Sabtu, 28 April 2012
ISU PENDIDIKAN : Cikgu Yusry, Lisa dan Teach for Malaysia
Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
HAMPIR semua akhbar arus perdana pada 17 April lalu memuatkan gambar dan berita dua artis terkenal tanah air Yusry KRU dan isterinya, Lisa Surihani sedang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang, Selangor sempena program Teach For Malaysian Week.
Yusry Abdul Halim yang merupakan pengarah filem dan komposer muzik mengajar Bahasa Inggeris. Pelakon filem dan drama, Lisa yang berkelulusan undang-undang dari Universiti Aberystwyth United Kingdom mengajar Geografi Tingkatan Satu. Kehadiran mereka diberitakan mendapat sambutan yang sangat baik daripada pelajar dan guru sekolah berkenaan.
Lisa berkata, pengalamannya mengajar di sekolah itu membuatkan beliau lebih menghormati profesion guru.
''Pengalaman saya hari ini memang jelas membuktikan bahawa bukan senang untuk jadi seorang guru. Cabarannya bertambah mengikut peredaran masa terutamanya dari aspek menarik perhatian dan tumpuan pelajar,'' katanya.
Lisa dan Yusry masing-masing meluangkan masa selama sejam mengajar di dua buah kelas tingkatan satu di sekolah berkenaan. Kehadiran mereka menggambarkan sokongan kepada program Teach For Malaysia (TFM) yang dilancarkan baru-baru ini.
TFM adalah sebuah badan bebas bukan mencari keuntungan yang menyenaraikan bakal pemimpin masa depan Malaysia paling menyerlah dalam misinya untuk menghapuskan keadaan tidak saksama dalam bidang pendidikan. Mereka yang mengambil bahagian dalam program anjuran TFM adalah mewakili sektor perniagaan, kewangan, perkhidmatan awam, pendidikan dan hiburan.
Pemilihan felo ini melalui tapisan yang ketat iaitu mereka yang mempunyai kelulusan yang cemerlang di peringkat ijazah daripada universiti yang ternama dalam dan luar negara.
Mereka yang terpilih dijadualkan mengajar di sekolah kawasan Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Petaling Jaya dan Hulu Langat di Selangor. Sentul dan Keramat di Kuala Lumpur dan Tampin, Jelebu serta Kuala Pilah di Negeri Sembilan.
Sebagai permulaan sejak Januari 2012, kohort pertamanya yang terdiri daripada 50 felo menjadi pengajar di sekolah terpilih yang berkeperluan tinggi di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. TFM sedang mencari 70 lagi felo untuk mengikuti kohort barunya bagi 2013.
Matlamat utama mereka ditempatkan di sekolah adalah untuk membantu pelaksanaan transformasi pendidikan bagi menghasilkan pencapaian akademik yang baik, aspirasi yang tinggi dan membentuk sahsiah yang positif di kalangan pelajar. Bagi mencapai hasrat tersebut felo berkenaan akan diberi latihan intensif dari segi pedagogi pengajaran dan pendekatan penyelesaian masalah secara profesional.
Sesungguhnya selain ditugaskan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelajar, mereka juga akan mendapat pengalaman yang berharga bagi diri sendiri dan peluang melaksanakan sesuatu aktiviti secara profesional sepanjang berkhidmat di sekolah berkenaan.
Bagi menjayakan program tersebut mereka akan diberikan latihan dikendalikan oleh pakar-pakar dalam pelbagai bidang yang membolehkan mereka menjadi guru berkesan dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi. Latihan akan mengambil masa selama lapan minggu di Institut TFM.
Kurikulum dan metodologi latihan adalah mengikut piawaian antarabangsa yang membolehkan mereka menjadi guru yang berkesan di dalam dan luar bilik darjah. Bagi memastikan latihan yang diberikan berkualiti maka penilaian dan akreditasi akan dilakukan oleh Kementerian Pelajaran.
Sudah semestinya program ini mempunyai impak yang besar bukan sahaja kepada pelajar dan sekolah tetapi juga felo yang mengikuti TFM ini. Apa yang menarik mereka akan merasai sendiri keseronokan, kesukaran dan mengharungi pelbagai masalah yang dihadapi oleh pelajar.
Ini memberi peluang kepada mereka untuk merancang, memberi sokongan dan mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan sesuatu isu dan keadaan tidak saksama yang berlaku.
Program ini berbentuk sepenuh masa dan mereka dibayar elaun secara bulanan.
TFM merupakan model pembangunan kepimpinan disesuaikan melalui program 'Teach For America' yang mendapat kejayaan besar di Amerika Syarikat. Selepas menamatkan program selama dua tahun mereka berpeluang menganggotai Teach For Malaysia Ambassador yang merupakan platform yang berpengaruh di peringkat kebangsaan dan global untuk membolehkan mereka menjadi pemimpin di sektor awam atau swasta di masa akan datang.
Sesungguhnya TFM merupakan suatu program dalam transformasi pendidikan yang berbentuk serampang dua mata. Sekolah yang ditempatkan guru-guru ini sudah tentu mendapat manfaat dari segi tenaga sumber yang boleh dibanggakan. Mereka bukan sahaja mempunyai kelayakan yang tinggi dalam berbagai bidang profesional malah pernah belajar di universiti yang ternama.
Selain itu pengalaman bergaul dengan pelajar dan guru serta peranan yang dimainkan untuk menyelesaikan sesuatu isu dan masalah akan menjadikan diri mereka lebih berpengalaman dan berdaya saing. Pengalaman ini sangat berharga dan boleh digunakan pula dalam usaha pembinaan dan pembentukkan diri sebagai pemimpin.
Secara tidak langsung program TFM akan menjadikan felo tersebut sebagai ikon kepada pelajar. Apa tidaknya misalnya Cikgu A lulusan undang-undang daripada Harvard Law School, Cikgu B telah mengikuti bidang pengurusan di Princeton University Woodrow Wilson School of Public Affairs atau Cikgu C lulusan kajian perniagaan daripada Stanford University Graduate School of Business.
Kesemua mereka mendapat 9A dalam peperiksaan SPM dan 4A di peringkat A Level. Terpilih menerima biasiswa daripada Bank Negara, Petronas atau Shell. Sebagai orang muda yang masih segar dan bertenaga serta baru graduat maka mereka boleh mempengaruhi cara berfikir dan gerak laku pelajar-pelajar di sekolah.
Moga-moga Cikgu Yusry dan Cikgu Lisa tidak jemu dan akan terus melawat ke sekolah. Kehadiranmu tetap dinanti-nantikan oleh pelajar.
Penulis ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Jumaat, 27 April 2012
ISU KESIHATAN : Tangani tekanan berlandaskan kualiti syariah, manfaat
Oleh Sharifah Haayati
bhagama@bharian.com.my
Islam mengajar umat selesai masalah dengan baik selagi tidak bercanggah hukum syarak
TEKANAN boleh datang dan pergi, ibarat angin yang bertiup, ibarat roda yang berpusing. Walaupun, tekanan boleh berlaku bila-bila masa, di mana saja dan mudah pula menjejaskan emosi, ia perlu difahami dari perspektif yang betul supaya kita tidak menyalahkan takdir dan mengambil tindakan silap.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (Surah al-Anbiya, ayat 35)
Sebagai ujian daripada Allah, tekanan mampu memberikan sekurang-kurangnya tiga nikmat kebaikan iaitu kebaikan sebagai penebus dosa, pengukur kesabaran dan batu loncatan untuk mencapai kejayaan lebih tinggi.
Ketiga-tiga nikmat ini jika dihayati akan menyuburkan sifat sabar, reda dan syukur yang menjadi baja menuburkan daya tahan dalaman diri. Dengan itu, kita perlu sentiasa berfikiran positif dan menghadapinya dengan penuh kekuatan serta kebijaksanaan.
Tekanan di pejabat antaranya berpunca daripada bebanan kerja yang banyak, waktu tidak menentu, hubungan kurang baik dengan majikan atau staf, tuntutan dan kerenah pihak pelanggan serta masalah infrastruktur di pejabat.
Malah, kajian menunjukkan semakin tinggi jawatan seseorang pegawai, semakin tinggi juga kadar tekanannya berbanding mereka yang dalam kumpulan sokongan. Ada kala, masalah di tempat kerja dibawa ke rumah atau masalah di rumah dibawa ke tempat kerja menyebabkan tahap tekanan meningkatkan dan ‘menjangkiti’ orang lain.
Senario ini amat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan diri individu, hubungan keluarga, masyarakat dan yang paling utama ibadat kepada Allah SWT. Dalam menangani tekanan secara sihat, pelbagai daya tindak boleh dilakukan berasaskan amalan Rasulullah dan orang soleh.
Ada yang mengurangkan tekanan dengan cara beriadah, bersiar-siar di hujung minggu, balik kampung, mendapatkan tidur yang cukup, menonton televisyen, memasak masakan kegemaran, menghias rumah, berkebun dan menghadiri aktiviti sosial.
Semua cara ini sebenarnya boleh dilakukan untuk mengurangkan tekanan asalkan kita tidak lupa menjaga dua standard kualitinya iaitu syariah dan manfaat.
Mematuhi kualiti syariah bererti apa saja cara yang kita pilih untuk mengurangi atau menangani tekanan hendaklah tidak bercanggah dengan hukum syarak seperti menghilangkan tekanan dengan amalan pemujaan kepada kuasa ghaib atau sihir. Tujuannya mententeramkan jiwa, membalas dendam terhadap individu yang menyakiti dan menjatuhkan orang lain. Perbuatan menghilangkan tekanan dengan cara berunsur syirik bukan saja menyalahi syarak malah terjerumus dalam dosa besar.
Kesan tekanan sebeginilah yang perlu kita bimbang merebak dalam kehidupan masyarakat. Allah SWT mengajar Lukman al-Hakim untuk berkata kepada anaknya: “Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar suatu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, ayat 13)
Malah Allah SWT memberikan peringatan jelas mengenai usaha manusia dan supaya meletakkan keyakinan jitu terhadap kuasa Allah SWT yang Maha Berkuasa memberikan kebaikan dan kemudaratan kepada hamba-Nya.
Firman Allah yang bermaksud: “Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada sesiapa yang dikehendakinya.” (Surah Yunus, ayat 107)
Ada juga yang menghilangkan tekanan dengan melakukan perbuatan menyalahi syariat; seperti berjudi, mencuri, menipu atau menjalankan kerja tidak halal seperti pelacuran, perniagaan dan pelaburan mengandungi unsur riba. Tujuannya untuk menyelesaikan masalah kewangan dan mendapat keuntungan yang banyak dengan mudah. Malah, cara lain yang masih berlaku adalah cubaan mencederakan dan membunuh diri akibat kekecewaan.
Mematuhi kualiti manfaat bererti apa juga cara yang dilakukan hendaklah tidak membawa mudarat; seperti mengambil dan mengedar dadah, pil khayal, minuman keras dan berfoya-foya.
Firman Allah yang bermaksud: “(Mereka bertanya kepadamu Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219)
Begitu juga jika caranya baik tetapi dilakukan dengan berlebih-lebihan sehingga membawa mudarat, ia bertentangan dengan standard piawaian bertindak Islam; seperti menghilangkan tekanan hingga melalaikan tanggungjawab sesama manusia.
Justeru, perhatikan kedua-dua piawaian kualiti bertindak ini dan berwaspadalah dalam setiap cara kita menangani tekanan supaya ia dapat ditukar menjadi suatu kekuatan dan kehidupan kita mendapat kurniaan serta rahmat Allah.
Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).
ISU GLOBAL : KFC diarah bayar keluarga mangsa RM25 juta
SYDNEY - Rangkaian makanan segera, KFC cawangan Sydney diarah membayar pampasan RM25.2 juta (£5.1 juta) kepada sebuah keluarga kanak-kanak perempuan Australia, yang mengalami kerosakan otak yang teruk selepas makan produk ayam beracun tujuh tahun lalu.
Monika Samaan, ketika itu berusia tujuh tahun, sakit selepas makan 'Twister' yang dicemari racun salmonella di sebuah restoran KFC di Villawood, Sydney pada 2005.
Makanan itu menyebabkan dia kini hidup dengan bergantung pada kerusi beroda dan tidak boleh bercakap.
KFC, menurut laporan BBC, ia sangat kecewa dengan keputusan itu dan akan mengemukakan rayuan.
Hakim Mahkamah Agung New South Wales menganugerakan ganti rugi itu, yang bersamaan dengan A$8 juta, selepas memutuskan bahawa KFC telah melanggar tanggungjawabnya mengambil berat tentang keadaan kanak-kanak itu.
Peguam keluarga itu, George Vlahakis berkata, mereka gembira dengan keputusan mahkamah.
"Pampasan ini sangat-sangat diharapkan," kata kenyataan keluarga itu dipetik heraldsun.com.
KFC, yang dimiliki oleh Yum! Brands, terkejut dengan keputusan itu sambil menegaskan, tiada bukti menunjukan makanan disediakan syarikatnya menyebabkan masalah kesihatan Monika.
Mahkamah diberitahu bahawa Monika berada dalam koma selama enam bulan apabila dia, ibu bapa dan abangnya jatuh sakit dan muntah-muntah selepas berkongsi Twister, lapor AAP, yang dipetik BBC.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
ISU PENDIDIKAN : Graduan Pendidikan IPTA Akan Diserap Di Sekolah Mulai Mei Ini
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Pelajaran telah membuat beberapa ketetapan dan penyelarasan bagi memastikan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi Awam yang belum ditempatkan dapat diserap di sekolah-sekolah mulai Mei ini.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata seramai 29 daripada 4,859 graduan pendidikan yang berjaya dalam temuduga berfasa yang diadakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) telah diberi penempatan di Pusat Anak Permata Negara sejak 8 April lepas.
"Baki seramai 4,830 graduan pula akan diberi penempatan secara berfasa dengan penempatan Fasa Satu akan dilaksanakan pada 23 Mei ini dengan melibatkan 4,671 graduan. "Daripada jumlah itu, seramai 4,116 graduan akan ditempatkan di Sekolah Menengah, 439 akan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan, 98 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 18 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.
Muhyiddin berkata baki 159 orang graduan pula akan ditempatkan di Sekolah Menengah dalam Penempatan Fasa Dua pada Julai ini. Muhyiddin berkata kesemua graduan yang berjaya itu merupakan antara 5,510 graduan IPTA yang mendapat panggilan temuduga daripada SPP mulai Januari lepas. Daripada jumlah itu, SPP terpaksa menolak 32 graduan kerana gagal mengemukakan dokumen lengkap, sementara 557 calon dianggap menolak tawaran temuduga apabila tidak hadir temuduga, katanya.
Beliau berkata kesemua mereka merupakan graduan daripada Universiti Utara Malaysia (90 orang), Universiti Sains Malaysia (368), Universiti Teknologi Malaysia (185), Universiti Perguruan Sultan Idris (3,017).
Universiti Putra Malaysia (482), Universiti Malaya (308), Universiti Sains Islam Malaysia (54), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (105), Universiti Kebangsaan Malaysia (330), Universiti Teknologi Mara (132), Universiti Islam Antarabangsa (53) dan Universiti Malaysia Sabah (214).
Muhyiddin juga berkata kementerian telah melantik seramai 2,397 graduan IPTA daripada 5,510 graduan tersebut sebagai guru interim bagi memenuhi keperluan guru di Sekolah Menengah.
"Berikutan penempatan ini, perkhidmatan guru interim tersebut akan ditamatkan.
Walau bagaimanapun, guru interim yang berjaya temuduga akan ditempatkan dan dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS)pada 23 Mei ini berdasarkan keperluan pengisian mengikut opsyen pengajaran di Sekolah Menengah, Sekolah Kebangsaan, SJKC dan SJKT," katanya.
Muhyiddin berkata bagi 2,484 graduan J-QAF Institut Pendidikan Guru yang akan menamatkan pengajian pada Jun ini, mereka akan melalui temuduga pelantikan sebagai PPPS oleh SPP terlebih dahulu sebelum penempatan diuruskan.
Timbalan Perdana Menteri berkata urusan temuduga dan pengambilan graduan dari institusi pengajian tinggi swasta tidak dapat dijalankan pada masa ini kerana kementerian memberi keutamaan kepada graduan IPTA yang mana pengambilan mereka mengikuti bidang pendidikan yang telah dianjurkan oleh kementerian itu lebih awal kepada Kementerian Pengajian Tinggi.
"Graduan IPG pula diberi keutamaan disebabkan latihan mereka dalam bidang pendidikan adalah tajaan Kementerian Pelajaran," katanya.
Para graduan boleh melayari laman web www.spp.gov.my bagi mengetahui sama ada mereka berjaya atau tidak. Keputusan penempatan akan diumumkan kementerian sedikit masa lagi. -BERNAMA
ISU SOSIAL : Gilaplah jantung jangan biarkan ia kelam
MARWAN BUKHARI A HAMID
DALAM kehidupan ini, mendapat nikmat jantung hati (spiritual heart/qalb) yang suci dan teguh dengan keimanan sudah tentu menjadi idaman sekalian orang beriman. Malah itulah pertimbangan utama ALLAH SWT di dunia dan akhirat. Apalah guna mendapat pujian dan sangkaan baik manusia namun dalam masa sama memiliki jantung hati yang melantik hawa nafsu dan syahwat sebagai raja.
Kita selaku seorang Muslim dididik supaya sentiasa menyimpan malu apabila mendapat pujian lantaran kita lebih mengetahui siapa diri yang sebenarnya, terutama apabila sedang berjauhan daripada mata semua manusia.
Sememangnya banyak pesanan daripada al-Quran dan hadis berkaitan qalb, salah satu ayat yang menggugah nurani kita ialah ayat ke-14 daripada Surah al-Muthaffifin. Firman ALLAH: “Sekali-kali jangan! (ayat-ayat kami tidak ada cacatnya) bahkan jantung hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa). Dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.”
Selaput kekotoran yang terdapat dalam ayat tersebut telah menarik perhatian saya untuk membaca ulasan ulama demi memahami apakah selaput dan bagaimanakah ia menutupi jantung hati kita.
Kalimah raan telah digunakan oleh ALLAH dalam ayat tersebut bagi merujuk kepada kekotoran qulub (jamak {plural} kepada perkataan qalb) yang berada dalam diri manusia akibat daripada keingkaran manusia dalam mentaati ALLAH.
Merujuk kepada al-Mu’jam al-Wasit (lihat halaman 410), perkataan raan membawa beberapa maksud; antaranya ialah tadannasa iaitu 'menjadikan sesuatu kotor', sebagai contoh raan al-nafs bermaksud 'jiwa menjadi kotor'.
Ia juga bermaksud 'menutupi' (ghattho) dan 'mengalahkan' (ghalaba). Pengarang kamus itu memberikan contoh raana ‘ala qalbihi al-dzanb yang bermaksud 'dosa telah menutupi hatinya'.
Imam Ibn Kathir rahimahullah (lihat Tafsir al-Quran al-‘Azhim, jilid keempat, halaman ke-470) menyebut bahawa al-rayn (kata terbitan {masdar} kepada raan) menimpa kepada jantung hati orang-orang kafir, sementara Imam Muhammad Toher Ibn ‘Ashoor dalam kitab beliau bertajuk at-Tahrir wa at-Tanwir (jilid ke-12, halaman 199) pula menyatakan al-rayn menurut bahasa Arab ialah karat/hakisan yang menutupi besi di pedang dan (karat) cermin. Pandangan Ibn ‘Ashoor tersebut turut disebut dalam al-Mu’jam al-Wasit semasa menyebut maksud al-rayn.
Sementara itu, seorang ilmuwan terkenal era moden khasnya berkaitan terjemahan dan tafsiran al-Quran edisi Inggeris iaitu almarhum Muhammad Asad dalam magnum opus beliau bertajuk The Message of The Quran telah menafsirkan raan sebagai berikut:
Lit., “that which they were earning has covered their hearts with rust”: implying that their; persistence in wrongdoing has gradually deprived them of all consciousness of moral responsibility and, hence, of the ability to visualize the fact of God’s ultimate judgment."
Terjemahan: “Pengertian literal, “apa yang mereka lakukan telah menjadi karat yang menutup hati mereka”: menunjukkan bahawa amalan buruk yang mereka lakukan terus-menerus lama kelamaan telah menghapus kesedaran mereka akan tanggungjawab moral dan, kemampuan untuk melihat kebenaran tentang keputusan Tuhan.”
Demikian sebahagian pandangan dan makna perkataan raan yang disebut oleh ALLAH dalam ayat ke-14 tersebut. Secara umumnya kita bisa memahami bahawa raan ialah karat, kotoran dan penutup kepada jantung hati disebabkan dosa-dosa yang telah dilakukan.
Ibn ‘Ashoor dan Ibn Kathir masing-masing turut mendatangkan sebuah hadis riwayat Imam at-Tirmizi daripada Abu Hurairah di mana Baginda bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya seseorang hamba itu apabila melakukan sesuatu kesalahan (dosa), muncul titik hitam pada jantung hatinya. Apabila dia menanggalkannya, memohon ampun kepada ALLAH dan bertaubat, maka bergilap hatinya, sekiranya dia kembali (melakukan dosa) ditambah titik hitam pada jantung hatinya sehingga (titik hitam itu) mengatasi jantung hatinya, itulah al-raan yang ALLAH telah menyebutnya dalam kitab-Nya; “Sekali-kali jangan! (Ayat-ayat kami tidak ada cacatnya) bahkan jantung hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa). Dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.” (at-Tirmizi menyatakan hadis ini hasan sahih)
Sabda Baginda itu secara jelas menceritakan kepada kita betapa jantung hati kita tidak pernah sunyi daripada dikotori dan ditimpa karat, gara-gara kita ialah manusia yang sentiasa terjerumus dalam kesalahan dan dosa. Benarlah sebahagian manusia mengibaratkan jantung hati persis tandas yang sentiasa ditimpa najis sekalipun dicuci selepas digunakan.
Ibnu ‘Ashoor menyatakan bahawa perkataan yaksibun yang datang menerusi sighah al-mudhari’ menunjukkan bahawa pengulangan yang berterusan dan banyaknya dosa yang dilakukan oleh mereka yang diisyaratkan dalam ayat tersebut. Adapun kalimah kaanu yang mendahului perkataan yaksibun pula mengisyaratkan perbuatan syirik yang dilakukan mereka sebelum kedatangan Islam.
Namun begitu, sekalipun ayat tersebut membidas orang kafir yang angkuh menolak hujah kepada Islam, namun penjelasan oleh hadis Riwayat at-Tirmizi berkenaan jelas menunjukkan sekalian manusia ditimpa karat dan kekotoran pada jantung hati mereka seandainya tidak dicuci dengan istighfar, penyesalan dan taubat. Alangkah tebalnya selaput kekotoran itu jika kita terus membiarkan hari-hari yang berlalu tanpa taubat kepada ALLAH.
Selain itu, seorang tabi’in terkenal iaitu Imam Hasan al-Basri tatkala merujuk kepada ayat tersebut, beliau menyatakan: “(al-raan) itu ialah dosa di atas dosa sehingga hati menjadi buta, kemudiannya mati”. (Ibnu Kathir, halaman 471)
ALLAH berfirman: “Sekali-kali jangan, sesungguhnya, mereka pada Hari itu akan terdinding daripada [rahmat] Tuhan mereka.” (Surah al-Muthaffifin Ayat 15)
Selain rahmat, para ulama menyebutkan bahawa mereka yang sudah diselaputi kekotoran sebagaimana terdapat dalam ayat ke-14 terdinding daripada melihat ALLAH pada hari akhirat kelak, berbanding nikmat orang beriman yang dapat melihat wajah Tuhan mereka. (Ibnu Kathir, halaman 471)
Demikianlah antara sifat jantung hati yang bisa mati sekalipun jasad pemiliknya masih tangkas di atas dunia. Hati yang sentiasa resah dan merindui maksiat pasti akan buta daripada melihat Tuhan-Nya di akhirat kelak, sebagaimana mereka buta dari petunjuk ALLAH di dunia.
Mengakhiri renungan terhadap kalam Tuhan di atas, saya memetik pesan Rasulullah berkenaan jantung hati yang termaktub dalam sebuah hadis yang telah dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari (hadis ke-52) dan Muslim (hadis ke-1,599) bahawasanya Baginda bersabda:
“Ketahuilah sesungguhnya dalam jasad manusia itu ada segumpal darah, apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad sementara apabila ia rosak maka rosaklah seluruh jasad, ketahuilah itulah jantung hati.”
Tiadalah dinamakan al-qalb melainkan sifatnya yang taqallub (berbolak-balik), maka berhati-hatilah kita daripada memiliki jantung hati yang berbolak-balik ke arah maksiat dan dosa. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan jantung hati, tetapkanlah jantung hati kami terhadap agamamu! (salah satu doa yang diajarkan oleh Rasulullah (dikeluarkan oleh at-Tirmizi, hadis ke-2140, 3522), hadis hasan menurut at-Tirmizi).
SUMBER: Persatuan Ulama Malaysia (PUM)
ISU BAHASA : Jawi, khat lambang identiti Melayu
SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
APAKAH perasaan anda sebaik memegang pen khat buat pertama kali? Tanya pada diri adakah mampu menyiapkan sebuah karya tulisan khat yang cantik dan kemas menepati ciri-ciri diperlukan?
Khat atau kaligrafi sangat sinonim dengan masyarakat Arab Muslim, ternyata kedatangan lima ayat al-Quran surah al-Falaq yang diturunkan melalui Malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad SAW menjadikan penulisan khat mempunyai kepentingan dan masih utuh sehingga kini. Rehal menyingkap seni halus penulisan yang menjadi lambang keagungan masyarakat Islam ini.
Khat boleh dibahagikan kepada tujuh jenis antara yang mendapat perhatian ramai adalah khat riqiah, thulukh, khufi, diwani dan nasakh. Setiap daripada jenis khat mempunyai cara tulisan berbeza yang pastinya unik dan memukau pandangan si peminat.
Setiausaha Akademi Jawi dan Kaligrafi Yayasan Restu, Muhammad Fadli Ismail, 42, berkata, sejarah membuktikan bahawa masyarakat Melayu di Nusantara setelah kedatangan Islam, telah menggunakan huruf abjad Arab dan seni khat dalam penulisan dokumentasi, komunikasi dan ilmu. Tulisan itu akhirnya dikenali sebagai tulisan jawi, terus menyelusur arus tamadunnya dengan kelahiran ramai ulama, cendekiawan, penyalin mashaf dan ahli kaligrafi Melayu yang hebat. Perhatikan sahaja barang-barang tinggalan sejarah semuanya dicoret dengan tulisan jawi seperti surat, makalah, kitab-kitab dan bahan bacaan, malahan pada duit syiling sekalipun.
“Sebelum kedatangan penjajah British dahulu, kebanyakan tulisan ditulis dalam jawi bahkan raja dan sultan turut menggunakannya. Tulisan jawi adalah satu identiti masyarakat Melayu. Andai anak-anak kita tidak mempunyai kemahiran dalam tulisan ini maka ia pasti akan hilang ditelan zaman.
“Tulisan jawi berasal daripada tulisan abjad Arab yang terkandung dalam al-Quran. Individu yang mahir membaca jawi pastinya fasih dan mampu membaca al-Quran, namun kini kebanyakan orang yang tidak boleh membaca jawi dilihat agak susah membaca ayat suci ini,” katanya.
Menurutnya, jawi itu dilihat penting kerana ia adalah satu budaya dan identiti, ada perkaitannya dengan agama Islam, kemudian diolah beberapa huruf yang tidak ada bagi menjadi tulisan.
Identiti Masyarakat Melayu
Apabila kita menyebut pembudayaan ia perlu digunakan secara meluas, maknanya kita ingin mendaulatkan sesuatu tulisan atau bahasa itu sendiri, tetapi persoalan kini kenapa bahasa Inggeris dengan mudah diterima pakai oleh orang kita?
“Sedangkan apabila kita lihat di negara-negara lain contohnya Jepun dan Perancis, rakyatnya menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa rasmi, di sana bahasa Inggeris hanyalah sandaran, ada juga rakyat mereka yang tidak tahu bercakap dalam bahasa penjajah ini.
“Tapi kenapa negara itu tetap membangun? Ia satu persepsi sebenarnya orang mengukurnya sebagai satu aspek sedangkan realitinya lain. Alasannya mudah, faktor penting adalah mereka membudayakan ilmu dan menterjemahkan ilmu yang mereka dapat daripada bahasa lain kepada bahasa mereka serta menggunakannya sebagai ilmu,” katanya.
Muhammad Fadli berkata, masalah rakyat Malaysia pula adalah kerana sikap dan tidak ada inisiatif dalam diri untuk mengubahnya menjadi satu keperluan utama. Ada persatuan yang bangkit memperjuangkan tulisan jawi dan khat itu pun hanya beberapa kelompok.
“Kita tidak menjadikan tulisan itu sebagai satu orientasi yang semua orang perlu pelajari. Berdasarkan pengalaman sendiri, kebanyakan tulisan saya termasuk nota dan minit mesyuarat ditulis dalam tulisan jawi.
“Kebiasaan itu penting. Jika tidak ada dorongan untuk menggunakannya maka ia akan berkubur dan kalau hanya satu pihak ia tidak akan mendatangkan apa-apa kesan,” katanya.
Menurut Muhammad Fadli, di rumah ibu bapa sepatutnya membantu anak-anak mendalami penulisan jawi seperti menyediakan buku-buku tulisan, memperkenalkan huruf-huruf jawi dan sebagainya. Ya, tidak dinafikan tulisan khat dilihat agak susah bagi kanak-kanak memandangkan ia memerlukan tumpuan dan tahapnya terlalu tinggi. Tetapi paling elok jika ia bertindak selari.
Perkongsian dengan masyarakat
Sementara itu, penulis kaligrafi, Abdul Baki Abu Bakar, 38, berkata dahulunya beliau menjadikan tulisan khat sebagai hobi tetapi kini mampu memiliki sebuah galeri.
“Saya mahu berkongsi dengan masyarakat yang berminat dengan seni khat, sepanjang pembabitan saya dalam bidang ini, ramai bertanyakan bagaimana cara untuk mempelajarinya.
“Dari situ timbul idea menubuhkan galeri ini. Pada saya masyarakat perlu ditunjuk dengan karya-karya khat supaya mereka dapat mengenali secara mendalam mengenai seni yang terdapat dalam Islam,” kata Pengarah Urusan Diwani Kraf yang terletak di Taman Kemuning Utama, Shah Alam, Selangor ini.
Menurutnya galeri berkenaan lengkap dengan kelas dan ruang untuk pameran. Kelas yang dikendalikan sepenuhnya oleh Abdul Baki setiap malam Khamis bermula jam 8 hingga 11 malam turut dihadiri golongan profesional seperti pensyarah daripada institut pengajian tinggi awam dari serata tempat.
Abdul Baki berkata, setiap karya tidak sama, ada yang memakan masa hingga dua atau tiga hari, namun ada juga sehari sudah siap, tetapi karya yang memerlukan 100 peratus kerja tangan mengambil tempoh agak lama.
“Sejak zaman kerajaan Uthmaniyah hingga kepada kita, saya melihat persembahannya sama sahaja, daripada situ saya terfikir untuk mencipta kelainan tanpa menghilangkan jati diri khat ini.
“Jika diperhatikan kebanyakan motif yang saya gunakan semuanya adalah berkaitan alam sekeliling seperti bunga, bangunan, kereta, rumah dan banyak lagi,” katanya yang mempunyai hampir 100 karya seni tulisan khat terpamer di galerinya.
Menurutnya, disebabkan kurang buku-buku dalam bidang khat dan kebanyakan daripada bahan ilmiah juga disediakan dalam bahasa Arab, beliau turut menghasilkan buku Kaedah khat thulukh dan buku terjemahan bagi menarik perhatian ramai menceburi bidang ini secara serius.
Bakat Abdul Baki membolehkan beliau dijadikan penulis khat watikah pertabalan Yang di-Pertuan Agong sejak 2002 lagi walaupun dalam usia yang cukup muda.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Khamis, 26 April 2012
ISU PENGAJIAN TINGGI : Mahasiswa usah terlalu sensitif
Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my
MEMANG tidak habis-habis isu Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), lepas satu timbul pula desakan mahasiswa yang mahu akta itu dimansuhkan sepenuhnya dengan alasan sudah tidak relevan pada alaf baru.
Mereka mendakwa pindaan yang dicadangkan kerajaan itu hanya ‘gimik’ pihak tertentu menawan hati mahasiswa, namun ia masih mengekang pemikiran dan hak mereka bersuara dan berpolitik.
Justeru, mereka mahu AUKU dimansuhkan kerana ia lebih praktikal bagi melonjakkan kemampuan dan sensitiviti sistem pendidikan moden.
Pindaan pula dianggap ‘hadiah’ kepada warga institusi pengajian tinggi kerana keprihatinan itu bakal memberi peluang kepada mereka meneroka alam pendidikan berlandaskan peraturan dan kawalan tertentu.
Sama ada pindaan atau pemansuhan, hakikatnya, AUKU terutama seksyen 15C ( 3) memang mencetuskan provokasi tersendiri dalam kehidupan warga kampus kerana ia melarang mahasiswa menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja.
ersoalannya, sama ada pindaan atau permansuhan, adakah AUKU masih relevan dalam era pendidikan moden hari ini?
Timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Pelajar) Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Ahmad Zainudin Husin berkata, mahasiswa perlu melihat secara waras mengenai AUKU tanpa mengaitkan dengan sentimen tertentu.
Beliau berkata, penting bagi mereka memahami bahawa akta itu bukan hanya menekankan seksyen tertentu semata-mata, malah mencakupi aspek luas yang menyentuh pelbagai peranan serta fungsi.
“Desakan mahasiswa supaya AUKU dimansuhkan tidak akan menyelesaikan masalah. Ia tidak boleh diselesaikan hanya dengan ‘berteriak’ atau berdemonstrasi.
“Ia lebih kompleks. Bukan mudah menghapuskan akta yang sudah sah melalui proses perundangan, memperoleh kebenaran rasmi serta termaktub dalam undang-undang negara. Ia tidak boleh dipinda atau dimansuhkan sesuka hati.
“Pihak yang lantang bersuara perlu memahami situasi ini. Ia tidak boleh diubah sekelip mata kerana ada proses panjang dan rumit perlu dilalui,” katanya.
AUKU memang tidak pernah sunyi dengan polemik dan kontroversi sejak kewujudannya pada 1971.
Sudah mengalami beberapa pindaan, akta itu bagi segelintir pihak menjadi batu penghalang dan mimpi ngeri jika mahasiswa ingin bebas bersuara dan berpolitik.
Kemelut demi kemelut menjadikan AUKU isu panas dan sensitif bagi mahasiswa hingga menyebabkan akta ini diberi janji untuk dipinda lagi.
Bagaimanapun, pindaan itu tidak menarik hati segelintir mahasiswa, sebaliknya mahukan kebebasan penuh iaitu dimansuhkan.
Mereka menuntut universiti diberi kuasa autonomi untuk menggubal undang-undang sendiri selari undang-undang perlembagaan tanpa campur tangan birokrasi pihak luar.
Beliau yang juga pensyarah Jabatan Sejarah UPSI berkata, tindakan itu akan memakan diri sendiri kerana jika universiti menggubal undang undang baru, mereka juga memerlukan rujukan akta tertentu sebagai panduan.
“Dalam konteks ini, universiti tidak boleh sesuka hati mewujudkan undang-undang kerana selama ini mereka tertakluk pada peraturan sedia ada.
“Biarpun diberi kuasa autonomi, saya percaya mewujudkan undang-undang baru dengan kepemimpinan sendiri tidak mudah. Ini perkara besar yang membabitkan prosedur yang panjang.
“Ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Jadi di manakah relevannya permintaan itu?” soalnya.
Beliau berpendapat, jalan terbaik untuk mengembalikan semula keharmonian ialah dengan mengkaji akta berkenaan lebih mendalam bersesuaian kehendak semasa, mahasiswa juga global.
“Ini lebih baik daripada semua pihak ‘bermusuhan’. Dalam menangani AUKU, kepentingan semua perlu diambil kira bagi menjamin hak dan meneruskan kelangsungan sistem pendidikan negara dengan harmoni.
“Janganlah kerana mengikut hati yang panas atau terpengaruh desakan pihak lain, sistem pendidikan tinggi kita korbankan. Ini tidak betul dan boleh menjejaskan masa depan generasi mahasiswa lain,” katanya.
Malah, untuk bertindak lebih adil, beliau menyarankan agar diwujudkan suruhanjaya untuk mengkaji aspek pelengkap AUKU.
Melalui suruhanjaya ini, katanya, semua pihak diberi akses bebas untuk menyuarakan pandangan sebelum keputusan dibuat.
“Cara ini lebih praktikal kerana kepentingan semua pihak diambil kira dan tidak membelakangkan hak sesiapa pun. Beri kebebasan mereka untuk melahirkan pandangan masing-masing selain disertakan fakta kukuh.
“Kata putus serta persetujuan diambil itu mampu menjernihkan kembali ketegangan sedia ada. Ini menunjukkan mahasiswa golongan intelektual dan bermaruah.
“Demonstrasi jalanan atau tindakan membuta tuli hanya akan meletakkan mereka di tahap paling rendah. Saya nasihatkan, jangan terlalu terburu-buru mengikut kata hati, kelak menyesal,” katanya.
Mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Ahmad Syukri Ab Razab pula tetap menegaskan, pemansuhan AUKU perlu dilaksanakan kerana mengganggu pembentukan jati diri sejati mahasiswa untuk mengikuti modul pendidikan sebenar.
Menurutnya, tiada sesiapa berhak menghakimi tindakan mahasiswa yang mahukan AUKU dimansuhkan kerana ia kehendak naluri sendiri yang mahukan keadilan telus tanpa kerenah birokrasi.
“Malangnya, apabila mahasiswa bersuara mengenai AUKU, semua pihak pasti mengaitkannya sebagai propaganda pihak tertentu. Tidakkah mereka lihat itu naluri mahasiswa yang sudah bosan dilayan bagaikan budak kecil dan sering diperkotak-katikkan?
“Cukup dan usah mengaitkan mahasiswa dengan mengatakan mereka diperkudakan pihak tertentu. Apa dilakukan ini adalah kehendak sendiri kerana sudah lama tertindas dengan peraturan berat sebelah.
“Sebagai generasi muda, mereka inginkan pembaharuan lebih praktikal.
Pemansuhan ini bakal menjadi lembaran baru dalam dunia pendidikan moden hari ini, sekali gus melahirkan wajah mahasiswa baru,” katanya.
Menafikan pemansuhan itu juga, katanya, menyebabkan mahasiswa bertindak lebih ‘kurang ajar’, sebaliknya apabila universiti diberi kuasa autonomi menggubalkan undang-undang sendiri, kehidupan mahasiswa lebih proaktif.
“Apabila mahasiswa merasakan apa dilakukan universiti salah, mereka ada hak bersuara dan universiti pasti mengambil tindakan segera bagi mengatasinya tanpa perlu merujuk atau mengikut telunjuk pihak tertentu.
“Tidak perlu lagi kami menunggu bagai buah tidak gugur apakah keputusannya.
Justeru, tidak timbul isu mahasiswa bertindak lebih kuah dari sudu kerana semua peraturan selari dengan undang-undang negara melainkan dilaksanakan sepenuhnya oleh universiti.
“Kami tidak perlu berdepan kerenah birokrasi peringkat tertinggi kerana universiti sendiri boleh menentukan tindakan bakal diambil. Itu lebih telus, adil dan menyenangkan hati kerana universiti pasti kenal hati budi mahasiswanya sendiri,” katanya mengakui AUKU menjadikan mahasiswa naif merancang pembangunan jati diri.
“Bayangkan sejak mula menjejakkan kaki di universiti sudah disogokkan dengan ‘kekebalan’ AUKU. Mereka tidak bebas melahirkan pendapat, tidak berjiwa kental serta perlu mengikut ‘telunjuk’.
“Sedangkan dunia memerlukan pelapis yang berfikiran kritis, berani melahirkan pandangan serta menyahut cabaran. AUKU sudah tidak relevan dipraktikkan kerana senario mahasiswa kini sudah berubah,” katanya.
Akuinya, biarpun daripada 1.2 juta mahasiswa hanya tujuh peratus lantang bersuara, tidak bermakna peratus selebihnya tidak peka.
“Yang membezakan ialah tujuh peratus itu aktif dalam memperjuangkan hak mahasiswa manakala selebihnya tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan.
“Paling penting, mereka nampak dan tahu apa perlu dilakukan bagi memastikan tindakan atau hak tidak dicabuli, sekali gus membantu merangka pemikiran luar kotak. Inilah generasi mahasiswa alaf baru yang sebenarnya perlu dilahirkan.
“Bukan penakut atau mudah dipersendakan sesuka hati,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Langgan:
Ulasan (Atom)







