Isnin, 20 Februari 2012

ISU PENDIDIKAN : Menarik minat pelajar ke aliran Sains


Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

AKIBAT merosotnya bilangan pelajar aliran sains Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji punca serta penyelesaian kepada isu tersebut.

Kementerian Pelajaran dilaporkan memandang serius isu kemerosotan minat pelajar dalam bidang sains dan matematik iaitu hanya 37 peratus dan 29 peratus sahaja bagi sains tulen. Jumlah ini tidak mencapai sasaran yang sepatutnya iaitu 60 peratus dalam bidang sains dan 40 peratus aliran sastera atau kemanusiaan.

Kewujudan aliran sains bermula apabila pelajar memasuki Tingkatan Empat di sekolah menengah. Mereka boleh memilih salah satu aliran yang ditawarkan iaitu aliran sains, kemanusiaan atau vokasional. Bagi pelajar aliran sains tulen mereka dikehendaki mengambil mata pelajaran Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi di samping mata pelajaran teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Pendidikan Agama Islam atau Pendidikan Moral. Kebiasaannya pelajar yang mengikuti aliran sains ini adalah terdiri daripada mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Kemerosotan bilangan pelajar sekolah menengah yang mengikuti aliran sains ini boleh menjejaskan usaha untuk meramaikan siswa mengikuti subjek kritikal di peringkat universiti. Para siswa perlu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Matrikulasi untuk membolehkan mereka mengikuti bidang perubatan, farmasi, kejuruteraan, akauntansi dan lain-lain.

Sebagai sebuah negara yang sedang memasuki fasa negara maju, bilangan tenaga kerja yang ramai berkelulusan dalam bidang tersebut sangat diperlukan. Mereka akan berperanan menjadi penyelidik, saintis, teknologis, jurutera, perekacipta dan tenaga pengajar di universiti.

Itulah sebabnya Kementerian Pelajaran memperkenalkan dasar 60 : 40. Dasar ini mempunyai kaitan rapat dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju melalui slogan Wawasan 2020 yang diperkenalkan lewat 1980-an.

Tidak dapat dinafikan bukanlah mudah untuk pelajar mendapat kelulusan cemerlang dalam bidang sains kerana ia dikatakan lebih sukar jika dibandingkan dengan mata pelajaran sastera atau kemanusiaan. Ada pelajar yang ingin mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM atau STPM akan memilih bidang kemanusiaan atau vokasional walaupun mereka layak mengikuti bidang sains. Dengan keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu membolehkan mereka diterima dengan mudah ke institusi pengajian tinggi dan memilih subjek yang mereka minati.

Kemerosotan bilangan pelajar aliran sains ini perlu dilihat secara holistik. Ini bermakna untuk mengatasi isu tersebut perlu dilihat dari semua aspek dan melibatkan semua pihak. Dengan ini tidaklah dibebankan kepada sekolah atau guru semata-mata.

Isu kekurangan pelajar mengikut aliran sains khususnya di kalangan pelajar bumiputera disedari sejak negara belum mencapai kemerdekaan lagi. Bagi mengatasinya dalam Laporan Razak 1956 mencadangkan penubuhan sekolah berasrama penuh bagi memberi kemudahan kepada pelajar khususnya daripada luar bandar untuk mendapat pendidikan yang terbaik.

Justeru wujud, Sekolah Tunku Abdul Rahman, Ipoh; Sekolah Dato Abdul Razak, Tanjung Malim (sekolah asal); Sekolah Sultan Abdul Hamid, Jitra; Sekolah Seri Puteri, Kuala Lumpur dan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Cadangan yang sama dinyatakan dalam Laporan Rahman Talib 1961. Berikutannya, wujud Sekolah-Sekolah Sains di seluruh negara dan bilangannya kini mencecah hampir 60 buah.

Namun demikian sekolah berasrama penuh sahaja tidak dapat menampung keperluan ramai bilangan pelajar aliran sains tanpa mendapat sokongan daripada sekolah menengah harian dan sekolah swasta.

Dari segi kerjaya nampaknya bidang profesional seperti doktor, jurutera, ahli farmasi atau akauntan kurang menarik minat sebahagian pelajar kerana dalam masa yang sama terdapat ratusan jenis pekerjaan lain yang boleh dipilih oleh mereka.

Melalui kajian-kajian didapati ramai pelajar yang lebih berminat menjadi ahli perniagaan, usahawan, petani, kontraktor, bidang perkhidmatan, bidang hospitaliti seperti masakan, perhotelan, pengendalian restoran dan lain-lain. Bidang kerjaya ini bukan sahaja memberi cabaran baru yang menarik tetapi turut menjanjikan pendapatan lumayan yang boleh mengatasi pendapatan mereka di bidang profesional itu.

Dari segi perjawatan pula, terutama untuk menjadi ketua atau pegawai kanan dalam sesebuah jabatan atau organisasi, sama ada di sektor awam atau swasta termasuk bidang korporat dan badan politik, sebahagian besarnya dimonopoli oleh mereka yang berkelulusan sains sosial atau kemanusiaan.

Ini disebabkan mereka mempunyai kelebihan kerana telah mendapat pendedahan awal bidang pengurusan, pentadbiran dan kewangan semasa belajar di universiti. Berbeza dengan mereka yang mengikuti bidang kritikal atau sains tulen di mana lebih fokus dengan kandungan subjek pengajian mereka sahaja. Oleh itu ada pelajar memikirkan lebih baik memilih bidang yang mempunyai masa depan lebih baik dalam kerjaya nanti.

Walau bagaimanapun untuk memenuhi dasar 60 : 40 yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran maka kerjasama dan sokongan dari ibu bapa, pengetua dan guru-guru sangat diperlukan supaya lebih ramai pelajar berminat untuk memilih aliran sains. Ibu bapa perlu merangsang dan menggalakkan anak meminati mata pelajaran matematik dan sains sejak di sekolah rendah.

Sementara itu pengetua sekolah seharusnya memperbanyakkan aktiviti pendedahan yang boleh menarik minat pelajar dan memberi keyakinan bahawa mata pelajaran aliran sains adalah mudah dipelajari serta mempunyai masa depan yang cerah. Peranan guru tidak kurang pentingnya di mana kaedah pengajaran yang menarik minat pelajar hendaklah sentiasa digunakan dan menjadikan subjek itu tidak membebankan.

Untuk menarik minat pelajar mengikuti aliran sains mereka seharusnya diberi beberapa keistimewaan, antaranya adalah mendapat bantuan kewangan dan laluan mudah untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi. Selain kerajaan, maka badan-badan korporat boleh memainkan peranan dan turut membantu bagi merealisasikan hasrat tersebut. Dengan dorongan ini diharapkan lebih ramai pelajar akan berusaha keras untuk membolehkan mereka ditempatkan dalam aliran sains.

Semoga jawatankuasa khas yang ditubuhkan kelak dapat menyiapkan laporan khusus untuk mengatasi masalah itu.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad

Sumber : http ; //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan