Selasa, 28 Julai 2009

ISU PENGANGGURAN DALAM KALANGAN SISWAZAH


7 PENDEKATAN BERKESAN TINGKAT KEBOLEHPASARAN GRADUAN

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

KIRA-kira 150,000 graduan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menamatkan pengajian setiap tahun iaitu meliputi 80,000 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan baki 70,000 orang dari institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Mengikut Sistem Kajian Pengesanan Graduan yang dicatatkan tahun lalu, daripada 88,220 keseluruhan graduan IPTA tamat pengajian, seramai 44,525 atau 50.5 peratus mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian, tidak dapat pekerjaan seramai 19,198 atau 21.7 peratus dan selebihnya lain (melanjutkan pelajaran atau mengikuti latihan kemahiran).

Kajian sama bagi graduan IPTS pula seramai 13,053 atau 62.8 peratus yang mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian dan tidak mendapat pekerjaan 4,910 orang atau 19.7 peratus.

Bagaimanapun, jumlah bagi IPTS itu tidak menggambarkan data keseluruhan graduan yang mendapat pekerjaan atau menganggur kerana tidak semua IPTS di seluruh negara mendaftar dalam Sistem Kajian Pengesanan Graduan ini.

Jika dibuat perbandingan, mengikut Sistem Kajian Pengesanan yang dijalankan, pada 2006, indeks pengangguran graduan ialah pada tahap 30.7 peratus; 26.5 peratus (2007) dan menurun kepada 24.1 peratus tahun lalu.

Pasaran pekerjaan yang paling tinggi diperoleh graduan ialah di kalangan mereka yang mengambil bidang Sastera dan Sains Sosial, diikuti Teknikal seperti kejuruteraan, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan Pendidikan.

Berdasarkan jumlah yang begitu besar graduan yang menamatkan pengajian setiap tahun, sudah pasti isu kebolehpasaran untuk mendapat pekerjaan menjadi perkara utama dan perlu diberi perhatian.

Justeru, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahu memastikan masalah kebolehpasaran di kalangan siswazah dapat di atasi dan sekali gus mereka dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

Pemasalahan kebolehpasaran graduan membabitkan tiga faktor yang sering digariskan oleh pihak majikan atau industri, iaitu dari segi imej dan ketrampilan diri, boleh berkomunikasi dengan baik dan penguasaan dalam bahasa Inggeris.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pembangunan dunia globalisasi menuntut supaya universiti mengeluarkan pelajar yang benar-benar berkualiti mempunyai kemahiran, kepakaran dan menguasai ilmu kerana ia adalah kunci kepada persaingan untuk mendapatkan pekerjaan pada zaman yang semakin mencabar ini.

Katanya, KPT bukan saja memainkan peranan berkaitan pengurusan universiti dan IPT lain, malah skop dan tugas melangkaui sempadan.

"KPT melalui Pelan Perancangan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSTPN) menggariskan aspek kebolehpasaran graduan sebagai agenda kritikal yang perlu dicapai," katanya.

Mohamed Khaled berkata, kementerian menggariskan tujuh pendekatan efektif dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan iaitu, latihan secara formal; latihan secara tidak formal; program keusahawanan, perkongsian pintar bersama industri, latihan praktikal di peringkat antarabangsa, menyemai nilai positif dan program mobiliti pelajar.

Pihak industri dan majikan, katanya, akan melihat semua kriteria itu untuk memastikan graduan mampu bersaing dalam pasaran yang semakin mencabar.

Penambahbaikan bagi menyerapkan kriteria itu perlu dilakukan secara berterusan untuk memastikan universiti mampu menjadi ejen pengeluar graduan yang hebat, lengkap, seimbang, berilmu, berkeperibadian kukuh dan berketerampilan dalam pelbagai bidang.

"Kami mahu melihat sama ada universiti mampu untuk melahirkan graduan berkualiti, berilmu dan berketerampilan mengikut kehendak industri dan keperluan majikan.

"Bagi mencapai sasaran itu, kajian kurikulum dalam pembelajaran perlu ditambah baik mengikut kehendak pasaran pekerjaan. Kurikulum perlu menerapkan program seperti latihan keusahawanan, mobiliti pelajar dan finishing school. Sebelum ini, kurikulum itu ada diamalkan tetapi tidak menjurus kepada penekanan berkenaan.

"Malah, aspek program keusahawanan dan finishing school adalah bidang baru dan ia perlu diperluas serta ditingkatkan. Kita juga mahu menerapkan nilai keusahawanan kepada pelajar supaya tidak terlalu terikat dengan kerja makan gaji," katanya.

Apa yang penting, kata beliau, pihaknya mahu setiap universiti saling berkongsi amalan terbaik dan mengambil contoh terulung untuk dilaksanakan di universiti masing-masing.

Program finishing school di Universiti Putra Malaysia (UPM) dianggap yang paling baik dalam membantu melahirkan graduan yang seimbang, manakala Universiti Malaya pula ada Pusat Usahawan Siswazah untuk melahirkan persekitaran kondusif sebagai usahawan.

Finishing school' diwujudkan bertujuan memupuk nilai insaniah dan kerohanian, menyediakan skil keusahawanan dan daya kepemimpinan. Kajian keberkesanan terhadap program itu juga perlu dilakukan dan dijadikan panduan serta ikutan universiti lain untuk mengamalkan program terbaik untuk pembangunan kendiri graduan.

"Oleh itu, seminar berkaitan kebolehpasaran diadakan baru-baru ini untuk menentukan perkara utama bagi mengukur sejauh mana semua program yang dihasilkan itu mampu melahirkan modal insaniah berketrampilan," katanya.

Beliau menegaskan, kebolehpasaran graduan wujud disebabkan kekangan dalam aspek kekurangan ketrampilan diri dan imej; berkomunikasi dengan baik serta penguasaan bahasa Inggeris, selain faktor ekonomi, lambakan graduan di pasaran dan graduan kurang daya adaptasi kepada pasaran kerja yang berubah.

Dalam konteks ini, pindaan Akta Universiti dan Kolej (AUKU), ada relevan bagi menggalakkan pelajar terbabit dalam kegiatan kokurikulum untuk meningkatkan kemahiran dan pembangunan insaniah.

"Contohnya, jika pelajar yang ambil kursus kejuruteraan atau kedoktoran, sekiranya tidak menyertai sebarang persatuan, mereka tidak akan bercampur, bergaul dengan orang lain, tidak tahu apa program pengisiannya dan apakah kaedah terbaik untuk menjayakan sesuatu yang dirancang.

"Oleh itu, sekarang kita galakkan mereka terbabit dalam aktiviti persatuan untuk mendedahkan setiap perkara yang dianjurkan. Elemen ini akan membantu mereka menjadi insan berkualiti dan mampu menghadapi cabaran lebih besar," katanya.

Negara lain, kata Mohamed Khaled, juga turut melaksanakan pendekatan sama mengikut keperluan semasa dan ia turut bergantung kepada pertumbuhan ekonomi.

"Jika di negara luar, juga ada isu pelajar perempuan melebihi lelaki serta soal pengangguran, tetapi aspek kebolehpasaran graduan dijadikan keutamaan supaya jurang tidak terus melebar," katanya.

Oleh itu, kementerian terbabit turut melancarkan program mobiliti membabitkan pelbagai aktiviti pelajar di universiti di luar negara bagi mendedahkan pelajar dengan dunia luar.

Pada masa sama, program mobiliti pelajar dari luar negara ke Malaysia juga dilaksanakan dengan menyediakan 28 pakej mobiliti untuk tempoh jangka pendek, sekali gus dijadikan asas untuk mempromosi Malaysia di mata dunia.

Sistem kajian pengesanan itu akan dilakukan semula selepas dua tahun untuk mengesan berapa ramai lagi graduan yang mendapat pekerjaan dan yang masih menganggur.

Sumber :http : //www.bharian.com/

5 ulasan:

  1. apa komen cikgu dengan sebilangan graduan yang sudah menamatkan pengajian masing2 tapi masih lagi belum mendapat pekerjaan.dengan kata lainnya menganggur..walhal, pelbagai jawatan telah diisi, SPA,badan Swasta,job malaysia,monster malaysia.. ? saya dan rakan2 saya contoh nya sekarang masih bekerja di restoran2, kedai2 top up, kilang2 demi mengisi masa kami yang terbuang..sedangkan kami punya sijil tertinggi ,bahkan kami juga aktif di ipt dan luar.. apabila masalah sya dan rakan dibahas, banyak pihak menyalahkan kami atas sikap 'memilih kerja'..tapi tidak ingin membantu kami.. saya tidak rasa ini masalah sebilangan, tapi inilah yang dirasakan oleh kebanyakan graduan yang menganggur dan kerajaan masih belum mengenengahkan hal ini..

    BalasPadam
  2. kita senasib jugalah......nti ble ckp tu la jawapan yg keluar.....manalah kita tak sedih tak gitu???lebih baik diamkan saja

    BalasPadam
  3. cikgu rasa apa yg perlu kerajaan lakukan untuk mengurangkan masalah pengangguran dalam klgn siswazah nie?

    BalasPadam
  4. masalah pengganguran berpunca dari diri kita sndiri. jgn nk salah kan kerajaan..byk skim yang ditawarkan oleh kerajaan untk improve soft skill. sy da hadiri more than 20 times intebiu..kali terakhir sy dapat...kna kuat la..hati cekal..kalu duk tunggu kt rumah goyang kaki just isi spa mmg la susah.

    BalasPadam
  5. mintak izin untuk mengambil maklumat...t.kasih... :)

    BalasPadam