Khamis, 1 Ogos 2013

ISU PENDIDIKAN : Peluang lanjut pengajian martabatkan profesion keguruan


DEWASA ini terdapat banyak peluang dan ruang untuk guru-guru kita melanjutkan pelajaran bagi mendapatkan ijazah pertama, ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran. Peluang ini seharusnya digunakan oleh guru yang terbabit tanpa menoleh ke belakang lagi.

Hal yang demikian kerana terdapat banyak kemudahan dan insentif bagi guru terbabit untuk menggapai cita-cita tersebut.

Cara untuk membayar yuran kolej dan pengajian telah menjadi begitu mudah dan toleran mengikut tempoh yang ditetapkan.

Perundingan dan perbincangan untuk ke arah berkenaan menjadi teras pengajian ini berjalan lancar walaupun ada segelintir guru terbabit mengalami masalah kewangan, penjagaan anak, suami atau isteri yang berjauhan.

Menuntut ilmu hukumnya wajib. Guru-guru yang masih berkhidmat dan layak untuk menyambung pelajaran ini sebenarnya adalah kumpulan guru yang bertuah.

Mereka dapat menghabiskan tempoh pengajian dan dapat menikmati hasil peningkatan kelayakan mereka pada ketika mereka masih berkhidmat lagi.

Tentu mereka akan diangkat ke tahap yang lebih tinggi atau naik pangkat berpandukan kelayakan dan kebolehan mereka.

Lambat laun mereka akan memperoleh banyak lagi kemudahan hasil usaha penambahbaikan dasar-dasar kerajaan yang sentiasa mengangkat darjat para penjawat awam seperti guru.

Yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Apa sahaja yang ingin kita peroleh memerlukan usaha dan pengorbanan yang berterusan.

Bagi mereka yang sudah berkeluarga perkara ini amat dirasakan.

Meninggalkan anak, suami atau isteri mewujudkan sedikit ketidakselesaan kepada mereka dalam sepanjang tempoh kuliah itu berlangsung semenangnya menjadi kebiasaan.

Berkat kesabaran kedua-dua belah pihak, guru yang terbabit dapat menamatkan pengajian dan menggenggam segulung ijazah yang diidam-idamkan. Tahniah para guru dan rakan-rakan yang memperoleh kejayaan ini.

Memang benarlah kata-kata bijaksana hendak seribu daya dan tak nak seribu dalih.

Dengan niat yang telah ada hendak menyambung pelajaran, usaha keras para guru dan doa yang khusyuk lambat laun apa yang kalian perjuangkan akan berhasil.

Ini sunnatullah, hukum Tuhan. Bak kata pepatah Arab Man Jadda, Wajada - Sesiapa yang bersungguh-sungguh, dia berjaya.

Bagi sekelumit guru yang tidak berpeluang dan ruang untuk sama-sama merebut kemudahan dan keistimewaan tetapi berkeinginan, itu semenangnya terasa sedikit termengkelan.

Apa yang diharapkan kini ialah kalau-kalau mereka ini dapat diangkat ke tahap yang lebih tinggi daripada kedudukan sekarang sejajar dengan pengalaman yang ada.

Kalau diselidiki sesetengah daripada mereka ini mempunyai kebolehan dan kemahiran yang masih bersangkutan dengan dunia pendidikan.

Didapati ada guru yang menjadi penulis, mendapat tempat di akhbar dan majalah dan telah menghasilkan buku, novel, cerpen, puisi atau lain-lain genre penulisan dalam koleksi mereka.

Selain itu ada juga antara mereka yang mendapat kemenangan dalam pertandingan penulisan yang dianjurkan pada peringkat negeri dan kebangsaan. Rekod yang baik dan penampilan yang berkesan juga wajar diperhatikan.

Ada juga antara mereka yang memiliki kursus lanjutan dengan pengkhususan tertentu contohnya selama setahun di institut pendidikan,  wajar juga diambil kira untuk kenaikan pangkat.

Kalau tidak golongan ini akan hanya melihat seorang demi seorang  rakan mereka meniti anak tangga demi anak tangga. Bohong kalau dikatakan golongan ini tidak berhasrat untuk menggapai jawatan nombor satu di sekolah pada ketika ini.

Yang bersinar bukan semuanya bercahaya. Kelulusan penting tetapi pengalaman juga tidak wajar ditolak sama sekali.


ABDULLAH ABDUL RAHMAN

SK Serting 3 (Felda), Negeri Sembilan

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Usaha kumpul buku patut jadi tradisi masyarakat


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Baru-baru ini, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menerbitkan Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain dalam dua edisi, iaitu edisi khas dan edisi umum untuk pasaran terbuka. Edisi khas yang lebih eksklusif bernombor siri 1-100, bermeterai ‘Karya Baha Zain’ serta ditandatangani penyairnya, dijual RM250 senaskhah. Khabarnya semua 100 naskhah edisi khas itu sudah habis terjual.

Baha Zain atau Baharudin Zainal ialah Sasterawan Negara ke-12 dan puisi adalah genre kekuatannya sebagai penulis kreatif. Edisi khas Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain diterbitkan oleh ITBM sebagai tanda penghargaan kepada seorang Sasterawan Negara yang baru, melalui penerbitan yang eksklusif dan kreatif untuk dimiliki oleh pengumpul buku.

Kemasan Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain amat cantik, mengimbangi kualiti sajak-sajak di dalamnya. Beruntunglah 100 pembeli yang telah memiliki edisi khas ini, sementara yang tidak memilikinya hanya boleh berpuas hati membeli edisi pasaran umum tanpa nombor siri, tanpa meterai dan tanpa autograf penyairnya.

Akan tetapi kegiatan mengumpul buku bukan saja didorong oleh kemasannya yang cantik, malah yang lebih penting kerana kualiti kandungan serta nilai sejarahnya. Semakin lama, nilai buku koleksi akan meningkat. Tidak mustahil dalam tempoh satu dekad atau lima dekad yang akan datang, harga edisi khas Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain akan berlipat ganda dan dicari oleh pengumpul buku generasi baru.

Bernilai sejarah

Pengumpul buku sentiasa mencari buku yang bernilai sejarah, umpamanya penerbitan incunabulum iaitu buku amat nadir yang dicetak sebelum 1501, atau buku cetakan pertama, atau buku dalam bidang tertentu yang jumlah cetakannya kecil atau yang dapat memenuhi minat pengumpulnya. Minat pengumpul ini termasuklah bagi buku almagest iaitu buku zaman pertengahan mengenai astronomi dan kimia; bestiary iaitu buku cerita binatang dari zaman pertengahan, leksikon atau kamus dan sebagainya.

Usaha mengumpul buku tertentu belum menjadi tradisi di negara kita. Memang ada beberapa individu yang mempunyai koleksi buku yang menarik, tetapi pada umumnya masyarakat kita kurang cenderung kepada tradisi ini. Hal ini agak diburukkan lagi sekarang, apabila teknologi komunikasi digital berkembang dengan begitu pantas hingga makin mengubah gaya hidup cara seseorang mendapatkan maklumat dan ‘membaca’.

Suasananya agak berbeza di Barat. Era penjajahan kuasa Barat sejak abad ke-16 telah menyaksikan mereka turut mengumpulkan kitab dan buku dari negara yang dijajah. Banyak manuskrip dan buku nadir kita, kini tersimpan dengan baik di beberapa perpustakaan di negara Eropah seperti England, Belanda, Jerman dan Perancis.

Majalah enam dekad

Tradisi itu kemudian berkembang dalam masyarakat modennya. Tidaklah menghairankan kita jika terdapat majalah di England berjudul The Book Collector. Majalah ini mula diterbitkan pada 1952, diusahakan oleh editornya Ian Fleming, John Hayward dan PH Muir, diterbitkan oleh Queen Anne Press.

Kini majalah berusia enam dekad itu diteruskan penerbitannya oleh The Collectors Limited.

Kandungannya yang informatif mengenai buku nadir dan buku tertentu menjadi panduan kepada pengumpul buku, penjual buku dan pustakawan untuk memilih buku yang diperlukan.

Usaha ulung ITBM menerbitkan edisi khas Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain itu di dalam jargon pemasaran bahasa Inggerisnya disebut Manufactured Collectable atau Contemporary Collectable. Di bawah kategori ini, sesuatu barangan atau produk diterbitkan khusus untuk pembeli mengumpulkannya. Ia boleh dilabel sebagai edisi khas, edisi terhad serta variasinya seperti edisi mewah, dan edisi untuk pengumpul.

Penerbitan edisi khas salah satu strategi insentif pemasaran, lebih-lebih lagi dalam situasi persaingan sengit pasaran buku masa kini di antara buku popular dengan buku yang lebih serius.

Penerbitan buku tidak memberi apa-apa makna jika tidak dibeli, dibaca dan diterapkan pengetahuannya bagi pembangunan sesuatu tamadun. Dalam hal ini kita harus mencontohi zaman kegemilangan Islam yang digerakkan atas landasan ilmu pengetahuan, hingga Islam tersebar dengan meluas di muka bumi ini. Kemudian kuasa Barat belajar daripada tradisi Islam ini dan meneruskannya.


Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Peringatan tentang bahayanya mercun buatan sendiri


Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW

MERCUN sinonim dengan perayaan kerana dikatakan tidak meriah kalau tidak mendengar bunyi dentumannya. Mercun dipercayai berasal dari negara China yang mempunyai sumbu dan dibalut dengan kelongsong kertas yang sangat tebal untuk menampung letupan besar.

Mercun adalah budaya dan tradisi orang Cina yang percaya mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baharu untuk menghalau puaka dan nasib malang.

Di Malaysia, pembakaran mercun diharamkan seperti yang termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991. Pengharaman mercun di Malaysia adalah susulan kejadian tragedi letupan kilang mercun Bright Sparkles, Sungai Buloh pada tahun 1991 yang mengorbankan seramai 26 orang.

