Jumaat, 15 Jun 2012

ISU KENEGARAAN : Menguruskan kerencaman sosial



Oleh Mansor Mohd Noor
bhnews@bharian.com.my


Kepemimpinan politik perlu pertajam kompas moral agar tak tersasar

DASAR awam merubah landskap sosial negara. Dasar Ekonomi Baru (DEB) digubal untuk mengurus ketidaksamarataan sosial. DEB dirancang untuk membasmikan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat hingga terbentuk masyarakat industri dan peniaga Bumiputera.

Matlamat akhir pelaksanaan dasar awam ini ialah untuk membawa negara ke arah perpaduan negara. Perpaduan negara masih belum dapat digenggam, tetapi nyata kerajaan berjaya membina kesepaduan sosial dalam masyarakat pelbagai etnik kesan perubahan negara daripada pertanian kepada industri, perdesaan berubah menjadi bandar dan kemiskinan melarat diganti dengan kelas menengah.

Banyak perkara yang melanda negara ini terjadi sebagai akibat yang tidak terancang. Masyarakat pelbagai etnik didapati rencam dari segi sosial. Mereka didapati memiliki nilai dikongsi bersama dan membuat pilihan hidup sama. Perbezaan etnik wujud tetapi tidak memisahkan mereka kerana ruang sosial dalam negara sudah banyak mengikat mereka kepada nilai bersama seperti keuntungan material, status, ikatan sosial dan nilai hidup mengenai keadilan, prestasi kerja dan demokrasi. Mereka mengidam untuk mendapat pendidikan terbaik, pekerjaan bergaji besar, membeli kereta, rumah, beli-belah di pasar raya dan melancong.

Pembangunan negara melahirkan akibat tidak terancang apabila kerencaman sosial dalam masyarakat pelbagai etnik sudah melentur batas etnik. Masyarakat pelbagai etnik yang rencam ini memiliki budaya politik yang masih dipengaruhi perkiraan etnik tetapi kepentingan peribadi mereka lebih diutamakan hingga perkiraan etnik dalam tindakan hidup mereka menjadi kabur, termasuk pilihan pengundian yang dibuat dalam pilihan raya.

Dalam suasana kerencaman sosial ini, orientasi politik dalam kalangan pengundi bukan lagi berbentuk hitam putih dan dikotomi dengan orang Melayu, penduduk desa dan pegawai kerajaan pasti akan pro-BN, manakala orang Cina dan bandar akan propembangkang. Memori generasi muda bahawa UMNO membebaskan negara daripada penjajah dan komunis serta meletakkan negara di landasan kestabilan dan kemajuan, masih dikenang, tetapi hak UMNO ke atas undi mereka sudah menjadi semakin luntur.

Orang Melayu, seperti halnya dengan etnik lain masih menggemblengkan bahasa, budaya dan agama dalam perundingan politik dalam mempertahankan identiti diri dan kumpulan mereka. Namun, banyak perkara berkaitan dengan kehidupan mereka seperti kedudukan ekonomi tidak menentu, kelemahan prestasi perkhidmatan diberikan oleh jentera kerajaan tempatan, negeri dan persekutuan, gejala sosial yang terus meningkat daripada rasuah, jenayah, dadah dan perceraian dan kepemimpinan politik yang rakus dan tamak dengan dunia hingga rakyat dipinggirkan meresahkan kehidupan harian mereka bersama.

Perkongsian persepsi negatif terhadap ekonomi negara, kerajaan, masalah sosial dan kepemimpinan politik sudah meminda selera politik rakyat daripada mendokong kerajaan sedia ada kepada mengutamakan perubahan rejim pemerintahan.

Kelompok sosial kelas menengah yang selesa dengan kekuatan ekonomi, menilai parti pemerintah dan kerajaan berdasarkan prestasi, ketelusan dan integriti. Mereka menilai kepemimpinan negara dan kerajaan dengan nada kritis berdasarkan fakta. Mereka tidak senang apabila ada kepemimpinan negara yang melakukan salah guna kuasa dan rasuah dalam mengendalikan urusan mereka dengan rakyat.

Aset pendidikan, pekerjaan dan pendapatan yang dimiliki mereka menjadi modal untuk meneroka dunia siber mendedahkan mereka kepada dunia maklumat dan menyertai pergerakan sosial dalam masyarakat. Dalam suasana dunia diledakkan dengan maklumat, kelompok manusia yang menggunakan teknologi maklumat pasti dapat menyebar dalam masa nyata dan serta-merta ke seluruh negara dan dunia hingga mempengaruhi ruang sosial di negara ini.

Jika hal ini berlaku, sudah pasti perancangan dan pelaksanaan kerajaan memakmurkan dan mensejahterakan rakyat akan tergendala oleh persepsi buruk yang bertebaran hingga meracuni minda rakyat. Ruang persepsi negatif terhadap kerajaan dan parti pemerintah akan menjadi buruk lagi apabila kepemimpinan negara, jentera kerajaan dan media arus perdana mengambil sikap untuk berdiam, menafi dan menentang sesiapa yang mendedahkan keburukan mereka.

Golongan pendapatan rendah mendapati mereka berdepan desakan hidup akibat kos hidup yang meningkat dengan begitu ketara. Golongan usia 31 hingga 50 tahun juga mendapati diri mereka terperangkap dengan kos hidup yang meningkat dan dirumitkan dengan jumlah isi rumah dan beban kos tanggungan yang meningkat.

Walaupun jumlah isi rumah miskin berkurangan dengan drastik, sebilangan kecil golongan miskin bandar, desa dan estet, terutama keluarga yang mengalami masalah berasakan kemerdekaan negara tidak memberikan apa-apa makna kepada kehidupan dan masa depan mereka. Kumpulan minoriti ini didapati terperangkap dalam kemiskinan warisan daripada nenek ke cicit.

Kumpulan sosial pendapatan rendah berusia antara 31 hingga 50 tahun dan miskin warisan ini jarang menjadi artikulator yang mempengaruhi orang lain untuk menentang pemerintahan sedia ada. Tetapi keberadaan mereka dalam negara dengan pemerintahan sedia ada sudah terpisah, terasing dan putus daripada rakyatnya sendiri, ketidakseimbangan sosial meluas dalam masyarakat dan akan membuat rakyat untuk berasakan kehidupan mereka sudah tidak lagi terjamin.

Demi rakyat, bangsa dan negara, kepemimpinan politik perlu mempertajamkan kompas moral mereka supaya perjuangan diutamakan dan kerakusan dunia serta kesombongan diri dihapuskan. Kepemimpinan berintegriti pasti menjadi ‘pagar yang menjaga padi’. Hanya kepemimpinan berhati waja dapat menjamin dirinya daripada digoda harta, wanita dan takhta. Apabila hal ini berlaku setiap perancangan akan dilaksanakan menepati tujuan dirancang dan sampai kepada kumpulan sasarnya.

Penulis ialah Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Majlis Profesor Negara

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan