Sabtu, 3 Oktober 2009

ISUBAHASA : LANGKAH MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU




Ke mana bahasa Melayu?

Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru, baru-baru ini menuntut perhatian besar. Resolusi persidangan tersebut antara lain mendesak kerajaan memberi kuasa penguatkuasaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memartabatkan bahasa Melayu. Desakan ini bukan perkara baru kerana ia sudah kerap disuarakan. Pada Awang, selagi DBP tidak mempunyai kuasa tersebut, agensi itu dilihat umpama harimau tidak bertaring.

Sedangkan gejala pencemaran dan penyalahgunaan bahasa semakin berleluasa terutama pada papan tanda dan paparan iklan premis perniagaan. Begitu juga dengan penggunaan bahasa rojak secara keterlaluan di televisyen dan radio. Itu belum mengambil kira kegagalan banyak pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengutamakan bahasa kebangsaan dalam urusan mereka di dalam negara.

Hari ini, jika ada bahasa lain lebih besar saiz paparannya daripada bahasa Melayu, ia tidak lagi dipersoalkan. Malah semakin banyak info produk barangan pengguna biarpun yang dikeluarkan di dalam negara, tidak lagi menggunakan bahasa kebangsaan.

Siapakah yang perlu bertanggungjawab memantau dan memperbetulkan semua ini kalau bukan DBP. Tetapi jika agensi itu tidak diberi kuasa, ia tidak membawa apa-apa makna.

Sementara menanti perubahan serius yang dilakukan oleh kerajaan berhubung hal ini (itu pun jika ada kemahuan politik yang tinggi), Awang amat berharap DBP lebih agresif dan proaktif dalam memainkan peranannya mengembangkan bahasa.

Agensi itu dilihat oleh banyak pihak sebagai lesu. ''Bangunannya lebih gah daripada keberanian dan pencapaiannya untuk melonjak martabat bahasa," kata seorang tokoh akademik. Apa yang beliau cuba sampaikan, DBP tidak lagi lantang memperjuangkan soal bahasa. Kritikan itu mungkin tidak adil dan boleh diperdebatkan. Usaha memartabatkan apatah lagi menyelamatkan bahasa Melayu bukan semata-mata tugas DBP malah semua pihak termasuk pemimpin kerajaan, pembangkang dan sektor swasta.

Awang juga tertanya-tanya ke mana perginya para pejuang bahasa yang sanggup berdemonstrasi dan berterusan membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam kaitan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu secara keseluruhannya.

Selepas PPSMI dimansuhkan, apakah kepada mereka, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sudah selesai? Apakah juga masa depan bahasa Melayu hanya berkaitan pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan sahaja?

Sepatutnya kelompok itu yang menjadi benteng hadapan, meneruskan momentum mereka dengan mewujudkan gelombang kesedaran mengenainya.

Ini termasuk menegur Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), menteri-menteri dan pemimpin parti-parti politik terhadap apa sahaja perkara berkaitan kepentingan bahasa. Awang teruja mahu melihat para pejuang dan badan pertubuhan kerajaan (NGO) turun di jalanan atau menyerbu ke mana-mana kementerian, agensi mahupun pejabat swasta membuat bantahan jika perlu.

Sesungguhnya terlalu banyak yang perlu dilakukan bagi memartabatkan bahasa Melayu terutama bagi menjadikannya bahasa komersial yang lebih meluas. Dalam usaha ini tiada siapa boleh berputus asa apatah lagi bagi mencapai matlamat murni mempertahankan bahasa Melayu yang kedudukannya sudah termaktub dalam perlembagaan negara.

Untuk apa kita memperakukan bahasa Melayu mampu berkembang sebagai bahasa dunia, kalau di peringkat dalam negara sendiri kita sudah tidak menampakkan keyakinan. Banyak lagi petunjuk yang membimbangkan di sekeliling kita. Bukankah kita sendiri yang mewujudkan persekitaran yang akhirnya membunuh bahasa Melayu?

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan