Jumaat, 24 Disember 2010

SAJAK BAHASA KEPADA BANGSA

Jika tidak ingin menuturnya di meja bulat
angkatlah sepatah dua di kaki lima di kedai
kopi.

Jika tidak menggunakan sepenuhnya di papan
iklan
sudi tampalkan di bawah pokok di tepian jalan
walaupun jalan dan pokok sudah lama mati.

Jika sepatah dua dipakai dalam mesyuarat
bulanan
gunakanlah sepenuhnya sewaktu pertemuan
dengan orang kampung walaupun terpaksa
diadakan sekali setahun.

Jika ayat itu tidak mampu untuk mengampu
gunakanlah sebagai pendinding
kepada seteru.

Jika kalimatnya tidak seselesa hasrat hati
selesaikanlah ketika menghadap Rabbul 'Izzati.

ABDUL HADI YUSOFF
Gua Musang

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Anjur kempen sanjungi tokoh negara

KERAJAAN melancarkan kempen 'Belilah Barangan Buatan Tempatan' untuk menggalakkan rakyat tempatan menghargai produk buatan syarikat Malaysia. Melihat kepada perkembangan semasa, produk Malaysia sudah mendapat perhatian pengguna termasuk luar negara.

Contohnya, kereta Malaysia seperti Proton Saga mendapat kepercayaan dan keyakinan serta pasaran baik di luar negara seperti Singapura, Indonesia malahan London dan beberapa buah negara Asia Barat lain yang memasarkan produk ikonik Malaysia itu.

Di Malaysia, untuk membeli kereta serba guna (MPV) Proton Alza memerlukan masa berminggu-minggu kerana pengguna terpaksa menunggu giliran. Ini jelas menunjukkan produk Malaysia mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan pengguna tempatan.

Di samping itu, perabot dari Malaysia juga mendapat pasaran besar di Jepun. Jika tidak bermutu tinggi, pengguna Jepun yang terkenal dengan permintaan tinggi terhadap kualiti barangan sudah pasti tidak akan membelinya.

Kajian yang dijalankan baru-baru mendapati 90 peratus rakyat Malaysia kini mempunyai keyakinan tinggi terhadap barangan buatan tempatan dan tidak teragak-agak untuk membeli produk keluaran negara sendiri.

Namun, tidak dinafikan masih ada yang membeli barangan import yang berharga mahal terutama mereka yang mementingkan jenama serta mempunyai kemampuan memiliki produk itu.

Begitu juga yang bermegah menyanjungi tokoh barat seperti Edward de Bono, Bill Gates, Einstein, Thomas Edison, Barack Obama dan Warren Buffett. Sedangkan kita juga mempunyai tokoh tidak kurang hebatnya tetapi tidak disebut.

Dalam banyak hal, kita masih cenderung menunjuk-nunjuk berbanding dengan nilai sebenar yang ada dalam isu persoalan sehingga asyik bercakap dengan menggunakan pemikiran orang lain, tiada langsung pemikiran sendiri.

Tentulah kempen untuk meyakini produk sendiri ini mesti diikut serta dengan kempen menggalakkan masyarakat menghayati pemikiran tokoh kita. Sungguh berbahaya apabila senantiasa menggunakan pemikiran orang kerana kita sebenarnya terikut-ikut mengembangkan ideologi orang lain.

Kita sepatutnya membangunkan masyarakat dan negara mengikut formula serta acuan tersendiri sebagai sebuah negara majmuk yang berpotensi mencapai aspirasi luhur dalam pelbagai bidang menjelang 2020.

ANAK MALAYSIA,
Johor.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 22 Disember 2010

ISU SOSIAL : Remaja lari dari rumah

Oleh: DR. KHAIDZIR ISMAIL

REMAJA lari dari rumah merupakan satu fenomena yang kerap kita baca dalam akhbar dan telah menjadi makin serius kerana setengah daripada mereka telah lari sehingga ke negara jiran. Ini berlaku sama ada di bandar atau pun luar bandar dan juga melibatkan remaja lelaki.

Terdapat beberapa sebab remaja lari dari rumah. Antaranya adalah keadaan di rumah dan latar belakang keluarga dan juga personaliti remaja itu sendiri. Sesetengah daripada remaja melarikan diri kerana tidak tahan dengan keadaan di rumah dan ada juga sesetengah mereka dihalau dari rumah.

Remaja lari dari rumah tidak mempunyai satu definisi yang khusus, namun, pelbagai definisi yang telah dinyatakan berasaskan penyelidik-penyelidik yang menjalankan kajian terhadap remaja lari dari rumah. Contohnya, Bailey et al. (1998) telah mendefinisikan remaja lari dari rumah adalah remaja yang melarikan diri dari rumah untuk sekurang-kurangnya satu malam tanpa kebenaran ibu bapa atau penjaga dan tinggal di lokasi atau kawasan yang tidak diselia seperti tinggal bersama orang asing, tinggal di pusat perlindungan, kawasan awam seperti taman atau bawah lebuh raya atau tinggal di bilik sewa. Zide dan Cherry (1992) telah membina satu tipologi remaja lari dari rumah atau remaja tanpa rumah berasaskan sebab mereka meninggalkan rumah. Antaranya adalah pertama, melarikan diri ke iaitu remaja yang sukakan cabaran dan kerap balik rumah, namun remaja ini akan terlibat dalam pelbagai kegiatan berisiko semasa meninggalkan rumah.

Kedua, melarikan diri dari rumah iaitu remaja meninggalkan rumah untuk mengelakkan daripada keadaan keluarga yang konflik dan tegang. Ketiga, dibuang keluar iaitu remaja yang dipaksa keluar daripada keluarga dan mempunyai sejarah masalah sekolah dan penjagaan. Keempat, ditinggalkan iaitu remaja ditinggalkan disebabkan keluarga tidak berupaya menyokong mereka dari segi kewangan

Gejala remaja lari dari rumah berlaku juga di kebanyakan negara, dijangkakan 1.6 juta remaja melarikan diri dari rumah di Amerika Syarikat setiap tahun (Walsh dan Donaldson 2010).

The Student Advisory Center (SAC) menjangkakan sekurang-kurangnya 600 hingga 700 kes remaja bawah usia 16 tahun lari dari rumah dilaporkan di Singapura (Yiu 2009). Di India sebanyak 47.22 remaja lari dari rumah (Khurana et al. 2004). Di Cameroon, remaja lari dari rumah telah berlaku seawal 11 tahun dan bilangan remaja lari dari rumah bertambah apabila mencapai 15 tahun (Matchinda 1999).

Di Malaysia, remaja lari dari rumah turut menjadi satu gejala sosial yang boleh menjadi serius sekiranya tidak dibendung atau dipantau. Media massa kerap melaporkan berita dan liputan tentang remaja lari dari rumah.

Gejala ini telah berlaku dalam semua lapisan masyarakat tanpa kira bangsa dan agama, maka isu ini menjadi permasalahan umum dalam masyarakat. Gejala lari dari rumah semakin membimbangkan masyarakat apabila gejala ini melibatkan anak remaja yang semakin kecil.

Kebanyakan remaja tidak suka kepada kawalan yang ketat dan dilayan sebagai kanak-kanak. Mereka suka kepada kebebasan dan ingin mencuba. Tetapi sebagai orang dewasa atau ibu bapa mesti membimbing dan mengawal dengan bijak anak remaja yang sedang dalam proses menjadi seorang dewasa. Ibu bapa perlu belajar menyayangi anak-anak mereka walaupun dalam keadaan yang sibuk.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KUALITI MAHASISWA : SISWA MELAYU LEKEH ?

TIADA BEZA...kejayaan adalah hak milik individu tanpa mengira kaum, latar belakang atau status.

Kualiti siswa isu subjektif

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

SEJAK sekian lama mahasiswa Melayu dilemparkan pelbagai tanggapan negatif yang bukan saja mencalarkan maruah bangsa, malah mencacat celakan kredibiliti sistem pendidikan negara yang bertanggungjawab melahirkan graduan saban tahun.

Menolak ke tepi rasa tanggungjawab dan sensitiviti masyarakat, mereka dengan mudah memperlekehkan pencapaian graduan ini kononnya gagal bersaing, kelulusan hanya cukup makan selain terbabit dengan pelbagai gejala sosial.

Stigma itu bukan saja mewujudkan pelbagai persepsi negatif, malah bagai memperkotak-katikkan harga diri mahasiswa yang berjuang di menara gading demi segulung ijazah.

Persoalannya, benarkah mahasiswa Melayu begitu lekeh hingga mudah mengaku kalah?

Apakah ia agenda pihak tertentu yang sengaja mencari publisiti murahan demi melunaskan hajat masing-masing?

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata bukan isu baru mahasiswa Melayu dilemparkan pelbagai tanggapan negatif.

Beliau berkata, sikap itu bukan saja boleh mencetuskan pelbagai masalah, malah menggugat sistem pendidikan negara yang telus memberi pendidikan tanpa mengira latar belakang individu.

“Sistem pendidikan negara tidak pernah membezakan antara satu sama lain, semuanya berhak menerima pendidikan setara. Malangnya ada individu tidak melihat kelebihan itu, malah lebih senang membuat propaganda sendiri.

“Mahasiswa Melayu diperlekehkan tanpa usul periksa. Tindakan ini tidak adil kerana bukan saja menjatuhkan maruah, malah memberi kesan kepada institusi, keluarga, masyarakat dan majikan.

“Ia tidak sepatutnya dipolitikkan kerana isu ini boleh menggagalkan usaha mencapai matlamat pembangunan jangka panjang,” katanya.

Isu prejudis terhadap mahasiswa Melayu sudah lama timbul antaranya membabitkan kuota kaum di universiti, pinjaman pendidikan dan penggunaan bahasa Melayu.

Ada juga tuduhan menyatakan mahasiswa Melayu memperoleh pelbagai keistimewaan hingga menjejaskan pencapaian di menara gading selain malas berfikir, teknik pembelajaran lemah serta mengamalkan budaya belajar di saat-saat akhir.

Mengulasnya, beliau berkata itu hanya persepsi semata - mata kerana pencapaian mahasiswa Melayu pada hari ini sangat mengagumkan setara bangsa lain tanpa memperoleh apa-apa keistimewaan.

Kualiti mahasiswa ini, katanya, bersifat subjektif dan tidak tertumpu kepada satu golongan semata-mata sebaliknya bergantung pada individu.

“Kualiti graduan Melayu lemah hanya persepsi dan khabar angin. Pencapaian graduan bersifat subjektif, ada cemerlang, begitu sebaliknya.

“Betulkan persepsi itu, buka minda dan lihat senario tanpa prejudis. Jika ada kelemahan, perlu diperbetulkan, bukan mengutuk demi kepentingan diri sendiri,” katanya.

Katanya, usaha melahirkan graduan yang menepati keperluan industri dan masyarakat bukan mudah dan menghadapi banyak.

“Ramai tidak melihat kesungguhan institusi, sebaliknya suka memperbesarkan isu remeh. Ini kerugian besar kepada anak bangsa kerana tidak mendapat sokongan padu masyarakat,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan majikan mengiktiraf kebolehan mahasiswa Melayu dan tidak timbul isu gagal bersaing.

“Ramai graduan Melayu membuktikan kecemerlangan dan menguasai pelbagai bidang pekerjaan atau berpendidikan tinggi.

“ Kemampuan graduan ini sudah lama diperakui hingga ke peringkat antarabangsa.
“Justeru, tidak wujud konsep diskriminasi pencapaian atau peluang berdasarkan bangsa, ia bergantung pada keupayaan masing-masing meraih kepercayaan majikan,” katanya.

Mengulas tindakan segelintir pihak menyalahkan institusi jika gagal melahirkan graduan Melayu cemerlang, beliau berkata, institusi bertanggungjawab menyediakan pelbagai peluang dan kemudahan, namun tidak menjamin kejayaan mereka.

“Apabila berlaku kemerosotan pencapaian, hanya universiti ditempelak dan dipersalahkan. Kami hanya menyediakan peluang, mahasiswa bertanggungjawab merencanakan masa depan.

“Justeru, berilah sokongan dan jangan memperbesarkan isu yang boleh mengganggu gugat masa depan generasi menara gading,” katanya.


INFO

Antara faktor utama mengapa masyarakat sering memandang serong pada pencapaian mahasiswa Melayu:

  • Kurang matang pemikiran.

  • Bersikap negatif dan memerlukan motivasi.

  • Berjaya apabila suasana terkawal tapi boleh berubah kepada positif atau negatif jika berlaku kejutan budaya.

  • Memerlukan banyak bantuan daripada persekitaran dan tidak pandai berdikari.

  • Belajar atau melakukan tugasan pada saat akhir, kurang peka, malas berfikir dan bersikap suka bertangguh.
  • Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

    Selasa, 21 Disember 2010

    ISU KESIHATAN : Usaha bersepadu perlu tangani denggi

    STATISTIK terkini menunjukkan sebanyak 133 kematian dicatatkan di seluruh negara akibat demam denggi sejak 1 Januari 2010. Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding hanya 84 kes kematian yang dilaporkan untuk tempoh sama tahun lalu. Jumlah kes denggi yang dilaporkan di seluruh negara juga meningkat iaitu sebanyak 45,106 kes berbanding 39,711 kes dalam tempoh yang sama pada 2009.

    Senario ini menunjukkan betapa bahayanya demam denggi dan perlu ditangani dengan segera agar tidak terus meragut nyawa. Usaha bersepadu perlu dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat agar segera membanteras penularan wabak berbahaya ini. Memandangkan angka kematian terus meningkat, adalah diharapkan 2011 yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi diisytihar sebagai tahun banteras denggi habis-habisan. Atau tahun anti-aedes oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Sejak penyakit demam denggi mula dikesan, ia menunjukkan peningkatan yang seiring dengan pertambahan kawasan bandar, pembangunan dan peningkatan kepadatan penduduk.

    Antara tanda-tanda penyakit ini ialah demam kuat yang mengejut dan berterusan, bintik-bintik merah pada kulit, berdarah pada badan, hidung dan mulut, hilang selera makan, muntah-muntah dan sakit perut. Sehingga kini masih belum terdapat vaksin siap untuk demam denggiflavivirus dan kita lebih disyorkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan yang lebih proaktif.

    Cara mencegah denggi yang utama adalah menghapuskan atau mengurangkan vektor nyamuk pembawa denggi. Langkah menghapuskan takungan air seperti dalam bekas bunga terbukti berkesan bagi mengawal penyakit bawaan nyamuk. Pengunaan ubat jentik-jentik juga berkesan untuk menghapuskan jentik-jentik, manakala penggunaan kelambu dan juga semburan (fogging) juga boleh membantu. Nyamuk aedes senang dikenali dengan belang hitam putih pada badan dan kakinya dan kebiasaannya menggigit pada awal pagi dan waktu senja.

    Nyamuk ini juga membiak dalam air jernih yang bertakung sama ada di dalam atau di luar rumah. Antara tempat pembiakan di dalam rumah ialah dalam akuarium, pasu bunga, timba, tempayan serta kolam (kolah) mandi.

    Di luar rumah pula nyamuk ini membiak dalam tayar buruk, tempurung kelapa, botol atau gelas pecah yang mengandungi air, longkang yang tersekat serta salur air hujan. Peningkatan kes demam denggi dan jumlah kematian di negara kita mutakhir ini boleh dirumuskan berpunca daripada kurangnya tahap kesedaran, kelalaian sendiri serta sikap tidak peduli dalam kalangan masyarakat.

    Kita masih dengan budaya tidak mempedulikan sesuatu perkara sehingga ia kena pada kita atau kaum keluarga. Budaya tidak peduli, lepas tangan dan tidak mengapa ini jelas mula menular menjadi wabak yang serius sama serius dengan penularan wabak denggi dalam masyarakat kita. Budaya ini jika tidak dibendung dengan segera, dikhuatiri akan terus meragut lebih banyak lagi nyawa.

    Justeru, kita perlu mengubah pemikiran dan gaya hidup supaya menjadi masyarakat yang lebih prihatin dan responsif dengan apa yang berlaku dalam persekitaran. Tidak salah dalam hal begini kita mengambil tahu 'tepi kain orang lain' asalkan ia untuk kesejahteraan dan keselamatan bersama. Masyarakat perlu sedar bahawa isu demam denggi ini amat serius serta bahaya dan ia perlu ditangani dengan segera.

    Dalam hal ini kita wajar memuji langkah-langkah pencegahan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak KKM dan beberapa agensi lain yang berkaitan sebagai usaha berterusan menyedarkan masyarakat serta membendung penularan virus ini mahupun pembiakan aedes. KKM misalnya mengadakan pelbagai program kesedaran seperti 10 minit dalam seminggu, Jom Ganyang Aedes dan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan yang lain termasuk pihak berkuasa tempatan serta masyarakat setempat.

    Tetapi jika masih tiada kesedaran dan sokongan menyeluruh daripada masyarakat, ia tidak akan berjaya. Senario ini jelas menunjukkan tahap keseriusan pihak kerajaan dalam membendung wabak denggi. Namun statistik yang terus meningkat membuktikan bahawa keberkesanan pelbagai program yang dianjurkan selama ini masih belum menampakkan hasil yang diharapkan. Ia kerana sikap masyarakat sendiri yang tidak memandang serius penularan demam denggi.

    Malah Kempen Media Pencegahan Denggi oleh KKM sebagai usaha untuk menyebarkan mesej dan maklumat tentang bahaya demam denggi juga dilihat masih belum cukup untuk menyedarkan masyarakat.

    Pembanterasan nyamuk aedes memerlukan perubahan sikap yang menyeluruh dalam kalangan masyarakat. Setiap individu perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan yang aktif demi menyelamatkan nyawa sendiri, keluarga mahupun masyarakat setempat.

    Tindakan seperti membuang sampah terutamanya ke dalam longkang yang akhirnya menyebabkan aliran longkang tersekat dengan timbunan sampah dan rumput perlu dielakkan. Di samping itu, sebarang jenis takungan air baik di dalam mahupun di sekitar kawasan luar rumah juga perlu dielakkan. Kita juga perlu berubah dari sikap pengotor kepada pembersih. Hanya kebersihan secara hakiki mampu membendung pembiakan nyamuk aedes ini dari terus bermaharajalela.

    Di samping bergantung kepada tindakan pencegahan daripada KKM dan agensi berkaitan, masyarakat juga perlu bertindak sendiri secara proaktif. Misalnya mengenalpasti lokaliti-lokaliti yang berpotensi sebagai hot spots dan segera melakukan aktiviti pembersihan dan gotong-royong secara bersepadu. Dalam masa yang sama kita juga berharap tindakan penguatkuasaan dan pemantauan serta hukuman diperhebatkan oleh semua agensi yang terbabit.

    Pemilik premis baik rumah kediaman mahupun perniagaan yang didapati membiarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes perlu dikompaun serta merta tanpa pilih kasih. Dalam hal ini kompaun maksimum RM500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang sedia ada dilihat masih rendah dan belum cukup menggerunkan pemilik premis. . Adalah disyorkan agar nilai kompaun ini dikaji semula dan dinaikkan ke satu nilai yang lebih besar serta ditambah dengan hukuman penjara yang setimpal.

    Disyorkan juga supaya Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Mengawal Denggi (2009-2013) yang dilancarkan pada April 2009 disemak semula dan dimantapkan mengikut keadaan semasa agar memberikan impak yang maksimum. Kesimpulannya, walau apa pun tindakan mahupun program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, ia tidak akan berhasil tanpa kerjasama setiap individu dalam masyarakat kita.

    Justeru, masyarakat perlu berganding bahu dengan berusaha secara bersepadu dan bertindak dengan segera untuk membendung penularan wabak ini. Marilah kita berazam dan bertekad untuk membanteras habis-habisan nyamuk aedes pada 2011 ini dan isytihar tahun berkenaan sebagai tahun anti-aedes.

    PENULIS ialah Penolong Pendaftar Kanan,

    Pusat Kesihatan Universiti Putra Malaysia.

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/

    ISU BAHASA : Bahasa Melayu Penghalang?


    Profesor Teo, Ismail dan Zawiyah pada Wacana Bahasa Kebangsaan anjuran ATMA di UKM, Bangi baru-baru ini

    Oleh Nazmi Yaakub
    nazmi@bharian.com.my

    Kejayaan Upin & Ipin tembusi pasaran luar negara jawab segala-galanya

    BAHASA Melayu dan budaya tempatan berupaya dijadikan aset dalam memasarkan produk animasi tanah air ke pentas global seperti dibuktikan Upin & Ipin yang berjaya menembusi pasaran negara luar meskipun ia membawa imej lokal ekoran ia dipakej dalam bentuk cerita yang baik.

    Perkara ini disimpulkan pada Wacana Bahasa Kebangsaan: Isu Bahasa Kebangsaan anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.
    Pengarah Urusan, Les’ Copaque (Upin & Ipin) Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, berkata kelemahan industri animasi di negara ini ialah penyediaan cerita dan jalan cerita bermutu, sekali gus berupaya memikat pasaran tempatan dan luar negara.

    “Masalahnya pembuat filem tanah air tidak pandai bercerita dan institusi pengajian tinggi (IPT) pula lebih menekankan aspek teknikal dalam bidang pengajian mereka.

