Sabtu, 3 Oktober 2009

ISU GEMPA BUMI DI SUMATERA BARAT, INDONESIA

Kita tidak sampai hati biarkan rakyat Indonesia menderita

TRAGEDI gempa yang mengorbankan lebih seribu nyawa di Sumatera Barat, Indonesia mengundang rasa simpati yang bukan sedikit. Simpati kerana satu demi satu bencana melanda negara tersebut.

Setiap kali bencana, ada nyawa terkorban. Ada harta musnah. Lebih meruntunkan jiwa, Indonesia yang terkial-kial untuk bangkit memulihkan ekonominya tersungkur lagi.

Masyarakat antarabangsa sememangnya bersimpati terhadap perkembangan menyedihkan itu. Apatah lagi negara-negara jiran. Umpama cubit paha kanan, paha kiri terasa - rakyat Malaysia bingkas menghulurkan bantuan.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) segera 'terbang' menghulurkan kudrat secara sukarela. Manakala tabung-tabung khusus untuk membantu mangsa-mangsa gempa di Padang segera ditubuhkan.

Kesemuanya itu kerana ingin meringankan beban yang ditanggung penduduk di situ. Lantaran kemusnahan yang dialami mereka bukan sedikit. Penderitaan mental dan fizikal mangsa-mangsa gempa bumi itu amat ketara sehingga mampu merungkai kemarahan rakyat negara ini akibat insiden membakar Jalur Gemilang dan tohmahan-tohmahan yang dilemparkan terhadap Malaysia.

Paparan mayat-mayat bergelimpangan, bangunan dan kediaman rosak teruk serta mangsa-mangsa yang terselamat tetapi cedera parah cukup untuk memahamkan rakyat Malaysia tentang semangat kejiranan.

Betapa pentingnya sesebuah negara itu memakmurkan jirannya kerana apabila tercetus bencana atau bahaya, jiran-jiran itulah paling hampir untuk disandarkan harapan.

Jiran-jiran itulah yang pertama datang menghulurkan bantuan.

Hakikatnya banyak yang perlu dipelajari daripada kejadian terbaru di Sumatera Barat, Indonesia. Betapa bencana gempa, taufan, tsunami datang tanpa amaran. Dan setiap kali ia datang, sesebuah negara itu tidak akan mampu menghadapinya bersendirian.

Sebab itu, seboleh-bolehnya jangan disakiti hati jiran. Khabarnya gara-gara isu tarian Pendet yang membawa kepada 'upacara membakar Jalur Gemilang' dan kononnya akan berlaku peperangan antara Malaysia-Indonesia, kesannya tabung gempa yang ditubuhkan sebelum ini kurang mendapat sambutan.

Tabung untuk mangsa gempa di Tasekmalaya di Jawa Barat tidak begitu memberangsangkan.

Alasannya - rakyat Malaysia tersentuh hati. Mereka juga berkecil hati - akibatnya rasa perikemanusiaan, belas ihsan dan keprihatinan terhakis. Biar pun hanya segelintir rakyat Indonesia terlibat mencerca Malaysia, namun tindakan sedemikian mampu mencetuskan kemarahan - lebih daripada itu mengundang rasa benci sehingga mengikis semangat kejiranan.

Namun sehingga ke tahap mana dan di paras mana rakyat negara ini mampu menyimpan rasa marah dan tersinggung. Sebaik-baik mendengar dan menonton kesan bencana berskala 7.6 Richter itu, segala perasaan negatif itu mencair.

Segala rasa sakit hati diketepikan terutamanya apabila rakyat di sini turut merasa kesan gegaran gempa itu. Semangat tolong- menolong dan rasa simpati yang melimpah ruah merobohkan sempadan perasaan marah sebelum ini.

Tragedi-tragedi seperti ini mesti dipelajari hikmahnya oleh rakyat di kedua-dua negara. Begitu juga di kalangan penduduk jiran-jiran yang lain. Jangan diundang rasa benci. Jauhkan kontroversi - paling penting pelihara semangat kejiranan serantau yang nilai serta harganya sangat tinggi.

Bagi rakyat Malaysia, teruskan semangat ingin membantu. Hulurkan sumbangan dengan ikhlas bagi meringankan mangsa-mangsa gempa bumi di Padang. NGO-NGO pula terus taburkan bakti di negara yang taburan budaya dan bahasanya amat setara dengan penduduk di sini.

Perlu diakui titik-titik peluh dan rasa keinsafan yang timbul ketika bantuan dihulurkan mengajar kita untuk menjadi lebih matang.

Lebih penting lagi keikhlasan mendidik rakyat negara ini untuk percaya bahawa ada harinya dan ada masanya, kita juga memerlukan bantuan negara jiran.

Untuk itu jagalah hati negara jiran. Apatah lagi jika jiran itu tidak pernah menyakiti hati penduduk di sana. Jika pun hati rakyat di sini sedikit terguris dengan gelagat 'kurang akal' penduduk di sana, maka anggaplah ia asam garam kehidupan dua negara berjiran.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa belakang parang jika selalu diasah menjadi tajam - hati manusia jika selalu disakiti manakala maruahnya tidak dihormati, kesannya lebih meruncing.

Dan jika ia dilakukan secara berterusan, tidak mustahil segala rasa simpati dan keinginan untuk menghulurkan bantuan akan lenyap perlahan-lahan.

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Nota hujung:

Beberapa iktibar daripada bencana yang berlaku:

i. Seluruh kerajaan langit dan bumi itu adalah milik Allah. Manusia bertanggungjawab memelihara bumi dari kerosakan, bukannya membuat kemusnahan.

ii. Seseorang tidak boleh menghalang kehendak Allah. Manusia tidak boleh lari dari takdir Allah sama ada perkara itu baik atau buruk.

iii. Malapetaka seperti ini sepatutnya menjadikan kita lebih insaf dan mengakui kebesaran Allah.

iv. Dalam masa negara-negara JIRAN kita seperti Indonesia, Filipina. Vietnam, Kepulauan Tonga, dan sebagainya dilanda bencana, negara kita MALAYSIA terlindung daripada bencana alam yang besar, justeru kita seharusnya bersyukur. Oleh sebab itu, atas rasa prihatin dan penuh rasa tanggungjawab sebagai JIRAN, kita dituntut untuk membantu mereka yang ditimpa musibah ini kerana jika nanti negara kita Malaysia dilanda bencana, sudah tentu kita mengharapkan bantuan yang sama daripada negara JIRAN serumpun kita, INDONESIA. Ingat, kalau kita tidak mudah membenci orang, malahan berniat baik untuk meringankan kesusahan orang, Insya-Allah Tuhan akan melapangkan kesusahan kita .

vi. Bencana atau apa-apa jua malapetaka yang menimpa tetap mengandungi amaran, peringatan dan pengajaran bagi semua bangsa supaya kita saling hormat menghormati, memahami dan menyayangi manusia lain di atas bumi yang sebenarnya sangat kecil dan rapuh . Marilah kita mendidik diri kita untuk mencintai Tuhan yang selalu sayang dan cinta terhadap umat-Nya.


# Marilah kita belajar bijaksana bahawa kita ini sangatlah tidak berdaya di dalam kenyataan cakerawala yang hebat ini, kecuali dengan kekuatan doa yang direstui oleh Tuhan yang Maha Pencipta
.

# Dalam hal ini, sama-sama kita renungkan kata-kata Saidina Abu Bakar (R.A) iaitu, "jadilah seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan. Dilempar buahnya dengan batu, tetapi tetap dibalas dengan buah" .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan