinkan kejayaan lebih besar. Cita-cita boleh merubah kehidupan dan menjadikan seseorang itu berjasa kepada agama dan negara.

Bagaimanapun, ia memerlukan hasrat dan tekad yang tinggi serta sokongan berterusan. Perkara merisaukan ialah jika peluang menjadi orang muda yang hanya sekali dirasai sepanjang kehidupan dipersiakan dengan kejahilan terhadap agama.

Hari ini generasi muda menjadi beban kepada agama dan negara. Mereka tidak mempedulikan ilmu, menjauhi suruhan agama dan mempersendakan hukum yang mengikat mereka sebagai individu Muslim.

Entah di mana silapnya, orang muda bencikan cara hidup Islami, sering membantah, melangkaui akhlak dan sahsiah, malah mempercayai amalan tahyul yang mudah meresapi minda sehingga menjadikan nujum sebagai guru yang membimbing akidah mereka.

Sukar mencari generasi muda yang bersusah payah menelan keperitan hidup untuk menuntut ilmu dan mengamalkan akhlak mulia sekali gus merubah kehidupan dan keluarga supaya mengikut acuan agama.

Ibu bapa yang mempunyai anak remaja harus sentiasa belajar mempertingkatkan komitmen dan tanggungjawab membimbing mereka mengikut ajaran agama. Dosa dan pahala harus menjadi zikir yang basah di bibir supaya anak sentiasa diingatkan serta tahu batasan dalam tindak-tanduk, bukan menghalalkan semua cara sehingga menggadaikan maruah agama.

Bukan semua orang muda tidak tahu masa depan mereka bergantung kepada urusan dunia yang mereka tangani hari ini.

Bukan semua jahil bahawa masa muda hanya sekali dan jika tidak diambil peluang, akan berlalu pergi begitu saja.

Mereka harus berjaga-jaga, jangan sampai waktu muda merosakkan kehidupan. Tetapi ramai juga yang terpesong ke jalan lain kerana orang muda tidak ‘dipaksa’ menjadi mereka yang selayaknya.

Justeru, orang muda perlu mengatur langkah lebih gagah, usah peduli rasa rendah diri yang membantutkan usaha memajukan agama, bangsa dan negara. Mereka juga hendaklah setia kepada pemimpin, apalagi ibu bapa yang setia bersama sepanjang hayat.

Bagi generasi akan datang, zaman muda ini adalah tempoh mencorakkan masa depan dan boleh jadi menakutkan jika apa yang dicorakkan lebih dahsyat daripada fenomena dilalui belia hari ini. Diharap mereka dapat berubah dan mengubah untuk masa depan lebih baik.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 14 Disember 2011

ISU SOSIAL : Undang-undang rasuah lebih tegas


Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

PERUBAHAN status Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009 merupakan satu usaha positif kerajaan dalam usaha menjadikan agensi itu sebagai sebuah agensi yang bebas, telus dan profesional dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan pencegahan rasuah di negara ini.

Antara inisiatif yang diambil bagi menambah baik fungsi agensi ini agar dilihat sebagai sebuah agensi yang telus, lima badan pemantau telah ditubuhkan bagi menjamin mekanisme Check and Balance dalam perlaksanaan undang-undangnya.

Secara jelasnya, SPRM dipantau oleh lima badan ini iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (LPPR).

Bagi setiap laporan operasi yang dijalankan oleh SPRM, ia akan dijawab terus kepada Parlimen melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Antara isu menarik dalam laporan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang dibentangkan di Parlimen Malaysia 29 November lalu, soal perundangan dan pendakwaan turut diberi perhatian.

Menyentuh mengenai kes-kes rasuah, seringkali isu perundangan membabitkan kes-kes rasuah disalah tafsirkan oleh masyarakat apabila sabitan ke atas kes-kes berprofil tinggi dilihat agak kurang berbanding kes-kes lain.

Perlu dingat bahawa kes-kes rasuah dan penyelewengan kuasa agak kompleks dan terdapat perbezaan dari sudut pembuktian dengan kes-kes jenayah am yang lain. Persoalan fakta undang-undang termasuk pembuktian bagi sesuatu kesalahan rasuah memerlukan kemahiran.

Ini turut diakui oleh JKMR apabila dalam Laporan JKMR 2010 turut menyatakan tumpuannya dalam aspek pendakwaan dan perundangan. (2.2, 2.3, 2.4), cadangan JKMR (2.3.1) ada membuktikan bahawa kes-kes rasuah ini sememangnya kes yang boleh diklasifikasikan sebagai jenayah rumit dan kompleks.

Ini kerana jenayah berbentuk begini bersifat merentasi sempadan negara dan berhubung kait dengan jenayah lain seperti jenayah bersindiket, jenayah ekonomi, kewangan, keganasan, penggubahan wang haram, penyeludupan manusia yang dibantu oleh perkembangan pesat teknologi maklumat.

Tidak dapat dinafikan, tafsiran terhadap sesuatu perlakuan rasuah dalam konteks undang-undang dan moral sering kali menyebabkan kekeliruan masyarakat, ambil saja contoh isu pemberian hadiah, bagaimana ia ditafsirkan oleh masyarakat walaupun telah dijelas berkali-kali.

Bagi kes-kes berprofil tinggi sering kali isu 'ikan besar, 'ikan kecil' menjadi perdebatan utama dalam memperlihatkan kelemahan penguatkuasaan undang-undang berkaitan rasuah.

Anggapan bahawa ikan-ikan besar sering terlepas dari disabitkan kesalahan rasuah berbanding ikan-ikan kecil seolah-olah sudah sinonim dengan persepsi masyarakat.

Satu yang dilihat secara jelas dan diakui oleh JKMR sendiri ialah kekalahan kes-kes berprofil tinggi bukan disebabkan oleh SPRM tidak berkemampuan dan terikat dengan kerajaan tetapi sebaliknya disebabkan oleh kemahiran pengamal undang-undang (peguam pembela), saksi, serta salah tafsir terhadap peruntukan undang-undang berkaitan rasuah itu sendiri.

Kes Datuk Norza Zakaria contohnya, bagaimana ia memperlihatkan keterangan saksi yang bercanggah berbanding keterangan ketika diberi kepada SPRM mampu membuatkan sesuatu kes itu tamat dengan keputusan yang memihak kepada tertuduh.

JKMR ada menyatakan bahawa kebanyakan kes-kes yang disiasat dan dituduh oleh pihak SPRM secara menyeluruh adalah membabitkan individu yang berprofil tinggi. Mereka ini berpengetahuan dalam cara-cara mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang atau seperti kebiasaannya mereka yang berprofil tinggi ini akan sentiasa diwakili oleh barisan peguam yang ternama dan berpengalaman luas.

Pandangan JKMR bahawa bagi kes-kes berprofil tinggi, SPRM perlu diwakili oleh beberapa Timbalan Pendakwaraya (TPR) Kanan yang berpengalaman dan berkemahiran untuk mewakili SPRM bagi berhadapan peguam-peguam yang berpengalaman dan handal ini dalam kes-kes berprofil tinggi.

Penubuhan Mahkamah Khas Rasuah (MKR) adalah satu lagi bukti bahawa perlaksanaan undang-undang berkaitan rasuah dan penyelewengan di negara ini semakin tegas.

Ini diperlihatkan daripada susulan penubuhan SPRM apabila sebanyak empat MKR mula beroperasi pada Oktober 2009 (dua di Kuala Lumpur dan dua di Shah Alam) bagi mengendalikan kes-kes berkaitan rasuah sepenuhnya.

Kewujudan MKR di setiap negeri ini secara tidak langsung menunjukkan peningkatan kes yang berjaya disabitkan di mahkamah rendah iaitu daripada 54 peratus pada 2009 kepada 71 peratus pada tahun 2010.

Bagaimanapun, tidak dinafikan walau pun usaha awal mensabitkan pesalah rasuah telah dibuat di peringkat Mahkamah Rendah, tetapi masih banyak, yakni kira-kira 70 peratus keputusan perbicaraan kes-kes rasuah akan berakhir dengan rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Namun ia bukanlah sesuatu yang menjadi penghalang kepada perlaksanaan undang-undang yang tegas dan segera. Ini kerana kebanyakan keputusan Mahkamah Tinggi akhir-akhir ini berpihak kepada pihak pendakwaan seperti kes penyelewengan bon jutaan ringgit membabitkan dua pegawai PUNB pada 5 Disember lalu.

Keputusan nyata berpihak kepada pihak pendakwaan apabila hakim Mahkamah Tinggi memutuskan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen.

Tidakkah ia merupakan satu titik tolak kepada perubahan pelaksanaan undang-undang rasuah yang lebih tegas di negara ini?

Sumber : http : //www.utusan.com.my/