    “Sepatutnya IPT seperti Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) dibiarkan memberi tumpuan kepada soal teknikal, manakala universiti lain pula menghasilkan graduan dengan kebolehan menghasilkan cerita dan mengarah filem,” katanya pada wacana yang dipengerusikan Felo Penyelidik Utama ATMA, Datuk Zawiyah Baba.

    Burhanuddin berkata, Perbadanan Multimedia Malaysia (MDEC) yang diamanahkan kerajaan untuk penyaluran geran animasi kini mungkin berjumlah RM300 hingga RM400 juta, menganggap animasi sebagai bidang pertumbuhan ekonomi masa depan.

    “Apabila kami mula-mula masuk ke industri animasi, kami mencari MDEC tetapi perbadanan itu sebenarnya diterajui mereka yang berpelajaran dari luar negara dan membawa masuk orang putih lalu menyarankan kami mengangkat imej global tanpa penjelasan lanjut mengenai kriteria berkenaan.

    “Pada 2006, saya mengunjungi Festival Cannes di Perancis dan mendapati produk mirip Barat tidak mendapat sambutan sehingga saya mengambil keputusan kriteria terbabit tidak boleh jadi,” katanya.

    Sebagai pembuat animasi Malaysia, kata Burhanuddin, mereka akhirnya memutuskan membina imej lokal dan berunsur Islam yang disampaikan dalam bahasa Melayu kerana sasaran penonton tempatan adalah bangsa Melayu.

    “Mula-mula kita letak nama U & I pada watak kami dan menambah Pin di belakang yang sebenarnya masyarakat luar termasuk Barat pun mudah untuk menyebut Upin & Ipin.

    “Awalnya masalah yang kami hadapi ialah pekerja kami bukan berasal dari kampung dan menggunakan bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS), lalu saya dan isteri mengambil keputusan menulisnya dengan mengekalkan budaya kita,” katanya.

    Antara ciri bahasa yang digunakan ialah bahasa mudah yang sesuai dengan bahasa kanak-kanak dan tidak mencampur-adukkan bahasa Inggeris, sebaliknya pendek dan padat.

    “Bahasa yang pendek itu sesuai dengan gaya perbualan kanak-kanak sehingga kami mengehadkan tidak lebih daripada empat perkataan untuk dialog Ipin dengan memotong dialog watak lain melalui kata ‘betul, betul, betul’.

    “Ia juga mesti membawa nilai positif termasuk ‘betul, betul, betul’ dan kami tidak berani membuat adegan yang berbahaya kepada kanak-kanak termasuk melompat tangga, selain tidak bersifat menyogok, sebaliknya lebih menunjukkan nilai yang menjadi ikutan seperti Upin & Ipin rajin berpuasa,” katanya.

    Burhanuddin turut meluahkan kekecewaan dan kebimbangan produk Upin & Ipin lebih dihargai di negara luar termasuk Indonesia berbanding penerimaannya di kalangan masyarakat korporat di negara ini.

    “Syarikat penerbangan Indonesia, iaitu Garuda melahirkan minat untuk memasukkan pejabat kami ke dalam butiran mereka, tetapi kami tidak mempunyai keupayaan kerana masalah ruang dan kemampuan. Syarikat penerbangan kita tidak pula menunjukkan minat sehingga saya merumuskan kita kurang berbangga dengan barangan sendiri,” katanya.

    Burhanuddin menyarankan drama dan filem termasuk animasi dijadikan wadah ‘menjual’ budaya tempatan seperti yang dilakukan Korea Selatan apabila berjaya berbuat demikian di negara luar termasuk Malaysia.

    “Bahasa Melayu sebenarnya bukan penghalang untuk produk kita maju dan mendapat sambutan di luar negara kerana kita sendiri boleh lihat anak-anak kita gila dengan animasi Jepun atau drama Korea, meskipun ia menggunakan bahasa ibunda mereka.

    “Masalahnya kita tidak pandai memanfaatkan budaya kita dalam drama dan filem sehingga tidak hairanlah apabila watak dalam sesebuah drama masuk ke hotel, dia akan memesan steak dan bukannya nasi goreng atau sate,” katanya.

    Pengarah Pusat Bahasa Bijak Bestari, Ismail Dahaman, menegur rancangan televisyen di RTM seperti Laxamana yang tidak memperlihatkan fungsi sewajarnya dimainkan oleh media rasmi milik kerajaan dalam konteks mengutamakan bahasa kebangsaan.

    “Rancangan itu sepatutnya dijadikan wadah untuk memperkenalkan institusi dan konsep Raja Berperlembagaan kepada rakyat di negara ini, sebaliknya maksudnya tidak sampai dan budaya hancur sama sekali.

    “Bayangkan ada adegan mamak nasi kandar yang menjual nasi kandar kepada permaisuri, tetapi baginda tidak mempunyai wang sehingga terpaksa berhutang dengan peniaga terbabit,” katanya yang juga bekas Pengarah Perancangan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

    Ismail turut menegur rancangan remaja di stesen televisyen itu seperti Xpresi Remaja yang bukan saja menggunakan ejaan yang silap, bahkan bahasa dalam rancangan terbabit juga lintang-pukang.

    “Hari-hari menjatuhkan nilai dan maruah bahasa yang sekiranya hal terbabit tidak dihalang, mereka sebenarnya tanpa sedar merendahkan nilai media itu sendiri.

    “Sebenarnya perancangan bahasa tidak hanya dipertanggungjawabkan kepada institusi seperti DBP, sebaliknya semua agensi kerajaan perlu menyumbang secara aktif dalam memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Felo Penyelidik Utama ATMA, Prof Dr Teo Kok Seong, meminta pemimpin bukan Melayu untuk menyelesaikan masalah ramai di kalangan rakyat bukan Melayu yang tidak boleh berbahasa kebangsaan dengan baik.

    “Ini kerana bahasa kebangsaan adalah jati diri dan identiti kerakyatan yang mesti dikuasai oleh rakyat di sesebuah negara itu sehingga penguasaannya diuji dalam proses untuk mendapatkan kerakyatan negara terbabit.

    “Kita tidak mahu insiden yang memaparkan kejahilan rakyat terhadap keperluan untuk menguasai bahasa kebangsaan berulang pada masa depan khususnya yang berkait dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

    Sumber : http : //www.bharian.com.my/

    Isnin, 20 Disember 2010

    ISU PENDIDIKAN : Transformasi vokasional lahirkan ramai usahawan

    TAHUKAH anda bahawa terdapat ramai di kalangan peniaga yang menjalankan perusahaan kecil seperti pembuatan roti, menghasilkan makanan ringan atau menternak ikan dan ratusan jenis perusahaan kecil lain yang boleh mendapat pendapatan bulanan bersih mencecah puluhan ribu ringgit? Atau dengan kata lain mereka boleh mendapat pendapatan bersih lebih daripada 'lima angka' sebulan.

    Pengusaha atau peniaga kecil ini bergerak di pasar-pasar malam, bazar-bazar, pasar-pasar basah, bengkel-bengkel atau kedai-kedai biasa di seluruh negara.

    Mereka ini sebenarnya bukanlah pengusaha yang besar. Memulakan perniagaan dengan modal yang kecil dan sebahagian besar daripada mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke menara gading. Tetapi mereka boleh berbangga kerana mendapat pendapatan yang lumayan, mengagumkan dan boleh digolongkan orang yang berpendapatan tinggi.

    Siapakah mereka ini sebenarnya?

    Mereka ini dikenali sebagai usahawan atau 'entrepreneur'. Mereka merupakan orang yang menjalankan perniagaan dan perusahaan. Apa yang menarik dalam masa yang sama, mereka dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain.

    Kumpulan usahawan ini sangat penting kepada pembangunan negara. Ia selari dengan matlamat kerajaan untuk menghasilkan lebih ramai rakyat berpendapatan tinggi dan menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

    Pendapatan kasar tahunan berjumlah RM23,700 pada masa kini akan ditingkatkan kepada RM48,000 pada 2020. Dalam masa yang sama akan diwujudkan 3.3 juta pekerjaan baru dan akan berusaha untuk menambah bilangan pekerja mahir daripada 23 peratus sekarang kepada 37 peratus.

    Siapakah sebenarnya kumpulan usahawan ini?

    Usahawan sering dikaitkan dengan mereka yang berani menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan perusahaan walaupun mempunyai modal yang kecil. Mereka juga biasanya mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang tinggi, suka menggunakan idea baru atau sekarang ini biasa dikatakan 'berfikir di luar kotak kebiasaan'. Mereka juga mempunyai sikap berani mencuba dan yang penting ialah sikap tidak takut gagal.

    Ada yang berpendapat bahawa kebanyakan golongan usahawan ini dilahirkan daripada kalangan keluarga usahawan juga. Logiknya ialah sejak kecil mereka sudah terdedah dengan dunia perniagaan yang diusahakan oleh ibu bapa atau kaum keluarga.

    Bagaimanapun tidak semestinya kewujudan golongan ini kerana faktor warisan semata-mata. Tetapi sebenarnya untuk menjadi usahawan ia boleh dipelajari. Andainya seseorang itu tidak mempunyai pengalaman dalam dunia keusahawanan, mereka masih boleh menerokai bidang itu dengan cara belajar iaitu berusaha mendapatkan pendidikan serta ilmu pengetahuan yang berkaitan dengannya.

    Di negara kita pendedahan tentang ilmu keusahawanan boleh didapati melalui institusi pendidikan vokasional. Ketika ini terdapat sebanyak 88 buah sekolah vokasional di seluruh negara dan telah berjaya mengeluarkan puluhan ribu pelajar dan ramai di kalangan mereka yang menjadi usahawan berjaya.

    Baru-baru ini Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tentang peluasan bidang vokasional dan kemahiran serta dijadikan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (NKRA).

    Tambah beliau bilangan pelajar aliran vokasional yang berjumlah 87,188 pelajar atau kira-kira 10 peratus pada 2010 akan ditingkatkan kepada 196,000 pelajar atau 20 peratus menjelang 2015.

    Menteri Pelajaran memberikan penekanan kepada aliran vokasional kerana ia berkaitan dengan keperluan negara melahirkan lebih ramai pekerja mahir dan separuh mahir serta berusaha melahirkan ramai golongan usahawan.

    Dalam lawatan beliau ke Perancis, Australia dan Indonesia baru-baru ini, didapati bilangan pelajar dalam aliran tersebut di negara-negara berkenaan ada yang melebihi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar.

    Mengapakah aliran vokasional menjadi bidang pendidikan yang penting pada masa kini?

    Tidak dapat dinafikan bahawa soal mencari pekerjaan sering merupakan isu besar yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang baru menamatkan pendidikan menengah.

    Setiap tahun kira-kira seramai 500,000 orang pelajar mengambil peperiksaan SPM. Menurut beberapa kajian hanya kira-kira 30 peratus sahaja daripada kumpulan tersebut yang akan melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Sudah tentu selebihnya akan berusaha memasuki pasaran pekerjaan.

    Dalam isu mencari pekerjaan ini sudah tentulah tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh perkhidmatan awam atau dengan kata lain makan gaji dengan kerajaan. Di samping itu, pihak swasta juga tidak mampu menyediakan pekerjaan dalam jumlah yang sebesar itu.

    Cuba bayangkan dalam tempuh tiga tahun sahaja jumlah pelajar yang meninggalkan bangku sekolah atau yang menamatkan peperiksaan SPM boleh mencecah satu setengah juta orang.

    Mungkin ada yang akan mencadangkan mengapa tidak anak-anak muda itu disarankan melakukan pekerjaan sendiri. Sesungguhnya saranan ini tidak adil kepada mereka kerana bagaiman mereka yang masih mentah dan tidak arif tentang selok-belok perniagaan atau sesuatu pekerjaan disuruh terus terjun ke bidang tersebut.

    Mereka seharusnya dibekalkan dengan ilmu dan pengalaman awal yang berkaitan dengan perniagaan atau bidang yang akan diceburi.

    Dalam hal ini sekolah vokasional adalah jawapannya kerana ia boleh menyediakan bekalan awal dalam bentuk ilmu pengetahuan, kemahiran dan memberi sedikit pengalaman melalui latihan praktikal.

    Peranan yang dimainkan oleh pendidikan vokasional untuk melahirkan ramai golongan usahawan akan dapat membantu negara dalam usaha mewujudkan lebih banyak pekerjaan. Bukan sahaja untuk diri mereka sendiri tetapi dalam masa yang sama memberi peluang kepada orang lain untuk bekerja.

    Dengan kata lain lebih ramai golongan usahawan dilahirkan, maka peluang pekerjaan akan bertambah.

    PENULIS ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran

    tansrialimuddin@yahoo.com

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/