Khamis, 29 Disember 2011

ISU KESIHATAN : Azam tahun baru tanpa stres?


Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Lembaran 2012 akan terbuka untuk mengisi episod suka dan duka sepanjang tahun setiap insan. Ramai yang berpendapat tidak lengkap tahun baru tanpa azam baru . Ketika ini, pasti ramai yang sedang menilai pencapaian azam lama. Sudah pasti selepas itu anda akan terfikir azam baru . Ketika membaca sebuah majalah baru-baru ini, agak mengejutkan apabila satu artikel mengatakan azam tahun baru boleh menyebabkan stres.

Menurut artikel tersebut, terdapat satu kajian tentang isu ini di United Kingdom yang dilakukan oleh sebuah institusi badan bukan kerajaan bernama Mind. Laporan kajian tersebut mengatakan azam tahun baru membuatkan kita fokus pada keburukan diri sendiri, mencari kesilapan dan kehodohan sepanjang masa depan. Ia dikatakan tidak baik untuk masa depan. Laporan tersebut mengatakan, azam tahun baru tidak baik untuk kesihatan mental kerana kita akan diselubungi dengan perkara negatif sahaja.

Ini secara tidak langsung akan menyebabkan seseorang berasa stres atau tertekan. Dalam pada itu, azam lama masih tidak menunjukkan kemajuan dan diulang semula.

Sejauh mana kebenaran fakta ini?

Fakta ini tidak 100 peratus sahih dan boleh dipercayai kerana individu kita adalah berbeza pemikiran masing-masing berdasarkan pergaulan sosial dan latarbelakang kehidupan masing-masing.

Tambahan setiap orang tidak dikelilingi oleh kelompok orang yang sama dan boleh mempengaruhi kehidupan seseorang itu dan pemikirannya.

Jika individu mempunyai azam baru yang lebih fokus untuk mendapatkan kejayaan, dia tidak akan menoleh ke arah fakta yang lebih kepada mencari kesilapan. Tetapi dia akan menggunakannya untuk untuk memperbaiki apa yang menjadi kelemahan dan kesilapan yang telah berlaku. Hanya individu yang kecewa sahaja yang nampak kepada keburukan diri sendiri.

Azam bermaksud cita-cita, kecekalan, semangat dan ketentuan diri sendiri yang lebih meyakinkan diri sendiri untuk masa depan yang lebih terjamin, bahagia dan ceria.

Dalam pada itu, kesihatan mental seseorang tidak bergantung kepada masa-masa contoh tahun baru , tengah tahun atau akhir tahun.

Maknanya, stres yang dialami tidak mengenal masa.

Ia lebih banyak bergantung kepada kelangsungan hidup yang berlaku pada seseorang dalam pergaulan hidup bermasyarakat.

Misalnya, pada zaman millennium atau era baru sekarang ini, banyak perkara yang berlaku.

Banyak perkara yang berubah seperti pemikiran kita juga turut mengikut perubahan ini agar tidak terkebelakang atau terlalu kehadapan. Cuma mungkin jika seseorang itu tidak dapat memenuhi keperluan dan kehendak sekelilingnya, stres akan berlaku. Jika tidak dibendung, ia boleh membawa kepada terjejasnya kesihatan mental.

MENTAL

Jadi, tahun baru bukan penanda untuk bermulanya perkara yang tidak baik untuk kesihatan mental.

Secara amnya, azam tahun baru mempunyai kebaikan dan keburukan kepada mental seseorang.

Kebaikannya, ada matlamat yang lebih fokus membawa kepada perancangan strategi bergantung kepada segala kemudahan dan kebolehan yang ada diri sendiri.

Baik atau buruk dengan azam yang telah ditanam pada awal tahun membuatkan seseorang itu lebih yakin tentang apa yang perlu dilakukan.

Keburukan azam tahun baru , kemungkinan ia akan membawa kepada banyak perancangan hingga boleh menjejaskan kehidupan rutin seharian.

Ini akan menyebabkan individu itu mempunyai tugasan atau tanggungjawab yang terlalu banyak. Memadai sekadar yang boleh dilakukan dalam tahun itu merujuk kepada tanggungjawab lain, masa dan keadaan. Kadang-kadang terlalu banyak azam boleh membawa kepada kekecewaan jika semua azam itu tidak dapat dicapai pada penghujung tahun. Apabila seseorang itu berasa kecewa, ia akan menyebabkan stres.

Ini kerana apabila kita sebut azam tahun baru kita sering mengaitkannya dengan tahun itu juga kecuali disebut, " azam aku dalam dua tahun ini untuk dapat yang terbaik buat diri aku"

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU AGAMA : Muhasabah akhir tahun, bina harapan pada tahun baharu


DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR

TAHUN baharu menjelang tiba, namun rentetan peristiwa yang berlaku pada tahun 2011 meninggalkan banyak kenangan pahit dan manis. Semuanya adalah rencah dan rencam kehidupan yang perlu kita fahami bagi membolehkan menjadikannya sebagai ikhtibar untuk masa depan.

Sejak permulaan 2011 lagi seluruh dunia dikejutkan dengan pelbagai bentuk bencana dan kerakusan moral manusia sehingga ke akhirnya masih tidak menunjukkan adanya tanda-tanda akan reda. Revolusi yang menimpa negara-negara Arab masih belum sepenuhnya kembali normal, bahkan gelora berontak rakyatnya semakin sukar untuk distabilkan kepada keadaan sebelumnya.

Bencana alam yang menimpa beberapa negara turut meninggalkan trauma yang besar apatah lagi dalam tempoh kurang dari setahun berlaku gempa bumi berikutnya sebagaimana terjadi di Christchurch, New Zealand. Masyarakat yang menghuni kawasan terbabit sentiasa berada dalam ketakutan.

Bencana berkembar yang menimpa Jepun turut menghimpitkan kehidupan sehingga sebahagian besar masyarakat Fukushima dan Niigata terpaksa membina semula dengan jerih payah. Kehilangan harta benda tidak dapat dilupa bahkan kehilangan sanak-saudara terus menjadi emosi sedih menyelubungi kenangan sepanjang hayat.

Thailand terbelenggu dengan kemusnahan yang besar akibat banjir yang melanda kota Bangkok selama lebih sebulan menyebabkan kerugian melampaui ratusan juta dolar. Bahkan fenomena air pasang besar yang melanda Kelantan, Johor, Terengganu dan Pahang menjadikan penghuni sekitar pantai sentiasa cemas. Kini diramalkan kejadian yang sama bakal menimpa pesisir pantai Sarawak dan Sabah.

Dalam perspektif Islam, setiap bencana yang melanda dilihat sebagai satu kaedah bagaimana Allah SWT menguji kesabaran dan sikap pasrah dirinya. Bencana boleh dinilai sebagai perencah yang boleh menambahkan keimanan seseorang malah malapetaka itu juga boleh ditinjau dalam persekitaran kealpaan manusia terhadap keharmonian alam sekitar.

Lebih menyedihkan ialah bagaimana manusia turut melakarkan ke arah kehidupan yang serakah dan penuh kepalsuan sehingga sanggup melanggar nilai adat dan etika. Mereka yang berkuasa, sanggup melakukan "penjualan maklumat dari dalam" sehingga membolehkan kenalan atau kroninya membida sesuatu tender dengan tawaran yang lebih baik, sedangkan keupayaan fizikalnya amat terhad.

Mereka yang melaksanakan urusan pemberian kontrak sanggup menerima tawaran daripada para pelobi dengan sedikit imbuhan manakala ada juga yang menubuhkan syarikat tertentu atas nama sanak saudaranya yang terdekat semata-mata inginkan projek terbabit.

Bencana yang dimaksudkan itu menggambarkan betapa menipisnya moral seseorang, termasuk tokoh agama. Tokoh agama sanggup berbohong dan bahkan melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa. Dalam hal ini, ia bukan sahaja membantu membentuk imej buruk orang tertentu, bahkan organisasi yang berada di sekelilingnya.

Institusi agama turut menerima tempias, kerana ada segelintir pemimpinnya sanggup menipu atas alasan kepentingan agama. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman: "Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada Hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan jalan dosa. Padahal kamu mengetahui. " (Al-Baqarah [2] : 188)

Kita tidak mengharapkan sesetengah bencana itu berlaku ke atas diri mahupun keluarga kita, tetapi ia boleh berlaku juga atas kesilapan diri kita sendiri. Dengan menurunkan bencana, Allah SWT sebenarnya memberikan petunjuk bahawa atas kedegilan itulah dunia bakal musnah dan kehidupan berkecai.

Namun, ketika ditimpa musibah, manusia begitu mengharapkan belas ihsan Allah SWT agar ia dihentikan secepat mungkin sebagaimana trauma manusia ketika dilanda tsunami tujuh tahun lalu.

Musibah juga merupakan petanda akan datangnya limpahan rahmat Allah.

Betapa pahit dan getirnya musibah yang menimpa, baik berupa kemiskinan, kesakitan, ketakutan, kegagalan mahupun semua bencana di dunia ini, Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dansyaqi menjelaskan di dalam kitabnya Mau'idhatul Mu'minin bahawa di dalamnya mengandungi lima perkara yang sepatutnya disyukuri.

Pertama,memberikan kita pengertian bahawa musibah itu adalah hakikat kebesaran Allah SWT.

Kedua,musibah yang menimpanya itu tidak membabitkan urusan agama.

Ketiga, musibah yang menimpanya pada ketika dia masih berada di dunia adalah lebih ringan berbanding ketika di akhirat. Semasa dilanda musibah di dunia, manusia masih mempunyai peluang untuk mengatasinya, tetapi di akhirat peluang itu tertutup sepenuhnya.

Keempat, sejak azali lagi setiap musibah itu telah tertulis di lohmahfuz, jauh sebelum kelahiran seseorang itu lagi.

Kelima, apabila kita dapat menerima musibah dengan sabar dan tenang, kita sebenarnya berupaya lahir sebagai orang kuat dan yakin dengan ketentuan Allah SWT, yakni menerima suratan takdir.

Dalam meneruskan kehidupan ini, kita harus bersyukur kerana kita dilahirkan dalam sebuah negara (Baldatun Thoiyyibatun) yang dilimpahi nikmat kekayaan, jauh daripada malapetaka alam yang besar dan sentiasa dilingkari kedamaian.

Secara lahiriah, kemakmuran boleh dilihat dengan jelas, namun tidak mampu melahirkan ketenangan dan kebahagiaan. Sebaliknya, mereka dilanda gelisah, cemas, bimbang dan takut. Ada juga manusia berpura-pura hidup dalam keadaan tenang dan makmur, tetapi dalam hati kecilnya penuh dengan kebimbangan, ketakutan dan rasa cemas.

Bencana juga turut dikaitkan dengan aktiviti yang berkaitan dengan kemaksiatan, sehingga tidak ada yang mampu mencegahnya dan tidak ada pula yang mampu mengajaknya ke jalan yang benar.

Amar makruf nahi mungkar adalah dua perkara yang harus dilakukan bersama. Amar makruf nahi mungkar yang dilakukan oleh pemerintahan itu berupaya membimbing atau mengajak rakyatnya bersungguh-sungguh dalam menegakkan peraturan dan undang-undang tersebut.

Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 28 Disember 2011

ISU AGAMA : Ikhlas tingkat ketakwaan Muslim


Oleh Nik Salida Suhaila
salidasuhaila99@yahoo.com


Jujur laksana tanggungjawab, ibadat tugas utama manusia

BELUM terlewat kita ambangkan 2012 dengan penuh insaf dan syukur. Segala yang berlaku menjadi pengajaran. Untuk tahun baru, tentu azam dan perancangan dinobat lagi, tidak lain dan tidak bukan merealisasikan hasrat dan tekad baru, semoga ia menjanjikan kehidupan lebih baik daripada sebelumnya.

Sebagai makhluk menjunjung tugas khalifah, setiap manusia tidak terlepas daripada tanggungjawab kepada Yang Maha Mencipta, sesama manusia dan makhluk serta diri sendiri. Semuanya semata-mata ketaatan kepada Allah SWT.

Tujuan diciptakan manusia sebagai makhluk di muka bumi ini semata-mata untuk beribadah kepada Allah SWT. Apa juga tindak tanduk bukan ibadat ialah perbuatan sia-sia dan tidak mendapat ganjaran kebaikan di akhirat kelak, bahkan hanya menjadi amalan diri sendiri, sedangkan pekerjaan dilakukan dengan susah payah boleh menjadi ibadat dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Itulah kelebihan orang bekerja. Selain mendapat upah dan meningkatkan kemahiran, kerja dilakukan dengan penuh keikhlasan dan terjaga dalam batas syariat dianggap ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah serta memungkinkan terpilih bersama golongan beruntung di akhirat.

Beribadah bukan saja tertakluk kepada solat, puasa, menunaikan zakat dan haji tetapi meliputi semua perbuatan termasuk menuntut ilmu, mengajar, berjual beli, mentadbir, berpolitik hatta makan dan minum, asalkan ia dilakukan kerana takut kepada Allah. Kerja bukanlah semata-mata menuntut kita berada di pejabat. Ia bukan juga memerlukan kelulusan tinggi.

Ia tidak termasuk usaha mencuri, merompak atau membunuh kerana ia bukan usaha dilakukan untuk menjadikan sesuatu itu lebih baik daripada sebelumnya. Dalam bidang pendidikan contohnya, sudah tentu mereka yang menuntut ilmu berhasrat menjadi orang arif sekali gus membebaskannya daripada belenggu kejahilan dan nafsu jahat yang menjadikannya sombong kepada Allah.

Begitu juga orang yang mengajar, mereka sedaya upaya mendidik sesiapa saja yang memerlukan ilmu agar mereka keluar daripada kepompong kejahilan dan hawa nafsu, dan menambahkan umat yang patuh kepada perintah Allah, bersandarkan ilmu diperoleh. Mereka menjadikan kerjaya mengajar sebagai ibadat tidak akan mengajar untuk mendapat gaji bulanan dan bonus tahunan, atau dinaikkan pangkat dan berkira dengan titik peluh atau masa perlu dilaburkan melebihi sepatutnya. Ini kerana mereka pasti keikhlasan menabur bakti akan mengakrabkan diri kepada Allah dan menjadi nilai tambah dalam kewajipan sedia ada.

