Selasa, 28 Julai 2009

ISU GAGASAN SATU MALAYSIA


Merealisasikan gagasan Satu Malaysia melalui sukan

SEJAK Perdana Menteri memperkenalkan gagasan Satu Malaysia, banyak pihak telah mengemukakan idea untuk menjayakannya.

Antaranya, Kementerian Belia dan Sukan yang memperkenalkan konsep "Satu Belia" bagi membantu mempercepatkan proses pencapaian gagasan itu dan begitu juga pihak lain dengan idea masing-masing.

Bagaimanapun, saranan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggunakan sukan sebagai elemen meningkatkan kerjasama antara kaum dan agama merupakan sesuatu yang menarik.

Sukan sememangnya mampu menjadi teras untuk menyokong, mengekal dan mengukuhkan perpaduan di negara ini.

Secara umumnya, masyarakat lebih melihat sukan sebagai pertandingan, riadah dan tidak kurang yang menganggap sukan tertentu sebagai 'milik' kaum tertentu. Namun persepsi seperti itu perlu diubah.

Perbincangan-perbincangan kumpulan sasar, seminar dan mesyuarat yang berkaitan perlu disegerakan untuk merangka rancangan tindakan secara kolektif dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti agar selari dengan hasrat menjadikan sukan sebagai bidang yang mampu 'mengikat' rakyat pelbagai kaum.

Terdapat beberapa aspek yang perlu diperhalusi demi menjadikan sukan sebagai salah satu mekanisme mencapai gagasan Satu Malaysia.

*Pertama, menentukan sejauh manakah bidang sukan di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) mampu menyumbang kepada gagasan Satu Malaysia.

Tidak dinafikan sekolah dan IPT adalah lubuk melahirkan jaguh sukan. Namun sukan juga perlu bertindak sebagai "serampang dua mata". Selain mencapai kemenangan, sukan juga perlu menjadi agen perpaduan.

Namun selalunya akibat didorong matlamat ingin menang dan kurang semangat kesukanan, konsep perpaduan diketepikan. Kurangnya semangat kesukanan bukan sahaja berlaku di peringkat sekolah dan IPT, malah melibatkan pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Oleh itu, pelajar perlu dididik agar menghargai sukan sebagai bidang untuk mencipta nama dan menaikkan nama institusi. Pada masa yang sama, ia perlu menjadi alat untuk berinteraksi, menjalinkan perpaduan dan memperluaskan pergaulan antara kaum.

*Kedua, kita perlu berpegang kepada prinsip sukan mampu meningkatkan semangat patriotik rakyat. Oleh itu, perlu dilipatgandakan usaha memajukan bidang sukan teras yang popular contohnya bola sepak, hoki dan badminton.

Pengalaman beberapa negara asing membuktikan bahawa kejayaan di pentas sukan antarabangsa mampu menyatupadukan rakyat tanpa mengira latar belakang. Malaysia juga begitu. Semangat patriotik rakyat tanpa mengira kaum dan agama jelas apabila pasukan kita menentang pasukan luar. Ia merupakan satu bentuk perpaduan yang nyata.

*Ketiga, sukan massa yang telah diperkenalkan kepada masyarakat sejak beberapa tahun lalu perlu dilihat semula daripada segi keberkesanannya untuk menjana semangat 'kebersamaan' di kalangan rakyat berbilang kaum. Sukan massa atau "sukan untuk semua" adalah kegiatan sukan untuk menggalakkan penyertaan masyarakat setempat.

Jadi bagaimana sukan massa mampu menyediakan ruang dan peluang untuk anggota masyarakat berkenalan, memahami budaya kaum lain, melahirkan perasaan saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain perlu diperhalusi.

Mungkin Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Perpaduan Negara dan aktivis masyarakat boleh memulakan gerakan ke arah merangka sukan di peringkat komuniti yang lebih terserlah, berkesan dan benar-benar menyumbang kepada Satu Malaysia.

*Keempat, gagasan menyatupadukan rakyat melalui sukan sukar untuk dicapai jika kekurangan kemudahan sukan.

Projek-projek prasarana sukan untuk kemudahan rakyat boleh diwujudkan dengan menggabungkan sumber kewangan kerajaan, badan-badan korporat dan sumbangan rakyat. Kaedah ini diyakini dapat mengatasi kekurangan gelanggang badminton, padang bola sepak, gelanggang futsal, bola keranjang serta padang hoki. Jika aktor Shah Rukh Khan boleh menyumbang kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), saya percaya rakyat kita, terutamanya sektor korporat juga mampu berbuat demikian.

Oleh itu, usaha mempromosikan sukan sebagai alat perpaduan perlu diperhebatkan. Antara yang boleh dilakukan ialah mewujudkan slogan baru sebagai 'ibu' kepada slogan-slogan sedia ada.

Selari dengan hasrat Satu Malaysia, slogan seperti "Sukan Menjana Perpaduan Satu Malaysia" atau "Satu Sukan, Satu Malaysia" boleh diwujudkan demi menyediakan hala tuju yang satu untuk semua.

Begitu juga dengan nama Sukan Malaysia (SUKMA) yang boleh ditukarkan kepada "Sukan Perpaduan Malaysia". Selain itu, anugerah "Tokoh Sukan Satu Malaysia" juga boleh diberikan kepada individu yang memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan sukan dan perpaduan negara.

Gagasan Satu Malaysia adalah untuk mengekal dan mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum. Maknanya, pencapaian gagasan itu adalah satu proses atau perjalanan yang tidak akan selesai dalam sekelip mata. Ia memerlukan kerjasama semua pihak dan kita perlu komited ke arah itu.


Universiti Teknologi Mara, Perlis"
Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan