Selasa, 9 April 2013

ISU KENEGARAAN : SPR Tetapkan 20 April Penamaan Calon, 5 Mei 2013 Hari Mengundi


PUTRAJAYA : Hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-13 ditetapkan pada Ahad 5 Mei,manakala tarikh penamaan calon pada 20 April,Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pada Rabu.

Pengundian awal ditetapkan pada 30 April.

Tempoh berkempen ialah selama 15 hari. Tempoh berkempen pada pilihan raya umum 2008 ialah selama 13 hari.

Ketika mengumumkan tarikh-tarikh itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata seramai 13,268,002 rakyat Malaysia layak mengundi kali ini, berdasarkan daftar pemilih yang digazetkan pada Khamis (11 April).

Pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Abdul Aziz membuat pengumuman itu pada pukul 12.30 tengah hari di ibu pejabat SPR di Putrajaya, yang disiarkan secara langsung oleh RTM dan TV3.

SPR mengadakan mesyuarat khas hari ini untuk menentukan tarikh pengundian dan pencalonan bagi PRU13 selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada 3 April lepas.

Sebelum dibubarkan, komposisi Dewan Rakyat menyaksikan BN menguasai 137 kerusi, selebihnya DAP (29), PAS (23), PKR (23), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) masing-masing satu kerusi. Lapan lagi kerusi disandang anggota Parlimen Bebas.

Abdul Aziz berkata SPR telah menerima pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 3 April 2013 berhubung pembubaran Dewan Rakyat.

Semua Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak telah dibubarkan setakat 5 Aprildan menurut Fasal 4 Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakanpilihan raya umum dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran.

Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011.

Abdul Aziz berkata SPR menetapkan writ pilihan raya dikeluarkan esok dannotis pilihan raya pada Jumaat, 12 April.

Beliau berkata berdasarkan daftar pemilih, terdapat 12,992,661 pemilih biasa dan 275,341 pengundi awal.

Pengundi awal terdiri daripada 161,251 anggota tentera dan pasangan; 111,136 anggota polis dan pasangan; serta 2,954 pengundi tidak hadir (pengundi di luar negara).

Abdul Aziz berkata sebanyak RM400 juta diperuntukkan untuk pengendalian PRU13 melibatkan 234,905 petugas pilihan raya.

Untuk tujuan pengundian keseluruhan, SPR menyediakan 8,789 pusat mengundi dengan 26,219 tempat/saluran mengundi.

Bagi pengundian biasa, 8,245 pusat mengundi dengan 25,337 saluran mengundi akan disediakan, manakala pengundian awal membabitkan 544 pusat mengundi dengan 882 tempat/saluran mengundi.

Empat peraturan baharu akan diperkenal pada pilihan raya kali ini ke arah penambahbaikan proses pengundian iaitu penggunaan dakwat kekal; pengundian awal oleh anggota polis dan tentera menggantikan undi pos; membenarkan orang kurang upaya (OKU) membawa orang dipercayai untuk membantu semasa pengundian, serta pemansuhan proses bantahan dan penarikan balik pencalonan.

Peraturan itu dilaksanakan berikutan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan) 2012 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 (Pindaan) 2012. Ia diwartakan tahun lepas.

Peraturan dakwat kekal mewajibkan setiap individu yang ingin mengundi untuk dicalit jari telunjuk kiri mereka sebelum diberikan kertas undi. Bagi pengundi yang enggan mematuhi peraturan itu, kertas undi tidak akan dikeluarkan kepada mereka.

Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum Malaysia, semua petugas media termasuk wartawan, jurugambar, jurukamera dan juruteknik yang bertugas di luar kawasan berdaftar mereka, juga layak memohon untuk mengundi awal.-BERNAMA

Isnin, 8 April 2013

ISU SOSIAL : Jangan salahkan orang lain


BARU-BARU ini satu program motivasi untuk para pekerja telah dijalankan. Kebanyakan yang datang ditanggung oleh majikan masing-masing kecuali beberapa orang sahaja yang hadir dengan perbelanjaan sendiri. Menariknya, ketika ditanya tentang masalah di tempat kerja mereka, pelbagai jawapan yang diterima. Ada yang stres kerana merasakan bos menganaktirikan mereka. Ada yang berkata rakan sekerja kaki ponteng hingga mereka terpaksa melakukan lebih banyak kerja dan memikul tugas orang lain. Ada yang berkata organisasi tempat mereka bekerja tidak menghargai pekerja dan pelbagai lagi luahan hati mereka.

Semua luahan itu mempunyai persamaan yang ketara iaitu menyalahkan orang lain dan tidak diri sendiri. Apabila kita mahukan sesuatu dan mengharapkan pihak lain yang berubah maka berkemungkinan perubahan itu tidak akan berlaku, atau kalau berlaku sekali pun, lambat. Hasilnya kita kecewa, tertekan dan hampa. Inilah situasi yang dapat dilihat setiap hari dan di mana-mana sahaja sama ada dalam pekerjaan, pelajaran, perniagaan, pengurusan, kepimpinan dan sebagainya. Kita lihat di luar diri dan tidak melihat ke dalam diri.

Dengan melihat masalah berada di luar diri, maka kita tidak mencari ruang untuk melakukan perubahan. Kita selesa dengan diri sendiri dan akhirnya tiada peningkatan atau kemajuan dalam hidup. Sebaliknya jika kita ambil tanggung jawab dan menyalahkan diri sendiri maka kita terbuka kepada perubahan.

Allah berfirman dalam al-Quran yang mafhumnya:

"Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosamu."(QS. As Syura, 42 : 30)

Perhubungan

Sikap suka menyalahkan orang lain ini berlarutan dalam semua aspek kehidupan termasuk perhubungan. Misalnya, kita menyalahkan jiran yang tidak memahami kita, sedangkan yang sebenarnya kita yang tidak terlebih dahulu memahami mereka. Kita tidak mewujudkan hubungan yang akrab agar mereka ada rasa segan dan hormat pada kita. Kita menyalahkan anak sebab mendapat markah yang rendah dalam peperiksaan, sedangkan mungkin kita yang kurang memberikan perhatian terhadap pelajaran dan persekolahannya selama ini.

Nampaknya, walaupun kita sudah mencapai pelbagai kemajuan dalam hidup, namun lagu Bangau Oh Bangau masih lagi menjadi budaya hidup yang berakar umbi dalam fikiran tanpa disedari. Dalam lagu ini, masing-masing menyalahkan orang lain atas masalah yang menimpanya.

Kini sudah tiba masanya untuk kita sedar bahawa dalam hidup ini orang lain tidak boleh menjadikan kita berjaya selagi kita tidak mempraktikkan apa yang disebut sebagai akauntabiliti iaitu bertanggung jawab atas apa yang berlaku serta menerima apa juga kesan daripadanya. Oleh itu, mulai hari ini apabila berlaku sahaja sesuatu perkara yang kita tidak suka, atau hajat kita tidak kesampaian, maka nilai dan carilah kesalahan diri sendiri dan fikirkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk memperbaiki diri lalu bertindak dengan cara atau pendekatan yang berbeza. Barulah hasilnya juga nanti berbeza.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kebebasan Mahasiswa Biar Berpada-pada


Oleh : Ruhaiza Rusmin

KESUKARAN menjangka apakah keinginan dan kehendak sebenar mahasiswa alaf baru terhadap perkembangan dunia politik tanah air mengakibatkan tercetusnya pelbagai insiden memalukan.

Biarpun hanya segelintir menconteng arang namun kesan terpalit seperti ditanggung keseluruhan mahasiswa menyebabkan ramai pihak beranggapan golongan itu ‘pencetus masalah baru’ di pentas politik tanah air.

Malah, tindak-tanduk di luar batasan juga memberi persoalan besar di mata masyarakat, apakah mereka mampu menjadi bakal pemimpin negara pada masa depan.

Persoalannya, di manakah integriti mahasiswa moden hari ini selepas pelbagai insiden memalukan melanda mereka?

Dan, bagaimanakah integriti golongan terbabit menjelang pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi?

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara, Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata integriti mahasiswa perlu diletak sebaris dengan nilai rasional supaya apa jua tindakan diambil masih di bawah pertimbangan akal.

Beliau berkata, tidak mengira masa atau keadaan, golongan itu tidak boleh meletak nilai integriti mereka sembarangan kerana bukan saja menjejaskan imej malah meranapkan masa depan.

“Mahasiswa seharusnya meletak nilai integriti pada tahap sangat berharga hingga tidak boleh diperkotak katikkan, dipersoal atau dipergunakan.

“Golongan ini mesti menjadi satu kelompok berkecuali yang mempunyai idea perjuangan sendiri. Dan, perjuangan itu mesti berpaksikan  kematangan dan rasional.

“Bukanlah melakukannya kerana desakan emosi, membuta tuli atau didesak pihak lain. Mahasiswa perlu menjaga nilai eksklusif mereka,” katanya.

Katanya, pelbagai insiden memalukan yang membabitkan mahasiswa sejak kebelakangan ini tidak harus berlaku jika mereka matang dan pandai menjaga nama baik diri sendiri dan institusi.

Malah, menjelang PRU, tindak-tanduk mahasiswa akan lebih diperhatikan dan menjadi intaian masyarakat.

“Biarpun secara kasarnya, masyarakat kurang memberi tindak balas, tapi apa saja perlakuan mereka tetap menjadi perhatian.

“PRU kali ini menjadi medan politik baru bagi mereka. Sudah pasti setiap tindak-tanduk akan diperhatikan.

“Justeru, jika benarlah mereka mahasiswa yang bijak, PRU ini boleh dijadikan platform meningkatkan imej dengan membuktikan kematangan melalui perlakuan dan sikap,” katanya.

Menurutnya, masyarakat juga tidak pernah mempertikaikan mengenai hak, naluri, keinginan mahupun pendapat yang ingin diketengahkan golongan itu.

“Tapi, cara pendekatan itu perlulah matang selari dengan nama mahasiswa itu sendiri yang dikategorikan sebagai terpelajar.

“Tidak perlu terlalu beremosi. Kita hidup dengan tamadun dan bersama masyarakat, peraturan perlu dipatuhi,” katanya mengakui sikap kurang rasional boleh menghakis kepercayaan orang lain secara tidak langsung.

“Apabila mahasiswa kurang dipercayai, nilai eksklusif diri mereka akan jatuh. Mereka bakal pemimpin tapi bolehkah memimpin orang lain jika begini perlakuannya.

“Sesiapa pun pasti menolak calon begitu. Pemimpin perlu ada kematangan, mampu berfikir panjang, berwibawa dan rasional, bukannya keterlaluan, singkat pemikiran dan mengikut hati.

“Tindakan dan pemikiran singkat bukan saja mencalit kesalahan pada satu pihak, malah seluruh nama mahasiswa akan tercemar. Ini kerana mahasiswa juga adalah satu jenama kepada negara,” katanya.

Isu mahasiswa bertindak ‘luar biasa’ dan ‘ luar kawalan’ pastinya akan mencuri perhatian ramai menjelang PRU ke-13 kelak.

Biarpun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) Seksyen 15 yang dulunya dijadikan senjata utama mereka ‘memberontak’ sudah dipinda, mahasiswa seperti masih ada permintaan lain ingin dipinta.

Tindakan itu memualkan masyarakat yang mungkin sudah bosan melihat gelagat golongan yang dikatakan terpelajar itu.

“Mereka marah jika masyarakat mengatakan mahasiswa kurang ajar, tapi cara mereka bukan seperti golongan terpelajar.

“Sesiapapun pasti mempunyai persepsi serupa jika melihat perlakuan seperti itu di depan mata. Malangnya ia juga tidak adil untuk mahasiswa lain.

“Yang membuat onar hanya segelintir, akibatnya ditanggung semua,” katanya.

Beliau turut tidak menolak tindakan itu melambangkan ketaksuban kepada ideologi masing-­masing hingga sanggup melanggar peraturan dan prinsip.

“Tidak kiralah sama ada ideologi diperjuangkan betul atau tidak, tetapi peraturan dan undang-undang sudah jelas dan terpakai.

“Kita hidup dalam tamadun manusia, jangan rendahkan maruah diri ke tahap paling bawah yang mungkin mengundang tertawa orang lain.

“Jika kita ikut saluran yang betul serta tahu meletakkan di mana nilai ilmu dan harga diri, orang lain akan lebih menghormati,” katanya.

Mahasiswa, akuinya, sudah banyak diberi kebebasan untuk meluahkan pendapat, namun masih ada yang kurang bijak memanfaatkannya.

“Bebas boleh, tapi biarlah berpada-pada. Kita manusia ada adat, ada aturan hidup dan hidup bermasyarakat.

“Yang mereka pinta sudah ditunaikan, tetapi masih juga tidak berpuas hati. Persoalannya, apa yang mereka hendak sebenarnya?” soalnya.

Beliau juga menggesa mahasiswa tidak melupakan etika sewaktu PRU andai kata berminat untuk mengetahui perjalanan politik tanah air.

Menurutnya, ia juga saat terbaik belajar dan melihat senario sebenar sistem demokrasi di negara ini.

“Di institusi pengajian tinggi, banyak ilmu boleh dipelajari ,tetapi kita usah menyekat mahasiswa memperoleh pengalaman atau ilmu daripada  sumber lain.

“PRU kali ini mencetuskan sejarah tersendiri kerana pertama kali membenarkan mahasiswa berkelayakan mengundi.

“Gunakannya sebagai cermin bagi menilai diri sendiri. Pesan saya akal yang waras akan menghasilkan keputusan dan tindakan yang tepat,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Ahad, 7 April 2013

ISU KESIHATAN : Rakyat Malaysia digalak amal 6 perkara elak hipertensi


JOHOR BAHRU - Seramai 12.8 peratus penduduk di negara ini tidak menyedari mereka menghidapi penyakit hipertensi ataupun penyakit darah tinggi kerana tidak pernah menjalani saringan kesihatan sebelum ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata dalam masa yang sama data Kajian dan Morbiditi Pesakit (NHMS) 2011 juga mendapati tiga daripada empat pesakit hipertensi yang mendapat rawatan, hanya satu pertiga sahaja yang mencapai kawalan tekanan darah seperti yang disasarkan.

"Sehubungan itu sempena Hari Kesihatan Sedunia tahun ini saya ingin mengambil kesempatan menyeru rakyat Malaysia mengamalkan enam langkah untuk mengelakkan kemungkinan kita mendapat penyakit hipertensi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan bertemakan Tekanan Darah Tinggi yang diadakan di Hospital Permai, Tampoi di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Kesihatan Awam Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Menurutnya amalan pertama ialah sentiasa memastikan tekanan darah berada di paras optima dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin dan pada masa kini terdapat banyak mesin yang boleh diperoleh daripada farmasi untuk mengukur tekanan darah.

Beliau berkata selain itu pengambilan garam juga perlu dikurangkan kepada lima gram sehari kerana kajian mendapati purata pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia adalah 8.7 gram sehari, iaitu 1.7 kali lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Kita juga harus menjadi rakyat yang kekal aktif setiap hari dengan melakukan aktiviti fizikal dengan bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari, tiga hingga lima kali seminggu.

"Kekalkan juga BMI unggul pada ukuran 18.0 hingga 24.9kg/m kerana pengurangan berat badan mampu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan diabetes selain berhenti merokok untuk mengelakkan risiko penyakit jantung, strok dan kanser," katanya.

Katanya langkah keenam ialah menggunakan teknik 10B dalam menangani tekanan iaitu bertenang, bernafas dengan dalam dan perlahan, belajar untuk relaks, beribadat, berkongsi perasaan, berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam dan berfikir secara positif.

Menurutnya semua amalan itu jika dijadikan amalan, beliau percaya mampu mencegah dan mengawal penyakit hipertensi dalam kalangan rakyat di negara ini. - Bernama

PUISI LELONG


Hub-hub mewah tersergam indah

tuak-tuak mahal - asap mendupa khayal

di sini kata-kata magis memerangkap

sang jiwa kelana lupa.


Kitakah yang mudah hanyut?

di lautan pesona, sepoi-sepoi pawana

melenakan realiti - tanpa mahu terjaga

kita terus beradu

asyik gemalai bahasa indah.


Serpihan huruf-huruf  di saf lurus

ada patah-patah makna di reranting bait

tanpa mahu membuka minda

malas mengupas tafsir - kita mendungu

lelongan kata

pada pemuja suka memberi jempolan.


Pada maya utamakan sanjungan

membutababikan kiasan bicara

lirik-larik murahan

ditempik kuat menjual populariti

manakah nilai selembar kudus manusiawi

pada khazanah kesusasteraan?


Tika ramai antara kita

asyik menjenin mimpi daripada

mengasah minda melestarikan

bahasa jiwa bangsa.


NOOR AISYA BUANG

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/ 

Sabtu, 6 April 2013

ISU PENDIDIKAN : Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) tingkat mutu pendidikan negara


Oleh : Mohd Nasaruddin Parzi
 
Kuala Lumpur : Penubuhan 91 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dalam tempoh tiga tahun sejak 2010 menjadi platform kepada negara memperkasa kebolehan pelajar sekali gus menyumbang kepada peningkatan mutu pendidikan di sekolah.

Pada masa sama, Kementerian Pelajaran menyasarkan penubuhan 19 lagi SBT pada tahun ini yang akan melonjakkan mutu pendidikan sekolah rendah dan menengah.

Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan dan Perhubungan Sekolah Berprestasi Tinggi, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran, Faridah Yang Razali, berkata fokus utama SBT bukan saja untuk pelajar mempunyai pengetahuan akademik cemerlang, bahkan turut menguasai kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif.

Pelajar serba boleh

Katanya, ia juga sebagai elemen membentuk kemahiran memimpin, kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, sahsiah dan nilai serta semangat identiti nasional yang kuat.

"Pemilihan SBT melalui tiga proses saringan yang ketat oleh Kementerian Pelajaran (KPM). Sekolah bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, tetapi perlu ada pencapaian dalam bidang kokurikulum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta mempunyai jaringan dan jalinan kukuh dengan institusi pendidikan atau agensi keraja an dan bukan kerajaan dan menjadi penandaarasan dari dalam dan luar negara.

"Calon juga dinilai dari segi pengurusan kewangan yang baik sebagai prasyarat. Penilaian ke atas calon dilaksanakan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan kualiti bagi memastikan sekolah benar-benar layak berdasarkan dokumentasi atau bukti yang dikemukakan," katanya.

Faridah berkata, pemberian SBT bukan saja menumpukan kepada usaha menaikkan mutu kecemerlangan di sekolah itu saja, sebaliknya bertindak sebagai mentor kepada sekolah berhampiran di kawasannya.

Beri peruntukan khas

Katanya, peruntukan khas RM700,000 diperoleh selepas berstatus SBT bagi tahun pertama sebelum jumlah berikutnya, RM500,000 (tahun kedua) serta RM300,000 bagi tahun ketiga dan seterusnya.

"Kita menetapkan empat kriteria kepada sekolah dalam menggunakan peruntukan disalurkan meliputi pembangunan modal insan, pengantarabangsaan, penyelenggaraan dan ubah suai kecil serta harta modal.

"Walaupun ada syarat dari segi cara penggunaan (peruntukan), namun kementerian secara dasarnya tetap memberi kuasa autonomi kepada sekolah merancang apa juga program asalkan ia memfokuskan kepada meningkatkan kecemerlangan sekolah," katanya.

Kemudahan lain dinikmati SBT termasuk kursus dan latihan khas diberi kepada warga pendidiknya termasuk pengetua.

Ditanya mengenai pencapaian SBT berbanding sekolah lain, Faridah berkata, beberapa aspek dilihat termasuk dari segi pencapaian akademik pelajar serta daya kreativiti, karismatik, kebolehan memimpin dan komunikasi yang meningkat.

Dari segi prasarana sekolah katanya, penggunaan alat bantuan mengajar lebih menarik selain penggunaan teknologi dan kelengkapan makmal yang lebih moden.

Sehingga kini, katanya Johor adalah negeri paling banyak SBT iaitu 13 diikuti Selangor (10), Terengganu (9), Kedah (9), Kuala Lumpur (8) serta 7 di Pahang dan Pulau Pinang, manakala selebihnya di negeri lain.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Bayaran Insentif Tawaran Baru (BITB) lonjak prestasi sekolah


Oleh : Azida Shaharuddin
 
Kuala Lumpur : Inisiatif Program Tawaran Baru yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran sejak 2010 terbukti berhasil melonjakkan kecemerlangan sekolah.

Sejak dilancarkan pada 2010, inisiatif berkenaan menyaksikan 129 sekolah rendah seluruh negara berjaya menerima Bayaran Insentif Tawaran Baru (BITB) tiga kali berturut-turut, 75 (dua kali) dan 173 (sekali).

Apabila menerima BITB, bermakna sekolah berkenaan diiktiraf meningkat kedudukannya ke peringkat lebih baik.

Menerusi program itu, pengetua dan guru besar sekolah terbabit lebih komited dan bertindak sebagai pemberi motivasi kepada guru dan seluruh anggota pentadbiran sekolah untuk bekerja dalam satu pasukan memastikan pencapaian akademik, kokurikulum dan elemen pembelajaran lain mencapai tahap terbaik.

Impak positif

“Ini akan memberikan impak positif kepada ‘kemenjadian’ pelajar,” kata Timbalan Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Kementerian Pelajaran, Norhayati Alias.

Tawaran Baru adalah inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan sebagai strategi meningkatkan kedudukan atau ranking sesebuah sekolah dengan semua pelajar atau muridnya lulus peperiksaan, selain mengenal pasti sekolah layak diiktiraf Sekolah Berprestasi (SBT) dan sekolah kluster.

Ada 7,743 sekolah rendah, 2,340 sekolah menengah dan 28 sekolah pendidikan khas di seluruh negara pada masa ini.

Bagi mencapai matlamat itu, pengetua dan guru besar akan diberikan ganjaran yang dikenali BITB, sekiranya sekolah mencapai tahap Melepasi Sasaran (ET) selepas dinilai jemaah nazir.

Pada peringkat permulaan, pencapaian mereka diukur mengikut Gred Purata Sekolah (GPS) berdasarkan keputusan peperiksaan awam dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) meliputi standard kualiti pendidikan negara termasuk akademik, kokurikulum dan elemen lain.

Skor komposit

Kombinasi GPS dan SKPM seterusnya membentuk Skor Komposit yang menentukan ranking sekolah, yang mana kedudukan sekolah paling tinggi akan dinilai dari aspek ET (sekolah mempamerkan prestasi tinggi) dan melakukan Lonjakan Perdana.

Menerusi BITB, pengetua dan guru besar cemerlang layak menerima sijil anugerah Tawaran Baru dan ganjaran wang RM7,500 berdasarkan merit dan dibuka kepada peluang untuk dinaikkan pangkat atau dihantar berkursus ke luar negara.

“Bukan setakat itu, ganjaran turut diberikan kepada guru dan staf sokongan apabila lima peratus daripada keseluruhan jumlah guru sekolah mendapat RM1,800 dan selebihnya diberikan RM900, manakala staf sokongan RM500,” katanya.

Beliau berkata menerusi Tawaran Baru, sekolah yang lemah dapat ditingkatkan apabila diminta menjalani program pembangunan prestasi dikendalikan Institut Aminuddin Baki berdasarkan keperluan masing-masing.

Pada masa sama, program ini membolehkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mengetahui ranking guru dan sekolah, untuk seterusnya memperbaiki ‘lompang’ yang ada termasuk menjalankan program bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pemantauan berkala.

“Kesannya, keputusan peperiksaan calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meningkat selepas pengetua dan guru besar dan guru memainkan peranan serta menjalankan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan pencapaian sekolah.

“Menerusi Tawaran Baru, perbelanjaan di sekolah diurus dengan lebih cekap dan berkesan malah memberi tumpuan penuh kepada murid yang lemah,” katanya.

Beliau berkata insentif ini diberikan kepada semua sekolah termasuk jenis kebangsaan, vokasional, teknik dan pendidikan khas bantuan kerajaan.

“Daripada Tawaran Baru, kita boleh melahirkan sekolah yang berpotensi untuk menjadi SBT dan sekolah kluster.

“Sekolah pendidikan khas yang dikenal pasti lemah sebelum ini juga berjaya memperbaiki ‘lompang’ dan memenuhi penilaian serta syarat, seperti yang  terbaru tahun ini, Sekolah Rendah Pendidikan Khas Miri sekali gus menerima BITB,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/