Jumaat, 22 Jun 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Tan Sri Sidek Hassan Meninggalkan Perdana Putra Buat Kali Terakhir



PUTRAJAYA : Ia adalah langkah terakhirnya sebagai seorang penjawat awam tetapi bagi bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, ia juga adalah langkah permulaan kepada satu kehidupan baru.

Sidek, yang kini berusia 61 tahun buat kali terakhirnya bertugas sebagai pegawai kerajaan pada jam 5 petang Jumaat.

Beliau telah berkhidmat tanpa henti dengan perkhidmatan awam selama 38 tahun dengan menyandang jawatan paling tinggi sebagai pegawai kerajaan selama enam tahun.

Tidak ada jawatan yang paling tinggi dalam perkhidmatan awam melainkan jawatan ketua setiausaha negara yang juga bertindak sebagai setiausaha kepada jemaah menteri.

Mohd Sidek yang dilahirkan pada 24 Jun 1951 di Pahang, dilantik sebagai KSN pada 3 September 2006 sehingga bersara wajib pada 23 Jun 2007 setelah mencapai umur 56 tahun.

Bagaimanapun beliau dilantik semula secara kontrak sebagai KSN untuk tempoh dua tahun mulai 24 Jun 2007 dan perkhidmatannya itu kemudian dilanjutkan beberapa kali mengikut tempoh kontrak sehinggalah 23 Jun 2012.

Beliau memulakan perkhidmatannya sebagai penjawat awam pada 1974 dalam perkhidmatan tadbir dan diplomatik, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Walaupun majlis perpisahannya sebagai pegawai kerajaan diadakan secara sederhana sahaja tetapi lebih 500 kakitangan termasuk wakil dari semua 24 buah kementerian hadir untuk berjabat tangan dan mengucapkan selamat tinggal kepadanya.

Beliau berkata sepanjang berkhidmat, beliau berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan memperkenal pelbagai pembaharuan dan perubahan bagi mengukuhkan prestasi dan budaya penyampaian awam yang cemerlang.

Sementara itu, di dalam laman web rasmi KSN, Mohd Sidek menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam kerana membantunya melunaskan tanggungjawab selama ini.

"Bagi sesetengah pihak, saya bukan seorang yang mudah untuk bekerja, malah tindakan-tindakan saya kadang-kadang dianggap terlalu tegas dan kasar. Namun niat saya sebenar-benarnya semata-mata untuk melakukan yang betul dan terbaik," katanya.

Ini kerana setiap tindakan dan keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kepada prinsip antaranya integriti, kesegeraan, mengutamakan pelanggan, kolaborasi dan kerjasama, inovasi dan kreativiti, konsultasi dan penglibatan, meningkatkan kemahiran dan menimba ilmu, kata beliau.

Mohd Sidek turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pucuk pimpinan negara yang telah menaruh kepercayaan kepada beliau untuk menerajui perkhidmatan awam.

“Setakat yang saya terdaya saya telah melakukan yang terbaik dalam berkhidmat kepada negara saya dan juga saya telah melakukan yang terbaik untuk mengubah set minda para kakitangan awam agar memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Dan kini saya percaya, KSN yang baru akan terus menerima sokongan sepertimana yang saya terima daripada semua kakitangan awam," ujarnya.

Datuk Seri Dr Ali Hamsa, yang merupakan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam-Swasta di Jabatan Perdana Menteri akan mengambil alih jawatan KSN daripada Sidek secara rasminya Isnin depan.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU SOSIAL : Pendidikan agama kaedah berkesan sedarkan banduan


Oleh Wan Roslili Majid
bhagama@bharian.com.my

Sedia bahan bacaan sesuai, pakar motivasi bantu program pemulihan

KISAH Thumamah bin Uthal, pemimpin Bani Hanifah yang sangat berpengaruh dan amat memusuhi Nabi SAW serta risalah Baginda, namun akhirnya memeluk Islam menarik untuk dijadikan panduan.

Thumamah ialah salah seorang daripada lapan pemerintah yang diutus surat oleh Baginda dan diseru supaya menerima agama dibawa Nabi SAW. Surat diutus Nabi SAW menimbulkan kemarahan Thumamah dan mencetuskan niatnya untuk membunuh Baginda.

Pada suatu ketika, Thumamah berangkat ke Makkah bagi menunaikan umrah dan melaksanakan korban untuk berhala di sekeliling Kaabah. Dalam perjalanan, dia ditangkap pasukan berkuda Nabi SAW yang diutus ke Najd bagi tujuan rondaan dan kawalan.

Pasukan berkuda yang tidak mengenali Thumamah membawanya ke Masjid Nabi dan mengikatnya pada salah satu tiang masjid. Nabi lantas mengenali Thumamah sebaik saja melihatnya dan meminta ahli keluarga Baginda menyediakan makanan serta minuman untuk dibawa kepadanya.

Saban hari Nabi SAW berusaha memujuk Thumamah menerima agama Islam dan dia pula sebaliknya menawarkan sama ada dibunuh, dimaafkan atau dibebaskan dengan bayaran pampasan menurut jumlah dikehendaki Nabi SAW.

Pada hari ketiga, Nabi SAW membebaskan Thumamah. Namun, layanan baik diberikan Nabi SAW dan tindakan Baginda yang menempatkannya di masjid membolehkan Thumamah menyelami kehidupan serta akhlak kaum Muslimin.

Faktor itu berjaya membuka hati Thumamah menerima Islam, agama begitu dibenci sebelumnya. Diriwayatkan, setelah berlalunya tiga malam, dididik oleh kaum Muslimin mengenai agama Islam dan dibebaskan, Thumamah keluar dari masjid dan singgah di kebun tamar berhampiran lalu membersihkan dirinya. Beliau kemudian kembali ke masjid dan mengucap syahadah.

Tindakan Nabi SAW dalam kisah ini membentuk garis panduan jelas bagi institusi pemulihan atau penjara misalnya dalam soal pendidikan serta pemulihan pesalah. Persekitaran yang baik (bi’ah salihah) diisi pelbagai bentuk ibadah dan amalan bermanfaat dapat membantu menjayakan program pemulihan dilaksanakan.

Ibadah memainkan peranan penting mencetuskan kesedaran mengenai pengawasan Allah SWT terhadap setiap perbuatan dilakukan, membimbing seseorang khususnya pesalah untuk menyucikan jiwa, memperbaiki akhlak serta tidak mengulangi kesalahan pernah dilakukan.

Antara faktor menyumbang perlakuan jenayah ialah kealpaan, kejahilan dan lemahnya pegangan agama. Justeru, ulama menekankan kepentingan melaksanakan ibadah oleh pesalah atau banduan.

Peraturan 148 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 memperuntukkan pengajaran agama dan moral kepada pesalah selain pelaksanaan ibadah, lawatan kakitangan agama atau anggota persatuan agama yang berdaftar.

Kajian penulis di sebuah penjara wanita tempatan tahun lalu menunjukkan pelaksanaan program agama yang memberi pendedahan serta bimbingan kepada penghuni memberi kesan positif. Ada antara mereka dapat membaca al-Quran sedangkan sebelum itu tidak berupaya berbuat demikian.

Menarik untuk dinyatakan, di peringkat antarabangsa, Jabatan Penjara Sudan menjadikan hafazan ayat al-Quran sebagai salah satu daripada empat bentuk parol. Satu persepuluh daripada tempoh hukuman penjara akan dikurangkan dengan hafazan tiga juzuk al-Quran.

Selain persekitaran yang baik, keseluruhan prasarana disediakan dalam sesebuah institusi pemulihan atau penjara termasuk perpustakaan perlulah dipastikan menyokong sepenuhnya program pemulihan dilaksanakan.

Kejayaan matlamat pemulihan pesalah bergantung pada keselarasan atau kesepaduan antara program pemulihan dengan persekitaran dan prasarana disediakan.

Berdasarkan pemerhatian penulis sepanjang menjalankan kajian, terdapat keperluan memastikan buku di perpustakaan penjara daripada judul yang dapat membantu meningkatkan kesedaran dan motivasi diri pesalah untuk tidak mengulangi kesalahan serta memperbaiki akhlak setelah dibebaskan.

Justeru, pembabitan institusi pengajian tinggi, ilmuwan dan cendekiawan yang memiliki kepakaran mengenai pemulihan serta pembentukan motivasi diri banduan dilihat amat relevan.

Di samping itu, program pemulihan khususnya berkaitan keagamaan menuntut kerjasama erat agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan khususnya bagi memastikan pemulihan diri pesalah melalui program dilaksanakan, berkekalan sifatnya.

Kesedaran dan keinsafan diperoleh sebagai hasil pemulihan berjaya melenyapkan kemudaratan ditimbulkan sebelumnya, bukan untuk tempoh sementara saja.

Masyarakat juga perlu terbabit secara langsung dalam program ini bagi melenyapkan stigma sedia ada terhadap pesalah. Mereka perlu memberi peluang kepada pesalah untuk membuktikan bahawa program pemulihan telah dimanfaatkan sepenuhnya.

Fitrah asal manusia adalah baik lagi suci. Justeru, fitrah yang telah dicemari perlu dibimbing untuk dibersihkan semula. Penyucian inilah akhirnya dapat membantu insan yang melakukan jenayah untuk kembali melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah dengan penuh iltizam dan tanggungjawab.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Tubuh unit kaunseling sakit mental online


Oleh DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI SABRI

JIKA disoroti sejak kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan pelbagai kes bunuh diri dan cubaan membunuh diri. Lebih terkejut, apabila ada golongan profesional seperti doktor dan peguam yang mengambil keputusan membunuh diri, ramai yang tidak dapat memahami kenapa jalan terakhir itu yang dipilih.

Belum lagi dikira dengan kes terminum racun dan terjatuh bangunan. Jika orang dewasa yang matang tidak dapat mengawal perasaan, apatah lagi remaja dan kanak-kanak. Semuanya dikaitkan dengan tekanan dan konflik hidup sebagai puncanya.

Masalah mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.

Kini, masalah mental menjadi salah satu ancaman utama kepada seluruh penduduk dunia dan penduduk Malaysia khususnya.

Tinjauan Kesihatan Mobiliti dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental. Statistik ini amat menakutkan, iaitu satu angka yang tinggi kerana menunjukkan seorang daripada enam (1:6) rakyat negara ini ada penyakit mental.

Pada masa kini, masyarakat menganggap mereka yang mengalami masalah mental sebagai satu ancaman kepada keselamatan awam kerana akhbar sering melaporkan pelbagai kes amuk, bunuh dan gangguan-gangguan yang dilakukan oleh mereka yang mengalami masalah mental.

Keadaan ini menyebabkan masyarakat membuat tanggapan negatif kepada mereka yang mengalami masalah mental ini tanpa mengkaji sebab mereka berkelakuan sedemikian.

Ironinya kita tidak didedahkan secara sepenuhnya mengenai penyakit mental ini. Masyarakat hanya memandang pesakit mental adalah orang 'gila'. Tetapi jika diperhatikan kembali hanya terdapat segelintir masyarakat yang mempunyai pengetahuan mengenai masalah mental sahaja yang dapat menerima serta membantu pesakit mental.

Saya ingin mengusulkan, melihat kepada perkembangan semasa ini, mungkin pendedahan boleh diberikan di peringkat sekolah memandangkan sekolah merupakan medium terbaik dalam penjanaan ilmu pengetahuan serta memupuk sikap para pelajar dan masyarakat.

Pesakit mental tidak seharusnya dipinggirkan oleh masyarakat kerana mereka yang mengalami masalah mental mempunyai peluang untuk pulih semula dan menjadi sebahagian daripada masyarakat.

Mereka sepatutnya diberi perhatian kerana ada dalam kalangan mereka mengalami tekanan dalam hidup yang berat sehingga mereka cenderung menghidap masalah mental.

Oleh itu, setiap individu perlu mengubah perspektif negatif mereka terhadap pesakit mental dan memberikan sokongan-sokongan yang diperlukan agar mereka tidak merasa terpinggir daripada kelompok masyarakat.

Bagi saya wujudnya 45 jabatan psikiatri di seluruh negara di samping empat buah hospital mental untuk pesakit mental menjalani rawatan pemulihan dengan sebaik mungkin tidak memberi erti jika sikap prejudis masyarakat menghalang pesakit untuk mendapatkan rawatan.

Di samping itu, saya menyarankan Klinik Mental 1Malaysia perlu diwujudkan di setiap DUN dan Parlimen. Ketika ini kita hanya ada 233 pakar sakit jiwa seluruh Malaysia untuk jumlah penduduk hampir 30 juta. Nisbahnya ialah 0.8 pakar untuk 100,000 penduduk. Satu angka yang tidak masuk akal. Sesuatu perlu dilakukan segera.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Negeri sebagai tunggak pengurusan orang Islam di negara ini perlu proaktif dengan menubuhkan unit kaunseling berteraskan online di setiap kariah, daerah dan negeri. Tapi perhatikan saja laman web mereka, ada yang tidak pernah dikemas kini berbulan-bulan lamanya.

Saya bukan seorang yang antiagama lain namun jika dibuat perbandingan dengan NGO lain seperti Befriender, mereka nampaknya lebih ke hadapan menangani isu ini sedangkan mereka hanya bergerak menerusi dana-dana 'sedekah'.

Saya amat menekankan perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi kerana ia berperanan menyediakan ruang untuk mangsa tekanan mental meluahkan isi hati mereka. Kaunseling juga dapat memberikan nasihat agar membantu individu tersebut menyelesaikan masalahnya.

Kaunseling juga perlu diberikan kepada keluarga pesakit mental supaya mengurangkan tekanan mereka yang terpaksa menjaga pesakit. Dengan itu, jelaslah bahawa kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi merupakan satu langkah yang penting dalam mengelakkan tekanan mental.

Bukan semua individu dapat menangani tekanan hidup dengan baik. Cara dan tahap seseorang menerima sesuatu tekanan adalah berbeza. Mungkin bagi individu A, masalah dihadapi individu B dianggap remeh, tetapi tidak bagi individu B. Begitulah juga sebaliknya.

Harus disedari bahawa prinsip suka menyendiri akan cenderung ke arah sakit mental. Ini kerana menyendiri akan menyebabkan kita mudah mengikut rasa dan nafsu, apatah lagi kita akan mudah mengikut telunjuk syaitan.

Justeru dalam hidup ini, kita perlu mempunyai hubungan yang akrab dengan keluarga dan rakan-rakan. Sedarlah kita perlu hidup bermasyarakat, dan tidak perlu kita menjadi 'kera sumbang' kerana siapalah kita tanpa masyarakat. Marilah kita belajar hidup bermasyarakat.

PENULIS ialah penyelaras/pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 21 Jun 2012

ISU PENDIDIKAN : Tranformasi pendidikan Orang Asli gariskan tujuh inisiatif


KUALA LIPIS - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan merangka satu paradigma perubahan pendidikan yang menyeluruh di bawah Transformasi Pendidikan Orang Asli yang menggariskan tujuh inisiatif untuk meningkatkan prestasi ke tahap yang membanggakan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata inisiatif pertama adalah pemantapan tadbir urus sekolah-sekolah yang mempunyai murid Orang Asli bermula di peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian.

"Dalam konteks ini, kepimpinan dan pengurusan di semua peringkat akan dipertingkat kualitinya dengan memastikan segala isu dan permasalahan anak-anak Orang Asli dapat diselesaikan segera," katanya ketika berucap melancarkan Transformasi Pendidikan Orang Asli Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Betau di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata inisiatif kedua adalah memasukkan elemen Pendidikan Asas Vokasional (PAV) di peringkat menengah rendah di semua sekolah menengah harian yang menjadi tumpuan masyarakat Orang Asli.

Inisiatif ketiga, katanya, mengurangkan kadar keciciran murid Orang Asli ke sekolah sebanyak 6 peratus setiap tahun mulai tahun depan. Berdasarkan statistik terkini, kadar keciciran ini ialah 30 peratus.

"Keadaan ini amat membimbangkan dan merugikan negara jika tidak diambil tindakan lebih drastik.

"Justeru, saya berharap dalam tempoh lima tahun akan datang, kadar keciciran murid Orang Asli ke sekolah menengah akan dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali dengan memastikan setiap murid Orang Asli berjaya mendapat pencapaian akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia," katanya.

Muhyiddin berkata menerusi inisiatif keempat pula, Kementerian Pelajaran memutuskan pengambilan pelajar bagi Program Khas Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis ditingkatkan mengikut keperluan semasa.

"Usaha ini bertujuan supaya lebih ramai guru dalam kalangan Orang Asli dapat berkhidmat kepada masyarakat mereka sendiri di samping  mengimbangi kadar bilangan guru mengikut kaum," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga sedang merangka mewujudkan jawatan Pembantu Pengurusan Murid dari kalangan Orang Asli bagi membantu guru mengurus penyediaan makanan, penjagaan diri dan kebersihan murid.

"Inisiatif kelima adalah penambahbaikan kemudahan infrastruktur dan prasarana pendidikan Orang Asli.

"Sehubungan itu, kerajaan bersetuju untuk menambah lagi empat buah Sekolah Model Khas Komprehensif K9. Model K9 ini adalah gabungan pendidikan rendah dan menengah rendah sehingga Tingkatan 3 yang dilengkapi dengan kemudahan asrama yang bersesuaian," katanya.

Muhyiddin berkata inisiatif keenam adalah memperkasa jalinan kerjasama melalui pewujudan hubungan yang lebih strategik dengan rakan sinergi, rakan di lapangan serta rakan antarabangsa bagi membolehkan hasrat untuk merealisasikan transformasi itu tercapai.

Beliau berkata inisiatif terakhir adalah mewujudkan satu Sistem Pengesanan Prestasi Sekolah dan murid Orang Asli.

Menurutnya, sistem itu mengandungi aspek auditan pencapaian prestasi sekolah-sekolah dan murid Orang Asli yang bertujuan untuk membuat penambahbaikan dan pembetulan dari semasa ke semasa.- Bernama.

ISU SOSIAL : Kadar Penceraian Menurun Tahun Lepas


PUTRAJAYA : Statistik yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan kadar penceraian dalam kalangan umat Islam di negara ini menurun iaitu sebanyak 27,355 kes tahun lepas berbanding 28,035 pada 2010.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, statistik pernikahan pula meningkat kepada 140,529 pada tahun lepas berbanding 135,548 pada 2010.

"Walaupun kes penceraian menurun tahun lepas, ia tetap membimbangkan dan masih perlu diberi perhatian sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Rumahku Syurgaku di sini Khamis.

Justeru, beliau berkata, usaha sedang dilakukan untuk mewajibkan setiap pasangan terutamanya penjawat awam mengikuti kursus pasca perkahwinan yang dijangka dapat membantu menurunkan lagi kadar penceraian.

"Sebagai permulaan kursus itu akan dijalankan di peringkat kerajaan dan sekiranya  terbukti berjaya, mungkin diwajibkan kepada sektor swasta pula,"katanya.

Mashitah berkata, kursus itu juga akan dimasukkan dalam salah satu program 1Malaysia Family 1st dengan diurus selia oleh Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta badan bukan kerajaan (NGO). - BERNAMA

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Kerjasama strategik angkasa lepas



Oleh Azmi Hassan

APA jua perkembangan terbaru yang berpunca dari China tidak kira sama ada bidang ekonomi, teknologi, ketenteraan, sosial  malah sukan akan diperhatikan dengan teliti oleh masyarakat global kerana kesannya adalah begitu mendalam sekali.

Kejayaan kapal angkasa Shenzhou-9 berlabuh di modul makmal angkasa Tiangong-1 beberapa hari lepas merupakan kejayaan besar China dalam sektor teknologi angkasa lepas yang pada ketika ini diungguli oleh Amerika Syarikat (AS) dan Rusia.

Walaupun kehadiran angkasawan wanita Liu Yang sedikit sebanyak mencuri perhatian dunia, tetapi kejayaan berlabuh di makmal angkasa telah memberi petunjuk baru mengenai kesungguhan China menerokai bidang penuh mencabar ini.

Seperti mana permodenan angkatan tentera China mempunyai seribu makna dan tujuan tersirat, begitu juga kesanggupan China berbelanja besar dalam penerokaan angkasa lepas sedangkan AS dan Eropah mengekang perbelanjaan masing-masing sudah pasti niat sebenar Beijing menjadi tanda tanya.

Bermula dengan angkasawan pertama Yang Liwei berjaya mencapai orbit pada 2003 dan disusuli dengan misi kapal angkasa manusia pertama melalui Shenzhou-5 pada 2005, kejayaan terbaru ini adalah manifestasi kesungguhan China dalam bidang angkasa.

Makmal Tiangong-1 merupakan asas cita-cita China membangunkan makmal yang lebih besar dan kekal menjelang tahun 2020. Berbeza dengan nasib Makmal Angkasa Antarabangsa (ISS) yang dibangunkan oleh AS, Eropah, Rusia, Kanada dan Jepun yang besar kemungkinan ditamatkan hayatnya pada 2028, Tiangong-1 dijangka akan menjadi lebih besar.

Peringkat awal ketika China mula membuat persiapan menghantar angkasawan pertama ke angkasa satu dekad lepas, ramai yang memperlekehkan cita-cita itu kerana menuduh Beijing hanya berminat untuk simbolik sahaja, iaitu mengejar prestij.

Tetapi hari ini kejayaan China telah melampaui keperluan hanya untuk bermegah kerana kehebatan teknologi angkasa mereka telah melimpah memberi manfaat kepada bidang lain seperti ketenteraan, ekonomi, saintifik dan geopolitik. Kekuatan China dalam kesemua bidang ini seiring dengan Beijing yang dianggap sebagai kuasa besar dunia.

Beberapa negara Eropah melalui Agensi Angkasa Eropah (ESA) menaruh minat menjalin kerjasama dengan China kerana banyak manfaat yang boleh diraih oleh kedua-dua pihak. Manakala Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) AS pula enggan bekerjasama gara-gara bimbang China akan mendapat keuntungan yang lebih kerana teknologi angkasa AS adalah lebih jauh ke hadapan.

Memandangkan hubungan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan Beijing adalah begitu akrab sekali, Malaysia melalui Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) sepatutnya mengambil peluang dengan menjalin kerjasama yang lebih erat dengan China dalam bidang penuh mencabar ini.

Seperti mana China, Malaysia juga telah melampaui keperluan asal ketika menghantar angkasawan pertama negara Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke ISS pada 2007. Kejayaan tersebut digunakan sebagai pemangkin untuk membangunkan kepakaran teknologi angkasa lepas negara dan sehingga kini dua satelit telah dilancarkan iaitu TiungSat dan RazakSat.

Mungkin ramai cuba menafikan kepentingan teknologi angkasa lepas memandangkan Malaysia hanya sebuah negara kecil dan tidak mampu memperuntukkan perbelanjaan besar dalam bidang ini. Tetapi perlu ditekankan teknologi angkasa lepas, terutama sekali berkaitan satelit komunikasi mempunyai kepentingan strategik kerana keperluannya merangkumi bukan sahaja sektor ekonomi malah pertahanan.

Sebagai contohnya ramai yang mengambil mudah mengenai peranan disandang oleh beberapa siri satelit komunikasi yang dinamakan Measat milik syarikat Malaysia kerana rangkuman satelit ini adalah begitu luas sekali. Kehadiran satelit Measat tidak menjadi isu pada ketika ini kerana pemilikannya adalah masih dikawal oleh syarikat Malaysia. Tetapi apa yang pasti adalah kepentingan satelit akan menyerlah apabila pemilikan satelit Measat bertukar terutama sekali oleh negara asing.

Jika Malaysia mampu menghantar Dr. Sheikh Muszaphar ke angkasa tanpa melibatkan kos tambahan melalui program ofset pembelian jet pejuang Sukhoi dengan Rusia, bukan sesuatu yang mustahil Malaysia menjalin kerjasama yang lebih erat dengan China dalam bidang ini.

Sebagaimana China dikatakan begitu agresif melibatkan diri dalam pembangunan fizikal sesebuah negara termasuk Malaysia dengan menyediakan pinjaman mudah, strategi sama digunakan Beijing untuk menjalin kerjasama dalam bidang angkasa lepas.

Umpamanya China Great Wall Industry Corporation (CGWIC) yang ditubuhkan 1980 bukan sahaja memberi pinjaman mudah untuk pembangunan teknologi angkasa lepas tetapi menyediakan kemudahan pemindahan teknologi dan kepakaran teknikal tanpa banyak soal. Pakistan, Venezuela, Nigeria dan Indonesia mengambil peluang yang disediakan oleh CGWIC untuk membangun dan melancarkan satelit masing-masing.

Memang benar Malaysia perlu berhati-hati dalam melaksanakan program angkasa lepas negara dan ini termasuklah program membangunkan satelit. Tetapi satu perkara perlu difahami dan tidak dapat dielakkan adalah peruntukan besar adalah diperlukan jika Malaysia serius menceburi bidang itu dan disinilah kerjasama strategik dengan China memainkan peranan yang penting untuk menjayakan misi tersebut.

Teknologi angkasa lepas merupakan manifestasi sebenar kekuatan Malaysia supaya negara tidak ketinggalan jauh dalam bidang ini. Ini adalah kerana teknologi ini bukan hanya merangkumi ruang lingkup angkasa lepas tetapi yang lebih penting ia memberi kesan terhadap kepentingan geostrategik negara.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial dan Sekolah Perdana UTM

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa Melayu makin gawat!



Oleh :  Salbiah Ani

NAMPAKNYA Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersungguh-sungguh dengan langkahnya untuk mengaudit bahasa Melayu yang digunakan dalam dokumen rasmi kerajaan bagi mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan seperti pertama kali disuarakan pada 14 Februari lalu.

Ketua Pengarahnya, Dr Awang Sariyan, mengulangi ketegasannya berhubung perkara terbabit kelmarin dengan menjadikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai sasaran pertama organisasi terbabit dalam melaksanakan misi yang akan dimulai pada akhir tahun ini.

Penulis ucapkan syabas kepada Dr Awang yang mengambil langkah berani sebaik menerajui DBP daripada bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz yang sebelum ini bergelut dengan permasalahan penerbitan dan pemasarannya disebabkan Dawama Sdn Bhd (DAWAMA).

