Jumaat, 15 Jun 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Punca dingin sertai sektor awam



Oleh ARIF ATAN

BARU-BARU ini dilaporkan hanya 2.1 peratus daripada lebih 1.12 juta permohonan sebagai penjawat awam terdiri daripada pemohon berbangsa Cina. Penyertaan kaum Cina untuk mengisi jawatan dalam pasukan beruniform juga begitu rendah.

Umum mengaitkan gaji kecil dan lambatnya kenaikan pangkat punca kaum bukan Melayu terutama Cina tidak berminat untuk menyertai sektor awam.

Namun, kedua-dua penyebab tersebut yang lebih berkaitan dengan faktor ekonomi bukanlah punca tunggal mereka bersikap dingin terhadap sektor awam.

Faktor sosial dan budaya juga tidak kurang penting dalam mempengaruhi pola keinginan kaum Cina untuk memilih kerjaya dalam sektor awam.

Sebahagian anak muda Cina tidak menempuh alam persekolahan di sekolah kebangsaan. Meskipun mungkin bertemu dengan rakan dari kaum lain di sekolah mereka tetapi pergaulan mereka tetap lebih dominan dengan kaum mereka sahaja.

Akibatnya, usia 'rebung' mereka tidak dilentur dengan ciri dan nilai-nilai untuk memahami pola kebudayaan dan kerangka pemikiran kaum lain terutama masyarakat Melayu.

Ruang sosial semakin vakum terhadap sifat kemajmukan negara ini yang mereka tempuh di sekolah kemudian diteruskan apabila pulang ke rumah dan menghadap media massa.

Berkembangnya pelbagai saluran televisyen yang bersifat khusus mengikut kaum misalnya melanjutkan lagi ciri keterasingan rakyat Malaysia keturunan Cina untuk mengenali nilai budaya selain kaum mereka.

Apabila mereka keluar dari rumah pula apa yang ditempuhi masih berlegar dalam kepompong komuniti mereka sahaja. Akibat pola penempatan kita yang masih tipikal dengan kaum Cina tertumpu di kawasan-kawasan bandar, sebahagian besar kanak-kanak Cina akhirnya hanya memiliki ruang bermain yang tidak merentas warna kulit dan budaya lain.

Mereka tiada pilihan dan peluang untuk bergurau senda seterusnya kenal hati budi kaum Melayu sebagai teras masyarakat dan kebudayaan negara ini. Anak muda Cina mengalami zaman kanak-kanak yang terasing daripada kaum Melayu akibat dasar pembangunan kita yang menjadikan kawasan bandar, pinggir bandar dan kawasan yang asalnya kampung baru terus pekat dengan dominasi kaum Cina sahaja.

Interaksi kaum di pasar malam, meraikan sambutan Rumah Terbuka sempena sesuatu perayaan mahupun berkongsi menaiki LRT belum cukup mensosialisasikan masyarakat berbilang kaum kita untuk saling mengenali dan memahami sejak kecil secara alamiah.

Ruang sosial bukannya boleh dibuat, dipaksa atau bersifat pesta semata-mata. Tempatnya tidak lain tidak bukan adalah melalui amalan 'berkongsi ruang' iaitu bersekolah di bawah bumbung yang sama serta bertemu dan bermain di padang atau tempat rekreasi yang sama dalam sesebuah kawasan penempatan.

Pergaulan kanak-kanak Cina yang lebih kerap dalam masyarakat Melayu di dalam dan luar sekolah itulah seterusnya nanti akan membentuk cara fikir mereka yang lebih terbuka apabila melangkah ke alam pekerjaan nanti.

Mereka tidak akan prejudis atau menganggap perkhidmatan awam khusus untuk orang Melayu. Tidak timbul lagi rasa takut sebaliknya wujud kesedaran untuk bersama- sama berkhidmat kepada negara dengan mengisi borang jawatan kosong dalam sektor awam.

Keupayaan kita menangani faktor sosial inilah kemudiannya akan menyumbang kepada peningkatan pemahaman silang budaya di kalangan masyarakat terutama generasi muda kita.

Faktor budaya zaman silam yang dibentuk oleh penjajah Inggeris pula iaitu pengasingan kaum dalam 'kotak-kotak' sekolah dan penempatan berbeza sebenarnya dapat kita atasi jika mulai hari ini kita konsisten merapatkan jurang sosial yang masih banyak lagi wujud.

Berikanlah gaji tinggi atau permudahkan kenaikan pangkat sekalipun jika pelan jangka panjang yang mengambil kira faktor sosial dan budaya tidak ditangani terlebih dahulu sampai bila pun kaum bukan Melayu terutama Cina akan terus dingin untuk menyertai perkhidmatan awam.

PENULIS sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana di Universiti Malaya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan