Rabu, 10 Februari 2010

Lori, treler berhenti di lorong kecemasan jadi perangkap maut


TRAGEDI menyayat hati membabitkan pengasas minuman herba Air Fadhilat, Suhaimi Ghazali, 41, yang rentung bersama isteri dan semua empat anaknya apabila kereta BMW 5 Series yang dinaiki terbakar selepas merempuh treler di Kilometer 252.3, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran hentian Senawang di Seremban, kelmarin masih terpahat di fikiran. Kereta yang dinaiki sekeluarga itu dipercayai terbabas sebelum merempuh treler membawa pasir yang ditinggalkan di lorong kecemasan lebuh raya berkenaan kerana rosak. Ini bukan kejadian pertama membabitkan rempuhan terhadap lori yang berhenti di lorong kecemasan, kebanyakannya berlaku pada waktu malam atau fajar. Pada tengah malam Jumaat lalu, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Hazam Abd Halim, 52, terbunuh, manakala pemandunya cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 419.7, Lebuh raya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Bukit Tagar, di Hulu Selangor apabila kereta dinaikinya terbabas sebelum merempuh sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan. Pada September tahun lalu pula seorang lelaki rentung selepas van yang dipandunya terbabas sebelum melanggar belakang lori yang diletakkan di lorong kecemasan di Kilometer 36.6 Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Cheras.

Banyak lagi kejadian sama berlaku dari semasa ke semasa membabitkan kereta atau lori yang berhenti di lorong kecemasan. Selain pemandu perlu lebih berhati-hati bagi mengelak kejadian seumpamanya berulang, sesuatu harus dilakukan bagi memastikan kenderaan yang diletakkan di lorong kecemasan tidak menjadi perangkap maut kepada pengguna lebuh raya. Sudah tiba masanya bagi pihak berwajib untuk memantau kenderaan yang diletakkan di lorong kecemasan. Peronda lebuh raya sama ada polis atau yang diusahakan oleh pemegang konsesi lebuh raya hendaklah segera mendekati pemandu lori, treler atau kereta yang diletakkan di lorong kecemasan, terutama pada waktu malam untuk memberi amaran atau bantuan sewajarnya. Ini termasuk mengalihkan segera kenderaan itu, meletakkan tanda isyarat yang mencukupi seperti kon pada jarak selamat, memantau pergerakan kenderaan di laluan terbabit dan memasang isyarat lampu pada jarak sekurang-kurangnya 200 meter dari kenderaan berkenaan. Kenderaan yang diletakkan di lorong kecemasan hanya untuk kes kecemasan seperti enjin rosak, tayar pancit atau masalah teknikal lain. Pemandu yang sengaja mahu berehat di lorong kecemasan tanpa alasan munasabah, perlu diambil tindakan tegas. Menjelang hujung minggu ini, lebuh raya akan kembali sibuk sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina dan kempen seperti Ops Sikap tidak akan berhasil selagi pengguna jalan raya tidak mengubah sikap, termasuk menggunakan lorong kecemasan dengan sewenang-wenangnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen