Rabu, 24 Jun 2009

AWASI KESAN H1N1 TERHADAP SEKTOR EKONOMI NEGARA

PEPATAH "Mencegah lebih baik daripada mengubati" merupakan pendekatan terbaik yang perlu diambil dalam menangani krisis wabak selesema babi atau influenza A (H1N1). Ini kerana apa yang berlaku bukan hanya akan memakan korban tetapi juga menjejaskan perkembangan sektor ekonomi tertentu negara.

Pada ketika ini, banyak pihak melihat kerajaan masih lagi bertindak agak perlahan dalam menanganinya di sebalik pelbagai langkah yang dilakukan.

Persepsi negatif ini perlu ditangani segera untuk meningkatkan keyakinan orang ramai bahawa perkara seumpama itu tidak berlaku. Dan kita juga minta rakyat memberi kerjasama supaya angka mereka yang disyaki dijangkiti dikurangkan, sekali gus mengelakkan korban.

Bagaimanapun tindakan kerajaan yang agak perlahan mungkin dipengaruhi oleh kebimbangan bahawa sebarang usaha lebih agresif akan membawa kepada kemungkinan berlaku "panik yang keterlaluan" di kalangan orang ramai.

Namun begitu, kebimbangan di peringkat kerajaan tidak seharusnya berlaku kerana minda orang ramai perlu disediakan untuk menghadapi keadaan terburuk sambil mengharapkan yang terbaik akan berlaku.

Pada masa ini, kita dapat melihat bilangan mereka yang benar-benar serius mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengatasi merebaknya wabak selesema burung masih belum ketara. Kita tidak harus melihat kepada langkah yang diambil di sekolah-sekolah sahaja tetapi juga di tempat-tempat awam yang mana wabak sedemikian mudah merebak.

Langkah-langkah yang lebih meyakinkan dan drastik perlu dilaksanakan kerana kita tidak ingin melihat penularan yang masih di peringkat kecil akan merebak sehingga ke peringkat sektor awam dan swasta termasuk kilang-kilang.

Penularan ini lebih berbahaya berbanding ketika berlakunya selesema burung yang hanya menyebabkan haiwan sahaja terpaksa dihapuskan.

Tetapi jika wabak ini merebak ke dalam sektor ekonomi tertentu, ia bakal memaksa sektor itu ditutup dalam usaha untuk mengelak berlakunya keadaan yang lebih buruk.

Meletusnya kejadian seumpama itu bukan hanya menjejaskan kegiatan ekonomi tetapi juga boleh menyebabkan negara lumpuh lalu terjerumus dalam jurang kemelesetan yang lebih panjang.

Perangkaan yang ada telah pun mengunjurkan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara empat hingga lima peratus pada tahun ini.

Kita juga perlu sedar keupayaan mengekang wabak selesema burung tidak boleh menyebabkan semua pihak menjadi terlalu leka dan berasa selesa bahawa wabak H1N1 yang baru muncul ini tidak akan menjadi masalah berlanjutan.

Biarpun implikasinya kepada Malaysia tidak ketara, semua pihak harus berwaspada.

Berdasarkan perangkaan, wabak selesema burung yang berlaku sebelum ini telah mengakibatkan kerugian ekonomi berjumlah AS$5.4 bilion (RM18.9 bilion) kepada ekonomi sejagat dalam tempoh setahun sahaja.

Negara-negara yang baru-baru ini terjejas akibat H1N1 secara terkumpul telah mengalami kerugian AS$8 bilion (RM28 bilion) hingga AS$12 bilion (RM42 bilion).

Jika dilihat kepada perangkaan itu, nasib tidak akan menyebelahi kita sekiranya gagal mengambil langkah-langkah berani dan juga tidak popular dalam menghadapi wabak ini.

Kita tidak seharusnya bersikap "sudah terhantuk, baru mahu tengadah" kerana ketika itu segala-galanya sudah pun terlambat.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan