Rabu, 24 Jun 2009

PESANAN KEPADA MAHASISWA

Oleh MOHAMMAD ISMAIL dan
DR. SHAIFUL ANNUAR KHALID

SEJUMLAH 128,295 tempat untuk kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti bagi sesi Julai 2009 ditawarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Jumlah tersebut bersamaan dengan 32 peratus daripada sejumlah 400,996 permohonan bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda, program diploma dan sijil.

Ini bermakna 68 peratus atau 272,701 calon yang gagal mendapat tempat perlu mencari alternatif lain seperti kolej swasta atau mencuba nasib mencari pekerjaan.

Lazimnya dalam saat begini, ibu bapa adalah orang yang paling sibuk menguruskan persiapan anak-anak untuk mendaftar di universiti. Tiada kata yang boleh digambarkan mengenai betapa gembiranya mereka apabila mendapat surat tawaran kemasukan anak ke universiti. Kalau boleh mahu dicanangkan ke seluruh kampung atau daerah.

Begitulah gambaran perasaan gembira ibu bapa. Mereka sanggup bergolok-gadai malah sanggup menyewa kereta untuk menghantar anak-anak ke universiti.

Kebiasaannya di kampung-kampung atau di mana sahaja, ada diadakan juga majlis kesyukuran dan sembahyang hajat untuk menzahirkan kesyukuran. Namun dalam kegembiraan tersebut, kami sekadar ingin mengingatkan bakal mahasiswa di menara gading.

Sebagai bakal mahasiswa dan seorang anak, anda pastinya memikul tanggungjawab yang besar. Satu perkara yang perlu selalu bermain dikotak fikiran anda ialah mengimbangi antara matlamat diri, tanggungjawab dan amanah keluarga.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian apabila secara rasminya menjadi warga kampus yang akan dipanggil siswa dan siswi universiti ialah seperti berikut.

Utamakan cita-cita bukannya cinta

Walaupun cinta itu akan hadir dalam setiap diri manusia terutama golongan remaja, namun anda perlu ingat, apa yang perlu diutamakan. Jika kita mencapai cita-cita dengan kejayaan nescaya cinta juga akan dinikmati dalam masa yang sama atau bakal datang kepada anda.

Jangan kerana terlalu asyik berjumpa 'rakan baru', kita menjadi 'kelabu mata' sehingga lupa cita-cita yang menjadi matlamat asal.

Hapuskan sindrom backbenchers club

Satu sindrom yang menular di kalangan sebahagian pelajar universiti ialah berlumba-lumba datang awal ke kelas. Tetapi bukan untuk duduk di barisan depan sebaliknya berebut-rebut mengisi kerusi di belakang.

Jika anda ingin menumpukan perhatian kepada syarahan, rebutlah kesempatan untuk mengisi ruang di depan kerana penyampaian pensyarah akan dapat dicerap dengan lebih jelas dan tepat jika anda berada lebih hampir dengan beliau.

Jauhi perangai musang, siang mengantuk malam berjaga

Satu tabiat yang agak biasa di kalangan pelajar adalah bersembang dengan rakan-rakan sehingga lewat malam. Tidak cukup dengan itu terdapat juga segelintir yang menyambung tugas untuk 'berperang' atau 'mengatur strategi' dengan bermain permainan komputer.

Akibatnya pasti ada yang terbabas untuk mengikuti kelas di waktu pagi dan ada juga yang "mengangguk-angguk" ketika di dalam kelas. Bukan kerana faham apa yang diajar tetapi mengantuk.

Antara resipi kejayaan seseorang pelajar universiti adalah mereka yang dapat mengikuti setiap syarahan dengan baik dan juga dapat memberi tumpuan ketika di dalam kelas. Kajian menunjukkan pelajar yang berjaga malam gagal mendapat keputusan CGPA yang tinggi.

Sentiasa menjadi rider bukannya passenger

Satu fenomena sejak dulu lagi ialah setiap kali tugasan diberi untuk dibuat pembentangan dan laporan pasti ada yang mengelak. Ramai yang mahu mengambil jawatan sebagai 'penumpang'.

Sebagai mahasiswa alaf baru, fenomena ini perlu diubah kerana seseorang yang berjaya, berkarisma, berketerampilan adalah terdiri dari golongan mahasiswa yang sentiasa menjadi pemimpin atau rider dan bukannya passenger.

Untuk menjadi pemimpin yang hebat di masa depan kita mesti mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi dan universiti adalah platform yang terbaik untuk mengasah kilauan bakat untuk membuktikan anda adalah pemimpin masa depan.

Bina hubungan positif dengan pensyarah dan rakan-rakan

Jika kita membaca dan mengkaji antara resipi kecemerlangan seseorang pelajar ialah sentiasa berbincang dengan rakan sekelas melalui kumpulan belajar. Sebaik-baiknya tidak melebihi lima orang.

Selain daripada itu perbincangan dengan pensyarah juga akan membantu kejayaan kerana pensyarah itulah yang akan memeriksa kertas jawapan peperiksaan.

Oleh itu penting untuk mengetahui dan menyelidik tentang kehendak sesuatu soalan serta cara menjawab. Anda tidak boleh menyusuri kampus seorang diri untuk berjaya sebaliknya perlu berbincang dengan rakan dan pensyarah.

Setelah menjalani kehidupan di kampus nanti jangan lupa sekali-sekala bertanya khabar ayah dan ibu. Jangan hanya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sekadar untuk meminta bantuan tambahan apabila poket hampir kosong. Sedikit pesanan di atas sekadar mengingatkan bakal mahasiswa agar anda tidak 'menghadiri konvokesyen' lebih awal daripada rakan-rakan seperti buah yang gugur sebelum waktunya.

Mengikut statistik, sejumlah 4,800 daripada jumlah kemasukan pelajar setiap tahun gagal menamatkan pengajian atau diberhentikan daripada IPTA sepanjang tempoh 2005 hingga 2008. Walaupun jumlah tersebut dianggap sedikit tetapi ia masih merupakan satu amaran yang jelas kepada anda semua bahawa ramai yang berkorban dan bergantung harap untuk memastikan kejayaan anda terutama ayah dan ibu, saudara-mara dan sahabat-handai.

Kegagalan anda juga merupakan satu kerugian yang besar kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Walaupun negara menghadapi krisis ekonomi namun kerajaan terus komited daripada segi penyediaan bantuan kewangan apabila sejumlah RM3 bilion diperuntukan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Namun begitu, kita percaya dalam diri setiap bakal mahasiswa tidak terlintas akan istilah kegagalan. Bagaimanapun, sedikit kealpaan dan kelalaian akan menghanyutkan anda ke arus kekecewaan.

Seseorang pelajar yang menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di IPTA perlu bermuhasabah diri. Anda perlu menganggap bahawa tawaran tersebut biarpun mungkin bukan pilihan utama tetapi adalah peluang keemasan yang datang sekali seumur hidup.

Oleh kerana masih ramai yang gagal mendapat tempat, hargailah peluang tersebut dengan sebaik mungkin untuk mengangkat taraf hidup diri dan keluarga. Anda perlu sedar akan peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Untuk berjaya anda perlu bersedia untuk berkorban, menetapkan matlamat hidup yang jelas, pandai mengurus masa dan pandai membawa diri.

Ibarat pepatah Melayu "adat periuk berkerak, adat lesung berdedak". Untuk berjaya juga pelajar IPTA perlu tabah dan rajin. Jadilah sebagai seorang graduan nanti yang "dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi pepohon yang merendang dan dicampak ke angkasa menjadi bintang yang menyinar". Sekalung tahniah buat yang berjaya!

KEDUA-DUA PENULIS ialah pensyarah dan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara, Perlis.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan