Isnin, 15 Oktober 2012

ISU BAHASA : Setiap rakyat mesti fasih bahasa Melayu


Oleh : Ridzuan Yop
 
Selepas 55 tahun negara mencapai kemerdekaan, wajarkah lagi kita mempersoalkan tahap penguasaan dan kefasihan berbahasa Melayu, terutama kepada mereka yang mengaku rakyat negara ini untuk bertutur dalam bahasa itu yang sudah diangkat sebagai bahasa kebangsaan.

Apabila ada pihak membangkitkan tahap penguasaan bahasa Melayu warga Malaysia sudah pasti ada sesuatu yang perlu dilihat secara serius dan diperbetulkan.

Kebimbangan terhadap tahap penguasaan bahasa Melayu pasti turut dikongsi banyak pihak, terutama pejuang bahasa, apatah lagi bahasa Melayu tunjang kepada kekuatan dan penyatuan bangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013-2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada September lalu turut menggesa agar setiap rakyat Malaysia menguasai bahasa ini.

“Saya nak sebut selepas 55 tahun merdeka, kita mesti pastikan setiap rakyat mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik. Kalau tidak boleh menulis tetapi dari segi pertuturan, cakap dan sebutannya mestilah baik,” tegas Najib ketika berucap melancarkan PPPM.

Perdana Menteri menegaskan semua sekolah mesti menguasai bahasa kebangsaan dan ia tidak sewajarnya dikaitkan dengan soal politik oleh mana-mana pihak tetapi lebih kepada kepentingan nasional.

Memastikan setiap murid boleh bertutur bahasa Melayu dan Inggeris antara 11 anjakan utama dalam PPPM.

Menurut laporan awal PPPM, penguasaan bahasa Melayu penting dalam mentransformasi pendidikan secara keseluruhannya. Antara lain sistem pendidikan semasa dapat meningkatkan keberhasilan murid melalui bahasa Melayu.

Menurut laporan itu, penyertaan murid dalam sekolah rendah berlainan membawa kepada keberhasilan berbeza dalam kalangan murid pelbagai etnik.

Pelajar Bumiputera menunjukkan pencapaian baik dalam Bahasa Melayu, iaitu 84 peratus mendapat kredit minimum dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berbanding 63 peratus daripada pelajar Cina dan 57 peratus lagi daripada pelajar kaum India. Semua keputusan berdasarkan peperiksaan SPM 2010.

Teguran PM tepat

Sepuluh anjakan lain untuk transformasi sistem pendidikan negara iaitu menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa; melahirkan rakyat Malaysia dengan penghayatan nilai; transformasi keguruan sebagai profesion pilihan; memastikan kepemimpinan berprestasi tinggi di setiap sekolah; mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan; memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia; Mentransformasi kebolehupayaan dan kapasiti penyampaian kementerian; bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta secara meluas; memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit dan yang terakhir meningkatkan ketelusan untuk akauntabiliti awam secara langsung.

Ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, menyifatkan teguran Perdana Menteri berhubung penguasaan bahasa Melayu itu sebagai tepat dan kena pada masanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM berkata, paling membimbangkan ada individu atau rakyat negara ini yang langsung tidak boleh berbahasa kebangsaan.

“Saya menyokong teguran Perdana Menteri kerana perkara ini sudah lama berlaku, tetapi apabila orang akademik membangkitkannya ia mungkin tidak memberi kesan seperti yang dibuat oleh pemimpin nombor satu negara.

“Bahasa Melayu adalah bahasa negara kita, berfungsi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, jika Perdana Menteri kata, selepas 55 tahun merdeka ada lagi sebutan tidak betul, penggunaan ayat salah dari segi tatabahasa kita pun tertanya kenapa ada pendatang asing yang mampu bertutur lebih baik daripada sesetengah rakyat negara ini,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : Malapetaka alam dan pembangunan


Oleh : SENATOR DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH

ADA tiga masalah besar dunia yang mendapat perhatian utama dalam persidangan antarabangsa di Vientiane, Laos pada 3 dan 4 Oktober lalu.

Tiga masalah yang merunsingkan itu ialah perubahan iklim dan bencana alam, pembangunan mampan dan masalah-masalahnya, serta jurang yang semakin melebar antara yang kaya dan yang miskin.

Persidangan yang diadakan di ibu negara yang pernah dilanda perang berpanjangan itu dihadiri oleh lebih 200 orang ahli Parlimen dari 27 buah negara yang bergabung dalam ASEP (Asia-Europe Parliamentary Partnership) termasuk perwakilan dari negara-negara China, Rusia, Jepun dan Jerman. Hadir sama, perutusan khas Setiausaha Agung PBB dan wakil IMF. Perwakilan Malaysia diketuai oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang. Saya sendiri juga mendapat penghormatan sebagai seorang anggota delegasi Parlimen Malaysia.

Ketiga-tiga masalah di atas tentu sahaja saling berkaitan. Dan natijahnya, yang menjadi tumpuan keprihatinan para perwakilan dan pemerhati dalam persidangan itu, ialah: kelaparan atau keupayaan (kekurangan upaya) menyediakan makanan secukupnya untuk keperluan seluruh manusia yang mendiami buana ini.

Pada tahun 2050 nanti, bilangan penghuni bumi ini memerlukan makanan sebanyak dua kali ganda daripada yang diperlukan sekarang. Sehubungan dengan kesukaran untuk menghasilkan makanan dua kali ganda itu ialah harga makanan yang semakin meningkat.

Satu laporan yang dibentangkan dalam persidangan itu mengingatkan bahawa zaman makanan berharga murah (the era of cheap food) sudah berlalu. Semuanya itu adalah ancaman yang sangat gawat terhadap ekonomi dunia, terutama di negara-negara yang berpendapatan rendah.

Kerana itulah maka pembangunan mampan (sustainable development) amat diperlukan untuk memastikan pengeluaran makanan mencukupi dan kesejahteraan hidup terjamin. Maka, persidangan itu memilih tema "Perkongsian Asia-Eropah untuk Pembangunan Mampan" (Asia-Europe Partnership for Sustainable Development)

Daripada ucapan-ucapan utama sidang pleno dan perbincangan-perbincangan khas sidang kelompok serta kertas-kertas maklumat yang diedarkan, jelaslah bahawa pembangunan mapan itu menghadapi banyak masalah. Ada masalah berpunca daripada bencana alam , terutama perubahan iklim dan mala petaka lain seperti tsunami, banjir besar, gempa bumi dan musim kemarau yang berpanjangan.

Semua itu bukan sahaja mengancam pembangunan mapan - dan dengan sendirinya mengancam usaha-usaha pengeluaran makanan yang mencukupi - malah juga telah mengakibatkan ratusan juta penduduk miskin di serata dunia mengalami korban nyawa dan harta benda. Hakikat itu diperjelaskan lagi oleh Utusan Khas Setiausaha Agung PBB, Ms Margareta Wahlstrom yang memaklumkan fakta dan angka berikut: Sepanjang 12 tahun lalu, bencana alam mengorbankan tidak kurang daripada 1.1 juta nyawa di serata dunia, terutama di negara-negara yang kurang maju. Harta benda yang musnah bernilai tidak kurang daripada 1.3 trilion Dolar Amerika (AS$1.300,000,000,000). Dan bilangan manusia yang menerima akibat secara langsung atau secara tidak langsung ialah 2.7 bilion orang.

Sepanjang 2011 sahaja kerugian ekonomi yang dialami oleh negara Asia-Pasifik akibat pelbagai bencana alam itu mencapai angka AS$294 bilion.

Contoh yang lebih khusus lagi ialah pengalaman pahit tuan rumah persidangan. Sepanjang tahun lalu sahaja, akibat bencana alam terutama banjir, Laos mencatat korban nyawa manusia seramai 30 orang dan kemusnahan serta kerosakan harta benda bernilai 1,764 bilion kip > AS$220.500.000. Banjir itu memusnahkan jalan raya, jambatan, sekolah, hospital, kawasan pelancongan serta loji-loji bekalan air dan elektrik.

Satu contoh lain yang disebut ialah nasib malang Pakistan yang dilanda banjir besar berulang-ulang sejak beberapa tahun terakhir dan mengakibatkan 50 juta penduduk kehilangan rumah tempat tinggal. Tentu sahaja turut musnah pelbagai infrastruktur yang lain.

Itulah antara contoh bencana alam yang berpunca daripada perubahan iklim yang menjadi rintangan utama pembangunan mampan. Selain itu disentuh pula masalah yang berpunca daripada tingkah dan kerenah manusia: tamak haloba, bongkak dan angkuh serta perilaku yang tidak rasional termasuk kecenderungan bertindak semata-mata kerana dorongan emosi.

Jika perubahan iklim mengakibatkan eko-sistem yang tidak stabil, maka kerenah manusia menyebabkan sistem politik tidak stabil dan kehidupan sosial menjadi kacau bilau. Ini termasuklah pengurusan kewangan, termasuk hutang awam. Dan semuanya itu adalah rintangan terhadap pembangunan mapan yang menyukarkan usaha menyediakan makanan secukupnya untuk umat manusia.

Berkait rapat dengan kerenah manusia itu adalah masalah jurang yang semakin melebar antara yang miskin dan kaya yang turut mendapat perhatian dalam ucapan beberapa perwakilan. Umpamanya perwakilan dari Indonesia, Haryono Isman, menyebut tentang pertumbuhan ekonomi dunia daripada AS$34 trilion 20 tahun lalu kepada AS$64 trilion pada masa sekarang. Begitu juga dalam masa 20 tahun itu perdagangan antara bangsa berkembang menjadi tiga kali ganda kepada AS$28 trilion.

Tetapi pertumbuhan ekonomi dan perkembangan perdagangan semata-mata tidaklah memadai dan tidak akan menyelesaikan keseluruhan masalah jika tidak diikuti dengan pembahagian atau pengagihan yang merata dan saksama.

"Ketidaksetaraan sekarang semakin menjadi-jadi sama ada antara satu negara dengan negara lain atau antara satu golongan dengan golongan lain dalam sesebuah negara," tegas Haryono.

Sehubungan dengan ketidaksetaraan itu, perwakilan juga diingatkan bahawa lebih satu bilion orang, iaitu satu per enam daripada seluruh penduduk dunia, sekarang sedang diancam oleh bahaya kelaparan tegar.

Demikianlah masalah dan rintangan yang dihadapi dalam usaha merealisasikan pembangunan mampan itu. Justeru menyedari pelbagai masalah itulah maka perwakilan dalam persidangan tersebut sepakat untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa yang lebih produktif.

Sehubungan itu, Abu Zahar menyarankan supaya persidangan tersebut dimanfaatkan "untuk terus memupuk persamaan hasrat dan meneroka saluran-saluran kerjasama baru demi merealisasikan matlamat dan kepentingan bersama.

Selaras dengan saranan Abu Zahar itu, Persidangan ASEP di Vientiane tersebut dapat dianggap sebagai satu langkah positif "memupuk persamaan" dan "meneroka saluran-saluran kerjasama yang lebih kreatif dan produktif."

Persidangan itu memberi kesempatan kepada para perwakilan bertukar-tukar nota dan pengalaman serta memperluas horizon dan perspektif.

Dan bagi saya secara peribadi kehadiran dan penyertaan dalam persidangan itu, telah menimbulkan sejenis keinsafan dan sekali gus rasa syukur.

Pendedahan kepada pelbagai masalah dan mala petaka yang di alami oleh negara-negara lain menyedarkan saya tentang betapa beruntungnya penduduk dan negara Malaysia yang secara relatif bebas daripada bencana alam, rata-rata bebas daripada kebuluran dan bebas daripada belenggu kemiskinan tegar.

Sehubungan itu, dalam sesi perbincangan mengenai isu-isu pengeluaran makanan, antara lain saya nyatakan: "Untuk masa ini, Malaysia tidak mengalami sebarang masalah kelaparan. Ekonomi negara kami masih berjaya membekalkan makanan untuk 28 juta orang rakyat tempatan dan untuk dua juta orang lagi pendatang asing yang mencari nafkah di negara kami".

Secara berkias saya bayangkan bahawa Allah masih melindungi Malaysia daripada ditimpa pelbagai mala petaka alam.

Yang membimbangkan sekarang adalah mala petaka buatan manusia yang mengancam kestabilan politik dan menggugat kerukunan hidup sosial dalam negara yang kami cintai.

Penulis ialah anggota delegasi Malaysia dalam Persidangan ASEP 7 di Vientiane juga ialah Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Menarik minat, memantapkan pelajaran sejarah di sekolah


 Oleh : DR. AMINUDIN MANSOR

USAHA harus dilakukan untuk memantapkan lagi mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah menengah bagi mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.

Sejarah harus difahami, dihayati dan bukan dihafal atau mengingat fakta. Mempelajari sejarah bangsa dan negara adalah teras kepada pembentukan jati diri dan asas kepada patriotisme serta cintakan negara.

Tinjauan penulis, banyak faktor menyebabkan pelajar di peringkat sekolah menengah tidak berminat mempelajari sejarah. Menurut seorang guru yang berpengalaman mengajar subjek itu selama 25 tahun mengatakan antara faktor itu:-

Pertama, pelajar belajar sejarah menghayati dan memahami jalur sejarah bangsa dan negara. Mereka belajar berkaitan tokoh yang sudah meninggal dunia dan pelajar tidak mengenali mereka.

Kedua, mereka sering bertanya, apabila lepas sekolah apa yang mereka boleh dapat melalui belajar Sejarah? Adakah dapat menjamin menjadi pakar sejarah atau pakar arkeologi berbanding mata pelajaran seperti Sains dan Matematik yang menjanjikan peluang pekerjaan lebih baik.

Ketiga, banyak perkara yang terpaksa di baca dan dihafal sebagai contoh, tingkatan satu ada lapan bab, tingkatan dua, ada 10 bab, tingkatan tiga, ada tujuh bab, tingkatan empat ada 10 bab dan tingkatan lima ada sembilan bab. Jumlah bab ialah 44 bab.

Keempat, semasa di tingkatan satu hingga tiga ada projek atau folio yang dibuat oleh pelajar sedangkan markah tidak dikira dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Sekurang-kurangnya berikan sebanyak 10 markah.

Kelima, tingkatan empat dan lima tiada projek atau folio. Pelajar terpaksa membaca dan menghafal 19 bab sedangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hanya dua soalan yang perlu dijawab oleh pelajar.

Sementara itu, menurut beberapa pelajar mereka tidak minat belajar Sejarah disebabkan beberapa faktor. 
Antaranya adalah sukar untuk mengingat fakta yang banyak dan  fakta yang diajar kurang diminati. Buku teks tidak menarik untuk dibaca menyebabkan sukar untuk diingati.

Antara faktor lain adalah cara pengajaran dan pembelajaran (P&P) guru Sejarah tidak membantu pelajar mengingati fakta. Fakta yang diingati tidak digunakan dalam kehidupan masyarakat. Pelajar merasakan subjek ini bosan dan membuang masa.

Selain itu, kebanyakan pelajar tidak minat belajar Sejarah kerana tidak mengetahui manfaat mempelajarinya. Bahan P&P tidak menarik dan membosankan. Pelajar berasa dipaksa untuk mempelajarinya kerana subjek teras. Mereka juga mengambil masa terlalu lama untuk mempelajarinya.

Beberapa cadangan diberikan antaranya, menggubal semula sukatan pelajaran sejarah sedia ada. Kaedah, teknik dan pendekatan yang lebih sesuai terkini dan mudah difahami oleh pelajar melalui P&P sejarah.

Sebelum subjek Sejarah diajar di tingkatan satu, guru Sejarah mestilah menekankan kepentingan sejarah sebagai ilmu yang dapat memperkukuhkan jati diri, akar bangsa dan semangat patriotisme.

Selain itu, buku teks baharu yang lebih menarik dengan pelbagai gambar, keterangan dan peristiwa penting. Buku teks Sejarah yang berwarna dan menggunakan 'point form" fakta-fakta penting dan bukan dalam bentuk karangan yang membosankan.

Buku-buku sejarah atau novel yang bersifat kreatif seperti menceritakan detik-detik kemerdekaan, para pejuang kemerdekaan patut diterbitkan lebih banyak.

Guru Sejarah diberi kursus untuk teknik pengajaran kerana P&P guru Sejarah kurang berkesan memberikan penghayatan dan pemahaman sejarah tanah air kepada para pelajar. Setiap guru mestilah menggunakan pelbagai kaedah seperti aplikasi teknologi maklumat (IT) dan P&P terkini seperti kaedah multimedia dalam pendidikan yang menggabungkan teks, kesan bunyi, vokal, muzik, filem, animasi, video berserta perisian komputer yang interaktif.

Proses P&P akan menjadi lebih menarik, iaitu interaktif antara guru dan murid, interaktif guru dengan bahan pengajaran, interaktif murid dengan bahan pengajaran dan interaktif murid dengan murid. Sesekali lakukan interaktif tokoh sejarah dengan murid di sekolah.

Subjek Sejarah boleh dimulakan di peringkat sekolah rendah iaitu pada tahun tiga, empat, lima dan enam serta dimasukkan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada masa akan datang.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pelajaran Malaysia, pihak kementerian memang bertegas menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai teras dan wajib dipelajari oleh pelajar secara berterusan bermula dari tingkatan satu hingga lima pada peringkat sekolah menengah.

Kurikulum Sejarah dilaksanakan di sekolah ketika ini digubal dengan memberi penekanan kurikulum Sejarah pada peringkat sekolah menengah rendah. Ia mestilah mempunyai kesinambungannya pada peringkat sekolah menengah atas supaya asas pengetahuan, nilai patriotisme, kemahiran sejarah dan pengalaman yang diperoleh dapat diperkukuh dan diperkembangkan lagi.

Maka, Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) menegaskan kesepaduan unsur pengetahuan, peningkatan daya intelek, pemupukan nilai murni dan perkembangan kemahiran belajar.

Sehubungan itu, kurikulum Sejarah yang sedang dilaksanakan ketika ini, diberikan penekanan berasaskan kesepaduan dan kesinambungan. Di samping pengetahuan sejarah, konsep dan kemahiran asas disiplin sejarah seperti pemikiran sejarah dan unsur patriotisme diperkukuh dalam proses P&P.

Dalam usaha melahirkan generasi yang dapat memenuhi matlamat dan aspirasi negara, pendekatan P&P Sejarah menjurus kepada pemupukan pemikiran sejarah di kalangan pelajar di samping kandungan kurikulum Sejarah. Apa yang paling penting pelajar dapat menghayati dan memahami jalur sejarah bangsa dan negara sebagai asas membina jati diri, ke arah pembinaan negara bangsa dan semangat patriotisme.

PENULIS ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 14 Oktober 2012

ISU BAHASA : Kesaksamaan kepada rakyat melalui Bahasa Kebangsaan


Oleh : Zin Mahmud

Semalam saya ternampak pintu gerbang baru didirikan di sebuah penempatan lama di Selangor yang dipercayai dibina secara rasmi dengan papan tandanya tertera nama kampung dalam tiga bahasa.

Paling atas diletakkan nama kampung itu dalam Bahasa Malaysia, di bawahnya tertera tulisan Cina dan diikuti dengan Tamil.

Secara praktikal sebenarnya, tidak perlu ditulis dalam tiga bahasa: Melayu, Cina dan India, lebih-lebih ia hanya untuk menunjukkan nama kampung itu.

Cukup dengan tulisan Bahasa Malaysia dan pastinya semua orang dapat membacanya. Sudah tentu semua rakyat Malaysia tahu membaca tulisan Melayu rumi lebih-lebih lagi untuk nama tempat.

Malah mereka yang bukan warganegara seperti pendatang dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Filipina, Vietnam, Myanmar dan Nepal juga boleh membaca tulisan Bahasa Malaysia sekurang-kurangnya bagi nama tempat.

Jadi, apa perlunya papan tanda nama tempat itu ditulis dengan tiga bahasa?

Maka dapat dianggap bahawa tindakan untuk meletakkan tiga bahasa itu adalah atas semangat kepelbagaian bahasa dengan menghargai bahasa-bahasa selain Bahasa Malaysia.

Sebagai negara demokrasi sesiapa pun bebas menggunakan bahasa apa sekalipun. Ditambah pula semua warganegara adalah bertaraf saksama, maka begitu jugalah bahasa yang digunakan di negara ini.

Dalam pada itu Bahasa Malaysia tetap diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan didaulatkan. Sebab itulah dalam mendirikan papan tanda di atas pintu gerbang itu, tulisan Bahasa Malaysia diletakkan di atas sekali dengan saiz yang besar. Sementara bahasa Cina diletakkan kecil sedikit iaitu di tempat kedua, diikuti dengan bahasa Tamil.

Sekali lalu, dilihat tindakan seperti ini telah memberi penghormatan kepada ketiga-tiga bahasa dan seterusnya kepada ketiga-tiga kaum utama negara ini.

Namun, jika diteliti secara mendalam lagi, apa yang dianggap sebagai amalan kepelbagaian bahasa dan kepelbagaian kaum ini adalah pada hakikatnya bersifat perkauman dan meletakkan satu kaum di atas kaum lain.

Amalan meletakkan bahasa Melayu, paling atas dan diikuti dengan tulisan Cina dan Tamil seolah-oleh meletakkan kedudukan paling tinggi kepada bahasa Melayu, diikuti dengan bahasa Cina dan Tamil.

Mungkin bahasa Melayu wajar diutamakan kerana ia adalah Bahasa Malaysia dan menjadi bahasa kebangsaan. Tetapi kedudukan itu juga meletakkan bahasa Cina pada kedudukan lebih tinggi daripada bahasa Tamil.

Majoriti

Ataupun mungkin ia dilihat dari sudut majoriti penduduk. Oleh sebab orang Melayu merupakan kaum paling ramai bilangannya, maka sebab itulah bahasa Melayu diutamakan, diikuti dengan kaum Cina yang bilangannya kedua terbesar dan akhirnya India yang mana bilangannya paling sedikit.

Tetapi pemahaman ini adalah tidak tepat. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bukan kerana bilangan orang Melayu adalah paling banyak di negara ini.

Bahasa Melayu dipilih menjadi bahasa kebangsaan dan kemudiannya dikenali sebagai Bahasa Malaysia kerana ia merupakan bahasa penghubung dan penyatu rakyat negara ini.

Pada awalnya bahasa Melayu memang sudah menjadi lingua franca yang digunakan oleh semua kaum untuk berhubung antara satu sama lain. Dengan bahasa inilah, semua penduduk negara ini boleh saling memahami. Ia tidak ada kaitan dengan hegemoni bahasa Melayu ataupun kaum Melayu.

Hakikatnya, dengan bahasa Melayu, semua rakyat negara ini berada pada kedudukan saksama kerana dapat berhubung secara setaraf di antara satu sama lain.

Ia juga melenyapkan perbezaan dan pengasingan antara tiga kaum di negara ini, iaitu Melayu, Cina dan India kerana semuanya menggunakan Bahasa Malaysia. Tambahan pula rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan bukannya tiga kaum saja, Melayu, Cina dan India. Banyak lagi kaum lain di negara ini.

Dari segi bahasa pula, bahasa Cina juga bukannya satu tetapi terdapat pelbagai dialek iaitu Hokkien, Kantonis, Hakka dan lain-lain. Sementara tidak semua kaum India bertutur Tamil. Ada yang berbahasa Telugu, Malayalam, Punjabi dan macam-macam lagi.

Amalan mengasing-asingkan penduduk Tanah Melayu kepada tiga kaum ditambah pula dengan tiga bahasa berlaku pada zaman penjajahan.

Pada zaman sebelum kemerdekaan itu, empat bahasa digunakan iaitu Inggeris, Melayu, Cina dan India. Sudah tentu Inggeris dianggap sebagai bahasa pentadbiran dengan tiga bahasa lain iaitu Melayu, Cina dan India dipandang sebagai bahasa vernakular atau bahasa tempatan.

Ketika mana dibuat papan tanda, akan disusun sesuatu kenyataan itu menurut tiga peringkat. Yang di atas sekali ialah Inggeris, diikuti dengan bahasa Melayu tulisan jawi, bahasa Cina dan bahasa Tamil.

Maka bahasa disusun  mengikut tahap kedudukan kaum di Tanah Melayu ketika itu.

Tetapi kemerdekaan negara meletakkan semua warganegara setaraf dengan penggunaan satu bahasa kebangsaan bersama.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 13 Oktober 2012

ISU KEPENGGUNAAN : Boikot peniaga, pengusaha tamak


Oleh NURUL ANUAR KARI

SUKAR dipercayai satu ketika dahulu harga kuih-muih serendah lima sen sahaja tetapi kini sekurang- kurangnya 40 sen, sementara saiznya pula lebih kecil.

Melihat kemelesetan ekonomi dunia pada 1990-an dan sekitar 2007, mungkin fenomena kenaikan harga tidak boleh dibendung terutama apabila nilai mata wang ringgit jatuh mendadak ketika itu.

Namun, tidak kurang juga kes-kes peniaga, peruncit dan orang tengah yang tamak menaikkan harga dengan pelbagai alasan tidak munasabah atau tidak berkaitan langsung dengan produk atau perkhidmatan mereka.

Ekoran pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini, trend itu dilihat muncul semula dengan menggunakan alasan pemberian imbuhan oleh kerajaan, bonus mahupun harga gula naik selepas subsidi dikurangkan.

Trend itu sebenarnya sudah bertahun-tahun berulang setiap kali pembentangan bajet, pengumuman kenaikan imbuhan, pemberian bonus, kenaikan harga minyak, pilihan raya dan bermacam faktor lain yang boleh dijadikan alasan.

Tidak cukup mengaut untung besar dengan menggunakan pekerja asing yang dibayar gaji rendah, peluang memerah setiap sen daripada pelanggan tidak akan dilepaskan.

Walaupun peniaga, peruncit mahupun orang tengah yang mengamalkan trend keji itu adalah kumpulan minoriti yang tamak, namun jumlahnya kini semakin meningkat sehinggakan ramai pengguna terpaksa menanggung beban.

Mereka inilah yang paling bising apabila kerajaan menggerakkan pelbagai program rakyat seperti kedai runcit, kedai ikan, kedai kain, kedai buku, klinik rakyat, rumah mahupun menu rakyat bagi menyekat tindakan mengaut untung mudah.

Boleh dikatakan semua benda mahu dinaikkan harganya. Namun begitu, kenaikan harga makanan sama ada yang sudah dimasak di kedai dan restoran atau bahan basah di pasar menjadi contoh terbaik kerana secara langsung kenaikan itu memberi kesan kepada pengguna setiap hari.

Mengambil contoh mudah, air kosong (tanpa ais) yang sepatutnya diberi percuma dikenakan bayaran 20 sen dan di sesetengah kedai dicaj sehingga RM1.50 atau lebih, kononnya atas dasar kedai makan eksklusif, sedangkan cuma kedai mamak biasa sahaja.

Apabila kerajaan mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram, perlukah harga air minuman dinaikkan 20 sen juga bagi setiap gelas atau cawan? Adakah segelas atau secawan minuman manis diisi dengan sekilo gula?

Tidak kurang juga harga makanan seperti lauk-pauk dinaikkan atas alasan serupa tetapi kebiasaannya dalam gandaan 50 sen bagi memudahkan kiraan.

Jika harga minyak RON97 dinaikkan juga, semua harga barang mahu dinaikkan lagi kononnya kos pengangkutan meningkat, sedangkan lori-lori menggunakan diesel.

Apa pula keperluan menaikkan harga jika gaji ditingkatkan atau bonus diumumkan? Adakah pengumuman itu juga 'menambah kos' perniagaan?

Itu belum lagi ditambah dengan perbuatan menyorokkan bekalan bagi meningkatkan harga di pasaran.

Secara logiknya, tidak ada sebab untuk menaikkan harga barang disebabkan pengurangan subsidi, bonus, gaji mahupun kenaikan harga minyak yang hanya meningkatkan kos kepada tauke-tauke yang memandu kereta mewah.

Alasan tidak mampu menampung kos juga umpama penipuan jelas kerana jika benar tidak mampu sudah tentu syarikat atau pengusaha akan gulung tikar dan bukannya menambah lagi cawangan di seluruh negara.

Dalam hal ini, bukan semua peniaga itu tamak haloba dan gemar menaikkan harga sesuka hati tetapi komuniti peniaga juga perlu bekerjasama dalam memantau peniaga lain yang memilih jalan keji untuk mengumpul kekayaan.

Orang ramai pula seperti sudah malas untuk mengadu kerana tidak nampak tindakan tegas diambil tetapi secara diam, ramai yang memboikot peniaga-peniaga yang tamak itu.

Peniaga yang jujur boleh mengambil kesempatan trend itu dengan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka yang tidak dinaikkan harga bagi menarik pelanggan dan memberi alternatif yang lebih besar kepada orang ramai.

Hakikatnya, perbuatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan sesuka hati umpama menggali kubur sendiri kerana pengguna kini lebih peka dan tahu hak mereka.

Jika tamak dan tidak sabar mengumpul kekayaan dengan memerah orang lain, lambat-laun peniaga, peruncit mahupun orang tengah yang pentingkan diri ini akan ditinggalkan kerana pengguna akan mencari produk atau perkhidmatan serupa di tempat lain.

Ditambah dengan pelbagai kemudahan baru disediakan kerajaan, golongan peniaga tamak mungkin dapat dihapuskan jika mendapat kerjasama rakyat dan komuniti peniaga.

Pihak berkuasa pula jangan tunggu sehingga banyak laporan diterima, bergeraklah secara proaktif dan siasat setiap kes yang dilaporkan atau sekurang-kurangnya dedahkan peniaga manakah yang tamak haloba itu agar rakyat dapat bersatu memulaukannya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 12 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan kenegaraan lahir pemimpin berkualiti


Oleh : Muhamad Razak Idris

Pengkaji bidang kenegaraan kini banyak memberikan tumpuan kepada siri debat antara Barack Obama dan Mitt Romney, calon Presiden Amerika Syarikat (AS). Siri pertama berlangsung pada 3 Oktober lalu. Ia mendapat perhatian seluruh masyarakat dunia. Sekiranya kita mengikutinya menerusi laman YouTube di internet misalnya, lebih jutaan menontonnya. Populariti Obama dan kedudukan AS sebagai sebuah kuasa besar dunia antara faktor utama mendorong minat ini.

Selepas mengikuti debat mereka, ia menerbitkan beberapa buah fikiran untuk dibincangkan. Pertama, acara debat adalah medium perhubungan antara pemimpin dan rakyat dalam sesebuah negara demokrasi. Kedua, satu program pendidikan kenegaraan penting dibangunkan dan diperkenalkan dalam negara kita pada hari ini. Acara debat antara calon presiden di AS itu nampaknya bukan saja dinantikan rakyatnya, malah calon yang bertanding itu sendiri. Ia dianggap pentas terbaik bagi mempersembahkan rancangan kepemimpinan mereka kepada seluruh rakyat yang bakal memilih. Rakyat perlu diberi keyakinan pada tahap tertinggi mengenai dasar dan pendekatan yang digunakan dalam tempoh kepemimpinan akan datang sekiranya terpilih.

Hujah berasaskan ilmu

Sudah tentu setiap negara mempunyai cabaran dalaman dan luarannya yang tersendiri. Dalam acara debat antara Obama dan Romney, mereka saling berhujah berasaskan ilmu dan pengalaman mereka sepanjang berada di dunia kepemimpinan berkaitan langkah yang perlu AS lakukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dipertahankan dan dalam masa sama memastikan AS terus menjadi peneraju kepemimpinan dunia.

Meyakinkan rakyat mengenai misi ini bukan suatu yang mudah. Ia menuntut penguasaan pengetahuan kenegaraan dan kemahiran kepemimpinan yang tinggi. AS hari ini berdepan cabaran besar. Ia harus menangani tanggungan hutang yang kini berjumlah ribuan bilion dolar dan pada masa sama perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan dan menjamin keselamatan sosial dan kesihatan penduduknya.

Cabaran ini menuntut suatu formula yang terbaik dari segi dasar dan pelaksanaan. Ia membabitkan isu pengurusan cukai dan pentadbiran ekonomi yang menyeluruh membabitkan sektor awam dan swasta. Obama dan Romney mempunyai perspektifnya tersendiri bagaimana menangani pelbagai cabaran ini. Perspektif mereka dibentang dan dibahaskan secara terbuka kepada rakyat AS. Mereka yakin, sekiranya rakyat dapat difahamkan secara menyeluruh dasar yang akan diperkenalkan nanti, mereka pasti akan mendapat peluang terpilih pada pilihan raya presiden nanti. Dalam sistem demokrasi di AS, nampaknya hubungan rakyat dan pemimpin terbuka dan dekat. Peranan pemimpin ialah menawarkan agenda kepemimpinan masa depannya, manakala rakyat pula perlu meneliti dan mengkaji tawaran berkenaan. Rakyat disalurkan maklumat mengenai rancangan dan agenda pemerintahan menerusi pelbagai pengantara. Nampaknya, pentas debat adalah antara pengantara yang amat berkesan dalam amalan demokrasi di AS.

Amalan demokrasi matang

Realiti ini memberikan kita kefahaman iaitu pencapaian amalan demokrasi yang matang banyak bergantung kepada tahap kesedaran dan keupayaan ilmu kenegaraan oleh rakyatnya. Dalam suasana rakyat berpengetahuan ini, ia mendorong kelahiran pemimpin berkualiti bagi menawarkan agenda kepimpinan terbaik kepada mereka. Pemimpin ini sedar mereka perlu menampilkan kualiti kepemimpinan terbaik untuk terpilih kerana rakyat negaranya memiliki daya pengetahuan yang tidak boleh dipersendakan.

Sehubungan itu, pengenalan program pendidikan kenegaraan adalah penting. Dalam amalan demokrasi hari ini, rakyat sebenarnya penentu masa depan negara. Untuk itu, rakyat tidak saja harus sekadar peka mengenai isu politik, malah perlu memiliki pengetahuan tentang ilmu kenegaraan pada tahap tertinggi. Rakyat perlu melihat ilmu kenegaraan sebagai benteng yang akan memastikan negara yang didiami mereka sentiasa dipandu secara terbaik oleh barisan kepemimpinan yang berkualiti dan bertanggungjawab.

Mengenai ilmu kenegaraan ini, rakyat harus memahami iaitu ia mengandungi aspek teras dan aspek yang berubah. Pemuafakatan dicapai bersama ketika penubuhan negara dan tercatat dalam perlembagaan adalah aspek teras yang perlu sama-sama didukung.

Banyak kelebihan apabila rakyat memiliki pengetahuan kenegaraan yang tinggi. Ilmu ini bukan sekadar memberikan keupayaan bagi rakyat memilih tawaran kepemimpinan terbaik, malah mengelakkan terjebak daripada tipu daya oleh dunia politik yang serba licik.

Penulis ialah Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Pada Zaman Ini


Pada zaman ini adalah terlalu sukar
mencari buku-buku A.Samad Said
mahupun Shahnon Ahmad atau, Keris Mas
ataupun Tongkat Warrant, jauh sekali Kemala atau
Zurinah Hassan penyair wanita doktor falsafah
di toko-toko buku di gedung berjenama
dan pedih sekali di toko kota terpencil desa.

Pada zaman ini adalah terlalu sukar
ilmu kemanusiaan mahu diurusniagakan
apatah buku-buku sastera dan majalah
telah lama terpinggir di gubuk pustaka tua
di sekolah dan pusat dokumentasi universiti
sementara aku terus menerima buku puisi
kiriman penyair setia dengan cetakan sendiri .

Pada zaman ini rakyat senegara
dan dikatakan sebangsa sejiwa
amat mengejar teknologi benda
dan menghitung sains harta dengan
status mempamerkan gelar dan pangkat
dengan segala buku dan majalah import serba
erotika dan picisan susuk menggoda.

Pada zaman ini tidak kurang juga
buku-buku agama dan majalah kerohanian
yang kian banyak ditulis para bijaksana agama
ada yang mengaku ustaz serba-serbi
dan buku motivasi karya yang pakar tumbuh melata
tatkala manusia juga kian runtuh
akhlak dan maruah diri!

Rajiee Hadi  
     
20 JULAI 2012
Shah Alam,Selangor Darul Ehsan.