Selasa, 1 Jun 2010

Langkah terbaru diharap tambah kesedaran perokok

SEMPENA Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada tahun ini, Kementerian Kesihatan sekali lagi memberikan beberapa 'hadiah dan insentif tambahan' kepada perokok-perokok di Malaysia, sebagaimana yang dijangkakan. 'Hadiah' itu adalah sebahagian daripada 'ganjaran dua kali setahun' yang sentiasa diberikan oleh kerajaan, yang satu lagi adalah pada pembentangan belanjawan setiap tahun.

Perjuangan Kementerian Kesihatan membela komuniti bukan perokok yang terseksa menanggung kesan sampingan, yang jumlahnya jauh lebih besar akan diteruskan sehingga bilangan perokok dapat disifarkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan bahawa antara intervensi yang terawal akan dilaksanakan adalah menambahkan satu lagi zon larangan merokok yang kini mengandungi 20 lokasi.

Apa yang menarik ialah tambahan lokaliti sektor swasta yang mempunyai sistem penghawa dingin berpusat merupakan suatu tindakan yang menuntut kerjasama dan pengorbanan daripada pihak-pihak seperti majikan sesebuah institusi swasta.

Kita telah dimaklumkan bahawa kesan asap rokok kepada orang yang berada di sekitar tidak kurang hebatnya berbanding dengan kesan kepada perokok itu sendiri. Tambahan pula dalam keadaan tertutup dan peredaran udara yang terhad, ruang kerja atau pejabat yang tersedia sistem pendingin hawa berpusat ini akan menambahkan lagi risiko kepada rakan sepejabat.

Tahniah kepada kementerian yang memahami jiwa-jiwa rakan sepejabat yang selama ini tertekan akibat terpaksa hidup dan bekerja dalam keadaan bukan sahaja tidak selesa dari segi bau busuk tembakau tetapi juga tidak baik untuk kesihatan perokok.

Apa yang diperlukan adalah penguatkuasaannya harus diperkemaskan. Kita dapat melihat bukan sahaja dalam paparan media bahawa sikap perokok adakalanya sengaja ingin mencabar larangan-larangan ini.

Mereka tidak menghiraukan sama ada kawasan itu diwartakan atau tidak larangan merokok, asalkan tiada orang yang menangkap dan mengenakan denda, maka selama itulah asap rokok akan berkepul-kepul di kawasan tersebut.

Paparan di media yang pernah menunjukkan perokok begitu bergaya menggantungkan puntung rokok di mulut di hadapan papan tanda 'Dilarang Merokok' merupakan satu manifestasi betapa hitamnya pemikiran mereka untuk memahami nasihat yang begitu mudah, hatta yang mudah difahami oleh seorang kanak-kanak sekolah rendah.

Kajian demi kajian yang salah satunya terbaru diterbitkan dalam jurnal perubatan antarabangsa (Substance Use and Misuse keluaran Jun 2010) mengesahkan kaitan antara kebijakan emosi yang rendah dalam kalangan perokok berbanding bukan perokok.

Penukaran gambar amaran pada kotak rokok juga dilihat bertepatan kerana seperti yang dinyatakan oleh menteri, perokok sudah lali dengan paparan yang sama. Mungkin mereka juga akan lali dengan paparan-paparan amaran baru tetapi itulah hakikat yang harus kita terima apabila ketagihan telah menguasai pemikiran, yang buruk tak nampak teruk.

Namun, mesej tetap harus disampaikan bahawa komplikasi merokok bukan sahaja apa yang mereka selalu atau pernah lihat, bahkan masih banyak lagi perhiasan ngeri yang harus mereka bawa di dalam poket.

Walaupun terdapat kekangan untuk kerajaan melaksanakan pengharaman penjualan rokok kurang 14 batang kerana aspek rokok seludup haram yang angkanya berlegar sekitar 40 peratus juga perlu dipertimbangkan, namun insentif-insentif baru yang diumumkan oleh kementerian ini menunjukkan betapa usaha memberitahu masyarakat bahawa 'tolonglah jangan merokok' merupakan satu usaha berterusan yang tidak pernah dilupakan.

Kita harus menyokong tindakan-tindakan ini. Sesungguhnya apa yang dilakukan semuanya untuk kebaikan perokok juga serta mereka yang berada di sekitarnya.

Jika mereka melihat usaha-usaha ini sebagai suatu halangan, maka mereka telah tersilap besar. Bahkan mereka harus berterima kasih kepada kementerian yang membantu dan memaksa menyedarkan mereka yang hanyut dan kelam akibat diselubungi asap rokok.

Dr. Irfan Mohamad

Pusat Pengajian Sains Perubatan

Universiti Sains Malaysia, Kelantan

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Kesan buruk rokok dari hujung rambut ke hujung kaki

Oleh Abu Bakar Abdul Majeed

KIRA-KIRA 20 peratus daripada lebih satu bilion perokok di dunia sekarang ini adalah wanita. Namun begitu, wanita yang merokok semakin meningkat di beberapa negara.

Untuk menangani isu ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memilih ‘Gender dan tembakau dengan penekanan pemasaran kepada wanita’ sebagai tema hari tanpa tembakau sedunia tahun ini, yang disambut setiap 31 Mei.

Hari Tanpa Tembakau Sedunia diadakan setiap tahun bertujuan memberi kesedaran bahaya tabiat merokok secara berterusan. Mengawal penggunaan rokok di kalangan wanita adalah penting sebagai sebahagian strategi pengawalan tembaka
Industri tembakau menjadikan wanita sebagai sasaran utama. Pihak industri perlu mewujudkan perokok baru bagi menggantikan perokok tegar yang separuh daripadanya sudah meninggal dunia akibat rokok.

Wanita yang merokok bermula sejak remaja boleh meningkatkan risiko putus haid dua hingga tiga tahun lebih awal daripada sepatutnya. Masalah ketidaktentuan haid seperti pendarahan yang tidak normal, haid yang tidak teratur atau tiada haid adalah masalah yang sering dihadapi perokok wanita.

Haid yang tidak normal dan putus haid awal mungkin disebabkan oleh kesan toksik bahan kimia dalam asap rokok terhadap ovari, atau pengurangan hormon estrogen yang signifikan. Tambahan pula, wanita yang merokok sekotak rokok setiap hari akan menghadapi kehilangan ketumpatan tulang sebanyak lima hingga 10 peratus lebih berbanding yang tidak merokok.

Kajian mendapati perokok wanita mempunyai 80 peratus risiko untuk mendapat barah pangkal rahim. Kajian diterbitkan Persatuan Barah Amerika Syarikat pada 1994 menunjukkan risiko kematian di kalangan pesakit barah payudara meningkat kepada 75 peratus apabila merokok dua kotak atau lebih sehari.

Merokok adalah risiko yang dikaitkan dengan penyakit Sekatan Pulmonari Kronik (COPD), penambahan jumlah wanita yang merokok kebelakangan ini menyebabkan kadar penyakit ini meningkat.

Di beberapa negara, peningkatan kadar perokok di kalangan wanita amat membimbangkan. WHO sudah mengeluarkan laporan bertajuk ‘Women and health: today’s evidence, tomorrow’s agenda’ yang mempunyai bukti berkaitan peningkatan iklan rokok yang menjadikan wanita sebagai sasaran utama.

Data dari 151 negara menunjukkan hampir tujuh peratus gadis remaja merokok, berbanding 12 peratus remaja lelaki. Di sesetengah negara, bilangan remaja perempuan yang merokok hampir sama dengan remaja lelaki. Mempromosi dan melindungi kesihatan wanita adalah penting bukan saja untuk hari ini malah untuk generasi akan datang.

Lebih banyak bukti saintifik mengenai bagaimana merokok mendatangkan bahaya kepada kesihatan ditemui pada 1980-an. Sejak itu kerajaan Malaysia menggiatkan kempen anti-merokok. Namun demikian, secara umumnya kempen hanya didapati berkesan terhadap golongan berpelajaran dan berpendapatan tinggi.

Merokok adalah satu polemik yang paling kerap diperkatakan. Setiap isu yang diketengahkan oleh kumpulan anti-merokok akan ditentang sama ada secara tersurat atau tersirat oleh kumpulan yang menggalakkan merokok,
terutama sekali industri tembakau. Maka dengan itu, usaha untuk mengubah tabiat merokok menjadi amat sukar.

Bukti saintifik semakin jelas menunjukkan bahawa rokok menyebabkan kematian, penyakit dan hilang upaya. Wujud asas kukuh menyatakan rokok menjadi penyebab utama kepada kematian yang boleh dielakkan. Setiap tahun, kira-kira lima juta orang mati disebabkan rokok. Kebanyakan kematian berlaku di negara yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Mengimbas kesan buruk merokok, ia merangkumi segala sistem yang ada di dalam tubuh manusia dan boleh dikatakan bahawa kesan buruk rokok berlaku dari hujung rambut sehingga hujung kuku. Masalah serangan angin ahmar atau strok boleh berlaku dalam sistem saraf pusat iaitu di bahagian otak.

Serangan ini boleh membawa padah kepada perokok, jika saluran darah yang pecah terletak di bahagian utama otak yang mengawal pergerakan, pertuturan, memori dan sebagainya. Hilanglah keupayaan menjaga diri sendiri ketika itu, dan seseorang mungkin terpaksa bergantung kepada penjagaan orang lain sepanjang hayat.

Serangan jantung juga boleh berlaku disebabkan penyempitan saluran darah koronari di jantung. Serangan jantung yang serius boleh saja membawa maut dalam masa beberapa ketika. Kalau pun ditakdirkan hidup, tempoh pemulihan mungkin mengambil masa yang sangat panjang dan kualiti kehidupan tidak lagi sama baik seperti sebelumnya.

Merokok menyumbang kepada lebih 25 jenis barah. Antaranya barah mulut, paru-paru, tekak, esofagus, perut, pundi kencing, pankreas dan ginjal. Sembilan puluh peratus daripada kes kanser jenis ini adalah disebabkan oleh tabiat merokok. Merokok juga menyebabkan ulser atau radang perut, masalah penghazaman makanan dan gangguan selera makan.

Bagi lelaki, tahap kesuburan perokok didapati lebih rendah daripada biasa. Perokok akan mengalami masalah kekurangan bilangan sperma, di samping masalah sperma tidak sihat dan tidak normal. Perokok juga lebih terdedah kepada masalah mati pucuk kerana tindakan bahan kimia dalam rokok menyebabkan saluran darah di alat kelamin mengalami penguncupan, justeru darah tidak dapat mengalir ke situ.

Seperti perokok lelaki, perokok wanita turut terdedah dengan risiko barah, termasuk barah paru-paru, mulut, tekak, kerongkong, buah pinggang, pankreas dan pundi kencing. Jika tabiat merokok diteruskan ketika hamil, maka janin dalam kandungan mengalami masalah pertumbuhan dada, kepala dan saiz keseluruhan tubuh yang lebih kecil daripada biasa.

Bayi juga apabila dilahirkan akan menghadapi lebih tinggi risiko terdedah kepada jangkitan paru-paru, pengurangan keupayaan fungsi jantung, dan sindrom kematian bayi secara tiba-tiba atau sudden infant death syndrome (SIDS).

Mengikut fakta, tahap kesuburan perokok wanita adalah lebih rendah iaitu sebanyak 72 peratus jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok. Hakikatnya, perokok muda terutama di kalangan golongan hawa semakin meningkat.

Melalui iklan dan promosi yang tidak beretika, ramai wanita beranggapan merokok boleh mengurangkan berat badan. Walhal ia hanya untuk mengelirukan generasi muda untuk merokok.

Penulis ialah Penolong Naib Canselor (Penyelidikan) Institut Pengurusan Penyelidikan (RMI) UiTM, Shah Alam

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 29 Mei 2010

Berhenti merokok sebelum terlambat

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

MOHD YUSUF, 59 mula merokok sejak berumur 14 tahun. Dua tahun lalu, enam hari terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya ternyata mengubah kehidupannya. Akibat penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) kerana tabiat merokok, Mohd Yusuf menjalani kehidupan yang sukar.

Sejak remaja, purata rokok yang dihisap sehari ialah 15 batang. Ketika hanya keseronokan yang dirasainya. Sepanjang itu, pernah juga dia merasa sakit dada dan batuk tetapi Mohd Yusuf menganggapnya sakit biasa. Tak pernah kenal apa itu COPD, Mohd Yusuf seronok merokok. 19 hari berada di wad hospital tanpa rokok memberi galakan kepada dirinya untuk berhenti merokok. Walaupun sebelum ini harga rokok pernah ditingkatkan dan larangan anti merokok diperluaskan, Mohd Yusuf tidak pernah mahu berhenti merokok. Malah, hidupnya dirasakan tidak sempurna tanpa rokok. Itu kisah sepanjang 40 tahun dia merokok. Namun, ketika disahkan COPD, dia mula sedar tatkala mengenangkan nasib isteri dan sembilan orang anaknya. Nasihatnya kepada perokok lain, kesedaran datang dari dalam diri sendiri jika hendak berhenti merokok. Kepada remaja sama ada lelaki atau wanita, sebaiknya jangan cuba merokok. Apabila sudah gian, sukar untuk menghentikan tabiat ini.


Ini adalah kisah bekas perokok yang mula merokok sejak remaja lagi. Senario ini ternyata membimbangkan masyarakat kita. Lebih-lebih lagi remaja wanita yang merokok telah menunjukkan peningkatan. Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Zarihah Mohd Zain, walaupun data terkini menunjukkan perokok lelaki menurun tetapi perokok wanita meningkat. Ia juga berlaku di kalangan perokok bawah umur.

Data menunjukkan peningkatan perokok wanita bawah umur pada tahun 2003 ialah 4.2 peratus dan ia telah meningkat pada tahun lalu. Sebaliknya, jumlah perokok lelaki bawah umur sebanyak 36.3 peratus telah menurun pada tahun lepas.


Laporan baru-baru ini menunjukkan terdapat tiga juta perokok di Malaysia dengan 0.2 juta daripadanya di bawah umur
.


Daripada data itu, peningkatan jumlah perokok bawah umur sejak beberapa tahun kebelakangan ini sangat membimbangkan.
"Tabiat merokok juga sudah menyerang anak gadis di negara ini kerana mereka sangat mudah untuk melihat golongan wanita merokok di kawasan awam. Tidak terkecuali golongan wanita di lapangan profesional," ujarnya. Di Malaysia, jumlah perokok wanita juga semakin ketara.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mencatatkan 2.5 peratus wanita pernah merokok, 1.6 peratus masih merokok dan 0.9 peratus berjaya berhenti merokok. Di kalangan lelaki, 57.6 peratus pernah merokok, 46.4 peratus masih merokok, manakala 11 peratus berjaya berhenti merokok.
Sejak 1998, semakin banyak negara bertegas dalam menangani perokok. Banyak negara sudah mensyaratkan semua rokok di pasaran mesti dibungkus dengan grafik komplikasi merokok, misalnya barah paru-paru dan keguguran janin.

Di Malaysia, sejak 1 Jun 2009, semua kotak rokok di pasaran mesti mempunyai 40 peratus amaran bergambar di bahagian hadapan dan 60 peratus di belakang kotak.
Hasilnya menurut Dr Zarihah, daripada kajian yang dibuat, kebanyakan perokok berasa terancam dari segi psikologi dengan kotak rokok beramaran. Daripada enam amaran bergambar (barah paru-paru, keguguran janin, kelahiran pramatang, barah mulut, barah tengkuk dan gangrene) perokok lebih memilih rokok dengan gambar beramaran 'cap kaki' (gangrene).

Namun, ia masih kurang mendapat sambutan.
Lebih-lebih lagi perokok di bawah umur khususnya pelajar kini mendapat wang poket yang mewah. Selain itu, pelbagai perisa rokok turut menggalakkan orang ramai membeli rokok. Tanpa disedari ia sebenarnya menjadi tarikan perokok wanita. Beliau berkata wanita di seluruh dunia menjadi ketagih kepada rokok kerana kebanyakan mereka mudah percaya dengan dakwaan iklan-iklan itu yang mendakwa kononnya amalan merokok boleh mengurangkan berat badan dengan mudah.

"Ada sesetengah iklan mendakwa dengan merokok wanita boleh mengurangkan berat badan dengan mudah, dan sesetengah kaum wanita pula tertarik dengan pembalut rokok itu sendiri. Situasi ini lebih mudah berlaku di kalangan remaja," katanya.

Gejala merokok perlu ditangani bukan saja di kalangan pelajar wanita, malah merangkumi semua peringkat umur. Dalam membanteras tabiat merokok ini, pendidikan perlu diberi perhatian serius ketika di rumah dan sekolah. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memantau setiap pergerakan dan aktiviti anak mereka supaya tidak terjebak di dalam aktiviti yang tidak sihat ini.


"Usaha ini tidak akan berjaya jika tiada sokongan padu daripada semua pihak dalam melahirkan pelajar yang bersahsiah tinggi dan cemerlang pada masa akan datang. Ibu bapa misalnya, perlu kenal rakan-rakan anak-anak mereka." katanya.

Mengapa remaja merokok?

1) Diri sendiri.

Rokok dikatakan identiti bagi seorang pelajar yang ingin dikenali sebagi seorang yang macho dan bergaya. Apakah ia benar? Sebenarnya remaja merupakan masa krisis identiti berlaku. Pada ketika ini mereka tercari-cari gaya yang sesuai dengan diri. bagi pelajar lelaki, rokok seperti satu kemestian.

Manakala wanita juga sudah mengikut trend ini. Lebih-lebih lagi ramai golongan wanita bekerja yang mula terlibat dengan aktiviti merokok. Ibarat prestij diri, remaja wanita gemar melihat gaya mereka. Mereka juga percaya rokok boleh mengurangkan berat badan seperti seorang model.


Remaja juga percaya rokok dapat menghilangkan tekanan. Sebenarnya tidak, ia sebenarnya menambah gian pelajar untuk mencubanya lagi.
Golongan ini juga tidak perlu risau kerana poket sentiasa berisi duit. Hasilnya, mereka mudah mendapatkan rokok kerana ia dijual di mana-mana sahaja tanpa mengira amaran KKM yang melarang rokok dijual kepada golongan bawah umur.

2) Pengaruh rakan-rakan sebaya.

Faktor ini dikatakan yang paling banyak mempengaruhi remaja. Tanpa mengabaikan kesan rokok apabila meningkat dewasa, mereka seronok merokok bersama rakan-rakan. Ada juga yang didesak atau dicabar. Jika tidak melakukannya, mereka berasa malu kerana dikutuk.


3) Faktor keluarga.


Keluarga yang mempunyai masalah seperti kemiskinan atau penceraian sering menjadi faktor remaja merokok. Remaja percaya tabiat ini boleh melegakan mereka. Ada yang lebih berani, cuba mengambil dadah. Seperti dadah, mereka juga akan ketagih rokok. Bagi yang tidak berduit, remaja mula terlibat dengan gejala tidak sihat seperti lumba haram, mencuri atau meragut.


4) Persekitaran.


Iklan dan penjualan rokok secara berleluasa turut mempengaruhi situasi ini. Seharusnya, semua premis perniagaan mematuhi undang-undang agar tidak menjual rokok kepada mereka yang di bawah umur.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 28 Mei 2010

Isu Subsidi : Saranan Kepada Kerajaan Bagi Mengelakkan Pembaziran (Cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang )

S.M.Mohamed Idris

i. Mengambil tindakan tegas yang berterusan (di mahkamah atau sebaliknya) terhadap mereka yang telah menyebabkan kerugian wang pembayar cukai dengan cara yang tidak munasabah;

ii. Meningkatkan kecekapan dan mengurangkan ketidakcekapan serta mengurangkan kakitangan yang berlebihan di setiap jabatan;

iii. Memperbaiki kekurangan dan kelemahan dalam sistem pembelian / perolehan supaya orang ramai mendapat nilai bagi wang mereka.

iv. Menghentikan semua perolehan kerajaan yang tidak perlu, contohnya untuk menjalankan kerja ubahsuai yang bersifat kosmetik;

v. Menghentikan peruntukan kepada Ahli Parlimen. Peruntukan ini tidak perlu sama sekali memandangkan kebanyakan projek boleh dijalankan oleh agensi Persekutuan dan negeri yang berkaitan. Peruntukan ini juga turut tertakluk kepada penyelewengan. Peranan Ahli Parlimen seharusnya untuk meneliti dan mengawasi semua projek dijalankan dengan sempurna.

vi. Semua jabatan perlu diberikan sasaran untuk mengurangkan perbelanjaan tahunan mereka. Ketua jabatan yang gagal untuk memenuhi sasaran perlu dipanggil untuk menjelaskan kegagalan mereka untuk berbuat demikian.

S.M. Mohamed Idris (Presiden CAP)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/


Cari pendekatan terbaik laksana pemberian subsidi

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL rencana@utusan.com.my

ADALAH sesuatu yang menakutkan untuk membayangkan kerajaan boleh bankrap dalam masa sembilan tahun lagi jika dasar pemberian subsidi ketika ini diteruskan. Inilah yang dibayangkan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi (MRS) yang mana hutang negara dijangka meningkat 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2019 ekoran pelaksanaan dasar itu. Keadaan itu mengambil kira jumlah pembiayaan subsidi yang ditanggung kerajaan mencecah lebih RM70 bilion setahun.

Sehubungan itu, MRS mencadangkan kerajaan memansuhkan pemberian subsidi bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi negara untuk terus berdaya saing. Dari satu sudut, apa yang dicadangkan oleh MRS adalah wajar sekiranya negara mahu mengelak daripada terjerumus ke dalam krisis ekonomi yang lebih memburuk.

Namun, dari sudut yang lain pula, pemansuhan subsidi waima berperingkat dalam tempoh sembilan tahun akan datang bukanlah satu tindakan yang praktikal. Ini kerana perlu diakui, masih terdapat golongan berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan kerajaan. Sementelah penarikan semula subsidi juga tidak selari dengan konsep Rakyat Didahulukan yang menjadi salah satu komponen daripada gagasan 1Malaysia.

Subsidi boleh dimansuhkan jika rakyat mampu membeli barangan keperluan asas pada harga sebenar. Malangnya, sebahagian besar daripada rakyat masih tergolong dalam kelompok berpendapatan sederhana dan miskin.

Golongan ini memerlukan bantuan kerajaan dalam bentuk subsidi untuk meneruskan kehidupan di sebalik kos sara hidup yang tinggi, lebih-lebih lagi di bandar besar. Melainkan kerajaan bersedia menyemak semula pendapatan semua sektor pekerjaan di negara ini kepada nilai yang munasabah, masyarakat boleh berkompromi sekiranya subsidi mahu ditarik semula.

Apa yang dapat diperhatikan daripada isu ini adalah pemberian subsidi tidak diuruskan menerusi satu mekanisme yang tersusun.

Subsidi yang turut dinikmati oleh golongan kaya masih lagi menjadi cabaran kepada pelaksanaan dasar ini sehingga hari ini. Beberapa langkah yang diambil seperti program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur) dan pembelian petrol menggunakan kad pengenalan yang dilaksanakan nampaknya tidak menunjukkan hasil memberangsangkan.

Antara yang sering ditekankan ialah mengenal pasti kumpulan sasaran yang layak menikmati subsidi menerusi pengelasan penduduk kepada tiga kategori iaitu miskin, sederhana dan tinggi. Pengelasan itu perlu mengambi kira beberapa perkara seperti jumlah tanggungan, pendapatan dan kos sara hidup setiap isi rumah.

Maklumat-maklumat itu pula perlu setara dengan lokasi tempat tinggal sama ada di luar, pinggir atau di tengah-tengah bandar besar. Perincian juga perlu dijalankan dengan teliti kerana tidak semua yang tinggal di bandar adalah golongan berpendapatan tinggi dan begitu jugalah sebaliknya penduduk di luar bandar. Maklumat mengenai isu rumah rakyat ini boleh dikumpul menerusi program bancian penduduk yang dijalankan saban tahun oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Menerusi satu pangkalan data khusus mengenai penduduk pula, kerajaan dapat mengenal pasti golongan mana yang layak mendapat subsidi dan sebaliknya.

Dari situ juga, kerajaan dapat merangka satu sistem pemberian subsidi secara terus kepada rakyat yang layak dan tidak lagi menerusi pemberian secara langsung seperti ketika ini. Masalahnya negara ketika ini tidak mempunyai pangkalan data yang lengkap mengenai latar belakang isi rumah. Sebab itulah, program Subur iaitu salah satu subsidi secara langsung kepada penduduk miskin yang sepatutnya dilaksanakan awal tahun ini terpaksa ditangguhkan.

Alasan campur tangan politik bagi menentukan penduduk yang layak menerima subsidi itu menyebabkan ia tertangguh tidak akan berlaku sekiranya kerajaan mempunyai pangkalan data yang lengkap bagi setiap isi rumah. Sistem pemberian kupon itu jika berjalan lancar dan telus boleh menjadi sistem yang sangat berkesan serta cekap.

Misalnya, di Amerika Syarikat (AS), sistem yang hampir serupa dikenali sebagai 'food stamp' sudah memberi manfaat kepada golongan miskin sejak lebih 30 tahun yang lalu. Agak menghairankan kenapa maklumat sebegitu tidak dimuatkan di dalam kad pengenalan bercip MyKad yang dikatakan paling canggih di dunia. Jika aplikasi MyKad itu benar-benar diperluas, kerajaan seharusnya tidak mempunyai masalah untuk mengenalpasti pendapatan isi rumah.

Ia juga boleh menjadi penyelesaian dalam pemberian subsidi petrol kepada golongan sasaran. Kaedah penggunaan MyKad di stesen minyak sebelum ini pernah dicadangkan, namun masih belum dilaksanakan sepenuhnya sehingga hari ini.

Kaedah ini serta pendekatan lain yang dilihat sesuai wajar diperhalusi sebelum kerajaan mengambil keputusan memansuhkan subsidi waima secara berperingkat.

Penarikan semula subsidi dalam keadaan ekonomi rakyat yang tidak menentu ketika ini dibimbangi akan mencetuskan masalah sosial yang lain.

Kerajaan masih mempunyai kira-kira sembilan tahun lagi menjelang 2019 seperti yang dibimbangkan oleh MRS. Tempoh ini sangat kritikal kepada kerajaan untuk menilai semula mekanisme subsidi sama ada diteruskan atau sebaliknya.

Tetapi dalam tempoh itu juga, kerajaan masih mempunyai masa dan peluang untuk memperkemas pemberian subsidi supaya menguntungkan rakyat sekali gus mengurangkan risiko kerugian kepada pendapatan negara. Adalah satu kerugian kepada rakyat dan kerajaan sekiranya subsidi dimansuhkan sepenuhnya sedangkan kerajaan sebenarnya mempunyai pilihan untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 27 Mei 2010

Rasionalisasi subsidi mampu bina masyarakat berdikari

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala, membentangkan peranan subsidi sempena Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi, di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Aizuddin Saad

SAMA ada negara ini akan bebas sepenuhnya daripada penggantungan subsidi bergantung kepada kerelaan hati rakyat untuk memahami senario persaingan dunia hari ini demi generasi masa depan. Betul, tidak ada orang yang begitu mudah melepaskan apa yang sekian lama dinikmati walaupun menyedari hakikat, mereka tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada subsidi. Langkah untuk mengurangkan subsidi di negara ini bukanlah perkara baru. Walaupun pada suatu ketika rakyat agak ‘malu’ apabila dikaitkan dengan mentaliti subsidi, jika ada ura-ura untuk memansuhkannya, ia sering terhalang. Mungkin ketika itu, kaedah menyampaikan maklumat kurang jelas dan rakyat tidak dapat menerima rasional perlunya subsidi dikurang atau dimansuhkan.

Hari ini pembiayaan subsidi yang begitu besar menyebabkan kerajaan terpaksa meminjam. Dengan pembayaran subsidi berterusan, kerajaan terpaksa menanggung hutang berpanjangan. Tahun lalu kerajaan berhutang untuk menanggung subsidi yang RM74 bilion. Mungkin masanya sudah tiba untuk kerajaan melihat semula bayaran subsidi ini khasnya berhubung subsidi sosial, makanan, tenaga dan infrastruktur termasuk tol. Kita yakin, pengurang atau pemansuhan subsidi akan melegakan akaun negara.