Sebelum bercakap tentang mercun buatan, saya menyentuh tentang penguatkuasaan terhadap mercun ini yang terlalu longgar dan mudah lolos dengan mudah. Kes dua beranak termasuk seorang lelaki menjadikan kawasan pekarangan masjid sebagai transit untuk mengedar mercun amat dikesalkan.

Di bazar-bazar Ramadan di celah-celah peniaga menjual juadah ada juga pihak yang menyelit mengambil  kesempatan menjual mercun. Terdapat kira-kira 75 jenis mercun di pasaran dan ada pula mercun baharu dengan pelbagai nama seperti mercun aiskrim, langsuir, osama dan bunga api sate.

Rata-rata berminat dengan mercun yang menyerupai bom tangan yang dikatakan diimport dari Thailand. Sepatutnya, kita takut dan mengelak untuk dekat dengan bom tangan yang membawa unsur peperangan. Kes mercun bom tangan dibaling ke dalam rumah hingga mencetuskan keadaan panik di Bayan Baru kerana yang diingatkan bom tangan tidak sepatutnya berlaku. Apabila kanak-kanak melihat mercun tersebut maka mereka akan berkeinginan untuk cuba membuat mercun buatan.

Semasa bulan Ramadan, kita banyak mendengar kes yang melibatkan kecederaan akibat mercun buatan. Peningkatan kadar kecederaan dalam kalangan kanak-kanak berlaku dalam kalangan kaum Melayu semasa menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Kes kecederaan akibat mercun  meningkat saban tahun bukan sahaja  akibat bermain mercun tetapi kanak-kanak beralih kepada mercun buatan sendiri seperti meriam buluh sebagai alternatif kepada mercun komersial.

Sedih kita mendengar apabila hendak raya, ada saja orang yang putus  jari, hancur tangan, melecur di bahagian badan dan ada yang buta mata disebabkan mercun. Malang tidak berbau, kadang-kadang mereka merasakan tidak mengapa jika mencuba kerana pada tanggapan mereka sesetengah mercun dirasakan tidak berbahaya.

Baru-baru ini beberapa kes melibatkan mercun dilaporkan. Kes hari pertama bulan Ramadan melibatkan sekumpulan remaja bermain mercun buatan sendiri mengundang padah apabila dua daripada mereka melecur di muka dan jari kanan selepas batang paip besi yang diisi belerang meletup sebaik-baik dicucuh api di Baling, Kedah.

Remaja kini, kononnya ingin berinovasi dengan ciptaan mercun buatan sendiri. Memang baik jika anak-anak kita mempunyai semangat hendak menjadi saintis tetapi mencipta sesuatu perlu  dilaksanakan dengan bijak dan sesuai dengan keadaannya. Semangat penyelidikan dan inovasi perlu kita sokong tetapi jika anak-anak yang berjiwa  saintis dan berinovasi tidak kena pada tempatnya, pening kepala kita dibuatnya. Menguji  mercun buatan  sendiri sesuka hati tanpa memikirkan akibatnya  akhirnya boleh mengundang musibah dan boleh membunuh diri sendiri.

Minggu lepas, satu lagi kes di Kota Bharu, Kelantan dilaporkan apabila  seorang murid Tahun Lima cedera di mata kanan dan melecur di sekitar mulutnya. Dia bermain bunga api yang menggunakan belerang daripada mercun jenis bola dan pasir yang dimasukkan ke dalam botol air mineral. Mengapa peristiwa sebegini sering berulang? Cukupkah peringatan kepada anak-anak kita?

Peranan ibu bapa sangat penting untuk memberikan peringatan tentang bahayanya mercun. Ibu bapa jangan memberi peluang langsung walaupun anak-anak merayu dan menangis sekalipun. Peliknya, segelintir ibu bapa pula yang lebih bersemangat bermain mercun seperti menggalakkan dan menimbulkan tanya tanya kepada anak-anak kenapa yang lebih dewasa boleh bermain. Orang dewasa juga patut menunjukkan contoh teladan dengan tidak bermain mercun. Guru-guru di sekolah perlu memberi pendedahan dan peringatan kepada pelajar-pelajar tentang akibat membuat mercun buatan sendiri dengan memberikan contoh-contoh kes. Ceramah-ceramah dan kursus-kursus perlu diadakan khususnya menjelang   musim perayaan.

Pihak Kementerian Pendidikan perlu memantau keadaan ini dengan serius dengan mengedarkan risalah-risalah tentang bahaya mercun dan bahana mercun buatan ke sekolah-sekolah. Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga menyiarkan iklan-iklan bahayanya mercun dan pencegahan mercun buatan sendiri di media khususnya radio dan televisyen. Papan-papan iklan peringatan juga boleh diletakkan di tepi jalan.

Peranan kita sebagai rakyat Malaysia boleh membantu menerusi  media sosial  dalam penulisan blog, facebook, twitter, mahupun instagram dengan memberikan nasihat berguna tentang bahayanya mercun buatan.

Ingat-mengingati adalah amalan mulia supaya kita sentiasa peka kerana kadang-kadang kita alpa dan lupa. Pendidikan tentang bahaya mercun ini perlu sentiasa dilakukan dalam memberikan peringatan berulang. Sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan anak-anak kita daripada tragedi mercun buatan yang berlaku setiap tahun. Jangan biarkan nasi menjadi bubur. Salam 1Hati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 25 Julai 2013

ISU AGAMA : Jangan terlepas bonus Allah


Oleh :  MOHD. RADZI MOHD. ZIN

MASA begitu pantas berlalu. Pejam celik, pejam celik hari ini sudah masuk hari ke-16 kita berpuasa menunaikan Rukun Islam ketiga.

Bagi orang mukmin, sudah pasti masing-masing sudah mempersiapkan diri melipat gandakan ibadat dalam bulan Ramadan yang berbaki 13 atau 14 hari lagi.

Sebabnya, dalam 10 malam terakhir Ramadan, Allah menjanjikan pemberian bonus yang amat lumayan kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa. Malam itu adalah lailatul qadar di mana ganjaran bagi yang beribadat pada malam tersebut adalah 1,000 bulan atau kira-kira 83 tahun tiga bulan.

Ganjaran itu sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Malam Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan. (al-Qadr: 3)

Sayangnya bukan semua orang Islam mampu istiqamah dan bertahan dalam melakukan ibadat kepada Allah termasuk sepanjang Ramadan.

Pengalaman membuktikan, bagaimana masjid dan surau-surau yang penuh sesak pada awal minggu pertama Ramadan kini semakin sepi dengan jemaah.

Ramai dalam kalangan kita dileka dan disibukkan dengan pelbagai aktiviti antaranya membeli-belah, membuat persiapan menyambut Aidilfitri dan lebih teruk lagi duduk menonton program kegemaran masing-masing di kaca televisyen.

Jika demikian, kita berada dalam kelompok orang yang amat malang kerana senario begitu sudah jauh menyimpang daripada tujuan dan matlamat puasa itu difardukan kepada umat Islam iaitu mencapai takwa.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Sayangnya, jaminan bonus 1,000 bulan itu tidak mengujakan sesetengah orang Islam. Walhal, dalam menyambut hari lebaran, sebahagian besar kita antaranya kakitangan awam tertunggu-tunggu pengumuman bonus oleh kerajaan.

Jika diumumkan bonus sama ada setengah bulan atau sebulan gaji, kita amat gembira. Namun agak pelik apabila majoriti umat Islam tidak langsung teruja atau tertarik dengan ganjaran bonus pahala 1,000 bulan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Untuk itu, kita perlu berazam memastikan diri kita, isteri dan anak-anak menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan. Sebenarnya bukanlah terlalu sukar untuk mendapatkan pahala lailatul qadar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang bangun (untuk beribadah) pada malam-malam Ramadan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan pahala daripada-Nya, akan diampunkan dosanya yang lalu. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Para ulama dalam membahaskan hadis tersebut menjelaskan untuk masuk dalam kategori bangun beribadat atau qiamullail pada Ramadan adalah memadai orang itu solat Isyak diikuti solat tarawih dan witir secara berjemaah.

Ini adalah satu lagi kelebihan yang Allah berikan kepada kita sepanjang Ramadan di mana kita tidak perlu tidur dahulu untuk berqiamullail sebagaimana pada bulan-bulan yang lain.

Jadi, bagi mereka yang membiasakan diri solat tarawih di masjid dan surau terutama pada 10 malam terakhir Ramadan, insya-Allah mereka akan beroleh pahala ganjaran beribadat 1,000 bulan jika bertepatan dengan lailatul qadar.

Cuma, kita disyorkan melipatgandakan ibadat pada 10 malam terakhir Ramadan kerana waktu bila sebenarnya lailatul qadar itu berlaku adalah rahsia Allah.

Untuk mendapatkan lebih banyak pahala, pada malam-malam tersebut juga kita dianjurkan bangun malam mendirikan solat sunat yang lain seperti tahajud, tasbih, taubat dan hajat sama ada di rumah, masjid atau surau. Selain itu, memperbanyakkan membaca al-Quran kerana Ramadan adalah bulan kitab suci itu diturunkan kepada manusia.

Jangan pula kita termasuk dalam golongan mereka yang hanya sibuk mencari tanda-tanda sudah berlaku atau belum lailatul qadar.

Alamat atau tanda secara langsung seperti yang dijelaskan oleh Ibn Uthaimin dalam Fatawawa Rasa'il Ibn Uthaimin antaranya:

1. Sinar cahaya sangat kuat pada malam al-qadar dibandingkan dengan malam-malam lain.

2. Bertambah kuatnya cahaya pada malam itu.

3. Ketenangan dan kelapangan hati yang dirasakan oleh orang-orang yang beriman lebih kuat daripada malam-malam yang lain.

4. Angin dalam keadaan tenang pada malam al-qadar. Tidak bertiup kencang dan tidak ada ribut petir. Ini berdasarkan hadis daripada sahabat Jabir bin Abdillah sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Aku melihat lailatul qadar kemudian dilupakannya. Lailatul qadar turun pada 10 akhir (bulan Ramadan) iaitu malam yang tenang, tidak dingin dan tidak panas serta tidak hujan. (riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)

5. Terkadang-kadang Allah memperlihatkan malam al-qadar kepada seseorang dalam mimpinya. Sebagaimana yang terjadi pada diri para sahabat Nabi SAW.

6. Kenikmatan beribadat dirasakan oleh seseorang pada malam itu lebih tinggi daripada malam-malam lainnya.

7. Tanda selepas terjadi lailatul qadar (iaitu pada pagi harinya) antaranya ialah matahari terbit dalam keadaan tidak tersebar sinarnya dan tidak menyilaukan berbeza dengan hari-hari biasa.

Ini berdasarkan hadis daripada sahabat Ubay bin Ka'ab yang mengatakan; Rasulullah mengkhabarkan kepada kami : Sesungguhnya matahari terbit pada hari itu dalam keadaan yang tidak tersebar sinarnya. (riwayat Muslim)

Bagaimanapun, tentang tanda-tanda tersebut, tidak semestinya mereka yang tidak nampak tanda-tanda malam al-qadar tidak mendapat malam tersebut.

Menurut Imam al-Munawi dalam Fayd al-Qadir: "Barangkali seorang yang bangun pada malam al-qadar itu tidak memperoleh daripada malam itu melainkan peluang beribadah dan tidak ada sebarang tanda yang dilihatnya.

"Dia lebih baik dan lebih mulia di sisi Allah daripada orang yang melihat tanda-tandanya sahaja (tetapi tidak beribadat pada malam itu)".

Sehubungan itu, marilah kita mengambil kesempatan memanfaatkan umur yang diberikan oleh Allah SWT untuk mencari malam al-qadar supaya kita tidak termasuk dalam golongan orang yang rugi semasa dihisab di hadapan Allah SWT kelak.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 24 Julai 2013

ISU KENEGARAAN : Menghormati sensitiviti kaum di Malaysia


Oleh :  DR. MOHD MAHZAN AWANG

MALAYSIA adalah sebuah negara yang sering dikaitkan dengan kebijaksanaan dalam pengurusan keharmonian antara kaum. Ini kerana lebih 50 tahun merdeka, tidak ada pergolakan kaum yang benar-benar serius.

Beberapa siri insiden yang melibatkan perkauman dapat diselesaikan dengan jayanya. Kebanyakan insiden perkauman di Malaysia berpunca daripada sensitiviti perkauman dan keagamaan. Ia adalah api kecil yang boleh marak dengan pantas sekiranya tidak dipadam dengan cara yang berhikmah.

Tambahan pula dengan keunikan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada tiga kaum majoriti dengan tiga agama utama. Unsur-unsur kebudayaan Melayu jelas dalam amalan Islam di Malaysia serta banyak pengaruh Islam terhadap kebudayaan Melayu. Begitu juga dengan amalan agama Buddha dan Hindu yang turut diwarnai oleh pengaruh kebudayaan Cina dan Hindu.

Penyerapan unsur budaya warisan dalam tradisi sesuatu kaum dalam amalan keagamaan menjadikan banyak fenomena hidup berlainan kaum memiliki elemen-elemen sensitiviti. Haiwan-haiwan seperti lembu, khinzir dan anjing adalah antara makhluk yang berpotensi menjadi isu sensitif jikalau ia dibincangkan dalam konteks yang tidak berhikmah. Keadaan sebeginilah yang menjadikan situasi budaya di Malaysia amat berbeza dengan negara-negara luar. Faktor-faktor sosio budaya ini jugalah mempengaruhi pemilihan lokasi kediaman, bentuk pendidikan, hala tuju kerjaya dan pelbagai lagi.

Banyak kajian empirikal berkaitan hubungan etnik di Malaysia mendapati bahawa masyarakat pelbagai kaum di Malaysia lebih selesa untuk berada dalam kelompok etnik masing-masing ekoran daripada persamaan sosio-budaya yang memudahkan urusan penjagaan sensitiviti kaum. Malah, ramai yang berasa lebih selesa memilih lokasi kediaman yang sama kerana persamaan bahasa, budaya, cara fikir serta agama.

Hari ini, kita dapat lihat banyak kawasan yang diberi jolokan seperti kawasan Melayu, Cina dan India namun itu bukan bererti tiada kaum lain dalam kawasan kediaman tersebut. Biarpun banyak usaha dilakukan kerajaan untuk mempertemukan masyarakat pelbagai etnik dalam satu agenda perpaduan seperti menerusi konsep Sekolah Wawasan, kuota perumahan bumiputera-bukan bumiputera, penyaluran geran penyelidikan kesepaduan sosial secara jangka panjang, Program Kesepaduan Sosial Negara (PADU), Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan dan bermacam-macam lagi, masyarakat pelbagai etnik masih cenderung untuk berada dalam kelompok etnik masing-masing.

Lebih 50 tahun merdeka, masyarakat pelbagai kaum masih memilih untuk berada dalam kelompok majoriti kaum masing-masing tetapi mengekalkan keharmonian dan perpaduan. Mungkin inilah cara masyarakat Malaysia untuk mengekalkan keharmonian. Setiap etnik dilihat yang lebih cenderung untuk bersama-sama kelompok etnik masing-masing dan pada masa yang sama menjaga sensitiviti kaum lain.

Maka, isu-isu sensitif dibicarakan dalam kelompok etnik masing-masing secara bersemuka, berhikmah, dalam skop dan konteks yang terkawal iaitu demi menjaga hati sahabat berlainan kaum.

Saya pasti isu-isu sensitiviti kaum sering dibincangkan tetapi dalam skop yang benar-benar terkawal kerana perbincangan umum isu sensitif boleh melukakan hati sahabat berlainan kaum. Namun, tanpa disedari kecanggihan teknologi telah membuka wadah baru dalam perbicaraan isu-isu sensitif.

Banyak isu sensitif telah menjadi bahan perbualan, perdebatan dan sindiran di laman-laman maya untuk aktiviti interaksi sosial. Media sosial seperti Facebook dan Twitter telah mengumpulkan rakan-rakan dalam satu forum terbuka. Jaringan sosial dalam media sedemikian tidak lagi terhad kepada sesuatu kaum di Malaysia malah telah menjadi wadah global yang teramat terbuka. Natijahnya, segala isu dibincangkan tanpa batasan dan berpotensi menjadi punca kepada ketidakharmonian antara kaum dan agama.

Hari ini, banyak perkara yang dahulunya taboo telah menjadi perkara biasa dalam perbincangan di media sosial. Perlu disedari bahawa media sosial adalah satu akses terbuka yang boleh tersebar dengan cepat. Sejarah membuktikan bahawa kegagalan mengurus sensitiviti kaum dan agama adalah penyumbang utama kepada ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat, malah berupaya mengundang risiko.

Justeru, dalam keadaan tahap pendidikan kebanyakan masyarakat di Malaysia makin tinggi, kesedaran tentang peri pentingya keharmonian untuk kelestarian keamanan negara amatlah penting. Saya pasti, dalam segenap proses pendidikan semenjak di bangku sekolah sehingga universiti, para pendidik amat menitikberatkan perbincangan isu sensitif secara berhikmah dan terkawal. Jangan kerana emosi, keharmonian tergadai.


PENULIS ialah Pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PATI : Lakukan Pembersihan PATI secara menyeluruh


Oleh :  Fauziah Arof

BUKAN susah pun untuk mencari tempat berkumpulnya warga asing di negara ini terutamanya di sekitar ibu kota Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Semua orang pun tahu, mereka sudah lama bertapak di kawasan-kawasan tertentu. Ada tempat berniaga sendiri, berjualan di pasar-pasar borong, kedai runcit termasuk berniaga di bazar-bazar Ramadan.

Mereka pun sudah ada kawasan perkampungan sendiri. Ada beberapa buah flat yang hampir keseluruhan dipenuhi oleh warga asing. Kawasan Chow Kit, Ampang, Selayang, Sunway dan Klang adalah antara lokasinya.

Entah bagaimanalah rasanya rakyat tempatan yang terpaksa berjiran dengan warga asing. Kiri kanan, depan, belakang rumah penuh disewa oleh warga asing. Bagaimanakah agaknya anak-anak mereka membesar dalam suasana yang begitu?

Dengan kejadian pecah rumah, ragut dan samun yang meningkat di kawasan-kawasan perumahan yang didiami oleh warga asing ini, kita pun terfikir, selamat dan selesakah rakyat kita yang tinggal di kawasan-kawasan sebegini?

Maka apabila Kementerian Dalam Negeri mengumumkan akan mengadakan operasi bersepadu memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas Hari Raya Aidilfitri ini, kawasan-kawasan inilah yang patut diserbu dulu.

Memang ramai warga asing yang berniaga dan tinggal di situ, cuba periksa sama ada mereka mempunyai pasport dan dokumen perjalanan yang sah dan periksa sama permit berniaga mereka.

Selepas itu, barulah cari di pusat-pusat hiburan, rumah urut, kawasan perladangan dan perkilangan. Membanteras kemasukan PATI di negara ini harus dilakukan secara menyeluruh.

Sebabnya, kita sudah ada terlalu ramai pekerja asing yang tinggal di negara ini. Yang berdaftar sudah mencecah 1.3 juta orang, itu belum dikira yang tidak berdaftar dan yang memasuki negara ini secara haram.

Kita pun sudah banyak membazir wang dan tenaga untuk menghantar PATI ini pulang semula ke negara masing-masing. Banyak lagi perkara yang lebih berfaedah dan bermanfaat untuk rakyat tempatan boleh dilakukan dengan wang yang digunakan untuk menghantar mereka pulang.

Jadi, sudah sampai masanya, (sepatutnya dari dulu lagi dilakukan secara berterusan) pembersihan sepenuhnya harus dilakukan. Kalau kita gemar menggunakan istilah pembersihan biarlah dilakukan dengan sebersih-bersihnya dan kalau pemutihan biarlah menjadi seputih-putihnya.

Dari dulu sampai sekarang masalah sosial yang dicetuskan oleh pekerja-pekerja asing ini adalah masalah sama. Mereka ini sesuka hati membuka penempatan mereka sendiri dan mewujudkan kawasan-kawasan setinggan yang turut ada bekalan elektrik dan air. Mereka turut menguasai kawasan perniagaan tertentu. Ini sehinggakan kita yang melalui kawasan itu terasa berada di Indonesia, Myanmar atau kawasan perumahan di Afrika.

Bagi rakyat tempatan yang sudah membeli rumah di kawasan yang penuh disewa dengan warga asing, mereka ini lagilah haru. Hendak menyewa di kawasan lain, kadar sewa rumah di Kuala Lumpur dan Lembah Klang ini paling rendah pun RM700 sebulan di flat-flat yang sempit. Jadi setiap malam terpaksa tidur-tidur ayam kerana bimbang rumah mereka dipecah masuk.

Bila sudah duduk beramai-ramai mereka suka bergaduh sesama mereka atau dengan rakyat tempatan sekeliling. Bukan itu saja, mereka ini juga gemar menganggu anak isteri orang. Sudah ada beberapa kes anak dan isteri orang tempatan dilarikan bukan dekat-dekat jaraknya, dilarikan terus ke kampung halaman mereka.

Dan usaha membawa mangsa yang dilarikan pulang semula bukannya mudah. Banyak rintangan dan prosedur perlu dilalui.

Itu belum diambil kira kes-kes jenayah yang besar-besar, seperti membunuh, merogol dan merompak menggunakan senjata api.

Kita juga mesti ingat setiap pekerja asing perlu menjalani saringan dengan dikenakan pemeriksaan kesihatan untuk bekerja di sini. Jadi kemasukan secara haram mereka ke negara ini mungkin membawa penyakit. Kemungkinan PATI itu menghidap penyakit tibi, AIDS, penyakit kelamin dan sebagainya. Mereka ini boleh menyebarkan penyakit-penyakit berkenaan.

Jadi sudah sewajarnya, isu kemasukan pendatang asing di negara ini diberi perhatian khusus dan kemasukan mereka ditapis. Dan majikan yang menggajikan PATI ini jangan dibiarkan terlepas. Kenakan tindakan undang-undang sedia ada.

Sekarang pun kita sudah melihat kebanjiran warga asing di negara ini terutamanya pada hari cuti umum dan perayaan. Mereka menguasai pusat-pusat membeli-belah dan kawasan rekreasi di ibu Negara. Kalau tidak disekat kemasukan mereka dari sekarang, setahun dua lagi entah macam mana pula meriah pemandangannya!


 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Bendung segera jenayah remaja


Oleh :  NIZAM YATIM

CUKUP mengejutkan! Itulah reaksi banyak pihak apabila membaca laporan akhbar baru-baru ini mengenai seorang remaja berusia 15 tahun yang ditahan polis kerana disyaki memiliki serta terlibat dalam kegiatan mengedar dan menyewa senjata api.

Dengan tertangkapnya suspek dan seorang lagi rakannya berusia 29 tahun dalam serbuan di Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan, polis yakin dapat menyelesaikan beberapa kes tembak yang berlaku di negeri itu dipercayai dengan menggunakan pistol yang disewa mereka dengan bayaran sekitar RM500 hingga RM1,000.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memberitahu, hasil pemeriksaan rapi di kawasan rumah dan sebuah setor berhampiran tempat serbuan, polis telah menemukan tiga pucuk pistol termasuk sepucuk pistol buatan sendiri, alat renjatan elektrik dan satu peket plastik berisi tiga biji pil dipercayai pil kuda.

Beliau berkata, remaja terbabit yang sudah tidak bersekolah dan rakannya seorang penganggur disahkan positif dadah.

Beberapa tahun lalu, turut berlaku kes seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang tergamak mengajak tiga rakannya untuk merompak rumah ibunya sendiri di Taman Tanjung Indah, Batu Pahat, Johor.

Remaja yang tidak bersekolah dan telah lari dari rumah sebelum ini bersama-sama rakannya telah memecah masuk kediaman mangsa yang berstatus ibu tunggal dan melarikan wang tunai RM5,000 dan sebuah komputer riba.

Kes berkenaan adalah sebahagian daripada kejadian jenayah melibatkan remaja yang masih berada di tahap membimbangkan dengan perangkaan pada 2010 menunjukkan golongan itu terlibat dengan 5,165 kes jenayah.

Jenayah-jenayah yang dilakukan juga cukup serius termasuk rogol, ragut, samun berkumpulan dan bersenjata serta jenayah kekerasan.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Shamsuri Arshad yang diminta mengulas kes terbaharu itu menyifatkan ia sebagai sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah berlaku ketika beliau menerajui pasukan itu.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia (YPM) berkata, jenayah yang dilakukan golongan remaja sebelum ini banyak melibatkan kes pergaduhan dan peras ugut sahaja.

“Kes mengedar dan menyewa senjata api, ini adalah kali pertama saya dengar dan satu tindakan serius perlu dibuat bagi memastikan kes seperti ini tidak terus berleluasa," ujarnya.

Beliau berkata, trend terbaharu tersebut harus menjadi peringatan kepada pihak polis dan agensi-agensi lain untuk meningkatkan pengawasan terutama di kawasan sempadan negara.

“Semua sudah sedia maklum bahawa penjenayah cenderung mendapatkan senjata api dengan cara menyeludupnya masuk dari negara jiran, Thailand.

“Pihak berkuasa tidak boleh bersikap leka dan membiarkan golongan remaja bebas melintasi sempadan negara kita dengan alasan mereka masih budak," katanya.

Beliau berkata, perkara lain yang cukup penting adalah didikan dan pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak mereka.

“Ibu bapa harus memerhatikan setiap gerak-geri anak-anak dan mesti sanggup meluangkan masa untuk mengetahui dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

“Mereka perlu mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak berkawan dengan golongan yang mempunyai akhlak baik," katanya.

Bagi Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye yang sudah banyak kali membangkitkan isu berkenaan, beliau bersetuju dengan pandangan Shamsuri bahawa kesibukan ibu bapa mencari rezeki sehingga tidak meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak adalah antara punca menyebabkan jenayah di kalangan remaja meningkat.

Beliau berkata, remaja mengalami masalah keruntuhan akhlak dan moral kerana ibu bapa yang sibuk bekerja tidak lagi memberi penekanan untuk menyemai nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka.

“Remaja atau kanak-kanak ini merujuk kepada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah dan jenayah melibatkan golongan ini memang semakin membimbangkan berdasarkan banyak aduan yang diterima oleh MCPF.

“Kes melibatkan remaja menyewa senjata api adalah jenayah yang dilaporkan kepada pihak polis sedangkan banyak lagi kes yang melibatkan juvana seperti mencuri dan bergaduh tidak dilaporkan.

“Baru-baru ini kita juga menerima aduan peningkatan kes remaja mencuri wang daripada ibu bapa semata-mata untuk berjudi melalui Internet di kafe siber," ujarnya.

Tegas beliau, jenayah melibatkan golongan remaja dijangka berterusan sekiranya tidak berlaku kebangkitan kesedaran di kalangan ibu bapa untuk berubah.

Dalam pada itu, beliau berkata, faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan jenayah remaja adalah berpunca daripada kegagalan pihak sekolah menguatkuasakan disiplin yang ketat di kalangan pelajar.

“Setiap kes yang melibatkan soal disiplin harus diberi perhatian berat oleh pihak sekolah dan pelajar terlibat perlulah diberikan kaunseling.

“Sekiranya kaedah kaunseling ini gagal membuatkan pelajar berubah, pihak sekolah tiada pilihan lain kecuali mengenakan hukuman rotan walaupun ramai ibu bapa sebelum ini menentang kaedah ini yang dianggap mereka sebagai zalim," katanya.

Menurutnya, tindakan memecat daripada sekolah harus dielakkan kerana ia tidak akan menginsafkan pelajar terbabit sebaliknya akan menyebabkan mereka lebih mudah terjerumus dengan jenayah lebih berat.

Tambah beliau, sikap masyarakat yang tidak mengambil berat dan tidak mahu menegur apabila melihat remaja melakukan perbuatan tidak betul juga menyumbang kepada peningkatan jenayah di kalangan golongan berkenaan.

Sementara itu, dalam membincangkan isu jenayah melibatkan golongan remaja, kita juga tidak boleh melupakan untuk mengkaji fenomena ‘kanak-kanak indigo’ yang mungkin agak asing di Malaysia tetapi sudah lama diperdebatkan di Barat sejak 1980-an.

Fenomena berkenaan yang turut dikaji kerajaan Singapura dan Indonesia mendapati ramai kanak-kanak yang dilahirkan sejak tiga dekad lalu mempunyai simptom psikologi kanak-kanak indigo.

Antara ciri-ciri kanak-kanak terbabit adalah suka menyendiri, mahu dilayan seperti orang dewasa, mudah memberontak dan akan bertindak ganas jika mendapati ibu bapa dan sistem pendidikan cuba mengongkong mereka.

Jika masalah psikologi ini tidak dibendung, kanak-kanak terbabit apabila mencapai usia remaja akan mudah terlibat dengan penyalahgunaan dadah, pembunuhan, jenayah kekerasan dan membunuh diri.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/