Isnin, 24 September 2012

ISU SOSIAL : Cinta punca ramai gadis lari dari rumah


Kuala Lumpur: Lari mengikut kekasih dikenal pasti salah satu faktor utama remaja, termasuk gadis sunti yang masih bersekolah rendah lari dari rumah.

Mengikut statistik polis bagi tempoh 2010 hingga Jun lalu, bahana cinta itu adalah punca kedua tertinggi mereka yang berumur 17 tahun ke bawah lari dari rumah dengan kebanyakan daripada mereka Melayu.

Daripada 1,309 kes lari mengikut kekasih sepanjang tempoh itu, 97.6 peratus atau 1,278 membabitkan gadis berusia sembilan hingga 17 tahun, berbanding 31 lelaki.

Sebahagian besar adalah remaja berumur 13 hingga 17 tahun, kecuali 14 kes yang semuanya membabitkan gadis sunti berusia sembilan hingga 12 tahun.

Gejala itu makin membimbangkan kerana 549 kes direkodkan tahun lalu berbanding 493 kes pada 2010. Setakat Jun tahun ini pula polis sudah menerima 267 laporan.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan yang diterima oleh polis, punca utama remaja lari dari rumah ialah terpengaruh dengan kawan.

Sebanyak 74 peratus daripada kes terpengaruh dengan kawan membabitkan perempuan atau 1,061 daripada keseluruhan 1,436 kes.

Dua lagi faktor utama ialah mencari kebebasan di luar rumah dan berselisih faham dengan keluarga, di samping punca lain seperti hilang minat belajar, mencari pekerjaan, kurang mendapat perhatian keluarga dan penagihan dadah.

Selain itu, kegagalan dalam peperiksaan turut menjadi alasan lapan remaja perempuan lari dari rumah pada 2010 dan 2011, namun tiada kes dilaporkan setakat Jun lalu.

Lebih mengejutkan, kanak-kanak berumur lapan tahun ke bawah turut mencatat kes lari dari rumah kerana berselisih faham dengan keluarga yang membabitkan dua perempuan pada 2010 dan dua lelaki pada 2011. Selain itu, masing-masing seorang perempuan dan lelaki berbuat demikian setakat Jun tahun ini.

Turut menjadi punca remaja lelaki dan perempuan lari dari rumah ialah mencari kebebasan di luar rumah.

Sumber : http :: //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pentingnya subjek Sejarah diperkasa


Oleh : PROF. DATUK DR. SIDEK BABA

KENYATAAN Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk memperkasa subjek Sejarah amat tepat sekali. Isu-isu keperluan pendidikan sejarah, kurikulum dan tafsirannya, metodologi pengajaran-pembelajaran yang berkesan dan isu mewajibkannya dalam sistem persekolahan kita adalah hal-hal yang sewajarnya diberi perhatian.

Sejarah sifatnya mengulangi. Apa yang berlaku pada masa lalu diulangi pada masa kini dan mungkin diulangi pada masa depan. Sifatnya merentasi masa dan zaman.

Mempelajari dan mengkaji sejarah memungkinkan manusia mengetahui sebab mengapa sesuatu itu berlaku pada masa lalu dan mengapa ia tidak harus diulangi pada masa kini dan akan datang.

Sejarah kejadian 13 Mei 1969 umpamanya banyak mendedahkan faktor ideologi, pertentangan ras, kemelut sosio-ekonomi, pemahaman budaya dan konflik politik yang menyebabkan muafakat hilang dan akhirnya anarki terjadi.

Mengkajinya boleh membawa kesedaran dan keinsafan kepada kita untuk memperbaiki kelemahan yang ada supaya asas perpaduan yang dibina harus diperkukuh dengan kerjasama yang baik, persefahaman yang tinggi dengan kualiti pengurusan negara dan rakyat yang berintegriti.

Kealpaan kita mengkaji sejarah boleh menyebabkan hilang ibrah dan sumber teladan dan menyebabkan peristiwa yang sama boleh berulang lagi. Harga perpaduan, tolak ansur dan persefahaman dalam masyarakat majmuk adalah terlalu tinggi. Ia perlu dipelihara dengan etika kenegaraan secara telus dan tulus.

Ibarat sebuah kereta mempunyai cermin sisi dan belakang untuk dilihat supaya pemanduan ke hadapan terarah. Begitu juga hakikat sejarah, kita tidak boleh hanya melihat ke hadapan, melupakan peristiwa kini dan tidak reflektif terhadap sejarah masa lalu. Apa yang dicapai kini adalah himpunan pengalaman dan percubaan yang panjang dan berterusan.

Sekiranya generasi muda umpamanya menolak kesilaman dan mengambil sikap yang lalu itu kolot dan ketinggalan zaman dan yang terkini itu sebagai moden dan maju, sejarah menunjukkan bahawa tanpa adanya kesinambungan perjalanan sejarah dan budaya manusia akan menjadi kacau.

Sebab itu sejarah sifatnya dinamik perkembangannya kerana watak dan kemajuan manusia sedemikian. Tetapi jalur sejarah dan budaya sering respons terhadap perubahan teknologi, ilmu dan zaman. Namun asas-asas fundamental pada diri manusia tetap memerlukan nilai-nilai yang fitrah.

Dalam konteks bina negara, jati diri dan kewatanan adalah sesuatu yang amat penting. Ia memberi bentuk dan sifat kepada watak warganegara Malaysia seperti yang terangkum dalam Rukun Negara.

Rukun Negara adalah falsafah hidup orang Malaysia supaya kepercayaan kepada Tuhan menjadi sesuatu yang utama. Kesetiaan kepada raja dan negara menjadi lambang muafakat dan perpaduan. Keluhuran Perlembagaan sebagai sumber rujuk yang utama dalam negara. Kedaulatan undang-undang sebagai asas keadilan. Kesusilaan sebagai etika penting membangun watak dan peribadi.

Jika Rukun Negara dapat difahami dan dihayati ia bakal membentuk jati diri Malaysia. Memiliki jadi diri Malaysia tidak bermakna kita anti-Barat dan Timur. Pada dunia Barat dan Timur terdapat aspek-aspek berbanding yang memberi manfaat yang baik dan boleh diperkongsi. Kelahiran sesebuah tamadun antara faktornya adalah kesediaan melakukan adaptasi dan penyesuaian supaya ia diolah menjadi acuan kita sendiri.

Mempelajari dan memahami sejarah ibarat meneliti peristiwa zaman demi zaman yang sifatnya berkembang dan berubah. Yang sangat penting dikaji adalah perkembangan dan perubahan diri manusia. Apakah warga Malaysia berada dalam senario menghormati asas-asas fundamental dalam proses bina negara dan reseptif terhadap perubahan semasa yang sifatnya menyumbang.

Aspek terpenting dalam memperkasa subjek Sejarah adalah penyusunan kembali kurikulumnya. Kurikulum Sejarah harus sifatnya merangkumi dan merentasi. Sejarah Malaysia tidak saja memberi latar sejarah Melaka dan sejarah sebelum merdeka tetapi juga sejarah selepas merdeka di mana semua pihak memainkan peranan menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

Apabila generasi hari ini mengkaji dan memahami sejarah Malaysia, mereka memiliki rasa kepunyaan dan kebanggaan terhadap negara ini kerana mereka bukan sahaja diberikan kefahaman mengenai permulaan negara ini, cabaran yang dihadapi, cabaran sejarah Melaka yang menjadi landasan sejarah Malaysia, muafakat pemimpin berbilang kaum dalam mencapai kemerdekaan, prinsip-prinsip dan hikmah di sebalik terbinanya Perlembagaan Malaysia, tolak ansur yang terjadi sehingga Malaysia mencapai ke tahap negara yang sedang maju seperti hari ini.

Sejarah bukan sekadar catatan tarikh sesuatu peristiwa atau tokoh-tokoh berjasa dalam zamannya tetapi setiap yang berlaku dan melakar peta sejarah harus dikaji dan diteliti mengapa dan bagaimana ia berlaku dan bagaimana sesuatu masalah diselesaikan.

Sejarah Malaysia suatu ketika dulu membawa cara tafsiran penjajah dan sifatnya Euro-centric. Kemudian ia difokuskan kepada tafsiran mengikut jendela Malaysia. Orientasi pentafsiran ini penting supaya perjalanan sejarah sejak lebih setengah abad yang lalu ditafsir berasaskan kaca mata orang Malaysia.

Apabila tafsiran ini dibaca oleh anak murid, para pelajar dan generasi muda ia mencetuskan kesedaran dan keinsafan bahawa Malaysia adalah sebuah negara unik dari sudut latar, penyertaan warganegaranya dalam bina negara, asas toleransi yang membawa kebijaksanaan, pemahaman terhadap asas-asas fundamental dalam Perlembagaan, merasakan Rukun Negara sebagai suatu pedoman perjuangan dan akhirnya bakal mencetuskan rasa kewatanan yang tinggi.

Mencetuskan kesedaran ini tidaklah suatu hal yang mudah. Ia memerlukan metodologi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Pengajaran dan kuliah menjadi salah satu cara dalam menyampaikan bahan-bahan sejarah tetapi kerja-kerja lapangan dalam bentuk penelitian dan kajian harus dikembangkan supaya di peringkat awal lagi anak-anak memiliki kesedaran sejarah sama ada tempatan, negeri atau negara. Ia dibuat dalam bentuk jurnal, kertas-kertas dapatan dan carian supaya hal-hal penting yang berlaku dalam negara direkod dan diperkongsi.

Lebih-lebih lagi dengan bantuan teknologi terkini banyak perkara yang boleh dirakam, dianalisis, ditafsir dan diperkongsi supaya para pelajar memiliki kesedaran sejarah yang tinggi.

Generasi yang buta sejarah sering tidak menghargai apa yang berlaku. Contohnya kemajuan yang terbina kini tidak berlaku secara tiba-tiba atau kebetulan. Ia akibat perancangan, pemikiran dan strategi bijaksana yang terjadi dan menyebabkan generasi hari ini berada dalam iklim sosial dan kehidupan yang jauh lebih baik berbanding situasi di awal kemerdekaan dulu.

Yang baik itu seharusnya dijadikan tradisi, manakala landasan yang berguna itu harus diteruskan walaupun dengan pendekatan berbeza untuk respons cabaran yang tidak serupa. Asas-asas fundamental dalam bina negara harus dipertahankan dan dikembangkan dengan strategi baru supaya perubahan terus berlaku.

Justeru seperti subjek Bahasa Melayu, subjek Sejarah seharusnya menjadi mata pelajaran wajib. Kurikulum, pentafsiran, buku teks, bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran, memanfaatkan teknologi baru dalam memahami sejarah, kaedah pengukuran yang lebih komprehensif mampu menjadikan subjek Sejarah itu menarik dipelajari.

Tujuannya untuk menimbulkan kesedaran jati diri dan kewatanan supaya generasi muda menginsafi, memahami dan menghayati sejarah adalah penting supaya kesayangan kepada negara terbina.

Penulis ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 23 September 2012

ISU KENEGARAAN : Menyemai azam serta membajai usaha hingga menuai impian


BULAN Ogos sudah berlalu. September pula di penghujungnya. Bulan untuk melihat ke belakang dan memperingati sejarah negara juga dalam simpanan lipatan memori untuk tahun ini.

Ogos dan September tahun depan akan dibuka semula sejarah negara dan begitulah setiap kali datang bulan kemerdekaan.

Tetapi kini masanya wajar untuk memandang ke hadapan dengan menetapkan azam untuk memperbaiki negara bagi kesenangan diri, keluarga dan keturunan masa depan.

Tentunya azam yang kuat akan merintis kepada usaha. Sementara usaha berkesan akan membawa kepada mencapai impian. Barulah harapan dapat dituai.

Tetapi apakah harapan rakyat terhadap negara ini? Maka tentulah setiap penduduk di negara ini mengharapkan kehidupan yang selesa bagi diri, keluarga dan keturunannya.

Untuk menuai harapan, impian wajar jelas supaya berjaya dicapai. Impian setiap manusia adalah lebih kurang serupa. Lebih jelas jika dapat digambarkan mengikut peringkat usia.

Bagi mereka yang berada di dalam kategori warga emas, tentulah mereka mengharapkan persaraan yang tenang dan dalam kesihatan yang sewajarnya baik.

Perkara utama bagi diri mereka ialah tempat tinggal serta persekitaran yang mesra warga emas. Tuntutan kerohaniannya berada di tempat utama.

Mereka mahu mudah melakukan ibadah. Bukan saja surau dan masjid yang berhampiran tetapi juga kemudahan bagi melakukan umrah dan haji umpamanya.

Selain itu, perkara penting adalah penjagaan jasmaninya, seperti keperluan asas dan perkhidmatan kesihatan. Untuk itu, tentulah mereka mengharapkan simpanan wang yang cukup untuk melalui zaman-zaman akhir kehidupannya.

Tidak kurang juga kepentingan untuk kepuasan bersosial. Sokongan kawan-kawan, jiran-jiran dan anak-anak cucu yang melingkungi seseorang warga emas.

Inilah impian bagi semua manusia terhadap kehidupan mereka di hujung usia.

Adakah Malaysia mampu memenuhi impian dan harapan rakyatnya apabila mereka mencecah tangga hujung usia ini? Atau impian ini hanya dapat dicapai oleh segelintir saja sementara kebanyakan yang lain terpaksa melalui penderitaan yang hanya berakhir apabila meninggalkan dunia?

Tetapi impian seseorang bukan saja terhadap kehidupan yang selesa dan tenang di penghujung usianya. Malah mereka juga ingin untuk melihat anak-anaknya berjaya dalam hidup.

Apabila disebut berjaya tentulah dirujuk kepada kehidupan kedua-dua sisi, rohani dan jasmani. Rohani pula bukan semata-mata dari segi agama tetapi ketenangan jiwa.

Ini bermakna kehidupan keluarga yang bahagia dengan membesarkan anak masing-masing. Untuk ini tentulah ia memerlukan kerjaya yang bukan saja bermakna tetapi juga mendatangkan pendapatan yang lumayan supaya keluarga dapat menjalani kehidupan selesa.

Ini kesemuanya adalah impian setiap penduduk dalam mana-mana negara sekalipun.

Sementara anak-anak pula mempunyai impian bahawa mereka akan memperoleh pekerjaan yang baik dan meraih pendapatan lumayan. Untuk itu pula, mereka mengimpikan kemudahan pendidikan, daripada peringkat sekolah hingga ke menara gading.

Impian dan harapan setiap manusia dapat jelas digambarkan. Tentulah sepanjang kehidupan seseorang, mereka perlukan kebudayaan yang di dalamnya terdapat kesenian sebagai hiburan supaya kehidupan ini bukanlah suatu tempat yang memeritkan.

Sesebuah negara yang berjaya mampu memberi harapan kepada rakyatnya untuk mencapai impian ini.

Untuk itu pula, setiap penduduk negara ini pula perlu memainkan peranan masing-masing.

Bagaimanakah caranya seseorang memainkan peranannya? Oleh sebab setiap manusia ada kedudukan tertentu, maka di situlah peranannya. Umpamanya sebagai pekerja, pelajar, bapa, ibu dan lain-lain.

Mungkin semua ini dianggap sebagai retorik, atau kata-kata yang sering dihamburkan sedangkan maknanya sentiasa diketahui tetapi ia tidak mengubah keadaan.

Sebagai penulis ruangan, inilah peranannya. Penulis ini berusaha menghasilkan buah fikiran yang boleh memberi semangat atau sudut pandangan menarik serta segar kepada pembaca.

Sementara pembaca pula berperanan untuk menimba ilmu pengetahuan atau mencari mutiara yang boleh membantunya dalam kehidupan seharian.

Ada sudut pandangan yang mungkin disetujui dan begitulah sebaliknya. Tetapi sering kali disebut bahawa peranan akhbar adalah membuat sebuah negara bercakap kepada dirinya.

Maknanya akhbar dan media lain adalah medan untuk rakyat bercakap antara satu sama lain, bertukar-tukar fikiran supaya kesemuanya dapat menghasilkan aliran-aliran fikiran yang bermanfaat.

Masing-masing mempunyai peranan ke arah menggapai impian dan menuai harapan pada masa depan.

Sumber : http ://www.utusan.com.my/

Sabtu, 22 September 2012

ISU PENDIDIKAN : Lalai mendidik punca anak derhaka


Oleh : Hilmi Isa
bhagama@bharian.com.my
 
Ada sesetengah pihak mengatakan untuk mendisiplinkan remaja, ibu bapa perlu bersifat garang terhadap anak. Itulah cara yang digunakan oleh ibu bapa mereka ketika mereka kecil dulu dan dengan cara berkenaanlah semua anak berjaya dalam hidup.

Pendekatan lembut dan garang adalah pendekatan yang ekstrem kerana  lembut adalah keterlaluan positif manakala garang adalah keterlaluan negatif. Lembut menyebabkan perasaan kita merana kerana ingin menjaga perasaan anak remaja.

Sebaliknya garang menyebabkan perasaan kita terjaga, manakala si anak mungkin memendam dendam dalam hati. Keseimbangan  antara kedua-dua garis hujung berkenaan adalah pendekatan tegas. Ketegasan membuatkan perasaan kedua-dua belah pihak terjaga.

Kajian pakar menunjukkan bahawa apabila ibu bapa selalu melakukan kekasaran terhadap remaja biasanya mereka akan memberontak. Perbuatan seperti mencubit, merotan, memukul dengan objek, boleh dikategorikan sebagai pendidikan dengan cara yang keras. Hampir tiada unsur pendidikan langsung dengan cara kekerasan berkenaan jika tidak dilakukan dengan cara yang berhikmah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Maafkan mereka, minta keampunan bagi mereka dan bermusyawarahlah dalam urusan...” (Surah Ali-Imran, ayat 159).

Ada dua kemungkinan yang akan berlaku apabila remaja diperlakukan dengan keras iaitu melantun atau menyerap. Kemungkinan pertama dia akan melawan kembali kekerasan, akibatnya beliau akan membesar menjadi seorang yang suka memberontak dan keras jiwa.

Kemungkinan kedua pula, beliau akan bersabar dengan kekerasan dan memendam dalam jiwa. Akibatnya beliau membesar menjadi seorang yang pemurung dan lemah jiwa. Kedua-duanya akan memberi hasil yang buruk.

Tunjuk cara efektif

Islam mengajar dan menunjukkan cara yang efektif dengan menyuruh setiap yang menjadi tonggak utama seperti ibu bapa supaya berlemah-lembut, belas kasihan sehingga anak mereka membesar di jalan yang lurus, terdidik dengan semangat berani berterus-terang dan bebas diri.

Banyak petunjuk diberikan Islam mengenai berlemah-lembut, berkata baik dan berbudi bahasa antara satu sama lain dalam al-Quran dan sunnah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh menjalankan keadilan, berbuat baik dan memberi kepada kaum kerabat.” (Surah An-nahl, ayat 90)

FirmanNya lagi bermaksud: “Dan orang yang menahan marahnya, dan orang yang suka memaafkan orang lain, dan Allah sangat suka kepada orang yang berbuat baik.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Kesihatan jiwa

Ibu bapa perlu mengambil contoh daripada pengajaran berkenaan dan mengamalkannya andai kata mereka benar-benar mahukan kesihatan jiwa anak terpelihara. Kesihatan jiwa adalah salah satu penentu kebahagiaan anak.

Jika ibu bapa sendiri selalu berkeras, maka ibu bapalah yang melakukan kezaliman ke atas anak. Mereka akan mendapati bahawa mereka sudah menanam benih-benih kerosakan ke dalam jiwa anak.

Dalam sebuah kisah, datang seseorang kepada Umar bin Al-Khattab mengadu penderhakaan anaknya. Maka Umar pun memanggil anak orang itu, lalu memarahinya. Maka berkata si anak: “Wahai Amirul Mukminin! Tidakkah ada hak anak ke atas ayahnya? Umar menjawab: Bahkan ada.

Berkata anak itu: “Apa dia, wahai Amirul Mukminin? Umar menjawab: Hendaklah ia memilih ibunya (daripada keturunan yang baik), dan memberi nama yang baik, dan mengajar membaca al-Quran.

Lalu si anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya ayah saya tidak melakukan suatu pun daripada perkara itu. Ibu saya adalah seorang zanjuyah (bekas hamba hitam), dulu isteri kepada seorang Majusi dan dia juga menamakan saya Jo’ul (lipas), dan dia belum mengajar saya satu huruf pun daripada al-Quran.”

Mendengar kata-kata si anak itu, maka Umar pun berkata kepada si ayah: “Engkau datang mengadu penderhakaan anakmu. Sebenarnya engkau telah menderhakainya sebelum dia menderhakaimu, dan engkau telah merosakkannya sebelum dia merosakkanmu.”

Demikianlah Umar Al-Khattab meletakkan sebab penderhakaan si anak tadi ke atas bahu ayahnya, kerana dia melalaikan pendidikannya. Marilah kita cermin diri kita dan meneliti sama ada penderhakaan atau masalah ditimbulkan anak sebenarnya mungkin berpunca daripada kita.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Pererat integrasi rumpun Bumiputera


Oleh : Teo Kok Seong
 
Wacana mengenai Hari Malaysia sejak diraikan pada 2010, rata-ratanya berkisar pada wujudnya perasaan prasangka antara kita di Semenanjung dan juga di Sabah dan Sarawak. Ia dikatakan wujud kerana beberapa hal. Antaranya kedudukan geografi yang dipisahkan Laut China Selatan dan kepelbagaian etnisiti yang rencam. Ini menyebabkan kurangnya interaksi dan kefahaman antara kita.

Memang semua wilayah, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak mempunyai sejarah awal, corak kependudukan dan perkembangan ketamadunan yang tidak sama. Ia dibangkitkan pula dalam konteks adanya jurang antara kaum Melayu di Semenanjung dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Sehubungan ini, mereka digambarkan sebagai kelompok berlainan.

Semua kaum Bumiputera bersaudara

Perbezaan ini ditonjolkan sehingga wujud pemikiran bahawa semua kaum Bumiputera ini bersetentangan. Sesungguhnya mereka adalah bersaudara sebagai sanak Nusantara. Persaudaraan ini bukan sekadar retorik untuk mengambil hati semua pihak dalam konteks Hari Malaysia, khususnya integrasi nasional. Mereka memang sekaum sekadim dan buktinya boleh diperoleh dengan kukuh dalam bidang bahasa.

Sehubungan ini, Linguistik Sejarah dan Linguistik Perbandingan mempunyai banyak maklumat bahawa bahasa Melayu mempunyai pertalian rapat dengan bahasa Kadazandusun dan Iban serta puluhan bahasa Bumiputera lain di Sabah dan Sarawak. Begitu juga halnya di antara bahasa Bumiputera di Sabah dan Sarawak, yang bukan saja memperlihat pertalian erat, tetapi memang berasal daripada satu keluarga bahasa sama.

Pertalian ini sebenarnya menunjukkan bahawa Bumiputera Melayu, Kadazandusun, Iban dan lain-lain ikut mempunyai pertalian kekeluargaan bangsa. Rumpun Bumiputera yang menaungi semua, termasuk kaum bukan asal, iaitu Cina dan India, baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, ialah Austronesia atau Malayo-Polinesia.

Kosa kata dan pola nahu adalah antara unsur penting yang diteliti untuk memperlihat hubungan kekeluargaan ini. Kata bilangan seperti angka satu sehingga 10 dihemati untuk tujuan pembuktian ini. Sebagai contoh, angka dua wujud dan disebut dengan pelbagai kelainan. Selain dua, ia juga disebut di Sarawak sebagai duah dalam bahasa Kelabit di Bario dan duak oleh kaum Kayan di Long Miri. Di Sabah, ia disebut sebagai dueh oleh kaum Lun Dayeh di Sipitang dan duoh dalam Bahasa Paitan di Membangan.

Persamaan perlu ditegas setiap masa

Pembentukan rangkai kata dalam bahasa Bumiputera di semua wilayah Malaysia yang juga mengikuti kaedah sama, adalah pembuktian selanjutnya. Susunan unsur yang diterangkan mendahului unsur yang menerangkan, wujud dalam bahasa Bumiputera ini. Sebagai contoh, ungkapan aik angat dalam bahasa Iban dan waig tahasu dalam bahasa Kadazandusun adalah padanan susunan untuk air panas dalam bahasa Melayu.

Justeru kita bersaudara dalam konteks sanak Nusantara, kaum Bumiputera di ketiga-tiga wilayah Malaysia ini, perlu bukan saja selalu memperkata persamaan ini, tetapi menegaskan pada setiap masa, khususnya dalam konteks entiti politik Malaysia, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak, selaku rakyat asal. Dalam konteks yang sama, kaum Bumiputera Malaysia juga bersaudara dengan kaum Bumiputera lain di Nusantara. Hal ini terbukti apabila bahasa Jawa dan lain-lain di Indonesia serta bahasa Tagalog dan lain-lain di Filipina, diteliti. Semua bahasa ini juga didapati sekeluarga bawah Rumpun Austronesia.

Dengan bukti bahasa ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghapuskan sindrom bahawa kami di sini adalah orang Semenanjung, anda semua di sana adalah orang Sarawak, dan mereka nun di sana adalah orang Sabah. Kita sebetulnya, khusus kaum Bumiputera dan juga kaum bukan Bumiputera, adalah orang Malaysia.

Sehubungan ini, pengenalan kita perlu mengambil dimensi baharu, dengan menonjolkan jati diri Malaysia sebagai unsur utamanya. Justeru, kita adalah orang Malaysia Semenanjung, orang Malaysia Sabah dan orang Malaysia Sarawak, apabila perlu disebut wilayahnya. Jika tidak, kita semua adalah orang Malaysia!

Sesungguhnya solidariti  Nusantara untuk integrasi nasional, selain kebenaran sejarah, adalah sukma semasa dan sentimen kekitaan bagi semua orang Malaysia, sebagai bangsa Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : 40,000 Siswazah IPT Masih Mencari Pekerjaan


KUALA LUMPUR : Seramai 40,000 siswazah Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara masih mencari pekerjaan berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan 2011 yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi KPT.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPT, Datuk Omar Abd Rahman berkata angka itu melibatkan siswazah yang gagal mendapat pekerjaan tetap meskipun selepas enam bulan tamat pengajian.

"Setiap tahun, kita buat kajian ini dan tahun lalu, menunjukkan peratusan graduan yang masih belum bekerja ialah 21 peratus terdiri daripada IPTA dan 27 peratus IPTS. Manakala, 28 peratus daripada Politeknik dan 35 peratus Kolej Komuniti," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional (My3L) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Bagaimanapun, menurut beliau terdapat segelintir siswazah ditawarkan pekerjaan secara sambilan memandangkan belum terdapat kekosongan jawatan tetap yang sesuai dengan kelulusan mereka.

Sehubungan itu, Omar berkata KPT mengambil beberapa inisiatif menyelesaikan permasalahan itu, antaranya giat bekerjasama dengan industri pekerjaan di negara ini bagi memudahkan siswazah mendapat akses peluang pekerjaan.

Namun menurut Omar, antara faktor penyumbang kepada siswazah tidak mendapatkan pekerjaan ialah kerana mereka ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, kelulusan siswazah tidak mengikut kehendak industri serta industri tidak memberi peluang kepada mereka.

Terdahulu dalam ucapannya, Omar berkata tahun ini kerajaan melalui 15 kementerian menyediakan 2,612 kursus di bawah program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Bagi memudahkan orang awam memperoleh maklumat berhubung program itu, satu Direktori PSH peringkat nasional sesi 2012/2013 dibangunkan dan bakal dilancarkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, katanya.Karnival My3L bertemakan 'Belajarlah Tanpa Henti' itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan menyediakan 100 ruang pameran dengan disertai 15 kementerian dan pelbagai agensi kerajaan dan swasta. -BERNAMA

ISU SOSIAL : Tangani kenaikan harga rumah


Oleh : NIZAM YATIM

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah mendesak kerajaan supaya memasukkan syarat mewajibkan pemaju swasta membina 35 peratus rumah mampu milik bernilai antara RM60,000 hingga RM150,000 ketika pembentangan Bajet 2013 tidak lama lagi.

Langkah itu adalah bagi memastikan lebih ramai rakyat termasuk 1.4 juta kakitangan awam dapat membeli rumah di kawasan bandar kerana jika jarak pergi balik dari kediaman ke tempat kerja lebih 100 kilometer, ia tidak relevan dan praktikal.

Sekarang ini hanya di kawasan luar bandar sahaja menawarkan rumah mampu milik berharga tidak melebihi RM300,000, sedangkan ramai kakitangan awam bekerja di bandar.

Isu yang dibangkitkan oleh CUEPACS itu bukanlah baru kerana perkara itu telah lama disedari kerajaan dan ia terbukti apabila kerajaan mengumumkan skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) ketika pembentangan Bajet 2012.

Skim itu membolehkan golongan berpendapatan sederhana antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan di kawasan bandar dan pinggir bandar membeli kediaman mampu milik pada harga di antara RM150,000 dan RM300,000 seunit.

Ia menawarkan beberapa keistimewaan seperti pengecualian duti setem dan pinjaman sehingga 105 peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 30 tahun.

Usaha kerajaan tersebut memang dialu-alukan oleh rakyat, tetapi 42,000 unit yang dijangka dibina di bawah fasa pertama skim PR1MA adalah tidak mencukupi berikutan jumlah golongan berpendapatan sederhana yang ramai.

Jika kita mengharapkan pemaju hartanah swasta untuk turut membina rumah mampu milik seperti yang disaran CUEPACS, sambutannya setakat ini adalah sangat mendukacitakan.

Mengulas perkara itu, Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Amir Baharuddin berkata, dakwaan pemaju bahawa kos pembinaan yang tinggi adalah punca mereka tidak berbuat demikian adalah tidak benar.

Katanya, ia sebenarnya berpunca daripada keinginan pemaju swasta untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

"Saya difahamkan oleh beberapa pemaju, kos harga pembinaan sebuah rumah sebenarnya adalah separuh daripada harga jualan rumah terbabit.

"Justeru kerajaan perlu mengambil langkah dan memantau keuntungan para pemaju ini kerana ada kes pemaju memperoleh keuntungan sehingga 50 peratus selepas sesebuah rumah itu dijual," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui antara punca harga rumah melambung tinggi adalah disebabkan berlakunya pembelian atas tujuan pelaburan oleh pihak yang mengaut keuntungan berganda melalui penjualan semula.

Menyifatkannya sebagai perkara tidak sihat, jelas Amir, spekulasi hartanah seperti itu perlu dibendung kerana ia antara punca berlakunya masalah ekonomi di negara-negara Barat.

"Ketika ini rumah harus dianggap sebagai keperluan asas rakyat sama seperti beras, justeru tidak wajar wujud pelaburan dan spekulasi mengenainya," jelas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk FD Iskandar FD Mansor mencadangkan kerajaan mengenakan levi kepada para pemaju hartanah bagi membolehkan kerajaan mendapat pendapatan untuk membina sendiri rumah mampu milik bagi keperluan rakyat.

Beliau berkata, kaedah itu lebih berkesan daripada mewajibkan pemaju perumahan memperuntukkan kuota 30 peratus rumah mampu milik sebagai tanggungjawab sosial korporat.

"Kami bukan mahu lari dari tanggungjawab tetapi arahan tersebut merugikan pemaju kerana rumah-rumah tersebut yang dibina jauh dari bandar seperti di Hulu Selangor tidak mendapat sambutan," katanya.

Justeru, katanya, adalah lebih baik kerajaan mengenakan levi untuk disumbangkan kepada satu tabung atau agensi yang terlibat dalam perumahan seperti Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) dan Perbadanan Program Perumahan 1Malaysia.

"Lebih baik kerajaan yang bina sendiri rumah-rumah jenis ini dan terserahlah sama ada rumah berkenaan mahu jual atau disewakan," katanya.

Apa yang dicadangkan oleh beliau itu adalah antara perkara yang perlu diteliti oleh kerajaan bagi memastikan lebih banyak rumah untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah dapat dibina.

Kaedah sewa beli untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi golongan berpendapatan rendah boleh juga diperluaskan membabitkan rumah skim PR1MA.

Cara ini telah digunakan Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) yang membina rumah untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah di Singapura.

Langkah yang dilaksanakan oleh HDB itu telah mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 80 peratus penduduk republik itu memilih rumah yang dibina oleh lembaga itu.

Untuk mengelakkan penggantungan kepada bank-bank yang mensyaratkan pembeli membayar balik pada kadar berlipat kali ganda daripada harga asal rumah, rakyat republik itu juga dibenarkan mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) bagi membiayai pembelian rumah berkenaan.

Bagi membolehkan lebih banyak rumah dibina, selain tanah kerajaan, boleh juga dibangunkan tanah rizab Melayu yang terdapat berdekatan ibu kota.

Antaranya tanah-tanah di Kampung Sungai Pusu berdekatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak dan Hulu Langat, Selangor yang harganya masih lagi rendah.

Dalam pada itu, kaedah yang digunakan kerajaan Korea Selatan boleh dicontohi bagi menangani perbuatan membeli rumah untuk tujuan spekulasi.

Antara syarat yang dikenakan, rakyat hanya dibenarkan membeli rumah selepas lima tahun daripada pembelian rumah sebelumnya dan kerajaan juga sering menjalankan siasatan terperinci bagi mengelak spekulator tidak membayar cukai.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizzuddin Nooh berkata, orang ramai tidak seharusnya mengharap segala masalah perumahan mereka diselesaikan oleh kerajaan sahaja.

Beliau berkata, isu kenaikan harga rumah yang drastik dan tidak munasabah terutama di Kuala Lumpur dan Selangor ketika ini adalah disebabkan suara pengguna tidak kuat.

"Sekiranya pengguna di negara ini bergerak sebagai sebuah entiti yang kuat, pastinya suara mereka dapat memberi tekanan kepada pemaju-pemaju perumahan supaya membina lebih banyak rumah mampu milik," katanya.

Dalam masa sama, Mohamad Noorizzuddin turut bersetuju dengan pendapat bahawa pemaju perumahan ketika ini mencatat keuntungan yang keterlaluan hasil jualan projek-projek perumahan mereka.

Sehubungan itu, sempena pembentangan Bajet 2013 pada 28 September ini, pihak kerajaan dan rakyat hendaklah saling bekerjasama bagi mengatasi isu kenaikan harga rumah yang terlampau tinggi.

Kepada kerajaan negeri yang dikuasai pihak pembangkang, ketepikan perbezaan politik dan benarkanlah tanah rizab Melayu dibangunkan dengan projek rumah mampu milik.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/