Sabtu, 16 Jun 2012

ISU BAHASA : Papan tanda: Jangan guna bahasa rojak



Saudara Pengarang,

SAYA tertarik dengan komen pembaca  dalam ruangan Rakan Pahang minggu lalu berhubung papan tanda di sekitar bandar Kuantan yang disifatkan lain daripada yang lain.

Apabila mengamati papan tanda yang dimaksudkan, mesej yang disampaikan diakui cukup berkesan dalam memberi kesedaran kepada para pemandu.


Tentunya yang menarik perhatian saya ialah papan tanda yang tertulis "Tak Rasa Bersalah Ke...? Potong Q" di samping "Tak Rasa Bersalah Ke...? Buang Sampah Dari Kenderaan Anda?"

Namun satu persoalan timbul sama ada ia menepati sudut bahasa Melayu yang betul kerana ia seperti menggunakan bahasa rojak selain bahasa percakapan atau bahasa pasar.

Memang tanda-tanda amaran di jalan raya penting contohnya, jika ada tanda kawasan licin maka pemandu perlu memperlahankan kenderaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Begitu juga tanda mengenai had laju. Selain bertujuan mengawal kelajuan kenderaan di atas jalan raya, ia juga untuk menyatakan had laju selamat bagi sesebuah kenderaan di atas jalan raya tertentu.

Maka pihak berkuasa yang terlibat mengharapkan papan tanda yang dipasang dapat memastikan peringatan yang hendak disampaikan dapat memberi kesan kepada pengguna.

Bagaimanapun pada masa yang sama, soal bahasa juga tidak harus diambil mudah kerana bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

Apatah lagi ketika ini kita bimbang dengan kecenderungan generasi muda yang gemar menggunakan bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial sehingga terbawa-bawa ketika menjawab peperiksaan.

Mungkin Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pihak yang lebih arif dapat memberikan  pandangan sekali gus menjadi garis panduan kepada pihak berkuasa dalam soal penggunaan bahasa seperti itu.

PENCINTA BAHASA
Kuantan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Tua tak semestinya produktiviti kerja menurun!



Oleh Fauziah Arof

APABILA Rang Undang-undang Umur Persaraan Minimum 2012 yang mewajibkan umur persaraan pekerja sektor swasta dilanjutkan daripada 55 kepada 60 tahun dibentangkan buat bacaan kali pertama di Dewan Rakyat kelmarin, ia menjadi satu topik hangat dan menarik yang tidak habis-habis diperkatakan di tempat-tempat kerja terutamanya syarikat swasta.

Ada yang bersetuju dan bersyukur dengan langkah berkenaan manakala tidak kurang pula mempersoalkan tahap kemampuan pekerja pada usia warga emas itu untuk meneruskan perkhidmatan selama lima tahun lagi.

Selain itu, ada yang berhujah lanjutan usia persaraan itu bakal menyebabkan ramai golongan muda profesional tidak dapat naik pangkat dan pada masa sama boleh meningkatkan kadar pengangguran lepasan diploma dan ijazah mahupun sijil di negara ini.

Saya akui wujud pro dan kontra terhadap cadangan ini. Namun dalam kita asyik menilai kepada hanya kesan yang buruk-buruk sahaja, kita juga harus memikirkan nasib golongan yang terpaksa bekerja walaupun sudah pencen kerana masih mempunyai banyak tanggungan hutang dan menyara keluarga.

Adakah golongan seperti ini boleh dibilang dengan jari di negara ini? Kita boleh lihat ramai dalam usia emas ini terpaksa berniaga kecil-kecilan, ada yang membuat kerja-kerja sampingan di rumah, bekerja sebagai pengawal keselamatan, bekerja di restoran-restoran dan sebagainya terutamanya yang hidup di bandar. Ini secara langsung mengakibatkan bertambahnya golongan miskin bandar di negara ini.

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat golongan ini tidak mampu hidup ‘goyang kaki’ selepas pencen kerana terpaksa meneruskan kelangsungan hidup.

Anak-anak pula tidak boleh digantungkan harapan kerana masih kecil dan bersekolah. Trend kahwin lewat di negara ini juga sedikit sebanyak menyumbang kepada perkara ini.

Peningkatan kos perubatan turut membuatkan pesara akan lebih tersepit apabila terpaksa mendapatkan rawatan untuk diri sendiri dan keluarga. Sekiranya mereka masih bekerja, syarikat boleh menanggung kos perubatan mereka termasuk keluarga.