Subsidi ternyata menyumbang kepada beberapa kesan negatif. Sebagai contoh, subsidi tenaga (petrol, gas cecair asli, LPG dan elektrik) mencatatkan jumlah RM23.5 bilion tahun lalu. Subsidi itu menyebabkan harga petrol lebih murah berbanding negara jiran. Akibat, bahan api itu diseludup ke negara jiran. Ini bermakna, Malaysia turut membiayai subsidi petrol rakyat negara jiran. Ini turut meningkatkan kos penguatkuasaan bagi melengkapkan keperluan logistik, membiayai kemudahan, penyelenggaraan serta pemantauan.

Gula dan minyak masak juga dijual dengan harga subsidi. Akibatnya, pengguna mengambil gula secara maksimum dan kerap membazir. Gula berlebihan menyebabkan ramai rakyat Malaysia mengalami obesiti dan kencing manis yang turut menghasilkan pakej penyakit darah tinggi, jantung atau buah pinggang. Akibatnya, kos kerajaan membiayai subsidi perubatan meningkat. Gula juga diseludup ke negara jiran. Ini mencetuskan rentetan akibat yang saling berangkai dan rencam. Mengikut semangat asal, subsidi bermakna membantu pihak yang memerlukan. Tetapi, kini semakin jelas, subsidi kerajaan lebih banyak meliputi pihak yang berkemampuan atau dinikmati mereka yang tidak berhak.

Sewajarnyalah kerajaan menggariskan kerangka kerja merasionalisasikan subsidi untuk bergerak ke depan secara lebih ekonomik dalam perubahan sosiopolitik sekarang. Langkah itu juga akan mengelakkan pembaziran dan penyalahgunaan yang merugikan berbilion ringgit setahun.


Umumnya, subsidi menyebabkan peningkatan defisit bajet dan hutang sekali gus mengancam keupayaan kerajaan melaksanakan pembangunan negara. Semua unsur negatif ini tidak sewajarnya dibiar berterusan. Menyusun semula keutamaan dalam soal pembiayaan subsidi akan membolehkan kerajaan lebih fokus membela golongan kurang berkemampuan seterusnya membina masyarakat yang mampu berdikari. Merasionalisasikan subsidi juga bermakna melebarkan komitmen kerajaan meningkatkan taraf sosioekonomi setiap rakyat.


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tukar kerja atau tukar sikap dalam kerjaya

Sedarkah kita kejayaan bidang kerjaya adalah bermula daripada sikap kita terhadap kerja yang dilakukan. Menurut kajian dari salah sebuah universiti terkemuka, 90 peratus kecemerlangan seseorang itu bermula daripada sikap, manakala 10 peratus lagi adalah daripada kemahiran dan maklumat yang diperolehinya.

Maka perubahan sikap terhadap kerjalah yang membawa kepada nilai-nilai yang baik antaranya sikap budi pekerti yang tinggi, perhubungan yang baik terutama sesama rakan sepejabat, majikan dan seterusnya dapat menghasilkan daya usaha yang memuaskan, bertanggungjawab, rajin, inovatif dan juga berdisiplin.

Begitu juga dengan sikap pekerja yang dipilih untuk bekerja dalam organisasi tertentu perlu serasi dan sesuai dengan nilai, budaya dan fahaman yang dikongsi bersama oleh setiap individu dalam organisasi berkenaan.

Misalnya organisasi Islam akan memberi keutamaan kepada pekerja yang terdiri daripada orang Islam kerana hanya pekerja Muslim yang faham akan budaya dan persekitaran dalaman sesebuah organisasi Islam. Apabila timbulnya kefahaman dan keserasian ini, maka pekerja itu akan berasa seronok dan cintakan kerjayanya dengan sepenuh hati. Seterusnya, meletakkan dirinya sebagai seorang pekerja yang bertanggungjawab, amanah, bersemangat di tempat kerja, komited dan dapat melaksanakan tugas dengan tekun dan bersungguh-sungguh (itqan).

Bayangkan bagaimana keadaan diri pekerja sekiranya tidak seronok dengan kerjaya yang dilakukan seharian di tempat kerja? Sedangkan itulah tempat bagi mereka mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga.

Apabila perkara ini berlaku maka sebenarnya mereka telah mengheret satu pertiga daripada masa kehidupan seharian ke tempat kerja dengan sikap malas, rasa bosan, tidak seronok dan asyik bersungut sepanjang masa sehinggalah tibanya waktu untuk pulang.

Apabila jam menunjukkan pukul 5 petang barulah pekerja itu berasa bersemangat semula, boleh tersenyum dan ceria untuk pulang ke rumah. Begitulah halnya jika pekerja yang tidak berminat dengan apa yang dilakukan terhadap tugas tetapi terpaksa dilakukan demi menyara kehidupan diri dan keluarga.

Keadaan ini seterusnya sudah tentu memberi implikasi kepada majikan di setiap organisasi. Pekerja yang tidak berminat dengan kerjayanya akan menyatakan pelbagai alasan kepada majikannya apabila kerja tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan, kerja yang dihasilkan tidak berkualiti, produktiviti menurun dan tidak memuaskan.

Malah bagi mereka yang tidak seronok di tempat kerja kita boleh melihat dan mengenali riak wajahnya, pergerakannya, percakapannya yang bersikap negatif terhadap tugas. Pelbagai alasan turut diberikan jika datang lewat ke pejabat, ponteng kerja, kerja tidak siap dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, apabila pekerja ini berurusan dengan pelanggan pula, sikap negatif mereka turut sama terbawa-bawa. Tidak berkomunikasi dengan baik, gagal mengawal perasaan, sikap yang suka marah-marah, muka yang masam mencuka, kerja yang lembap turut dikaitkan dengan pekerja sebegini.

Mereka bukan sahaja tidak seronok apabila berurusan dengan para pelanggan malah turut dilabel sebagai pekerja yang tidak mesra pelanggan. Jadi jika kita mahukan perubahan, produktivi tinggi dan kejayaan organisasi, maka mereka ini perlulah disuntik semangat sukakan kerjaya di samping mempunyai niat dan matlamat menaikkan nama organisasi.

Justeru, apakah cara terbaik untuk memupuk sikap terhadap kerja supaya timbulnya minat bekerja dalam organisasi? Mungkin mudah masyarakat beranggapan bahawa jika tidak lagi berminat dengan kerjaya yang diceburi, maka mereka boleh berhenti kerja atau tukar kerja lain.

Namun, jika pekerja itu mengambil pendekatan sebegini dalam ekonomi semasa, pada perkiraan penulis, mungkin agak sukar bagi mereka memperoleh pekerjaan, melainkan jika mereka mengubah atau mentransformasikan sikap terhadap pekerjaan tersebut. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah diri mereka sendiri".

Bukan tugas mudah untuk mengubah sikap. Namun, sebagai pekerja Muslim perubahan itu perlu bermula dalam diri sendiri melalui transformasi sikap terhadap tugas yang diamanahkan. Malah perubahan yang baik apabila diri pekerja Muslim itu melihat kerjaya mereka sebagai ibadah.

Sikap segelintir pekerja yang menganggap tugas yang mereka lakukan di pejabat semata- mata sebagai proses makan gaji akan merugikan diri mereka sendiri. Sekiranya seorang pekerja ingin mencapai kejayaan, kenaikan pangkat dan gaji - mereka harus menanam sikap membuat kerja lebih daripada apa yang dibayar. Yang pada akhirnya mereka akan dibayar lebih daripada apa yang dikerjakan.

Ini merupakah prinsip kejayaan dalam kerjaya. Jika seseorang bekerja kerana gaji, maka mereka tidak akan bekerja melebihi gaji yang diterimanya. Tetapi jika sebaliknya, mereka akan melipat gandakan lagi kerja di tahap yang lebih baik, produktif dan berkualiti.

Nabi Muhammad SAW menjelaskan di dalam hadisnya yang masyhur, setiap amal kebajikan itu perlu disertakan dengan niat. Jika diniatkan kerana menunaikan perintah Allah, maka berpahalalah dia. Jika niat hanya kerana makan gaji, makan gaji sajalah yang diperoleh.

Di samping itu, sikap pekerja dengan sesama rakan sekerja juga perlu dijaga dengan baik dan harmoni. Dengan menganggap rakan sekerja itu sebahagian daripada ahli keluarga dan saudara mara sendiri, maka sudah tentu kita akan sanggup berbuat apa sahaja untuk menolong dan membantu mereka.

Bekerja atas dasar kasih sayang jelas terbayang daripada sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya "Amalan sesudah beriman kepada Allah ialah berkasih sayang kepada para manusia" (Riwayat Tabrani).

Dengan demikian setiap kerja yang dilakukan bukan sahaja membawa faedah dan dinikmati oleh masyarakat sejagat malah sikap yang baik antara sesama rakan sekerja juga menjadikan diri pekerja lebih komited serta bermotivasi untuk terus menjalankan tugas mereka dengan baik dan cemerlang.

Begitu juga dengan persepsi sikap pekerja terhadap majikan perlukan perubahan. Sebagai pekerja kita perlu taat dengan majikan selagi perintah, teguran dan keputusannya itu tidak bercanggah dengan syariat. Ketaatan itu bukan mengampu sebaliknya dilakukan atas dasar taat kepada Allah SWT.

Begitu juga sikap majikan terhadap pekerja, perlu menghormati pekerja, mengasihi dan tidak menzaliminya. Jika hubungan majikan dan pekerja baik maka pekerja juga akan merasakan kerja itu lebih seronok malah turut dihargai. Justeru, ukuran kejayaan sesebuah organisasi dilihat sangat bergantung kepada sikap kita terhadap kerja yang telah diamanahkan. Mungkin sukar untuk kita bertukar tempat kerja tetapi tidaklah sesukar mana untuk kita mengubah diri dan sikap terhadap kerja kita yang sedia ada. Maka laksanakannya dengan terbaik.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/