Jumaat, 28 September 2012

ISU EKONOMI : INTI PATI BELANJAWAN 2013



KUALA LUMPUR : Berikut ialah intipati Belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Tema Belanjawan 2013 ialah "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati".

* Peruntukan RM251.6 bilion bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan.

* RM201.9 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi peruntukkan pembangunan.

* RM58.6 bilion diperuntukkan bagi Emolumen dan RM33.7 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan.

* RM3.0 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan (EPP) bagi tahun 2013.

* Penyediaan Dana Strategik Pelaburan Domestik berjumlah RM1.0 bilion di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan.

* Penyediaan dana sebanyak RM1.0 bilion di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank.

* SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak RM200 juta untuk membiayai modal kerja PKS terlibat.

* Skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan had maksimum RM5,000 dengan peruntukan RM16 juta setahun.

* Pertumbuhan ekonomi diunjur berkembang kukuh pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

* KDNK nominal dijangka melepasi paras RM1.0 trilion.

* Peruntukan RM251.6 bilion bagi program dan projek pembangunan, dengan fokus terhadap kesejahteraan rakyat.

* Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan 2013 dianggarkan meningkat kepada RM208.6 bilion.

* Pelaburan swasta dijangka meningkat kepada RM148.4 bilion.

* RM30 bilion diperuntukkan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar

* RM11.1 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* RM4.6 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM2 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

* Kerajaan akan terus memperhebat pelaksanaan 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) negara.

* RM3 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Permulaan, termasuk RM1.5 bilion bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi.

* Perbadanan Nasional Bhd menyedia kemudahan pinjaman hingga RM25,000 bagi pemegang lesen dan RM500,000 bagi penyedia lesen menerusi program Transformasi Perniagaan.

* Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus untuk 10 tahun bagi aktiviti penapisan produk petroleum kepada yang layak.

* Program Insentif Global bagi Perdagangan (GIFT) ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun bagi tempoh tiga tahun pertama operasi.

* Perbelanjaan menerbitkan AgroSukuk diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh empat tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.

* RM500 juta diperuntukkan bagi projek River of Life bagi mengindahkan Sungai Klang, RM300 juta untuk projek pemulihan rangkaian paip dan pembetungan bagi perkhidmatan dan kemudahan air.

* RM358 juta diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014.

* Lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama tiga tahun bagi pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750 pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan setahun.

* Memberi penekanan kepada sektor pertanian untuk meningkatkan pendapatan negara dan memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan. RM5.8 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

* RM30 juta diperuntukkan bagi pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan bekalan benih berkualiti, kestabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian.

* RM75 juta bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan.

* RM432 juta disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit di bawah NKEA sektor perladangan.

* RM127 juta disediakan untuk pembangunan bahan terbitan oleo bernilai tinggi yang dapat mengubah komposisi industri hiliran.

* Empat kawasan jelapang padi baru dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud, Batang Lupar, Rompin dan Pekan. Pertambahan seluas 19,000 hektar dengan penyertaan 12,237 pesawah dijangka menghasilkan 104,000 tan metrik dengan perbelanjaan sebanyak RM140 juta.

* RM230 juta diperuntukkan sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan. Pada masa ini kerajaan memberi elaun sara hidup RM200 sebulan kepada nelayan, menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilo bagi hasil tangkapan ikan dan memperkenal skim perlindungan insuran nelayan.

* Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus Tun Razak Exchange, pengecualian duti setem berstatus TRX Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah.

* Yayasan Wakaf Malaysia, di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji diberi tanggungjawab untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat dengan mengambil kira struktur perundangan Agama Islam Negeri.

* RM9 bilion atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera.

* Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah RM1 bilion akan disediakan oleh SME Bank untuk membantu PKS membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual.

* Skim Jaminan Modal Kerja akan dilanjutkan sehingga Disember 2013, dan diperluaskan kepada syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi serta kelayakan manakala dana pemegang saham syarikat ditingkatkan kepada RM20 juta.

* Dana Infra Nasional Bhd akan terbitkan bon runcit bernilai RM300 juta akhir tahun 2012 untuk biayai pembangunan MRT.

* Perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit akan diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.

* Pelabur individu diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urus niaga bon dan sukuk runcit.

* Suruhanjaya Sekuriti perkenal inisiatif Graduate Representative Program dengan sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan.

* Peruntukan modal Dana jamin ditambah sebanyak RM400 juta dalam tempoh dua tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara RM4 bilion hingga RM6 bilion.

* RM100 juta disediakan kepada Yayasan Pasaran Modal melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti.

* RM2.4 bilion diperuntukkan bagi pemberian subsidi dan intensif pertanian. Bantuan ini termasuk RM480 juta bagi subsidi dan insentif padi yang merangkumi pemberian subsidi harga padi, RM465 juta pemberian subsidi baja padi, RM80 juta insentif peningkatan hasil padi, RM563 juta insentif pengeluaran harga padi, RM528 juta subsidi harga beras dan RM85 juta subsidi benih padi sah.

* Memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar, yang dapat memanfaatkan 172,000 pesawah. Buat permulaan kerajaan memperuntukkan RM50 juta.

* RM41 juta diperuntukkan bagi projek Azam Tani bagi memberi manfaat kepada 6,730 peserta keluar daripada garis kemiskinan.

* RM38.7 diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan.

* Peruntukan tambahan RM500 juta bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras, yakni Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains dan matematik melalui pendekatan "Higher Order Thinking Skills".

* Tambahan RM1 bilion lagi kepada Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.

* RM1.2 bilion diperuntukkan bagi pendidikan prasekolah termasuk kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, PERMATA dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional.

* Peruntukan RM380 juta disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru prasekolah.

* Kerajaan mencadangkan geran pelancaran RM10,000 kepada penyedia Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) swasta untuk membantu mereka membuka taska baru yang berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE swasta baru akan mendapat manfaat.

* Potongan cukai dua kali akan diberi kepada majikan yang menyediakan elaun atau subsidi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat jagaan.

* Potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin dalam syarikat teroka dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya.

* Dana Skim Pembiayaan Teknologi Hijau akan ditambah sebanyak RM2.0 bilion lagi dan tempoh permohonan skim ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2015.

* Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada tiga peratus menjelang 2015.

* Sistem percukaian negara akan diperkukuhkan dengan sistem cukai yang menyeluruh dan saksama.

* Perolehan kerajaan dan pembelian adalah berdasarkan prinsip "nilai untuk wang".

* Peruntukan RM6 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek dan program untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi. Antara projek yang dikenal pasti termasuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah, klinik kesihatan, projek perumahan, projek tangki air, rancangan tebatan banjir dan penyediaan kemudahan sukan.

* Peruntukan RM1.9 bilion bagi membina 123,000 unit rumah pada harga berpatutan di kawasan strategik, dan akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Bhd dan Jabatan Perumahan Negara.

* Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) ke atas keuntungan pelupusan hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi dua tahun mulai tarikh perolehan dikenakan pada kadar 15 peratus, bagi tempoh pegangan melebihi dua hingga lima tahun dikenakan pada kadar 10 peratus dan bagi tempoh pegangan melebihi lima tahun tidak dikenakan CKHT.

* Peruntukan RM100 juta kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijangka dapat memulihkan 30 projek rumah terbengkalai.

* Insentif cukai pemulihan rumah terbengkalai untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta.

* Kadar cukai pendapatan diturunkan satu mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 sehingga RM50,000.

* Kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan antara satu dan tujuh mata peratusan bagi semua kumpulan pendapatan bercukai.

* Felda akan membangunkan 20,000 projek perumahan dalam kawasan Felda, membaiki rumah-rumah kampung tradisi, program latihan dan latihan kemahiran.

* Yayasan 1MDB akan menyediakan RM300 juta bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah untuk pelajar prasekolah di kawasan pedalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif.

* Syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan RM500 juta untuk menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam sekitar.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 80 peratus guru amal budaya penyayang di sekolah


KUALA LUMPUR 26 Sept. - Hasil kaji selidik Indeks Persepsi Murid (IPM) yang dijalankan Bahagian Pendidikan Kementerian Pelajaran mendapati lebih 80 peratus guru di negara ini mengamalkan budaya kasih sayang di sekolah.

Menurut Ketua Unit Kaunseling, Sektor Pengurusan Kaunseling dan Disiplin Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Ab. Rahim Othman, peratusan itu hasil maklum balas lebih 2,000 murid sekolah di seluruh negara yang melaksanakan Program Guru Penyayang sejak Februari lalu.

Beliau berkata, kira-kira 87.5 peratus murid mendapati guru-guru di sekolah adalah penyayang dan mengambil berat terhadap mereka.

“Ia sesuatu yang positif terhadap pengukuhan dan menambah baik Program Guru Penyayang yang sedang dilaksanakan ketika ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Guru Penyayang Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahim, peratusan tersebut bukanlah bermakna bilangan guru selebihnya tidak penyayang tetapi belum mengamalkan sepenuhnya budaya tersebut yang ditekankan menerusi program berkenaan.

“Kami berharap peratusan itu akan meningkat dengan kesemua guru di negara ini mengamalkan budaya penyayang kerana ia merupakan aset dan sifat profesional yang perlu ada pada seorang guru," jelasnya.

Mengulas mengenai konvensyen tersebut, Ab. Rahim berkata, program selama tiga hari bermula semalam itu bertujuan mendapat maklum balas dan pandangan di peringkat sekolah yang melaksanakan program berkenaan bagi mencari kaedah penambahbaikan.

“Ia melibatkan 200 peserta terdiri daripada pengetua dan guru besar, guru kaunseling, guru disiplin, pegawai kaunseling dan disiplin Jabatan Pelajaran Negeri serta wakil persatuan guru," ujarnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Kavyan sokong selaraskan subjek BM di SK, SJK


OLEH : UTHAYA SANKAR SB

KETIKA berucap pada majlis perasmian penutupan Festival Bahasa dan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 September 2012, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa kerajaan bercadang melaksanakan kurikulum Bahasa Malaysia yang sama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) untuk murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), bermula dengan murid kohort Tahun Empat pada 2014.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada 1999 menyokong penuh langkah ini ke arah memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, bahasa komunikasi dan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum; termasuk di sekolah beraliran bahasa ibunda.

Kavyan berpendapat bahawa belum terlewat untuk menyelaraskan standard mata pelajaran Bahasa Malaysia di SK, SJKT dan SJKC. Hal ini memandangkan jurang antara ketiga-tiga aliran itu perlu dikurangkan dan cara paling mudah adalah dengan menyamakan standard mata pelajaran Bahasa Malaysia.

Buat masa ini, UPSR bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia juga dilaksanakan dalam tiga tahap berbeza bagi murid SK, SJKC dan SJKT. Kavyan berpendapat bahawa amalan itu perlu dihentikan kerana secara tidak langsung, hak kanak-kanak pelbagai kaum di sekolah berlainan aliran untuk menguasai Bahasa Malaysia seperti dinafikan menerusi sistem pendidikan yang berbeza.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, dengan peningkatan penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid SJKC dan SJKT, dijangkakan kelas-kelas peralihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh negara akan dapat dimansuh menjelang 2017.

Kavyan juga sangat mengalu-alukan dan sangat menyokong pemansuhan kelas peralihan secara sepenuhnya. Pada pendapat Kavyan, tidak ada alasan mengapa murid yang belajar di Malaysia perlu memberi – atau diberi – alasan belum menguasai Bahasa Malaysia dan perlu mengikuti kelas peralihan selama setahun sebelum masuk ke Tingkatan Satu di SMK.

Kavyan juga bersetuju dengan cadangan Menteri Pelajaran iaitu  murid-murid SJKC dan SJKT yang mempunyai masalah dalam pembelajaran Bahasa Malaysia diberi sokongan yang secukupnya melalui kelas-kelas pemulihan yang diadakan sehingga lima jam seminggu.

Sejak 1999, Kavyan terlibat dalam mengendalikan pelbagai acara ke arah memartabatkan Bahasa Malaysia di SK, SJKT dan SJKC. Berdasarkan pengalaman itu, Kavyan bersedia membantu Kementerian Pelajaran bagi menjayakan hasrat meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid-murid pelbagai kaum di SK, SJKC dan SJKT.

Kavyan juga berharap, guru-guru Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT diberikan latihan tambahan sebagai persediaan untuk memblehkan mereka mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara benar-benar berkesan, selaras hasrat kerajaan memartabatkan Bahasa Malaysia di sekolah beraliran bahasa ibunda.

Ke arah itu, Kavyan juga bersedia mengendalikan latihan berupa program Latihan Dalam Perkhidmatan bagi para guru terbabit di seluruh negara. Kavyan bersedia berkongsi pengalaman, ilmu dan panduan menjadikan P&P lebih menarik dan berkesan; khususnya di SKJC dan SJKT.

Kavyan yang menggunakan slogan “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” terdiri daripada sekumpulan penulis dan peminat sastera Bahasa Malaysia dalam kalangan kaum India. Sejak November 2011, keahlian Kavyan terbuka kepada masyarakat pelbagai kaum sebagai usaha mendaulatkan Bahasa Malaysia ke arah pembinaan Bangsa Malaysia menerusi karya sastera kebangsaan.


Uthaya Sankar SB, Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pilihan raya kampus semai prinsip demokrasi


Oleh : Amadi Abdul Manan
 
Proses bentuk kematangan pelajar IPT

Pengalaman terbabit dengan kempen Majlis Perwakilan Pelajar (kini Majlis Perwakilan Mahasiswa) sekitar tahun 90-an amat manis jika dikenang kembali. Pada masa itu Universiti Sains Malaysia (USM) antara yang terawal memperkenalkan pengundian berkomputer. Banyak ragam yang kadangkala agak melucukan. Ada yang memasukkan kad matrik lalu tersangkut di dalam slot cakera liut. Mungkin kerana salah faham arahan memasukkan nombor matrik dengan memasukkan kad matrik. Pengalaman yang agak mahal pada penulis ialah membentuk pemuafakatan pelajar. Pelajar USM yang rata-ratanya hampir sama ramai antara pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera memerlukan hikmah kesabaran dan sedikit kesenian. Perbincangan hingga larut malam mengenai manifesto dan pendekatan kempen juga peralatan kempen seperti poster dan kertas edaran merupakan pengalaman yang amat berharga.

Ada tiga perkara yang perlu diberi perhatian jika kita ingin benar-benar mahukan pendidikan demokrasi ini berjalan dengan lancar dan berkesan”

Walaupun ketika itu kami terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang pelajar membentuk pakatan atau ‘parti politik’, ia tidak menghalang kami untuk bertindak secara kreatif untuk melepasi halangan berkenaan.

Selepas memperoleh kemenangan, proses melantik ‘Presiden’ dan Kabinetnya juga amat mencabar. Selepas itu bermulalah ‘YB’ kampus ini berkhidmat bagi memenuhi hasrat pengundi dan menunaikan janji yang sudah diungkapkan ketika berkempen.

Penulis sendiri tidak pernah bertanding kerana terbabit dengan persatuan pelajar pada peringkat kebangsaan yang menuntut masa yang lebih banyak. Namun, selepas ‘YB’ ini dilantik, wujud keperluan untuk mereka berbincang mengenai isu yang berkaitan dengan mereka pada peringkat kebangsaan.

Seingat penulis ketika itu, pemimpin mahasiswa terpanggil untuk menyuarakan pandangan mengenai isu pengkorporatan IPTA dan isu memanggil pulang pelajar Malaysia di luar negara ketika negara dilanda kemelesetan ekonomi pada 1998. Di situlah penyelarasan dilakukan, daripada pelajar, oleh pelajar dan untuk pelajar.

Proses Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah sesuatu yang penting bagi negara kita kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen sejak kita mencapai kemerdekaan. PRK adalah satu proses pendidikan demokrasi yang mesti dilaksana dengan penuh rasa bertanggungjawab.

Ada tiga perkara yang perlu diberi perhatian jika kita ingin benar-benar mahukan pendidikan demokrasi ini berjalan dengan lancar dan berkesan.

Pertama ialah tanggungjawab pengundi. Mungkin di kampus proses pendaftaran pengundi tidak diperlukan kerana selagi bergelar pelajar sepenuh masa, mereka layak untuk mengundi. Tambahan pula kini pelbagai sistem sudah pun wujud bagi memastikan tiada pelajar yang ketinggalan nama sebagai pengundi.

Namun perkara yang paling penting adalah mahasiswa berasakan peri penting dan nilai pengundian. Walaupun mereka hanya mewakili satu undi, ia amat bermakna untuk menentukan kepemimpinan mahasiswa negara. Mereka perlu menunaikan kewajipan untuk mengundi. Pengundi perlu membuat pilihan dengan betul dengan menggunakan segala ilmu yang dipelajari. Mereka adalah golongan yang terpelajar yang boleh membuat keputusan sendiri berdasarkan ilmu dan fakta serta dapat lari daripada sebarang sentimen kelompok yang sempit.

Perkara kedua ialah penghayatan semangat demokrasi. Demokrasi adalah satu sistem yang memenangkan majoriti. Demokrasi membenarkan kepelbagaian pandangan dan pemikiran. Justeru, menghormati pandangan adalah sesuatu yang dituntut dalam kita melaksanakan demokrasi. Jangan ada yang sampai bergaduh atau bertindak di luar batasan yang memalukan kelompok mahasiswa.

Ia juga sebagai satu proses penghayatan budaya ilmu. Tradisi budaya ilmu yang amat menghormati kepelbagaian pandangan perlu diterjemahkan dengan betul oleh semua mahasiswa di kampus hari ini. Mahasiswa perlu berbahas dan berdebat dengan matang dan rasional bagi mengemukakan gagasan kepemimpinan yang hendak dilaksanakan.

Yang ketiga ialah penerimaan kemenangan. Jika segala proses PRK telah berjalan dengan penuh jujur, telus dan bertanggungjawab, maka segala keputusan yang keluar perlu dihormati. Ia satu adab bagi seorang yang terpelajar untuk menghormati proses dan keputusan yang dibuat oleh pengundi.

Jangan timbul sabotaj atau perbuatan khianat yang menurunkan darjat mahasiswa. Ia perbuatan yang sia-sia dan tidak menguntungkan sesiapa. Begitu juga dengan pengundi perlu untuk menghormati pemimpin yang telah dipilih dan memberikan kerjasama.

Pengendali PRK iaitu Bahagian Hal Ehwal Pelajar setiap IPT perlu melaksanakan tanggungjawab pendidikan demokrasi ini dengan adil dan saksama bagi memastikan tahap kepercayaan mahasiswa terpelihara.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 26 September 2012

ISU PENDIDIKAN : Permohonan Masuk Ke Tingkatan Empat MRSM Dibuka 1 Oktober


KUALA LUMPUR : Permohonan kemasukan ke Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi tahun 2013 akan dibuka secara 'online' mulai 1 Oktober ini selama sembilan hari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat Mara, permohonan dan keterangan lanjut boleh dibuat dengan melayari laman web  www.mara.gov.my. BERNAMA

ISU SOSIAL : Pemberi rasuah mesti diperangi


Oleh : Akhbar Satar
 
Apakah masyarakat tahu bahawa perbuatan memberi rasuah adalah satu jenayah. Kesalahan pemberi adalah sama dengan penerima dan jika disabitkan, seseorang itu berhadapan hukuman berat termasuk penjara dan denda. Rupa-rupanya ada juga antara kita tidak mengetahui bahawa memberi rasuah itu suatu kesalahan jenayah.

Ada juga pandangan segelintir masyarakat bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengambil tindakan ke atas penerima rasuah saja. Selama ini, masyarakat awam seolah-olah melupakan pihak yang memberi rasuah juga sama jijiknya di sisi undang-undang dan moral. Seperti kata pepatah ‘bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi’. Jika tiada pemberi, tiadalah penerimanya. Penulis ingin mengingatkan bahawa Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 jelas memperuntukkan perbuatan memberi suapan rasuah adalah kesalahan serius. Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 menetapkan perbuatan memberi atau menawarkan rasuah sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah.

Mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, memberi atau menawarkan rasuah adalah kesalahan yang boleh dihukum sama berat dengan kesalahan Seksyen 17(a) iaitu menerima rasuah, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

SPRM juga sudah melancarkan kempen membanteras rasuah yang turut memberi tumpuan kepada pemberi sogokan berbanding fokus utama kepada penerima sebelum ini yang kebanyakannya membabitkan penjawat awam.

Kita perlu ingat bahawa penerimaan hadiah boleh bertukar menjadi rasuah jika dalam proses pemberian berkenaan ada unsur ‘niat jahat’ untuk mendapatkan sesuatu balasan daripada penerima sebagai pelaburan untuk mendapat sesuatu pada masa akan datang.

Sesuatu pemberian atau penerimaan yang mempunyai ciri ‘niat jahat’ boleh dikesan dan dinilai dalam keadaan yang luar biasa dan tidak munasabah. Pemberi perlu ingat bahawa perbuatan memberi ini amat berbahaya kerana penerima boleh menyimpan bukti yang mencukupi untuk digunakan pada masa depan. Penerima jika berasa terancam juga akan menggunakan maklumat sedia ada untuk membuat laporan kepada SPRM serta-merta. Apabila sesuatu membabitkan wang ringgit, ‘kawan’ yang pernah tidur sebantal pun tidak dipedulikan.

Dari sudut agama pula, perbuatan mereka ini dimurkai Allah SWT dan dilarang keras oleh Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka.”

Penulis juga ingin mengingatkan bahawa kita perlu berbalik kepada soal moral dan integriti. Jika ditahan kerana melakukan kesalahan, kita perlu bersedia untuk membayar kompaun atau pergi ke mahkamah, jangan beri rasuah. Cuba elak daripada melakukan kesalahan supaya kita tidak terjebak dalam amalan yang tidak baik ini.

Pada pihak penjawat awam, kempen kesedaran berhubung kewajipan melaporkan apa juga sogokan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 akan ditekankan dalam kempen menerusi media massa. Seksyen ini menghendaki setiap cubaan sogokan wajib dilaporkan kepada SPRM atau polis serta-merta.

Namun begitu, kajian ahli kriminologi menjelaskan bahawa rasuah adalah jenayah tertua dunia sebaris dengan pelacuran. Daripada sepuluh kes rasuah yang berlaku hanya satu saja dilaporkan. Kedua-dua pihak sama ada pemberi atau penerima mendapat faedah daripada kesalahan jenayah ini. Kedua-dua pihak bersetuju dan berpuas hati dengan syarat yang ditetapkan bersama.

Balasan Allah SWT kepada mereka yang menerima dan makan rasuah terlalu berat. Balasannya, kadang-kadang Allah tunjukkan di atas dunia lagi, kehilangan harta benda dan harta penerimaan hasil dari rasuah itu dihabiskan oleh anak dalam sekelip mata. Ada kalanya pula, Allah menangguhkan balasannya itu hingga Hari Akhirat kelak, tunggulah!

Kecenderungan rasuah berpunca daripada ceteknya pengetahuan agama, kurangnya iman dan takwa, naluri tamak, desakan kebendaan dan untuk memuaskan nafsu semata-mata. Ibnu Khaldun dalam karya agungnya bertajuk Muqaddimah mengaitkan rasuah dengan persoalan moral dan keinginan untuk mengecap kemewahan hidup berlebihan mendorong mereka yang mempunyai kuasa untuk terjebak dalam amalan rasuah.

Antara kesan buruk gejala rasuah ia menimbulkan masalah seperti kemerosotan ekonomi, ketidakadilan, pengabaian kepentingan masyarakat dan hukuman yang menanti adalah berat dan akhirnya boleh meruntuhkan sesebuah negara.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Sumber : http : //www.bharan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : MPP: Membangun persepsi mahasiswa negara


Oleh : MOHAMAD ABDULLAH

BERTAHUN-TAHUN menyaksikan perang poster dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti dan perjalanan aktiviti selepas selesainya pemilihan, terfikir apakah yang direbutkan sangat dalam kalangan siswa-siswi selama ini.

Tiada ganjaran besar dari segi wang ringgit mahu pun gaji lumayan. Benarkah terdapat puak-puak dalam kalangan mereka atau ada pihak yang sengaja mengadu-domba siswa-siswi sebagai cerminan terhadap pilihan raya umum yang kian hampir?

Adakah benar bahawa pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar adalah proksi kepada proses pilihan raya di luar dan melambangkan pemikiran dan kematangan siswa-siswi kita atau ia sekadar proses pemilihan biasa yang berjalan sebagai sebahagian daripada rutin aktiviti kampus yang sesetengah pihak dan penganalisis menganggapnya sebagai gambaran kelesuan aktiviti mahasiswa universiti sekarang.

Sebagai seorang yang menyaksikan putaran aktiviti dan pemilihan yang dilakukan saban tahun, hakikatnya anak-anak muda di universiti kita berusaha untuk melaksanakan proses demokrasi yang kita percayai dan memperjuangkan idealisme yang mereka yakini.

Oleh itu adalah wajar dibiarkan mereka meneruskan proses kedewasaan dan kematangan dalam melaksanakan demokrasi ini dengan cara tersendiri tanpa adanya campur tangan, apatah lagi usaha-usaha untuk menjadikannya sebagai proksi mana-mana pihak.

Biarkanlah mereka bebas menzahirkan pemikiran dan perancangan dalam berpolitik serta bersaing atas kebijaksanaan, bukannya atas kekuatan orang lain atau parti politik yang menjadi pegangan.

Barisan kepimpinan mahasiswa yang dipilih pula sewajarnya melupakan segala perbezaan pandangan, sebaliknya bersatu menggerakkan secara profesional. Bukan sekadar menjaga kebajikan mahasiswa, tetapi MPP yang dibentuk seharusnya menjadi payung kepada persatuan, pertubuhan dan kelab dengan mengemukakan idea-idea yang jauh lebih besar untuk dilaksanakan secara berfokus berteraskan pemikiran yang dilaungkan semasa proses pemilihan.

Di sinilah ujian sebenar kepimpinan mahasiswa pada abad ini. Aktiviti-aktiviti konvensional yang sekadar membawa mahasiswa ke kampung pedalaman dan desa terpencil barangkali makin kurang relevannya yang boleh diserahkan sahaja kepada persatuan dan kelab.

Sebaliknya tumpuan perlu diberi kepada usaha membentuk pemikiran besar, menjana kekuatan minda dan bagaimana melibatkan siswa-siswi universiti dalam proses transformasi yang rancak dilakukan sekarang dalam pelbagai bidang. Malah bersama-sama memastikan usaha memposisikan dunia mahasiswa dapat dibuat dengan betul, dipandang tinggi dan disegani termasuk di pentas dunia.

Seharusnya MPP di universiti dapat terus memainkan peranan yang sebagai suara dan juara anak-anak muda dalam memperkatakan isu-isu sejagat, kemanusiaan dan keilmuan serta menentang segala ketaksuban, penghinaan dan anti-akademia yang hanya berasaskan perasaan dan sesetengahnya menyalakan api kebencian dan permusuhan dalam konteks yang sangat peribadi dan terpencil.

Malah MPP juga wajar menjadi tenaga penggerak aktiviti kesukarelawanan yang lebih berwadah dan terancang secara sendiri apatah lagi menghidupkan kampus dengan wacana-wacana ilmu saban minggu dalam membincangkan isu-isu masyarakat, memperjuangkan nilai-nilai universal yang sesuai dengan budaya dan semangat kepelbagaian negara serta memimpin mahasiswa dalam mencorakkan masa hadapan yang diinginkan sebagai gambaran dalam senario masa hadapan.

Hal ini hanya dapat dilakukan jika MPP berada pada landasan yang betul dalam konteks kepimpinan mahasiswa seperti mana yang ditunjukkan oleh Dewan Perundingan Pelajar sebagai manifestasi parlimen mahasiswa yang tidak dicampuri oleh universiti selain daripada bantuan keurusetiaan untuk memastikan ia berjalan lancar.

Kita perlu berhenti dengan apa jua label seperti mana syarat untuk mereka bertanding. Kita perlu memastikan agar mereka tidak menuding jari dalam apa jua keadaan pun, sebaliknya menggunakan segala kreativiti untuk keluar daripada masalah yang mereka hadapi.

Mereka juga perlu belajar bahawa gagal atau berjaya adalah mainan hidup dan dalam politik termasuk politik kampus, tidak ada 'musuh' dan 'sahabat' yang kekal.

Jika kita terima perkara ini sebagai proses mendewasakan anak-anak muda, maka semua pihak perlu menerima secara terbuka dan meminta mereka bekerjasama dalam kepelbagaian pemikiran untuk memastikan MPP menjadi suara sebenar anak-anak muda di universiti.

Seperti kata Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman: "Biarkan mereka bertanding sebagai ilmuwan dengan penuh budi pekerti dan saling menghormati dan jika ada yang tertinggal, banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk meminta dan melontarkan idea."

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/