Paling utama ialah kerja dilakukan isteri atau ibu yang merangkumi komitmen dalam sfera awam dan domestik. Sebagai pekerja bertanggungjawab dalam bidang tertentu, isteri atau ibu akan bertugas seperti orang lain untuk memenuhi objektif, misi dan visi organisasi, manakala dalam masa sama mereka juga perlu memberikan komitmen tinggi kepada tugas domestik, untuk memenuhi keperluan setiap ahli keluarga. Bebanan kerja yang tinggi dan waktu bekerja tidak terbatas bukan boleh dilakukan semua orang.

Perlu kita ingat bertambah atau berkurangnya komitmen kita dalam bekerja tidak akan memberi kesan langsung kepada Dia yang menyuruh kita melakukan kerja sebagai ibadat.

Allah tidak mengharapkan walau satu sen pun daripada upah kita berkerja, sebaliknya semuanya adalah untuk kita sendiri, bahkan sekiranya kita menjadikan kerja sebagai ibadat, kita mendapat manfaat daripadanya pada hari pengadilan kelak.

Perkara ini jelas dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepada-Ku, Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah Dialah saja yang memberi rezeki kepada sekalian makhluk-Nya dan Dialah saja yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh Kekuasaan-Nya”. (Surah Az-Zaariyaat ayat 56-58)

Allah memandang rendah kepada orang yang tidak bekerja. Mereka sentiasa meminta-minta dan tidak mampu menunaikan tanggungjawab kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara, bahkan menjadi beban kepada orang lain, sedangkan sesiapa yang berusaha mencukupkan keperluan keluarganya dan tidak berharap kepada bantuan orang lain termasuklah kedua ibu bapanya adalah jihad fisabilillah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Negara berisiko 'muflis' jika gagal tangani kos rawatan penyakit NCD


Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my


MASYARAKAT pernah beranggapan penyakit kadiovaskular, khususnya jantung dan strok, diabetes dan kanser ialah penyakit 'orang kaya' tetapi ternyata ia tidak seperti yang difikirkan.

Malah, golongan berpendapatan rendah dikatakan lebih terdedah kepada risiko kerana cara dan gaya pilihan hidup yang boleh mengundang penyakit terbabit.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases (NCD) ini sudah menjadi wabak iaitu satu penularan penyakit peringkat global yang perlu ditangani segera dengan berkesan.

NCD juga dikatakan penyebab kematian pramatang (usia di bawah 60 tahun) utama di dunia, terutama dalam kalangan penduduk negara membangun dan produktif dalam ekonomi.

Dianggarkan 25 peratus daripada sembilan juta kematian pramatang peringkat global itu sebenarnya boleh dicegah seandainya pesakit mengambil langkah pencegahan.

Penyakit yang tidak merebak daripada seorang individu kepada individu lain ini, berpunca daripada perkongsian tiga faktor risiko utama seperti gaya hidup yang tidak aktif, pemakanan yang tidak sihat dan budaya ketagihan rokok.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha, berkata penduduk kawasan luar bandar berdepan dengan risiko yang lebih tinggi berbanding bandar.

“Risiko sebenarnya lebih tinggi dalam kalangan golongan berpendapatan rendah kerana mereka lebih cenderung membelanjakan wang untuk pembelian makanan yang tidak sihat, tidak bersenam dan lebih buruk lagi kebanyakan mereka sukar meninggalkan tabiat merokok,” katanya, baru-baru ini.

Selain peringkat global, penyakit NCD menjadi penyebab utama kematian pramatang di Malaysia sejak 1990-an lagi.

Statistik kematian akibat penyakit NCD di hospital kerajaan sejak 2000 hingga 2008 meningkat daripada 10,053 kes kepada 17,175 kes membabitkan kematian di bawah usia 60 tahun.

Fakta Kesihatan 2010 Kementerian Kesihatan menggariskan 10 punca utama kemasukan ke hospital, dua jenis penyakit yang mempunyai kaitan dengan NCD adalah penyakit berkaitan sistem pernafasan (9.56 peratus) dan sistem peredaran darah (6.88 peratus).

Kedua-dua penyakit ini juga ialah antara dua punca teratas daripada 10 penyebab kematian di hospital kerajaan yang masing-masing mewakili 25.35 peratus dan 18.46 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian yang dicatatkan.

Apa yang menjadi kebimbangan kementerian ialah kedudukan Malaysia yang tersenarai sebagai 10 negara yang mempunyai kewujudan penyakit diabetes tertinggi antara negara membangun di dunia. Kini dianggarkan kira-kira satu daripada lapan rakyat dewasa Malaysia menghidap diabetes dan hampir satu daripada tiga menghidap tekanan darah tinggi.

Jumlah ini secara keseluruhannya mewakili anggaran 700,000 pesakit diabetes yang mendapatkan rawatan di lebih 800 kemudahan kesihatan kerajaan.

Dr Fiesul Idzwan berkata, keadaan yang amat kritikal ini bukan saja menyumbang kepada peningkatan jumlah pesakit tetapi ia juga bakal menambah perbelanjaan kerajaan terutama dalam membekalkan ubat-ubatan untuk merawat pesakit.

Peruntukan yang besar juga bakal mendatangkan kesan kepada perbelanjaan kerajaan kerana tidak mustahil akan menjadikan negara berhadapan dengan risiko muflis jika keadaan ini tidak ditangani dengan bijak.

Kewujudan diabetes dan ‘hypercholesterolaemia’ meningkat melebihi jangkaan. Apa yang menjadi kebimbangan ialah jumlah individu yang masih belum mendapatkan pemeriksaan doktor. Ini membuktikan masih ramai rakyat Malaysia tidak menjalani pemeriksaan saringan kesihatan secara tetap dan berkala.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Perspektif Akademik Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan


DATUK RUHANIE AHMAD

ARTIKEL ini disedut daripada penyelidikan akademik dengan hipotesis bahawa pelbagai peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan boleh mencetuskan ancaman keselamatan masyarakat, keselamatan nasional dan kelangsungan negara jika ditafsirkan menerusi perspektif yang serong dan sempit.

Ini kerana Malaysia, sebuah negara bangsa pada era pramerdeka telah ditransformasikan menjadi negara majmuk pada era merdeka; sementara bangsa Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal, serta keturunan Cina, India dan lain-lainnya selaku golongan migran pada era pramerdeka telah digemblengkan menjadi warganegara dengan nasionaliti yang sama, menerusi kuasa Perlembagaan Persekutuan pada 15 Ogos 1957.

Hakikat ini menyebabkan Malaysia sentiasa terdedah kepada pelbagai elemen konflik (Buzan 1991:72), dicirikan oleh konflik etnik (Marger 2003:6), dan berkemungkinan dicengkam keadaan tidak selamat (Kaufman 2008:201).

Perkara 153 mengenai keistimewaan Melayu dan bumiputera dimaktubkan ke dalam Perlembagaan negara berdasarkan mandat utama Ratu Inggeris dan Raja-Raja Melayu kepada Suruhanjaya Reid - mewujudkan a common nationality for the whole of the Federation and the safeguarding of the special positions of the Malays and the legitimate interests of other communities.

Suruhanjaya Reid juga mendapati kedudukan istimewa Melayu memang sentiasa diiktiraf di dalam pelbagai perjanjian antara pihak British dengan Negeri-Negeri Melayu.

Hakikat ini juga termaktub di dalam The Federation Agreement 1948 di mana Pesuruhjaya Tinggi British dipertanggungjawabkan dengan pemeliharaan keistimewaan Melayu dan kepentingan sah lain-lain bangsa.

Huraian ini bermaksud pemaktuban Perkara 153 bukan diperjuangkan oleh Perikatan. Sebaliknya, kerana peruntukan yang sama termaktub di dalam Perlembagaan Negeri-Negeri Melayu dan The Federation Agreement 1948. Ini disahkan oleh Lennox-Boyd selaku Setiausaha bagi Tanah Jajahan British seperti berikut:

The special position of the Malays was recognised in the original treaties made by His Majesty in previous years, and Her Majesty Queen Victoria and others with the Malay States. It was reaffirmed when these treaties were revised. It was confirmed in The 1948 Agreement, and reference was expressly made to it in the terms of reference of the Reid Commission. So the Malay privilege clauses in the articles of the Constitution do not, in the main, introduce any precedent, but give recognition in the Constitution to the existing situation. The Reid Commission found very little opposition in any quarter in Malaya to the continuance of the present system for a time (ibid:12 Julai 1957).

R. H. Hickling (1979) pula menegaskan, pemaktuban Perkara 153 adalah berkait rapat dengan tahap kemiskinan bangsa Melayu di era penjajah. Huraian ini boleh difahami dengan lebih jelas menerusi pelbagai perangkaan mengenai tahap ekonomi di Tanah Melayu pada di era penjajahan.

The Deptartment of Statistics (1958-1960) menegaskan, etnik Cina pada ketika itu [pada tahun 1957] menguasai ekonomi negara secara kukuh sementara orang Melayu masih dalam kemiskinan.

Ling Liong Sik (1995:3) menyatakan, seawal tahun 1937, pelaburan etnik Cina di Malaysia adalah sebanyak AS$200 juta berbanding pelaburan asing lainnya sejumlah AS$454.5 juta.

Gomez & Jomo (1997:14-15) menegaskan, pada tahun 1950-an, syarikat-syarikat Eropah menguasai 65 peratus (%) hingga 75% perdagangan eksport dan 60% hingga 70% perdagangan import [di Tanah Melayu]; syarikat-syarikat etnik Cina menguasai 10% daripada agensi eskport; syarikat etnik India menguasai 2% daripada perdagangan berkenaan; orang Melayu langsung tidak memiliki sebarang ekuiti dalam mana-mana perdagangan.

Dalam konteks di atas Faaland, Parkinson & Rais Saniman (2000:16-17) menegaskan seperti berikut: Orang Melayu menganggap peruntukan [Perkara 153] sebagai sesuatu yang suci, manakala setengah-tengah orang bukan Melayu mempersoalkan sama ada peruntukan tersebut adalah berkaitan dan mengikat hinggakan pada hari ini.

Mengikut mana-mana tafsiran yang munasabah, makna peruntukan tersebut di dalam Perlembagaan adalah bahawa kesejahteraan ekonomi dan sosial orang Melayu yang lemah dari segi ekonomi hendaklah dilindungi dan digalakkan berbanding dengan orang bukan Melayu yang lebih maju.

Sebagai balasan kerana diberikan kelebihan begini, orang Melayu mengadakan konsesi yang berpadu mengikut kuasa politik dengan memberikan kewarganegaraan Persekutuan kepada orang bukan Melayu.

Sebagai tambahan, orang bukan Melayu dijaminkan bahawa mereka bebas menjalankan perniagaan tanpa diganggu, boleh mengekalkan dan mengembangkan budaya serta warisan mereka sendiri, dan boleh hidup secara berasingan. Dengan kata lain, Perlembagaan mengadakan peruntukan khas untuk orang Melayu, manakala warganegara bukan Melayu mempunyai haknya yang dijamin di bawah Perlembagaan (ibid).

Tan (1987:251) pula menegaskan, Perkara 153 sebenarnya mempunyai "careful balancing which has important bearing not only on social justice but even ethnic relations is also reflected in the provision for Malay reservations."

Beliau mengetengahkan dua contoh khusus - pertamanya mengenai Perkara 153(9) yang memaktubkan "tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak."

Keduanya mengenai tanah simpanan Melayu. Tan memetik Perkara 89(2)(a) yang memaktubkan "jika mana-mana tanah di sesuatu negeri diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini, suatu keluasan tanah yang sama dengan luas tanah itu di dalam negeri itu yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam hendaklah diadakan bagi pemberian hak milik umum."

Huraian Faaland et al. (2000) dan Tan (1987) membuktikan Perlembagaan Persekutuan adalah adil kepada seluruh warganegara Malaysia. Lantas adalah meleset untuk mana-mana pihak mentafsirkan Perkara 153 sebagai peruntukan yang menindas rakyat bukan Melayu.

Demikianlah latar belakang pembentukan Perkara 153 yang telah dikaji oleh Suruhanjaya Reid, Perikatan dan Jawatankuasa Kerja Tripartite dianggotai oleh wakil-wakil Kerajaan Perikatan, Raja-Raja Melayu dan Kerajaan British.

Kesimpulannya, Perkara 153 adalah peruntukan yang dimaktubkan secara teliti dan profesional bagi mengiktiraf sejarah dan jati diri bangsa Melayu dan bumiputera di tanah air asal mereka yang dikenali sebagai Tanah Melayu.

Tafsiran sempit dan serong terhadap peruntukan ini boleh menyemarakkan sentimen perkauman dan berpotensi mencetuskan konflik etnik yang mengancam keselamatan masyarakat, keselamatan nasional dan kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang kini aman, damai, makmur dan sejahtera.

Penulis ialah bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor dan bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi dan keselamatan di UKM.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 27 Disember 2011

ISU AGAMA : Azam baik tidak perlu tunggu tahun baru untuk diterap


Oleh Lokman Ismail

ISLAM tidak menegah acara sambutan tahun baru asalkan aktiviti sambutan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Ironinya, amat mendukacitakan sambutan tahun baru kebanyakannya bercanggah dengan syariat Islam dan budaya Melayu. Banyak acara hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, minum arak dan keriangan mengasyikkan.

Fenomena ini perlu dibendung, bukan saja masa sambutan, bahkan pada bila-bila masa. Islam mementingkan hidup berlandaskan syariat untuk mencegah perkara buruk.

Muda mudi kita terikut-ikut dengan budaya masyarakat lain yang berpunca daripada kelemahan pegangan akidah. Pengaruh asing yang masuk melalui media massa dan pengalaman hidup di luar negara, serta kegagalan menanam kefahaman agama menjadi punca keruntuhan moral anak muda yang semakin parah.

Syaitan sentiasa mengambil kesempatan menyesatkan manusia dengan pelbagai cara, termasuk aktiviti seperti sambutan tahunan itu. Tugas syaitan menjadi mudah kerana ‘budaya’ dan ‘kebiasaan’ diamalkan setiap tahun menjadi ikutan tanpa syaitan perlu berkerja keras memujuk manusia melakukan kejahatan dan dosa.

Syaitan mahu menyesatkan seseorang dengan kesesatan yang paling berat. Sebab itu setiap kejahatan yang dilakukan akan berulang dan ditambah pula dengan kesalahan lain. Manusia yang tunduk dengan hasutan syaitan merasa bangga melakukan kejahatan dengan alasan untuk rasa gembira.

Firman Allah bermaksud: “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya.” – (Surah an-Nisa, ayat 60)

Hanya orang yang benar-benar beriman dan bertakwa mampu menangkis segala serangan dan hasutan syaitan biarpun tidak melihat di mana syaitan itu berada. Hidup dalam era moden ini mendedahkan manusia dengan jerat syaitan yang sesuai dengan budaya hidup diamalkan masyarakat lain.

Kejatuhan sesuatu bangsa dan negara berpunca daripada musnahnya nilai murni dalam amalan hidup rakyatnya. Masalah ini akan menjadi parah jika pencegahan dan pemulihan awal tidak dilakukan segera.

Sambutan tahun baru hendaklah dilakukan dengan menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh fasa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya.

Orang Islam perlu menyambut tahun baru dengan identiti yang membanggakan. Jauhkan diri daripada terikut-ikut dengan sambutan yang dilakukan oleh penganut agama lain. Sabda Rasulullah bermaksud: “Bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” (Hadis riwayat Abu Daud).

Harapnya kita semua termasuk dalam golongan yang beruntung di dunia dan akhirat. Masa yang berlalu dipenuhi dengan amal kebaikan dan masa bakal ditempuh pula dirancang untuk diisi dengan amalan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Allah memberi peringatan agar mementingkan masa. Maksud firman Allah: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” – (Surah al-Ashr, ayat 1 hingga 3)

Tahun baru sepatutnya dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang sudah dilalui sepanjang setahun. Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang sesuatu lebih baik untuk tahun seterusnya.

Berusaha mengubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna telah mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya.

Namun, azam baik tidak seharusnya ditunggu hanya apabila sambutan tahun baru. Setiap masa kita dituntut untuk melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding sebelumnya. Jika sudah melakukan kesilapan, segera memperbaikinya.

Sekiranya ia membabitkan dosa, sebaik menyedarinya hendaklah terus bertaubat yang menjadi lambang atau tanda tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu. Salah satu tanda taubat ialah berazam meninggalkan amalan buruk dan beralih melakukan perbuatan baik.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambahlah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya.” – (Hadis Riwayat Ahmad)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Cedok Hasil Orang Calar Imej Cendekiawan


Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


AMAT memalukan dan mengecewakan apabila ahli akademik serta warga institusi pengajian tinggi yang diiktiraf intelektual, profesional serta terpelajar masih dibelenggu budaya plagiarisme hingga menjatuhkan taraf kredibiliti golongan terbabit.

Budaya yang tidak pernah surut membelenggu dunia akademik ini bukan saja mencerminkan ketidakjujuran sesetengah ahli akademik dalam profesion kolar putih malah mampu menggugat kualiti graduan dihasilkan.

Atau kerana sikap sambil lewa masyarakat menyebabkan budaya berkenaan terus berleluasa meskipun mencalarkan imej warga terpelajar.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Omar Abdull Kareem berkata, budaya plagiarisme yang tidak dibendung mampu ‘menghakis’ dan membunuh usaha melahirkan golongan akademik berwibawa.

Budaya itu, menurutnya boleh dianggap sebagai parasit kerana bukan sekadar membinasakan kredibiliti, malah menyebabkan mereka berterusan memplagiat tanpa menghiraukan penat lelah orang lain.

“Isunya bukan hanya membabitkan satu pihak malah mempengaruhi pihak lain yang terlebih dulu bersusah payah menghasilkan terbitan, karya dan idea asli. Lebih malang lagi apabila kegiatan itu dilakukan mereka yang menggelarkan diri sebagai ‘golongan intelektual’.

“Sudah tentu ia satu penipuan dan merendahkan martabat malah masyarakat juga tertipu kerana mempercayai kemampuan golongan ini dalam menghasilkan hasil bermutu dan bersifat akademik.

“Bukankah ini sungguh mencalarkan imej padahal mereka mendapat sanjungan masyarakat? Sanggupkah menerima pengiktirafan itu jika tidak jujur?

“Justeru, berfikirlah secara positif dan matang sebelum melakukan tindakan itu supaya ia tidak memalukan diri sendiri dan institusi,” katanya.

Plagiat secara am ditakrif sebagai usaha menciplak tesis, kertas kerja atau kajian membabitkan ayat dalam karya selain persoalan hak cipta. Sementara idea, data, ciptaan dan penulisan pula adalah paling sinonim diplagiat.

Antara faktor yang memungkinkan berlakunya plagiarisme adalah masa, tiada komitmen dan penyeliaan dilakukan secara sambil lewa serta tiada kesungguhan.

Beliau berkata, mahasiswa dan pensyarah perlu memainkan peranan penuh bertanggungjawab bagi memastikan penumpuan serta integriti tidak lari daripada panduan menghasilkan karya bermutu.

“Malangnya, sebahagian besar hanya melihat jalan mudah hingga sanggup membelakangkan profesionalisme dan harga diri semata-mata memastikan kejayaan menghasilkan karya, tesis atau jurnal tercapai.

“Mereka tolak ke tepi nilai ilmu yang ingin diterapkan hingga menjadikan budaya ini satu kebiasaan. Harus sedar, berada di institusi pengajian tinggi bermakna perlu menggandakan usaha, bersusah payah dan berdepan rintangan sebelum berjaya.

“Barulah hasil kejayaan dikecapi itu manis dan berbaloi. Namun jika asyik memplagiat hasil orang lain, apakah makna perjuangan ilmu itu?” katanya mengakui penyeliaan dalam apa jua penghasilan karya perlu dilakukan dengan penuh teliti.

Menurutnya kajian atau penulisan bertujuan mencambah pemikiran baru selain meningkatkan lagi nilai intelektual individu. Ia perlu dipantau dan diteliti sebelum diiktiraf.

“Longgarnya aspek itu akhirnya memungkinkan plagiarisme berlaku sekali gus menghakis sedikit demi sedikit nilai asli yang ingin dihasilkan. Bayangkan jika semua hasil adalah plagiat, apakah kualiti yang mampu dicapai?,” katanya.

Budaya itu juga, katanya, sangat memalukan dan tidak adil kepada kelompok lain yang berusaha keras menghasilkan karya asli namun tetap mendapat pengiktirafan sama.

Meskipun universiti mengamalkan dasar dan polisi tegas untuk membendung budaya itu, masih ada yang berani melakukannya kerana beranggapan ‘tiada siapa tahu’ selain menjimatkan masa.

“Setiap institusi mempunyai polisi ketat bagi memastikan budaya plagiarisme tidak menular, sekali gus menjatuhkan nama baik institusi. Bagaimanapun, masih ada yang berani menongkah arus semata-mata memastikan misi tercapai.

“Lebih hebat, mereka turut memplagiat hasil penyelidikan. Ironinya, budaya ini tidak terhad hanya pada golongan akademik, malah mahasiswa turut sama melakukannya.

“Cuma caranya berbeza dengan penilaian atau tujuan berlainan. Apapun alasan, ia sama sekali tidak boleh diterima kerana menjatuhkan nilai ilmuwan dan intelektual,” katanya.

Antara cara boleh dilakukan bagi mengesan plagiarisme adalah penyeliaan teliti oleh penyelia selain menerusi perisian pengesan Turnitin yang boleh membantu mengenal pasti bahagian diciplak penulis tanpa menyatakan sumbernya.

Sama ada budaya ini boleh dikekang, beliau berkata, semuanya terpulang kepada kesedaran dan kejujuran individu menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk diri sendiri serta masa depan.

“Perkara ini amat subjektif, hanya diri sendiri saja yang boleh menentukan dan merencanakan perjalanan kejayaan masing-masing. Plagiat sebenarnya tidak beretika dan wajar dihentikan.

“Perlu yakin pada kemampuan diri sendiri, berusaha keras dan berdisiplin. Hanya itu kunci yang ada untuk mencapai kejayaan.

“Selain itu, plagiat hanya merugikan, merendahkan taraf seseorang yang mungkin dapat mengecapi kesenangan seketika. Namun berbaloikah kerana ia terhasil dari usaha orang lain, bukan diri sendiri;” soalnya.


INFO
• Kamus Dewan Edisi Ketiga mendefinisikan plagiat sebagai mencedok kata, idea dan sebagainya daripada orang lain dan menggunakannya sebagai karya sendiri, tiruan atau menciplak.

• Wikipedia pula mendefinisikan, plagiarisme adalah mengakui tulisan orang sebagai tulisan sendiri; mengakui gagasan orang lain sebagai pemikiran sendiri; mengakui penemuan orang lain sebagai kepunyaan sendiri; mengakui karya kelompok sebagai kepunyaan atau hasil sendiri, menyajikan tulisan yang sama dalam kesempatan yang berbeza tanpa menyebutkan asal-usulnya.

• Perisian komputer seperti Word Check System, Turnitin dan Scan My Essay banyak diaplikasikan oleh universiti di seluruh dunia dilihat sangat berkesan dalam memastikan kewujudan elemen plagiarisme dalam penyediaan kajian ilmiah, tesis dan penulisan akademik lain secara atas talian.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/