Oleh itu, lanjutan usia persaraan ini akan memberi peluang kepada pekerja-pekerja swasta ini mengumpul lebih wang. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaporkan, 73 peratus daripada pencarumnya mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 sewaktu bersara manakala hanya 17 peratus mempunyai simpanan melebihi RM100,000.

Maka, bagaimanakah pekerja ini boleh menyara kehidupan selepas bersara dengan simpanan sebanyak RM50,000 itu dalam tempoh mungkin 20 tahun lagi? Jangka hayat penduduk di negara ini dianggarkan 75 tahun. Dengan hutang piutang yang masih berkepuk, anak yang masih bersekolah dan ada juga yang masih belajar di peringkat pengajian tinggi, hari tua akan dilalui dengan keperitan.


Sebenarnya di seluruh dunia, agak sukar untuk kita menemui negara yang menetapkan umur persaraan di bawah 60 tahun. Kebanyakan negara Eropah telah lama menetapkan 65 sebagai umur persaraan. Negara seperti Amerika Syarikat dan Jerman pula menetapkan 67 tahun. Thailand pun sudah menetapkan 60 tahun sebagai umur persaraan.

Jadi kenapa pekerja swasta di negara ini tidak boleh bekerja dalam usia itu. Adakah kita sudah membuat setting sendiri, apabila mencapai usia 50-an produktiviti kita bekerja mulai menurun? Dan apakah kita pasti dalam usia 20-an, 30-an dan 40-an kita mempunyai produktiviti yang tinggi dan menunjukkan kerajinan yang luar biasa?

Kita pun maklum, dalam usia muda, ada juga yang tidak memberi sumbangan kepada syarikat dan bekerja secara ala kadar hanya menunggu gaji pada akhir bulan. Golongan ini ibarat ‘tua sebelum waktunya’ dan jika di pejabat hanya menunggu waktu tamat bekerja dan bila habis waktu, tergesa-gesa pulang ke rumah. Maka tidak adil kita menilai golongan warga emas ini sebagai tidak produktif.

Dengan lanjutan usia persaraan, syarikat menerima manfaatnya dengan membolehkan pekerja-pekerja berpengalaman dan berkemahiran dipanjangkan lagi khidmat mereka. Golongan ini adalah aset kepada syarikat dan negara, kepakaran mereka tidak boleh dibiarkan habis begitu sahaja.

Jadi, janganlah terlalu menyimpulkan langkah ini dengan cara yang simplistik dengan mengaitkan lanjutan usia persaraan ini dengan belia menganggur, kemudian menjadi mat rempit dan melakukan jenayah. Banyak penyumbang lain kepada faktor pengangguran dan peningkatan jenayah.

Untuk berlaku adil, seharusnya kita melihat cadangan lanjutan usia persaraan ini sebagai peluang dan pada masa sama cabaran kepada semua.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU GLOBAL : Myanmar perlu ubah dasar terhadap penduduk Rohingya


Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI


SETELAH lama tidak mendengar berita tentang keadaan kehidupan etnik Rohingya di Myanmar, tiba-tiba masyarakat dunia dikejutkan dengan insiden keganasan kaum dan agama di negeri Rakhine di barat Myanmar, membabitkan penduduk Rohingya yang beragama Islam dan penduduk Rakhine yang majoriti beragama Buddha.

Ketegangan di negeri itu mengingatkan kita kembali tentang kisah nasib malang yang menimpa etnik ini, yang selama ini diabaikan dan ditindas oleh junta Myanmar sehingga kita tidak menyedari sebahagian kecil daripada mereka ini hidup bergelandangan di negara kita sebagai orang pelarian.

Keganasan terbaru itu dilaporkan bermula pada 3 Jun lalu, setelah sekumpulan perusuh dipercayai penduduk Buddha bertindak membunuh 10 penduduk Islam di sebuah perkampungan berhampiran Taunggup di negeri Rakhine bagi membalas dendam berhubung satu kes pembunuhan dan rogol membabitkan seorang wanita Buddha yang didakwa dilakukan oleh penganut Islam.

Setakat ini, sebanyak 28 orang dilaporkan terbunuh dan 53 lagi cedera, serta lebih 1,600 rumah kediaman musnah dibakar dalam keganasan terburuk di Myanmar itu.

Sebenarnya keganasan kaum dan agama di negeri Rakhine berpunca daripada kegagalan kerajaan Myanmar menyelesaikan masalah akar umbi yang membabitkan penduduk Rohingya sejak berdekad-dekad lalu.

Krisis yang melanda negeri Rakhine kali ini, merupakan rentetan daripada pengalaman hitam dan penderitaan pahit yang dilalui oleh etnik minoriti Islam di Myanmar ini sejak 1962 lagi setelah tentera Myanmar di bawah Jeneral Ne Win merampas kuasa dan menjalankan tindakan kekerasan terhadap penduduk Islam Rohingya.

Keganasan kaum dan agama akan terus melanda di negeri ini pada masa depan, selagi isu akar umbi ini tidak diselesaikan berhubung status penduduk Rohingya sebagai penduduk pribumi negeri Rakhine.

Kerajaan Myanmar juga perlu mengiktiraf penduduk Rohingya sebagai rakyat Myanmar sama seperti penduduk pribumi lain seperti etnik Shan, Karen, Kachin, Kayin, Chin dan banyak lagi di negara itu.

Penduduk Myanmar berpendirian, etnik Rohingya yang kini berjumlah kira-kira 3 juta orang, sebenarnya bukanlah penduduk pribumi tetapi merupakan penduduk Benggali yang beragama Islam berasal dari Pakistan Timur (kini dikenali sebagai Bangladesh) yang sebelum itu merupakan sebahagian daripada benua kecil India menetap di Rakhine semasa zaman Arakan atau Burma dijajah British.

Pihak Rohingya pula berhujah, mereka merupakan masyarakat pribumi keturunan Rohang, nama lama bagi Arakan, Burma.

Atas dasar itu, wujudlah ketidaksefahaman antara kedua-dua pihak, sebaliknya menimbulkan kebencian di kalangan penduduk Rakhine yang beragama Buddha terhadap penduduk Rohingya.

Penderitaan penduduk Rohingya semakin melarat apabila junta tentera yang memerintah Myanmar ketika itu melaksanakan Undang-undang Kewarganegaraan Burma 1982 yang membatalkan kerakyatan penduduk Rohingya. Secara tiba-tiba penduduk Islam Rohingya diisytiharkan pendatang asing di negara sendiri dan mereka terus ditindas melalui undang-undang itu.

Sejak itu hak mereka dinafikan sehingga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengkelaskan kaum itu sebagai antara minoriti yang paling banyak ditindas.

Walaupun tindakan kekerasan oleh pihak junta tentera terhadap penduduk Rohinya kemudian berkurangan, berikutan tekanan masyarakat antarabangsa ke atas junta tentera, tetapi tindakan dan dasar-dasar tidak berperikemanusiaan terus dikenakan terhadap penduduk Rohinya melalui NaSaKa atau Jawatankuasa Perkampungan Tentera, yang menyekat pergerakan penduduk.

Akibat diskriminasi dan tindakan kekerasan oleh junta tentera itu, kini separuh daripada tiga juta penduduk Rohingya tinggal bergelandangan sebagai pelarian di luar negara atau di khemah-khemah pelarian di sempadan Bangladesh dan Thailand.

Kini terdapat antara 10,000 atau 12,000 orang pelarian Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) di Malaysia pada masa ini. NaSaKa bertindak sebagai 'penjaga' kepada penduduk Rohingya, dalam segala tujuan dan urusan, namun pada hakikatnya mereka membina penjara dalam kehidupan penduduk Rohingya. Sebagai contoh, untuk pergi ke kampung lain, seorang penduduk Rohinya perlu mendapat 'pas berkelakuan selamat' yang perlu dibayar.

NaSaKa juga menentukan pasangan mana yang sesuai untuk berkahwin melalui upacara-upacara agama yang bertentangan dengan ajaran Islam dan juga dikenakan yuran yang tinggi bagi mendapatkan kelulusan kontrak perkahwinan.

Pembinaan masjid dilarang dan kerja-kerja membaik pulih masjid-masjid lama perlu mendapat kelulusan NaSaKa dengan dikenakan yuran tertentu. Semua pembayaran yang terlibat bagi urusan itu juga perlu ditanggung oleh mereka yang mahu menjalankan kerja-kerja baik pulih itu.

Sebagai pengenalan diri pula, penduduk Rohinya diberikan Kad Putih sebagai penduduk sementara, manakala penduduk Rakhine diberi Kad Merah Jambu. Dengan cara itu, mereka mudah mengenali siapakah penduduk Rohingya dan siapakah penduduk Rakhine.

Penduduk yang memiliki Kad Merah Jambu dibenarkan bergerak ke mana-mana sahaja termasuk pergi ke Yangoon, tetapi mereka yang memiliki Kad Putih pergerakan mereka hanya terbatas di kampung itu sahaja. Walaupun, penduduk Rohingya dibenar bekerja dalam projek-projek kerajaan tetapi mereka hanya diambil bekerja sebagai buruh kasar.

Penduduk Rohingya dibenarkan mengusahakan tanah, tetapi sebagai penduduk yang tidak mempunyai kewarganegaraan, mereka tidak boleh memiliki tanah.

Kini sudah sampai masanya, kerajaan baru Myanmar mengubah dasarnya terhadap penduduk Rohingya sesuai dengan dasar pembaharuan dan demokrasi yang dilancarkannya bagi memberi keadilan kepada penduduk Rohingya menikmati hidup seperti penduduk Myanmar yang lain dengan mempunyai hak sama ke atas pendidikan, ekonomi, sosial dan beragama.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 15 Jun 2012

ISU KENEGARAAN : Menguruskan kerencaman sosial



Oleh Mansor Mohd Noor
bhnews@bharian.com.my


Kepemimpinan politik perlu pertajam kompas moral agar tak tersasar

DASAR awam merubah landskap sosial negara. Dasar Ekonomi Baru (DEB) digubal untuk mengurus ketidaksamarataan sosial. DEB dirancang untuk membasmikan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat hingga terbentuk masyarakat industri dan peniaga Bumiputera.

Matlamat akhir pelaksanaan dasar awam ini ialah untuk membawa negara ke arah perpaduan negara. Perpaduan negara masih belum dapat digenggam, tetapi nyata kerajaan berjaya membina kesepaduan sosial dalam masyarakat pelbagai etnik kesan perubahan negara daripada pertanian kepada industri, perdesaan berubah menjadi bandar dan kemiskinan melarat diganti dengan kelas menengah.

Banyak perkara yang melanda negara ini terjadi sebagai akibat yang tidak terancang. Masyarakat pelbagai etnik didapati rencam dari segi sosial. Mereka didapati memiliki nilai dikongsi bersama dan membuat pilihan hidup sama. Perbezaan etnik wujud tetapi tidak memisahkan mereka kerana ruang sosial dalam negara sudah banyak mengikat mereka kepada nilai bersama seperti keuntungan material, status, ikatan sosial dan nilai hidup mengenai keadilan, prestasi kerja dan demokrasi. Mereka mengidam untuk mendapat pendidikan terbaik, pekerjaan bergaji besar, membeli kereta, rumah, beli-belah di pasar raya dan melancong.

Pembangunan negara melahirkan akibat tidak terancang apabila kerencaman sosial dalam masyarakat pelbagai etnik sudah melentur batas etnik. Masyarakat pelbagai etnik yang rencam ini memiliki budaya politik yang masih dipengaruhi perkiraan etnik tetapi kepentingan peribadi mereka lebih diutamakan hingga perkiraan etnik dalam tindakan hidup mereka menjadi kabur, termasuk pilihan pengundian yang dibuat dalam pilihan raya.

Dalam suasana kerencaman sosial ini, orientasi politik dalam kalangan pengundi bukan lagi berbentuk hitam putih dan dikotomi dengan orang Melayu, penduduk desa dan pegawai kerajaan pasti akan pro-BN, manakala orang Cina dan bandar akan propembangkang. Memori generasi muda bahawa UMNO membebaskan negara daripada penjajah dan komunis serta meletakkan negara di landasan kestabilan dan kemajuan, masih dikenang, tetapi hak UMNO ke atas undi mereka sudah menjadi semakin luntur.

Orang Melayu, seperti halnya dengan etnik lain masih menggemblengkan bahasa, budaya dan agama dalam perundingan politik dalam mempertahankan identiti diri dan kumpulan mereka. Namun, banyak perkara berkaitan dengan kehidupan mereka seperti kedudukan ekonomi tidak menentu, kelemahan prestasi perkhidmatan diberikan oleh jentera kerajaan tempatan, negeri dan persekutuan, gejala sosial yang terus meningkat daripada rasuah, jenayah, dadah dan perceraian dan kepemimpinan politik yang rakus dan tamak dengan dunia hingga rakyat dipinggirkan meresahkan kehidupan harian mereka bersama.

Perkongsian persepsi negatif terhadap ekonomi negara, kerajaan, masalah sosial dan kepemimpinan politik sudah meminda selera politik rakyat daripada mendokong kerajaan sedia ada kepada mengutamakan perubahan rejim pemerintahan.

Kelompok sosial kelas menengah yang selesa dengan kekuatan ekonomi, menilai parti pemerintah dan kerajaan berdasarkan prestasi, ketelusan dan integriti. Mereka menilai kepemimpinan negara dan kerajaan dengan nada kritis berdasarkan fakta. Mereka tidak senang apabila ada kepemimpinan negara yang melakukan salah guna kuasa dan rasuah dalam mengendalikan urusan mereka dengan rakyat.

Aset pendidikan, pekerjaan dan pendapatan yang dimiliki mereka menjadi modal untuk meneroka dunia siber mendedahkan mereka kepada dunia maklumat dan menyertai pergerakan sosial dalam masyarakat. Dalam suasana dunia diledakkan dengan maklumat, kelompok manusia yang menggunakan teknologi maklumat pasti dapat menyebar dalam masa nyata dan serta-merta ke seluruh negara dan dunia hingga mempengaruhi ruang sosial di negara ini.

Jika hal ini berlaku, sudah pasti perancangan dan pelaksanaan kerajaan memakmurkan dan mensejahterakan rakyat akan tergendala oleh persepsi buruk yang bertebaran hingga meracuni minda rakyat. Ruang persepsi negatif terhadap kerajaan dan parti pemerintah akan menjadi buruk lagi apabila kepemimpinan negara, jentera kerajaan dan media arus perdana mengambil sikap untuk berdiam, menafi dan menentang sesiapa yang mendedahkan keburukan mereka.

Golongan pendapatan rendah mendapati mereka berdepan desakan hidup akibat kos hidup yang meningkat dengan begitu ketara. Golongan usia 31 hingga 50 tahun juga mendapati diri mereka terperangkap dengan kos hidup yang meningkat dan dirumitkan dengan jumlah isi rumah dan beban kos tanggungan yang meningkat.

Walaupun jumlah isi rumah miskin berkurangan dengan drastik, sebilangan kecil golongan miskin bandar, desa dan estet, terutama keluarga yang mengalami masalah berasakan kemerdekaan negara tidak memberikan apa-apa makna kepada kehidupan dan masa depan mereka. Kumpulan minoriti ini didapati terperangkap dalam kemiskinan warisan daripada nenek ke cicit.

Kumpulan sosial pendapatan rendah berusia antara 31 hingga 50 tahun dan miskin warisan ini jarang menjadi artikulator yang mempengaruhi orang lain untuk menentang pemerintahan sedia ada. Tetapi keberadaan mereka dalam negara dengan pemerintahan sedia ada sudah terpisah, terasing dan putus daripada rakyatnya sendiri, ketidakseimbangan sosial meluas dalam masyarakat dan akan membuat rakyat untuk berasakan kehidupan mereka sudah tidak lagi terjamin.

Demi rakyat, bangsa dan negara, kepemimpinan politik perlu mempertajamkan kompas moral mereka supaya perjuangan diutamakan dan kerakusan dunia serta kesombongan diri dihapuskan. Kepemimpinan berintegriti pasti menjadi ‘pagar yang menjaga padi’. Hanya kepemimpinan berhati waja dapat menjamin dirinya daripada digoda harta, wanita dan takhta. Apabila hal ini berlaku setiap perancangan akan dilaksanakan menepati tujuan dirancang dan sampai kepada kumpulan sasarnya.

Penulis ialah Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Majlis Profesor Negara

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Melatah berkaitan dengan emosi

Oleh : Rosmah Dain

MELATAH didefinisikan sebagai satu fenomena tingkah laku dikaitkan dengan kaum tertentu di Asia Tenggara khususnya kaum Melayu.

Berlaku kebanyakannya di Asia Tenggara terutama di Malaysia, Singapura dan Indonesia, tingkah laku melatah ini dikatakan tidak ketara (mungkin ada) di negara-negara Eropah kerana tidak 'digalakkan' oleh masyarakatnya.

Ini kerana bagi mereka fenomena tersebut dianggap pelik atau seperti satu jenis penyakit.

Tingkah laku melatah bukan satu perbuatan yang dibuat-buat, sebaliknya, ia berlaku spontan kerana sudah tertanam dalam diri individu berkenaan.

Namun sekiranya pada permulaan seseorang itu melakukannya secara berulang kali, lama-lama ia akan menjadi satu kebiasaan iaitu tingkah laku yang akan dilakukan berulangan.

Ini bermakna ia satu situasi yang sukar untuk ditinggalkan apabila tingkah laku baru (perkara yang menjadi kebiasaan) mengambil tingkah laku lama dan perkara itu akan dilakukan berulangan.

Menurut Pakar Perunding Psikiatri Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman, individu yang melatah suatu waktu dahulu (kira-kira 20 hingga 30 tahun sebelum ini) khususnya di negara ini, mereka menjadi tumpuan hiburan terutama di majlis-majlis keramaian.

"Individu yang melatah suatu waktu dahulu boleh dijadikan sebagai 'kerjaya' kerana mereka diundang ke majlis-majlis untuk memeriahkan suasana keraian.

"Mereka diundang atas fungsi tertentu dan ada peranan dalam masyarakat sebagai penghibur, khususnya di kawasan luar bandar," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dr. Daniel Zainal berkata, fenomena melatah ini dari segi statistiknya,  80 hingga 90 peratus daripadanya adalah melibatkan golongan wanita yang telah agak berumur.

Katanya, dari segi aspek psikologi, orang melatah ini sebenarnya ada ciri personaliti tertentu iaitu neurotik.

"Biasanya dari aspek peribadi, individu yang suka mendapat perhatian dan menonjolkan diri seperti terlibat dalam bidang seni adalah antara mereka yang suka melatah.

"Selain itu mereka yang tergolong dalam perlakuan ini dianggap mempunyai personaliti yang celaru, resah atau darah gemuruh, cepat terkejut dan lemah semangat (easily hyperstartle response) termasuk apabila melihat berita yang menggerunkan serta mudah mendapat serangan panik (panic attack)," katanya.

Melatah juga katanya, dikaitkan dengan faktor genetik turun-temurun dalam keluarga kerana ia ada unsur berjangkit.

Mungkin bukan daripada ibu atau bapa yang melatah tetapi pak cik atau mak cik yang melatah juga dapat dijangkiti oleh anak saudara mahupun cucu mereka.

Ahli keluarga terdedah kepada tingkah laku melatah sekiranya mereka berdepan dengan masalah psikologi. Ia juga boleh dikaitkan dengan aspek keturunan dan persekitaran yang mendorong kepada berlakunya keresahan, kesedihan dan kecenderungan mewarisi personaliti cepat gemuruh.

Menurut Dr. Daniel Zainal, perilaku melatah sepatutnya tidak lagi digalakkan dalam masyarakat sekarang kerana ia boleh menjejaskan harga diri si pelatah.

Malah ketika situasi latah sedang berlaku, orang di sekeliling boleh meredakan si pelatah dengan menenangkan dirinya.

Caranya ialah dengan menampar bahu si pelatah lalu mengajarnya mengucap dan beristighfar beberapa kali sehingga fikirannya kembali tenang dan tenteram.

"Orang melatah ini sebenarnya tidak suka dijadikan bahan ketawa dan ia boleh menyebabkan mereka rasa tertekan. Orang melatah akan memberi hiburan kepada orang lain tetapi pada dirinya ia rasa tidak elok, selain mengundang panik di kalangan awam dan menyebabkan kejatuhan harga diri," katanya.

Dari aspek pengurusan katanya, jangan galakkan ahli keluarga mengusik individu yang ada ciri-ciri melatah jika mereka tahu seseorang itu berpotensi untuk melatah.

Juga jangan tambah usikan berkenaan sekiranya si pelatah sedang melatah sehingga menyebabkan proses berkenaan berlarutan.

Jelas Dr. Daniel Zainal, tiada sebarang ubat untuk merawat latah, namun ia boleh dikawal menerusi sesi kaunseling psikoterapi perkara-perkara yang boleh menjadi pencetus kepada latah yang berhubung dari aspek kognitif dan tingkah laku.

"Ketika melatah, individu ini seolah-olah terpisah dari alam sekeliling, tidak sedar apa yang berlaku yang membentuk keadaan trance state (di bawah sedar). Pada ketika ini tahap kesedarannya amat rendah bagaikan bermimpi, ralit atau seolah-olah dipukau seperti yang berlaku pada pengangkat kavadi ketika Thaipusam, pemain wayang kulit, penari kuda kepang dan sebagainya," katanya.

Menurut Dr. Daniel Zainal lagi, individu yang melatah boleh menggunakan cara hipnosis untuk menyelami keadaan di bawah sedarnya yang menyebabkan punca-punca berlakunya latah.

" Minda manusia terdiri daripada pemikiran sedar (12 peratus) dan pemikiran di bawah sedar (88 peratus). Justeru kaedah hipnosis ini akan mencungkil kisah lalu pengalaman di bawah sedarnya yang mempengaruhi tabiat melatahnya.

"Ini kerana emosi seseorang dipengaruhi apa yang berlaku kepada individu tersebut lama dahulu, ia seolah-olah data yang tersimpan dalam pemikiran minda tidak sedar," katanya.

Menurut beliau, individu yang melatah ini juga perlu belajar teknik pernafasan yang betul seperti senaman yoga atau berzikir untuk menangani masalah ini.

Namun katanya, fenomena melatah ini semakin berkurangan di negara ini khususnya di majlis-majlis keraian kerana persekitaran masyarakat tidak lagi menggalakkan perlakuan berkenaan.

"Ramai masyarakat sekarang sudah tidak 'menggalakkan' perlakuan melatah ini. Sekiranya mereka tahu individu berkenaan melatah, mereka tidak akan cuba mengusiknya.

"Bahkan generasi muda mungkin ramai yang tidak tahu apa itu melatah kerana sudah jarang terlihat dalam masyarakat sekarang," kata Dr. Daniel. 

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Jerebu di Lembah Klang makin buruk



KUALA LUMPUR - Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa tempat di Lembah Klang semakin buruk dengan empat kawasan merekodkan IPU tidak sihat berbanding tiga kawasan sebelum ini.
  
Indeks yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat pukul 5 petang ini, mencatatkan bacaan IPU di Cheras bertambah buruk kepada 105 berbanding 91 sebelum ini.
  
IPU di Pelabuhan Klang dan Shah Alam, masing-masing meningkat kepada 147 dan 120 berbanding 130 dan 106 pagi ini. Bacaan IPU di Kuala Selangor bertambah baik sedikit iaitu 129 berbanding 131 sebelum ini.

  
Tiga kawasan yang mencatatkan IPU tidak sihat ialah Kuala Selangor (129), Pelabuhan Klang (147) dan Shah Alam (120).
  
Sementara itu, 34 kawasan merekodkan IPU sederhana dengan bacaan antara 51 dan 100 manakala bilangan kawasan dengan IPU yang baik, menurun kepada 12 berbanding 14 awal hari ini.

Antara kawasan mencatatkan IPU sederhana ialah Petaling Jaya dan Batu Muda, Kuala Lumpur yang masing-masing merekodkan 99, Banting (95), Sri Manjung (92), Tanah Merah (88), Putrajaya (78) dan Perai (74).
  
Kenyataan JAS berkata keadaan kualiti udara yang buruk di Lembah Klang dan Perak sejak pagi ini adalah disebabkan jerebu rentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.
  
Keadaan jerebu itu dijangka berlarutan selama beberapa hari disebabkan ramalan bahawa cuaca kering di beberapa bahagian di utara dan pantai barat Semenanjung pada masa ini.
  
Kenyataan itu menambah imej satelit oleh Pusat Kepakaran Meteorologi Asean menunjukkan peningkatan jumlah titik panas di Sumatera, Indonesia sejak Selasa.
  
Imej itu menunjukkan bahawa jerebu bergerak dari Riau, Sumatera Tengah menuju ke pantai barat Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Meteorologi berkata hujan mungkin tidak berlaku dalam tempoh beberapa hari ini.
  
"Kami meramalkan hujan sedikit di pantai barat Semenanjung menjelang pertengahan dan akhir minggu depan," katanya.
  
Negara kini sedang mengalami Monsun Barat Daya, yang pada umumnya keadaan cuaca panas dan kering. Keadaan itu dijangka berterusan sehingga September, katanya. - Bernama

ISU EKONOMI : Menyelami nasib peniaga-peniaga tempatan


Oleh M JASNI MAJED

APABILA demam bola muncul semula, lazimnya restoran-restoran mamak dipenuhi anak-anak muda sampailah mereka yang sudah berumur.

Dari Restoran Ayob di Taman Universiti Skudai, Johor sampailah ke restoran mamak berhampiran lampu isyarat di simpang empat di pekan Changlun, Kedah, dari pukul 10 malam sampai pukul 3 atau 4 pagi, ramai yang berlonggok menyaksikan siaran langsung Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012.

Waktu perlawanan yang memakan masa hampir dua jam termasuk waktu rehat itu, sekurang-kurangnya segelas atau dua gelas teh tarik dipesan setiap orang. Itu belum lagi termasuk tempahan mi goreng, nasi lemak, dan sebagainya.

Jika seratus orang duduk dalam satu-satu masa, setiap malam, bukan sedikit wang dikaut oleh pengusaha restoran mamak daripada orang tempatan yang gila bola. Kalau bukan musim bola pun, bukan sedikit orang kita yang menjadikan restoran mamak sebagai tempat makan minum saban hari, dari pagi sampai ke malam.

Kita tidak menyalahkan mana-mana pihak atau individu pun yang hendak berniaga di negara ini kerana khidmat disediakan oleh pengusaha-pengusaha makanan dari luar banyak membantu rakyat tempatan. Restoran makanan segera pun bukanlah diusahakan oleh orang tempatan tetapi kebanyakannya dari Selatan Thailand.

Maka, pengusaha-pengusaha tempatan dalam bidang makan minum di negara kita boleh dikira dengan jari. Malah, ada yang hidup segan mati tak mahu kerana untung tidak banyak, hendak ditutup tiada kerja lain yang hendak dibuat.

Di samping itu, di Lembah Klang pula, banyak kedai runcit dimonopoli orang Aceh. Khabarnya orang Aceh pandai berniaga sampai orang Melayu yang berniaga bersebelahan pun tidak tahan dengan saingan kedai orang Aceh.

Orang tempatan akan menolak bangsa dan kaumnya sendiri jika harga barangan di kedai orang luar lebih murah. Dalam soal jual beli, kalau rugi, saudara-mara buka kedai pun suku-sakatnya tidak akan pandang. Kalau hendak tolong pun sekali dua sahaja.

Sudahnya, pengusaha kedai runcit tempatan menyewa kedai kepada orang Aceh. Lebih ramai orang kita suka mencari jalan mudah untuk mendapatkan wang tetapi keuntungan besarnya dilibas oleh orang lain.

Orang kita bukannya tidak boleh berniaga, tetapi orang luar lebih pandai berniaga. Mereka ada strategi. Mereka ada ilmu berniaga. Dari segi layanan, harga dan kebersihan, mereka pandai jaga. Susun atur barangan di kedai runcit pun kita nampak macam mereka ada ilmu berniaga.

Layanan yang cepat dan mesra merupakan senjata utama peniaga menarik pelanggan. Pelanggan tidak suka jika segelas teh dipesan, lima belas minit pun belum sampai, apatah lagi kalau pelanggan di gerai atau restoran itu tidak sampai lima orang. Pelanggan lebih tidak suka jika ada dua tiga orang pelayan datang bertanyakan apa yang dipesan pada orang yang sama. Dari situ sudah nampak kelemahan dari segi layanan dan pengurusannya.

Dari segi kebersihan, pelanggan akan lihat dari pelbagai sudut iaitu dari dalam premis perniagaan, alatannya sampailah ke dalam tandas.

Pelanggan tidak akan datang dua atau tiga kali jika premis perniagaan lintang-pukang, kotor manakala tandas pula kotor dan tidak ada kunci.

Di kedai runcit pula, orang akan lihat apa barang dan harga yang ditawarkan. Apa yang dapat kita selami, pengusaha-pengusaha kedai runcit dari kalangan orang Aceh mempunyai persatuan yang kuat. Barang-barang di kedai mereka agak lengkap, banyak dan lebih murah berbanding harga ditawarkan peniaga tempatan, termasuk harga yang ditawarkan di pasar raya.

Orang tempatan mestilah memikirkan kaedah baru dalam bidang perniagaan. Jika tidak dapat menandingi atau melebihi orang asing pun, mampu menyamai mereka pun sudah memadai.

Selepas itu, pelanggan akan membuat penilaian sendiri, sama ada memilih untuk membeli atau menggunakan khidmat orang luar atau orang tempatan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/