Hendaknya ‘keberanian’ itu seperti bara api dalam sekam, biarpun ramai rakyat Malaysia termasuk bangsa Melayu sendiri memperlekehkan bahasa itu dan bukannya angan-angan tahi ayam apabila masalah demi masalah melanda institusi terbabit dalam hal memperkasakan bahasa kebangsaan.

Seperti diketahui bahasa Melayu yang diberi haknya dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan, rasmi dan pendidikan negara, diserang ‘jerebu’ yang gawat apabila semakin ramai rakyat Malaysia, baik dalam kerajaan apalagi sektor swasta, sanggup ‘melacurkannya’!

Penulis berharap ia tidak sekadar janji kosong seperti yang pernah ditunjukkan seorang pemimpin politik negara ini yang mengumumkan DBP akan diberi kuasa menghukum pesalah bahasa, tetapi hampir sedekad berlalu, tiada perkembangan didengar berhubung perkara terbabit!

Terus terang penulis tidak nampak masa depan yang cerah bagi bahasa Melayu di Malaysia, baik dalam ranah rasmi mahupun tidak kerana banyak bukti menunjukkan ia menuju kehancuran, semakin lebur daripada dimartabatkan apalagi diperkasakan!

Tentunya kesungguhan DBP tidak akan membawa sebarang makna dan ibarat perjuangan tanpa kesudahan, jika ia tidak disusuli dengan sokongan dan dokongan daripada pihak berkuasa atau individu berwewenang dalam politik tanah air demi menjadikan hasrat itu suatu kenyataan.

Lihat saja bagaimana bahasa Melayu ‘disembelih’ ibarat kilat sama ada oleh bahasa rojak - campuran Melayu dan Inggeris atau terus dipinggirkan dan digantikan sepenuhnya oleh bahasa Inggeris, Mandarin mahupun Tamil, sesuka hati!

Apa yang penulis katakan ini bukan diada-adakan, tetapi hakikat yang dapat dilihat dengan mata kepala saban hari dan ketika, baik sewaktu membaca papan tanda, bergebang di kedai kopi, membeli-belah di kedai kecil apalagi gergasi, mendengar radio mahupun menonton televisyen.

Pelakunya pula tidak berasa bersalah kerana sememangnya diarahkan berbuat demikian oleh penerbit rancangan dalam usaha mengumpul pendengar atau penonton, selain tuan punya syarikat mahu ia berlangsung secara demikian kerana ‘aku punya wang, aku punya kuasa, aku punya pasal’!

Bagaimana agaknya DBP hendak menangani iklan milik kerajaan seperti dipamerkan di televisyen baik yang bernaung di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, apalagi stesen milik swasta?

Lihat saja iklan kesungguhan kerajaan menepati janji yang diberikan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan semangat Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', betapa banyak peraturan bahasa kebangsaan yang dilanggar?

Apakah DBP yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran punya keberanian untuk menegur pemimpin politik tertentu yang lebih kerap bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding Melayu, hatta dalam acara rasmi apalagi jika bukan?

Bagaimana pula dengan nasib bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di pusat pengajian tinggi negara ini yang menyaksikan kedudukannya semakin diambil alih bahasa Inggeris dan mendapat restu daripada Kementerian Pengajian Tinggi?

Inilah bahayanya apabila kuasa ekonomi bukan di tangan Melayu dan bertambah gawat apabila Melayu yang menguasai ekonomi mahupun politik, lupa diri akan hakikat asal bangsa dan bahasa serta jati diri sebagai rakyat Malaysia!

Apabila bercakap dalam hal bahasa Melayu, mahu atau tidak, penulis terpaksa tabik hormat kepada Indonesia yang sentiasa mendahulukan bahasa mereka dalam apa juga keadaan, baik hal politik mahupun ekonomi, lalu bahasa mereka terus diperkasakan, hatta oleh orang asing di negara itu!

Sumber : http : //www.bharian.com.my/