Jumaat, 9 Mac 2012

ISU BAHASA : Peserta Malaysia, Afghanistan juara PABM


Oleh HASHNAN ABDULLAH dan NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my


PUTRAJAYA 8 Mac - Peserta Afghanistan, Sebghatullah Qazizada dinobatkan sebagai juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2012 bagi kategori antarabangsa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.

Peserta dari Malaysia, Fathiah Ibrahim pula muncul juara kategori nusantara pada pertandingan peringkat akhir yang melibatkan lapan peserta.

Hadiah kemenangan bagi kedua-dua kategori itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis tersebut.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kedua-dua johan pertandingan peringkat akhir itu membawa pulang hadiah wang tunai RM15,500, Piala Perdana Menteri, piala pusingan, piala iringan, hadiah dan sijil.

Naib johan kategori antarabangsa dimenangi oleh Polina Matveychev dari Rusia manakala tempat ketiga menjadi milik peserta Latvia, Elena Vorobyeva.

Bagi kategori nusantara, peserta Brunei, Dayangku Mumtazah Pangeran Md. Jaafar memenangi tempat kedua manakala tempat ketiga jatuh ke tangan Wahyudi dari Indonesia.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM9,300 dan RM6,200 beserta piala iringan, hadiah dan sijil untuk tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori.

Pertandingan peringkat akhir malam ini menyaksikan lapan peserta iaitu dari Malaysia; Indonesia; Brunei; Rusia; Moldova; Jepun; Afghanistan dan Latvia mempamerkan kemahiran berpidato masing-masing.

PABM pada edisi keenam itu menyaksikan penyertaan 69 peserta daripada 64 negara.

Sebghatullah ketika ditemui berkata, dia langsung tidak menduga untuk dinobatkan sebagai juara kerana persaingan kali ini begitu sengit.

"Terima kasih kepada tenaga pengajar dan rakan peserta yang sama-sama berusaha untuk pertandingan kali ini," katanya.

Sementara itu, Fathiah berasa begitu bersyukur dengan kemenangan tersebut dan akan terus berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan