Khamis, 3 Mei 2012

ISU SOSIAL : Anarki dan faham neo-liberalisme


Prof Datuk Dr Sidek Baba

Faham pasca-modernisme yang menolak autoriti dan hierarki adalah salah satu cabang faham neo-liberalisme yang berkembang di Barat dan sedang menjangkiti masyarakat negara lain. Darinya lahir faham anarki (disorderly) yang menolak sesuatu yang bersifat tradisi dan berkait dengan agama.

Faham ini ingin melahirkan aliran baru dalam berfikir dan tindakan atas nama hak asasi manusia atau civil liberty yang menjadi agenda mereka. Kecenderungan ke arah amalan LGBT umpamanya adalah salah satu daripada pola amalan yang dianggap sebagai menepati hak asasi yang sedang dicetuskan.

Gerakan anarki ini tidak saja berlaku di Barat tetapi sedang kelihatan terjadi dalam negara kita Malaysia. Kecenderungan merusuh, tidak menghormati undang-undang, tidak sensitif kepada kepentingan ramai, merasakan kumpulan minoriti paling berkuasa, hilangnya tradisi perbincangan dan muzakarah adalah antara gejala yang sedang terjadi.

Kecenderungan ini amat bahaya bagi Malaysia. Negara ini dalam konteks masyarakat berbilang memerlukan rasa sensitif atau kepekaan yang tinggi di kalangan warganya untuk menjaga maslahah ini supaya tidak ada pihak yang dibenarkan mengambil kesempatan untuk mencetuskan huru-hara dan melakukan tindakan provokatif yang menyebabkan konflik terjadi.

Di Barat kecenderungan ini terhubung dengan Teori Konflik dengan maksud terjadinya perbalahan dan menyebabkan kecenderungan anarki terjadi dan pihak-pihak yang mempunyai agenda tertentu mengambil kesempatan daripada keadaan yang terjadi.

Amat dibimbangi kecenderungan anarki ini tidak saja menjadi tunjangan pengikut neo-liberalis saja, tetapi sedang menghinggapi pendukung gerakan politik Islam yang sanggup melakukan kerosakan terhadap harta, hatta bertindak membahayakan nyawa orang lain.

Islam sangat mencegah keadaan tindakan yang menjurus kepada kebinasaan. Apabila undang-undang tidak perlu dipatuhi ia adalah kecenderungan anarki. Tindakan merosak harta, mencederakan orang lain, hatta ingin melakukan kerosakan yang lebih teruk bukanlah ajaran Islam.

Antara kecenderungan anarki yang diimport daripada pengaruh neo-liberalisme dan pendekatan ekstremis serta pelampau yang terdapat bagi sesetengah pendukung gerakan politik Islam, air dan minyak bercampur dan ia seolah-olah menjadi satu untuk suatu maksud tertentu.

Kedua-dua aliran pengaruh ini cuba mencari kesempatan bagaimana suasana yang kecoh boleh menguntungkan pihak luar Malaysia dan bagaimana pihak yang mempunyai fahaman pelampau dalam negara cuba mencetuskan suasana anarki yang membolehkan mereka mendapat political-mileage atau keuntungan politik.

Seperti yang berlaku di negara-negara lain, tindakan yang bersifat anarki diharap dapat membawa perubahan politik dan membolehkan pihak yang berkepentingan mengaut pengaruh darinya dan menutup langsung pintu dialog atau muzakarah kerana cetusan dendam kesumat terlalu membuak-buak hingga tercetus nafsu amarah yang tinggi kerana nafsu politik mengatasi pertimbangan agama dan etika.

Ia dihangatkan lagi dengan peranan media baru yang juga mengambil trend anarki dengan laporan sensasi dan provokatif berkembang serta menyebabkan pihak awam terheret sama tanpa keupayaan untuk menentukan kesahihan sesuatu maklumat dan cerita serta menyebabkan konflik pemikiran terus berlaku. Ia bakal menghasilkan kecelaruan yang berterusan dan minda awam terperangkap kerananya.

Isu LGBT yang hangat diperkatakan di Malaysia adalah akibat dari faham anarki yang tidak lagi terpaut dengan nilai-nilai agama dan kemanusiaan. Ada pihak yang merasakan bahawa isu LGBT boleh membawa bencana kepada umat manusia, di suatu sisi pihak yang memperjuangkan Islam secara melampau menganggap isu LGBT adalah sesuatu yang kecil.

Kisah Nabi Lut as mendepani kaum yang ingkar dan melanggar nilai-nilai fitrah dalam kehidupan sentiasa menjadi ibrah umat Islam kerana kisah itu sifatnya mengulangi. Apa yang sedang berlaku di Amerika Syarikat yang membenarkan amalan gay dan lesbian di beberapa negeri membuktikan bahawa amalan kaum Nabi Lut itu dianggap sebagai suatu norma dan diterima oleh mereka.

Kalau kelompok Islam yang ada kepentingan politik menganggap itu adalah suatu perkara yang kecil dan menguasai politik serta pemerintahan adalah sesuatu yang lebih utama, ia menunjukkan aliran anarki sedang berkembang dan menentukan sesuatu lebih utama sudah menjadi sesuatu yang remeh dan kecil. Ia adalah sikap pragmatik yang berbaur anarkis.

Penulis ialah pensyarah Kulliyah Pendidikan UIA

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : KPM Kaji Semula Garis Panduan Keselamatan Di Sekolah


MUAR: Kementerian Pelajaran akan meneliti semula garis panduan keselamatan sekolah di negara ini dalam usaha memperkukuhkan aspek keselamatan pelajar bukan sahaja di dalam kawasan tetapi juga luar kawasan sekolah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet kementerian semalam dan memutuskan pekeliling keselamatan sedia ada ditambah baik untuk mempertingkat aspek keselamatan pelajar.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kes penculikan pelajar warga Belanda Nayati Shamelin Moodliar, 12 tahun pada 27 April ketika dalam perjalanan ke sekolah menyedarkan beliau dan kementerian mengenai aspek keselamatan pelajar bukan sahaja harus dititikberatkan di dalam kawasan sekolah tetapi juga di luar sekolah.

"Kita telah ada pekeliling (keselamatan) sekian lama... tetapi dengan perkembangan terbaru kita nak lihat balik bagaimana nak perkukuhkan keselamatan pelajar dengan penglibatan ibu bapa dan masyarakat dipertingkat," katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Bola Sepak Berjaya Corp Bhd -7Eleven- dan Cosway Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan Junid di sini, Khamis.

Turut menghadiri majlis itu adalah Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Corporation Bhd Datuk Robin Tan.

Muhyiddin berkata beliau menyedari tahap kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka ketika dalam perjalanan ke sekolah berikutan kes terbaru itu dan kementerian sendiri memandang serius berhubung kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, katanya kementerian akan meningkatkan program kesedaran terhadap ibu bapa dan masyarakat, persatuan ibu bapa dan guru dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengelakkan kejadian seumpamanya berlaku.

Muhyiddin turut melahirkan rasa syukur kerana Nayati berjaya ditemui dalam keadaan selamat di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) Selangor, pada pukul 7.55 pagi ini selepas enam hari dilapor hilang.

Nayati dilaporkan ditemui orang awam yang kemudian memaklumkannya kepada polis sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Pelajar warga Belanda itu dilaporkan diculik dua lelaki tempatan yang menaiki sebuah kereta Proton Gen 2 berwarna hitam ketika berjalan kaki berseorangan ke Sekolah Antarabangsa Mont' Kiara pada 27 April lalu. -BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Dialog nasional dan kajian semula pendidikan


Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

“KEMBALIKAN semula dasar PPSMI," “Wujudkan sekolah rendah Inggeris atau SRJK Inggeris seperti sekolah vernakular lain di setiap daerah" dan “Wajib lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris syarat lulus peperiksaan SPM."

Demikian antara puluhan cadangan dan saranan yang dilontarkan oleh peserta dialog nasional yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 27 April lepas.

Suasana Dewan Utama yang pada mulanya dingin memuatkan hampir 2,000 orang peserta tiba-tiba menjadi panas apabila peserta dialog silih berganti mengeluarkan pendapat. Ada yang mendapat sorakan dan tepukan gemuruh tanda setuju daripada hadirin tetapi tidak kurang pula yang mendapat cemuhan dan suara mengeluh tanda tidak setuju.

Dialog nasional bagi merangka semula sistem pendidikan negara dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam ucapan perasmian beliau memberi masa selama tiga bulan kepada Jawatankuasa Pelaporan atau panel yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr. Wan Zahid, bersama dua belas anggota untuk menyiapkannya.

Pasukan panel akan menjelajah ke seluruh negara bertemu warga pendidik, NGO, pemimpin masyarakat dan tokoh tertentu. Tiga kaedah digunakan iaitu berdialog dengan kumpulan ramai atau sesi townhall, meja bulat bilangan sederhana dan menemui tokoh tertentu.

Dialog nasional bertujuan mendengar aspirasi, rasa hati dan cadangan daripada pelbagai pihak sebagai bahan menyediakan kajian semula pendidikan. Kaedah ini selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa sampai masanya dalam menyediakan sesuatu dasar perlu merujuk kepada pihak yang berkepentingan atau stakeholders dan tidak hanya datangnya daripada pihak kerajaan.

Sesungguhnya perkembangan pendidikan boleh dibahagikan kepada empat tahap bermula Laporan Razak (1956). Laporan ini disesuaikan dengan negara baru merdeka yang menekankan pembentukan jati diri dan membina negara bangsa. Pendidikan dijadikan sebagai alat penyatuan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Dicadangkan juga penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah.

Laporan Rahman Talib (1961) dan Laporan Kabinet (1971) memantapkan lagi Laporan Razak. Kedua-dua laporan itu turut menekankan keperluan kemudahan pendidikan luar bandar dan keseragaman bahasa pengantar serta peperiksaan peringkat pra sekolah hingga menengah atas.

Tahap kedua perkembangan pendidikan apabila Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1988) digubal bagi melahirkan individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Pendidikan dilihat sebagai elemen penting bagi mengembangkan bakat serta potensi individu dan usaha menerapkan nilai-nilai murni di kalangan pelajar.

Sementara itu, tahap ketiga adalah ketika negara memasuki era abad ke-21. Bagi memacu pembangunan negara pendidikan berperanan melahirkan manusia yang berpengetahuan, berkemahiran ICT dan bersifat holistik. Penekanan diberikan kepada bidang sains dan teknologi serta persaingan peringkat global.

Salah satu dasar yang masih segar iaitu pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan telah digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Kini perkembangan tahap keempat akan memberi fokus kepada menyediakan negara ke arah negara maju menjelang tahun 2020. Pendekatannya berkait rapat dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) menekankan rakyat yang berpendapatan tinggi. Bagi mencapai hasrat itu pendidikan mesti berupaya melahirkan individu yang kreatif, inovatif dan berdaya saing.

Pencapaian pelajar tidak hanya dilihat atas kecemerlangan akademik tetapi perlu mempunyai berbagai kebolehan, menguasai beberapa bahasa dan memiliki kemahiran softskills.

Walau apa pun pendapat bagi meningkatkan kualiti pendidikan ia perlu menekankan kepada beberapa isu tertentu iaitu tahap kompetensi guru, kewibawaan pengetua atau guru besar, kemantapan kurikulum, kemudahan infrastruktur dan keberkesanan sistem penyampaian.

Tidak dapat dinafikan guru memainkan peranan penting bagi melahirkan pelajar berketerampilan. Guru berkesan bukan sahaja berkelulusan tinggi tetapi mempunyai kriteria tertentu seperti sikap mesra, suka kepada kanak-kanak, rajin mencuba, sentiasa mencabar keupayaan pelajar dan tidak mudah putus asa. Bagi melahirkannya kaedah pemilihan bakal guru perlu diperketatkan dan latihan perguruan perlu ditingkatkan kualitinya.

Satu lagi isu adalah menyediakan sistem penyampaian yang baik. Kaedah pentadbiran secara desentralisasi perlu difikirkan kerana bilangan sekolah yang besar melebihi 10,000 buah.

Dasar one size fit all tidak lagi sesuai kerana perbezaan latar belakang dan lokaliti sekolah. Jumlah warga pendidik yang hampir setengah juta orang turut memerlukan sistem penyampaian yang berkesan. Oleh itu, kaedah terbaik perlu disediakan seperti mempunyai data pelbagai maklumat yang kemaskini dan sistem pemantauan yang canggih.

Membandingkan sistem pendidikan dan mendapatkan praktis terbaik daripada negara-negara lain perlu dilakukan. Negara seperti Finland, Korea Selatan, New Zealand dan Singapura dikatakan mempunyai tahap pendidikan yang baik. Lawatan kerja dan penempatan sementara pegawai dan guru perlu kerap dilakukan bagi tujuan penambahbaikan.

Kajian semula pendidikan ini dilaksanakan melalui dialog dalam sesi pertemuan townhall, meja bulat dan perbincangan dengan tokoh tertentu. Kepada yang berminat dijemput hadir. Pendapat juga boleh disalurkan melalui kertas cadangan, memorandum atau melayari laman web.

Kepada pasukan panel Kajian Semula Pendidikan selamat menjalankan tugas!

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 2 Mei 2012

ISU PEKERJA : Gaji minimum - antara persepsi, implimentasi dan keraguan


Oleh MOHD ROSZELI MAJID

PERDANA Menteri pada Isnin lalu telah mengumumkan gaji minimum kebangsaan berdasarkan lima elemen utama iaitu:-

- Kadar gaji minimum bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan RM900 sebulan (RM4.33 sejam) manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan (RM3.85 sejam).

- Tarikh mula kuat kuasa pelaksanaan gaji minimum ialah enam bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.

- Membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum.

- Tempoh kuat kuasa bagi kategori majikan kecil ialah 12 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.

- Mekanisme pelaksanaan yang fleksibel supaya majikan yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh memohon pelanjutan tempoh peralihan.

Persoalan

Tarikh kuat kuasa enam bulan akan membuka ruang luas pada majikan untuk mengambil langkah memasukkan sebahagian elaun sedia ada dan dicampur gaji asas untuk dicukupkan menjadi gaji minimum RM900. Dengan cara ini, majikan dapat mengelakkan membayar gaji minimum RM900 sepenuhnya seperti hasrat asal kaum pekerja.

Perbezaan antara Semenanjung,Sabah dan Sarawak adalah tidak selari dengan konsep Gagasan 1Malaysia. Ianya akan memperluaskan jurang perbezaan antara pekerja di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Kebenaran kepada majikan yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum untuk memohon lanjutan tempoh melaksanakan dari 12 bulan kesuatu tempoh lain akan akhirnya melenyapkan harapan pekerja untuk menikmati gaji minimum. Gaji minimum untuk pengawal keselamatan adalah contoh yang telah berlaku dan ia besar kemungkinan akan berlaku sekali lagi dalam pelaksanaan gaji minimum kebangsaan.

Gaji minimum ini apabila diberi kelonggaran untuk majikan memasukkan elaun ke dalam gaji akan memberikan manfaat kepada pekerja berdasarkan faktor-faktor berikut:-

i. Jumlah gaji pokok untuk pekerja akan menjadi RM900 dan ini akan menguntungkan pekerja dari sudut pembayaran EPF sumbangan majikan dan pekerja yang lebih tinggi.

ii. syarikat yang membuat bayaran pampasan persaraan, gratuiti akan mengambil kira gaji terakhir yang berjaya ditingkatkan asasnya.

iii. bayaran pencen ilat ketika terlibat dengan kemalangan, pekerja akan layak menerima pencen ilat yang lebih baik kerana paras gaji minimum telah ditetapkan RM900.

iv. Kadar bayaran lebih masa akan menjadi lebih tinggi kerana kiraan berasaskan gaji minimum.

v. Kenaikan gaji tahunan yang lebih tinggi nilainya berbanding gaji asal yang rendah dari paras RM900.

vi. Jika syarikat alami masalah kewangan dan tidak mampu, potongan akan didahulukan untuk elaun berbanding gaji

vii. Bayaran bonus akan lebih tinggi nilainya kerana bonus dibayar berdasarkan kiraan gaji dan bukan elaun.

Bagaimanapun prinsip gaji minimum telah lari daripada cadangan dan matlamat asal MTUC yang menetapkan gaji minimum RM900 dan Cola RM300 apabila ia mengambil kira sebahagian elaun. Tafsiran gaji dan elaun tidak boleh disamakan. Gaji bukanlah elaun dari sudut tafsirannya mengikut undang-undang pekerjaan. Penyerapan elaun ke dalam gaji akan memberi ruang kepada majikan untuk memasukkannya sebahagian dari elaun pekerja dalam gaji untuk mencukupkan jumlah RM900. Dari sudut mata kasar seperti nampak pekerja akan mendapat gaji yang lebih tinggi tetapi hakikatnya dari sudut pendapatan - pekerja sebenarnya hilang nilai kepada pendapatan apabila elaun diserapkan ke gaji minimum.

Analogi mudah:

Gaji permulaan semasa - RM600 Elaun Tetap pengangkutan + Shift + Kehadiran – RM300

Gaji minimum kelak akan menjadi RM900 tetapi elaun tetap akan hilang! (Ini merugikan pekerja kerana pendapatan pekerja pada sebelum pelaksanaan gaji minimum sudah sedia ada bernilai RM900. Pengumuman gaji minimum tidak akan mengubah apa-apa pendapatan pekerja jika sebahagian elaun diambil kira untuk kiraan gaji minimum.

Kaedah sebenarnya untuk laksanakan gaji minimum mestilah:-

Gaji minimum RM900

Elaun Tetap pengangkutan + giliran kerja + Kehadiran – RM300

Jumlah Pendapatan – RM900 + RM300 = RM1,200


Akan wujud pelbagai masalah jika pelaksanaan Gaji minimum tidak dilakukan dengan cermat antaranya:

- Akan wujud anomali dari sudut gaji

- Gaji Staff Junior akan menghampiri gaji pekerja senior

- Kekananan dalam perkhidmatan tidak akan lagi menjadi salah satu instrumen untuk mengukur kadar upah

- Jika Majikan terpaksa melakukan pelarasan gaji, maka ia akan melibatkan tambahan kos kepada majikan

Secara keseluruhannya pengumuman gaji minimum ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan setelah MTUC membangkitkannya sejak 12 tahun lalu iaitu ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Malangnya ia tidak menepati prinsip asal gaji minimum seperti yang dituntut MTUC dan ia turut menimbulkan persepsi keraguan terhadap pelaksanaannya. Kerajaan diseru memberi penjelasan lanjut terhadap isu penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap sebagai gaji minimum supaya ia dapat memberikan impak yang tulen terhadap prinsip pelaksanaan gaji minimum.

Penulis ialah Naib Presiden MTUC (Sektor Swasta)

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : KPM Tawar Jawatan Guru & Pensyarah Cemerlang


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menawarkan pengisian jawatan Guru Cemerlang dan Pensyarah Cemerlang secara khas untuk penyandang (KUP) tahun 2012.

Tawaran pensyarah cemerlang terbuka kepada Pegawai Perkhidmatan Pelajaran yang berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Aminuddin Baki (IAB), Kolej Matrikulasi (KM) dan English Language Teaching Centre (ELTC) manakala tawaran guru cemerlang pula terbuka kepada semua guru sekolah.

Menurut kenyataan kementerian itu hari ini, gred jawatan yang ditawarkan pada guru sekolah adalah gred DGA32, DGA34, DGA38, DG44, DG48, DG52, DG54 dan Khas C.

Sementara itu pensyarah IPG dan IAB membabitkan gred DG48, DG52, DG54, Khas C, gred bagi pensyarah KM ialah DG48, DG52, DG54 manakala gred yang ditawarkan pada pensyarah ELTC adalah DG44, DG48, DG52 dan DG54.

"Borang permohonan serta maklumat lanjut boleh didapati dari semua Pejabat Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK), bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah serta menerusi laman web http://www.moe.gov.my/jnjk atau http://www.moe.gov.my ," menurut kenyataan itu.

Tarikh tutup permohonan 25 Mei. Permohonan dari sekolah perlu melalui Pengetua/Guru Besar sekolah masing-masing, manakala permohonan dari IAB, KM, ELTC dan IGP adalah melalui Pengarah institusi masing-masing.-BERNAMA

ISU PEKERJA : Ketetapan gaji minimum untungkan pekerja, majikan


POLEMIK yang melingkari isu penetapan kadar gaji minimum pekerja swasta sejak lebih 10 tahun lalu akhirnya terungkai selepas kerajaan bersetuju menetapkannya pada kadar RM900 bagi Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak serta Labuan. Jika diteliti rasional keputusan yang dibuat kerajaan kelmarin, ternyata kadar gaji minimum yang ditetapkan ini dianggap paling munasabah dan satu opsyen yang memberikan situasi ‘sama-sama menang’ kepada majikan dan pekerja. Apa yang pasti, dasar baru ini berupaya mengubah taraf hidup kira-kira 3.2 juta pekerja swasta di seluruh negara untuk menikmati gaji pokok lebih tinggi berbanding sebelum ini, iaitu sekitar RM400 hingga RM500 sebulan. Dengan kadar gaji baru ini juga, secara prinsipnya kerajaan berjaya membantu mengeluarkan golongan ini daripada kepompong kemiskinan, iaitu berpendapatan di bawah RM750 sebulan dan kemiskinan tegar, iaitu pendapatan di bawah RM440 sebulan serta mengurangkan beban pekerja swasta yang sering terhimpit dengan kenaikan semasa harga barangan. Secara tidak langsung, ia juga akan mengangkat maruah pekerja swasta yang selama ini dipandang rendah oleh sesetengah pihak. Dalam hal ini, nasib pekerja swasta akan dilindungi menerusi Akta Perundingan Gaji Negara 2011 yang memastikan majikan mematuhi Perintah Gaji Minimum. Jika dikaji, dasar baru ini juga tidak menekan majikan kerana gaji minimum akan disemak setiap dua tahun untuk pengubahsuaian.


Oleh itu majikan perlu bersikap optimis terhadap dasar baru ini kerana ia diputuskan menerusi rundingan dan persetujuan pihak berkepentingan, khasnya Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang menjadi anggota Jawatankuasa Teknikal Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) serta disesuaikan dengan garis panduan dikeluarkan Bank Dunia dalam penentuan kadar gaji minimum. Besar kemungkinan, akan ada pihak mempertikai dasar baru ini atau mengaitkannya sebagai muslihat politik kerajaan bagi menarik undi rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang. Sepatutnya, dalam hal seperti ini, kita perlu merujuk kajian Bank Dunia yang menyatakan kadar gaji di Malaysia hanya meningkat secara purata sebanyak 2.6 peratus setahun sejak 10 tahun lalu, jauh lebih rendah berbanding peningkatan Indeks Harga Pengguna. Keadaan ini akan menyebabkan kuasa beli pekerja menurun kerana kos sara hidup meningkat berlipat kali ganda. Justeru, apabila kerajaan melaksanakan dasar ini, ia sebenarnya menjadi persiapan ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi seperti yang digariskan dalam Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Sebagai komuniti penting dalam sistem ekonomi, majikan dan pekerja swasta mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar dalam membantu kerajaan menjayakan setiap dasar dan program yang bermatlamat memberi kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Pulangkan Nayati ke pangkuan keluarganya


Oleh Fauziah Arof

SATU lagi berita kehilangan kanak-kanak dilaporkan pada 27 April lalu. Nayati Shamelin Moodliar, warga negara Belanda yang berusia 12 tahun dipercayai diculik pada pukul 7 pagi ketika dalam perjalanan ke sekolahnya berhampiran Mont Kiara International School (MKIS), di ibu negara.

Ketika kejadian tersebut, kanak-kanak lelaki ini, memakai uniform sekolah, iaitu berkemeja T Polo dan berseluar hijau.

Dia dikatakan diculik ketika berjalan kaki seorang diri kira-kira 300 meter dari rumahnya.

Semoga kehilangan yang kali ini berkesudahan dengan berita gembira. Kita berharap agar anak kecil ini akan dikembalikan ke pangkuan keluarganya dengan selamat.

Berita mengenai Nayati tersebar luas beberapa jam selepas kehilangannya di Facebook, Twitter dan Youtube di seluruh negara. Sistem amaran awal bagi kehilangan kanak-kanak atau NUR Alert (National Urgent Response Alert) turut menyebarkan berita kanak-kanak ini.

Dalam pada itu, pengendali khidmat selular turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenainya kepada pelanggan- pelanggannya. Risalah-risalah juga diagih dan ditampal di tempat-tempat awam termasuk di beberapa buah tol.

Rakyat negara ini tanpa mengira agama, bangsa dan peringkat umur bersama-sama berusaha untuk mengesan ke mana perginya Nayati dan pada masa sama juga mendoakan keselamatan kanak-kanak itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meletakkan dirinya sebagai seorang bapa, turut merayu di dalam Twitternya agar Nayati tidak diapa-apakan dan meminta orang ramai supaya memperluaskan pencarian kanak-kanak malang berkenaan melalui media sosial.

Semoga kehilangan Nayati tidak lama. Kita berharap agar anak kecil ini yang amat berharga sekali kepada ibu bapanya diberi peluang untuk bersama keluarganya semula.

Kehilangan Nayati mengusik lagi kerisauan kita. Betapa ibu bapa perlu sentiasa lebih berhati-hati dengan persekitaran kita. Penjenayah di luar sana sentiasa mencari ruang dan menunggu peluang untuk melakukannya.

Soal aspek keselamatan, kekerapan pihak polis melakukan rondaan, betapa perlunya pihak sekolah mengadakan ceramah mengenai bagaimana anak-anak menghadapi situasi seperti ini, turut disentuh semula bila berlaku saja kejadian seperti ini.

Tidak perlulah kita menuding jari siapa yang perlu buat kerja lebih untuk menangani jenayah culik kanak-kanak ini. Ini semua adalah tanggungjawab kita bersama, sebagai pelindung kepada mereka.

Rakyat Malaysia telah menunjukkan betapa kita semuanya bersatu dalam menyebarkan maklumat mengenai kehilangan kanak- kanak ini. Apa yang penting semangat seperti ini ada dalam diri kita semua dalam menangani jenayah penculikan kanak-kanak ini.

Sikap peka dan mengambil berat setiap lapisan masyarakat mengenai aspek keselamatan kanak-kanak di sekeliling kita, jauh lebih baik daripada mengharapkan kekerapan pihak berkuasa melakukan rondaan.

Tiada salahnya, bertanyakan dan menemankan kanak-kanak yang berjalan berseorangan di mana-mana jua, sampai ke tempat yang ditujunya.

Tragedi yang menimpa beberapa kanak- kanak yang diculik sebelum ini sudah terlalu pahit untuk kita semua menerimanya. Episod-episod sedih itu amat menyentuh sanubari kemanusiaan kita semua.

Dan kita juga mengetahui, masih ramai lagi kanak-kanak dan remaja yang hilang di negara ini belum ditemui. Namun, ibu bapa mangsa yang terlibat terus berdoa dan menaruh harapan yang menggunung agar anak mereka dipulangkan jua satu masa nanti.

Semoga dengan penyebaran maklumat yang menyeluruh ini Nayati dapat segera dikesan dan ditemui dengan keadaan selamat serta dapat menjalani semula kehidupannya seperti kanak-kanak lain.

Dan semoga ibu bapa Nayati dan ahli keluarganya diberikan lebih kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/