Isnin, 27 April 2015

ISU BAHASA : Serupa tetapi tidak sama


Oleh : SHARIF IBRAHIM

ANTARA matlamat penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) termasuklah melaksanakan usaha membakukan ejaan dan sebutan serta membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.

Walau bagaimanapun, realiti yang berlaku hari ini bahasa Melayu terus berdepan dengan pelbagai krisis dan cabaran, bukan sahaja saingan daripada istilah asing malah persoalan ketepatan berbahasa dalam kalangan masyarakat terus berlaku secara sewenang-wenangnya.

Dalam hal ini, kurangnya iltizam dalam kalangan sesetengah masyarakat untuk merealisasikan hakikat bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa yang berwibawa di persada global hari ini pastinya mengecewakan kita.

Dari aspek sebutan misalnya, ramai pengguna bahasa yang masih keliru untuk menyebut perkataan yang menggunakan huruf e dengan tepat.

Hal ini demikian kerana dalam bahasa Melayu, terdapat banyak perkataan yang mengandungi huruf e pada kata yang sama, tetapi tidak serupa sebutan dan maknanya. Contohnya, penyebutan perkataan;
•    [nasionalisme] – bunyi huruf e ialah e pepet (sebutan vokal  e sama dengan sebutan untuk emas)
•    [peka] - bunyi huruf e ialah e taling (sebutan vokal e sama dengan sebutan untuk perak)
•    [erat] – bunyi huruf e ialah e pepet

Dari segi kesilapan tatabahasa pula, banyak media cetak yang  mengabaikan ketepatan penggunaan bentuk kata terbitan berapitan men-…- i dan men- …-kan. Sebenarnya, masalah ini dapat kita atasi dengan merujuk kepada kamus untuk menentukan makna dan konteks penggunaannya yang tepat dalam ayat. Daripada pemerhatian penulis, bentuk kata terbitan tersebut yang sering kali mengelirukan ialah:

i. memberi / memberikan
(Contoh penggunaan yang salah - memberi pandangan)                 

Dari segi makna;
• memberi bermaksud ‘seseorang mendapat sesuatu’
• memberikan bermaksud ‘menyerahkan sesuatu kepada seseorang’

Ayat contoh yang tepat:
a.    Yayasan Terengganu memberi pelajar cemerlang biasiswa.
b.    Kerajaan sentiasa  memberikan bantuan kepada petani.
ii.    menjatuhi / menjatuhkan
(Contoh penggunaan yang salah - menjatuhi hukuman )

Berdasarkan makna;
•    menjatuhi bermaksud ‘menyebabkan seseorang menerima sesuatu’
•    menjatuhkan bermaksud ‘mengenakan / menggugurkan sesuatu’

Ayat contoh yang tepat:
a.    Mahkamah telah menjatuhi penjenayah itu hukuman penjara.
b.    Hakim telah menjatuhkan hukuman denda kepada pasangan itu.
iii.    menemui / menemukan
(Contoh kesalahan - menemui kaedah …)

Dari segi makna;
•    menemui bermaksud ‘bertemu dengan seseorang’
•    menemukan pula bermaksud ‘mendapat /mencipta sesuatu’

Ayat contoh yang tepat:
a.    Pihak majikan masih belum menemui pekerja berkaitan isu kenaikan gaji.
b.    Pihak polis telah menemukan kereta yang dilaporkan hilang semalam.
iv. mencucuri / mencucurkan
( Contoh kesalahan - mencucuri rahmat…)

Berdasarkan makna;
•    mencucuri bermaksud ‘mengurniai/melimpahi seseorang’
•    mencucurkan bermaksud ‘mengurniakan/melimpahkan sesuatu’

Ayat contoh yang tepat:
a.    Kami berdoa semoga ALLAH mencucurkan rahmat kepada rohnya.
b.    Kami berdoa mudah-mudahan ALLAH mencucuri rohnya rahmat.

Selain itu, kesalahan bahasa juga banyak berlaku pada papan tanda, contohnya ramai kalangan kita yang tidak sedar bahawa ungkapan yang sekian lama kita lihat pada papan tanda di jalan raya ‘Kesulitan Amat Dikesali’ sebenarnya sedikit tersasar ketepatannya. Dalam kamus, perkataan kesal bermaksud ‘perasaan marah atau kecewa’.

Penggunaan kata yang tepat ialah sesal yang bermaksud ‘rasa bersalah atau insaf’ kerana tindakan pihak terbabit yang menimbulkan kesulitan kepada pengguna jalan raya. Frasa yang sepatutnya, SEGALA KESULITAN AMAT DISESALI.

Sebagai kesimpulannya, salah satu langkah yang tepat untuk membina kesempurnaan berbahasa adalah melalui penggunaan kamus, terutama Kamus Pelajar terbitan DBP. Kamus ini sepatutnya diuar-uarkan sebagai bahan pedoman penting para pelajar untuk berbahasa dengan betul.

Sesungguhnya, memartabatkan bahasa Melayu merupakan tanggungjawab kita bersama. Kata pepatah Melayu, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.


Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Membendung profesor, gelaran PhD palsu


Oleh :  Akhbar Satar
akhbar.satar@gmail.com

Beberapa hari lalu, Majlis Profesor Negara (MPN) melancarkan buku Garis Panduan Penggunaan Gelaran Profesor bagi mengangkat kredibiliti profesion dan imej ahli akademik di Malaysia bertujuan menjelaskan penyalahgunaan gelaran profesor pada pangkal nama atau kad nama. Bahkan sudah ramai menyalahgunakan ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD) sama ada dibeli menerusi online, diplagiat atau mengupah orang menyediakan tesis bagi tujuan penipuan dan komersial.

Banyak kes seperti ini sama ada di Malaysia ataupun luar negara termasuk negara maju yang menjadi hab pengajian tinggi. Beberapa tahun lalu, bekas Pengarah Kanan dan Ketua Pegawai Maklumat, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS), Laura Callahan meletak jawatan selepas didapati membeli Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD secara dalam talian. Kes ini menggegarkan keselamatan Rumah Putih kerana dilihat seolah-olah tidak menyemak latar belakang sebelum mengambil beliau bertugas.

 AS mengeluarkan 50,000 ijazah PhD seluruh dunia, bernilai RM3.6 bilion (AS$1 bilion) setahun. Di Pakistan pula ada banyak universiti melantik profesor kelulusan PhD palsu dan ia menjejaskan kredibiliti universitinya. Pembabitan 'profesor segera' ini merosakkan imej dan mutu pengajian terutama bidang perubatan. Di Russia, ijazah palsu dapat dibeli dengan harga RM3,000. Ada juga sindiket mengeluarkan ijazah palsu atas nama Universiti Harvard - pusat pengajian tinggi terbaik di dunia, dengan harga RM120,000.

Sedia khidmat ijazah palsu

Malah, sebuah laman sesawang menyediakan perkhidmatan mengeluarkan ijazah palsu, termasuk PhD dari pusat pengajian tinggi dengan bayaran RM240. Tawaran ini jadi lebih menarik apabila mereka bebas memilih apa sahaja bidang dikehendaki atau mana-mana universiti untuk diisi dalam ijazah palsu itu.

Ijazah palsu membabitkan universiti Malaysia mula dikesan susulan kes penipuan untuk mendapat kelulusan Universiti Sains Malaysia (USM) beberapa tahun lalu. Selain kes sijil palsu USM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu lebih RM5 juta, kononnya daripada lima universiti luar negara. Pembelinya terdiri daripada kalangan ahli politik dan individu bergelar Tan Sri.

Syarikat mengenakan harga RM6,500 bagi ijazah Sarjana Muda, RM8,500 (Sarjana) dan RM10,500 (PhD) dalam pelbagai jurusan kononnya diiktiraf lima universiti luar negara, antaranya Universiti Rockhampton, Universiti Harvey International, Universiti Cannington Brook dan Universiti Charles Molnar.

Ramai orang 'sakit jiwa', pemalas dan suka menipu mencari jalan pintas, cepat, tidak perlu belajar untuk mendapatkan ijazah secara mudah, dalam tujuh hari sedangkan pelajar universiti menghabiskan tiga hingga enam tahun untuk mendapatkan diploma dan ijazah.

Bukan mudah untuk mendapat PhD kerana memakan masa lama. Perlu berkorban wang ringgit, keluarga dan masa. Perbuatan segelintir mereka ini adalah tidak adil kepada pemilik ijazah sebenar. Mereka yang terbabit dalam kes pemalsuan ijazah, biasanya bijak bercakap tetapi isinya kosong dan hanya boleh dikesan sesetengah pakar apabila dibandingkan dengan kelulusan diperoleh. Selalunya orang yang gagal dalam pelajaran dahagakan pengiktirafan, lebih-lebih lagi orang yang baru dikenali. Mereka mahu dipandang tinggi, berilmu, berkebolehan dan boleh dijadikan pakar rujuk.

Perdaya orang

Mereka bangga memperkenalkan diri sebagai 'Dr' dan profesor memperdayakan orang sedangkan hanya tamat Tingkatan Tiga ataupun Tingkatan Lima. Kadangkala dengan gelaran 'Dr' dan profesor yang dijaja sebagai pakar motivasi, MLM, penjual produk kosmetik dan ahli perniagaan, mereka dapat lebih peluang dan keutamaan menjawat jawatan penting seperti pengarah dan perunding dalam organisasi serta senang mendapat kontrak atau projek.

Ditambah pula dengan sikap orang ramai mudah percaya dengan kepetahan bercakap tanpa meneliti latar belakang pengajiannya, selain kelemahan majikan di Malaysia yang hanya melihat rekod jenayah pemohon pekerjaan tanpa menitikberatkan status pendidikan menyebabkan kegiatan membeli ijazah sarjana dan PhD palsu semakin berleluasa.

Satu pusat menyimpan data graduan mesti ditubuhkan untuk mengelak kes pemalsuan ijazah dan semua sijil dicetak Percetakan Nasional yang mempunyai tahap sekuriti tinggi. Seseorang bergelar Tan Sri, Datuk, ahli perniagaan dan pakar motivasi tidak berintegriti dan patut merasa jijik memiliki ijazah palsu serta sanggup menggunakan gelaran doktor atau profesor.

Mereka patut malu kepada masyarakat bahkan kepada ahli keluarga yang mengetahui taraf pendidikan dimiliki. Adalah wajar sesiapa yang menggunakan sijil palsu dihukum mengikut Seksyen 471 dan 468 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak lebih daripada tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya. Penipuan sijil palsu perlu dibendung agar tidak merebak dan kelak disalah guna warga asing ketika Malaysia mengambil pelbagai usaha menjadikan negara sebagai hab pengajian tinggi.

Penulis ialah Presiden Transparensi International Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/( KHAMIS, 23 APRIL 2015)

Rabu, 22 April 2015

ISU PENDIDIKAN : Bangun institusi pendidikan bertaraf dunia


Oleh: Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@mediaprima.com.my

Dalam era ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan, negara amat memerlukan modal insan berpengetahuan sebagai asas memaksimumkan keupayaan generasi masa depan.

Ia satu usaha mencapai piawaian global dalam melahirkan golongan berkeupayaan yang mampu menjana pencapaian merangkumi semua aspek.

Perubahan itu turut menjadikan pendidikan sepanjang hayat agenda murni mencorak modal insan mengikut acuan semasa.

Namun, usaha atau perubahan itu masih dipertikaikan kemampuannya terutama dalam penyaluran maklumat menerusi medium pendidikan.

Segelintir pihak menganggapnya kurang efektif biarpun banyak perubahan dilakukan bagi meningkatkan kualiti sedia ada.

Justeru, apakah usaha boleh dilakukan lagi memartabatkan dunia pendidikan negara bagi menyahut cabaran lebih besar pada masa akan datang?

Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Dr Amir Hasan Dawi berkata, ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi perlu dimantapkan bagi melonjakkan transformasi menjadi pendidikan bertahap global.

Beliau berkata, dunia pendidikan hari ini bukan saja bertambah kompleks malah dipelbagaikan dengan keperluan terkini bagi mencakupi standard global.

“K-ekonomi menjadi antara pemacu dalam usaha menjadikan dunia pendidikan negara lebih berkapasiti tinggi dan optimis melahirkan generasi intelek, berkemahiran dan bersahsiah.

“Dalam konteks globalisasi hari ini keperluan kepada ilmu semakin dirasakan manakala persaingan merebut pasaran berlaku dalam pelbagai aktiviti atau peluang perniagaan.

“Oleh itu, pihak yang lebih tinggi ilmunya akan berjaya menguasai bidang berkaitan, sekali gus memperoleh keuntungan,” katanya.

Beliau berkata sistem K-ekonomi bukan saja mampu membantu menjana maklumat dalam struktur pembangunan masyarakat malah membantu membangunkan institusi pendidikan menjadi bertaraf dunia dan proses pembelajaran sepanjang hayat.

“Hari ini kita tidak dapat menafikan bagaimana pendidikan diiktiraf sebagai penting dalam struktur masyarakat kerana ia sumber mendapatkan ilmu.

“Dari segi sejarah, negara yang mengutamakan pendidikan dalam dasar pembangunan lebih berjaya seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Dalam konteks Malaysia, pertumbuhan pesat pusat pengajian adalah perkembangan langsung sektor pendidikan dan ini sangat membanggakan kerana kita sudah mula melakukan anjakan sistem menjadi lebih kompetitif,” katanya.

Beliau turut merujuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Pendidikan Tinggi (PT) yang berani melakukan perubahan bagi mencapai wawasan melahirkan pelajar berdaya saing.

Menurutnya, menerusi PPPM yang merangkumi anjakan perubahan aspek menyeluruh, nilai bidang pendidikan negara akan diletakkan sebagai satu mekanisme utama yang akan dibangunkan dengan suntikan elemen diperlukan secara global.

“Kita sentiasa merujuk kepada negara luar untuk membangunkan sistem sedia ada walaupun kita mempunyai banyak kelebihan kos yang kompetitif berbanding negara maju.

“Dengan transformasi demi transformasi ini, sistem pendidikan kita dibangunkan dengan acuan sendiri.

“Pembaharuan ini juga bagi memenuhi permintaan global yang mahukan pelajar berkemahiran, serba boleh dan mampu mencapai matlamat berpengetahuan dengan baik,” katanya.

Mengakui bukan mudah mahu menjayakan K-ekonomi ini dalam sektor pendidikan negara, beliau berkata ia boleh dilaksanakan andai kita mampu mengekalkan daya saing ilmu yang tinggi .

“Kita perlu meningkatkan keupayaan pakar tempatan dalam penguasaan ilmu itu sendiri supaya diiktiraf bukan semata-mata kerana kos atau prasarana fizikal.

“Sekarang peluang ekonomi yang ditawarkan sektor pendidikan lebih menjurus jual beli dengan insentif diberi kerajaan misalnya skim pinjaman pendidikan menyebabkan pertumbuhan pesat pusat pengajian tinggi.

“Di peringkat sekolah, pertumbuhan sekolah swasta dan antarabangsa mencabar kewibawaan sistem kita, justeru dalam jangka panjang, kekukuhan sektor pendidikan dari segi komponen ilmu, kualiti dan kepakaran perlu ditingkatkan,” katanya.

Mengenai tanggapan segelintir pihak yang berpendapat isu untuk meningkatkan taraf pendidikan negara adalah isu sensitif, beliau berkata, masyarakat perlu bersikap terbuka dalam menangani isu pendidikan.

Katanya, perkara ini hanya boleh diatasi dengan memberi ruang kepada ilmuwan yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam bidang pendidikan bagi merangka dasar pendidikan.

“Kita perlu bertindak pantas untuk bersaing dengan perkembangan ilmu serta teknologi baru, semasa dan akan datang.

“Dapat dilihat dalam pembangunan pesat kita mengimport ramai tenaga pakar serta separa pakar asing dan mereka boleh mencipta kejayaan selain semakin banyak universiti luar negara membuka kampus cawangan di sini.

“Oleh itu perlu ada budaya strategik membangunkan tenaga kerja berilmu dalam kalangan rakyat tempatan selain mula melakukan perubahan sikap dan budaya yang dimulakan dengan generasi muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU BAHASA : Hadiah sememangnya percuma!


Oleh : SHARIF IBRAHIM

SEBAGAI saluran komunikasi, bahasa turut berperanan penting untuk mempengaruhi pemikiran dan perlakuan masyarakat. Media pengiklanan produk umpamanya sering menggunakan ungkapan “hadiah percuma” sebagai daya tarikan untuk melariskan sesuatu barangan.

Persoalannya, adakah ungkapan ini menepati ciri bahasa yang gramatis? Bahasa yang gramatis bermaksud binaan perkataan dan susunan ayat yang mematuhi peraturan atau tatabahasa serta mempunyai makna yang logik.

Kesediaan pengguna bahasa untuk mematuhi sistem bahasa bukan sahaja memaknakan imej bahasa yang tinggi, tetapi juga untuk memastikan maklumat yang ingin disampaikan lebih berkesan.

Walau bagaimanapun, dalam penggunaan bahasa yang sebenar, banyak kesalahan bahasa yang dilakukan oleh masyarakat. Hal ini berlaku disebabkan kealpaan pengguna bahasa tentang disiplin berbahasa dalam bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa yang tidak gramatis semasa berkomunikasi bukan sahaja menimbulkan imej yang kurang baik terhadap bahasa Melayu, malah turut memberikan gambaran seolah-olah sistem bahasa Melayu masih belum mantap.

Antara aspek kesalahan bahasa yang sering dilakukan dalam kalangan masyarakat terutama para pelajar ialah penggunaan kata yang bersinonim apabila membina ayat. Secara ringkasnya, istilah sinonim berasal daripada perkataan Yunani bermaksud kata yang mempunyai makna sama.

Tidak ramai pengguna menyedari bahawa frasa hadiah percuma tidak gramatis kerana mengandungi makna yang sinonim. Secara logiknya, setiap pemberian hadiah tidak menuntut apa-apa bayaran daripada penerimanya sebab hadiah sememangnya percuma!

Untuk memudahkan pemahaman khalayak pengguna bahasa, saya akan mengemukakan beberapa contoh perkataan bersinonim yang sering diabaikan kewajaran penggunaannya, baik dalam komunikasi lisan mahupun bertulis sekali gus membawa kelewahan makna.

i. Tempoh masa (salah) - Tempoh / masa (betul)
ii. Kemudahan infrastruktur (salah) - infrastruktur / prasarana / kemudahan asas (betul)
iii. Kos perbelanjaan (salah) - kos / perbelanjaan (betul)
iv. Mengulangi peperiksaan semula (salah) - mengulang peperiksaan / peperiksaan semula (betul)
v. Menyara hidup keluarga (salah) - menyara keluarga (betul)
vi. Juga turut hadir (salah) - juga hadir / turut hadir (betul)
vii. Hanya untuk murid sahaja (salah) - Hanya untuk murid / untuk murid sahaja (betul)
viii. Demi untuk negara (salah) - demi negara / untuk negara (betul)

Selain itu, terdapat kecenderungan dalam kalangan pengguna bahasa yang menulis ayat seperti contoh berikut:
i.  Punca kemalangan itu disebabkan oleh kecuaian pemandu.

Sebenarnya, ayat ini juga tidak gramatis kerana mengandungi dua kata yang bersinonim, iaitu perkataan “punca”  dan “menyebabkan” dalam  binaannya. Binaan ayat yang gramatis sepatutnya adalah seperti yang berikut :
i. Punca kemalangan itu ialah kecuaian pemandu.
ii. Kemalangan itu disebabkan oleh kecuaian pemandu.

Begitu juga dengan perkembangan situasi berbahasa dalam media cetak akhir-akhir ini, ada penulis yang menggunakan perkataan sinonim dalam binaan ayat secara tidak tepat. Contohnya:
i. Nasi kerabu cukup sinonim dengan negeri Cik Siti Wan Kembang.
ii. Piramid merupakan simbol yang cukup sinonim dengan negara Mesir.

Kesimpulannya, sikap berhati-hati ketika membina ayat perlu menjadi amalan supaya kita tidak terperangkap dengan penggunaan kata yang bersinonim dan menyalahi peraturan bahasa Melayu.

Dalam hal ini, budaya merujuk kamus perlu menjadi kelaziman  dalam kalangan masyarakat untuk memastikan pilihan kata yang tepat dalam komunikasi.

Sebagai pengguna bahasa, kita bertanggungjawab untuk melestarikan penggunaan bahasa Melayu yang gramatis dan berkesan bukannya berbahasa mengikut selera dan perasaan. Dirgahayu Bahasaku.

 * Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/ ( 9 April 2015)

Ahad, 19 April 2015

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan teras masyarakat maju


Oleh : ROHAMI SHAFIE 

SETELAH hampir 58 ta­hun Malaysia mencapai ke­mer­dekaan, sistem pen­didikan negara telah mengalami ba­nyak perubahan. Terba­haru, kerajaan mengumumkan Pe­lan Pembangunan Pendidikan Ma­laysia, Pengajian Tinggi atau lebih dikenali sebagai PPPM (PT) 2015-2025. Pelan ini merupakan kesinambungan PPPM 2013-2025. Dengan inisiatif ini, lengkaplah perancangan kerajaan untuk mentransformasikan sis­tem pendidikan negara.

Sebelum ini, melalui PPPM, sistem pendidikan prasekolah sehingga ke tingkatan lima menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). KBAT dilaksanakan bagi menepati piawaian antarabangsa. Tidak cukup dengan itu, KBAT mampu melahirkan modal insan yang berfikir di luar kotak, krea­tif, kritis dan inovatif. Dengan ini, modal insan Malaysia bukan sahaja berdaya saing di pasaran kerja domestik tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Dalam suasana masyarakat dunia yang semakin kompleks dengan idea-idea terkini, mahu tidak mahu masyarakat Malaysia juga perlu mengetahui situasi semasa dan ke­sannya pada masa depan. Tunjangnya ialah daya pemikiran tidak boleh kaku dan lesu apabila berhadapan dengan sesuatu isu semasa. Pelbagai persoalan yang sukar perlu ditangani dan dijawab secara terbaik agar akhirnya sebarang keputusan mendatangkan kebaikan kepada keseluruhan rakyat Malaysia.

Bagi melestarikan modal insan yang secara konsisten dilatih supaya cemerlang dalam semua aspek kehidupan, PPPM (PT) dibentuk agar menekankan aspek etika, kerohanian dan moral. Sekali lagi negara memerlukan ramai modal insan yang bukan setakat terbaik, seimbang, berdaya saing dari sudut intelektual dan emosi tetapi juga cemerlang sahsiah.

Masyarakat Malaysia yang masih kuat berpegang pada adab ketimur­an sejak sekian lama perlu belajar bahawa betapa rosaknya sistem masyarakat negara-negara maju yang meminggirkan aspek kerohanian dan keagamaan. Itu bezanya mereka dengan kita. Meskipun diasak dengan pelbagai idea Barat yang majoritinya bersifat fahaman dan idea yang terlalu berkiblatkan sistem duniawi yang individualistik dan materialistik. Maka, berkecamuklah masyarakat mereka sampaikan segala penyelewengan besar yang berlaku berpunca daripada tangan-tangan mereka.

Misalnya, sudah acapkali dunia dilanda krisis ekonomi ekoran tangan-tangan mereka yang meminggirkan etika, kerohanian dan mo­ral. Dalam satu sudut, masyarakat kita terlalu dibuai dengan dakyah kononnya mereka itu mengamalkan prinsip etika yang hebat. Namun, kita terlupa bahawa etika yang diamalkan oleh mereka telah melahirkan insan-insan yang telah merosakkan sistem ekonomi dunia sebagaimana contoh paling tepat berlaku pada tahun 2008 dan pelbagai krisis penyelewengan korporat yang dilakukan oleh mereka. Episod-episod krisis ekonomi dan penyelewengan korporat akan sentiasa diulang-ulang pada masa akan datang selari dengan kosong­nya roh kerohanian masyarakat mereka yang terus menerus mencabar amal­an agama sebenar yang datang­nya dari Yang Maha Esa.

Dalam hal ini, para pelapis ke­pimpinan negara tidak boleh menjadikan Barat sebagai ikutan yang terus menerus mencabar adat dan adab ketimuran. Walhal, asakan demi asakan pemikiran dan tingkah laku mereka yang meminggirkan agama untuk mempengaruhi ge­nerasi muda amat tidak sesuai dalam masyarakat Malaysia.

Apalah gunanya kita dapat melahirkan masyarakat yang terlalu hebat dalam pelbagai bidang tetapi akhlaknya diikat dengan amalan yang cukup rendah budi pekertinya seperti biadab dan sombong. Sewajarnya, lebih tinggi ilmu seseorang maka lebih merendah diri kerana mengetahui bahawa ilmu yang diperoleh datangnya dari Allah SWT. Jika ilmu yang ada melahirkan masyarakat yang riak, sombong, hasad dengki, mementingkan diri dan hanya berasakan dirinya sahaja yang betul, maka tunggulah keruntuhan masyarakat yang amat dahsyat sama sekali.

Jadi, sistem pendidikan negara yang menggabungkan PPPM dan PPPM (PT) merupakan intipati pro­ses pembelajaran sepanjang hayat yang menghasilkan rakyat Malaysia berakhlak tinggi. Malah, melalui kedua-duanya, generasi muda mempunyai keupayaan berdikari sebagai penjana pekerjaan.

Modal insan pada masa akan datang tidak boleh lagi bertindak sebagai pencari kerja kerana ia akan membuatkan masyarakat kita berada di takuk yang sama. Dengan iltizam untuk menjayakan Model Baharu Ekonomi (MBE), setiap daripada modal insan yang bakal memasuki pasaran kerja perlu menjana peluang-peluang pekerjaan sendiri melalui kemahiran keusahawanan yang tinggi kerana ia mampu melipat gandakan pendapatan untuk mereka.

Sebab itulah dari awal lagi ge­nerasi muda dilatih agar mempu­nyai KBAT supaya mereka ini sentiasa mempunyai kekuatan menyelesaikan masalah dalam menghadapi dunia ekonomi baharu pada masa akan datang. Aspek keusahawanan sebagai penjana pekerjaan telah membuktikan banyak kejayaan dalam kalangan negara-negara yang berpendapatan tinggi. Lebih banyak lagi peluang pekerjaan yang dijana oleh mereka, lebih tinggilah prospek ekonomi negara kita berada pada nilai rantaian tinggi bertunjangkan pekerjaan berpendapatan tinggi yang bersifat dinamik.

Dengan kemahiran-kemahiran tinggi dan terkini berpaksikan penge­tahuan yang luas akan membantu memacu serta melonjakkan ekonomi Malaysia. Pendidikan negara terbuka untuk sesiapa sahaja yang mahu meluaskan ilmu pengetahuan mereka. Bahkan mereka yang berusia juga boleh meningkatkan ilmu pengetahuan melalui sistem pembelajaran secara separuh masa sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran. Dengan kata lain, sistem pendidikan negara tidak sesekali mendiskriminasikan mana-mana pihak.

Tidak cukup dengan itu, sistem pendidikan negara juga menekankan aspek teknikal dan vokasional kepada mereka yang kurang meminati bidang akademik di universiti-universiti awam dan swasta. Ilmu bukanlah hanya hak eksklusif untuk mereka yang berada di menara gading semata-mata. Bahkan, ilmu itu berada di mana-mana sahaja menanti kita mencarinya melalui sistem pendidikan yang digubal bersesuaian dengan budaya, agama dan sosial masyarakat Malaysia. Yang pasti, setiap daripada kita bertanggungjawab merealisasikan pendidikan sebagai teras kepada masyarakat maju yang bukan setakat berjaya di dunia semata-mata tetapi juga memenuhi kebijaksanaan me­nuju kecemerlangan di akhirat yang hakiki sifatnya.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/ ( 18 April 2015)

ISU SOSIAL : Profesor palsu, Doktor palsu, gigi palsu...


Oleh : ABDUL JALIL ALI

KALAU hendak tahu Malaysia kini mempunyai 2,349 profesor – 1,990 di universiti awam, 359 lagi di universiti swasta yang diiktiraf. Jumlah itu adalah yang sah berdaftar di bawah Majlis Profesor Negara (MPN).

Mungkin ada beribu-ribu lagi profesor di luar majlis berkenaan, termasuk sekian banyak profesor lantikan sendiri @ tidak diiktiraf. Hatta, penggunaan istilah profesor itu sering kali menimbulkan kekeliruan dan tanda tanya.

Sebab itu saya memuji langkah MPN menerbitkan buku Garis Panduan Penggunaan Gelaran Profesor yang dilancarkan baru-baru ini oleh timbalan pengerusinya, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Buku tersebut diedarkan secara percuma kepada umum, atau boleh layari laman rasmi www.majlisprofesor.gov.my.

CEO majlis, Prof Datuk Dr Raduan Che Ros memberitahu media antara sebab penerbitan buku tersebut ialah untuk mengekang penyalahgunaan gelaran berkenaan untuk memperdaya orang ramai.

Seperti yang diketahui gelaran tertinggi akademik itu selalu disalahgunakan. Tidak ada siapa yang mengawal, maka semua orang – yang tidak malu! – boleh meletakkan gelaran tersebut pada awal nama.

Sekiranya kecenderungan dan keghairahan ini tidak diambil peduli, mungkin satu hari nanti Pak Meon si penjaga kandang lembu pun boleh mencetak kad nama ‘Prof Meon’, ijazah L.E.M.B.U, seperti yang disebut P Ramlee dalam filem klasik Labu Labi.

Bukan semua, tetapi kadang-kadang timbul tanda tanya dan prasangka bagaimana seorang yang kita tahu latar belakangnya, tiba-tiba memakai gelaran profesor.

Perkara ini dirasakan juga dalam kalangan akademia sendiri. Cuma belum ada keberanian untuk bertanya di mana dia memperoleh status profesor? Dari universiti mana? Apa kajiannya?

Betapa pula halnya dengan tuduhan ada sekian banyak profesor yang menjiplak @ plagiat hasil karya orang lain. Berapa ramai yang telah ditarik status profesor atas tuduhan mencuri karya orang?

Sebenarnya penyalahgunaan gelaran ini telah dikesan sejak tahun 1950-an. Malah, satu ketika dulu menara gading kita pernah dicemuh kerana terlalu mudah menganugerahkan status profesor, sehingga wujud apa yang disebut ‘Prof Kangkung’.

Sekadar bertanya, dan tanpa prejudis: Apakah kewujudan sekian banyak profesor tidak berwibawa ini menjadi salah satu faktor mengapa universiti kita tidak pernah termasuk dalam senarai terbaik dunia?

Selain gelaran profesor, orang kita juga mudah mendakwa dan mengiklankan diri dengan gelaran Dr, baik doktor persuratan (PhD) atau doktor perubatan.

Jangan terkejut apabila rakan yang setiap hari kita temui dalam lif, tiba-tiba memberitahu dia telah memperoleh gelaran Dr, bukan dari universiti tempatan tetapi dari luar negara.
Mungkin benar dia belajar dan bertahun-tahun membuat penyelidikan di luar kampus.

Tetapi ada kemungkinan juga dia membeli ijazah kedoktoran itu dari mana-mana sindiket. Di tempat kita bukan luar biasa orang membeli ijazah, sama seperti membeli apam balik di pasar malam.

Ada orang yang sengaja menggunakan gelaran Prof dan Dr untuk mengabui mata orang lain, almaklumlah orang kita memang selalu yakin dan terfana dengan gelaran tersebut, lebih-lebih lagi apabila gelaran tersebut disatukan sebelum nama, seperti Prof Dr sekian-sekian.

Sebab itu baru-baru ini kementerian kesihatan mengingatkan orang ramai jangan mudah terpedaya dengan sesetengah klinik rawatan alternatif atau pusat kecantikan yang pemiliknya menggunakan gelaran Prof atau Dr. Pemeriksaan kementerian mendapati sesetengah gelaran tersebut adalah palsu.

Dari semasa ke semasa kita membaca – dan melihat gambar – mangsa doktor-doktor palsu ini. Ada kes seorang wanita yang terpengaruh dengan iklan seorang ‘doktor pakar’ telah berkunjung ke klinik berkenaan, berhasrat menegangkan payudara yang sudah kendur.

Seperti yang dilaporkan media, setelah membayar beribu-ribu RM dan menjalani apa yang didakwa pembedahan plastik, wanita berkenaan mendapati si payunya tegang, tetapi hanya sebulan.

Dia datang semula ke klinik berkenaan mengadu payunya kendur lagi. Pembedahan ulangan dilakukan – kena bayar RM lagi! Setelah dua bulan dia mendapati kedua payunya semakin mengecil setiap hari, dan akhirnya rata seperti Dataran Merdeka. Ini gara-gara doktor palsu!

Selain prof dan doktor palsu, kita ada bomoh palsu, lesen palsu, GST palsu, polis palsu, duit palsu, gigi palsu, malah suami palsu. Apa boleh buat, Malaysia memang penuh dengan kepalsuan!

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/ (16 April 2015)

ISU BAHASA : Dewan Bahasa perkenal ujian kelayakan BM untuk penuntut asing

Dr. Awang Sariyan

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan memperkenalkan Ujian Kelayakan Bahasa Melayu (UKBM) untuk pelajar asing yang mengikuti pengajian di universiti awam dan swasta di negara ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Awang Sariyan berkata DBP sedang membuat kertas  cadangan berhubung perkara itu melalui Kementerian Pendidikan untuk dibentangkan kepada jemaah menteri bagi kelulusan dasar.

"Ini bermakna semua pelajar asing harus mengambil UKBM. Walaupun pada peringkat awal mungkin tidak dalam konteks wajib lulus, tetapi sekurang-kurangnya mereka wajib mengambil ujian tersebut.

"Ujian ini penting untuk melihat pelajar asing berada di tahap mana dalam  penguasaan Bahasa Melayu. Kami sudah mula menyedia modul dan silibus mengikut peringkat (awal, pertengahan dan maju). Ini akan dapat membantu universiti awam dan swasta melaksanakannya dengan lebih teratur," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian (MoA) antara DBP dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan DBP  hari ini bagi penerbitan buku. DBP diwakili Awang manakala USIM oleh Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Musa Ahmad.

Katanya langkah memperkenalkan UKBM ini satu perkembangan baik untuk membantu melonjakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa dan menurutnya,  DBP memulakan projek perintis di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menguji UKBM.

"Kami berhasrat untuk memulakan UKBM ini secepat mungkin, tetapi harus menunggu keputusan kerajaan. Sebagai persediaan awal, kami menandatangani perjanjian dengan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) untuk mengendalikan ujian tersebut, manakala DBP dari segi kandungan.

"Kami harap dapat memulakan UKBM ini pada pengambilan pelajar September depan di beberapa universiti awam yang ramai pelajar antarabangsa seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM)," katanya.

Untuk jangka panjang, Awang berkata DBP harap ia akan menjadi satu dasar negara seperti yang dibuat oleh negara lain.

Katanya DBP juga sedang membuat kertas kerja melalui Kementerian Sumber Manusia untuk mengendalikan kursus Bahasa Melayu bagi pekerja asing di negara ini.

"Kalau tidak ada kursus Bahasa Melayu, kami bimbang pekerja asing di negara ini tidak dapat berkomunikasi dengan baik, malah tidak tahu budaya kita. Oleh itu, Kementerian Sumber Manusia mesti mensyaratkan pekerja asing mengikuti kursus bahasa Melayu kepada agensi pekerja asing," kata Awang.

Musa berkata melalui MoA itu, buat permulaan 3 buah buku yang dihasilkan oleh ahli akademik USIM akan diterbitkan oleh DBP.

Tiga buku tersebut berjudul "Darah: Titisan Berharga Penyambung Nyawa', 'Prinsip dan Amalan Pengurusan Zakat di Malaysia' dan 'Bersugi dan Kesihatan Pergigian Menurut Islam'.     

Katanya ini kali pertama kerjasama penerbitan buku dimeterai antara USIM dan DBP. – Bernama, 15 April, 2015.