Selasa, 28 Julai 2009

ENAM MENTERI KANAN TERAJUI NKRA


PUTRAJAYA 27 Julai - Enam menteri kanan dilantik menerajui enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) bagi mencapai matlamat indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) secara lebih berkesan lagi.

Mengumumkan demikian hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setiap minggu beliau akan berjumpa dengan setiap menteri berkenaan bagi menilai pencapaian KPI yang telah ditentukan.

Ini bermakna, kata Perdana Menteri, dalam setiap enam minggu beliau akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang dirancangkan.

''Bagi NKRA meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; NKRA mengurangi kadar jenayah, menterinya adalah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan NKRA memerangi rasuah, menterinya adalah Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz.

''NKRA meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula, menterinya adalah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; NKRA memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, menterinya adalah Datuk Seri Shafie Apdal dan NKRA menambah baik pengangkutan awam, menterinya adalah Datuk Seri Ong Tee Keat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Menteri Bersama Pegawai Kerajaan di sini.

Enam NKRA itu diumumkan sempena 100 hari beliau sebagai Perdana Menteri pada 11 Julai lalu dan hari ini beliau memperincikan keenam-enamnya.

Najib berkata, bagi membuktikan tahap kebersungguhan untuk menjayakan NKRA dan KPI berkenaan, tiga bengkel khusus telah diadakan di peringkat Jemaah Menteri.

Katanya, langkah yang pertama kali dilaksanakan itu adalah bagi merangka, memperinci dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit.

Beliau berkata, bagi anggota Jemaah Menteri yang tidak termasuk dalam NKRA, mereka dan kementerian masing-masing tidak terkecuali dari mempunyai KPI.

''Setiap menteri selain daripada enam menteri yang telah saya nyatakan tetap dipertanggungjawabkan mencapai KPI kementerian masing-masing.

''Saya sendiri juga akan memantau prestasi kementerian tersebut pada setiap enam bulan," katanya.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan