Ahad, 21 Julai 2013

ISU SOSIAL : Ibu bapa cuai boleh dikenakan tindakan


KUALA LUMPUR - Ibu bapa yang cuai sehingga mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, semua ibu bapa perlu lebih prihatin dan peka dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata demikian mengulas tragedi menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia akibat ditinggal ibunya lebih lima jam di dalam kereta kelmarin.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku, ini satu kecuaian. Bagaimanapun perkara sudah terjadi saya turut bersimpati.

“Saya berharap perkara yang sama tidak berulang kepada keluarga lain. Ibu bapa perlu faham tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, kes kecuaian seumpama itu sering kali berlaku  dan sepatutnya telah jadi pengajaran kepada semua.

“Ini satu kerisauan. Kita boleh ambil tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana mampu bertindak tegas kepada ibu bapa cuai. Jangan ambil ringan, belajar dengan perkara yang telah berlaku,” katanya.

Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan, sesiapa ibu bapa atau penjaga yangcuai, mengabaikan kanak-kanak boleh didakwa di mahkamah.

Pesalah boleh disabitkan denda sebanyak RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pihaknya akan memasukkan semula modul keibubapaan ke dalam kursus-kursus persediaan pasangan yang bakal menimang cahaya mata atau ingin berumah tangga.

“Cadangan ini kita akan bawa kepada perbincangan di peringkat kementerian. Saya juga akan maklum kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Dahulu modul itu pernah dikendalikan oleh LPPKN,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Info :


Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611):

Suatu Akta untuk menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, perlidungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya.

Akta ini :

Mengiktiraf - wawasan negara sebagai negara maju sepenuhnya iaitu sebuah negara di mana keadilan sosial dan pembangunan moral , etika dan rohani sama pentingnya dengan kemajuan ekonomi dalam mewujudkan masyarakat yang penyayang, damai dan berperikemanusiaan.

Mengiktiraf - seorang kanak-kanak bukan sahaja sebagai  suatu bahagian penting masyarakat tetapi juga merupakan kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran masyarakat.


Mengakui - seseorang kanak-kanak, tanpa kematangan dari segi fizikal, mental dan emosi memerlukan perlindugan , pemeliharaan dan bantuan khas selepas kelahirannya bagi memastikan kanak-kanak tersebut dapat memberikan sumbangan dalam pembentukan masyarakat madani.

Sumber : Laman Web JKM Selangor

Sabtu, 20 Julai 2013

ISU SOSIAL : Pemanduan tak beradab punca kemalangan


Oleh : Jeniri Amir
 
Kematian akibat nahas di Malaysia 6.3 kali lebih tinggi berbanding UK, Sweden, Belanda

Berjuta-juta pengguna dan kenderaan akan berada di jalan raya dan lebuh raya ketika balik ke kampung pada musim Aidilfitri beberapa minggu lagi. Kesesakan akan berlaku dan ini sekali lagi bakal menguji emosi dan sikap pemandu.

Namun, jika hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) baru-baru ini dipegang, kita mempunyai alasan kuat untuk berasa khuatir sikap pemandu Malaysia. Kajian itu dijalankan antara 2009 hingga tahun lalu, mengukur tahap keberangan 5,248 pemandu di lebih daripada 103 daerah di seluruh negara.

Satu daripada sikap buruk rakyat Malaysia mengikut rakan saya dari negara asing dan pelancong yang saya temui ialah pemanduan yang buruk.

2.4 juta pemandu berang aras tinggi

Pemandu kita mudah berang dan gagal mengawal emosi ketika memandu. Berdasarkan kajian tadi, 18 peratus atau 2.4 juta daripada 13.3 juta pemandu kita berada pada kategori berang aras tinggi. Dari segi sikap buruk itu, wanita dikatakan mempamerkan sikap negatif itu lebih teruk daripada lelaki. Saya sering menyaksikan sikap berang pemandu di jalan raya terutama di kota dan bandar besar. Perangai mereka bertukar agresif sehingga nekad membuli pengguna jalan raya lain atau mengejar pemandu yang dimarahi.

Mengikut kajian itu, pemandu kita tiga atau empat kali lebih berang berbanding pemandu di Amerika Syarikat, Britain, Australia, New Zealand, Sepanyol dan Turki. Mungkin pemandu kita perlu belajar daripada pemandu di negara berkenaan dan juga di Jepun untuk memahami maksud pemandu berdisiplin. Mereka yang pernah ke Britain dan Jepun, pasti faham bagaimana tertib dan berdisiplinnya pemandu terbabit. Mereka sentiasa menghormati pemandu dan pengguna jalan raya lain. Sebaliknya, pemandu kita mudah dikuasai emosi dan kemarahan sehingga menjejaskan pengguna lain.

Sabar sebahagian daripada iman, tetapi itu dianggap tidak lebih sebagai slogan. Pemandu kita mudah marah, antaranya disebabkan perlakuan buruk pemandu lain, pemanduan tidak beradab dan berhemah, kehadiran polis, pemanduan perlahan dan sekatan jalan raya. Segelintir pemandu seolah-olah berasa diprovokasi jika pemandu lain memintas kenderaan mereka atau memandu terlalu perlahan. Kalaulah pemandu menjaga perangai, disiplin dan emosi, pasti, jumlah kes buli dan kemalangan di jalan raya tidak akan meledak.

Ops Sikap yang diadakan lebih 20 kali seolah-olah tidak mendatangkan kesan terhadap pemandu kenderaan bermotor di negara ini. Berdasarkan data rasmi, ada 200 peristiwa kemalangan jalan raya yang membabitkan kematian dan 230 insan terkorban sepanjang kempen Ops Sikap ke-22. Semua itu bertolak daripada sikap pemandu yang tidak berdisiplin dan tidak dapat mengawal perasaan ketika memandu. Berbanding di bandar kecil dan pekan kecil, pemandu bandar dan kota lebih tidak berdisiplin dan dikuasai emosi.

Kenderaan semakin bertambah

Adakah jumlah kenderaan yang semakin meningkat sehingga kesesakan semakin teruk menjadi punca? Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia tahun lalu meningkat 21,401,269 unit berbanding 20,188,072 pada tahun sebelumnya.

Amat penting bagi pemandu bukan saja mematuhi segala peraturan, tetapi juga sentiasa mengawal emosi ketika memandu. Pemandu yang berang boleh dianggap berisiko tinggi kerana emosi berkenaan besar kemungkinan menguasai perasaannya sepanjang perjalanan. Pemandu jenis ini tidak boleh diprovokasi kerana emosinya mudah terganggu, malah dia sanggup melakukan sesuatu di luar pemikiran manusia biasa. Pemandu jenis ini turut menyumbang kepada jumlah kemalangan yang tinggi.

Forum Pengangkutan Antarabangsa Paris mencatatkan ketika 30 negara menunjukkan penurunan kadar kematian jalan raya dari 2000 hingga 2009, hanya tiga negara merekodkan peningkatan. Paling ketara antara tiga negara itu ialah Malaysia, Argentina dan Kemboja. Malaysia berada pada kedudukan teratas dengan kadar kematian tertinggi iaitu seorang bagi 100,000 penduduk. Angka ini bukan sesuatu yang menggembirakan dan membanggakan.

Berdasarkan 23.8 kematian bagi setiap 100,000 penduduk tahun lalu, kadar kematian akibat kemalangan di Malaysia ialah 6.3 kali lebih tinggi berbanding dengan United Kingdom (UK), Sweden dan Belanda. Bagi 22 Ops Sikap dalam tempoh 2001-2010 itu 279,204 kes kemalangan, dengan 3,909 peristiwa kemalangan membabitkan sekurang-kurangnya seorang mati. Jumlah yang mati pula ialah 4,479 orang.

Adakah kemarahan ini cerminan tekanan di tempat kerja dan di rumah atau ini hasil peribadi yang lemah? Adakah kita kurang menekankan soal etika dan cara pemanduan berhemah ketika mereka menjalani latihan pemanduan?

Penulis ialah pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sekolah Cuti Awal Sempena Aidil Fitri


Oleh : Nazura Ngah

Kuala Lumpur : Kementerian Pendidikan membenarkan sekolah mengambil cuti peristiwa atau cuti berganti sehingga tiga hari sempena Aidilfitri yang dijangka disambut 8 Ogos ini.

Bagi sekolah di negeri yang hujung minggunya Jumaat dan Sabtu boleh mula bercuti raya mulai Ahad, 4 Ogos, manakala sekolah di negeri yang hujung minggunya Sabtu dan Ahad bermula Isnin, 5 Ogos.

Berikutan itu, cuti sekolah sempena Aidilfitri dan pertengahan penggal kedua adalah bersamaan dua minggu, sehingga 17 atau 18 Ogos.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata pihaknya dimaklumkan pegawai Kementerian Pendidikan mengenai cuti tambahan itu, tiga hari lalu.

Katanya, NUTP membuat permohonan bertulis kepada kementerian selepas menerima pandangan ibu bapa dan sekolah yang menyarankan supaya sekolah dibenarkan bercuti lebih awal.

“Bagaimanapun, sekolah perlu membuat permohonan untuk mengambil cuti berganti kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) masing-masing dan hari persekolahan berganti diputuskan atas pertimbangan jabatan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Notis pemberitahuan

Yim Pheng berkata, notis pemberitahuan mengenai cuti berganti yang ditandatanganinya dipaparkan dalam laman web NUTP bagi memudahkan pihak pengurusan sekolah dan ibu bapa merancang cuti hari raya.

NUTP dalam surat kepada semua pengerusi dan setiausaha cawangannya, kelmarin, turut memaklumkan Kementerian Pendidikan tidak akan mengeluarkan surat pekeliling mengenainya.

Surat itu turut menyebut, semua sekolah diminta memohon kebenaran cuti sekolah berganti daripada JPN masing-masing berdasarkan Surat Siaran Kementerian Pelajaran Malaysia Bilangan 26 Tahun 2012 menurut Ruj.KP/PPM/7(13) bertarikh 9 Ogos 2012.

NUTP turut memaparkan pautan rujukan di alamat : 

http://www.moe.gov.my/upload/galeri_awam/2012/1344567047.pdf pada laman webnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kementerian Pendidikan Diminta Kaji Mengapa Pelajar Cemerlang Gagal Mendapat Tempat Di Universiti

Oleh  : EILEEN NG

BANGI :  Kementerian Pendidikan diarahkan oleh Kabinet untuk mengkaji kelemahan dalam prosedur pemilihan bagi kemasukan ke universiti-universiti tempatan berikutan ramai pelajar cemerlang gagal mendapat tempat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata kementerian itu juga perlu lebih telus dalam proses pemilihan yang dilakukan.

"Saya percaya perkara ini boleh diselesaikan dengan lebih telus, untuk orang ramai mengetahui bagaimana proses pemilihan dilakukan. Ia adalah sistem (itu masalahnya), tidak begitu banyak kepada bilangan tempat," katanya selepas merasmikan Pameran Sains Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak 2013.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata kebanyakan pelajar dengan Purata Mata Gred Keseluruhan (CGPA) 4.0 ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan tetapi universiti hanya boleh mengambil beberapa pelajar kerana tempat yang terhad.

Menurut beliau, terdapat mekanisme untuk menilai kesesuaian pelajar dengan mengambil kira pembabitan kokurikulum dan prestasi mereka semasa  temuduga untuk proses kemasukan.

"Isunya adalah ketelusan dan membiarkan orang ramai tahu apa sebenarnya berlaku. Apa yang berlaku di sini tidak banyak bezanya dengan negara lain. Di kebanyakan negara, tidak semua yang memohon mendapat tempat di universiti," katanya.

Beliau berkata majoriti pelajar cemerlang  layak mendapat tempat di universiti tempatan dan hanya kira-kira 30% daripada mereka gagal dalam permohonan untuk mendapat tempat di IPTA.

Bagaimanapun, beliau berkata pelajar yang gagal dalam permohonan itu boleh membuat permohonan sekali lagi.

"Kabinet akan mencari  jalan bagaimana untuk menempatkan mereka ke institusi pengajian tinggi swasta sekiranya permohonan rayuan mereka tidak berjaya," katanya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Jumaat, 19 Julai 2013

ISU SOSIAL : Usah ambil pembantu rumah

Menghantar anak ke Taska alternatif  terbaik pasangan kurang berkemampuan.

Oleh :  SHAHREN YUSRI

BARU-BARU ini, ramai yang terkejut dengan pengumuman kos pengambilan pembantu rumah warga Indonesia dinaikkan kepada RM8,000 daripada caj RM4,511 yang dikenakan sebelum ini.

Dalam hal ini golongan yang pening kepala ialah pasangan suami isteri yang bekerja dan mempunyai anak kecil. Ini kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada amah untuk menjaga anak mereka sambil melakukan kerja sampingan seperti mengemas rumah, memasak dan mencuci pakaian sepanjang ketiadaan mereka di rumah.

Ada cakap-cakap mengatakan disebabkan perkara ini ramai golongan isteri yang berstatus ibu terutamanya yang mempunyai anak kecil mahu berhenti kerja untuk menjaga anak-anak sambil menguruskan rumah tangga.

Tetapi bagi pasangan yang berpendapatan rendah, sekiranya si isteri berhenti kerja, ia akan mendatangkan masalah kepada pasangan tersebut kerana mereka memerlukan antara satu sama lain untuk menampung keluarga.

Inilah dilema yang dihadapi oleh pasangan suami isteri yang hidup bergantung dengan amah apabila kos pengambilan tersebut dinaikkan.

Bagaimanapun, golongan tersebut disarankan supaya tidak pening-pening kepala dan mengambil keputusan terburu-buru seperti berhenti kerja. Kenapa? Sebab ada jalan alternatif yang boleh difikirkan untuk mengatasi masalah tersebut.

Caranya adalah menghantar anak ke Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska). Ia bukanlah satu cadangan yang baru, tetapi boleh dipertimbangkan dalam keadaan sebegini.

Menariknya, mana-mana pasangan ibu bapa atau penjaga yang berpendapatan isi rumah perkapita RM500 dan ke bawah boleh memohon subsidi yuran pengasuhan kanak-kanak Taska untuk anak yang berusia di bawah empat tahun sebanyak RM150 hingga RM250 sebulan dan bagi kanak-kanak OKU sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui permohonan untuk mendapatkan subsidi yuran ini telah dibuka sejak April tahun ini untuk membantu golongan berpendapatan rendah bagi membiayai kos pengasuhan anak-anak di Taska swasta.

Bukan itu sahaja, bagi mengurangkan beban penjawat awam yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah pula, mereka berpeluang menikmati subsidi yuran pengasuhan sebanyak RM180 sebulan bagi setiap anak yang di hantar ke taska tempat kerja yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata pemberian subsidi oleh kerajaan melalui kementerian yang diterajuinya itu secara tidak langsung membantu rakyat yang dibebani dengan kenaikan kos pengambilan amah.

"Dengan adanya subsidi ini, diharap beban rakyat akan berkurangan dan mereka mengambil peluang ini untuk menghantar anak-anak ke Taska tanpa perlu lagi menggunakan perkhidmatan pembantu rumah untuk menjaga anak-anak yang memerlukan kos yang tinggi," kata beliau.

Tambah Rohani, bagi mendapatkan subsidi ini pengusaha taska atau ibu bapa atau penjaga kanak-kanak boleh mengemukakan permohonan dengan mudahnya melalui cara memuat turun borang YP1 yang terdapat di laman sesawang JKM di www.jkm. gov.my.

Pada masa sama, Rohani berkata, menjelang hujung tahun ini kerajaan mensasarkan sebanyak 1,000 buah lagi Taska baharu didaftarkan dengan JKM bagi menampung bilangan kemasukan kanak-kanak ke Taska yang semakin meningkat.

Jelas beliau, ini merupakan inisiatif kerajaan di bawah Dasar Bajet 2013 dan Program Transformasi Kerajaan 2.0 (GTP 2.0).

"Melalui inisiatif ini, pengusaha Taska baharu yang berdaftar dengan JKM akan diberikan geran permulaan sebanyak RM3,000 bagi Taska di rumah dan RM10,000 hingga RM20,000 bagi Taska institusi yang dikendalikan oleh swasta sebagai insentif untuk membiayai kos operasi Taska berkenaan.

Selain itu, Rohani juga memberitahu cara yang paling penting untuk mengatasi masalah kenaikan kos pengambilan pembantu rumah ialah dengan menukar mindset masing-masing.

"Kita selalu berfikiran bahawa khidmat amah amat penting bagi menguruskan rumah tangga kita dan perkara ini menunjukkan kita terlalu bergantung kepada mereka sehingga mereka boleh demand harga jika ingin mengambil mereka bekerja.

"Apa kata ubah mindset kita dengan menganggap bahawa amah tidak penting dan berfikiran bahawa banyak lagi cara lain untuk bantu kita menguruskan rumah tangga dan menjaga anak-anak. Dengan cara ini, kita boleh mengelakkan beban daripada membayar kos pengambilan amah yang tinggi," jelas beliau.

PENULIS ialah Setiausaha Akhbar Kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 18 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Pertukaran guru perlu mekanisme kemanusiaan terbaik


Oleh : TARMIZI ABDUL RAHIM

SETIAP tahun, Jun dan Disember adalah dua bulan keramat yang sentiasa ditunggu-tunggu kelibatnya oleh para guru yang terpaksa berjauhan daripada keluarga termasuk isteri, suami dan anak-anak.

Hal ini kerana dalam kedua-dua bulan itu, penantian mereka akan terjawab sama ada permohonan pertukaran sekolah diterima atau sebaliknya. Bagi yang berjaya, maka bergembiralah tetapi yang gagal, seperti biasa akan mengulangi permohonan sama sehingga berjaya.

Mungkin bagi guru yang bertugas di Semenanjung dan keluarganya juga berada di sana, tidak seberat beban, keluh-kesah dan kerinduan melampau terpaksa ditanggung oleh para guru yang bertugas di Borneo tetapi keluarganya pula berada jauh di 'seberang laut'.

Dalam kes pertama, alternatif pengangkutan banyak terhidang iaitu selain daripada jalan udara, jalan darat juga pada bila-bila masa boleh digunakan. Tetapi berbeza dengan mereka yang berada di Borneo, tiada pilihan melainkan hanya melalui jalan udara.

Semua sedia maklum bahawa kos 'hangus' yang terpaksa ditanggung bukannya murah, hingga terkadang boleh melangkaui gaji bulanan para guru tersebut.

Bagaimanapun, situasi ini sedikit menampakkan jalan penyelesaiannya apabila Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching dalam jawapannya di Dewan Rakyat baru-baru ini mengakui bahawa guru-guru yang hidup berjauhan dengan pasangan masing-masing, dari segi kemanusiaannya tidak elok dan kurang sesuai.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak kementerian sedia mengkaji semula isu tersebut bagi membolehkan masalah berkenaan dapat diatasi.

Perkara ini sebenarnya agak kritikal dan perlu ditangani sebaik mungkin kerana dikhuatiri falsafah pendidikan negara yang antara lain bertujuan melahirkan modal insan terbaik gagal tercapai.

Secara semula jadi, mana-mana manusia waras yang ditimpa kerinduan melampau, emosi mereka yang tidak stabil akan terganggu sekali gus menyebabkannya gagal memberikan persembahan atau output terbaik.

Situasi ini bukan berlaku secara satu hala tetapi sebaliknya dua hala iaitu anak-anak, suami atau isteri yang ditinggalkan itu juga mengalami permasalahan sama. Sila betulkan sekiranya penulis tersilap.

Malah sekiranya dibiarkan, kebarangkalian berlakunya perkara yang tidak diingini juga agak tinggi, sesuatu yang tidak perlu dihuraikan kerana majoriti daripada kita maklum mengenainya.

Penulis ingin berkongsi sedikit masalah seorang rakan yang pada masa ini hampir putus asa setelah bertahun-tahun usahanya untuk berada lebih dekat dengan keluarganya sehingga kini masih lagi belum tertunai!.

Guru wanita di sebuah sekolah rendah di Sarawak ini mempunyai tujuh cahaya mata dan terpisah jauh daripada suaminya di Kota Bharu, Kelantan sejak enam tahun lalu. Anak-anaknya berusia antara 15 dan empat tahun, lima daripadanya tinggal bersama suami di Kelantan, manakala dua lagi tinggal bersamanya di Sarawak.

Guru tersebut, seorang guru JQAF mula ditempatkan di sini sejak Julai 2008, manakala suaminya bekerja di Kelantan. Sehingga bulan ini, beliau telah memohon pertukaran sebanyak 6 kali iaitu setiap tahun dan malangnya kesemuanya ditolak.

"Saya takut kerana berjauhan, hubungan saya, suami dan anak-anak menjadi renggang. Sebagai seorang ibu, saya cukup sedih bila tidak dapat mengasuh dan berkongsi masalah dengan anak-anak yang semakin meningkat remaja.

"Sebagai pendidik saya ingin mendidik anak bangsa dengan penuh semangat tetapi memandangkan masalah saya yang berlarutan, membuatkan saya sentiasa tertekan kerana terpaksa menguruskan dua anak seorang diri dan pada masa sama teringatkan nasib anak-anak lain yang berada jauh, tambahan lagi anak sulung akan menghadapi Penilaian Menengah Rendah tahun ini," katanya.

Keluhnya lagi kepada penulis, beliau dan suami seboleh-bolehnya ingin berulang-alik antara Sarawak dan Kelantan sekerap mungkin tetapi masalah kewangan menjadi penghalang kerana kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung terlalu tinggi.

Penulis beranggapan, kes guru ini mungkin hanya sekadar kes terpencil bagi pegawai-pegawai bertanggungjawab, tetapi percayalah bagi beliau dan keluarganya, kes ini adalah yang paling besar, paling utama dan amat ditagih oleh anak-anaknya.

Terpulanglah kepada mereka yang terbabit untuk melakukan sesuatu yang wajar atau sebaliknya, ini kerana guru ini akan tetap sekali lagi melakukan rutin sama, iaitu mengisi permohonan pertukaran yang hanya boleh dilakukan secara online sahaja itu.

Sementara anak-anaknya pula dalam masa beberapa kali setahun semasa berjumpa dengan ibunya akan mengulangi soalan sama, "bila ibu nak balik".

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Guru Tidak Harus Mudah Terpengaruh Paparan Media Sosial


KUALA BESUT : Guru digesa agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang paparan negatif mengenai kerajaan menerusi media sosial sehingga timbul sikap tidak mempercayai dan membenci pemerintah.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata guru sebagai profesion yang mulia dan dihormati, perlu mahir menilai sesuatu isu serta tidak membelakangi tanggungjawab mendidik anak bangsa.

Katanya banyak perkara negatif dipaparkan dalam media sosial yang tidak diketahui sumber sebenar dan ini perlu ditapis setiap guru yang merupakan golongan terpelajar.

"Kalau ingin menjadikan Malaysia sebuah negara maju dengan warganya yang hebat, guru seharusnya mengenepikan amalan mudah mempercayai fakta tidak sahih dalam sesetangah media sosial," katanya ketika berucap pada program Bicara Intelektual kepada warga pendidik di Institut Pendidikan Guru Malaysia Sultan Mizan di Bukit Keluang di sini Khamis.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghaffar Mahmud, Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussin Awang dan Pengarah IPG Sultan Mizan, Kamaruddin Hashim.

Beliau berharap para guru untuk terus berbakti menjadikan Malaysia sebuah negara hebat menjelang 2025 dan bergerak seiring dengan kerajaan bagi membangunkan modal insan yang hebat untuk negara.

Dalam perkembangan lain, Idris menyarankan agar digabungkan tenaga dalam kalangan pakar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi memastikan wujud pengaliran ilmu dan kemahiran secara terus yang boleh dimanfaatkan pelajar di peringkat sekolah.

Menurut beliau, melalui penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi, para akademik seperti profesor dan pensyarah boleh menyampaikan ilmu dan kepakaran mereka kepada pelajar sekolah dan maktab pada bila-bila masa.

"Kita tidak mahu lagi melihat pakar atau profesor berada dalam alam pekerjaan mereka di IPT sahaja, malah sekali-sekala mereka juga boleh turun padang untuk menyampaikan ilmu di sekolah," katanya.

Justeru, katanya langkah yang  dilaksanakan Universiti Sains Malaysia(USM) Kelantan mengadakan Program Brain Bee dengan SMK Kuala Besut yang bertujuan meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains dan Teknologi , boleh dicontohi. - BERNAMA