Isnin, 12 Disember 2011

ISU KENEGARAAN : Sultan Abdul Halim Tiba Untuk Istiadat Lafaz Sumpah Yang Di-Pertuan Agong Ke-14


SEPANG: Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pagi ini bagi menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Ketibaan Sultan Abdul Halim bersama Sultanah Haminah Hamidun pada pukul 9.07 pagi disambut oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais.

Seramai 29 anggota dan pegawai dari Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja mengadakan kawalan kehormat setempat.Baginda berdua kemudian berangkat ke Dataran Parlimen di Kuala Lumpur untuk sambutan penuh istiadat.

Sultan Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja di Istana Negara pada 14 Oktober lepas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini.

Ini adalah kali kedua Sultan Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 21 Sept 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 Sept 1975.

Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama. - BERNAMA

ISU KENEGARAAN : Kelangsungan kedaulatan negara


DATUK SERI DR. RAIS YATIM
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

MENJELANG detik-detik tengah hari 12 Disember 2011 (hari ini) akan berakhirlah tempoh perkhidmatan dan pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-13, Al-Watiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Pada tanggal itu tamatlah tempoh pemerintahan baginda selaku Raja Berperlembagaan yang dilunaskan melalui kuatkuasa Perlembagaan Persekutuan. Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan "Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja selama tempoh jawatan lima (5) tahun…" kecuali baginda meletakkan jawatan pada bila-bila masa dalam tempoh tersebut.

Baginda dan Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong akan bersama dalam suatu majlis perpisahan khas jam 8.30 pagi 12 Disember yang penuh adat-istiadat di pekarangan Parlimen dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, para pegawai tinggi dan pembesar-pembesar tempatan dan wakil-wakil luar negara sebelum berlepas ke Kompleks Bunga Raya KLIA untuk bersama-sama melibatkan diri di majlis akhiran yang diberi nama Lambaian Kasih.

Majlis di KLIA ini adalah seperti yang pernah dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KEKKWA) lima tahun lalu. Acara kali ini, seperti yang dahulu, disulami acara-acara padat dengan intisari budaya dan ciri-ciri kebesaran Diraja Melayu lama.

Sepanjang dua bulan lalu pelbagai kegiatan dan acara diadakan bagi menandakan tamat tempoh perkhidmatan dan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Bagi Persekutuan. Lawatan-lawatan rasmi, acara-acara kebajikan, konsert Diraja, Jamuan Negara dan lain-lain program Diraja mendahului acara-acara akhiran 12 Disember 2011.

Sebelum jam 12 tengah hari 12 Disember, Yang di-Pertuan Agong Ke-13 dengan diiringi pelbagai kumpulan termasuk seorang Menteri Kabinet dan seorang pegawai tinggi perkhidmatan awam akan menaiki pesawat khas mengiringi rombongan pulang Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah menuju ke Kuala Terengganu.

Keesokannya, tanggal 13 Disember 2011 dari Alor Setar pesawat penerbangan khas akan membawa Yang di-Pertuan Agong Ke-14 Al-Sultan Al-Mu'tasimu Billah Muhibuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'azam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah (Sultan Kedah) ke kompleks Bunga Raya, KLIA dan seterusnya akan menyempurnakan acara istiadat angkat sumpah jawatan sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Ke-14 di Istana Negara yang baru di Jalan Duta.

Bagi Tuanku Abdul Halim, ini adalah kali kedua baginda naik takhta bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan Malaysia. Kali pertama baginda bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-5 ialah bagi tempoh 21 September 1970 hingga 20 September 1975.

Mungkin ramai yang masih ingat, Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meletakkan jawatan pada 21 September 1970, iaitu pada tarikh yang sama Tuanku Abdul Halim naik takhta selaku Yang di-Pertuan Agong Ke-5.

Ramai pihak yang mengakui bahawa persamaan tarikh sedemikian adalah atas permintaan Tunku sendiri, lebih-lebih lagi mengambil kira sentimen beliau mendapati anak buahnya sendiri dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong selain perkembangan politik dan isu-isu kenegaraan pada masa itu susulan peristiwa-peristiwa selepas 13 Mei 1969.

Bak kata pepatah, sekali air bah sekali pantai berubah. Cuma dalam konteks kenegaraan, perubahan itu hanya pada "pasir di pantai", bukan pada pantai itu sendiri. Berlakunya perubahan hanyalah pada individu Diraja yang bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14.

Semua kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman yang ada pada Yang di-Pertuan Agong itu adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang berkuat kuasa semenjak 1957, yakni semenjak Merdeka lagi.

Pada 1963, manakala Malaysia tertubuh kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong itu tetap berterusan dengan beberapa ubah suai yang dipadankan dengan perkembangan semasa, termasuk peristiwa-peristiwa pra-1993 apabila beberapa artikel Perlembagaan Persekutuan dipinda.

Salah satu daripada pindaan utama yang dikuatkuasakan 1993-1994 ialah seseorang Yang di-Pertuan Agong boleh disabitkan di muka pengadilan Mahkamah Khas [Per. 181(2)] jika melakukan sesuatu kesalahan jenayah atau sivil dengan syarat Peguam Negara membenarkannya.

Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan memikul tanggungjawab yang berat dan luas serta mempunyai implikasi mendalam sama ada terhadap rakyat atau kerajaan yang ditadbir atas nama Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara yang menduduki tangga teratas dalam hierarki pemerintahan negara.

Per. 32(2) memperuntukkan bahawa isteri Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka Raja Permaisuri Agong menduduki tempat kedua selepas Yang di-Pertuan Agong. Baginda Raja Permaisuri Agong dan mana-mana Sultan yang bersemayam juga menerima beberapa lindungan kekebalan perundangan walaupun tidak seperti dahulunya.

Harus diimbasi, pra-1993 pihak-pihak Diraja beroleh perlindungan kekebalan undang-undang daripada mana-mana pendakwaan atau tuntutan sivil.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja mengikut kehendak Per. 33 bolehlah menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong pada mana-mana tempoh yang diperlukan mengikut kehendak peruntukan tersebut dengan syarat apa-apa tugas wakilan Yang di-Pertuan Agong, seperti sakit, tidak upaya, tidak ada dalam Persekutuan yang tidak kurang daripada 15 hari atau lantaran apa-apa sebab lain.

Yang di-Pertuan Agong yang menjalankan tugas rasminya melalui fungsi dan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman hendaklah menjalankannya melalui nasihat yang diberikan Kabinet atau Jemaah Menteri yang Baginda lantik termasuk lantikan Perdana Menteri di bawah Per 43.

Walaupun baginda hendaklah mentadbir mengikut nasihat seperti yang disyaratkan Per. 40, baginda adalah berkuasa penuh di bawah Per 40(2) dalam memperkenankan atau sebaliknya berkaitan membubarkan Parlimen untuk tujuan Pilihan Raya Umum. Baginda adalah Ketua Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan (Per. 41) sementara berkuasa (melalui nasihat Kabinet) bertindak sesuatu untuk Perkhidmatan Awam (Per. 132(2).

Kuasa mengampunkan sesuatu kesalahan jenayah atau melegakan hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang berlaku di Wilayah Persekutuan juga adalah kuasa tersedia pada Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa perundangan atau kuasa legislatif Persekutuan. Parlimen Malaysia, misalnya, adalah atas nama Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Tanpa Yang di-Pertuan Agong Dewan-Dewan Perundangan tersebut tidak cukup syarat fungsi dan kuasanya.

Semua Akta yang diluluskan Parlimen hendaklah mendapatkan tandatangan kelulusan baginda walaupun di bawah Per 66 ada beberapa syarat tempoh yang harus dipatuhi baginda sekiranya tidak bersetuju dengan sesuatu Rang Undang-Undang itu dijadikan undang-undang penuh.

Sementara anggota Dewan Rakyat dipilih terus oleh rakyat, baginda (atas nasihat) boleh melantik 40 anggota Dewan Negara (Per. 45).

Di bawah Per. 55 Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membenarkan Parlimen tidak bersidang bagi tempoh enam bulan dari tarikh persidangan terakhir. Jika dalam tempoh itu Parlimen gagal bersidang, baginda boleh membubarkan Parlimen dan mengarahkan pilihan raya umum diadakan.

Di bawah artikel yang sama, kuasa mutlak baginda sebagai ketua agama Islam juga tersedia. Per. 60 membenarkan Yang di-Pertuan Agong bertitah kepada majlis Parlimen atas apa-apa perkara kenegaraan yang wajar.

Dari segi Kehakiman atau Judisiari pula, Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa lantikan hakim-hakim mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan menurut aturan yang berkuat kuasa dan dikemas kini. Seperti mana dimaklum, para Hakim Negara adalah dilantik oleh baginda setelah mendapatkan nasihat Perdana Menteri dan berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah pelbagai undang-undang lain juga merupakan sebahagian daripada urusan rasmi baginda sekalipun pada masa ini banyak aspek dan tugasan eksekutif itu telah diseragamkan dengan kuasa-kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman yang lain.

Jarang diketahui, kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Per. 153 dalam menjaga dan memelihara keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak, terdapat jaminan bahawa baginda tidak boleh mengetepikan hak-hak komuniti lain seperti terkandung di dalam ayat "dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain".

Ayat ini sering ditinggalkan dalam hujah dan ucapan mengenai kuasa kerajaan dan Diraja dalam menjaga dan memelihara hak-hak rakyatnya. Aspek ini wajar diserlahkan supaya kritikan melulu tidak berterusan seolah-olah kerajaan 'tak ambil pusing' tentang kepentingan kaum-kaum di tanah air kita.

Memang diakui, institusi Yang di-Pertuan Agong dan sebahagian besar tugas dan fungsi ini adalah sekitar 54 tahun, yakni seusia negara kita yang merdeka.

Namun di sebalik usia yang boleh dianggap 'muda' itu terkandung kelangsungan satu institusi Diraja yang amat lama. Sejak zaman Demang Lebar Daun dalam Sejarah Melayu hinggalah ke tamadun kesultanan negeri-negeri Melayu dan Melaka seterusnya dari sana sampailah ke hari ini - Raja dalam sejarah dan tamadun orang Melayu sudah sedarah sedaging lalu menjadi integral dan sebati.

Faksi masyarakat yang memandang sepi terhadap institusi Raja, walaupun kecil, harus menerima hakikat bahawa institusi itu jika baik fungsi dan perimbangannya akan membentuk tamadun yang positif.

Masyarakat Cina dan India serta lain-lain mungkin telah meninggalkan tamadun beraja mereka masing-masing atas cetusan sejarah dan mobilisasi kemanusiaan mereka. Namun di Malaysia institusi Raja Berperlembagaan ini seperti mana halnya dengan orang Inggeris, Jepun, Sweden dan Denmark dengan institusi Raja mereka, sudah menjadi kekal dan diterima rakyat.

Sistem Raja Berperlembagaan mungkin ada pengkritiknya masing-masing. Tetapi bagi kita di Malaysia, walaupun dikenal sebagai negara yang paling ramai mempunyai Raja sebagai pucuk kenegaraan, telah membuktikan bahawa sistem demokrasi Malaysia telah menghasilkan suatu cara hidup kepelbagaian yang munasabah dan saling berimbangan.

Yang di-Pertuan Agong adalah simbol kedaulatan negara dan rakyat Malaysia. Baginda adalah unsur atau elemen perimbangan kenegaraan dan pentadbiran yang telah menghasilkan Malaysia tercinta.

Mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan: Menjunjung Kasih Tuanku kerana berjaya menjadi Payung Negara berjasa yang akan meneruskan persemayaman di Terengganu. Mengadap Almu'tasimu Billahi Muhibuddin Sultan Abdul Halim Dirgahayu Tuanku, Rakyat menyambut dengan penuh gembira pelantikan Tuanku Kali ke-2 sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-14.

Rotan saga banyak di hulu

Diikat raga di bawah persada

Walau apa pun akan berlaku

Rakyat dan Raja berpisah tiada

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 9 Disember 2011

Khidmat Ketua Pengarah Pelajaran Disambung Setahun


PUTRAJAYA: Perkhidmatan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud akan disambung untuk tempoh setahun lagi berkuatkuasa semalam sehingga 7 Disember 2012.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan pada Jumaat menjelaskan, perkhidmatan Abdul Ghafar disambung atas keperluan perkhidmatan.

Beliau sepatutnya bersara wajib pada Rabu lalu.-BERNAMA

Rabu, 7 Disember 2011

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Intipati pelaksanaan SBPA yang dipersetujui oleh Kerajaan


1. pelaksanaan transformasi Perkhidmatan Awam melalui lima (5) inisiatif iaitu Perkhidmatan Awam yang kejat (lean civil service), kepimpinan dinamik, modal insan berkualiti, Perkhidmatan Awam yang fleksibel dan saraan yang kompetitif;

2. pewujudan Pelan Induk Saraan Perkhidmatan Awam (PISA) bagi melaksanakan rombakan sistem saraan Perkhidmatan Awam secara tersusun;

3. pengekalan prinsip-prinsip saraan yang berkuat kuasa dengan penambahan empat (4) prinsip baru iaitu kadar upah untuk kerja mengikut Kumpulan Perkhidmatan, kadar upah untuk individu berdasarkan bakat, keupayaan dan pengalaman, kadar upah untuk kerja bagi individu (subject matter expert) serta kadar upah tambahan untuk kerja mengikut prestasi;

4. pembentukan hierarki Perkhidmatan Awam yang terdiri daripada empat (4) peringkat iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana yang menggantikan Kumpulan Sokongan;

5. peruntukan gaji secara single point tanpa Kenaikan Gaji Tahunan kepada Kumpulan Premier dan konsep Jadual Gaji Minimum-Maksimum kepada Kumpulan Pengurusan Tertinggi dengan Kenaikan Gaji Tahunan diberi mengikut pencapaian prestasi;

6. peruntukan Jadual Gaji Sebaris kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana;

7. pelaksanaan enam (6) strategi untuk merealisasi inisiatif Perkhidmatan Awam yang kejat iaitu kawalan saiz Perkhidmatan Awam (right-sizing), kajian pertindihan fungsi antara agensi (duplication), penjajaran fungsi utama perkhidmatan (realignment), perkhidmatan yang boleh diserah urus (outsourcing), perekayasaan proses kerja (business process reengineering) dan kajian semakan skim perkhidmatan
(revision);

8. penambahbaikan laluan kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan melalui pelaksanaan konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru dengan memberi fokus kepada Laluan Pengajaran dan Pembelajaran (LPDP);

9. penambahbaikan laluan kerjaya pegawai dan anggota dalam Senarai Tugas Am ATM berdasarkan subject matter expert dalam bidang-bidang kritikal dengan diberi kenaikan gred gaji tanpa bersandarkan kepada pangkat;

10. pemberian peningkatan gred gaji yang setara dengan gred kenaikan pangkat tanpa dinaikkan pangkat ke jawatan kosong kepada pegawai yang diiktiraf sebagai subject matter expert;

11. pengenalan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) yang mengandungi dua (2) komponen iaitu Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP), dan Program Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan;

12. perluasan pemberian kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh kepada pegawai dalam Kumpulan Pelaksana bagi membolehkan pegawai mengikuti latihan kemahiran di bawah program SkillsMalaysia;

13. pengekalan prinsip-prinsip pemberian elaun sedia ada dan penambatan kadar bagi empat (4) elaun yang pada ketika ini kadarnya ditentukan berdasarkan gaji iaitu Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, Bayaran Insentif Subjek Pendidikan, Bayaran Insentif Wilayah dan Bayaran Insentif Pedalaman;

14. pengekalan prinsip-prinsip pemberian kemudahan sedia ada dengan penambahbaikan melalui Program Keseimbangan Kehidupan dan Kerjaya yang memperkenalkan pelaksanaan
dasar bekerja dari rumah;

15. pemansuhan dasar pelepasan dengan izin yang diganti dengan dasar pelepasan jawatan bagi mempertingkat mobiliti pegawai dalam perkhidmatan;

16. pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) kepada penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan;

17. penyelarasan pencen kepada pesara Perkhidmatan Awam secara peratusan berasaskan kajian berkala kos sara hidup berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013;

18. peningkatan umur persaraan wajib dari 58 tahun ke 60 tahun bertujuan mengekalkan pegawai mahir di dalam perkhidmatan; dan

19. pengekalan pegawai yang menolak SBPA di bawah sistem saraannya, skim perkhidmatan dan syarat perkhidmatan sedia ada (SSM)

Sumber : http : //www.jpa.gov.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : SBPA biar jadi pemangkin lonjak produktiviti, tingkat prestasi


TEKA-TEKI mengenai bentuk pembaharuan yang terkandung dalam Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sudah terjawab apabila pekeliling mengenainya dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semalam. Berdasarkan pekeliling itu, pembaharuan yang dilakukan itu selari agenda transformasi negara yang memberi cabaran kepada kakitangan awam untuk meningkatkan produktiviti, setimpal dengan pemberian gaji dan imbuhan kerajaan.

Kita berharap SBPA yang menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan sejak 2002 akan mendorong kira-kira 1.4 juta penjawat awam bekerja lebih keras lagi selepas ini. Kita berharap tidak timbul lagi kelemahan dan kecacatan terhadap skim ini kerana SBPA akan menggunakan mekanisme penilaian Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK).

Kita percaya Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP) serta Program Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP) adalah mekanisme penilaian berkesan bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan sewajar diberi ruang untuk dilaksanakan. Jaminan JPA yang akan mengutamakan penjawat awam berpengalaman dan cemerlang bagi mengisi jawatan tertinggi dalam sektor awam dan hanya mengambil orang luar apabila keadaan sangat memerlukan pastinya memberi kelegaan kepada pegawai tinggi yang bertugas ketika ini kerana mereka juga berpeluang mendapat kenaikan jawatan.

Kewujudan hierarki Perkhidmatan Awam diharapkan dapat mengatasi kelemahan yang wujud dalam skim saraan sebelum ini kerana matlamat asal perubahan skim perkhidmatan bertujuan meningkatkan prestasi kerja penjawat awam dan imej jentera pentadbiran kerajaan. Pengenalan sistem gaji baru dalam SBPA sepatutnya menjadi dorongan kepada kakitangan awam meningkatkan mutu perkhidmatan dan bukan sekadar mengharapkan bonus tinggi melimpah ke poket masing-masing setiap hujung tahun.

Harapan kita dan rakyat seluruhnya apabila SBPA dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari ini, ia bakal menerbitkan sinar harapan kepada seluruh rakyat untuk melihat matlamat mentransformasikan perkhidmatan awam negara supaya menjadi lebih dinamik, responsif dan berasaskan prestasi akan berjaya. Sudah sampai masa kakitangan awam memperbaiki kelemahan dan kebiasaan yang merugikan produktiviti negara seperti tabiat gemar pergi minum pagi terlalu lama atau kerap ghaib dari pejabat.

Kewujudan dasar pemisah atau ‘exit policy’ bagi menangani isu penjawat awam berprestasi rendah dan bertujuan melepaskan mereka daripada terus berkhidmat dalam perkhidmatan dengan memberikan pilihan kepada mereka untuk bersara awal tidak harus dijadikan isu besar. Apa yang penting, kita mengharapkan sistem penyampaian awam juga akan menjadi lebih cekap di samping kerenah birokrasi dapat dikurangkan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Parlimen perlu pertahan keluhuran Perlembagaan


Tuanku Mizan mahu institusi berperanan secara berkesan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berharap Parlimen akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan terutama hal mengenai Raja-Raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa Persekutuan.

Menyifatkan Parlimen sebagai institusi yang menyuarakan suara rakyat, Seri Paduka bertitah Parlimen melaksanakan fungsi dan peranannya dengan berkesan ke arah mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi sebagai bukti kepada proses evolusi dan pemantapan daripada segi dasar yang berterusan.

Seri Paduka bertitah adalah sesuatu yang membanggakan apabila melihat prestasi kedua-dua Majlis Parlimen yang terdiri daripada Dewan Negara dan Dewan Rakyat semakin matang dan bertanggungjawab daripada segi perbahasan demi untuk kepentingan rakyat dan negara.

“Beta memahami, ada kalanya suasana dewan menjadi begitu mencabar. Tetapi suasana ini dapat ditenangkan dan diuruskan dengan kebijaksanaan Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat serta sikap bertolak ansur Ahli-Ahli Yang Berhormat.

“Sikap toleransi dan bertanggungjawab Ahli-Ahli Yang Berhormat penting bagi memastikan institusi Parlimen ini dapat memainkan peranan berkesan sebagai badan perundangan utama negara,” titah Seri Paduka pada majlis santapan menjunjung kasih sempena tamat tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Tuanku Mizan bertitah Parlimen perlu dilihat sebagai satu landasan penting dalam memastikan dasar kerajaan dilaksanakan secara efektif dan berkesan melalui mekanisme mengawasi dan menegur.

Terdahulu, keberangkatan tiba Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor; Yang Dipertuan Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Aman Mulia dan Yang Dipertuan Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Jamuan perpisahan itu dihadiri anggota Dewan Negara dan Dewan Rakyat daripada parti kerajaan dan pembangkang.

Pada 14 Oktober lepas, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Majlis Raja-Raja manakala Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong. – BERNAMA

Selasa, 6 Disember 2011

ISU BAHASA : Kita belum cinta bahasa sendiri


PENUTUP siaran berita stesen radio Klasik Nasional menuntut pendengar menggunakan bahasa kebangsaan dalam pertuturan harian kerana bahasa itu jiwa bangsa.

Rayuan itu berisi sedikit kerungsingan kerana sebelum ini pun pelbagai slogan kita laungkan menuntut masyarakat mengguna dan memperkasa bahasa sendiri daripada berkiblatkan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris.

Malangnya, masih ramai antara kita mendewa-dewakan bahasa Inggeris sehingga di kampung pun orang Melayu sudah bercakap Inggeris sesama Melayu sedangkan kita kaya dengan kosa kata bahasa sendiri, malah ada antara kita yang tidak tahu semuanya makna dan untuk menggunakan bahasa kita.

Sikap itu menunjukkan kita memperlekeh bahasa sendiri dan bagaimana kita mampu mengetengahkan bahasa kita ke peringkat antarabangsa kalau kita sendiri malas atau memandang rendah kepada bahasa sendiri.

Pelbagai kempen diadakan oleh pihak pemerintah melalui media massa dan slogan dapat ditemukan seperti ‘Cintailah Bahasa Kita’, ‘Bahasa Jiwa bangsa’, diharap tidak tinggal sebagai slogan saja tetapi usaha untuk memperkemas serta merealisasikan slogan itu patut disertakan dengan tindakan bersepadu.

Apa yang dapat kita lihat, di sekolah kita sudah mempunyai ‘minggu’ atau ‘bulan bahasa’ tetapi di manakah silapnya sehingga kita tidak dapat melahirkan generasi yang benar-benar sayang dengan bahasa sendiri, menggunakan bahasa sendiri tanpa segan silu.

Apakah pengisian sebenar ‘minggu’ atau ‘bulan bahasa’ di sekolah sehingga pelbagai gaya bahasa diguna pakai oleh pelajar sehingga menjejaskan imej Bahasa Kebangsaan.

Di sekolah, pelajar Melayu gemar menggunakan bahasa pasar, bahasa rekaan mereka sendiri sedangkan mereka inilah yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa sendiri.

Jika kita toleh kepada rancangan televisyen membabitkan temubual dengan remaja, yang mereka gunakan bahasa pasar dan bahasa ciptaan mereka yang sukar difahami golongan dewasa.

Untuk mengembalikan kegemilangan dan martabat bahasa Malaysia, kesedaran tinggi amat penting bagi setiap warga negara terutamanya masyarakat Melayu sama ada di peringkat rendah, pertengahan dan atasan bagi memastikan bahasa kita berada di tahap sewajarnya.

Pelbagai kempen susulan perlu mengekori kempen yang telah sedia ada dan mesti juga disertai dengan usaha meyakinkan khalayak terhadap bahasa kebangsaan supaya ia diguna pakai dan dipercayai keberkesanannya.

Selama ini, kita nampak subjek bahasa Malaysia (dulu bahasa Melayu), di sekolah belum cukup memberi keyakinan kepada masyarakat menggunakan bahasa berkenaan sebagai bahasa komunikasi secara keseluruhannya kerana ramai yang mempelajarinya hanya untuk lulus peperiksaan dengan tujuan menjawat jawatan yang mensyaratkan lulus mata pelajaran terbabit.

Di papan tanda kedai, sudah banyak kali diperkatakan mengenai kesalahan bahasa termasuklah papan tanda yang mengetepikan bahasa kebangsaan. Malah, percubaan membuang perkataan bahasa Malaysia di papan tanda pernah dicuba oleh pihak-pihak tertentu.

Masalah juga timbul apabila golongan elit Melayu di bandar lebih banyak bercakap bahasa Inggeris sesama bangsa daripada menggunakan bahasa sendiri. Di samping menggunakan bahasa rojak yang bercampur-campur ‘I’ dan ‘you’ dan pelbagai lagi, persepsi orang asing kepada kita mudah saja iaitu kita sebagai negara bekas tanah jajahan masih terjajah dari segi bahasa, pemikiran dan kebanyakan aspek hidup lain.

Mustahil golongan muda Cina dan India tidak boleh bercakap bahasa Malaysia kerana di sekolah mereka sudah diajar dengan bahasa tersebut malah ada antara mereka lebih pandai berbahasa Malaysia daripada orang Melayu.

Sikap orang Melayu yang awal-awal lagi mendidik bangsa asing bercakap Inggeris memburukkan keadaan. Maka oleh itu, tidak hairanlah dalam pelbagai urusan surat-menyurat sesetengah bank, syarikat pemaju perumahan dan sebagainya ditulis dalam bahasa Inggeris.

Tidak ketinggalan juga sikap pakar bahasa yang sering menukar itu dan ini dalam bahasa Malaysia merumitkan keadaan. Tidak hairanlah nama bahasa kita sendiri sudah ditukar beberapa kali, sekejap ‘bahasa Melayu’, sekejap ‘bahasa Malaysia’ dan tidak mustahil suatu masa nanti, akan digunakan semula ‘bahasa Melayu’.

Orang asing melihat kita tidak mempunyai identiti dalam bahasa apatah lagi orang kita. Inilah antara masalah yang menunjangi bahasa kita dan nasib masa depannya kerana keyakinan kita sendiri terhadap bahasa ibunda tidaklah menebal.

Kita tidak tahu nasib bahasa kita sepuluh atau dua puluh tahun akan datang. Adakah bahasa kita akan lebih teruk dicampur-aduk dengan bahasa asing atau sebaliknya bergantung kepada generasi sekarang mendidik, memandu arah dan meletakkan bahasa di peringkat sewajarnya.

Soalnya, sekarang pun ramai yang menganggap bahasa kita sudah terpinggir. Jika tidak diwajibkan mata pelajaran bahasa Malaysia di sekolah, sudah lama bahasa kita tinggal sebagai sejarah.

Bahasa kita sudah dikenali dan dipertuturkan dengan meluas sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka sebagai lingua franca yang menyatukan pelbagai bangsa pada zaman itu.

Sehingga kini, bahasa tetap memainkan peranan yang sama iaitu ke arah membentuk dan memperkukuh perpaduan kaum di negara kita yang dihuni oleh pelbagai bangsa. Jika tidak menerusi bahasa yang sama, kehidupan dan aktiviti masyarakat kelihatan akan berkelompok, berpuak-puak dan tidak akan mencapai keharmonian seperti yang diharap-harapkan.

James T Collins dalam bukunya ‘Bahasa Melayu Bahasa Dunia’, terjemahan Alma Evita Almanar, 2005, antara lain menulis bahawa Reid (1988) menyimpulkan kedudukan bahasa Melayu pada abad Perdagangan sebagai bahasa yang menjadi alat perhubungan kerana masyarakatnya berbual menggunakan bahasa Melayu, walaupun mereka berasal dari pelbagai negara termasuk Filipina, Cina, India dan sebagainya. Mereka menjalankan urusan perniagaan dalam bahasa Melayu di pelabuhan.

Kesimpulannya, bahasa kita sudah mantap penggunaannya sejak zaman berzaman, cuma kita sendiri yang mampu meneruskannya jika kita benar-benar sayang akan bahasa kita.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/